karya

karya

Friday, 19 April 2013

Diakah Mr. Perfect Aku? 7




Bab 7


D
IYA berdiri di hadapan pintu bilik itu. Serba salah di buatnya. Dia menarik nafas seketika dan menghembus perlahan. Perlukah dia mengetuk atau datang saja lain kali kerana sekarang ni pun dah agak lewat. Hampir nak masuk waktu maghrib. Kalau tak kerana dia di paksa kerja lebih masa oleh cik Zanita, tak adalah dia berada di sini waktu ini. Dan kerana pesanan yang di terimanya di kaunter sebentar tadi juga menyebabkan dia berdiri di muka pintu bilik ini. Kan lebih baik kalau dia ajak Jemy bersama tadi, tapi Jemy terpaksa balik kerana dia kurang sihat. Pagi ini, Jemy asyik bersin saja. Badannya pun agak panas. Mungkin esok Jemy akan cuti.
Kalau tidak mengenangkan lelaki ini akan balik awal pagi esok, dia boleh menangguhkan aje untuk mengambil rantai leher yang tercicir hari itu. Atau biarkan aje rantai itu, tapi tak boleh sebab rantai itu adalah pemberian dari ibu sempena hari lahirnya 3 tahun lepas dan dia benar-benar menyukai rantai leher itu.
Diya mengetuk pintu bilik beberapa kali kerana tiada sambutan. Sekali lagi dia mengetuk pintu. Ketika dia berura-ura untuk pergi dari situ, pintu bilik di buka. Diya kaku di situ dengan mata yang bulat memandang fenomena di hadapan. Lelaki itu  muncul dengan hanya mengenakan tuala. Diya merenung seketika muka lelaki itu. Rambutnya yang masih basah dah belum bersikat itu nampak begitu menarik. Ditambah pula dengan dada bidangnya yang terdedah benar-benar membuat degupan di dada Diya begitu hebat.
“ Ops….” Diya menutup mulutnya yang ternganga.
“ Diya…awak buat apa kat sini?” tanya Shahrul memandang wajah Diya dengan rasa hairan.
“ Er…bukankah En. Shah nak jumpa saya untuk pulangkan rantai leher yang tercicir semalam?” Diya membuka mulut.
Shahrul  menggaru kepala seketika.
“ Oh, sorry…saya hampir terlupa. Saya tengah mandi tadi, itu  yang terlambat datang buka pintu. Masuklah.” Pelawa Shahrul.
“ Erm….saya rasa elok saya tunggu kat sini aje,” balas Diya.
“ Masuk ajelah…saya ni lelaki yang baik. Awak jangan bimbang.” Kata Shahrul.
“ Tapi….” Diya tetap rasa serba salah.
“ Ini hotel, bukannya kampung….saya pakai baju sebentar.” Shahrul masuk ke dalam bilik dan membiarkan pintu bilik terbuka. Dia mencapai sehelai baju dari beg dan terus menyarung ke tubuh sasanya. Kemudian dia mempelawa Diya masuk. Nak tak nak terpaksalah Diya menjejak masuk kerana kata Shahrul, dia terlupa di mana dia meletakkan rantai milik Diya itu.
“ Maaf, saya betul-betul terlupa di mana saya letak rantai awak tu.” Shahrul menggaru-garu kepala sambil tangannya lincah menyelongkar almari dan begnya tapi tetap tak berjumpa.
“ Macam ni ajelah…bila En. Shah dah jumpa rantai saya tu…tinggalkan aje kat kaunter depan, saya akan datang ambil.” kata Diya. Dia resah memikirkan situasi sekarang. Sejak dari tadi perasaannya tak enak.
“ Maaf ya…saya dah susahkan awak.” Shahrul rasa bersalah.
“ Tak apalah…kalau macam tu saya pergi dulu.” Kata Diya dan mengatur langkah ke muka pintu. Namun, sebaik saja pintu di kuak, matanya terbuka luas dan dia benar-benar rasa nak pengsan.
Diya berkalih, memandang wajah Shahrul dengan mata yang sudah berkaca dan Shahrul pula di lihat sudah berpeluh walaupun dia baru saja selesai mandi. Apa sebenarnya yang berlaku ni, kenapa dia yang jadi mangsa?


