karya

karya

Friday, 25 October 2013

Kabus Kasih 4







SURAYA memandang mejanya sebaik sahaja dia melangkah ke tempat kerjanya. Ada beberapa note berwarna kuning di lekatkan pada beberapa dokumen yang ada di atas meja. Dia tahu, note itu menandakan yang dia perlu mengambil tindakan segera. Sejak bercuti sehari setengah, badannya mula rasa bertenaga walaupun tidak sepenuhnya. Selsema pun ada sedikit kurang. Kalau Pn. Fatimah ada, pasti dia akan menyambung cutinya tapi boring juga kalau bercuti seorang diri di rumah. Rasa otak jadi beku dan tak dapat nak berfungsi dengan baik.
May I come in?” satu suara membuatkan perhatian Suraya segera beralih. Di hadapannya kini berdiri seorang wanita yang nampak sopan berbaju kurung, manis dengan senyuman yang terukir di bibir merahnya.
“ Masuklah kak Amnah…” pelawa Suraya sambil menghadiahkan senyuman pada setiausaha Jeffri.
Suraya memandang sekali lagi wajah Amnah. Hairan juga melihat wanita itu berbaju kurung hari ini, biasanya dia lebih gemarkan baju berfesyen. Namun begitu, dia cukup senang dengan wanita itu. Sentiasa murah dengan senyuman dan tidak kedekut ilmu.
“ Amacam, dah okay ke demam hari tu?” tegur Amnah sebaik sahaja melabuh punggung di hadapan Suraya.
“ Dah okay sikit,  selsema dan batuk tak melarat sangat.” Jawab Suraya sambil menghadiahkan senyuman. Amnah turut mengukir senyum, membalas senyuman yang di hulurkan oleh Suraya tadi. Namun, dalam diam dia turut menganalisa bahawa gadis yang berada di hadapannya masih lagi nampak tak bermaya, mukanya masih lagi pucat walaupun di mekap nipis. Jarang pula dia melihat Suraya bermekap tebal macam staff yang lain tapi kecantikan dan keayuannya tetap terserlah. Itu memang dia akui sejak pertama kali kali menatap wajah itu.
“ Kenapa tak sambung lagi cuti, akak nampak wajah Sue masih pucat lagi…nanti demam datang balik.”Amnah perihatin.
 “ Tak apalah kak, lagi pun bosan asyik terperap seorang diri kat rumah…tapi kalau badan rasa tak okay nanti, boleh Sue minta cutikan?” risau juga dia kalau tiba-tiba datang balik demamnya.
“ Hisy, apa pula tak bolehnya. Kalau badan tu tak sihat…Sue  berhak untuk minta cuti. Lagi pun bukannya Sue tipu…akak nampak.” Amnah tergelak kecil. Dia teringat wajah Syawal,  bekas pekerja yang telah di berhentikan kerja tahun lepas gara-gara terlalu banyak cuti dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah sehinggakan menyusahkan orang lain. Akhirnya En. Imran memberikan Syawal surat perletakkan jawatan dengan alasan khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi di syarikat itu. Selepas itu, tak ada dengar lagi pekerja yang bermasalah.
“ Hai, Sue…dah datang kerja hari ini. Ingatkan masih lagi cuti!” tersembul wajah Jeffri di muka pintu dengan menayangkan senyuman manis.
“ Yalah, kalau lama sangat cuti…nanti gaji kena potong, dahlah I ni pekerja baru.” Balas Suraya sambil melirik ke arah Amanah yang sedang mengukir senyum.
“ Tapi…kalau badan you masih lagi tak sihat…you ambil aje cuti, I benarkan. I pergi dulu. Take care, ok!” kata Jeffri sebelum berlalu pergi.
Suraya memandang ke arah Amnah yang masih lagi terukir senyuman pada bibir merahnya.
You know, he is a good boss. Akak suka dengan kerja dia dan dia seorang bos yang sentiasa perihatin dengan kebajikan pekerjanya. Dan kerana itu juga, Tan Sri sayangkan dia,” kata Amnah.
Suraya mengangguk perlahan. Dia dia tak meragui kata-kata itu kerana dia dapat lihat sendiri karektor dan sikap Jeffri sebagai seorang bos.


SURAYA, Aisha dan Jessica berdiri di pintu lif bersama dengan beberapa orang pekerja yang lain untuk keluar makan tengahari. Bila lif terbuka, mereka agak tercengang bila mendapati Tan Sri Kamaruddin berada di dalam lif itu. Ada beberapa orang staff agak segan untuk masuk ke dalam lif itu, mereka menolak bila di bawa untuk masuk oleh Tan Sri itu.
“ Suraya, masuklah!” ajak Tan Sri Kamaruddin bila kebanyakan staf itu teragak-agak untuk masuk.
“ Baik, Tan Sri.” Suraya akur. Dia masuk ke dalam lif bersama Aisha dan Jessica. Bersama mereka bertiga ada dua orang lagi yang turut masuk. Sementara 3 orang staff yang ada bersama mereka tetap berdiri di situ.
“ Nak makan kat mana?” tanya Tan Sri Kamaruddin sambil memandang wajah Suraya dan kawan-kawannya.
“ Er, kat café depan office ni aje!” balas Suraya sopan.
Tan Sri Kamaruddin mengukir senyum. Bukan hanya pada Suraya tapi juga pada Aisha dan Jessica. Mereka juga adalah pekerja syarikatnya.
“ Erm…Suraya.” panggil Tan Sri Kamaruddin tiba-tiba bila Suraya dan dua orang temannya keluar dari lif, bersedia untuk melangkah keluar dari bangunan itu.
“ Ya, Tan Sri,” Suraya segera memandang wajah Tan Sri Kamaruddin. Aisha dan Jessica turut memandang. Hairan juga bila tiba-tiba nama Suraya di panggil.
“ Temankan saya lunch hari ni,” suara Tan Sri Kamaruddin sambil mengukir senyum membuatkan dahi Suraya berkerut. Sebenarnya, dia tak sangka akan menerima pelawaan itu.
“ Erm…” teragak-agak Suraya mahu menjawabnya. Lebih kepada rasa serba salah.
“ Ajak sekali kawan Suraya tu…saya tak kesah.” ujar Tan Sri Kamaruddin bila di lihat Suraya agak resah sambil memandang wajah temannya.
“ Sue, you pergi aje temankan Tan Sri…kami berdua ni seganlah…” bisik Aisha perlahan di telinga Suraya.
“ Tapi….kitakan…” balas Suraya terpingga-pingga.
“ It`s ok. I faham…nanti kita lunch besok aje.” kata Aisha lagi. Jessica turut mengangguk, mengiyakan kata-kata Aisha.
“ Sue!” panggil Tan Sri bila ajakannya masih belum ada kata putus.
“ Baiklah, Tan Sri.” akhirnya Suraya mengikut langkah Tan Sri Kamaruddin di mana pemandunya sudah pun menunggu di pintu kereta Mercedez Benz dengan pintu yang sudah terbuka.
“ Sue, Sue nak makan kat mana?” tanya Tan Sri Kamaruddin sebaik sahaja kereta Mercedez Benz itu meninggalkan perkarangan bangunan setinggi 20 tingkat milik Tan Sri Kamaruddin itu. 
