karya

karya

Friday, 24 January 2014

Di Penghujung Rindu 24





K
EDATANGAN Sarah bersama Tuty dan orangtuanya dengan menaiki Nissan Murano itu di sambut mesra oleh Pn. Kamariah dan En. Hassan atau lebih dikenali dengan  panggilan Mak Uda dan Pak Uda. Riuh  suara Mak Uda  menyuruh mereka masuk ke dalam rumahnya sebaik sahaja mereka sampai di halaman rumah  batu bercampur kayu. Mak Tuty iaitu Hjh Aminah mendahului  Sarah dan Tuty masuk ke dalam rumah. Tak sabar rasanya nak berjumpa dengan sanak saudara di kampung. Sarah juga tak sabar untuk bersama mereka meraikan majlis perkahwinan sepupu Tuty yang akan berlangsung esok.
Pada awalnya Sarah menolak pelawaan Tuty untuk pulang ke kampung keluarga Tuty di Pahang kerana dia baru saja balik dari Singapura. Tapi setelah didesak oleh Tuty dan bila mengenangkan persahabatan mereka, dia akur untuk menyertai majlis perkahwinan Mazni. Sepupu Tuty iaitu anak sulung Mak Uda dan pak Uda. Menurut Tuty dia akan rasa kebosanan sepanjang perjalanan nanti kerana dia dan orangtuanya  sahaja yang pulang ke Jerantut. Kakak sulungnya yang bekerja di Sarawak tak dapat menyertainya kerana suaminya bertugas sebagai tentera di sana tidak dapat cuti. Dua orang adik lelakinya belajar di luar negara dan yang bongsu masih menuntut di MRSM.
Sarah dan Tuty melangkah kaki ke ruang dapur. Bukan main riuh lagi suara sanak saudara yang datang membantu. Sarah tersenyum melihat gelagat mereka. Satu fenomena yang tak pernah dilihatnya. Lagi pun kat kampung sekarang ni semuanya lebih berminat untuk mengupah catering, dah jadi macam golongan di bandar kerana mereka menganggap cara itu  lebih senang dan tidak memenatkan. Hanya sediakan kewangan yang secukupnya berdasarkan kemampuan masing-masing. Sarah turut membantu mereka dengan mengupas bawang dan memotong daging. Satu pengalaman yang menyeronokkan. Berbual sambil bergelak ketawa bersama saudara mara Tuty. Tidak lupa juga riuh dengan suara tangisan kanak-kanak. Bagi kaum lelaki pula, kerja mereka adalah memasang khemah dan menyediakan kelengkapan yang sepatutnya. Menurut Mak Uda, untuk kenduri esok dia dan suaminya menumbangkan seekor lembu dan beberapa puluh ekor ayam. Jelas terpancar kegembiraan pada wajah Mak Uda  selaku tuan rumah.
Sarah mengikut ke mana sahaja Tuty berada, baru sebentar tadi dia diperkenalkan dengan beberapa orang saudara Tuty dan juga teman-temannya yang rata-ratanya hampir sebaya dengan mereka. Mereka menyambut baik kedatangan Sarah membuatkan Sarah tak kekok bila bersama mereka.
“ Tie, ajaklah kawan tu masuk bilik. Jumpa dengan Mazni dan sepupu Tie yang lain kat dalam tu…dia orang tu sedang menyediakan cenderahati untuk tetamu besok,” kata Mak Uda .
Mazni benar-benar terkejut menerima kunjungan Tuty, mereka berpelukan. Tuty juga turut bersalaman dan berpelukan dengan sepupunya yang lain. Sarah hanya tersenyum sebelum dirinya diperkenalkan oleh Tuty.
“ Sejak bila kak Tie kawan dengan anak mat saleh ni…lawa betul kawan kak Tie!”  kata Mazni selepas dia diperkenalkan dengan Sarah. Mazni juga terkejut bila mendapati Sarah begitu fasih berbahasa melayu.
“ Kak Sarah dilahirkan dan dibesarkan di sini…..tahniah ya, moga Mazni bahagia dan kekal berpanjangan.” Sarah bersuara.
“ Terima kasih, kak Sarah!” balas Mazni sambil tersenyum.
“ Maz, Maz kena minta dengan Fazli tu cincin sebentuk sebab Maz dah langkah bendul. Maz dah kawin dulu dari kak Tie,” kata Tuty sambil membelek cenderahati yang disediakan.
“ Bukan hanya Tuty aje…kak Ida pun nak satu…” sampuk Narida, sepupu Mazni dan Tuty yang tua setahun dari Tuty. Mazni sudah tersenyum malu.
“ Dah jodoh Maz, nak buat macam mana. Lebih baik kawin sekarang sementara ada orang yang nak kat kita. Nanti tak pasal-pasal abang Fazli di kebas orang,” balas Mazni yang akan tamat pengajiannya tahun depan. Menurut Mazni, bakal suaminya sanggup menanggung perbelanjaan pengajiannya di samping  adanya pinjaman PTPTN kerana Fazli sudah pun bekerja.
“ Kau Tuty… lepas ni terus minta si Jeff tu masuk meminang, nanti melepas. Meloponglah kau nanti. Jeff tu dahlah handsome, ramai peminat tau!” usik Sarah membuatkan Tuty memuncung mulut. Dia juga tahu yang Jeffri tu ramai peminat yang terdiri dari jururawat dan pesakit. Tapi Tuty pasti yang kekasihnya itu hanya mencintainya seorang.



MALAM itu Sarah dan Tuty membantu Mazni menyediakan apa yang patut. Sarah cukup gembira kerana berpeluang menyertainya. Majlis perkahwinannya dengan Hafiz sebelum ini hanya di buat secara ringkas. Semua persediaan dan kelengkapan diserahkan kepada perunding majlis. Jadi, dia tidak berpeluang merasai suasana seperti ini. Sarah juga hanya sekadar mengukir senyum bila sesekali dia diusik oleh saudara Tuty yang mahu menjadikan dia sebagai menantu sekiranya dia masih belum berpunya.
“ Maaflah, mak Tun…kawan Tuty, Sarah ni dah berpunya.” balas Tuty.
“ O….sayangnya….melepaslah mak Tun nak dapat menantu orang putih.” Mak Tun pula menjawab menyebabkan mereka yang lain ketawa.
Sarah juga sedar ada beberapa orang saudara lelaki Tuty asyik tersenyum memandangnya. Sarah hanya membalas dengan senyuman juga. Tak mengapa, senyum itu kan satu sedekah. Antara saudara lelaki Tuty yang ada di situ, paling ketara sekali adalah abang Kamal. Selalu saja mencuri pandang ke arah Sarah tapi tak pernah datang ke arah Sarah. Hanya sekadar memandang dari jauh, mungkin segan untuk mendekati Sarah.  Dia yang bekerja sebagai juruterbang TUDM itu nampak agak pendiam berbanding saudara mara Tuty yang lain. Tapi ada kalanya dia nampak peramah ketika melayan ayah Tuty berbual.
