karya

karya

Tuesday, 29 May 2012

Kabus Kasih 2







 M

ESYUARAT dan taklimat ringkas berjalan selama lebih kurang 40 minit sahaja. Di situ, Suraya diperkenalkan sebagai salah seorang staff baru yang merangkap penolong kepada Jeffri. Di samping itu juga turut di perkenalkan seorang pegawai operasi yang baru bertukar dari Johor. Ada beberapa orang staff  kelihatan agak terkejut dengan kehadiran Suraya  yang sepertinya mendapat layanan istimewa dari Tan Sri Jamaluddin sewaktu dia diperkenalkan.
Semua staff beredar dari bilik selepas taklimat ringkas selesai. Beberapa orang staff mengambil peluang untuk berkenalan dengan Suraya dan mereka turut memperkenalkan diri.
“ Suraya, jumpa saya di bilik saya selepas ini ya!” tiba-tiba Tan Sri Jamaluddin mencelah semasa Suraya berbual dengan pegawai operasi, Pn. Amnah.
“ Baik, Tan Sri!” Suraya mengangguk sambil menghulur senyum membuatkan Pn.Amnah berkerut dahi.
“ Sue, nanti lunch dengan I ya!” Jeffri datang berbisik perlahan di telinga Suraya.
“ Hai. Jeff…awal-awal lagi dah pasang jerat…. nanti wife kat rumah mengamuk! susah you nanti!” usik Pn. Amnah sambil tergelak kecil.
“ Niza adalah cinta pertama I dan tak ada sesiapa yang mampu mengugatnya…. you pun tahukan…!” jawab Jeffri.
“ Ya… I know… tapi you kena hati-hati Sue…..jangan disangka air yang tenang tak ada buaya…” balas Pn. Amnah.
Suraya hanya menguntum senyum, malas nak beri sebarang komen.
I have to go….I kena jumpa Tan Sri….Kak Amnah jangan bimbang…bos I ni lelaki yang baik dan setia… dan InsyaAllah, I tak mungkin jatuh cinta dengan suami orang!” kata Suraya sebelum beredar.
Sebaik sahaja beredar dari bilik itu, Suraya terus menuju ke lif untuk ke pejabat Tan Sri Jamaluddin. Kalau boleh dia tidak mahu pemilik syarikat itu tertunggu-tunggu akan kedatangannya. Agaknya apa yang akan dikatakan oleh lelaki itu ?
“ Assalamualaikum!” segera salam di hulur sebaik saja dia muncul di hadapan meja setiausaha Tan Sri Jamaluddin.
“ Waalaikumussalam…er…”
Wanita yang berusia awal 40 an itu merenung seketika wajah Suraya.
“ Saya Suraya…Tan Sri ada bagitahu saya tadi yang dia nak jumpa dengan saya!” Suraya segera menyatakan hajat.
“ Oh…ya…ya..Tan Sri ada bagitahu akak tadi…kejap ya!” Wanita itu segera memperkenalkan diri sebagai kak Mona dan dia segera menghubungi Tan Sri.
“ Ok…sekarang Suraya boleh masuk jumpa Tan Sri!” beritahu kak Mona sambil tersenyum ramah.
“ Terima kasih, kak Mona!”
Suraya segera mengatur langkah dan mengetuk pintu beberapa kali sebelum mendengar perkataan ‘masuk’ dari dalam bilik.
“ Assalamualaikum…Tan Sri…” Suraya memberi salam sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke bilik mewah itu. Berdebar dadanya untuk menghadapi situasi ini. Maklum saja sekarang dia sedang berhadapan dengan pemilik syarikat Wisma Dynamic yang memang terkenal di ibu kota dalam bidang pengurusan hartanah dan perhotelan.
“ Waalaikumussalam…masuk Suraya….” pelawa lelaki itu sambil melempar senyum sebelum bangun dari tempat duduknya.
“ Kita duduk di sofa…lebih selesa untuk berborak!” katanya sambil menuju ke sofa mewah buatan luar negara.
Kini mereka berdua sama-sama melabuhkan punggung di sofa empuk. Buat seketika, mata Suraya melilau melihat sekitar bilik mewah itu. Dia terpegun dengan susun atur bilik itu. Kemas dan teratur, amat sesuai  dengan karektor seorang ahli perniagaan yang tersohor.
So, macam mana dengan kerja Suraya di sini?” soalan pertama yang muncul itu segera mengalih pandangan Suraya terus kepada wajah Tan Sri Jamaluddin.
“ Setakat ini, Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan baik dan Suraya ingin ucapkan berbanyak-banyak terima kasih pada Tan Sri kerana memberi kepercayaan dan peluang untuk Suraya bekerja di sini!” beritahu Suraya sambil menatap wajah lelaki yang usia lewat 50-an itu tapi masih tegap dan bergaya.
“ Baguslah…uncle harap Jeff dapat membimbing Suraya di syarikat ni. Dia sudah lama bekerja di sini dan uncle menaruh sepenuh kepercayaan padanya. Jadi…kalau ada apa-apa masalah…Suraya boleh rujuk dan bertanya padanya!”
Tan Sri Jamaluddin memandang wajah Suraya. Segaris senyuman dihadiahkan buat Suraya yang nampak tidak selesa berbicara dengannya. Mungkin segan agaknya.
“ Kenapa?... Suraya nampak tak selesa aje!” ujar Tan Sri Jamaluddin hairan.
“ Saya takut saya tak dapat berikan khidmat yang baik untuk syarikat Tan Sri. Tempat kerja lama saya dulu dan tempat kerja sekarang terlalu jauh berbeza!” jawapan Suraya membuatkan Tan Sri Jamaluddin tergelak seketika.
“ Suraya…kita jangan cepat membuat keputusan….uncle tahu Suraya boleh lakukan yang terbaik dan sepatutnya selepas aje pulang dari belajar dulu, Suraya terus kerja dengan uncle di sini!”
Suraya tertunduk.