“ Saya tak kesah kat mana pun….cuma, saya segan kalau ada yang nampak saya keluar dengan Tan Sri ni. Bimbang juga kalau ada yang mengata di belakang nanti…biasalah…perangai manusia ni ada pelbagai ragamnya….” kata Suraya.
Tan Sri Kamaruddin mengangguk perlahan. Dalam diam dia turut mengiyakan kata-kata Suraya. Bukan semua manusia akan suka dengan apa yang berlaku pada kita, bukan suka dengan apa yang kita miliki.
“ Uncle tak nak fikirkan pandangan orang….bukan mereka yang bagi kita makan, kita pakai….” kata Tan Sri Kamaruddin. Bukan dia tak pernah alami semua itu. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya seperti hari ini, dia telah menepuh pelbagai liku kehidupan. Dan menikmati asam garam kehidupan.
“ Tapi Tan Sri…”
“ Sue, kan kita dah janji…bila di luar pejabat atau ketika tiada orang…panggil aje uncle. Atau…Sue segan nak keluar dengan uncle kerana uncle ni kan dah tua atau Sue takut boyfriend Sue nampak kita keluar bersama!” kata Tan Sri Kamaruddin sambil mengukir senyum membuatkan Suraya tertunduk.
Selama ini, tiada siapa yang tahu apakah hubungan yang terjalin antara mereka. Sebenarnya, Suraya yang tak mahu hubungan antara dia dan Tan Sri di hebohkan. sebagai syarat untuk dia bekerja di syarikat itu.
“ Bukan itu sebabnya, uncle. Selama ini Sue dah banyak terhutang budi pada uncle…jadi, Sue tak nak ada yang tersalah anggap nanti kalau ada yang melihat Sue rapat dengan uncle…” kata Suraya yang melahirkan rasa bimbang di hati.
“ Biarlah apa yang orang nak cakap, kita tak ada kuasa nak menyekat mereka..lagi pun kita tahu siapa diri kita!” kata Tan Sri Kamaruddin dengan wajah tenang.
“ Tapi uncle…” Suraya masih lagi rasa tak sedap hati.
“ Sue nak uncle dedahkan siapa diri Sue yang sebenarnya?” soal Tan Sri Kamaruddin membuatkan Suraya benar-benar tersentak. Wajahnya merenung seketika wajah lelaki itu. Tapi ternyata, wajah lelaki yang di renungnya masih lagi bersikap tenang. Malah ada senyuman terukir di bibir tuanya.
Suraya mengeluh perlahan.
“ Uncle tak kesah…” Tan Sri Kamaruddin mengerling ke arah wajah Suraya yang sedang resah. Senyuman tetap terukir di bibirnya. Dia sayangkan gadis itu dan kalau boleh dia tak nak melepaskan gadis itu. Dulu, dia pernah berjanji untuk menjaga Suraya dan keluarganya. Sampai sekarang, dia kan tetap berpegang pada janjinya itu. Tak akan sesekali dia melupakan janjinya itu.
“ Sue jangan bimbang. Kalau Sue tak bersedia…uncle tak akan memaksa. Itu janji uncle pada Sue kan!” Tan Sri Kamaruddin menepuk perlahan tangan Suraya.
“ Terima kasih, uncle.” ucap Suraya sambil menghadiahkan senyuman. Dia lega sebenarnya. Harap lepas ni tak akan timbul sebarang masalah.
“ Lepas lunch nanti, kita balik rumah uncle ya…jumpa dengan auntie sekejap. Uncle nak surprisekan dia.  Dia masih tak tahu yang sekarang ni Sue bekerja dengan uncle. Uncle percaya yang auntie akan gembira bila jumpa dengan Sue nanti,” kata Tan Sri Kamaruddin.
“ Hmm….auntie sihat?” tanya Suraya bila mengingatkan isteri Tan Sri Kamaruddin. Sudah lama dia tak bersua muka.  Masih ingatkan wanita itu padanya!
“ Auntie tu…macam biasalah…kadang-kadang sihat, kadang-kadang tidak. Auntie tu dah lama dapat penyakit darah tinggi dan kencing manis. Masanya hanya di habiskan dengan berehat di rumah. Dulu,  susah uncle nak jumpa isteri sendiri…uncle sibuk di pejabat, dia pun sibuk dengan butiknya, ada show sana…show sini. Sekarang ni, uncle gembira bila setiap kali uncle pulang, uncle di sambut.” kata Tan Sri Kamaruddin sambil membayangkan wajah isterinya.
“ Macam mana dengan butik auntie tu?”
“ Auntie dah jual butik tu pada kawannya. Uncle yang minta dia jualkan….lagi pun tak ada sesiapa yang nak uruskan bila auntie berhenti dari jaga butik tu. Kami ni tak ramai anak, hanya dua orang aje. Tapi kedua-duanya tinggal berjauhan. Syauqi tu adalah sesekali datang , bawa juga isteri dan anak…itu pun tak lama. Kami ni sebenarnya kesunyian…” kata Tan Sri Kamaruddin.
“ Sabarlah uncle. Setidak-tidaknya anak-anak uncle tu masih lagi datang berjumpa. Lagi pun mereka kan sibuk dengan hal dan kehidupan  masing-masing. Tak boleh nak salahkan mereka juga,” pujuk Suraya.
“ Apa kata Sue tinggal dengan kami. Lagi pun, kat rumah tu hanya tinggal uncle, auntie dan pembantu rumah sahaja.” tiba-tiba Tan Sri Kamaruddin mempelawa membuatkan Suraya terngadah. Tiba-tiba dia rasa air liurnya tersekat. Apa lagi bila mengenangkan mata Tan Sri Kamaruddin tepat memandang wajahnya, menanti jawapan.
“ Bolehkan? setidak-tidaknya auntie tu ada teman untuk berbual.” gesa Tan Sri Kamaruddin masih lagi menunggu jawapan positif dari Suraya.
“ Er…Sue tak boleh buat keputusan sekarang, nantilah Sue akan fikirkan…” itulah jawapan yang dirasakan terbaik untuk di berikan pada masa ini. Nak menolak terus takut lelaki itu kecewa, nak terus terima rasa macam tak betul pula. Bukannya dia terdesak untuk mencari tempat tinggal pun. Lagi pun, dia selesa dengan tempat tinggalnya sekarang.
“ Hmm…uncle tak memaksa tapi uncle harap sangat yang Sue akan terima tawaran uncle ni….” kata Tan Sri Kamaruddin.
Suraya hanya diam. Sudah tak mampu nak memberi sebarang komen. Namun, dia harap persoalan dan tawaran itu tak akan timbul lagi selepas ini.


IMRAN menghempas punggungnya kasar di atas kerusi. Seiringan dengan dengusan yang keluar dari hidungnya. Kalau ikutkan hatinya yang sedang menggelegak marah, ingin di campakkan semua barang yang berada di hadapannya. Tapi, dia segera beristighfar dan menyabarkan diri.
“ Aku masih lagi waras. Aku tak akan bertindak melulu walaupun hati aku memang panas!” kata Imran perlahan sambil meraup mukanya dengan kedua tangan.
Dia masih ingat situasi yang dilihatnya tengahari tadi, itu yang membuatkan hatinya menjadi hangat kala ini.
“ Im, itukan Suraya dan Tan Sri…” Jeffri yang terpandang satu sudut segera mengkhabarkan pada Imran yang nampak khusyuk menikmati hidangan tengahari.