“ Sarah, abang Hafiz tahu tak kau datang sini?” tanya Tuty ketika mereka berdua berada di atas kerusi di anjung rumah.
“ Aku dah beritahu mama yang aku ikut kau datang sini … masa tu abang Hafiz ada sama. Aku rasa dia dengar. Kau pun sedia maklumkan yang aku dan dia tak pernah berkomunikasi dengan baik sejak dari dulu….kekadang aku tak faham dengan sikap dia. Prejudis sangat dengan aku…!”
Sarah mengeluh panjang. Sungguh, ada masanya dia terasa hati dengan sikap Hafiz yang menganggap dia mahu merampas hak milik lelaki itu sedangkan dia sedikit pun tidak terniat sebegitu. Sejak kebelakangan ini sikap Hafiz mula berubah sedikit iaitu lebih bersikap mesra, tapi Sarah tak tahu sikapnya itu akan bertahan berapa lama. Mungkin dia akan kembali kepada perangai asal. Suka marah dan menengkingnya.
Tuty melirik ke arah Sarah. Timbul rasa simpatinya pada Sarah. Selama dia kenal Sarah, tak ada perkara yang tidak disenanginya. Sarah lebih bersikap terbuka dan selalu merendah diri. Tak pernah sekali pun dia membangga diri lantaran mempunyai rupa paras yang menawan. Kalau  ada mana-mana lelaki yang ingin mendekatinya, dia terlebih dahulu menyatakan mereka hanya akan kekal sebagai kawan kerana dia takut untuk terus menjalinkan hubungan yang serius.
  Bila mereka tahu siapa diri aku….mereka pasti akan ketawa dan mengejek aku…kalau mereka ikhlas nak kawan dengan aku….aku akan terima tapi setakat itu saja,” itulah kata-kata yang sering meniti di bibir Sarah sejak mereka saling kenal antara satu sama lain. Sarah dan Tuty mula kenal dan rapat semasa mereka sama-sama belajar di MRSM dulu.
Sarah menongkat dagu sambil mendongak ke langit. Dia tersenyum melihat bintang –bintang yang bersinar indah di dada langit. Tuty juga mendongak sama.
“ Sarah, aku rasa abang Kamal tu sukakan kau…apa pendapat kau tentang dia!” Tuty bersuara. Dia merenung wajah Sarah, menunggu reaksi dan jawapan dari Sarah. Bukan dia sengaja nak merosakkan hubungan Sarah dan Hafiz, itu hanyalah sekadar kata-kata  untuk berbual kosong sahaja. Pasti abang Kamal kecewa kalau dapat tahu yang Sarah sudah pun berkahwin.
“ Apalah kau ni, Tie….asyik nak kenengkan aku dengan saudara mara kau aje. Aku ni kan dah kawin, dah jadi isteri orang. Takkanlah aku nak bersikap curang pulak pada abang Hafiz walaupun dia tak kesah pun tapi aku tetap hormatkan ikatan perkahwinan kami selagi ikatan itu tidak diputuskan….”
“ Hmm…tapi secara ikhlasnya…aku pun suka tengok muka dia….nampak matang dan  macho!” sambung Sarah sambil tersenyum.
“ Jadi….kau juga tak nafikan yang kau pun sukakan dia?” usik Tuty.
“ Kalau suka  pun…tak boleh nak buat apa….lelaki tak boleh bermadu!” tergelak sakan Tuty mendengar kata-kata Sarah.
“ Kau nak tahu satu rahsia?” berkerut dahi Sarah mendengar suara Tuty itu. Nampak serius aje suaranya.
“ Rahsia? rahsia apa?” tanya Sarah.
“ Sejak aku remaja lagi….aku memang admirer kat abang Kamal tu. Aku suka tengok wajah dan perwatakan dia….dulu dia kacak….tapi sekarang ni sejak dia jadi juruterbang, dah tambah-tambah kacak!” beritahu Tuty tentang rahsia yang disimpannya sejak dulu. Sarah menekup mulut yang sudah ternganga.
Memang Sarah akui kenyataan itu. Abang Kamal seorang lelaki yang kacak dan berkarisma. Paling dia suka tentang lelaki itu bila melihat senyumannya yang nampak malu-malu itu. Menarik.
“ Jaga lah kau…balik KL nanti aku bagi tahu kat Jeff yang kau ada hati kat sepupu kau,” kata Sarah sengaja mahu mengusik Tuty. Akibatnya dia mengaduh kesakitan bila lengannya di cubit oleh Tuty.
Buat seketika mereka masing-masing diam. Mungkin sedang melayan perasaan. Di dalam rumah masih lagi kedengaran riuh saudara mara yang asyik berbual.
“ Sarah, boleh aku tanya kau satu perkara?”
Sarah merenung wajah Tuty sambil mengangkat kening. Tuty menayang sengih. Adalah tu soalan yang akan menguji mindanya. Bukannya dia tak tahu perangai Tuty.
“ Apa sebenarnya perasaan kau pada abang Hafiz? maksud aku….selama korang kawin….ada tak rasa sayang atau cinta kau pada dia?”
Sarah mendengus perlahan mendengar soalan Tuty itu. Tuty  menunggu jawapan dari Sarah dengan sabar. Sudah lama dia ingin bertanya hal ini. Sudah hampir 5 bulan mereka berkahwin, tak kanlah tak ada apa-apa perasaan antara mereka berdua. Apakah kesudahannya ikatan perkahwinan mereka yang berlangsung tanpa rasa cinta? Dan yang  lebih tragis lagi bila dia turut terlibat sama dengan menjadi saksi perjanjian antara mereka.
“ Kau benar-benar nak tahu perasaan aku sebenarnya terhadap abang Hafiz?” Sarah bertanya dan cepat-cepat Tuty mengangguk kepala.
Sarah bangun dan berjalan ke arah anak tangga. Matanya memandang beberapa orang lelaki yang sedang sibuk menyusun kerusi meja untuk majlis esok. Dia berpaling dan menyandar tubuhnya di pagar  simen rumah itu.
“ Untuk pengetahuan kau….aku terpaksa fikir dulu beberapa hari sebelum memberi jawapannya pada kau!” kata Sarah sambil mengukir senyum membuatkan Tuty segera mencebik. Geram kerana dipermainkan oleh Sarah. Walaupun hubungan mereka rapat, tapi ada beberapa perkara yang berkaitan dengan Sarah tidak dia ketahui, gadis itu perahsia juga orangnya. Selagi dia boleh simpan, dia akan terus menyimpannya sendiri.
“ Kalau macam tu…aku masuk dulu. Buat penat aje  aku tanya kalau tak dapat jawapan,” Tuty mula mengangkat punggung. Pura-pura merajuk dengan harapan Sarah akan segera memberi jawapan pada soalannya tadi.
“ Ok….tak payahlah nak buat muka monyok macam tu….aku tahu, kau hanya pura-pura merajuk aje tu!”  Sarah mengangkat kedua-dua tangannya tanda mengalah.