“ Kenapa ni?... ada apa-apa yang Suraya nak kongsikan dengan uncle?”
Tan Sri Jamaluddin memandang ke arah Suraya yang sedang menunduk wajah. Hairan.
“ Sebenarnya… Suraya tak nak kedatangan Suraya di sini menimbulkan desas-desus yang tidak menyenangkan. Suraya takut staff di sini menganggap Suraya mempunyai hubungan dengan Tan Sri lantaran layanan yang diberikan oleh Tan Sri terhadap Suraya. Selama ini Tan Sri dah banyak membantu Suraya dan keluarga…. Suraya tak tahu macam mana mahu membalasnya!” Suraya mengangkat muka dan memandang wajah Tan Sri Jamaluddin yang nampaknya begitu tenang seolah-olah dia sudah memikirkan situasi itu sebelumnya.
“ Suraya tak perlu rasa terhutang budi…apa yang uncle lakukan adalah tanggungjawab uncle pada Suraya dan keluarga Suraya. Uncle dah anggap Suraya ni seperti anak uncle sendiri. Walaupun banyak mana bantuan dan pertolongan yang telah uncle berikan untuk Suraya dan keluarga….belum tentu ianya dapat mengembalikan satu nyawa yang begitu berharga buat Suraya sekeluarga. Apa yang telah berlaku dulu membuatkan uncle tetap rasa bersalah!”
“ Tan Sri!”
Suraya merenung wajah lelaki itu. Wajah yang tadi ceria sudah bertukar muram membuatkan Suraya pula rasa serba salah.
“ Tan Sri…apa yang telah berlaku dulu sudah Suraya lupakan dan menganggap semua itu adalah takdir. Jadi…Tan Sri tak perlu rasa bersalah, lagi pun apa yang selama ini Tan Sri lakukan untuk keluarga  kami lebih dari cukup!”
Suraya tidak mahu lelaki itu terus dibelenggu dengan rasa bersalah kerana dia sudah menganggap itu semua adalah ketentuan dari Ilahi dan dia memang redha dengan apa yang telah berlaku.
“ Terima kasih, Suraya” Tan Sri Jamaluddin menepuk perlahan tangan Suraya sambil mengukir senyum.
“ Suraya juga nak ucapkan terima kasih pada Tan Sri di atas semua kebaikan dan pertolongan yang Tan Sri berikan pada kami sekeluarga!” ucap Suraya.
“ Hmm…kalau macam tu… uncle tak nak dengar Suraya panggil uncle, Tan Sri lagi…panggil aje uncle. Lagi pun uncle tak kesah apa pandangan orang lain tentang hubungan kita kerana kita tahu siapa kita kan!” kata Tan Sri Jamaluddin.
“ Baiklah, uncle… dan uncle juga perlu panggil Sue aje” Suraya mengukir senyum.
“ Macam tulah…oh ya! Sue tinggal dengan siapa?... kalau Sue tak ada tempat tinggal…boleh aje tinggal di rumah uncle, bukannya ada sesiapa di rumah…hanya uncle, auntie dan juga pembantu rumah!” Tan Sri Jamaluddin menawarkan diri memberi tempat tinggal untuk Suraya.
“ Sue tinggal dengan kawan. Mak pun ada kat rumah tu sekarang dan dia akan balik esok!”
“ Kalau macam tu sampaikan salam uncle buat mak Sue.!”
“ InsyaAllah… uncle, Sue rasa Sue dah lama mencuri masa uncle di sini. Rasanya eloklah Sue beredar sekarang kerana tentunya ada banyak perkara yang uncle nak uruskan!” kata Suraya yang menyedari kesibukan Tan Sri Jamaluddin dalam menerajui syarikat yang begitu berkembang.
“ Tak adalah…uncle sentiasa mengalu-alukan kedatangan Sue di sini. Jangan nak tunggu perkara yang penting saja baru datang jumpa uncle!”
Suraya terdiam.
“ Sekarang pun dah masuk lunch time…apa kata kita lunch bersama!” ujar Tan Sri Jamaluddin selepas melihat jam tangannya.
“ Maafkan Sue, uncle sebab terpaksa menolak ajakan uncle tu… tadi En. Jeffri dah ajak Sue lunch bersamanya. Lain kali ya, uncle!” serba salah pula dia nak menolak pelawaan Tan Sri Jamaluddin tapi awal-awal lagi Jeffri sudah mempelawanya untuk makan tengahari bersama. Apa kata lelaki itu kalau dia tiba-tiba membatalkannya selepas berjumpa dengan pemilik syarikat ini. Nanti apa pula tanggapan Jeffri terhadapnya.
Never mind…uncle tak kesah. Masih banyak waktu untuk kita keluar bersama!” ujar Tan Sri Jamaluddin.
“ Maafkan Sue ya!” Suraya memohon maaf sekali lagi.
“ Lupakan aje… kalau Sue ada kelapangan, datanglah ke rumah uncle…pintu rumah tu sentiasa terbuka untuk Sue bertandang. Auntie tu tak sabar nak jumpa dengan Sue bila dapat tahu Sue kerja di sini”
Serta merta Suraya terbayangkan wajah Puan Sri Normah. Wanita itu amat pendiam orangnya membuatkan hubungan mereka tidak rapat. Namun begitu dia tetap melayan Suraya dengan baik bila mereka bertemu. Tapi bila melihat cara dia bercakap dan melayani suaminya, dia cukup peramah dan perihatin. Kekadang Suraya hairan, kenapa wanita itu bersikap dingin dengannya. Keadaan ini membuatkan Suraya jadi keliru.
“ Sejak akhir-akhir ni auntie selalu tak sihat, lagi pun auntie ada penyakit darah tinggi!” beritahu Tan Sri Jamaluddin tentang keadaan isterinya.
“ InsyaAllah…kalau ada masa nanti, Sue akan datang menjenguk auntie”
“Kami memang mengalu-alukan kedatangan Sue!” kata Tan Sri Jamaluddin lagi.
“ Uncle, Sue keluar dulu ya…nanti kita jumpa lagi!” kata Suraya sebelum beredar dari bilik serba mewah itu.
************