Tanpa berlengah, Imran segera berkalih. Nak tahu juga betulkah apa yang di lihat oleh Jeffri. Entah-entah saja nak kenakan dia. Namun, rupanya ia adalah suatu kebenaran. Memang betul Suraya sedang makan semeja dengan Tan Sri Kamaruddin. Seingat dia, Suraya selalu keluar makan tengahari bersama Aisha dan Jessica. Tapi kenapa hari ini boleh keluar bersama Tan Sri Kamaruddin. Sejauh manakah hubungan mereka berdua sampaikan boleh makan semeja begitu. Dahlah nampak bukan main mesra lagi Tan Sri melayan Suraya. Hisy, tak boleh jadi!
Betul agaknya khabar angin yang di dengarnya di tempat kerja bahawa Tan Sri memberi layanan yang istimewa buat Suraya. Kemasukan Suraya ke dalam syarikat juga adalah melalui Tan Sri Kamaruddin.
“ Macam mana?” tanya Jeff memandang wajah Imran yang mula cemberut.
“ Ah, pedulikan dia orang!” saja Imran berkata begitu seolah-olah tidak kesah dengan fenomena itu. Tapi….dalam hati, bagai nak meletup dadanya melihat kemesraan mereka berdua. Dia rasa benar-benar sakit hati.
Jeff hanya mengukir senyum. Bukan dia tak tahu apa yang Imran rasa saat ini. Pura-pura tak kesah tapi dia bukannya bodoh. Dia dah lama kenal dengan Imran. Kawannya itu sedang memendam rasa.
“ Apa?” jerkah Imran tiba-tiba sambil menghentak sudu dan garfu. Tajam matanya memandang wajah Jeff yang nampak tenang menangani situasi Imran.
“ Kenapa?.. kau marah?....sakit hati?...” tempalak Jeff sambil mengukir senyum sinis.
Imran mendengus kasar. Sudah hilang seleranya bila mengenangkan situasi tadi.
“ Jom, balik…” ajak Imran seraya bangun membuatkan Jeff terpingga-pingga. Tapi tetap menurut langkah Imran yang sudah menonong ke arah pintu keluar restoran. Jeff hanya mampu mengeleng kepala sambil tersenyum.
“ Hai, tak pernah-pernah mengamuk…tiba-tiba buat perangai…” detik Jeff sambil tergelak kecil.
“ Apa yang di rungutkan tu…mengumpat aku la tu!” Imran mencelah. Bukan dia tak dengar rungutan Jeff tadi.
Jeff mengangkat bahu.
Imran mendail nombor dan menekapkan ganggang telefon di telinganya.
  Hello, kak Alma…Tan Sri dah masuk ofis?....ok…tak apalah, terima kasih!” Imran menghempas ganggang telefon sambil mendengus kuat. Hatinya makin sakit. Kalau makan ubat penahan sakit pun, belum tentu akan hilang rasa itu.
“ Ke mana agaknya dia orang pergi sampai sekarang tak balik ofis lagi!” Imran menyandar badannya di kerusi. Kalau macam ni yang di fikirkan,  hatinya makin tambah sakit.
“ Masuk!” ketukan di pintu membuatkan Imran segera membetulkan kedudukannya.
“ Ya Lin! ada apa?” tanya Imran kepada setiausahanya sebaik sahaja Jazlin masuk dan menghampirinya. Dia memandang seketika setiausaha yang berusia 25 tahun itu, masih lagi solo dan cantik tapi kenapa dia sikit pun tak terpikat pada gadis itu walaupun dia tahu Jazlin ada simpan perasaan padanya.
“ Tadi ada panggilan dari Choo & Co. Mereka cuma nak confirmkan tentang perjumpaan En. Imran esok jam 10 pagi di pejabatnya!” beritahu Jazlin.
“ Erm…selain dari itu, I ada appointment lainke?” tanya Imran sambil menyandar badannya di kerusi. Saat ini dia cuba lapangkan fikiran. Kalau boleh soal Suraya dan Tan Sri di ketepikan dulu.
“ Petang esok En. Imran akan melawat tapak projek di Damai Sutera. Cik Suraya akan ikut sama!” beritahu Jazlin.
“ Suraya?...apa kaitannya dia dengan projek tu?...selama ini kan Jeff yang handle projek tu!”  bukan main terkejut lagi Imran bila di beritahu yang Suraya akan mengikutinya ke tapak projek itu.
“ Er…saya tak tahu. En. Jeff yang minta cik Suraya gantikan tempatnya untuk esok…erm, En. Imran ada masalahke?” Jazlin hairan juga kenapa Jeff meminta Suraya menggantikan tempatnya tapi dah itu arahan terpaksalah dia akur.
“ T…tak ada…ada apa-apa lagi?” kata Imran agak kalut.
“ Tak ada. Itu saja!” beritahu Jazlin.
“ Baiklah…you boleh pergi.” Imran memberi arahan.
Sebaik sahaja Jazlin keluar dari bilik, Imran mengeluh perlahan. ligat otaknya memikirkan apa rasionalnya Jeff meminta Suraya menggantikan tempatnya. Apa agenda lelaki itu sebenarnya?...dan dia….apa perasaan dia yang sebenarnya bila tahu hal ini. Gembirakah?


IMRAN menghampiri kereta Proton Persona warna silver. Dia cukup kenal siapa yang sedang berdiri di sebelah kereta itu. Dari jauh dia sudah mengamati wajah itu. Nampak resah dan berkali-kali matanya menatap jam tangan.
“ Hai, waiting for someone?” tegur Imran sebaik sahaja menghampiri Suraya yang sedang menyandar di keretanya sambil menggenggam erat telefom bimbit.
“ En. Imran.” Suraya bersuara. Agak terkejut bila tiba-tiba di tegur lelaki itu. Dia pun tak perasan dengan kemunculan lelaki itu. Fikirannya tengah kacau saat ini.
“ Tunggu seseorangke?” tanya Imran sekali lagi.
“ Tak adalah. I tak tunggu sesiapa pun…” balas Suraya sambil cuba mengukir senyum. Sengaja menyembunyi rasa resah di hati.
“ Habis tu, you buat apa tercegak kat sini…kan dah lewat petang ni. Semua orang dah balik.” tegur Imran kehairanan. Kalau dah tak tunggu sesiapa, buat apa lagi tercegat kat sini.
“ Sebenarnya,…kereta I  ni tak boleh nak start. I tak tahu nak buat macam mana. Nak minta tolong member lain, mereka semua dah pulang…nak tunggu teksi, susah nak dapat.” beritahu Suraya.
“ Oh, tapi kenapa baru sekarang you balik…kan semua kawan yang lain dah balik dari awal…” kata Imran.
Suraya mengeluh perlahan.
“ I baru aje balik masuk pejabat dengan David tadi. Kami ada hal kat Selayang petang tadi. David terus balik lepas hantar I kat sini…” beritahu Suraya.
Memang dia terfikir nak hubungi Tg. Zafri, tetapi lelaki itu berada di Pulau Pinang. Yana pula masih lagi berada di kampung kerana menghadiri majlis perkahwinan sepupunya. Itu yang membuatkan dia buntu. Nak minta tolong pak guard pun, tak boleh sebab dari tadi tak ada seorang pun yang datang bertanya.
