karya

karya

Wednesday, 2 December 2015

Yang terindah dari dia! 7



RAZLAN mengukir senyum kerana dia yakin  rancangannya pasti akan berjaya. Perlahan-lahan kakinya mengatur langkah ke bilik itu dengan niat yang satu. Dia mahu pastikan apa yang dia rancang sejak dua tiga hari ini dapat dilaksanakan. Tak boleh bertangguh lagi.
Perlahan-lahan pintu bilik di kuak agar tidak disedari oleh penghuninya. Razlan melihat gadis itu begitu tekun melipat pakaian di atas tikar getah.
“Aira!” Razlan bersuara sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke bilik itu.
“Abang Razlan nak apa masuk ke bilik ni?” soal Aira kalut. Serta merta dia mencapai tudung bawal yang ada di sebelah tempat duduknya. Terus di sarung ke kepala.
Razlan hanya diam membisu tapi matanya tajam merenung wajah Aira dari atas ke bawah. Wajah Aira mula berubah. Pucat dan ketakutan. Gadis itu terus bangun dari tempat duduknya.
Razlan terus mengatur langkah ke arah Aira, manakala Aira pula makin berundur ke belakang hingga akhirnya dia tersekat di dinding.
“A…apa yang Abang Razlan nak buat ni?” soal Aira mula gementar. Peluh mula menitik di dahinya melihat Razlan makin menghampirinya. Razlan hanya tayang senyum dan akhirnya Aira terkepung.
“Syhh…..diam. Jangan bising…nanti mak abang dengar.” kata Razlan sambil berbisik perlahan di telinga Aira membuatkan hati Aira  makin kecut. Aira benar-benar ketakutan.
“J…jangan buat  Aira macam ni, Aira mohon. Tolong kesiankan Aira.” pinta Aira mula berlinangan airmata dan berusaha menolak tubuh Razlan yang sudah menghimpit tubuhnya rapat ke dinding.
“T…tolong….tolong…” jerit Aira.
“Tolong….tolong….” Aira menjerit lagi.
“Lan….apa yang dah berlaku ni? Lan buat apa kat bilik ni?” tiba-tiba bilik itu di terjah oleh Puan Saadah bersama Deeja. Mereka baru balik dari kedai runcit. Terlopong mulut mereka berdua melihat keadaan Aira dan Razlan.
“Er….Abang….Abang Razlan….” tergagap-gagap Aira nak bersuara.
“Lan tak salah….Aira yang ajak Lan masuk….dia yang goda Lan….” Razlan bela diri.
“Tak, itu semua fitnah…Aira tak buat macam tu.” Aira cuba membela dirinya. Tak sanggup di tuduh sebagai penggoda.
Tajam mata Saadah merenung wajah Aira yang mula menikus dan terus tunduk ke bawah. Razlan mula berginjak menjauh dari tubuh Aira bersama senyuman sinis.
Tanpa sebarang kata, satu tamparan singgah ke pipi Aira.
“Memang dasar budak tak kenang budi. Aku bagi kau menumpang, bagi kau makan….ada hati nak goda anak aku…..kau cuba nak buat benda tak senonoh dengan anak aku ya…” marah Saadah berapi.
“Bukan….bukan salah Aira…..Abang Razlan…Abang Razlan…..dia…sebenarnya, dia yang cuba buat benda tu kat Aira…” tergagap-gagap Aira cuba menjelaskan perkara sebenar bersama esakan tangis.
“Sudah….aku tak nak dengar sebarang alasan. Aku kenal siapa anak aku…kau tu….baru dua tiga hari menumpang….dah buat perangai tak senonoh…..mulai saat ini, aku nak kau kemaskan semua barang-barang kau….keluar dari sini. Aku tak nak tengok muka kau lagi! keluar sekarang!!!!” jerkah Saadah ke muka Aira yang masih lagi menangis teresak-esak. Siap luruskan tangannya ke arah pintu. Memang dia nekad mengusir Aira dari rumahnya.
Deeja hanya diam membatu tapi matanya tajam dan sinis merenung wajah Aira. Ada riak benci pada wajah itu. Sementara Razlan terus berlalu dari bilik itu tanpa menoleh sedikit pun ke arah Aira.
Aira di tinggalkan keseorangan. Dengan tangisan yang masih bersisa, Aira mencapai begnya dan mengemaskan barang-barangnya. Dia perlu keluar dari rumah flat ini dengan segera. Namun, dalam masa yang sama, dia mula buntu memikirkan nasibnya selepas ini. Di mana hala tujunya nanti. Makin sebak dan sayu hatinya.
“Ibu, kalau boleh saat ini juga Aira nak jumpa ibu, Aira nak peluk ibu…Aira tak nak berada di sini. Tempat ni bukan untuk Aira….”