TG. ZAFRI mengukir senyum sebaik sahaja melihat Suraya keluar dari pintu pagar rumah teres 2 tingkat. Untuk keluar makan malam ni, Suraya hanya berpakaian ringkas, blause dan seluar hitam dipadankan dengan tudung berwarna krim.
“ Wow!...sejak bila tukar kereta baru ni?” tanya Suraya sebaik sahaja masuk ke dalam kereta Honda Accord hitam model terbaru.
“ Ini kereta pinjam, abang Safuan dan kak Alina ada convention kat Singapore….dia tinggalkan kereta barunya kat rumah I…so…I pinjam aje lepas dapat kebenaran….!” beritahu Tg. Zafri tentang kereta abang sulungnya, Tg. Safuan dan kakak iparnya yang bertugas sebagai seorang doctor.
“ I tak mampu nak beli kereta mahal macam ni… duit yang ada dalam simpanan tu I nak gunakan untuk kawin dengan you nanti!” kata Tg. Zafri sekadar mengusik. Saja ingin menduga hati Suraya.
“ Zaf…”
“ Ok….kita nak makan kat mana?” Tg. Zafri mula mengubah tajuk perbualan.
“ Tak kesah makan kat mana-mana”
Tg. Zafri segera menghidupkan enjin kereta. Suasana tenang sahaja, tambahan pula tiada celoteh atau kedengaran sebarang lagu kerana Tg. Zafri tidak memasang radio. Katanya dia tak suka, mengganggu suasana. Pelik. Tapi Suraya tak kesah kerana lelaki itu ada sahaja modal untuk berbicara membuatkan dia rasa terhibur setiap kali keluar bersama lelaki itu.
“ I hanya pasang radio bila I keseorangan…tapi bila berdua dengan dengan you…I tak mahu sebarang gangguan suara!” itulah kata-kata yang pernah diucapkan oleh Tg. Zafri.
Suraya memandang sekilas wajah Tg. Zafri yang nampak tenang memandu. Bagi Suraya, dia sedang berkawan dengan Zafri. Lelaki yang dikenalinya semasa mereka sama-sama menuntut di UK. Kini Tg. Zafri memegang jawatan sebagai Pegawai Diplomatik di sebuah sector kerajaan walaupun sebelum ini papanya meminta dia menguruskan syarikat keluarga kerana Tg. Safuan lebih berminat dengan kerjaya sebagai doctor dari menguruskan sebuah syarikat. Dengan jawatannya itu, dia sudah memiliki sebuah rumah dan sebuah kereta Mazda. Lelaki yang tua 2 tahun darinya itu adalah seorang lelaki yang cukup baik dan bertanggungjawab. Dilahirkan dalam keluarga yang agak berada, namun dia lebih suka hidup sederhana dan berdikari.
“ You nak makan apa?” tanya Tg. Zafri selepas meneliti menu yang ada di hadapan.
“ I nak nasi putih, tomyam, telur dadar dan sayur campur!” kata Suraya sambil menutup menu yang ada di tangannya.
Tg. Zakri turut memesan pesanan yang sama. Sebelum pesanan sampai, mereka berbual ringkas sambil mencuci mata melihat pelanggan yang berada di situ.
“ Sue, you dah fikirkan pasal kita?” tiba-tiba Tg. Zafri kembali membicarakan soal hati.
“ Zaf, you tahukan yang I tak suka bincangkan soal ini. Sejak dari dulu I dah ingatkan you yang I hanya menganggap you sebagai kawan, tak lebih dari itu. Kalau you rasa you nak bincangkan soal hati dan soal perasaan… you carilah orang lain!” Suraya mendengus perlahan.
“ Sue, you pun tahukan yang I ikhlas sukakan you dan I tak pernah berselindung tentang perasaan I dan I memang sanggup menunggu…I dah tunggu you selama 5 tahun dan I akan terus menunggu you tanpa jemu!” tegas Tg. Zafri
“ Zaf…please…jangan buat I rasa serba salah begini. I tahu you ikhlas suka dan cintakan I …tapi I tak boleh terima!” Suraya merenung wajah Tg. Zafri, mengharapkan agar lelaki itu akan memahami situasinya.
“ Kenapa?...sejak dari dulu lagi lagi….itu sahaja alasan yang you berikan. Kalau nak katakana you ada lelaki lain….selama I kenal you, I tak pernah nampak you rapat dengan mana-mana lelaki lain selain dari I. You fikir I ni tak boleh beri kebahagiaan untuk you dan tak mampu mencintai you dengan sepenuh hati?” Tg. Zafri mendengus kasar.
“Tak…I tahu kalau I terima you, you mampu memberi kebahagiaan untuk I tapi masalahnya I sendiri…I tak mampu nak mencintai you….I tak mampu…!” Suraya tunduk, cuba menyembunyi rasa sebak di dada.
“ Sue, I terima you seadanya dan I tak akan meminta lebih dari itu… I akan beri peluang untuk you mencintai I…!” pujuk Tg. Zafri sambil mencapai tangan Suraya.
Suraya memandang wajah Tg. Zafri. Dia tahu lelaki itu memang ikhlas mencintainya tapi untuk menerima lelaki itu dalam hidupnya, dia tak mampu. Kalaulah dia berdaya memberitahu alasannya, pastinya Tg. Zafri tidak akan mendesak. Tapi masalahnya, dia sendiri juga masih dalam kesamaran.