“ I pun tak tahu sangat  pasal kerosakan kereta, er…cuba you start.” Imran cuba membantu. Sambil itu, dia menyingsing lengan bajunya hingga ke siku, tali leher juga di buka dan di masukkan ke dalam poket baju. Butang baju yang paling atas di buka agar rasa lebih selesa. Suraya hanya memandang seketika dengan rasa resah.
“ You masuk dalam kereta dan cuba start.” arah Imran bila di lihatnya Suraya masih tak berganjak. Hanya memerhati tingkah lakunya tadi.
Tanpa berlengah Suraya segera membuka pintu kereta dan terus masuk. Bukan main tebal lagi mukanya bila di tegur sekali lagi. Macam mana dia boleh terleka? Cepat-cepat dia memasukkan kunci kereta dan cuba start tapi tetap tak hidup.
“ I rasa kereta you ni ada masalah…mungkin bateri kereta. Bila you tukar bateri kereta ni?” tanya Imran selepas meminta Suraya membuka bonet depan keretanya.
“ Erm…tak ingat. Tapi rasanya dah lama I tak tukar sebab sebelum ini tak ada masalah…” balas Suraya sambil tersenyum. Yalah…nak tukar buat apa kalau tak ada masalah. Agaknya, memang silap dia, pandai bawa kereta aje tapi tak pandai nak jaga kebajikan kereta. Bagus punya tuan! nasib kaulah wahai kereta dapat tuan macam aku ni….
“ Macam nil ah…I akan call kawan I, ke`s mechanic. I akan minta dia tengokkan kereta you,” kata Imran dan dia segera mengeluarkan iphonenya dan terus menghubungi kawannya.
Suraya hanya diam sambil memerhati lagak Imran yang sedang berbuak dengan kawannya. Entah kenapa, dia ralit melihat aksi lelaki itu. Nampak menarik. Wahai hati, jangan buat hal! kau kena sedar siapa diri kau!
“ Kawan I akan datang kejap lagi…” beritahu Imran sambil memandang wajah Suraya yang agak kelam kabut. Sebenarnya, Suraya sedang menyembunyikan rasa malu. Apasallah dia syik duk tenung anak teruna orang, buat malu tuan aje.
“ Sorry ya, sebab I dah susahkan you.” mohon Suraya.
“ It`s ok. Small matter…kalau I tolong you, siapa lagikan…takkanlah I nak biarkan you kat sini sorang-sorang. You ni perempuan, cantik pula tu…kalau jadi apa-apa kat you, I juga yang susah hati…” kata Imran perlahan sambil mengukir senyum.
Kata-kata itu membuatkan mulut Suraya ternganga. Biar betul. Dia suka aku ke?...takkanlah…
“ Apasal?...betullah…you ni cantik, semua orang kat pejabat  mengakuinya…bertuahkan sesiapa yang dapat mendampingi you, apa lagi dapat jadi suami you!” kata Imran lagi.
Suraya rasa nak pengsan. Terkulat-kulat dia memandang wajah lelaki itu. Kenapa dia rasa lain macam aje ni? Selalunya tak macam ni. Apa sudah jadi?
Nasib baik masa tu juga, telefon Suraya berbunyi. Cepat-cepat dia memandang skrin telefonnya. Saat itu juga Imran memandang wajah Suraya yang sudah mengeluh lega. Dalam hati tertanya-tanya, siapakah pemanggil itu?
“ Hello, Yana…kau masih kat kampung lagike?” tanya Suraya.
“ Apa?...kau dah ada kat rumah?....syukurlah…aku balik lambat sikit hari ni, kereta aku buat hal….aku masih lagi kat ofis…hmm…ada member yang temankan aku kat sini sampai mekanik datang…yalah…jangan bimbang, kejap lagi aku balik. bye!” talian di putuskan dan ketika itu juga muncul sebuah kereta kancil putih. Dua orang lelaki keluar dari kereta itu dan menghampiri Imran.
Suraya membiarkan Imran berbicara dengan lelaki itu. Kalau dia dengar pun, bukannya dia faham. Dia hanya memerhati Imran menyatakan masalah yang dihadapi oleh keretanya.
“ Suraya, I akan hantar you pulang. Kereta you ni dia orang akan bawa ke bengkel. Pagi esok dia orang akan hantar ke sini.” jelas Imran.
“ Hmm…terima kasih.” ucap Suraya.
Dua mekanik itu membuka bonet depan dan memeriksa seketika.
“ Apa rosaknya?” tanya Suraya pada mekanik itu.
“ Bateri kena tukar yang baru. Dan kereta  rasanya dah lama tak servis…cik jangan bimbang, kami akan cuba tengok kalau ada apa-apa lagi masalah…” kata salah seorang mekanik itu selepas meneliti seketika.
“ You jangan bimbang pasal kereta you, I kenal dia orang ni…boss dia orang pun I kenal.” sampuk Imran bila melihat kerisauan pada wajah Suraya.
“ Ya…” teragak-agak Suraya menjawab.
“ Macam ni, barang-barang berharga you, you ambil dan letakkan dalam kereta I.” arah Imran sebelum berlalu dari tempat itu. Dia muncul tak lama kemudian bersama Range Rover putihnya.
Suraya terdiam. Lama juga dia memandang kenderaan yang di pandu oleh Imran. Semalam pakai Audi, hari ini Range Rover, esok apa ya…dia fikir, tukar kereta ni macam tukar baju setiap hari ke? Aku ni kira nasib baiklah dapat beli kereta, itu pun ansurans belum habis bayar.
“ Suraya!” panggil Imran dari dalam Range Rover dan sekali gus mematikan lamunan Suraya. Terkocoh-kocoh dia membuka pintu Personanya dan mengeluarkan barang-barang yang di kira berharga. Bukan emas berlian pun tapi hanya sebuah lapotop dan beg tangan sahaja. Dia masuk ke dalam Range Rover itu. Imran keluar dari kenderaan itu dan bercakap seketika dengan mekanik itu dan dia kembali masuk.
“ Nampaknya, I dah susahkan you, En. Imran!” kata Suraya dengan rasa segan. Al maklumlah, lelaki ni kan bosnya. Dah jadi satu hal pula terpaksa hantar dia balik.
“ Anything for you!” balas Imran sambil memakai tali pinggang.
Suraya yang mendengar mengerut dahi. Dia memandang wajah lelaki itu, cuba mencari reaksi, tapi Imran hanya berwajah selamba dan Suraya merasakan dia hanya bermimpi.
Imran menahan rasa debar. Entah kenapa mulutnya lancing berbicara tadi. Anything for you, nasib baik dia tak tambah…anything for you, my love. Kalau tak, haru biru jadinya. Tapi, elok juga kalau Suraya dengar. Harap-harap dia faham….
Sepanjang perjalanan pulang, masing-masing diam. Terasa perjalanan itu cukup jauh. Lamanya perjalanan, macam nak balik Pekan.
“ Terima kasih, En. Imran sebab sudi hantar I balik.  Nanti, I belanja you!” kata Suraya sekadar berbasi. Dah orang buat baik, kita pun kena buat baik. Nanti dikatakan tak kenang budi pula kan.
“ Ok. I tunggu you belanja, esok pun boleh!” balas Imran sambil tersenyum.
“ Boleh…tapi kat kedai biasa aje, I tak mampu nak belaja kat tempat mewah…” kata Suraya.
“ I tak kesah.” balas Imran pula.
“ Ok, nanti kita jumpa esok.I masuk dulu,” Suraya membuka pintu dan keluar.