Aira merintih sayu sambil membiarkan air matanya terus mengalir membasahi pipi.





“MAKCIK!” panggil Aira sebaik sahaja dia siap mengemas barang-barangnya.
Saadah dan Deeja yang sedang berehat di ruang tamu mengerling sinis ke arah Aira yang sedang menjinjing beg pakaian bersama beg sandangnya.
“Apa lagi yang tercegat kat situ. Berambuslah sekarang!! aku dah tak berselera nak pandang muka kau…jijik tahu tak!!” kata Saadah dengan tegas mengusir Aira dari rumah flat kos rendah itu.
“Aira minta maaf, makcik….Aira memang tak bersalah.” kata Aira lagi sambil mengesat air matanya.
“Tak salah?...benda dah berlaku depan mata, masih tak nak mengaku….menyesal aku bagi kau tumpang kat rumah ni…” dengus Saadah sambil mencerlung tajam ke muka Aira.
“Betul tu mak. Kalau tahu macam ni perangai dia, dari awal lagi kita tak payah bagi dia menumpang. Biar dia merempat kat mana-mana!” sokong Deeja.
Aira hanya tunduk menahan sebak dan tangis.
“Sebelum Aira keluar….Aira nak minta maaf dari makcik sekeluarga. Minta halalkan apa yang termakan dan terminum. Aira pergi dulu!” kata Aira dan cuba menyalami tangan Saadah tapi ternyata wanita itu segera melarikan tangannya. Tak rela nak menyentuh tangan Aira. Begitu juga dengan Deeja.
“Apa lagi yang tercegak kat sini, berambuslah….tak payah terhegeh-hegeh nak buat muka simpati dan kasihan. Ingat, jangan tunjukkan muka kau lagi kat sini…” cemuh Saadah garang.
Perlahan-lahan Aira mengatur langkah keluar dari rumah flat itu dengan rasa hiba.
Kaki Aira terus di heret ke stesen teksi. Dia tak tahu  nak melangkah ke mana. Fikirannya kosong. Akhirnya dia hanya duduk sambil menangis mengenang nasib yang tak sudah-sudah di timpa malang.
“Aira!”
Aira menoleh. Wajahnya berubah dan kembali pucat.
“A…Abang Razlan?”
Aira segera bangun. Beg pakaiannya di capai dan di genggam erat. Dia juga bersedia untuk melangkah dari tempat itu. Dia tak mahu bersemuka dengan lelaki durjana itu lagi. Wajah Razlan telah mengingatkan dia kepada Lajis.
“Aira!” panggil Razlan bila Aira mula meninggalkan tempat itu dengan langkah laju.
“Aira, tunggu dulu!” kata Razlan sambil tangannya memegang lengan Aira membuatkan langkah Aira terhenti.
“Abang Razlan nak apa lagi?…tak habis-habis nak susahkan hidup Aira!” Aira mendengus kasar sambil memandang benci wajah Razlan.
Razlan diam.
Aira kembali melangkah. Tak sanggup nak berdepan dengan Razlan bila mengenangkan tindakan dan perbuatannya tadi.
“Jangan ikut Aira….” bentak Aira sambil matanya tajam memandang  wajah Razlan yang nampak kesal dan rasa bersalah.
“Aira, tolong dengar apa yang Abang Razlan nak cakap.” kata Razlan.
Aira tergelak kecil.
 “Aira, Abang Razlan minta maaf atas apa yang berlaku tadi.” pinta Razlan sambil menundukkan mukanya.
“Maaf?...cukup mudahkan. Kerana perbuatan Abang Razlan….maruah Aira jadi taruhan. Jangan ingat maruah Aira serendah itu….Aira tak ada niat sikit pun nak goda Abang Razlan. Aira datang sini dengan satu tujuan….Aira nak cari keluarga Aira.” kata Aira dengan linangan air mata. Dia benar-benar sedih dan kesal mengenangkan tuduhan dan cemuhan Saadah atas perbuatan yang tidak dilakukan.
“Aira….tolong dengar penjelasan Abang Razlan sebelum Aira membuat sebarang keputusan!” kata Razlan seakan merayu bila kata-kata maafnya tidak diendahkan oleh Aira.
“Dengar penjelasan apa lagi. Semuanya dah jelas….Aira yang di tuduh bersalah.!” kata Aira sambil menyapu kasar air matanya yang masih mengalir di pipi mulusnya.
“Tak. Aira tak salah….Abang Razlan yang salah….tapi….Abang Razlan lakukan perkara tu sebab Abang Razlan nak bantu Aira.” kata Razlan dengan suara sayu.
Bulat mata Aira merenung wajah Razlan.
“Bantu Aira?...apa maksud Abang Razlan?”
Aira bingung.