DIYA tunduk memandang lantai. Sudah jerih air matanya keluar menafikan tuduhan yang di terima. Dia dan Shahrul di tangkap basah. Suatu situasi yang tak pernah di bayangkan walau sedikit pun. Walaupun hati kecilnya mengakui bahawa dia menyukai Shahrul, tapi bukan dengan cara begini mereka akan di satukan. Amat memalukan. Apa pandangan orang lain kalau mereka tahu hal ini, di mana dia nak sorokkan mukanya. Bagaimana perasaan ibu dan ayah? Ibu…ayah…sungguh, bukan ini yang Diya inginkan. Diya terus mengesat air matanya yang tetap laju mengalir.
Shahrul pula tak banyak cakap, dia hanya menyerahkan semua keputusan pada ayah dan pegawai pencegah maksiat itu.
“ Pak cik minta maaf kalau anak pakcik dah malukan En. Shahrul…pak cik memang tak jangka ini yang terpaksa kami hadapi. Diya anak pak cik, satu-satu anak perempuan yang pak cik ada dan selama ini kami dah berikan didikan yang sempurna,” kata En. Jamaluddin dengan wajah tenang. Bagi En. Jamaluddin, tak ada gunanya kalau dia nak mengamuk, benda dah jadi. Apa lagi yang harus dia nyatakan selain dari menganggap itu adalah sebagai takdir dan juga musibah.
Pn. Hasmah sedang mengusap tubuh Diya perlahan sedari tadi, matanya turut bengkak kerana dia juga turut menangis mengenangkan apa yang telah berlaku. Sementara Amin hanya diam, wajahnya jelas nampak kecewa dan hampa.
“ Pakcik, mak cik….saya rasa semua ini adalah salah faham, Kami berdua tak salah dan saya berani bersumpah bahawa kami tak buat perkara yang mencurigakan tu. Diya datang ke bilik saya sebab dia nak ambil rantai lehernya yang  tercicir di depan bilik saya. Itu aje…saya pun memang dah berhajat nak balik KL pagi esok sebab urusan saya di sini sudah selesai.” Kata Shahrul cuba memberi penjelasan yang sebenar.
“ Tapi…apa yang berlaku tadi tak dapat di undur semula. Pakcik pun tak mengharapkan benda ini berlaku…terlalu aib dan memalukan keluarga kita,” En. Jamaluddin bersuara sambil mengeluh panjang. Cukup kesal dengan apa yang berlaku.
Tiba-tiba telefon Shahrul berbunyi. Dia segera menyeluk poket seluarnya.
“ Mama call,” beritahu Shah pada Diya dan Pn. Hasmah yang sedang memandangnya.
“ Assalamualaikum, ma….Shah masih kat Kota Bharu, esok Shah bertolak balik KL. …kenapa?....apa?....baiklah…sekarang juga Shah balik!” Shah segera mematikan talian. Wajahnya cemas.
“ Kenapa?” tanya Pn. Hasmah risau melihat wajah Shah yang cemas sebaik sahaja menjawab panggilan itu.
“ Papa, masuk ward kerana serangan jantung. Sekarang ni dalam ICU.” Beritahu Shah kalut.
En. Jamaluddin memandang ahli keluarganya.
“ Macam nilah pakcik, ….izinkan saya memperisterikan Diya kalau inilah satu-satunya cara untuk membersihkan nama kita semua. Saya tahu, pakcik sekeluarga tidak mengenali saya, begitu juga dengan saya. Saya kenal Diya pun baru semalam. Apa yang berlaku pada kami bukanlah atas kehendak kami, mungkin ini adalah jodoh kami walaupun dengan cara begini…saya janji, saya akan cuba bahagiakan Diya.” Kata-kata Shahrul itu membuatkan orang tua Diya, Amin dan Diya sendiri tercengang. Shahrul sendiri pun buntu memikirkan hal ini, apa lagi selepas mendapat panggilan telefon dari mamanya yang mengatakan papanya di tahan di ward. Dan dia juga tak menjangka yang dia akan mengeluarkan kata-kata itu dalam keadaan kelam-kabut begini.
“ Tapi…” En. Jamaluddin cuba menegah. Takkanlah begitu cepat lelaki ini membuat keputusan sedangkan apa yang di cadangkan itu memberi impak yang besar buat mereka sekeluarga. Sepatutnya perkara ini di bawa berbincang antara kedua belah keluarga. Lainlah kalau Shah tu sebatang kara.
“ Apa kata pakcik kawinkan aje kami malam ni agar perkara ni dapat diselesaikan dengan segera sebelum perkara di diketahui umum.….saya akan cuba jelaskan hal ini pada orangtua saya dan saya harap mereka dapat terima.” Kata Shahrul dengan setenang yang mungkin. Apa yang di katakan tadi tak mungkin di tarik balik semula. Untuk tidak memanjangkan cerita, hal ini perlu diselesaikan dengan seberapa segera yang boleh. Malam ini pun tak apa. Janji dapat di selesaikan.
En. Jamaluddin memandang wajah Diya, cuba meminta pendapat. Diya hanya diam, dia buntu untuk membuat keputusan. Terasa apa yang berlaku adalah terlalu mendadak dan keputusan Shahrul yang mahu mereka berdua di nikahkan segera malam ini juga membuatkan dia rasa tak cukup nafas untuk bernyawa.
“ Diya, apa pendapat Diya. Diya sanggup terima Shahrul sebagai suami Diya?” tanya En. Jamaluddin. Dia tak mahu membuat keputusan sendiri kerana ini melibatkan soal masa depan anaknya. Memang dia rasa ini adalah keputusan yang terbaik bagi menutup aib keluarga tapi semua ini boleh dirundingkan lagi kalau Diya menolak. Dia mahukan yang terbaik untuk anak gadisnya itu.
“ En. Shah…En. Shah yakinke yang perkahwinan ini membuatkan kita bahagia?...macam mana dengan keluarga En. Shah?...mungkin En. Shah dah punya anak atau pun isteri!” kata Diya serba salah untuk menerima cadangan itu. Baginya, banyak impian yang belum terlaksana. Bagi Diya, dia masih lagi muda untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Lagi pun, dia baru tamat pengajian, baru mencecah usia 24 tahun.
“ Diya jangan bimbang….saya belum berkahwin.” Shahrul mengukir senyum.
  Diya!” Amin menghampiri Diya.
“ Along, maafkan Diya kalau Diya dah kecewakan along.” Mohon Diya sambil memegang tangan abangnya.
“ Diya jangan risau, along akan sentiasa menyokong Diya kerana Diya adalah satu-satunya adik yang along sayang,” ucap Amin membuatkan hati Diya bertambah sebak. Kalau tidak mengenangkan saat ini mereka berada di hadapan orang luar, pasti tubuh abangnya itu di peluk erat.
“ Macam nilah…sekarang kita semua ke rumah pakcik, di sana nanti kita dapat berbincang dengan baik dan pakcik harap masalah ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.” Kata En. Jamaluddin dan dipersetujui oleh yang lain.


SELESAI solat Isyak berjamaah, maka dengan rasminya Diya menjadi isteri Shahrul dengan hanya sekali lafaz. Shahrul juga menyediakan wang RM 10 ribu sebagai mas kawin. Jemy turut hadir sama dalam majlis itu dan ternyata Jemy benar-benar terkejut menerima berita itu. Bukan main bulat lagi mulutnya ternganga, nasib baik tak pengsan. Dahlah badannya kurang sihat, dapat pula berita yang tidak di jangka. Berita hot dan tergempar! Kalau masuk majalah atau akhbar…mesti tersenarai dalam berita sensasi ni. Tapi….dia orang berdua ni bukannya artis, sensasi ke? Jemy mengetuk kepalanya perlahan. Apasallah aku ni melalut jauh sangat ni.
“ Saya minta maaf sebab tak dapat menyediakan wang hantaran untuk pakcik sekeluarga kerana ini berlaku secara mendadak. Hanya wang sebanyak itu saja yang mampu saya sediakan buat masa sekarang.” Kata Shahrul sebaik sahaja semua tetamu yang di jemput sudah pulang. Hanya beberapa orang sahaja yang di jemput, sekadar untuk memenuhi syarat.
“ Tak mengapa. Yang penting, perkara yang wajib telah kita laksanakan. Lepas ni baru kita fikirkan pasal majlis dan kenduri. Ayah bukannya nak jual anak tapi apa yang penting adalah kebahagiaan anak ayah. Ayah harap Shah dapat menjaga Diya dengan baik kerana lepas ni semua tanggungjawab akan terletak di bahu Shah. Bukan bermakna ayah telah melepaskan 100% tanggungjawab pada Shah, tapi sebagai seorang suami, Shah patut jalankan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin. Kalau ada sebarang masalah, jangan segan bertanya dan berbincang…ayah akan sentiasa ada untuk membantu.” En. Jamaluddin menepuk perlahan bahu Shahrul yang masih lengkap berbaju melayu warna biru muda milik Amin. Nasib baik muat. Sebaik sahaja Shahrul sah menjadi suami Diya, En. Jamaluddin terus menganggap lelaki ini sebagai menantunya dan terus membahasakan dirinya sebagai ayah dengan harapan Shahrul akan selesa.
“ Terima kasih ayah kerana menerima Shah. Shah janji Shah akan jaga Diya dengan sebaik mungkin. Shah pun mempunyai banyak kelemahan tapi Shah akan cuba menjadi yang terbaik agar Shah tidak mengecewakan ayah sekeluarga, lebih-lebih  lagi buat Diya,” janji Shahrul.
“ Shah, tolong jaga Diya…jangan sakiti hati dia kerana aku tak sanggup lihat dia menangis dan kecewa.” Pesan Amin.
Shahrul mengangguk perlahan. Hati kecilnya benar-benar berharap apa yang berlaku ini dapat diterima dengan baik oleh orangtuanya sebagaimana orangtua Diya menerimanya. Selama ini mama mengharapkan agar dia menerima Hanim Suraya sebagai isteri tapi dia tetap menolak kerana merasakan perempuan itu tidak sesuai dengannya. Baginya Hani suka mendesak dan mengongkong hidupnya. Dia jadi begitu kerana mendapat sokongan dari mama. Apa agaknya penerimaan mama kalau dia tahu hal ini? Dengan papa dia boleh bertolak ansur tapi mama, susah sikit. Bagaimana caranya dia nak memujuk supaya mama dapat menerima Diya sebagai menantu. Kalau nak di kira taraf kewangan, keluarga Diya juga orang yang berharta dan agak terkenal di bandar ini walaupun mereka tidak menyatakannya tapi semua itu cukup jelas pada penglihatannya walaupun untuk pertama kali bersua. Lihat saja rumah dan perhiasan dalamannya, cukup mewah. Sama seperti yang di milik oleh keluarganya.