************

SURAYA berdiri di muka pintu lif. Dia menilik seketika jam tangan, pukul 11 pagi. Nasib baik urusannya dengan En. Anuar selesai dengan cepat. Ketika itu hanya dia seorang yang menjadi penunggu. Sementara menunggu pintu lif terbuka, dia sempat mengelamun mengingatkan kejadian beberapa hari yang lepas. Sejak pertemuan makan malam itu, Tg. Zafri mula menyepi diri. Dia tahu bahawa lelaki itu sedang memujuk hati. Memang begitukah hubungan mereka sejak dari dulu. Kalau ada sedikit perselisihan, mereka saling diam membisu untuk memberi peluang memikirkan baik buruknya apa yang telah berlaku.
“ Hello, Miss…”
Satu sergahan membuatkan Suraya terpingga-pingga. Matanya segera tertumpu pada orang yang menegurnya tadi. Seorang lelaki sedang merenung wajahya di dalam lif.
“ You nak masuk atau nak terus berdiri di situ?” tegur lelaki yang berada di dalam lif itu sambil memandang serius wajah Suraya yang di rasakan sudah tebal berinci. Tangan lelaki itu sedang menekan punat lif agar lif tidak tertutup.
  Sorry!”
Suraya terus melangkah masuk dengan wajah sebal menahan malu yang bertandang tanpa di pinta. Begitu jauh dia mengelamun tanpa sedar apa yang berlaku di sekeliling.
Pintu lif tertutup. Hanya mereka berdua sahaja yang berada di dalam lif ketika itu. Lelaki itu segera menekan no. 9 dan 11. Mereka berdiri agak berjauhan. Ruang lif yang agak luas itu memberi keselesaan untuk mereka berdua. Tidak perlu bersesak-sesak seperti waktu pagi.
Hai,…I`m Imran from Engineering Department!” lelaki yang berada di dalam lif itu memperkenalkan diri sambil menghulur tangan bersama senyuman terukir di wajahnya.
“ Suraya!” Suraya memperkenalkan diri. Tak perlu di beritahu dia bekerja di bahagian mana kerana lelaki itu sudah mengetahuinya. Cepat-cepat Suraya menarik tangannya selepas menyambut huluran tangan lelaki itu.
So, seronok bekerja di sini?” Imran cuba beramah mesra. Inilah peluang untuk dia berkenalan dengan gadis itu.
“ Ya…! Di mana saja kita bekerja, kita akan rasa seronok kalau kita ikhlas…”
Imran terdiam, buat seketika dia tergamam mendengar kata-kata itu. Buat seketika lama matanya terpaku menatap wajah gadis ayu yang berada di sisinya.  Entah kenapa dia rasa bahagia dan tenang menatap wajah gadis ini seperti ada suatu tarikan yang membuatkan dia ingin terus merenungnya.
“ Er…anything wrong?” tanya Suraya yang mula rasa tak selesa bila berterusan di tenung oleh lelaki itu.
“ Oh!...Sorry…er, macamana kerja dengan Jeffri? is he ok?”
Imran membetulkan intonsinya dengan berdehem beberapa kali.
So far so good, dan I rasa En. Imran lebih mengenali dia dari I…betulkan?” kata-kata Suraya membuatkan Imran tersenyum.
He`s very lucky!” kata Imran perlahan tapi masih dapat didengari oleh Suraya.
Sorry!” ucap Suraya. Dia kurang jelas maksud Imran berkata begitu.
Nothing!” Imran melurut rambutnya perlahan. Dalam diam dia mengeluh lega kerana dapat menyembunyikan apa yang sedang dialaminya saat ini. Kalaulah Suraya dapat menjangka apa yang sedang dialaminya, pasti dia terpaksa menahan rasa malu. Kedua-dua tangannya menyeluk poket seluar, cuba bersikap tenang.
Kebetulan pada masa yang sama pintu lif terbuka di tingkat 9. Imran memberi ruang untuk Suraya keluar.
Thanks!” ucap Suraya dan terus keluar tanpa menghiraukan pandangan Imran.
Suraya baru saja melabuhkan punggungnya di kerusi  bila telefon bimbitnya berbunyi. Tangannya segera menyeluk beg tangannya dan mengeluarkan telefon bimbitnya.
“ Assalamualaikum!” Suraya segera menghulurkan salam selepas melihat nama yang tertera di skrin telefonnya.
“ Waalaikumussalam….tengah buat apa tu?” suara Tg. Zafri terdengar di hujung talian.
“ Belum buat apa-apa lagi…tak sempat!” balas Suraya.
“ Hisy… you kat mana sebenarnya ni?... apa yang you tak sempat buat?” tanya Tg. Zafri serius dan di akhirnya dia tergelak sendiri.
“ Zaf!... no double meaning ok!.... I kat office ni…tadi I ada hal kat bahagian pengurusan, baru aje masuk bilik. Baru aje letak punggung kat kerusi…you call….jadi, itu yang tak sempatnya…you ni kan…ada-ada aje!” Suraya juga turut tergelak. Tahu sangat dengan perangai Tg. Zafri yang kadang-kadang suka sangat mengusiknya.
“ Saja…nak usik you…I rindukan you sebenarnya!” akui Tg. Zafri. Memang itu yang dirasakan saat ini terhadap Suraya.
“ I pun mengaku yang I rindukan you… so, dah cool sekarang?” kata Suraya. Di akhir pertemuan mereka, lelaki itu merajuk dengannya kerana dia cuba menolak perasaan lelaki itu lagi. Entah kali berapa perasaan lelaki itu di tolaknya, dia pun tak pasti.
“ Dah cool sekarang…merajuk lama-lama pun bukannya I dapat apa-apa. Makin rindu adalah…bila I balik KL nanti, kita jumpa ya!” kata Tg. Zafri.
“ Zaf…you sekarang ni ada kat mana?” berkerut dahi Suraya bila mengingatkan kata-kata Tg. Zafri itu.
“ I ada kat Sarawak… ada kerja kat sini. Bila I balik KL nanti I nak tatap wajah you sepuasnya…boleh?” kata Tg. Zafri.
“ Boleh…tapi kena bayar!” Suraya tergelak.
“ Amboi! demand juga you ni!” Tg. Zafri turut ketawa.
“ Ok…nanti kita jumpa ya… I miss you! Assalamualaikum!” kata Tg. Zafri sebelum memutuskan talian.
Suraya tersenyum sambil merenung telefon bimbitnya. Mengenali Tg. Zafri membuatkan hidupnya ceria kerana ada-ada sahaja perkara yang membuatkan dia tersenyum. Kalaulah dia mempunyai peluang untuk memilih…. Suraya memejam mata seketika. Saat itu juga wajah Tg. Zafri terbayang di ruang matanya.
Suraya kembali membuka matanya bila telefon di atas meja berdering.
“ Sue, datang bilik I sekejap…ada benda yang I nak bincangkan dengan you!” suara Jefri kedengaran sebaik saja ganggang telefon di tekap di telinganya.
“ Ok…nanti I datang!”
Suraya segera menyiapkan diri untuk ke bilik Jeffri. Namun begitu ligat otaknya memikirkan apakah yang bakal dibincangkan oleh lelaki itu.