Razlan menarik nafas seketika.
“Jom, kita duduk kat sana. Nanti Abang Razlan ceritakan pada Aira kenapa Abang Razlan buat Aira macam tu!” kata Razlan membuatkan Aira terdiam. Aira keliru sama ada mahu percaya atau tidak.
Please, Aira. Jangan takut. Abang Razlan bukan nak apa-apakan Aira. Anggap aje Abang Razlan seperti abang Aira sendiri.” kata Razlan sambil mengukir senyum. Mahu menghilangkan kegusaran dan ketakutan pada Aira.
Akhirnya Aira mengangguk perlahan.



AIRA menyuap perlahan nasi ke dalam mulut. Buat masa sekarang fikirannya kosong. Sekali fikir elok saja dia balik kampung dan tinggal bersama ibu. Tak payah nak nak peningkan kepala memikirkan siapa dan di mana orangtuanya berada sekarang sebab tak ada satu pun maklumat tentang mereka yang boleh dijadikan petunjuk. Tapi bila mengingatkan sikap Lajis membuatkan hatinya serba salah.
Kalau di fikirkan dari sudut yang lain pula, ibu pasti akan kecewa kalau dia pasrah dan mula berputus asa kerana ibu begitu beria mahu dia mencari siapa orangtuanya. Kalaulah dia menceritakan semua kejadian yang berlaku di sini, ibu pasti sedih dan kerana itu Aira tak sanggup nak mengecewakan perasaan ibu. Buat sementara waktu, biarlah dia tanggung sendiri selagi dia masih mampu. Ibu sendiri dah banyak masalah, takkanlah dia nak tambah lagi. Kesian ibu.
“Dik, boleh akak tumpang duduk kat sini?”
Aira mendongak. Seorang perempuan sedang mengukir senyum sambil menatang dulang berisi sepinggan nasi dan juga segelas minuman.
“Duduklah kak, tempat ni memang tak ada orang pun!” balas Aira sambil mengukir senyum.
“Terima kasih, dik.” ujar perempuan itu sambil melabuh punggungnya di hadapan Aira.
“Nama akak Zulaikha, panggil aje Kak Ika. Adik ni…” perempuan itu memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan.
Aira meletakkan sudu seketika dan menyambut salam.
“Saya Humairah, panggil aje Aira.” balas Aira.
“Hmm…baru datang dari kampungke?” soal Zulaikha sambil merenung wajah Aira yang ketika itu hanya mengenakan sepasang baju kurung dan bertudung bawal.
“Ya, Kak Ika. Aira baru datang dari kampung.” beritahu Aira.
Zulaikha mengangguk perlahan.
“Dah dapat kerja ke?” soal Zulaikha macam berminat. Sambil itu, dia turut menyuapkan nasi ke dalam mulut.
“Belum dapat apa-apa kerja lagi kak.” balas Aira sayu. Takkanlah dia nak menceritakan apa yang berlaku pada orang yang baru dikenalinya hanya beberapa minit.
“Oh, kalau Aira berminat….tempat kerja Kak Ika nak pakai orang.” ramah Zulaikha memberitahu. Dia nampak teruja, begitu juga dengan Aira. Dalam diam dia mengucap syukur kerana ditemukan dengan Zulaikha.
“Tapi….kerja apa, Kak Ika. Jangan pula Kak Ika nak ajak Aira buat kerja tak senonoh. Aira tak nak.” kata Aira polos.
Maklum saja, kat Kuala Lumpur ni memang menawarkan banyak peluang kerja tapi kenalah pilih kerja yang sesuai. Yang penting kerja halal. Banyak juga dia mendengar cerita yang tak baik tentang anak-anak muda yang datang ke bandar. Mudah sangat terjebak dengan gejala sosial. Dia tak mahu menjadi salah seorang penyumbang ke arah itu.
Zulaikha tergelak kecil.
“Jangan risau. Kerja yang Kak Ika tawarkan ni bukannya kerja tak senonoh tapi kerja ni tak glamourlah ya . Kerja kat kedai bunga aje…kalau Aira berminat, nanti Kak Ika bagitahu bos Kak Ika. Kebetulan ada seorang pekerja dah berhenti sebab dapat tawaran kerja lain.” kata Zulaikha sambil memandang wajah Aira.
“Oh, Aira tak kesah, Kak Ika. Janji kerja halal. Tak glamour pun tak apa…” balas Aira membuatkan Zulaika mengukir senyum.
“Hmm…..lepas makan ni, Aira ikut Kak Ika ya….” kata Zulaikha.
“Terima kasih Kak Ika. Kalau Aira tak jumpa dengan Kak Ika, tak tahulah apa nasib Aira…” Aira mula sebak.