JEMY memegang erat tangan Diya, sedaya upaya dia mahu menyokong Diya agar temannya dapat bertenang. Dia tahu apa yang sedang dirasai oleh Diya sekarang walaupun bukan dia yang berada di tempat itu. Ketika ini hanya mereka berdua berada di bilik itu. Diya masih lagi mengesat hidungnya yang berair dengan tisu akibat menangis.
“ Sabar ya, Diya. Mungkin semua ini dugaan untuk kau supaya kau tabah. Kau patut rasa gembira dan bersyukur kerana jodoh kau dengan lelaki yang buat hati kau berdebar pada pertemuan pertama seperti yang kau impikan.” Pujuk Jemy.
“ Aku tahu tapi apa yang berlaku sekarang buat aku resah. Memang En. Shah tu lelaki pertama yang buat hati aku berdebar tapi cara kami di jodohkan buatkan aku rasa sedih.  Aku juga dah buat keluarga aku, terutama ibu dan ayah aku malu, dan aku tak mengharapkan dengan cara ini aku dinikahkan. Aku takut aku tak dapat nak hadapi perkahwinan aku ini dengan tabah sebab aku tak kenal siapa suami aku. Aku kenal dia pun baru semalam, tiba-tiba kena kawin…aku rasa aku tak bersedia nak hadapi semua ini.”  Diya mengesat air mata yang menitis keluar.
  Kau tak rasake apa yang berlaku pada kau dan En. Shah tu perbuatan khianat seseorang yang cemburukan kau!” kata Jemy dengan rasa sangsi. Hati kecilnya berat mengatakan semua ini adalah rancangan seseorang yang mahu mengenakan Diya.
“ Maksud kau…semua ini di rancang?” bulat mata Diya memandang tepat ke wajah Jemy.
“ Aku rasalah…tapi aku tak berani nak tuduh sesiapa. Tapi aku percaya, lambat laun semuanya akan terbongkar!” kata Jemy mula yakin dengan apa yang difikirkan.
“ Aku pun rasa macam tu, kalau betullah ada orang yang sengaja nak mengenakan aku…aku harap dia akan terima balasannya kerana Allah itu Maha Adil.” Sambung Diya sambil mengeringkan air matanya.
“ Sekarang ni, apa rancangan kau…nak teruskan kerja di hotel tu sampai hujung minggu ni ke atau kau nak ikut suami kau tu balik KL?...kalau kau ikut dia, aku dah tak ada kawan nanti,” Jemy mula muram.
“ Aku akan berhenti terus dari kerja kat hotel tu, lagi pun aku dah bagitahu kat Pn. Khadijah yang aku memang nak berhenti hujung minggu ni. Jemy, aku dah cukup malu dengan apa yang berlaku, takkanlah aku nak buat benda yang berlaku tadi tu hanya mimpi. Pasal nak ikut En. Shah balik KL tu…aku belum bincangkan lagi. Aku rasa aku tak ikut kot dalam masa terdekat ni, biarlah dia selesaikan perkara ni dengan keluarga dia dulu.” Itulah yang di fikirkan oleh Diya sejak tadi. Dia takut nak membayangkan apa yang bakal berlaku sekiranya dia terus mengikut Shahrul balik ke Kuala Lumpur esok pagi.
“ Dah lewat ni, aku rasa baik aku balik dulu…apa –apa hal kau contact aku ya! Malam ni kau kena hati-hati…mana tahu suami kau terus ngap kau, jadi kenalah bersedia ya!” sebelum pergi, sempat lagi Jemy mengusik Diya.
“ Kau ni…” segan pula Diya mendengar usikan Jemy. Mereka berjalan beriringan keluar dari bilik Diya untuk ke ruang tamu.
“ Selamat malam. Aku balik dulu ya!” Jemy mendapatkan orangtuanya yang sedang menunggu di ruang tamu. Diya menghantar temannya itu sampai ke muka pintu.
“ Diya!” Shahrul tiba-tiba memanggil Diya selepas kepulangan Jemy dan orangtuanya.
“ Ya,” Diya segera menghampiri Shahrul yang berada di ruang rehat. Ketika ini dia keseorangan di sofa. Mungkin orangtua Diya sengaja memberi peluang untuk mereka berdua.
“ Ada apa-apa yang awak nak cakapkan?” tanya Diya sebaik saja melabuhkan punggung di sebelah Shah.
“ Pertama sekali saya nak minta maaf sebab perkahwinan kita ni bukan seperti yang Diya harapkan. Dan apa yang berlaku pada kita hari adalah sesuatu yang di luar jangkaan tapi percayalah, saya akan cuba yang terbaik agar apa yang berlaku pada kita membuatkan kita lebih tabah menghadapi cabaran yang mendatang.
 Saya rasa ada seseorang yang tidak senang melihat orang lain bahagia tapi saya tak dapat nak pastikan siapakah orang itu. Saya percaya suatu hari nanti semua ini akan terbongkar!” Diya terdiam mendengar kata-kata Shah. Apa yang diungkapkan oleh Shah mengingatkan Diya pada kata-kata Jemy. Mereka di khianati. Tapi siapa?
“ Diya, sebentar lagi saya akan bertolak balik KL, jadi saya nak tanya….Diya nak ikut saya?” soal Shah. Dia mahu berbincang dengan Diya terlebih dahulu sebelum menyuarakannya pada orangtua Diya nanti.
“ Awak tak kesah benarkan saya tinggal di sini buat seketika. Atau setidak-tidaknya selepas majlis kawin kita, lagi pun soal perkahwinan kita ini belum di maklumkan pada orangtua awak. Saya takut mereka terkejut dan yang lebih teruk, mereka tak dapat terima saya!” memang itu yang dikhuatirkan oleh Diya. Bukan senang untuk Diya masuk dalam keluarga baru, apa lagi nak menyesuaikan diri. Kalau dapat mertua yang okay, tak apa…tapi kalau dapat yang bermasalah, alamat makan hatilah dia nanti. Apa lagi dengan cara mereka di satukan. Kawin kerana kena tangkap basah. Bolehkah keluarga Shah menerima dia seperti mana orangtuanya menerima Shah.
“ Saya faham.” Kata Shah yang telah beberapa kali cuba menghubungi mamanya untuk mengetahui tentang perkembangan papanya.
“ Erm…awak tak nak berehat sekejap ke sebelum bertolak balik?...” tanya Diya bila melihat mata Shah yang hampir layu. Penat barangkali menguruskan kerjanya. Apa lagi bila memikirkan kejadian yang berlaku hari ini.
“ Hm….” Jawab Shah ringkas.
“ Diya, kenapa tak masuk bilik lagi? biarlah Shah ni berehat.” tiba-tiba Pn. Hasmah muncul mengejutkan Diya dan Shah.
“ Awak masuklah berehat kat bilik saya, saya tidur kat bilik tamu.” Kata Diya.
“ Kenapa macam tu pulak, kamu berduakan dah jadi suami isteri!” Pn. Hasmah memandang hairan wajah pengantin baru itu.
“ Diya belum bersedia lagi ibu.” Balas Diya membuatkan Pn. Hasmah mengeluh perlahan.
“ Tak apalah ibu, biar Shah aje berehat sekejap di bilik tamu. Lagi pun kejap lagi Shah nak bertolak balik KL. Rasa tak sedap hati pulak selagi tak tengok keadaan papa,” Diya mengeluh lega mendengar kata-kata Shah. Dalam diam dia mengucapkan terima kasih.
“ Tak apalah kalau korang berdua pun belum bersedia, tapi jangan pulak  lepas ni Shah berjalan masuk bilik Diya, pura-pura mengingau!” Pn. Hasmah ketawa kecil. Sengaja nak menyakat Shah. Shah ketawa kecil. Kalau dia dan Diya dah lama kenal, tak mustahil malam ni dia merayap masuk ke bilik Diya tapi mereka baru aje kenal dan dia sendiri pun belum bersedia.
`Bateri nak habis pulak!` Shah memandang telefonnya.
“ Ibu, Shah rasa baik Shah bertolak sekarang aje, Shah rasa tak sedap hati.” Shah mengubah cadangan. Tadinya dia mahu berehat seketika sebelum bertolak tapi entah kenapa hatinya tiba-tiba resah dan tak sedap hati.
 “ Abang…” laung Pn. Hasmah memanggil suaminya.
“ Ada apa ni?” En. Jamaluddin yang masih mamai muncul di ruang tamu.
“ Shah ni dah nak balik KL sekarang,” beritahu Pn. Hasmah.
“ Tak boleh tunggu esok ke….ayah risau Shah balik malam-malam ni, Diya ikut sekali ke?” En. Jamaluddin mula risau.
“ Tak…Shah takut mama pula yang terkejut kalau dia lihat Shah tiba-tiba balik bawa perempuan di saat papa terlantar di hospital. Shah rasa elok Shah slow talk dengan mereka dulu. Lepas tu baru Shah bawa mereka jumpa ayah dan ibu untuk bincangkan hal kami,” kata Shah.
En. Jamaluddin dan Pn. Hasmah mengangguk perlahan. Mereka turut bersetuju dengan cadangan itu. Shah masuk ke bilik tamu seketika dan keluar semula dengan membawa begnya.
“ Diya, saya pergi dulu. Esok atau lusa saya akan balik semula ke sini,” kata Shah sambil melangkah ke muka pintu diikuti oleh Diya dan  orangtuanya.
“ Nanti sampaikan salam kami pada orangtua Shah ya, hati-hati memandu.” Pesan En. Jamaluddin.
“ Ops, saya hampir terlupa…nombor telefon awak untuk saya hubungi nanti!” kata Shah sambil mengeluarkan telefonnya untuk mencatat nombor telefon Diya.
“ Alamak…bateri dah habis, nanti saya change dalam kereta. Awak tulis aje atas kertas,  esok saya akan hubungi awak!” kata Shah membuat janji.
“ Kejap”
Diya muncul semula dengan membawa kertas kecil berlipat mengandungi nombor telefonnya. Betul juga kata Shah, takkanlah dia yang nak hubungi lelaki itu, timbul rasa malu dan segan. Sepatutnya lelaki yang mulakan, bukannya perempuan. Melainkan dia jadi perempuan yang tak malu.
“ Saya pergi dulu, Assalamualaikum!” kata Shah sebelum bertolak balik ke KL. Dia hanya diam memerhati kereta BMW itu berlalu pergi.
Diya masuk semula ke dalam biliknya. Punggungnya di labuh di katil sambil mengeluh perlahan. Diya mencapai tuala mandi. Badannya terasa melekit dan baju kurung yang melekat di tubuhnya juga sudah basah akibat berpeluh. Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam, dia perlu membasahkan tubuh agar dapat tidur dengan selesa.
Sebaik saja pintu bilik airnya di kuak, telefonnya mula berbunyi. Cepat-cepat Diya mendapatkan telefonnya. Mungkin Shah yang menghubunginya tapi ternyata sangkaannya meleset. Nama Aniq yang tertera di skrin. Sedaya mungkin dia cuba mententeramkan diri. Buat masa sekarang biarlah soal pernikahannya menjadi rahsia untuk Aniq. Pada abangnya juga dia berpesan. Sampai masanya dia akan berterus-terang dengan lelaki itu.