Tuty sudah mengukir senyum kerana taktik lamanya berjaya memujuk Sarah untuk membuka rahsia hatinya. Dia merenung wajah Sarah yang masih lagi bersandar pada pagar simen.
` Hisy…lambatnya nak tunggu jawapan, dah banyak kali aku telan air liur ni!` rungut Tuty yang tak sabar mendengar kata-kata yang akan keluar dari mulut Sarah.
“ Baiklah, aku akan bagi jawapan supaya lain kali kau tak akan bertanya lagi,”  sekali lagi Tuty mencebik.
“ Erm…setelah di hitung, di kira dengan darab, campur, tolak dan bahagi semua… aku akui yang sebelum kami dikahwinkan, aku memang sayangkan abang Hafiz seperti sayang aku pada abang Hakim, sayang sebagai saudara. Tapi bila aku kahwin dengan abang Hafiz, aku jadi keliru… tapi dah kau tanya aku kan….terpaksalah aku jawab, nanti kau kecik hati pulak kan!”
“ Sarah!....kau sengaja nak kenakan aku kan,” jerit Tuty sedikit nyaring membuatkan beberapa orang yang berada di halaman rumah memandang ke arah mereka.
Sorry!” mohon  Tuty sambil mencantumkan kedua-dua tangannya tanda memohon maaf.
“ Ok…aku serius sekarang. Aku rasa perasaan sayang dan cinta aku pada dia cuma 20% kot!” akhirnya Sarah menjawab persoalan Tuty.
What?...cuma 20% aje. Biar betul! apasal sikit sangat…” Tuty melahirkan rasa terkilan.
“ Kau dah kira betul-betul ke?...takkanlah main congak aje. Kau salah kira ni…nak pinjam kalkulator tak?” Tuty agak kelam-kabut. Sempat lagi dia buat lawak antarabangsa.
“ Tak payah guna kalkulator… kalau kira dengan benda tu pun…sama aje jawapannya,” Sarah tetap mengekalkan jawapannya.
“ Aku masih tak percaya… selama 5 bulan kau kawin dengan dia, takkanlah cuma 20% aje sayang kau pada dia, mana hilangnya 80% lagi?... kau dah bagi kat si Zack tu ke?”
“ Tak ada maknanya aku nak bagi kat lelaki berhidung belang tu!” giliran Sarah pula mencebik.
“ Katakanlah…satu hari nanti peratusan tu berubah…maksud aku… abang Hafiz tu jatuh cinta kat kau….kau akan balas cinta dia?”
Sarah mengeluh perlahan.
“ Entahlah…biarlah masa dan keadaan yang menentukan…semua itukan ketentuan dari Allah!”
“ Er….kau pernah tak rindukan dia?” soal Tuty.
“ Entah….tak pernah kot!” Sarah mengangkat bahu.
Tuty tersenyum. Boleh percayake?
“ Mungkin kau tak rasa sekarang,…may be….one day, you will find your true love, with him…aku yakin, kau akan tetap bersama abang Hafiz hingga penghujungnya dan kau pasti akan merindui dia setiap saat.” kata Tuty dengan penuh yakin.
“ Merepek aje!” Sarah tak mahu ambil kesah hal itu. Tapi pandangan Tuty tu membuatkan hatinya jadi tak tenteram. Betulkah kata-kata Tuty akan jadi kenyataan?



TUTY dan Sarah turut  berada di bilik Mazni untuk melihat mak andam menyiapkan solekan Mazni. Mazni hanya tersenyum simpul apabila asyik di usik oleh teman-temannya. Mak andam yang lebih di kenali dengan panggilan kak Iffah pula asyik merungut kerana mereka yang berada di bilik itu telah mengganggu konsentrasi kerjanya. Mulutnya sudah terkumat-kumit marahkan teman-teman Mazni. Sarah dan Tuty hanya sekadar jadi pemerhati. Malas nak campur tangan nanti tak pasal-pasal kena fire dengan kak Iffah tu.
Kak Iffah kemudiannya meminta mereka yang berada di dalam bilik itu keluar. Dia tak mahu sesiapa pun mengganggu Mazni  pada saat ini. Mungkin ada beberapa petua yang ingin diberitahu oleh kak Iffah pada Mazni.
Sarah dan Tuty melabuhkan punggung di satu sudut, duduk bersimpuh bersama beberapa kenalan Tuty yang terdiri dari kawan Mazni dan saudara maranya. Bukan main rancak lagi Tuty bersembang dengan mereka, maklum saja peluang berkumpul seperti ini jarang berlaku kecuali ada majlis keraian atau pun dalam situasi kematian. Sarah hanya sekadar menjadi pendengar dan pemerhati, sesekali saja dia menyampuk itu pun kalau ada yang bertanyakannya.
“ Kak Sarah!” Asri, adik bongsu Mazni yang berusia 12 tahun tiba-tiba muncul dan menghampiri Sarah.
“ Asri, ada apa?” tanya Sarah kehairanan kerana Asri datang menghampirinya. Tuty yang berada di sebelah Sarah mula berkerut dahi.
“ Ada orang nak jumpa dengan kak Sarah kat bawah!” beritahu Asri sambil tersenyum meleret membuatkan Sarah dan Tuty saling berpandangan.
“ Ada orang nak jumpa kak Sarah?....siapa?...Asri kenalke?” tanya Sarah.
Asri hanya mengeleng kepala.
` Siapa agaknya?...hisy…buat suspen aje!`
“ Lelaki….kacak orangnya. Dia datang dengan kereta sport,” beritahu Asri sambil tersengih. Beberapa saudara Tuty yang berada di situ memandang ke arah Sarah, mereka turut mendengar apa yang dikatakan oleh Asri.
Lelaki?
Sarah segera mencapai tangan Tuty dan menariknya untuk bangun dari situ. Dia mahu Tuty menemaninya bertemu dengan lelaki yang dikatakan oleh Asri tadi. Langkahnya terus di atur ke arah pintu dengan dada yang berdegup kencang.
`Takkanlah abang Kamal yang nak jumpa dengan aku? kalau lelaki itu, pasti Asri kenal. Agaknya siapa ya!`
Langkah Sarah terus kaku sebaik sahaja kakinya memijak beranda. Dari situ dia sudah dapat melihat siapakah lelaki yang dimaksudkan oleh Asri. Ya, dia kenal lelaki itu. Cukup kenal. Tapi kenapa dia mesti muncul di sini. Sarah menoleh ke arah Tuty yang turut kaku berdiri di sebelahnya dengan mulut ternganga. Mungkin Tuty juga tak percaya yang mereka akan bersemuka dengan lelaki itu. Hmm….betul kata Asri. Lelaki itu memang kacak orangnya. Sarah tak nafikan tambahan pula melihat penampilannya. Lelaki itu nampak segak mengenakan kemeja lengan panjang berwarna biru lembut dan seluar khaki. Memang bergaya. Pasti sesiapa yang melihat akan terpikat. Lelaki itu agak rancak berbicara bersama Pak Uda di sisi keretanya. Dia yang merasakan dirinya sedang diperhatikan segera memandang ke hadapan. Saat itu juga pandangan matanya beradu dengan Sarah. Sarah terkedu dan segera menelan air liurnya perlahan apatah lagi melihat senyuman yang terukir di bibir lelaki itu.