“Tak apalah, Aira. Dah rezeki Aira. Kak Ika pun datang dari kampung juga….Kak Ika tahu susah payah nak dapat kerja dan nak bina hidup kat bandar ni….silap percaturan, akan memakan diri.” kata Zulaikha.
“Dan lagi satu….” sekali lagi wajah Aira menjadi tatapan Zulaikha.
“Apa dia, Kak Ika?” Aira kembali resah.
“Macam mana dengan tempat tinggal Aira. Dah ada?” soal Zulaikha.
Aira tunduk. Perlahan-lahan dia mengeleng kepala.
“Okey, tak ada masalah. Aira boleh tinggal di rumah sewa Kak Ika. Tapi maaflah kalau Aira tak selesa….rumah sewa tu sempit sikit….akak menyewa dengan tiga orang kawan…” kata Zulaikha.
“Segan pula Aira. Aira dah banyak susahkan Kak Ika. Tak tahulah macam mana Aira nak balas budi akak…” Aira kembali rasa sebak.
“Tak ada hal…Insyaallah, apa yang boleh akak tolong akak, tolong. Akak ikhlas, dik.” kata Zulaikha yang mula suka dengan sikap rendah diri Aira. Sikap dan perwatakan Aira mengingatkan dia pada arwah adiknya yang meninggal dunia dua tahun yang lalu akibat kemalangan.
“Terima kasih, sekali lagi Kak Ika.” ucap Aira sambil mengukir senyum.
“Dahlah….makan cepat. Nanti akak bawa Aira jumpa bos akak. InsyaAllah…Aira akan dapat kerja. Akak pun dapat kawan. Sejak Wanie tu behenti kerja, akak tak ada kawan….sorang-sorang aje….bosan. Nanti bila Aira dah ada….akak tak bosan lagi.” kata Zulaikha membuatkan Aira tergelak kecil hingga menampakkan lesung pipit pada kedua belah pipinya.
“Manis senyuman Aira. Akak suka.” puji Zulaikha membuatkan Aira tunduk malu.
“Jom!!!” ajak Zulaikha sambil bangkit dari kerusi. Di ikuti oleh Aira sambil menjijing beg pakaiannya. Beg sandangnya di sangkut di belakang.
Mereka terus mengatur langkah keluar dari kedai makan itu. Menurut Zulaikha, kedai makan dengan tempat kerja tak jauh. Hanya jalan kaki sahaja.
Tanpa Aira sedar, langkahnya di ikuti oleh seseorang.  Tiba-tiba Aira bertempik, beg pakaian Aira di ragut membuatkan dia hampir rebah kalau tidak di bantu oleh Zulaikha.
“Hei, beg saya!” jerit Aira sambil berlari mengejar peragut itu. Hanya itu sahaja pakaian yang ada untuk dia pakai.
“Tolong….beg saya di ragut!” jerit Aira sambil mengejar peragut itu. Dalam kalut mengejar peragut, tanpa disengaja dia terlanggar seseorang.
“Woi!!!”
Jerit satu suara dan serentak itu juga lengannya di rentap kasar membuatkan langkah Aira terhenti.
“Hei, kau nak lari ke mana lepas kau rosakkan harta benda aku!” terkulat-kulat Aira memandang wajah lelaki yang sedang memarahinya.
“Mmm….maaf, saya tak sengaja Encik. Sebenarnya saya sedang mengejar peragut yang mengambil beg saya….” kata Aira.
“Ah….aku tak peduli. Itu cuma alasan kau aje….aku nak kau bayar gantirugi harga cermin mata aku ni. Mahal tahu tak! beribu ringgit….baru semalam aje aku beli….hari ni kau dah rosakkan….”
Lelaki itu sambil menunjukkan cermin mata hitamnya yang terjatuh akibat perlanggaran tadi.
Aira memandang sekilas cermin mata lelaki itu. Tak ada sebarang kerosakan pun. Kalau ada pun, mungkin tercalar sikit aje. Melampau betul lelaki itu. Benda macam tu pun nak berkira.
“Betul Encik. Saya tak sengaja…..saya betul-betul minta maaf.” ulang Aira meraih simpati. Air mata mula mengalir di pipinya.
Dahlah beg pakaiannya di ragut, sekarang ni dia kena marah pula. Bukan main garang lagi lelaki di hadapannya ini memarahinya macamlah dia buat kesalahan besar.
“Aira!”
 Zulaikha tiba-tiba muncul.
“Kak Ika….tolong jelaskan pada Encik ni yang Aira tak sengaja langgar dia hingga cermin matanya jatuh….Kak Ika pun tahukan kenapa Aira …”
Aira menangis teresak-esak.
“Eh, Encik Amar!” Zulaikha terus membuka mulut sebaik sahaja matanya memandang wajah lelaki yan telah memarahi Aira tadi.
“Kak Ika?”