***********

Saturday, 19 May 2012

Di Penghujung Rindu 11



 S
ARAH melangkah masuk ke dalam banglo mewah itu sebaik saja pulang dari bercuti ke Pulau Tioman. Gundah gulana hatinya sebaik saja mendapat panggilan dari mamanya yang Hafiz telah terlibat dalam kemalangan jalan raya semalam. Nasib baik hari ini dia sudah sampai  rumah.
“ Mama, macam mana keadaan abang Hafiz?” Sarah terus mendapatkan Datin Ruzaini yang menyambut kepulangannya.
“ Tak adalah teruk sangat, cuma ada bengkak, terseliuh sikit dan calar-calar aje. Sarah pun bukannya tak tahu perangai dia kalau bawa kereta, mengalahkan orang nak masuk formula 1…” beritahu Datin Ruzaini bila melihat Sarah begitu cemas mendengar berita tentang kemalangan Hafiz.
“ Er…Sarah masuk bilik dulu, nak mandi, solat dan tukar pakaian…lepas tu Sarah nak terus pergi hospital!”
 Sarah terus berlalu meninggalkan mamanya. Mengeleng kepala Datin Ruzaini melihat Sarah yang agak kelam-kabut tu sambil menjinjing beg yang sederhana besar. Nampak sangat yang dia mengambil perhatian terhadap Hafiz. Tapi sayang, Hafiz tidak pernah sekali pun menghargai setiap apa yang dilakukan oleh Sarah kepadanya.
“ Sarah…Sarah…” akhirnya senyuman terukir di bibir Datin Ruzaini.
Sebaik saja melangkah masuk ke bilik, Sarah meletakkan begnya di atas katil dan segera mencapai tuala. Dia perlu membersihkan diri dan bersiap untuk ke hospital. Walaupun hubungan antara dia dan Hafiz tak pernah rapat, namun dia tetap mengambil berat terhadap lelaki itu. Kini lelaki itu sudah pun bergelar suami untuknya. Dan seharusnya dia berada di sisi suaminya.
Selesai solat Asar, Sarah terus bergegas turun  ke bawah. Dia perlukan lebih banyak maklumat mengenai Hafiz, di mana suaminya di tempatkan, di tingkat berapa…takkanlah dia main redah aje.
“ Hmm…hati-hati bawa kereta…jangan asyik berfikir pasal orang lain hinggakan diri sendiri yang terabai. Mama tak nak Sarah pula yang terpaksa di tahan di ward….” kata Datin Ruzaini.
“  Sarah tahu…mama jangan bimbang…er, kalau mama nak ikut sekali boleh jugak!”
“ Mama dah janji dengan papa tadi …jadi mama kenalah tunggu papa…nanti mama dan papa menyusul ke sana….”
“ Yalah…Sarah pergi dulu, ma…” Sarah bersalaman sebelum keluar.
Langkahnya segera di atur ke arah Toyota Vios hitam kesayangannya. Belum pun sempat dia keluar dari pintu pagar rumah, telefon bimbitnya berdering. Nama Tuty tertera pada skrin telefonnya.
“ Hello….”
“ Sarah…kau kat mana sekarang?” soal Tuty di hujung talian.
“ Aku masih kat rumah…lebih spesifik…aku dalam kereta…on the way nak pergi hospital…kenapa?”
“ Aku cuma nak tanya khabar pasal suami kesayangan kau tu…” usik Tuty sambil tergelak.
“ Banyaklah kau punya suami kesayangan….tak ada maknanya…” Sarah mencebik.
“ Kau jangan….memanglah sekarang ni tak ada makna….entah-entah esok lusa…dialah manusia yang paling bermakna dalam hidup kau…!” Tuty tetap mengusik sambil tergelak.
Sorryla Tie, aku tak nak bermimpi di siang hari….selama aku kenal dia, sedikit pun rasa sayangnya untuk aku tak pernah wujud. Kadang-kadang aku terfikir…berbaloikah usaha mama dan papa untuk merapatkan hubungan kami sedangkan selama ini sudah terang lagi bersuluh…”
“ Semua tu adalah ketentuan Allah…sejauh mana kita menidakkannya….kalau Allah menghendakinya…pasti akan terjadi. Aku sentiasa mendoakan kebahagiaan untuk kau, Sarah!” ujar Tuty.
Thanks, Tie…aku menghargainya walaupun aku tak mengharapkannya….oklah…apa-apa hal aku call kau balik…!”
Bye….Assalamualaikum!”
************