SHAHRUL memaksa dirinya agar bertenang walaupun matanya benar-benar mengantuk. Sudah beberapa kali dia hampir terbabas, nasib baik dia cepat tersedar dan terus beristighfar. Dalam masa yang sama otaknya ligat mengarang ayat yang bakal di persembahkan pada orangtuanya nanti. Bukan hanya pada orangtuanya sahaja, dia juga perlu berhadapan dengan Hanim Suraya. Dia benar-benar berharap kedua orangtuanya dan juga Hanim dapat menerima apa yang telah berlaku padanya. Dan yang penting, mereka dapat menerima Diya sebagai isterinya. Mungkin buat masa sekarang tiada rasa cinta untuk Diya tapi ada rasa indah dan bahagia bila pertama kali dia bertemu dengan gadis itu. Dia hairan, bagaimana begitu mudah dia membuat usul untuk memperisterikan Diya  petang tadi sedangkan sebelum ini dia belum bersedia memikul tanggungjawab atau pun mahu terikat dengan sebarang komitmen. Mungkin Diyakah jodoh untuknya, kalau tidak sudah lama dia menerima Hanim dalam hidupnya.
Shah menggosok-gosok matanya, Lagu yang di pasang membuatkan dia rasa tidak kesunyian. Kalau boleh dia mahu cepat sampai dan bertemu dengan orangtuanya. Shah menutup mulutnya yang tak henti-henti menguap sehinggakan menganggu tumpuan dia memandu. Kalau berhenti, pasti dia akan lambat sampai. Ah, redah aje!
Shah memandang ke hadapan. Tiba-tiba lampu kenderaan di hadapan mengganggu pandangan, terlalu silau menyebabkan tumpuannya terganggu dan tak lama kemudian bunyi satu dentuman yang cukup kuat. Shah terus memejam matanya. Apa yang berlaku sekarang sudah tiada dalam fikirannya.