 Mulut Amar ternganga seketika.
“Ya Encik Amar.  Betul pun apa yang Aira ni cakap. Memang dia sedang mengejar peragut yang meragut beg pakaiannya tadi. Kak Ika ada bersama masa begnya di ragut.” beritahu Zulaikha membuatkan Amar terdiam. Kemudian tajam matanya merenung wajah Aira yang tunduk memandang ke  bawah. Amat takut nak membalas renungan tajam Amar itu.
“Hmmm…baiklah. Saya maafkan…tapi lain kali tolong berhati-hati….” kata Amar dan terus berlalu pergi dengan lagak sombong dan egonya.
Aira dan Zulaikha mengeluh lega.
“Siapa tu, Kak Ika. Akak kenalke? sombongnya dia!” Aira memberanikan diri bertanya.
“Kenal sangat tu tak adalah….dia merupakan salah seorang regular custermor kat kedai bunga tempat akak kerja. Memang akak akui yang Encik Amar tu seorang yang sombong….” beritahu Zulaikha.
Aira mendengus perlahan. Dalam diam dia mengharapkan yang dia tak akan berjumpa lagi dengan lelaki itu.
“Akak…macam mana dengan beg Aira. Sekarang ni Aira tak apa pun nak pakai….dah sehelai sepinggang!” kata Aira dengan perasaan luruh.
“Er…dalam beg tu ada barang-barang berharga tak?” soal Zulaikha.
“Tak ada. Dalam tu hanya ada pakaian Aira aje. Duit dan sijil ada dalam beg sandang Aira. Nasib baik Aira tergerak hati nak letak sijil dalam beg sandang  walaupun berat nak pikul.” kata Aira.
“Takpelah…nanti kita fikirkan macam mana nanti. Akak rasa tak payahlah nak buat report polis sebab tak ada barang berharga dalam tu. Jomlah….kita pergi kat kedai akak kerja. Kat depan tu aje….” Zulaikha terus memegang lengan Aira.
Aira hanya akur. Wajahnya muram.
“Jangan risau….nanti Kak Ika tolong Aira selesaikan masalah Aira. Dan kita juga boleh minta tolong bos akak….dia baik orangnya.” pujuk Zulaikha agar Aira tidak terlalu memikirkan masalahnya. Kesian pula dia melihat Aira. Baru saja sampai dari kampung, terus di timpa musibah.
“Alhamdulillah….terima kasih Puan Ainon.” Aira mengukir senyum lega.
“Sama-sama, Aira. Tak payahlah panggil puan. Panggil aje Kak Ainon.” Puan Ainon mengukir senyum.
“Terima kasih, Kak Ainon.” ucap Aira penuh kesyukuran.
“Hmm….tadi Ika dah ceritakan pada Kak Ainon kejadian yang menimpa Aira termasuk pertemuan Aira dengan Encik Amar…..macam ni, buat sementara waktu ni…Aira tinggallah bersama dengan Ika. Bila dah okey nanti…kalau Aira nak cari rumah sewa….Aira carilah tapi kalau Aira dah selesa tinggal bersama Ika, terpulang pada Aira. Kak Ainon pun rasa lega sekarang sebab Ika dah ada pembantu dan kawan. Kesian Kak Ainon tengok dia tak cukup tangan nak layan pelanggan dan menerima tempahan. Kak Ainon ni tak boleh ada selalu kat sini, Kak Ainon kena jaga kedai yang satu lagi. Kedai tu baru aje beroperasi dan memerlukan perhatian yang lebih. Kat sini, Kak Ainon boleh harapkan Ika, dia dah lama kerja kat kedai ni. Kalau Aira ada apa-apa masalah….jangan segan bagitahu Kak Ainon dan Kak Ika ya. Anggaplah kami berdua ni macam saudara Aira ya!” kata Puan Ainon sambil mengusap lembut bahu Aira.
“Terima kasih, Kak Ainon. Terima kasih juga sebab bagi Aira peluang untuk kerja kat sini…InsyaAllah, Aira akan cuba yang terbaik.” kata Aira.
Puan Ainon mengangguk perlahan. Bibirnya tetap mengukir senyuman.
“Oh ya…ini ada sedikit duit untuk Aira beli baju nanti.”
Puan Ainon menghulurkan duit RM200 kepada Aira.
“Kak Ainon, Aira ni belum pun start kerja..Kak Ainon dah bagi duit.” Aira benar-benar terkejut.
Puan Ainon tergelak kecil.
“Ini  bukan duit gaji. Anggap aje ini sebagai hadiah dari Kak Ainon. Kak Ainon dah anggap Aira ni macam adik akak sendiri.” kata Puan Ainon.
Aira mengetap bibir. Serta merta matanya berkaca dengan kebaikan yang diberikan oleh Puan Ainon. Terus tubuh Puan Ainon di peluk erat.