“ Macam mana dia boleh sampai sini? kau beritahu dia ya?” bisik Sarah perlahan.
Tuty mula rasa tak selesa, dia menayangkan senyuman manis ala-ala buat iklan ubat gigi. Temannya itu segera mengaku bahawa malam tadi lelaki itu ada menghubunginya bertanyakan pasal Sarah. Adakah betul Sarah kini berada bersamanya di Pahang untuk menghadiri majlis perkahwinan. Dia turut menyatakan alamat Pak Uda bila lelaki itu bertegas untuk mengetahuinya. Tuty ada mengusulkan supaya lelaki itu bercakap dengan Sarah tapi lelaki itu cepat-cepat menolak dan dia tak mahu Sarah tahu mengenai panggilannya itu.
“ Maafkan aku, Sarah. Aku tak sangka yang tiba-tiba dia boleh muncul di sini!” Tuty mula buat muka tak bersalah. Takut kiranya apa yang dinyatakan itu menimbulkan kemarahan Sarah. Sarah hanya mengeluh panjang. Entahlah, dia sendiri pun tak dapat nak tafsirkan perasaannya saat ini.  Rasa marah…geram…gembira…atau pun terharu.
Sarah dan Tuty masih lagi berdiri di situ. Hanya mata mereka sahaja yang memandang ke arah lelaki itu yang sedang mengatur langkah ke arah mereka sebaik sahaja dia selesai bercakap dengan Pak Uda. Pak Uda sempat menepuk-nepuk perlahan bahu lelaki itu sebelum lelaki itu mengatur langkah ke arah mereka berdua. Lelaki itu segera mengukir senyum sebaik sahaja berhadapan dengan mereka. Dan nampaknya, lelaki itu benar-benar terpegun dengan penampilan Sarah ketika itu. Cukup cantik dan ayu dengan mengenakan sepasang baju kebaya labuh berwarna pink tua, rambutnya yang panjang itu di dandan rapi. Memang cukup terserlah kejelitaannya. Bimbang juga hatinya kalau ada mana-mana lelaki yang sudah terpaut pada Sarah atau silap haribulan, Sarah dikatakan pengantin.
“ Dah lama abang Hafiz sampai?” tegur Sarah sebaik sahaja Hafiz berada di hadapannya. Sebolehnya dia cuba mengawal perasaan agar tidak nampak gemuruh.
“ Baru aje. Seronok berada kat sini?” teguran Hafiz itu tidak dijawab oleh Sarah. Dia masih kaku berdiri di situ.
“ Tentu seronokkan sampai lupa nak hubungi abang…. entah-entah dah terpikat dengan sesiapa kat sini.” sambung Hafiz lagi membuatkan Sarah mengetap bibir melihat senyuman sinis Hafiz. Niatnya untuk bersalam dengan lelaki itu terpaksa ditangguhkan. Hatinya  menjadi panas. Kata-kata itu sekadar gurauan atau pun sindiran. Sukar Sarah nak meneka apa lagi melihat lelaki itu masih lagi merenung wajahnya.
“ Abang Hafiz datang sini sebab tak percayakan Tuty atau sebab abang Hafiz nak buat spot check?” Tuty bersuara sambil melirik ke arah Sarah.
“….atau abang Hafiz datang sini sebab rindukan Sarah!” usik Tuty sambil memandang wajah Hafiz dan Sarah silih berganti. Terukir senyuman nakal di bibirnya.
“ Hmm…macam mana kalau semua tekaan Tuty tu betul?” Hafiz bersuara tapi pandangannya lebih tertumpu pada wajah Sarah. Sungguh, memang itu yang dirasanya. Entah kenapa secara tiba-tiba dia mengambil keputusan pagi tadi selepas menghubungi Tuty lewat malam semalam. Satu tindakan yang di luar jangkaannya.
Sarah mengerut dahi. Sukar nak percaya kenyataan Tuty yang kedua itu bila Hafiz turut mengakui kata-kata temannya itu…Hafiz datang ke sini kerana merinduinya?...satu kenyataan yang tidak masuk dek akal. Betulke?...tapi kalau betul….Sarah mula keliru.
“ Nampaknya kau kena congak balik peratusan kau malam tadi,” bisik Tuty perlahan di telinga Sarah dengan penuh makna.
Sarah segera menjengkilkan matanya tanda membalas bisikan Tuty, namun Tuty masih tetap mengukir senyum nakalnya. Sarah bertambah bengang bila Tuty meminta diri untuk beredar. Sengaja memberi ruang untuk Sarah dan Hafiz berbicara. Namun tindakan Tuty itu membuatkan Sarah mengeluh panjang. Sesungguhnya dia belum bersedia untuk menghadapi situasi ini, apa lagi dalam suasana dan tempat begini. Terasa janggal.
Akhirnya Hafiz menapak di atas kerusi di anjung hadapan rumah itu.
“ Duduklah…takkan nak berdiri aje…atau Sarah tak suka abang datang sini?” Hafiz bersuara. Dia sedar akan ketidak selesaan Sarah itu.
Sarah akur. Kini dia sudah pun duduk bersebelahan dengan Hafiz. Belum sempat mereka bersembang, Mak Uda sudah muncul di muka pintu.
“ Sarah, siapa lelaki ni?” tanya Mak Uda. Dia agak terkejut melihat lelaki yang berada bersama Sarah ketika ini. Serasanya dia tak pernah melihat lelaki ini, kalau saudara mara pastinya dia kenal kerana hubungan kekeluargaan dengan saudara mara cukup rapat. Namun hati kecilnya turut mengakui bahawa lelaki yang bersama dengan Sarah  ketika ini amat tampan orangnya, amat sesuailah dengan Sarah.
“ Er…mak Uda, kenalkan ….ini…abang Hafiz,” Sarah membuka mulut.
 “ Oh….Hafiz!” Mak Uda mengangguk perlahan tapi matanya tepat merenung wajah Hafiz. Masih mencari-cari siapa lelaki ini yang sebenarnya. Sarah mula gelisah. Perlukah dia menjelaskan siapakah sebenarnya Hafiz?
“ Sebenarnya….saya ni suami Sarah!” Hafiz bangun dan segera memperkenalkan diri.
“ Suami Sarah?...” Mak Uda memandang wajah Sarah.
“ Betul, Mak Uda….abang Hafiz ni memang suami Sarah.” akui Sarah sambil mengalih pandang ke arah Hafiz. Buat seketika mereka saling bertukar senyuman.
“ Hmm…mak Uda ingatkan Sarah ni belum kawin lagi…lagi pun Sarah ni tak cakap pun yang dia ni dah kawin….nasib baik mak Uda ni tak sempat nak kenenkan dia dengan anak saudara mak Uda, si Kamal tu!” kata mak Uda di akhiri dengan usikan membuatkan Sarah tersipu malu tanpa menyedari wajah Hafiz yang sudah bertukar warna.