Sunday, 7 April 2013

Diakah Mr. Perfect Aku 6





Bab 6

D
IYA berkejaran menuju ke pintu utama hotel kerana menyedari yang dia sudah kelewatan. Gara-gara bergayut sampai lewat malamlah, pagi ini dia terbabas. Kalau bukan kerana ibu mengejutkannya pagi ini, mungkin sekarang ini dia masih lagi berselimut di atas katil dengan mata yang cukup katuk. Selepas kehadiran Aniq minggu lepas, boleh dikatakan setiap malam lelaki itu akan menghubunginya dan mereka terus berbual hampir berjam-jam lamanya. Pelbagai topic telah di bincangkan oleh mereka. Diya pun tak sangka yang dia bisa melayan lelaki itu berbual tanpa jemu. Hari demi hari, dia rasa yang dia mula senang dengan sikap dan perhatian Aniq padanya. Pernah dia berfikir, patutkah dia menerima lamaran dari lelaki itu!
“ Ops!” dengan tidak disengajakan Diya merempuh tubuh seseorang.
So….sorry,” Diya kaku berdiri di situ sambil menelan liur. Entah kenapa hatinya tiba-tiba berdebar saat matanya memandang wajah lelaki yang di di rempuhnya tanpa sengaja ini. Bagaimana harus dia nyatakan apa yang sedang di alami oleh hatinya ini.
Dup…dap….dup….dap….Diya meletakkan tangan kanannya di dada. Perlahan-lahan air liur di telan sambil matanya terus terpaku menatap wajah lelaki di hadapannya.
Ah, kenapa dengan hati aku ni! Parah….parah…kenapa tetiba berdebar-debar  lain macam ni? Jemy….tolong aku! Jerit hati kecil Diya penuh penasaran.
“ Cik….cik okay ke?” tiba-tiba telinga Diya di ganggu dengan pertanyaan itu. Serta merta dia tersentak, apa lagi bila matanya melihat ada tangan yang terawang-awang di ruang matanya. Tangan lelaki itu! Malunya…. Muka Diya sudah bertukar warna. Tambahan pula telinganya turut menangkap bunyi halus ada gelakan kecil. Diya memandang sekitar. Ada yang sedang menoleh ke arahnya, memandangnya dengan pandangan hairan dan ada juga yang sedang mencebik. Hish….manusia, pelbagai ragam.
“ Cik okay tak ni?” suara itu sekali lagi menusuk masuk menerusi cuping telinga Diya.
“ Ar….saya okay, saya okay….” Diya menggelabah. Nak buat reaksi macam mana ni? Diya menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“ Maaf…saya pergi dulu,” Diya tergesa-gesa berlalu pergi. Tidak menghiraukan lelaki itu lagi. Biarlah. Kalau aku terus di situ, tak mustahil aku akan terkena serangan jantung atau lebih parah lagi, hati aku akan terus jatuh dan tercicir. Kalau tak sempat nak kutip , matilah aku! Siapa yang nak bertanggungjawab nanti?
Diya terus melangkah laju, beg sandang yang berada di belakangnya tadi di pegang. Dia tak sanggup nak menoleh lagi, cukup malu. Tapi hati kecilnya tetap meronta, kalau boleh dia mahu bertemu dengan lelaki itu lagi.
“ Fuh, lega…nasib baik punch card tak merah!” Diya mengeluh lega.
“ Lambat hari ni,” tegur Marini ketika Diya memasukkan beg sandangnya dalam kabinet.
“ Terbabas tidur.” Selamba Diya menjawab. Dah memand betul pun.
“ Ini mesti bergayut sampai lewat malamkan….tengok muka pun dah tahu,” kata Marini lagi.
“ Ya ke….ada tertulis kat muka Diyake?” Diya meraba-raba mukanya seketika. Terkejut juga, macam mana Marini boleh tahu.
Marini tergelak kecil sambil mengeleng kepala seketika.
“ Tak adalah tertulis kat muka Diya tu…tapi, itukan sikap orang muda…tengah hot bercintalah, katakan…” kata Marini.
“ Apalah kak Rini ni…bila masa pula Diya tengah  hot bercinta ni…pakwe pun tak ada, nak bercinta apa nya!” Diya tergelak kecil. Hish, kak Rini ni pandai-pandai aje buat andaian yang tak betul.
“ Habis….si Safwan tu bukan  pakwe Diya ke?...dia pun lambat sampai hari ni,” kata-kata Marini membuatkan Diya menelan liur. Safwan pun sampai lambat?
“ Mana ada, En. Safwan tu bukan pakwe Diya…dia tu kan pakwe cik Zanita, takkanlah kak Rini tak tahu,” Diya menafikan tuduhan itu.
“ Ya ke?...bukankah selama ini dia duk usha Diya, bukannya cik Zanita. Kak Rini tahulah yang cik Zanita tu memang syok kat En. Safwan tapi En. Safwan tu dah syok kat Diya,” dahi Marini mula berkerut.
“ Itu memang betul, tapi yang tak betulnya En. Safwan tu bukan pakwe Diya. Diya memang tak boleh terima dia sebab Diya sikit pun tak ada perasaan pada dia. Janganlah kak Rini tuduh yang macam-macam pulak, kesian kat Diya tau.” Jelas Diya dengan harapan isu itu akan di lupakan.
“ Maaflah kalau Diya rasa kak Rini ni menyibuk. Kak Rini pun cuma dengar cakap-cakap orang je….tapi kalau dah begitu kata Diya, kak Rini gembira. Kak Rini pun tak berapa berkenan sangat dengan perangai En. Safwan tu…kadang-kadang dia ok, kadang-kadang ko juga, macam cik Zanita tu. Rasanya mereka berdua tu memang sepadankan!” kata Marini.
“ Harap-haraplah lepas ni tak ada gossip pasal Diya lagi. Diya datang sini nak kerja, nak cari pengalaman, bukannya nak cari beban…” kata Diya.
“ Hmm…ya tak ya juga. Jomlah…nanti bising pula mak nenek tu,” kata Marini.
“ Mak nenek?...siapa tu?” soal Diya sambil memandang wajah Marini yang sudah mengukir senyum.
“ Siapa lagi….cik Zanitalah….tak kanlah Pn. Khadijah pulak,” Marini tergelak. Begitu juga dengan Diya. Pn. Khadijah yang bertugas sebagai Pengurus hotel itu seorang yang baik , sabar dan perihatin, berlainan sekali dengan perangai  anak saudaranya, Cik Zanita tu. Mungkin sebab mak saudaranya seorang pengurus di sini, itu yang dia naik toncang agaknya.