“Terima kasih, Kak Ainon.” ucap Aira sambil menyapu air matanya sambil  diperhati oleh Zulaikha.
“Kedai ni tutup pukul 6.00 petang dan di buka jam 10.00 pagi.” beritahu Puan Ainon. Aira hanya mengangguk perlahan.
“Ika, lepas tutup kedai ni…Ika tolong temankan Aira pergi beli baju ya. Beli dulu mana yang patut. Kalau tak cukup, cakap aje dengan Kak Ainon. Nanti Kak Ainon tambah lagi.” pesan Puan Ainon.
“Baik, Kak Ainon.” Zulaikha mengangguk kepala.
“Hmmm….akak kena keluar sekarang. Nanti kalau ada apa-apa hal yang penting….Ika call aje akak.” pesan Puan Ainon.
“Baik, Kak Ainon.”
“Dan Aira, nanti belajar-belajarlah dengan Ika ya cara nak kenal nama bunga, nak mengubah dan mengurus kedai ni. Akak harapkan kamu berdua untuk jaga kedai akak ni.” kata Puan Ainon sambil mencapai beg tangannya. Di sangkut pada bahunya.
“Kak Ainon jangan risau. Semuanya Ika akan uruskan….” balas Zulaikha.
“Akak pergi dulu!” kata Puan Ainon dan terus keluar dari kedai itu.


Tuesday, 24 November 2015

Hanya dia, cinta hatiku! 14




ZAHIM terus keluar dari kereta Audi TT miliknya. Sempat matanya melihat kereta lain yang ada di garaj itu. Nampaknya BMW 7 series milik papanya belum nampak bayang. Ini bermakna yang papanya masih belum pulang. Zahim melangkah masuk ke dalam banglo mewah itu sambil menjinjing briefcasenya. Suasana sunyi di ruang rehat ketika itu membuatkan kakinya terus menghayun ke sofa. Tubuhnya segera di labuhkan ke sofa. Briefcase yang ada di tangannya di letakkan di atas sofa sebelah. Kakinya di lunjur ke hadapan. Membetulkan urat sendi yang terasa kejang dan lenguh. Tangannya pula  melonggar tali leher yang melilit tengkuknya.
“Im, dah balik ya. Maafkan Mak Leha sebab tak perasan yang Im dah balik. Mak Leha sibuk masak kat dapur untuk makan malam nanti,”
Zahim yang hampir terlelap segera membuka mata sebaik sahaja mendengar suara Mak Leha selaku pembantu rumah yang telah berkhidmat hampir 20 tahun dengan keluarga Tan Sri Mokhtar.
“Tak apa, Mak Leha.” Zahim segera membetulkan kedudukannya sambil mengukir senyum.
“Im nak Mak Leha buatkan minumanke?” soal Mak Leha sambil merenung wajah Zahim. Dia tahu anak muda itu kepenatan kerana seharian sibuk bekerja.
“Boleh juga. Hmm…mama mana?...selalunya petang-petang begini asyik sibuk manjakan anak angkatnya tu…” kata Zahim teringatkan aktiviti mamanya di taman orkid di halaman banglo mewah itu.
“Puan Sri keluar jumpa kawannya. Im rindukan mama Im ya…” kata Mak Leha sambil mengukir senyum.
“Bukan hanya rindukan mama aje, tapi Mak Leha sekali tau…..Kalau Im tak rindukan mama dan Mak Leha, Im nak rindukan siapa lagi….sehari tak pandang muka mama dan Mak Leha, rasa tak lengkap hidup Im tau!” balas Zahim sekadar mengusik pembantu rumah yang di anggap seperti ibunya sendiri. Malah kadang-kadang dia lebih selesa berbual santai dengan Mak Leha dari mamanya.
Mak Leha tergelak kecil. Terselit rasa bangga dan gembira mendengar kata-kata itu. Dia pun sudah anggap anak-anak majikannya seperti anaknya sendiri. Semetelah dia sendiri tak pernah punya zuriat. Itu sebabnya dia di ceraikan oleh suaminya dulu setelah mendirikan rumahtangga selama tiga tahun. Akibat kecewa dan takut tak mampu nak punya zuriat sendiri, dia memilih untuk terus hidup sendiri.
“Kan lebih elok kalau ada seseorang yang lebih istimewa dalam hati Im selain dari Puan Sri dan Mak Leha…” usik Mak Leha.
“Maksud Mak Leha?” sengaja Zahim pura-pura tak faham maksud kata-kata itu.
Mak Leha ketawa mendengar soalan yang di utarakan oleh Zahim. Dia tahu yang Zahim sengaja buat-buat tak faham. Setiap tindak tanduk Zahim itu sangat di fahami kerana anak muda itu telah membesar di hadapan matanya.