SARAH membuka perlahan pintu bilik yang menempatkan Hafiz. Dia tergamam sebaik saja kakinya melangkah masuk bila mendapati seorang gadis berada di sisi Hafiz. Nampak sangat hubungan mereka begitu mesra bila gadis itu begitu manja sekali melayan Hafiz sambil meletakkan punggungnya di atas katil.
“ Maaf kalau kedatangan Sarah ni mengganggu abang Hafiz!” serba salah pula Sarah nak melangkah masuk bila melihat keadaan mereka berdua.
Hafiz hanya berwajah selamba dan saling berbalas pandang dengan gadis itu.
“ I rasa elok you balik sekarang…I tak nak timbul masalah nanti…” Hafiz bersuara sambil memandang tepat ke wajah gadis itu. Sementara Sarah yang masih berada di muka pintu hanya diam memandang. Biarlah, itu adalah urusan Hafiz. Dia tak ada hak untuk masuk campur kerana mereka sememangnya sudah bersetuju akan hal itu.
“ Tapi….”
Nampaknya gadis itu masih belum mahu beredar. Bukan apa, tiba-tiba dia dihimpit rasa cemburu sebaik saja memandang wajah Sarah. Walaupun Satah memakai cermin mata, tapi kecantikannya masih terserlah. Dia perempuan, dan dia mengakui akan hakikat itu. Takkanlah Hafiz tak ada apa-apa perasaan terhadap gadis berkaca mata itu.
“ I said….go…”
Tiba-tiba Hafiz bertegas mengusir gadis itu membuatkan gadis berseluar ketat dan berbaju sendat itu menunduk wajah akibat tersentak.
“ Ok…I balik sekarang…I`ll call you…!” kata gadis itu sambil mencapai beg tangannya dan terus berlalu pergi dengan tergesa-gesa membuatkan bahunya bergeseran dengan Sarah. Sarah yakin, gadis itu sengaja menunjukkan rasa protes dengan kemunculannya.
Sarah  mengatur langkah perlahan menghampiri katil Hafiz.
“ Abang Hafiz sihat?” Sarah bertanya, memulakan intronya.
Hafiz menjawab dengan dengusan.
“ Ingatkan nak terus menetap di situ….maklumlah orang pergi berseronok…mana nak ingat rumahtangga lagi…betul tak!” kata Hafiz, sengaja mahu menyakitkan hati Sarah. Namun dalam diam , dia terharu kerana Sarah sudi datang menemuinya.
Sarah hanya mengukir senyum. Tak ada gunanya dia menjawab, takut lain pula jadinya. Sarah memerhati keadaan Hafiz, kepalanya berbalut dan wajahnya sedikit bengkak dan calar-calar. Tangan kanannya berbalut akibat patah atau terkehel seperti yang diberitahu mama tadi. Yang lain nampak okay aje. Menurut mama, mungkin sehari dua lagi Hafiz dibenarkan  keluar hospital.
“ Aku masih hidup lagi…jangan kau berfikir nak cari pengganti aku pulak!” tempelak Hafiz bila Sarah mengeluh lega bila melihat keadaan dirinya yang hanya sedikit cedera.
“ Apa yang abang Hafiz  cakap  ni?…Sarah tak fikir macam tu pun!” sangkal Sarah. Geram. Hafiz selalu buruk sangka dan fikir yang bukan-bukan. Tapi elok juga kalau dia mati terus atau pun koma, bila sedar nanti terus hilang ingatan dan berubah menjadi orang lain. Taklah dia pening kepala nak meneruskan hidup di samping lelaki itu. Akal jahatnya sempat berfikir. Namun, cepat-cepat dia menyangkal andaian itu. Tak baik menghendaki perkara yang tak elok. Sarah segera  beristighfar.
“ Sarah belikan buah tangan dari Pulau Tioman untuk abang Hafiz, …Sarah harap abang Hafiz sudi terima!” Sarah meletakkan paper bag yang dibawanya di atas meja kecil di sebelah katil Hafiz.
Hafiz memandang sekilas dan tangan kirinya terus menghayun beg kertas itu menyebabkan pisau yang digunakan untuk mengupas buah terkena pada tangan kanan Sarah mengakibatkan darah pekat mula mengalir keluar. Sarah terus memandang wajah Hafiz dengan mata berkaca dan ternyata Hafiz benar-benar tergamam dengan tindakannya. Tidak terniat sedikit pun di hatinya untuk mencederakan Sarah. Sebaliknya itu adalah tindakan refleksi.
Sarah terus berlalu tanpa sempat Hafiz membuka mulut. Dengan sedikit kepayahan akibat tangannya yang berbalut, Hafiz terus menuju ke pintu yang sememangnya telah terbuka. Dan langkahnya terus mati di muka pintu bila melihat Sarah sedang bercakap dengan seorang doctor dan mereka berdua terus berlalu pergi. Hafiz hanya memandang dengan wajah kesal. Dan yang paling di kesalkan, Sarah terus pulang tanpa menemuinya sedangkan dia berharap dapat berjumpa dengan Sarah untuk memohon maaf.