PINTU bilik di kuak perlahan selepas memasukkan kad. Diya terus melangkah masuk ke bilik itu sambil menolak troli berisi alat membersihkan bilik. Serentak kepalanya mengeleng laju dengan matanya membulat melihat fenomena di hadapannya. Sepanjang dia bekerja mengemas bilik di hotel ini, inilah kali pertama dia melihat situasi bilik yang sangat teruk. Naik semput nafasnya. Cukup berselerak dengan cadar yang entah ke mana dan sisa makanan serta minuman yang bertaburan di merata tempat. Dahsyatnya!
“ Hish…manusia ke haiwan yang menginap kat bilik ni, teruknya!” rungut Diya sambil mengeleng kepala. Dia dah naik pening. Ini belum tengok lagi bilik air. Bilik ni pun dah jadi  macam tongkang pecah.
“ Kalau dah macam ni punya bilik, bagaimanalah dengan orangnya. Mesti serabai tahap gaban,” Diya tergelak kecil.
Diya menarik nafas seketika, mengambil mood untuk meneruskan kerja. Selepas itu lincah tangannya memulakan kerja membersihkan bilik itu.  Sisa makanan dan minuman di masukkan ke dalam plastic sampah, begitu juga dengan sampah sarap yang lain. Cadar yang kotor dan tersorot di bawah katil di ambil dan di gantikan dengan yang baru. Dia juga memastikan bilik air juga dalam keadaan bersih sebelum meninggalkan bilik itu.
“ Hm….baru nampak rupa bilik orang.” Diya mengukir senyum. Lega kerana tugasnya berjalan dengan lancar. Peluh yang menitis di dahi di kesat. Walaupun bilik beraircond, tapi peluh tetap keluar. Maklum saja, kerja-kerja membersih bilik dan tandas adalah satu kerja yang memenatkan. Perlukan kesabaran dan ketelitian agar hasil kerja nampak memuaskan. Dia tak mahu mendengar sebarang komen dari mana-mana pihak  berkaitan dengan hasil kerjanya.
Diya menekan-nekan tulang belikatnya yang sakit dan lenguh-lenguh. Dia terpaksa mengambil masa yang agak lama membersihkan bilik ini berbanding dengan bilik-bilik yang lain. Biarlah ini menjadi satu pengalaman buatnya. Tinggal seminggu aje lagi dia bekerja kat sini. Lepas ni, bolehlah dia bye…bye…kat semua orang kat sini. Ah, tak sabarnya rasa. Tapi…ada sesuatu yang membuatkan hatinya resah seketika. Lelaki itu!
Diya sudah bersedia untuk keluar dari bilik itu. Dia menolak troli keluar dari bilik  dan kakinya mula melangkah sambil mulutnya menyanyi-nyanyi kecil. Tiba-tiba lagu I`m in love berkumandang membuatkan langkahnya terhenti dan tangannya pula menyeluk poket bajunya. Telefon bimbit segera di keluarkan.
“ Hello, Jemy…apa hal kau call aku ni?” Diya terus bersuara sebaik sahaja melihat nama Jemy tertera di skrin telefonnya. Sambil itu dia terus menyambung langkah untuk membersihkan bilik yang lain pula. Tangan kirinya memegang telefon sementara tangan kanannya terus menolak troli.
“ Auch!...what the hell are you doing?” Diya terkejut dan langkahnya terus mati bila tiba-tiba telinganya mendengar satu suara merungut dengan kuat. Telefon yang di pegangnya terlepas sebaik sahaja matanya terpaku memandang wajah empunya suara itu. Lelaki tadi!
Diya segera tunduk dan mengutip semula telefon yang jatuh. Nasib baik tak berkecai telefonnya.
I`m sorry, saya minta maaf…betul-betul minta maaf. Saya tak sengaja nak melanggar encik…” Diya segera memohon maaf kerana menyedari itu adalah kesilapannya. Punyalah asyik bergayut sampai tak sedar troli yang di pegangnya telah merempuh tetamu hotel itu dan yang paling sadis bila matanya terus terpaku pada helaian dan fail yang berterabur di kaki lelaki itu.
Diya segera merapati lelaki itu dan terus tunduk di kakinya, bukan sujud tapi tangannya lincah mengutip helaian kertas dan fail di kaki lelaki itu. Lelaki itu terus berdiri kaku di situ, mungkin dia juga terkejut bila Diya terus tunduk dan mengutip kertas-kertasnya.
“ Maafkan saya….saya betul-betul tak sengaja melanggar encik tadi,” mohon Diya sambil menyerahkan kertas dan fail yang di kutipnya tadi. Diya menelan liur bila lelaki itu tidak bersuara. Aik, bisuke?...tadi ada suara.
“ Encik, kertas encik yang terjatuh tadi,” Diya menghulurkan kertas.
“ Oh!, terima kasih.” Ucap lelaki itu sambil menyambut huluran Diya. Sedikit senyuman terukir di bibirnya. Hati Diya mula berdebar.
“ Sama-sama.” Balas Diya sambil menghadiahkan senyuman.
Lelaki itu terus memandang wajah Diya seketika membuatkan Diya mula resah. Janganlah lelaki ni buat hal, atau ugut  nak buat laporan kat Pn. Khadijah. Naya dia nanti.
Sekali lagi senyuman terukir di bibir lelaki itu, kali ini Diya benar-benar tergamam melihat senyuman lelaki itu, cukup menawan dan menarik. Penampilan yang cukup bergaya, kemeja putih, bertali leher maron, dengan kot dan seluar hitam.
“ Cik Nadya!” lelaki itu bersuara selepas memandang tanda nama di baju Diya.
“ Ya, saya.” Diya menjawab perlahan sambil menundukkan wajah seolah-olah sedang menanti hukuman yang bakal di jatuhkan dengan dada yang cukup berdebar. Bukan hanya debaran menunggu hukuman tapi juga debaran yang cukup hebat melanda hatinya saat matanya bertatapan dengan lelaki itu. Adakah lelaki ini Mr. Perfect yang di tunggu-tunggunya selama ini. Perasaan yang sama seperti yang telah di bayangkan sebelum ini. Kalau ya, alangkah bahagianya dia. Tapi kalau bukan, perlukah dia menunggu lagi?
“ Lain kali tolong hati-hati ya bila melangkah, apalagi bila menolak troli, jangan asyik bergayut aje…nasib baik saya yang di langgar, kalau ada longkang kat depan….kan naya cik Nadya nanti, bukan hanya sakit yang di terima…tapi malu yang lebih di rasa. Betul tak?” kata-kata lelaki itu membuatkan kepala Diya makin menunduk. Walaupun ketika ini fizikal dia tak sakit, tapi memang, perasaan malu yang di tanggungnya terasa lebih hebat.
“ Er…terima kasih atas nasihat tu. Saya hargainya, saya pergi dulu.” Tanpa berlengah Diya terus berlalu pergi sambil menolak troli itu. Harap-harap lepas ni dia tak akan bertemu lelaki itu lagi. Malu! Tapi debaran di hati…macam mana?