Rumah teres dua tingkat yang di duduki bersama Maryana sudah pun terang. Memang betullah Yana dah ada kat rumah. Lega. Adalah teman dia malam ni. Dah 2 malam dia tinggal bersendirian kerana Yana balik kampung.
“ Suraya!” panggil Imran tiba-tiba ketika Suraya membuka pintu pagar.
“ Ya, En. Imran!”
“ I jemput you besok, jam 8 pagi.” kata Imran dari dalam kenderaannya.
Belum pun sempat Suraya bersuara, cuba untuk menolak tapi lelaki itu itu terus berlalu pergi meninggalkan Suraya termanggu di pintu pagar.

Friday, 11 October 2013

Di Penghujung Rindu 22




S
ARAH menonton tv bersama orangtuanya selepas makan malam. Sejak dari tadi Datin Ruzaini asyik membebel marahkan Hafiz kerana masih belum pulang walaupun sudah menjelang malam. Petang tadi dia sudah mengingatkan Hafiz supaya balik awal untuk makan malam bersama. Tapi bagi Sarah, ketiadaan Hafiz memberi ruang yang selesa untuknya. Dia akan rasa tenang dan gembira kalau Hafiz tidak pulang dan bermalam di rumah malam ni. Tak sanggup dia nak tidur sebilik dengan Hafiz walaupun tidak sekatil. Ada baiknya dia cuba memujuk mama agar mereka terus dengan kehidupan biasa iaitu tidur di bilik masing-masing. Lagi pun selama ini mama tak pernah masuk campur kerana mereka tahu bagaimana hubungan dia dan Hafiz tak pernah baik walaupun telah bergelar suami dan isteri. Belum pun sempat dia nak membuka mulut, Salmah muncul.
“ Sarah, ada panggilan untuk Sarah dari cik Tuty.”
Sarah segera bangun dan mendapatkan telefon yang berada di atas meja yang berdekatan dengan almari.
“ Assalamualaikum!” Sarah menghulur salam.
“ Waalaikumussalam…apa khabar? dah sihatke?... aku call handset kau tadi tapi tak berangkat. Itu sebab aku call telefon rumah!” kata Tuty.
“ Aku sihat. Tadi tu aku sedang berborak dengan mama dan papa lepas makan malam …kau masih ada kat Melaka ke?”
“ Ya...besok aku balik. Jeff bagi tahu aku kau masuk hospital…kau ni kan kerja teruk sangat, sampaikan memudaratkan diri sendiri…” Tuty mengeluh perlahan.
Don`t worry…aku dah sihat sekarang…esok aku masih cuti…mungkin lusa aku masuk kerja balik!”
Mereka berdua terus berbual dengan pelbagai topic yang menarik. Maklum saja sudah lama mereka tidak bersembang dan berjumpa lantaran masing-masing sibuk dengan kerja.
“ Oklah…nanti kita jumpa ya…telinga aku dah panas ni, kejap lagi berasap agaknya…!” kata Sarah sambil menyentuh telinga kanan yang ditekap dengan ganggang telefon.
“ Cakap ajelah yang kau dah tak nak cakap dengan aku!” kata Tuty seakan berjauh hati.
“ Apasal merajuk pula ni…nanti aku bagi tahu si Jeff tu minta dia pujuk kau ya!” usik Sarah.
“ Mengada-ngadalah la tu…aku harap your lovely husband kau tu akan jaga kau dengan baik. Sebelum nikan…kau yang jaga dia masa dia accident hari tu….inilah masanya dia nak balas budi baik kau tu!” kata Tuty sambil tergelak kecil membuatkan Sarah mendengus perlahan.
“ Tak ada maknanya dia nak jaga aku…bukannya kau tak kenal perangai dia tu…asyik naik angin satu badan aje…kekadang aku pun naik seram bila sesekali datang perangai romantic dia tu…!” secara tak langsung Sarah becerita tentang perubahan sikap Hafiz sejak kebelakangan ini.
“ Wow…satu perkembangan yang baik bila dia dah mula bersikap romantic dengan kau…agaknya dia dah mula jatuh hati dengan kau,” Tuty ketawa.
“ Kirim salam….kau ingat aku akan tergoda dengan perangai buaya dia tu…salah orang tau!” balas Sarah berpura-pura tegas sedangkan hatinya turut terdetik mengenangkan sikap Hafiz.
“ Jangan berlagaklah, kawan….aku yakin, lambat laun kau pasti akan terpikat dengan dia punya lah…lagi pun, tak salahkan….he`s your husband…dan  kerana sikapnya yang romantic itulah ramai perempuan terpikat dengan dia….orang buta celik macam kau aje yang pura-pura tak terpikat. Tapi aku nak ingatkan kau,  janganlah malu nak mengaku yang kau dah terpikat kat dia  pulak ya!” seronok betul Tuty dapat mengenakan Sarah.
Sarah mengetap bibir. Dalam diam dia cuba memikirkan kata-kata Tuty. Selepas hampir sejam mereka berborak, Tuty memutuskan talian.
Sarah menghampiri orangtuanya yang begitu asyik menonton tv.
“ Mama…papa…Sarah masuk bilik dulu ya!”  kata Sarah yang melabuhkan punggung di sofa bersebelahan dengan mamanya.
“ Hmm…eloklah tu…mama nak Sarah berehat secukupnya. Tak perlulah fikirkan pasal kerja!” suara Datin Ruzaini mengenggam perlahan tangan Sarah sambil mengukir senyum.
“ Betul tu… sementara Sarah cuti sehari dua ni…papa akan uruskan hal di syarikat. Papa juga akan minta Hafiz tengok-tengok apa-apa yang patut. Sarah jangan bimbang ya!”  Datuk Syafiq Rahman menyambung kata-kata isterinya.
“ Terima kasih, pa. Sarah cadang nak cuti sehari saja. Lagi pun, Sarah dah sihat!” kata Sarah. Dia teringatkan beberapa perkara yang perlu di uruskan sempena majlis hari keluarga minggu depan di Pulau Langkawi. Takkanlah nak lepas tangan aje atau membiarkan Pn. Salmi seorang yang menguruskannya sedangkan program itu juga penting untuk syarikat.
“ Sarah masuk bilik dulu… Selamat malam, mama…papa!” Sarah segera meninggalkan pasangan suami isteri itu.
Sarah terus masuk ke dalam bilik dan segera menguncinya dari dalam. Otaknya ligat memikirkan sesuatu sambil berjalan mundar mandir disekitar biliknya. Sesekali dia melirik jam dinding sambil mengetap bibir.
` Ah! dah pukul 10 malam. Apa yang harus aku buat kalau dia balik dan mengetuk pintu bilik ini? Takkan aku nak biarkan!` Sarah terus berfikir dan langkahnya terus di atur ke katil. Segera tubuhnya terus dijatuhkan ke atas katil. Dia meniarap sambil membaca majalah, sengaja ingin melupakan apa yang sedang membelenggu fikirannya saat ini. Sejak dari tadi kepalanya terasa cukup berat. Seolah-olah dia seorang menteri yang sedang memikirkan masalah negara. Sekali lagi dia melirik ke arah jam loceng comel yang terletak di sebelah katil.