***********

SEBAIK saja keluar dari hospital, Datin Ruzaini bertegas mahu Hafiz tinggal di rumah orangtuanya dengan alasan  memudahkannya untuk melihat keadaan Hafiz. Nasib baik orangtua Hafiz tidak banyak bertanya bila Sarah menolak untuk menjemput Hafiz di hospital dengan alasan dia terpaksa berjumpa dengan client penting.  Sedangkan Datin Ruzaini dapat menjangka itu cuma alasan Sarah. Dia bukan buta bila melihat tangan Sarah yang berbalut sebaik saja pulang dari hospital. Bila di tanya, Sarah memberi alasan tangannya terkena pisau ketika  menolong Hafiz mengupas buah.
Hafiz berehat seketika di sofa sebaik saja sampai di rumah, malas nak masuk ke dalam bilik.  Panjang lehernya cuba mencari kelibat seseorang.
“ Mana dia ni?” Hafiz bercakap sendirian.
Nak bertanya pada mama, dia segan. Pasti dia kena perli.
Salmah muncul dengan membawa dulang berisi jus oren dan sepotong pudding caramel.
“ Jemput minum, En. Hafiz! atau En. Hafiz nak kak Sal siapkan makan?” pelawa Salmah, pembantu rumah.
“ Tak payah…saya tak ada selera nak makan!” balas Hafiz.
Salmah hanya diam. Melihat Hafiz juga diam dia terus mengatur langkah untuk pergi dari situ.
“ Kak Sal…”
 Langkah Salmah terhenti bila Hafiz memanggilnya.
“ Ya, En. Hafiz…”
 Salmah merenung wajah Hafiz yang keresahan.
“ Er,…mana semua orang?...senyap je?”
`Semua orang?...dia ingat banglo ni ramai penghunike….takkan En Hafiz hilang ingatan!` detik Salmah sambil menggaru kepala.
“ Datuk dan Datin ada kat atas, mereka sedang bersiap untuk keluar…” beritahu Salmah.
“ Hmm….” Hafiz bersuara lemah.
“ O…maksud En. Hafiz…Sarah ya?” Salmah mula menguntum senyum. Dia mula mengerti maksud pertanyaan Hafiz tadi.
Hafiz segera berdeham dan berpura-pura membetulkan kedudukannya agar rasa lebih selesa.
“ Sarah belum balik lagi, agaknya kejap lagi baliklah tu…” Salmah tersenyum lagi.
“ En. Hafiz, kenapa tak berehat aje kat dalam bilik…kan lebih selesa…” kata Salmah bila melihat Hafiz mula meletakkan kepalanya di kusyen sambil memejam mata.
“ Kak Sal, kalau tak menyibuk boleh tak?” sergah Hafiz yang kembali membuka mata. Tajam merenung wajah Salmah membuatkan pembantu rumah berusia 42 tahun itu menunduk wajah. Terasa tebal mukanya bila disergah begitu. Sedangkan dia cuma mahu bersikap perihatin terhadap anak majikannya.
“ Maaf…kak Sal ke dapur dulu…” akhirnya tergesa-gesa Salmah beredar sambil mengeleng kepala.
***********

SARAH  masuk ke dalam rumah. Penat badan hanya Allah yang tahu. Kunci kereta di letak di tempat penyangkut. Dia terus menuju ke biliknya. Sebaik saja masuk ke dalam bilik, dia terus merebahkan tubuh di atas katil.
Ah! selesanya. Sarah tersenyum.
Tiba-tiba senyuman mati bila mengingatkan sesuatu.
“ Abang Hafiz…! dah balikke dia?”
“ Ah…malaslah nak fikir, mandi lagi baik…badan pun jadi segar!” dia bangun, mencapai tuala dan bergegas ke bilik air. Jam dinding sudah menginjak ke pukul 4 petang.
Sarah mengenakan t`shirt dan skirt kembang labuh. Dia menyikat rambutnya sebelum mencapai satu majalah yang memuatkan resepi masakan, nampak menarik dan dia terus mengambil keputusan untuk  membelinya tadi. Badannya di sandar ke kepala katil sambil melunjurkan kaki. Kecur liurnya melihat gambar dan hiasan di majalah itu.
Kedengaran ketukan di pintu biliknya membuatkan tumpuan Sarah terbantut.
“ Come in…” laung Sarah. Malas nak bangun buka pintu. Pasti kak Salmah.
Pintu biliknya di kuak perlahan.
“ Abang Hafiz!” mulut Sarah ternganga sebaik saja wajah Hafiz muncul di depan pintu biliknya.
“ Boleh aku masuk?” Hafiz bersuara.
“ Ya…masuklah…” pelawa Sarah dan segera membetulkan kedudukan sebelum turun dari katil.
Hafiz melangkah masuk dan Sarah tetap berdiri kaku di tepi katilnya.
“ Maaf, kalau mengganggu!” pohon Hafiz perlahan.
“ T..tak…Maaf….Sarah tak tahu yang abang Hafiz dah balik…Sarah terus masuk bilik  tadi…”
It`s ok…er, macam mana dengan tangan kau tu?...masih sakit?” Hafiz bertanya sambil matanya memandang tangan kanan Sarah yang telah ditampal dengan handyplus.
“ Dah tak sakit…lukanya pun tak  dalam sangat…abang Hafiz dah ok ke?” tiba-tiba Sarah jadi buntu.
“ Dah ok…kalau tak ok, masih ada kat hospital lagi…” kata Hafiz sambil meraba wajahnya. Kesan bengkak sudah surut sedikit, Sarah turut memandang ke wajah lelaki itu dari tempat dia berdiri. Hanya tangannya sahaja yang masih berbalut.
Masing-masing diam, seperti sudah tiada apa yang hendak di perkatakan.
“ Aku keluar dulu…” Hafiz melangkah keluar dari bilik Sarah dan Sarah pula hanya diam memandang.