“ Saya datang ni sebab nak jemput Sarah pulang, rasanya tak elok kalau dia berada lama di sini…takut menyusahkan keluarga mak Uda pula!” Hafiz bersuara membuatkan Sarah mengetap bibir sambil menghadiahkan jelingan buat lelaki itu.
“ Hisy…mana ada menyusahkan pula…sebenarnya Sarah ni banyak membantu majlis ini dan keluarga mak Uda memang mengalu-alukan kedatangan Sarah ni…ramai juga saudara mara mak Uda dah pasang niat nak jadikan Sarah ni menantu mereka!” mak Uda ketawa. Senyuman Hafiz dah jadi kelat-kelat manis.
“ Apa la mak Uda ni…” Sarah sudah malu-malu. Sebenarnya dia segan dengan kata-kata mak Uda itu walaupun dia sedar itu hanya sekadar usikan. Tapi bila melihat wajah Hafiz, dia jadi serba salah. Apa pula tanggapan Hafiz padanya.
“ Oh ya…kamu berdua ni dah makan ke belum?...kalau belum, pergilah makan…jangan biarkan perut tu kosong, nanti masuk angin!” kata Mak Uda.
“ Sarah dah makan tadi….tapi abang Hafiz belum lagi….dia baru aje sampai.” kata Sarah.
“ Pergilah makan kat sana…pak Uda pun ada kat  sana tu tengah layan tetamu….agaknya sebentar lagi sampailah rombongan pengantin lelaki!”
“ Terima kasih mak Uda…nantilah sekejap lagi saya makan,” balas Hafiz.
“ Yalah….mak Uda rasa elok kamu berdua tidur aje kat sini…bolehlah berkenalan dengan saudara mara mak Uda.” pelawa mak Uda ramah.
“ Tak mengapalah mak Uda…saya datang ni nak jemput Sarah balik, esok kan dah kerja!” balas Hafiz yang tidak mahu menyusahkan wanita itu. Kalau boleh dia mahu cepat pulang ke rumah.
“ Mak Uda rasa gembira dan seronok dapat mengenali kamu berdua, Sarah dan Hafiz memang pasangan yang sepadan.” puji mak Uda sambil tersenyum.
“ Terima kasih mak Uda, doakanlah agar kami sentiasa bahagia,” Sarah sempat merenung wajah Hafiz semasa lelaki itu bersuara. Dia juga rasa terharu mendengar kata-kata itu. Bolehkah mereka menjadi pasangan yang bahagia?
Mak Uda mengangguk perlahan sebelum meminta diri untuk beredar. Sebelum itu dia sempat berpesan supaya berjumpa dengannya sebelum Hafiz dan Sarah pulang. Sebaik sahaja mak Uda beredar, Tuty muncul dan kembali bersembang dengan Sarah sementara Hafiz menuju ke khemah untuk menikmati jamuan.
“ Jom…masuk dalam….kejap lagi pengantin lelaki sampai,” kata Tuty.
Sebelum Sarah masuk ke dalam rumah, dia sempat menoleh ke arah Hafiz. Kebetulan lelaki itu turut memandangnya. Mereka sempat berbalas senyum. Entah kenapa tiba-tiba timbul bunga-bunga bahagia dalam hati mereka.
“ Amboi!....sudah-sudah la tu….tak kan lari abang Hafiz tu….dia memang datang sini semata-mata rindukan kau….kekadang rasa cinta dan sayang tidak perlu diucapkan dengan kata-kata, seperti perasaan kau pada dia kan….!” usik Tuty yang menyedari Sarah dan Hafiz saling berbalas pandang.
“ Merepeklah kau ni!” sangkal Sarah sambil tersenyum malu.
“ Kan aku dah kata…kau kena congak balik peratusan rindu dan sayang kau pada dia!” usik Tuty menyebabkan dia menerima cubitan dari Sarah.
“ Sakitlah!”
“ Padan muka…” bisik Sarah perlahan.
Tuty menarik muka masam. Tapi dia tetap rasa gembira melihat hubungan Sarah dan Hafiz tadi. Ada sedikit perkembangan dalam hubungan mereka. Dia berharap semoga hubungan mereka akan berkekalan.
Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi kompang menandakan rombongan pengantin sudah sampai. Tuty dan Sarah sudah tak sabar melihat Mazni dan pasangannya bersanding di atas singahsana.
Kamal yang turut hadir di majlis itu sudah dapat menerima hakikat bahawa hati Sarah sudah di miliki. Nasib baik dia belum sempat meluahkan perasaan. Namun dia sempat berbalas senyum dengan Sarah yang nampak begitu bahagia di sisi Hafiz dan nampaknya Hafiz sedikit pun tidak berenggang dengan Sarah sepanjang majlis itu berlangsung.
“ Abang tak suka Sarah bermain mata dengan lelaki tu!” bisik Hafiz perlahan di telinga Sarah. Dia sedar sejak dari tadi lelaki yang memakai kemeja lengan pendek itu asyik memandang wajah Sarah.
“ Mana ada!” sangkal Sarah walau pun dia akui sedari tadi Kamal asyik memandangnya.
“ Lima minit lagi kita balik…abang rimas lah lama-lama kat sini!”
“ Jealous la tu!” Sarah mencebik.
Whatever….!” Hafiz menarik muka masam membuatkan Sarah tergelak kecil.
“ Jom….” Hafiz terus menarik tangan Sarah.
“ Nak pergi mana?”
“ Jumpa mak Uda….kita balik!”
Sarah mengeleng kepala. Huh! dah buat perangai dia balik. Hafiz….Hafiz…..Akhirnya Sarah terpaksa akur, dia berjumpa dengan mak Uda, Pak Uda, Tuty dan orangtuanya sebelum beredar dari situ. Sebaik sahaja masuk dalam kereta, Sarah tergelak kecil mengenangkan sikap Hafiz.
“ Kenapa gelak?” tanya Hafiz dengan dahi berkerut.
“ Abang Hafiz ni kan….perangai ….mengalahkan budak-budak,”
“ Abang mengaku yang abang jealous dengan lelaki tadi sebab abang tahu dia sukakan Sarah….Sarah kan isteri  abang, jangan nak mengada-ngada layan lelaki lain!” cemuh Hafiz.
“ Sarah nikan cuma isteri sementara aje….tak perlulah nak ada perasaan cemburu tu,” tempelak Sarah membuatkan Hafiz terdiam. Wajahnya masam mencuka. Dia terus menukar gear dan kereta terus meluncur laju di jalan raya. Sepanjang perjalanan, Hafiz hanya diam membisu membuatkan Sarah rasa bersalah kerana membangkitkan isu tadi.
Sorry!” Sarah memohon maaf sambil menunduk wajah.
Hafiz tetap diam.
“ Sarah minta maaf kalau kata-kata Sarah tadi membuatkan abang Hafiz tak selesa.”  Sarah memadang wajah Hafiz.