`Dah pukul 11.30 malam. Patutlah aku dah rasa mengantuk` detik Sarah sambil menguap. Segera mulut yang ternganga itu di tutup dengan tangan. Sarah bangkit dari katil dan menutup suis lampu. Dia sudah nekad, apa pun yang berlaku, tak akan sesekali dia membuka pintu. Lagi pun Hafiz ada biliknya sendiri. Untuk apa dia berkongsi lagi! Sarah mengukir senyum.
Di saat matanya hampir terlelap, pintu biliknya di ketuk bertalu. Sarah hanya membiarkan. Makin lama ketukan itu kedengaran makin kuat, seiring dengan suara Hafiz yang nyaring menyebut namanya. Sarah berpura-pura memejam mata sambil menutup kedua telinganya dengan tangan. Biar dia tak dapat dengar semua itu. Tapi makin lama di biarkan dia pula yang tak boleh tidur. Tambahan pula bila mendengar suara mama.
`Hah! mama dah mula masuk campur!`
“ Kenapa Fiz?” tiba-tiba kedengaran suara mamanya.
“ Perempuan ni lah ma…. sengaja kunci bilik sebab tak nak bagi Fiz masuk. Tadi Fiz dah pesan supaya jangan kunci pintu, degil!” rungut Hafiz yang sudah bengang dengan tindakan Sarah mengunci pintu biliknya.
“ Sarah, buka pintu ni sayang…!” Sarah hanya membiarkan suara mamanya.
“ Sarah…Sarah….buka pintu ni!...jangan buat macam ni…tak baik biarkan suami tidur di luar!” suara Datin Ruzaini lagi. Dia tahu Sarah mendengar ketukan itu dan Sarah hanya berpura-pura tidur.
“ Tidur mati agaknya!” kedengaran suara Hafiz kasar.
“ Tak baik cakap macam tu!” pujuk Datin Ruzaini.
“ Kalau macam ni punya susah….baik Fiz tidur dalam bilik Fiz je!” Hafiz mendengus. Sarah yang mendengar kata-kata Hafiz mula mengorak senyum.
“ Jangan nak mengada-ngada…mulai malam ni dan seterusnya, mama nak korang berdua tidur sebilik! Mama dan papa dah sepakat dan tak akan berkompromi lagi!” tegas Datin Ruzaini bersuara.
Hafiz menggaru-garu kepalanya.
`Mama dan papa dah sepakat mahukan dia dan Sarah tidur sebilik? Mama dan papa ingat aku dan Sarah ni budak-budak ke nak main paksa-paksa. Kalau kat rumah ni bolehlah dia orang paksa, tapi kalau kat rumah aku…` Hafiz mula mengukir senyum.
“ Sarah!”
Datin Ruzaini tetap memanggil nama Sarah.
“ Sarah, aku tahu kau dengar….kalau kau tak bukak pintu ni sekarang, aku akan tendang pintu ni sampai roboh ….kau tahukan…aku sanggup melakukannya!” ugut Hafiz kasar. Dia sudah malas nak melayan kerenah Sarah.
Akhirnya pintu bilik itu di buka perlahan. Muncul wajah Sarah dengan masam mencuka. Hafiz juga begitu.
“ Aku ingatkan kau dah mati keras kat dalam tu!... kejap lagi bolehlah panggilkan orang untuk baca Yasin!” Hafiz mendengus kasar. Sarah hanya tunduk membisu, tak berani untuk bertentang mata dengan Hafiz yang sudah seperti singa lapar tu.
“ Dah lah tu. Tak elok buat bising malam-malam ni… perangai korang berdua ni dah macam budak-budak!” tegur Datin Ruzaini, risau juga kalau suaminya turut masuk campur nanti. Dia mengeleng kepala melihat kerenah anak menantunya itu.
“ Maafkan Sarah , ma!” Sarah bersuara sambil menundukkan wajahnya sedangkan hatinya sarat merungut sikap Hafiz.
Datin Ruzaini segera berlalu meninggalkan mereka. Sengaja ingin mengetahui sejauh mana mereka berdua mahu menyelesaikan masalah yang cukup mudah. Hafiz segera membolos masuk, sengaja dia berpeleseran dengan Sarah dengan menyentuh bahu Sarah membuatkan Sarah terdorong sedikit ke belakang.
“ Hisy…!” Sarah mendicit geram.
Hafiz dengan selamba mengukir senyum kerana berjaya memanaskan hati Sarah. Hafiz melabuhkan punggungnya di sofa. Dia bersandar sambil melunjurkan kakinya. Sarah yang baru menutup pintu segera mengatur langkah ke katil. Dia menghenyak punggung di atas katil sambil menghadiahkan jelingan dengan wajah masam mencuka.
“ Ha…kenapa tak tidur?...kau tidur ajelah sorang-sorang kat katil kau tu…tak terliur pun aku nak tidur sekatil dengan kau…” tempelak Hafiz masih dengan senyuman sinis.
“ Yalah tu!” Sarah mencebik.
“ Kau jangan bimbang…aku tak akan kacaulah…!” balas Hafiz  memandang sekilas wajah Sarah.
Hafiz bangun dan dia mencapai tuala sebelum berlalu ke bilik air. Beberapa minit kemudian, dia keluar dengan memakai singlet dan bertuala. Dia dapati tempat tidurnya sudah disediakan. Sebiji bantal dan kain selimut terletak di atas sofa yang diduduknya tadi. Dan matanya tiba-tiba terpaku pada hamparan sejadah dan kain pelikat yang berada tidak jauh dari sofa. Sekilas dia memandang wajah Sarah yang masih  duduk bersila di atas katil sambil membaca majalah.
`Aik, macam perli je….aku tahulah yang aku ni liat solat…!` dalam diam Hafiz mengeluh. Buat seketika dia mula rasa insaf kerana selama ini dia terlalu alpa menunaikan tanggungjawabnya yang satu ini. Agaknya belum sampai seru!
“ Abang Hafiz dah solat Isyak ke belum?...kalau dah, biarkan aje sejadah tu kat situ…nanti Sarah simpan balik!” kata Sarah mematikan lamunan Hafiz.
“ Er…abang belum solat!” balas Hafiz perlahan.
Dengan tuala yang masih melilit di pinggang, dia kembali masuk ke bilik air untuk berwuduk. Sarah yang menyedari tindakan Hafiz itu mengukir senyum dan mengucap syukur. Mungkin inilah salah satu cara untuk mengembalikan Hafiz supaya mengingatkan dia pada Rukun Islam yang ke dua itu. Kata orang, berdakwah secara halus. Sarah mengikut langkah Hafiz dengan pandangan mata. Lelaki itu terus mencapai kain pelikat dan segera menyarungkannya. Selepas itu dia mengambil sehelai baju melayu dari dalam almari. Hafiz terus melakukan solat Isya` 4 rakaat sambil di perhatikan oleh Sarah dalam diam. Selesai solat dan berdoa, Hafiz melipatkan kembali sejadah dan diletak di atas ampaian.
“ Apa?....tak pernah tengok orang solatke?” sergah Hafiz mengejutkan Sarah yang ralit memandang segala tingkah lakunya.
Sarah cepat-cepat melarikan pandangannya dengan kelam-kabut.  Terasa panas mukanya kerana perlakuannya dapat ditangkap oleh Hafiz.
“ Boleh tak kau tutup lampu sekarang…aku nak tidur. Aku tak boleh tidur dalam cahaya terang!” kata Hafiz sambil melabuhkan punggungnya di atas sofa.  Dia hanya memakai singlet dan masih lagi berkain pelikat.