“Alah….kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu ya!” usik Mak Leha yang masih lagi tergelak.
 Zahim turut ketawa.
“Im belum jumpa perempuan yang sesuai untuk di jadikan isteri. Tapi…” tiba-tiba mulut Zahim mengorak senyum. Entah kenapa saat ini wajah seseorang mula terbayang di ruang matanya.
“Tapi apa?” berkerut dahi Mak Leha menanti kata-kata Zahim yang seterusnya.
“Erm…tapi, sejak kebelakangan ni…hati Im mula terpikat dekat seseorang tapi Im tak tahu macam mana nak bagitahu dia tentang perasaan Im. Gadis tu pun macam mengelak aje bila Im nak dekat.” kata Zahim dengan wajah sendu. Penolakan Syah membuatkan dia hampa. Bukan sekali dua tapi dah banyak kali.
“Im kena tunjukkan keikhlasan Im terhadapnya….keikhlasan dalam sesuatu hubungan itu bukan terletak pada paras rupa, pada harta, pada pangkat dan darjat…tapi pada hati,” nasihat Mak Leha.
Zahim mengukir senyum. Dia turut bersetuju dengan penyataan itu.
“Bagi tahu Mak Leha, siapa gadis tu….” kata Mak Leha dengan muka serius.
“Mak Leha nak buat apa?” dahi Zahim berkerut.
Tiba-tiba Mak Leha mengukir senyum.
“Mak Leha nak bagi tahu dia dan nak pujuk dia supaya terima Im. Mak Leha kenal Im sejak Im kecil….Mak Leha juga kenal hati budi Im…rugi betul gadis tu kalau dia menolak lelaki sebaik dan setampan Im ni…kalau Mak Leha ni masih lagi muda….dah lama Mak Leha pikat Im untuk jadi pasangan hidup Mak Leha,”
Mak Leha ketawa kecil membuatkan Zahim turut ketawa.
“Nantilah….satu hari nanti, Im akan kenalkan dia dengan Mak Leha. Im harap sangat dia dapat terima Im seadanya…dan Im juga harap mama dan papa akan restui pilihan Im.” kata Zahim sambil mengeluh perlahan.
“InsyaAllah…Mak Leha selalu doakan yang terbaik untuk Im. Dah berborak kat sini…lupa pula Mak Leha nak buatkan air untuk Im…Mak Leha ke dapur dulu la ya!” kata Mak Leha mengingatkan tugasnya.
“Tak payahlah Mak Leha. Im nak naik atas dulu, nak mandi…lagi pun, Im  belum solat Asar lagi…lepas mandi dan solat, Im turun semula ya.” kata Zahim.
“Baiklah…Mak Leha ke dapur nak siapkan makan petang untuk Im…” kata Mak Leha dan terus berlalu. Zahim juga turut bangun. Briefcase di capai dan dia terus melangkah meninggalkan ruang rehat untuk ke biliknya di tingkat tiga.



ZAHIM santai di ruang rehat selesai makan malam. Televisyen yang di pasang di ruangan itu tidak berjaya menarik perhatiannya kerana mata dan mindanya di fokuskan untuk smartphone yang ada di tangannya. Bukan apa, sibuk melayan kawan-kawan ber whats app dan juga melayan facebook. Sekadar hendak tahu perkembangan kawan-kawan. Kalau nak berjumpa empat mata agak sukar kerana kawan-kawan lamanya tinggal di merata tempat, ada juga yang terima tawaran kerja di luar negara.
“Amboi, Im…khusyuk betul mama tengok Im berbalas mesej di telefon. Dengan Dania ke?” Puan Sri Yasmin tiba-tiba menegur membuatkan Zahim tersentak.
Wajah Puan Sri Yasmin yang baru muncul bersama Tan Sri Mokhtar di ruang rehat di pandang oleh Zahim.
“Mama, boleh tak kalau mama tak sebut atau babitkan nama perempuan tu dengan Im!” Zahim memandang wajah mamanya sambil menyembunyikan rasa hati. Memang dia tak senang bila dirinya dikaitkan dengan perempuan itu. Tak ada chemistry langsung. Allegik betul dia dengan nama tu.
Puan Sri Yasmin memandang wajah suaminya sebelum memandang wajah Zahim. Sedangkan pada hakikatnya dia sedang menyembunyikan senyum. Seronok sangat dapat melihat wajah resah anaknya. Bukan dia tak tahu yang Zahim memang tak sukakan Dania tapi kalau dia tak babitkan nama Dania, pasti Zahim akan terus melupakan hasrat yang sudah lama dia dan suaminya inginkan iaitu mahu melihat anaknya hidup bahagia dan berumahtangga.