SHAHRUL tersenyum melihat gelagat gadis itu. Nampak kalut tapi menarik tingkah lakunya. Ini kali kedua mereka berlanggar hari ini. Sejak berlanggar pagi tadi, dia sudah pun cuba mencari-cari wajah itu tapi tak jumpa. Dan sekarang, wajah manis dan comel itu muncul lagi. Dan dia yakin bahawa dia akan bertemu gadis itu lagi. Ada sesuatu yang menarik tentang gadis itu yang membuatkan bibirnya mengorak senyum sepanjang pagi tadi.
Shahrul menyeluk poket seluarnya untuk mengeluarkan kunci bilik. Tiba-tiba dia terasa kasutnya terpijak sesuatu. Kasutnya di kalih dan matanya terpaku menatap sesuatu yang bersinar.
“ Rantai leher siapa ni?” dia tunduk dan tangannya terus mencapai rantai emas.
“ Diya?” terukir nama itu di rantai emas yang ada dalam gengamannya.
“ Diya….bukankah….Diya, Nadya……mungkin rantai ni milik gadis tadi.” Shahrul menggenggam kemas rantai emas itu sebelum memasukkan ke dalam poket bajunya. Dia akan mengembalikan rantai ini pada empunya diri dan inilah peluang untuk dia bertemu lagi dengan gadis itu.
Shahrul terus melangkah masuk ke bilik hotel penginapannya. Punggungnya terus di labuh di katil empuk. Kot hitam yang di pakainya di buka dan di letak di atas kerusi. Butang kemeja di buka satu persatu. Dia terus merebah badannya di katil.
“ Ah, selesanya.” Shahrul melepas lega. Hampir dua jam dia terpaksa menghadiri mesyuarat dengan beberapa pihak berkaitan dengan projek yang bakal di laksanakan tidak lama lagi. Pada awalnya dia dan Carl yang menguruskan  mesyuarat di sini tapi lelaki itu terpaksa membatalkan perjalanan ke sini di saat-saat akhir kerana terlibat dengan hal lain. Nak cari pengganti, masa dah suntuk. Jadi terpaksalah dia datang seorang diri. Dan kalau semua urusannya  di sini selesai, petang esok dia akan pulang semula ke Kuala Lumpur setelah dua hari di sini.
Shahrul menggagai mencari rantai emas tadi, rantai itu di renung seketika. Dan di saat itu juga wajah Diya mula terbayang di matanya. Wajah yang cantik dan menarik. Sudah berpunyakah dia?
Tumpuan mata Shahrul beralih arah bila telefonnya mula berbunyi. Rantai emas yang ada di tangannya di letak di tepi. Dia mengeluh perlahan saat matanya memandang nama yang tertera di skrin telefonnya.
“ Hello!” jawabnya malas.
Hi sayang, you tengah buat apa tu?” suara manja di talian menusuk ke telinga Shahrul.
“ I tengah rehat, baru selesai meeting…apa hal you call I ni, I penat….I nak berehat!” tegas Shahrul bersuara, malas nak melayan panggilan itu. Dia rimas setiap kali menerima panggilan itu.
I miss you….bila you nak balik KL…I nak jumpa, sayang.” Shahrul mencebik, sudah terbayang wajah gadis itu. Kalau boleh dia ingin segera mematikan talian. Dia benar-benar perlukan rehat. Pagi esok dia akan bertolak balik ke KL, jadi kalau boleh dia mahu rehat yang cukup.
“ Hani, nanti I call you balik ya. Sekarang ni I betul-betul nak rehat,” kata Shahrul cuba mengawal perasaan.
“ Sayang, you ni kan…sengaja nak mengelak dari I…nanti I adukan pada mama you, baru you tahu!” ugut Hanim Suraya, dia mula meradang dengan sikap Shahrul. Lelaki itu memang selalu melayannya begini. Cukup dingin.
“ You ni,…manja tak bertempat. Benda macam ni pun asyik nak mengadu kat mama I, I rimas betul dengan sikap you ni… I tak suka di ganggu bila I perlukan rehat .” Tegas Shahrul sambil mengatur langkah ke balkoni hotel. Mata Shahrul kemudiannya terpaku memandang wajah seseorang yang sedang bergelak tawa dengan rakan sekerjanya. Senyuman gadis itu benar-benar memikat.
“ Sayang….you ni kan…” jerit Hani dengan rasa terkilan di atas sikap Shahrul itu.
Sorry Hani, I`ll call you back.” Shahrul segera mematikan talian, tidak peduli apa pun kata-kata Hani di hujung talian.


JEMY begitu asyik bercerita tentang perancangan bersama teman lelakinya dan Diya pula begitu tekun mendengar. Diya tumpang gembira mendengar celoteh Jemy mengenai teman lelakinya. Dan kebetulan, baru sebentar tadi dia mendapat panggulan dari Aniq. Menyatakan rasa rindunya pada Diya. Diya yang mendengar mula rasa bahagia. Mungkin inilah yang dirasai oleh jemy setiap kali menerima panggilan telefon dari Leman. Walau sesibuk mana pun, Leman akan tetap menghubungi Jemy.
“ Diya, aku rasa elok kau terima aje abang Aniq kau tu….sejak dapat panggilan telefon dari dia, kau asyik senyum memanjang aje. Aku pun naik rimas tengok. Dah macam orang angau pun ada,” kata Jemy.
  Eh, mana ada. Aku bukan teringatkan abang Aniq pun…aku cuma….” Sangkal Diya. Takkanlah dia nak bagi tahu tentang pertemuannya dengan lelaki tadi. Apa kata Jemy nanti, baru jumpa dah angau. Tapi…bukankah ini yang pernah dia nyatakan sebelum ini. Mr. Perfect akan dia jumpai sekiranya kali pertama mereka bertemu, lelaki itu bisa membuatkan hatinya berdebar dan lelaki tadi telah berjaya mengoncak hatinya. Perlukah dia bagi tahu Jemy…ah, tak perlulah. Mungkin dia aje yang lebih, lelaki itu tak ada rasa apa-apa pun.
“ Hai!”
Diya dan Jemy saling berpandangan. Hati Diya mula tak keruan melihat wajah yang lelaki yang sedang berdiri di hadapan mereka sekarang. Lelaki itu nampak segak dengan mengenakan t`shirt biru berkolar dan seluar hitam.
“ Hai, er…encik ni siapa ya, atau encik perlukan sebarang bantuan?” Jemy membuka mulut. Pasti lelaki ini perlukan bantuan, tentu dia sedar bahawa mereka berdua ni adalah pekerja hotel. Lagi pun, tak salah kalau mereka berehat di tepi kolam ini. Inikan waktu rehat mereka. Cik Zanita tak ada hak untuk marah kalau perempuan itu melihat mereka ada di sini.
“ Boleh saya joint saudari berdua di sini?” lelaki itu meminta kebenaran bila melihat kedua gadis di hadapannya nampak resah.
“ Ya, boleh aje.” Jemy memberi kebenaran. Sebelum itu, Jemy sempat melihat sekitar kolam itu, banyak tempat kosong. Kenapa di sini pulak lelaki ini datang menempel? Nasib baik muka kacak, kalau hodoh…ada kemungkinan besar aku halau aje dia kat tempat lain.
Lelaki itu terus mengambil tempat duduk di kerusi berhadapan dengan Diya.
“ Aik, yang kau ni…macam ayam berak kapur ni, kenapa?” Jemy menyiku lengan Diya.
“ Mana ada,” Diya kalut menjawab.
“ Tak sangka dapat jumpa dengan cik Nadya kat sini. Bertuah betul saya dapat jumpa dengan cik Nadya buat kali ke 3 hari ini. Macam berjodoh pulak kita!” lelaki itu terus bersuara sambil memandang tepat ke wajah Diya.
Jemy sudah pandang muka Diya lain macam. Macam ada benda yang di sembunyikan ni.
“ Kau kenalke dengan lelaki ni?” Jemy terus bertanya.
“ Aku terlanggar dengan encik ni 2 kali hari ni…aku…tak sengaja,” beritahu Diya.
“ Saya Shahrul,…Shahrul Hadi. Panggil aje Shah.” Shahrul memperkenalkan diri.
“ Saya Nadya, panggil aje Diya dan ini kawan saya, Jemy.” Diya bersuara.
“ En. Shah buat apa kat sini?...urusan kerja atau bebulan madu?” Jemy menyoal.
“ Ada kerja kat sini…esok saya balik semula ke KL. Maaflah kalau saya mengganggu, sebenarnya saya tak ada kawan kat sini….saja nak borak-borak. Bolehke?” Shahrul bersuara.
“ Boleh aje.  En. Shah ni kerja apa ya?...nampak gaya macam orang business,” Jemy meneliti penampilan Shahrul. Ah, bantai aje. Takkanlah aku nak kata nampak gaya macam penyamun, penyangak, perogol atau kasanova pulak, tak sesuai.
“ Saya kerja dengan papa saya, alah….kerja biasa aje….saya dapat tahu, kat sini ada banyak tempat yang menarik…sayangkan sebab saya tak lama menginap di sini.  Kalau tak, dapat juga beli buah tangan untuk keluarga!” kata Shahrul.
“ Lain kali En. Shahrul boleh datang lagi, kami ni bersedia jadi pemandu pelancong, tapi kenalah bayar pekhidmatan kami tau.” Kata Jemy sambil berlawak. Shahrul ketawa kecil.
Sedang mereka asyik berborak, Diya dikejutkan dengan kedatangan Safwan yang datang dengan wajah masam mencuka.
“ Ada apa En. Safwan?” tanya Jemy bila di lihatnya Diya tak mahu melayan kedatangan lelaki itu.
Safwan menarik nafas seketika. Hatinya panas melihat wajah Diya yang nampak mesra dan rancak berbual dengan lelaki kacak di hadapannya. Bukannya dia tak kenal lelaki itu. Sudah banyak kali lelaki ini berkunjung ke hotel ini atas urusan perniagaan dan dia bukan calang-calang orangnya. Setahunya, lelaki ini sukar di dekati dan tak pernah melayan orang biasa apa lagi pekerja hotel yang kerjanya hanya membersih bilik tapi kenapa kali ini dia melihat sesuatu yang berbeza. Minggu lepas dia melihat Diya bersama seorang lelaki yang dikatakan bakal tunangnya dan sekarang dengan En. Shahrul pula. Kenapalah lelaki-lelaki kacak seperti mereka berdua tu berjaya mendampingi Diya. Dia? Dia pun kacak juga tapi kenapa sampai sekarang dia tak mampu menarik perhatian Diya. Ini yang buat dia tak puas hati.
“ Pn. Khadijah nak jumpa dengan Diya, katanya ada hal penting.” Ujar Safwan.
“ Terima kasih, En. Safwan. Kejap lagi saya jumpa dengan Pn. Khadijah.” Balas Diya. Dia tahu pasti tentang urusan kerjanya.
“ Saya pergi dulu En. Shahrul.” Safwan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Shahrul. Safwan terus berlalu pergi dengan muka serius. Macam bad mood aje. Takkanlah dia jelouse kot tengok Diya dengan En. Shahrul berborak kat sini.
“ En. Shah, saya terpaksa pergi sekarang.  Gembira dapat kenal dengan encik.” Kata Diya dan terus berlalu pergi.
“ Diya, tunggu…saya pun nak ke bilik saya.” Shahrul turut mengangkat punggungnya, begitu juga dengan Jemy. Akhirnya mereka bertiga melangkah masuk ke perkarangan lobi hotel. Tanpa sedar ada sepasang mata yang sedang memerhati dengan rasa yang membara.
“ Tunggu kau Diya, aku akan hancurkan hidup kau!”