Hafiz mendengus perlahan. Sarah hilang bicara melihat kebisuan Hafiz.  Untuk apa lelaki itu berasa hati kalau awal-awal lagi mereka sudah menerima hakikat bahawa perkahwinan mereka akan ada pengakhirannya. Kalau tidak, kenapa perlu wujudnya perjanjian antara mereka?

Friday, 17 January 2014

Diakah Mr. Perfect Aku?18


“M
ASUK!”
Diya segera memulas tombol pintu sebaik sahaja mendengar suara dari dalam. Dengan bacaan bismillah, dia terus melangkah masuk ke bilik itu.
“Assalamualaikum dan selamat pagi.” ucap Diya yang sudah pun berdiri di hadapan seorang lelaki yang begitu asyik mengadap komputer ribanya ketika itu.
“Waalaikumussalam dan selamat…”
“Er…selamat pagi.” balas Carl sebaik sahaja melihat wajah gadis yang sedang berdiri di hadapannya. Hanya di pisahkan oleh meja.
`Cunnya!` dalam diam Carl membuat rumusan.
Nampaknya tak sia-sia dia berpesan pada En. Fuad supaya memilih calon yang cantik sebagai pembantunya. Mestilah kena cantik untuk di gandingkan dengan dia yang memang kacak dan bergaya ni. Barulah sepadan. Barulah ada selera nak pandang lama-lama. Walaupun yang ini tak seksi tapi auranya tetap hebat. Mampu membuat dia tergamam sebaik sahaja bertemu mata dengan gadis ini.
Carl tersenyum.
“Er…maaf kalau saya datang tidak kena dengan masa. Kalau En. Carl sibuk…saya datang sebentar lagi.” ujar Diya yang memang tidak selesa dengan renungan mata lelaki di hadapannya.
 Betul juga kata Anida, yang bosnya ini agak kacak tapi macam gatal sikit. Patutlah Anida berpesan supaya berhati-hati tadi. Diya membetulkan tali beg tangan di bahu dan bersedia untuk beredar. Buat apa lama-lama dia di situ kalau mengundang resah di dada. Dia datang ke sini dengan niat yang ikhlas. Untuk bekerja dan juga menyelesaikan urusan peribadinya.
No. Please, have a seat.” pelawa Carl sambil membetulkan kedudukannya. Dia turut membetulkan tali leher yang agak sedikit senget. Kalau ikutkan, nak aje dia sikat rambut sama supaya nampak lebih kemas di mata gadis ini.
 Kata orang, pertemuan pertama memberi kesan yang hebat untuk memulakan pertemuan yang kedua. Dia mahu memberi tanggapan yang baik untuk gadis ini dan dia cukup yakin bahawa gadis ini mampu memberi inspirasi untuk dia. Dan Carl sendiri pun tak pasti, kenapa hatinya  mahu melakukan yang terbaik saat ini. Bukannya dia tak biasa berhadapan dengan gadis-gadis, dah terlebih biasa tapi yang berada di hadapannya sekarang cukup terkesan.
Diya yang sedang duduk di hadapan Carl mula gelisah. Apa lagi melihat renungan mata lelaki itu. Ini baru kali pertama, bagaimana dia nak menghadapi hari-hari yang seterusnya kalau macam ni punya keadaan. Parah…parah.
“Erm…kita mulakan dengan sesi suaikenal…I`m Khalif Aidiel bin Tan Sri Zainal Abidin. Just call me Carl and you….” mata Carl masih lagi terpaku menatap wajah Diya yang cuba menahan gugup.
“Saya Nurul Nadya Aqilah binti Jamaluddin. Panggil aje Diya.” Diya memperkenalkan diri. Sedikit senyuman di berikan untuk lelaki itu. Sebagai tanda perkenalan dan juga menganggap lelaki itu sebagai bos.
“Hmm….you dah kawin?” soal Carl sambil merenung wajah Diya.
“Hah!…” soalan itu membuatkan Diya tercengang. Dia jadi serba salah untuk menjawab pertanyaan itu.
“Dah bertunang?” tanya Carl bila melihat wajah Diya yang tercengang.
Diya mengeleng kepala.
Good,… dah ada kekasih?” tanya Carl lagi sambil merenung wajah Diya yang nampak kelam kabut menerima soalan begitu.
Diya mengeleng kepala lagi.
Very goodI`m happy to hear that!” Carl mengukir senyum kelegaan.
Diya terkedu tiba-tiba.
`Apa punya soalan ni? bos aku ni sihat ke tidak?` Diya mengumam sendiri sambil merenung wajah Carl dengan muka blur.
“Nida, masuk sekejap!”
Carl menekan interkom. Sempat lagi dia mengukir senyum sebaik sahaja matanya bertembung dengan mata Diya. Dan ketika itu, Diya cukup lega kerana selepas ini dia tidak perlu berseorangan di dalam bilik ini. Anida ada sama.
“Ya, En. Carl.”
Anida muncul beberapa minit kemudian.
“I rasa you dah kenal dengan Diyakan?” Carl memandang wajah Anida yang mengangguk seketika. Mengiyakan kata-kata itu.
“Lepas ni, you tunjukkan tempat cik Diya dan pastikan dia selesa bekerja di sini.” arah Carl sambil memandang  wajah setiausahanya.
“Ya, don`t worry…I akan pastikan yang dia selesa bekerja di sini. Erm…ada apa-apa lagi?” ujar Anida yang berdiri di sisi Diya. Sempat Diya mendongak sedikit membalas tatapan Anida.
“I ada appointment dengan client kat luar…mungkin I masuk lepas lunch hour. I nak you letak atas meja I projek kat Taman Jaya tu. Lepas ni, I ingat I nak discuss dengan cik Diya….lagi pun you tahukan, kita ada banyak projek yang nak kena handle dan kita agak kekurangan kakitangan….si Faizul pulak bercuti!” kata Carl mengingatkan beberapa projek yang terpaksa dia uruskan.
“Okey, nanti I letakkan atas meja you…oh ya, tadi…cik Aireen called. Nak cakap dengan you tapi I dah bagi tahu yang you ada discussion…mungkin lepas ni dia akan call balik.” beritahu Anida.
 Bukan dia tak kenal siapa Carl. Selalu saja dia menguruskan aktiviti lelaki itu terutama sekali bila melibat teman-teman wanitanya. Ada kalanya dia pun naik pening nak menguruskannya.
Good. Sebab tu…I senang kerja dengan you. You tahu macam mana nak handle  urusan kerja dan urusan peribadi I. Dan…you tolong ingat, kalau Aireen tu call lagi…pandai-pandai youlah. I dah bagi tahu dia yang I nak break upbut you know…. not all women will understand.” kata Carl lagi.
Terkulat-kulat  Diya mendengar perbualan mereka. Sungguh, dia tak tahu pun apa hujung pangkalnya. Yang penting, ianya tidak melibatkan diri dia.
“En. Carl…kalau tak ada apa-apa….saya keluar dulu!” Diya segera bangun.