Sarah mengetap bibir dan akur dengan kehendak Hafiz. Segera lampu bilik di padam. Walaupun lampu sudah di tutup tapi cahaya lampu dari balkoni masih jelas.
Good night!” ucap Hafiz selepas Sarah kembali ke katilnya dan melabuhkan punggung perlahan di atas katil. Dalam diam dia memerhati Hafiz yang sudah kaku. Mungkin Hafiz sudah  tidur bila melihat dia meletakkan tangannya di atas dahi. Hampir 15 minit Sarah berteluku di atas katil sebelum merebahkan tubuhnya di atas katil. Dia mahu memastikan lelaki itu benar-benar sudah lelap tidur. Sarah menarik nafas seketika dan dia menarik selimut membalut tubuhnya. Bantal peluk di capai dan dia terus memeluk erat. Ternyata badannya sudah terasa penat dan matanya sudah berat. Akhirnya…z...z...z…z
Telinga Sarah menangkap suatu bunyi tapi tidak jelas. Perlahan-lahan matanya di buka untuk mempastikan apa yang di dengarnya. Dia meraba telefon bimbitnya untuk melihat jam.
` Hah! pukul 3 pagi. Bunyi apa ni?` Makin lama….bila di amati, dia yakin dari mana bunyi itu datang. Dia segera bangkit dari tempat tidurnya. Perlahan-lahan kakinya di lunjur ke bawah dan mula berjalan ke arah sofa yang sememangnya sedang dihuni oleh Hafiz. Dalam cahaya samar, dia dapati bibir lelaki itu bergerak-gerak.
Please…dengar dulu penjelasan dari I…I memang sayangkan you…dan I janji I tak akan tinggalkan you…percayalah cakap I!”
Sarah menelan liur. Benar-benar terkedu.`Abang Hafiz mengigau?... kenapalah dia buat hal pulak waktu ni. Menyusah dan mengganggu orang betullah!` Rungut Sarah geram.
“ Abang Hafiz, kenapa ni?” tanya Sarah bila kedengaran suara Hafiz yang masih lagi bercakap-cakap.
“ Abang Hafiz!”
Sarah cuba mengejutkan Hafiz. Tak sanggup nak membiarkan lelaki itu terus mengigau dan meracau-racau. Dia juga yang tak boleh nak tidur. Sarah memberanikan diri menyentuh bahu Hafiz perlahan. Makin lama makin kuat tubuh lelaki itu di goncang. Geram dia di buatnya bila Hafiz seakan masih tidak sedar apa yang berlaku. Sarah yang belum bersedia segera terdorong jatuh ke atas tubuh Hafiz bila tangan lelaki itu tiba-tiba menarik tangannya dengan kuat. Segera tubuh Sarah di peluk erat membuatkan nafasnya hampir semput. Benar-benar terkejut. Dia cuba bangun tapi makin kuat pula tangan sasa Hafiz memeluk tubuhnya. Sarah terkedu dan terdiam.
“ Janji yang you tak akan tinggalkan I...I akan cintai you seumur hidup I!” Sarah menelan liur mendengar kata-kata itu.
Dalam diam, Sarah cuba membuat kesimpulan. Siapakah perempuan yang dimaksudkan oleh Hafiz itu?.... Dalam cahaya yang samar-samar, wajah Hafiz di tatapnya. Saat ini wajah mereka begitu hampir sehinggakan dia dapat merasa hembusan nafas Hafiz. Adakah benar Hafiz mencintai perempuan lain? Entah kenapa timbul pula rasa sebak di dada. Cemburukah dia? Ah! untuk apa perasaan itu mesti wujud kerana dia dan Hafiz bukannya bercinta. Sarah memujuk hati.
“ Abang Hafiz….wake up….abang Hafiz….!” Sarah bersuara sedikit nyaring. Dia benar-benar rasa tak selesa dengan kedudukan mereka sekarang di tambah lagi perasaannya jadi kacau dan dadanya bedebar-debar.
Suara Sarah yang sedikit nyaring itu ternyata mengejutkan Hafiz. Lelaki itu tiba-tiba membuka mata. Terbuka luas matanya saat matanya bertatapan dengan Sarah. Segera tangannya yang melilit tubuh Sarah di lepaskan.
“ Sarah?... kau buat apa kat sini?....macam mana kau…..!” lelaki itu nampak kebingungan.
Sarah terdiam. Perasaan malu begitu tebal. Entah apalah yang difikirkan oleh lelaki itu mengenai dirinya.
“ Er….Sarah cuba nak pastikan yang abang Hafiz tidur dengan selesa!” serba-salah pula Sarah menjawab pertanyaan itu.
“ Tapi…macam mana…er….kita…” Hafiz menggaru-garu kepalanya sambil tersengih membuatkan Sarah menelan liur dan segera bangun. Dia membetulkan bajunya supaya nampak lebih kemas.
“ Er…lupakan aje yang berlaku tadi…anggap saja tak ada apa-apa!” kata Sarah.
“ Oh ! ok!”  balas Hafiz ringkas.
“ Oklah…Sarah nak sambung tidur…” Sarah berlalu ke katil.
Hafiz hanya diam. Dia menarik selimut yang berada di hujung kaki. Terasa sejuk pula. Dia terus memejamkan mata tanpa mempedulikan pandangan mata Sarah dari atas katil. Lama Sarah berteleku di atas katil. Seram sejuk tubuhnya mengingatkan kejadian tadi. Di mana dia di peluk erat oleh Hafiz. Nasib baik tak berlaku perkara yang lebih tragis. Kalau tidak, tak tahu nak letak mukanya kat mana.



SARAH menarik nafas untuk menikmati udara pagi sambil berdiri di balkoni. Selepas mandi dan solat subuh tadi dia mengejutkan Hafiz untuk bangun. Tak sangka, lelaki itu liat juga nak  bangun pagi. Dah lah malam tadi dia buat hal. Seksa betul. Sekarang ini Hafiz berada dalam bilik air. Semasa lelaki itu berada di bilik air, dia telah membentangkan sejadah dengan harapan lelaki itu akan faham tanggungjawabnya sebagai seorang Islam. Teringin juga dia nak melakukan solat secara berjamaah dengan lelaki yang bergelar suami, tapi dia tahu harapan itu adalah mustahil untuk dilaksanakan.
Sarah memejam mata, cuba menghayati dan menikmati suasana pagi yang tenang. Terasa begitu nyaman sekali. Sesekali kejadian malam tadi terlayar dalam ingatan membuatkan dadanya berdebar-debar. Apakah penerimaan Hafiz dengan kejadian malam tadi agaknya.
“ Masih terkenang apa yang berlaku pagi tadi?” Sarah mengangguk perlahan, mengiyakan apa yang difikirkan.
“ Tak dapat tidur dengan lena mengingatkan kejadian itu?” suara itu kedengaran begitu jelas di cuping telinganya.  Sarah juga dapat merasai hembusan halus di pipinya.
Sarah segera membuka mata dan berpaling ke belakang. Wajahnya berubah serta-merta bila mendapati sesusuk tubuh sasa yang sedang tersenyum memandangnya. Sarah menelan liur. Dia cuba melarikan pandangannya, tak sanggup untuk terus merenung tubuh yang terdedah itu. Seksi. Hafiz sekarang sedang berdiri di hadapannya dengan hanya mengenakan tuala separas pinggang. Benci! Sengaja nak tayang tubuhnya yang sedikit berotot tu. Nak berlagak macho. Aku tak akan tergoda punyalah!