DIYA mengajak Jemy pulang bersamanya setelah mendapat tahu yang ayah si Jemy tak dapat menjemputnya. Biasanya Jemy datang dengan motor, tapi katanya tadi motor dia rosak. Itu yang dia minta bantuan ayahnya untuk menghantar ke sini.
“ Eh, itu macam En. Shah.” Jemy bersuara sebelum mengepit topi keledar di celah ketiaknya. Diya yang baru saja menghidupkan enjin motor skuternya terus memandang ke arah lelaki yang di maksudkan oleh Jemy. Memang betul, kelihatan Shahrul sedang menuju ke sebuah kereta BMW bersama seorang lelaki yang hampir sebaya dengannya.
“ Pedulikan, agaknya dia ada hal tu.” Tingkah Diya sambil mengambil topi keledar yang di hulurkan oleh Jemy.
“ Kau dah jatuh hati dengan dia ek?” Jemy memandang wajah Diya.
“ Eh, mana ada. Kau ni…” Diya segera mengalih pandang. Bimbang andai Jemy dapat meneka gelodak di hatinya.
Jemy ketawa kecil.
“ Jangan tipu akulah…tengok muka kau pun aku dah agak yang dia tu Mr. Perfect yang kau tunggu-tunggu selama inikan!” Diya menelan liur. Macam mana Jemy boleh membuat tekaan yang tepat ni, dia ni ahli nujumke?
“ Mengarutlah….” Diya menyembunyikan wajah.
“ Muka kau merah lain macam aje masa dia datang jumpa kau tadi dan aku memang dah agak ada sesuatu yang kau sorokkan dari aku.  Wajah kau masa tu adalah wajah dan ekspresi yang tak pernah kau pamerkan pada mana-mana lelaki sebelum ini, termasuklah abang Aniq kau tu.” Kata Jemy lagi.
Diya mengeluh perlahan.
“ Kau betul. Aku rasa dialah Mr. Perfect aku. Hati aku terus berdetak saat aku bertentang mata dengannya buat kali pertama, kedua dan ketiga…senang cerita, hati aku jadi tak keruan setiap kali aku bertemu dengan dia.” Beritahu Diya.
“ Kau yakinke dengan apa yang kau rasa. Aku tak nak kau tersalah pilih, abang Aniq tu sedang menunggu  kau dan kau pula…aku kesiankan abang Aniq tu. Aku rasa abang Aniq lebih sesuai dengan kau, Diya.” Kata Jemy.
“ Itu perasaan kau…tapi perasaan aku lain. Aku yakin yang En. Shahrul tu Mr. Perfect aku.” Tegas Diya.
“ Macam mana kalau dia tu dah berkahwin, ada anak isteri….kan dia ada cakap yang dia nak beli buah tangan untuk keluarga. Bukankah itu membuktikan bahawa yang dia tu dah ada tanggungjawab. Kalau bukan berkahwin pun, mungkin juga dah bertunang atau dah ada kekasih. Takkanlah orang segak bergaya macam dia tu tak ada pilihan hati. Kau sanggup nak tanggung risiko ke?” kata Jemy yang kurang yakin dengan andaian Diya.
“ Entahlah…aku pun tak tahu. Lagi pun ini hari pertama aku jumpa dia dan aku memang tak kenal dia. Cuma firasat aku mengatakan yang dia tu jodoh aku. Bukannya abang Aniq atau pun En. Safwan,..” sebenarnya Diya juga tak yakin dengan apa yang di rasainya.
“ Diya…” Jemy tetap rasa tak sedap hati dengan apa yang yang dirasai oleh Diya itu.
“ Jemy, lupakan ajelah …aku serahkan soal jodoh ni pada Allah. Kalau En. Shah tu jodoh aku, aku terima dan kalau bukan dia jodoh aku, aku juga terima.” Kata Diya dengan rasa berat hati.
“ Tapi hati kecil kau tetap mahukan dia sebagai jodoh kau kan?” Jemy memandang wajah Diya.
“ Ya, aku akui.” Diya mengaku.
Jemy hanya mampu mengeleng kepala. Walau apa pun dia tetap mengharapkan kebahagiaan untuk Diya. Kalau di takdirkan jodoh Diya adalah Shahrul, dia tumpang bahagia. Tapi dia cukup terkilan kerana Aniq bukanlah pilihan utama Diya.
“ Kau tak nak balikke ni?” tanya Diya mematikan lamunan Jemy. Cepat-cepat dia menyarungkan topi keledar di kepala dan terus membonceng di belakang Diya yang sudah pun bersedia untuk bergerak meninggalkan perkarangan hotel tempat kerja mereka.
Shahrul yang memandang mereka tidak jauh dari tempat letak keretanya hanya mampu mengeleng kepala. Boleh tahan juga Diya ni bawa motor, sampaikan si Jemy yang duduk di belakang memegang erat pinggangnya. Tak padan dengan perempuan, bawa motor mengalahkan pelesit. Nasib baik tak ada roadblock. Kalau tak, tentu akan dapat surat cinta dari JPJ.