“Okey, tapi I nak ingatkan you…sekarang ni syarikat memang ada banyak projek…you tak kisah ke kalau terpaksa kerja sampai lewat malam?” tanya Carl menunggu reaksi dari Diya.
Diya tergamam. Baru saja masuk kerja dah di beritahu begitu. Masak dia lepas ni.
“Kalau dah terpaksa…” nak tak nak terpaksa juga Diya memberi jawapan.
“You jangan bimbang, bukan hanya kita berdua saja…ramai lagi. Kalau tak percaya, tanya Nida…right?”  Carl memandang Anida.
“Ya, betul. Kadang-kadang sampaikan CEO sendiri pun terpaksa turun padang. Tapi…you akan rasa selesa dan gembira kerana semua bos dan staf kat sini baik-baik.” Anida menyokong kata-kata Carl.
“Kalau macam tu, saya keluar dulu.” Diya membuka mulut, rasanya tak ada apa yang nak di bincangkan lagi buat masa sekarang.
Okay. Miss Diya, you may go…have a nice day!” ucap Carl dengan  muka yang tenang sambil mengukir senyum. Dan otaknya seakan merencanakan sesuatu.
Anida dan Diya sama-sama keluar dari bilik itu.
Sebaik sahaja wajah Diya hilang dari pandangan. Senyuman Carl makin lebar. Entah kenapa dia cukup senang dan gembira sangat pagi ini. Mungkin kerana kehadiran Diya hari ini. Kalaulah rasa ini dapat di kongsi bersama Shah….tapi sayang, lelaki itu sekarang berada di Singapura kerana urusan kerja.


DIYA diberikan sebuah tempat yang agak selesa. Dan mejanya bersebelahan dengan Faizul. Dan menurut Anida, lelaki itu sekarang bercuti kerana demam. Diya juga berkenalan dengan staf yang lain  dan ternyata mereka ramah dan mudah mesra.
“Macam mana dengan bos you…okay?” tanya Alia sebaik sahaja Diya bertemu dengannya sebagai tanda perkenalan.
Good, okay je. Kenapa?” berkerut dahi Diya memandang wajah Alia. Gadis yang memakai skirt separas betis itu nampak anggun dan menarik. Rambutnya pula di warnakan sedikit perang.
“You kena hati-hati. Takut nanti ulat bulu naik daun. Dia tu pantang nampak perempuan cantik…mulalah nak mengayat. Lepas dapat yang lain, di tinggalkan…dah ramai yang menangis tak berlagu. En. Carl tu…anak Tan Sri, dengan populariti bapanyalah sampaikan dia pun terkenal, bak kata orang…kasanova. Tapi…jujurnya, dia seorang yang baik, kadang-kadang kelakar…tak macam big boss, muka memang handsome habis…kerja tip top…tapi kalau cakap pasal….perasaan…semua orang tahu yang dia tu hati kayu. Cik Hani tu dah bertahun menunggu, sampai sekarang…barulah nampak hasilnya. Itu pun sebab campur tangan dari Datin Safinas. Tapi…I rasa, hubungan mereka tu tak akan kekal lama….I pun memang tak berkenan dengan cik Hani tu. Sombong dan berlagak.”  Alia bercerita panjang lebar sampaikan Diya nak ketawa. Apa tidaknya, sampaikan mulut pun terherot-herot.
“Hmm…kau ni Lia….kalau tak bawa mulut sehari…tak senang hidup kau ya!” tiba-tiba satu suara mencelah membuatkan Alia sedikit kalut.
“Lia…Lia cuma….” tergagap-gagap Alia cuba bersuara.
Diya memandang perempuan yang baru muncul dari pantri. Wajah Diya di pandangnya seketika dengan dahi yang berkerut.
“Ini…siapa ya?” perempuan itu sekali lagi merenung wajah Diya.
“Saya Diya, staf baru kat sini. Baru hari ni saya masuk kerja.” Diya memperkenalkan diri sambil menghulur tangan dan tangannya segera bersambut.
“Oh ya…pembantu En. Carl kan?” senyuman segera terukir di wajahnya. Tangan Diya segera bersambut.
“Akak PA En. Shah…panggil aje kak Min.” Jazmin memperkenalkan diri.
“Mentang-mentanglah akak ni PA CEO, berlagak ya!”  Alia mencebik.
“Kamu ni Lia…”
Jazmin mengeleng kepala. Faham sangat dengan perangai Alia, sentiasa rasa tak puas hati dengan semua orang. Tambahan pula bila jerat yang di pasangnya tak pernah mengena. Siapa lagi kalau bukan En. Shah dan En. Carl. Nak kata si Alia ni tak cantik, bohonglah sebab sebagai perempuan pun, dia akui yang Alia boleh di kategorikan sebagai gadis yang menarik, kulit pun putih …tapi kenapa ya…En. Carl tak pernah nak pandang gadis ini?...kalau En. Shah memang confirmlah…agaknya sebab mulut dia yang memang berbau longkang kut. Itulah telahan Jazmin.
“Diya dah kenal dengan semua staf ya?” soal Jazmin.
“Tak semua tapi kebanyakannya dah Diya jumpa.” beritahu Diya sambil mengukir senyum.
“Hmm…staf kat sini semuanya okay dan kak Min yakin yang Diya akan selesa bekerja di sini. Kalau ada apa-apa masalah dan ada apa-apa yang Diya mahu…jangan malu nak bagi tahu kak Min, Nida atau yang lain…kami sedia membantu.” ujar Jazmin.
“Terima kasih, kak Min dan terima kasih juga kerana menerima Diya sebagai staf di sini. Ini pengalaman kerja ketiga buat Diya tapi debarannya tetap ada.” balas Diya, senang dengan penerimaan mereka. Semuanya menerima dia dengan baik. Alhamdulillah.
“Wow, hebatnya!...Kak Min ni sejak dari dulu lagi pegang jawatan sebagai PA…er…sebelum ni, Diya kerja apa ya?” Jazmin mula tertarik untuk mengetahui tentang kerja Diya sebelumnya. Yalah…sampaikan kerja di sini dah di kira kerja yang ketiga.
“Lepas graduate, Diya kerja di hotel sebagai tukang bersih bilik selama lebih kurang tiga bulan…lepas tu Diya ambil alih kilang batik mama…dari awal lagi orangtua Diya mahu Diya ambil alih urusan mereka di KB tapi…rasanya tak selesa juga. Lagi pun itu bukan bidang Diya. Dan sekarang…Diya ada di sini…” beritahu Diya membuatkan Jazmin terangguk-angguk. Nasib baik Alia sudah beredar.
“Hmm…kiranya Diya ni anak orang berada juga ya!” teka Jazmin meneliti penampilan Diya.
“Eh, tak adalah…biasa aje…tapi kalau kak Min nak buat tempahan atau nak beli kain batik…Diya boleh uruskan.” kata Diya.