“Kenapa? Bukankah Im dan Dania baru saja jumpa semalam. Mama ingatkan hubungan korang berdua dah okey,” kata Puan Sri Yasmin sambil merenung wajah Zahim.
“Im  ada perkara yang nak ditanyakan pada mama dan papa ni…”
Zahim berjeda. Tajam matanya memandang wajah kedua orangtuanya.
“Apa dia, sayang?” tanya Puan Sri Yasmin.
“Betulke mama dan papa serius nak jodohkan Im dengan Dania?” tanya Zahim sambil merenung wajah orangtuanya menanti reaksi.
Puan Sri Yasmin berkalih, wajah suaminya di pandang dengan harapan suaminya akan memberi jawapan pada persoalan yang ditimbulkan oleh anak mereka. Puan Sri Yasmin hampa bila suaminya mengambil tindakan  mendiamkan diri. Nampaknya dia yang perlu bersuara.
“Kalau mama dan papa serius mahu menjodohkan Im dengan Dania, Im akan terima?”soalan di balas dengan soalan.
Zahim mendengus perlahan.
“Kalau Im menolak, …”
 Zahim cuba main tarik tali. Nak tahu juga sejauh mana penerimaan orangtuanya.
“Atas alasan apa Im cuba menolak cadangan itu?” tiba-tiba Tan Sri Mokhtar bersuara membuatkan Zahim menelan liur. Pada hakikatnya, hati Zahim di landa resah. Takut sekiranya penolakannya itu menimbulkan kemarahan orangtuanya.
“Sebab Im tak pernah sukakan Dania. Apa lagi untuk mencintainya. She`s not my taste. Im minta maaf kalau penolakan ini menimbulkan kemarahan mama dan papa. Bukan niat Im nak mengecewakan hasrat mama dan papa …tapi….”
Zahim buntu untuk memberi alasan yang sewajarnya.
“Im menolak Dania sebab Im dah ada pilihan sendiri, begitu?” tiba-tiba terpancul soalan itu dari mulut Puan Sri Yasmin membuatkan Zahim terngadah. Tak semena-mena dia menggaru kepala yang tidak gatal.
“Kalau Im dah ada pilihan sendiri, kenalkanlah dengan kami. Kami pun nak kenal gadis macam manakah yang jadi pilihan Im. Yang dapat mencuri hati anak kami…” kata Puan Sri Yasmin seakan mencabar Zahim.
Zahim mula resah. Apakah jawapan yang sepatutnya dia berikan? menolak cadangan orangtuanya bererti dia sudah ada pilihan sendiri tapi dia mana ada kekasih hati. Di mana dia cari perempuan untuk di bawa bertemu orangtuanya. Gawat….gawat.
Sekali lagi Puan Sri Yasmin dan Tan Sri Mokhtar saling berpandangan.
“Im…Im dengar tak apa yang mama cakap ni?” soal Puan Sri Yasmin sambil merenung wajah resah Zahim. Lagaknya macam kucing kehilangan anak. Puan Sri Yasmin menahan senyum. Dia bukannya tak tahu apa yang sedang berlaku pada anaknya tapi dia sengaja memprovoke anaknya.
“D…dengar. Im dengar mama.” tergagap-gapap Zahim bersuara.
“Habis tu…bila Im  nak kenalkan gadis yang berjaya mencuri hati Im tu dekat kami,” gesa Puan Sri Yasmin dengan wajah serius.
“Er…”
Zahim menggaru-garu kepalanya lagi.
“Dania bagi tahu mama yang Im nak kenalkan kekasih Im pada dia minggu depan. Betulke?” Puan Sri Yasmin terus  gasak bertanya sambil memandang wajah Zahim.
“Hah!...Dania bagi tahu mama pasal tu?” ternganga mulut Zahim sewaktu  dikhabarkan hal itu.
“Ya, katanya Im menolak cinta dia sebab Im dah ada pilihan. Dan Im dah janji nak kenalkan gadis itu dengan Nia minggu depan,” kata Puan Sri Yasmin.
“Erm…Ar…”
Sungguh, Zahim benar-benar perlukan bantuan untuk melepaskan diri dari terus di asak oleh mamanya.
“Apa kata Im bawa gadis tu datang ke rumah kita. Mama dan papa teringin juga nak kenal dan jumpa dengan gadis pilihan Im tu. Kalau dia memenuhi ciri-ciri menantu pilihan kami, kami akan terima.” kata Puan Sri Yasmin sambil mengukir senyum.
Bulat mata Zahim memandang wajah mamanya. Terasa liur di kerongkong begitu sukar untuk di telan. Memang dia menempa musibah. Apa yang patut dia lakukan. Hanya satu saja nama yang ada di fikirannya. Nama itu di harapkan dapat membantunya menyelesaikan masalah ini.