“ Kenapa Sarah tak nak pandang abang?...segan ya!” usik Hafiz sambil mengukir senyum. Dia sudah dapat menduga apa yang sedang dirasai oleh Sarah ketika itu bila melihat dirinya yang terdedah begitu.
“ Kalau ya pun awak tu suami saya….takkanlah awak nak tayangkan semuanya pada saya… simpanlah sikit perasaan malu tu!”  kata-kata Sarah itu membuatkan Hafiz tergelak. Wajah gadis itu sudah merah dan sedaya upaya dia cuba melarikan matanya dari terus menatap tubuhnya itu. Apa lagi bila dia sudah membahasakan saya dan awak. Kelakar pula rasanya.
“ Kalau Sarah tak keberatan, tolong sediakan pakaian untuk abang. Abang nak ke pejabat!” kata Hafiz sambil memandang wajah Sarah yang agak tergamam.
“ Sedialah sendiri. Bukannya tak pernah buat pun!” cemuh Sarah.
“ Apalah salahnya kalau sesekali Sarah sediakan untuk abang. Itukan tugas dan tanggungjawab seorang isteri. Tadi pun Sarah dah mengaku yang abang ni suami Sarahkan!” balas Hafiz selamba. Sebuah senyuman di hadiahkan untuk Sarah.
“ Isteri?...jangan nak perasanlah. Kita duduk sebilik ni pun sebab mama yang paksa!” kata Sarah sambil mengatur langkah ke birai katil. Bekas menyimpan contact lense di ambil dan dia bersedia untuk ke bilik air. Bila Sarah keluar di lihatnya Hafiz sudah siap berpakaian dan lelaki sedang menyikat rambutnya dan membetulkan tali leher. Dia juga akui yang Hafiz seorang lelaki yang kacak, sentiasa menjaga penampilan diri. Sebenarnya timbul rasa bersalah kerana tidak mengendahkan permintaan Hafiz. Dia tahu sepatutnya dia menyiapkan keperluan Hafiz. Itukan tugas sebagai seorang isteri. Tapi kerana marahnya masih bersisa, dia tidak mengendahkannya. Selama ini lelaki itu lebih suka menguruskan dirinya sendiri  seperti membasuh baju, menggosok baju, membersih dan mengemas  bilik dilakukan sendiri kerana dia tak suka orang lain masuk ke biliknya. Bilik tidur adalah tempat privacy, katanya. Secara tak langsung dia memuji sikap Hafiz. Tidak terlalu bergantung pada orang lain. Lagi pun Sarah cukup arif dengan sikap lelaki itu, dia  tak suka kalau ada orang menyentuh apa-apa barang miliknya terutama Sarah. Jadi, sejak dari kecil lagi dia telah mengharamkan dirinya menyentuh barang kepunyaan lelaki itu tanpa izin. Tapi kini, mereka telah berkahwin, mestikah dia yang menguruskan semua keperluan lelaki itu?
“ Hmm….nampaknya lakonan abang malam tadi cukup berkesan!” Hafiz tiba-tiba bersuara sambil memandang wajah Sarah yang mula berubah.
`Kejadian malam tadi satu lakonan? Lakonan apa  pukul 3 pagi? agaknya otak dia dah tak betul!....kalau aku tahu itu cuma lakonan semata-mata, awal-awal lagi aku  dah simbah dia dengan sebaldi air atau pun aku tumbuk aje muka dia yang tampan tu, biar berkecai kedua-dua lubang hidungnya!...biar padan dengan muka. Mengigau konon…sampaikan aku nak tidur pun tak lena!` Sarah membebel sendirian sambil mengetap bibir.
“ Oh!...apa yang berlaku malam tadi tu satu lakonan ya….bijak-bijak…!” sindir Sarah menjeling geram ke arah Hafiz yang sudah menayang sengih.
“ Sarah tak boleh nak salahkan abang, Sarah juga pernah berlakon dulu….kerana lakonan abang malam tadi, abang dapat peluk tubuh Sarah…hebat tak, abang!” Hafiz tergelak kecil. Bahagia sungguh rasanya kerana dapat mengenakan Sarah.
Perasaan Sarah makin mendidih. Geramnya kerana dipermainkan. Bantal yang berada di atas katil, di capainya dan segera di baling ke arah Hafiz. ` Sakitnya hati aku!` dengus Sarah. Tapi sayang, Hafiz berjaya menyambut balingan Sarah. Hafiz makin ketawa sambil memeluk bantal Sarah.
“ Pagi-pagi ni…tak dapat peluk orangnya, dapat peluk bantalnya pun dah berbaloi!” Hafiz bersuara lagi. Bantal itu di peluk erat dan di cium beberapa kali. Sarah mengacip gigi. Terasa dadanya mendidih, geramkan lelaki itu.
 Hafiz  mengatur langkah menghampiri Sarah. Bantal yang berada di tangannya di letak kembali di atas katil. Dia mendekati Sarah yang sedang berdiri kaku di tepi katil.
“ Sarah tahu kenapa selama ini abang suka mengusik Sarah?” tanya Hafiz sambil merenung wajah Sarah dengan renungan yang cukup menggoda. Nasib baik Sarah dapat mengawal emosinya. Kalau nak di ikutkan , dia pastinya sudah tergoda dengan renungan itu.
Sarah menelan liur sambil membalas renungan Hafiz dengan dada yang berdebar.
“ Abang  suka sangat tengok wajah Sarah yang nampak comel dan cute bila marah…rasa macam nak gigit-gigit aje!” bisik Hafiz perlahan di telinga Sarah membuatkan Sarah tersentak. Benar-benar terkejut dengan kenyataan itu. Adakah kenyataan itu suatu kebenaran? Ah…sukarnya nak percaya!
“ Sarah rasa otak Sarah akan jadi biul kalau asyik melayan kerenah abang Hafiz yang tak berapa nak betul ni…” rungut Sarah sambil mendengus. Sesungguhnya nafasnya makin sesak kalau dia berterusan melayan kerenah lelaki itu yang dirasakan semakin hari semakin pelik.
“ Abang akan pastikan yang Sarah akan terus melayan kerenah abang seumur hidup Sarah walau apa pun yang berlaku...!”  Hafiz sengaja membalas kata-kata Sarah.
“ Sarah?...Sarah yang akan sentiasa layan kerenah abang Hafiz?... tak kan ada  siapa pun sanggup nak layan kerenah abang Hafiz yang tak kira musim tu… Ei….perasannya!” Sarah mencebik sambil menjeling.
“ Amboi!.... cantiknya jelingan Sarah,… Sarah sengaja nak goda abang ya!” Hafiz masih tak puas menyakat Sarah.
“ Ah!....meluatnya!...baik Sarah keluar dari terus berdua-duaan dengan abang Hafiz kat bilik ni…bimbang pula kalau ulat bulu naik daun nanti!” balas Sarah segera melangkah keluar dari bilik itu. Sesungguhnya dia tak tahan di usik begitu. Takut benar kalau hatinya tergoda. Hafiz segera melambak tawa. Sedikit pun tidak kesah dengan kata-kata Sarah. Baginya kata-kata itu umpama irama yang mengasyikkan. Ah!...sememangnya abang sudah jatuh cinta denganmu, Sarah!