“Ya ke?...jangan lupa bagi diskaun untuk kak Min. Kak Min memang dah lama berhajat nak beli kain batik…tapi…tak ada kesempatan nak ke sana. Dengarnya…pilihan kat sana banyak…lawa-lawa pulak tu…” Jazmin mula teruja.
Jazmin teringat sepasang kain batik yang pernah di hadiahkan oleh Shah untuknya dulu. Cantik sangat. Sampai sekarang masih di simpan. Sayang nak pakai, lainlah kalau ada  special function.
“Nanti, kita sembang lagi ya!” kata Diya sebelum berlalu ke tempatnya.
Jazmin mengangguk perlahan. Matanya tepat memandang tubuh Diya.
`Cantik dan manis orangnya!...kalaulah dia jadi pilihan En. Shah kan bagus…ini…si Hani yang gedik dan berlagak nak mampus tu…menyampah!` rungut Jazmin sebelum mengatur langkah ke tempatnya. Ada kerja yang perlu dia lakukan. Walaupun En. Shah tak ada, tapi ada beberapa perkara perlu di uruskan segera. Itu pesan En. Shah sebelum bertolak ke Singapura dua hari lepas.


DIYA meneguk perlahan jus yang ada di hadapannya, begitu juga dengan Jemy. Penampilan Jemy sudah banyak berubah sejak menjadi penghuni bandaraya Kuala Lumpur setahun yang lalu. Hubungannya dengan Leman bakal terikat tidak lama lagi. Menurut Jemy, dia dengan rasminya akan mengikat tali pertunangan dengan kekasih hatinya itu dua bulan lagi. Patutlah bila dia balik kampung bulan lepas bukan main memanjang lagi senyum. Balik untuk mengkhabarkan berita itu rupanya.
“Macam mana first day kerja kau?...ada masalah?” tanya Jemy.
“Tak ada masalah…staf kat situ semuanya okay…bos pun okay…bujang dan kacak lagi…kalau kau tengok…kau pun tertarik punya. Silap haribulan….kau boleh tinggalkan si Leman kau tu….itu pun kalau dia terpikat dengan kaulah kan!”
 Diya tergelak kecil. Sengaja mengusik Jemy. Dari tadi bukan main becok lagi bercerita pasal rancangan pertunangannya itu. Naik berbulu juga telinganya. Al maklumlah….dia mana ada pengalaman macam tu. Kawin ekspress. Mana nak alami semua itu. Jelouse?....hish…sikit pun tak, cuma…menyampah adalah sikit-sikit. Pasal over sangat. Macamlah orang lain tak ada yang nak bertunang.
“Boleh lawan dengan rupa paras abang Shah, suami kau …lelaki yang kau katakan Mr. Perfect tu tak?” soal Jemy.
Dia akui, wajah `suami segera` Diya memang kacak dan menawan orangnya. Kalau dia pun, sanggup berkahwin segera kalau dapat jumpa lelaki kacak macam tu…tapi yang tak bestnya….kena tinggal lepas kawin. Bukan sehari dua tapi dah sampai dua tahun. Kalau kucing pun boleh bertanduk.
“Mana boleh lawan….abang Shah tu memang satu-satunya Mr. Perfect aku. Tak ada sesiapa yang boleh lawan dia….” Diya tetap mempertahankan lelaki itu. Sengaja buat muka ceria tapi dalam hati, bagai nak nangis.
“Kalau dia tu Mr. Perfect kau…tak adanya dia tinggalkan kau macam gantung tak bertali….dah dua tahun dia menghilangkan diri tanpa khabar berita. Kalau aku jadi kau…bila aku jumpa dia…aku sula aje!” Jemy mengetap bibir. Marah betul. Mana tak marahnya, kesedihan Diya adalah kesedihannya. Kegembiraan Diya adalah kegembiraannya juga.
“Aku tak nak tuduh dia  apa-apa sebab aku tak nak menyesal….mungkin dia ada kemaslahatan dan kesukaran yang kita tak tahu….kira main tuduh aje, tak pasal-pasal nanti dapat dosa kering.  Lagi pun, aku tak nampak yang muka dia tu macam muka seorang penipu…” bela Diya perlahan.
“Hmm….ikut suka kaulah…ini, yang kau tetiba terima jawatan kerja kat KL ni kenapa?....dah insafke?...hari tu beria-ria sanggup menunggu….aku ajak datang KL tak mahu, along kau nak bantu cari, kau tolak….nak bagi tahu abang Aniq, kau juga tak bagi….ini tetiba tergerak hati datang kerja kat sini…apa kes!” celoteh Jemy.
 Memang pun, dari dulu lagi semua orang menggalakkan Diya mencari Shah tapi Diya tak mahu, masih mahu menunggu kemunculan lelaki itu. Dua tahun Diya menunggu tanpa sebarang hasil. Nak suruh tuntut fasakh pun dia tak mahu. Asyik tunggu aje kemunculan `suaminya` macam tunggul kayu. Kalau berhasil tak apalah juga. Ini….habuk pun tak ada. Hampeh!
“Dua bulan lepas aku ada ternampak dia datang kat butik ibu….” Diya membuka cerita.
“Ya?...jadi…kau dah jumpalah dengan dia?” Jemy mula teruja. Bulat matanya memandang wajah Diya yang sedikit muram. Pelik. Kalau dah jumpa kenapa wajah Diya muram. Tak ceria?
“Tak sempat jumpa dia pun. Masa aku dekat nak sampai butik, dia dah masuk dalam kereta dan terus pergi…aku…aku tak sempat nak jumpa dia, nampak pun dari jauh aje…nak kejar dia…rasa macam tak berbaloi.” beritahu Diya sambil menarik nafas. Nampak bergenang matanya.
Jemy pun turut terasa sebak seperti yang di alami oleh Diya ketika itu.
“Sabar ya. Aku yakin…suatu hari nanti kau pasti akan jumpa dan bersemuka dengan dia. Mungkin ini caranya Allah bantu kau temukan dengan dia semula. Jangan risau…aku sentiasa ada di sisi kau. Kalau kau rasa nak belasah dia pun…aku boleh tumpang sekaki. Aku ni…kalau bab-bab belasah orang ni…aku memang suka. Nak-nak pula jenis yang tak sedar diri…” kata Jemy penuh semangat.
Diya tergelak kecil.
Jemy turut tergelak. Senang hati melihat wajah Diya kembali ceria. Tak adalah macam seminit dua tadi. Macam cengkodok basi.
“Aku pun harap macam tu. Aku pasti akan jumpa dia dan kali ini aku perlu buat perhitungan dengan dia.”
Diya kembali semangat.
“Itu dia. Ini barulah Diya kawan aku. Bersemangat waja. Chaiyok…chaiyok…” Jemy memberi semangat.
Diya mengukir senyum. Betul kata Jemy. Dia perlu bersemangat. Perlu kuat dan perlu tabah. Dia tak boleh lemah. Apa pun, hal antara dia dan Shah mesti di selesaikan dengan segera. Tapi…kenapa aku rasa macam berdebar-debar aje nak menunggu saat itu?