***************

PETANG itu hanya Sarah, Hafiz dan pembantu rumah saja yang ada di banglo itu. Datuk Syafiq Rahman dan Datin Ruzaini keluar setengah jam yang lalu kerana menghadiri jemputan kawannya. Hafiz melabuhkan punggung di kerusi halaman banglo mewah itu. Memang dia rasa cukup bosan kerana terpaksa memerap di rumah sedangkan dia bukan jenis lelaki yang suka melepak di rumah. Dia sukakan hiburan dan apa jua bentuk permainan terutama futsal dan bowling. Sarah muncul dihalaman banglo mewah itu dengan manatang dulang berisi bubur kacang yang menjadi makanan kesukaan Hafiz di waktu petang. Beria-ria mamanya suruh Sarah masak bubur itu sebelum keluar rumah tadi.
“ Jemput makan…” pelawa Sarah selepas meletakkan mangkuk berisi bubur di atas meja.
Hafiz hanya diam. Sarah mengangkat bahu dan bersedia untuk beredar. Tak kuasa nak duduk semeja dengan lelaki sombong tu.
“ Nak pergi mana?” tanya Hafiz sebaik saja Sarah berpaling untuk beredar.
“ Masuk dalam…Sarah tak nak ganggu abang Hafiz…”
“ Habis tu…macam mana aku nak makan?” soal Hafiz kasar membuatkan Sarah merenung wajah Hafiz. Hairan.
“ Pakai tanganlah…takkan pakai kaki kot!” jawab Sarah. Geram dengan soalan bodoh tu.
“ Tangan aku kan sakit dan berbalut…macam mana nak makan?” kata Hafiz lagi. Makin garang pada pendengaran Sarah. Sarah mendengus.
“ Tangan kiri abang Hafiz kan tak sakit, boleh aje pakai tangan tu…” Sarah cuba bersabar sambil mengerling ke arah tangan kiri Hafiz.
“ Aku tahulah!” Hafiz  menjawab.
“ Oh!” balas Sarah sambil mencebik.
“ Kau suapkan bubur ni untuk aku!” gesa Hafiz membuatkan Sarah hampir nak pitam mendengarnya.
“ Hah!” ternganga mulut Sarah di buatnya.
“ Kau pekak ke?” marah Hafiz.
“ Pakai ajelah tangan kiri tu…bukannya susah pun!” tempelak Sarah menahan rasa geram yang makin membuak. Mengada-ngada betul. Tukas Sarah.
“ Kau kan isteri aku…tugas seorang isteri adalah menjaga kebajikan suaminya!” kata Hafiz dengan wajah selamba membuatkan mata Sarah bulat memandang wajah Hafiz.
“ Kalau ya pun tak bolehke minta secara baik….kalau kita nak minta budi orang, pandai-pandailah diri tu berbahasa!” perli Sarah.
Giliran Hafiz pula merenung tajam wajah Sarah yang mencuka. Dia cuba menyembunyikan senyuman. Sengaja mahu mendera Sarah. Ingin mengetahui sejauh mana isterinya itu mampu bersabar melayan kerenahnya.
“ Ok… sayang, tolong suapkan bubur kacang ni untuk abang…abang laparla…” Hafiz merengek manja sambil mengerdipkan matanya.
“ Hish…mengada-ngada betul…boleh tak jangan bersayang-sayang dengan Sarah… seram tau tak…”  balas Sarah. Dalam masa yang sama dia turut melabuhkan punggung di sisi Hafiz sambil mencapai mangkuk berisi bubur kacang. Hafiz tetap buat muka selamba. Memang dasar tak malu,
“ Ha…apa lagi, bukaklah mulut!” sergah  Sarah menahan rasa hati.
“ Amboi! garangnya sayang abang ni….nasib baik tak gugur jantung abang!” Hafiz ketawa sambil mencuit hidung Sarah.
“ Menyampah!”
 Sarah mencemuh. Geram dengan sikap Hafiz. Tapi hairan, macam mana dia boleh bergurau begini. Selama ini tak pernah pun. Takkanlah dah tersampuk. Sarah menggaru kepala yang tidak gatal.
“ Wow…romantic betul pasangan ni ya…siap makan bersuap lagi!” satu suara menyapa menyebabkan Sarah dan Hafiz mengalih pandang.
“ Tuty…” Sarah bersuara.
 Dia segera meletakkan mangkuk yang hanya sedikit berbaki. Segan pulak nak terus menyuapkannya di hadapan Tuty. Janganlah Hafiz buat perangai menyuruh dia menyuapkan bubur itu hingga habis.
Tuty tersenyum sebelum melabuhkan punggung di kerusi mengadap wajah Hafiz setelah di pelawa.
“ Dari mana ni?” tegur Sarah yang melihat Tuty baru saja menanggalkan kaca mata hitamnya.
“ Dari rumah. Saja…nak melawat orang sakit!” balas Tuty sambil melirik senyum ke arah Hafiz.
“ Uncle dan auntie mana?”
“ Mama dan papa keluar jumpa kawan…kau berbual ya dengan abang Hafiz, aku pergi buatkan air…” Sarah berlalu pergi.
Tuty memandang wajah Hafiz, meneliti seketika tubuh Hafiz membuatkan Hafiz rasa tak selesa.
` Apa kena dengan si Tuty ni, semacam aje pandang aku!`
“ Abang Hafiz, apa khabar?” tegur Tuty.
“ Baik!” Balas Hafiz ringkas.
“ Nampaknya keadaan abang Hafiz tak ada lah teruk sangat. Kesian Sarah sebab tak dapat lelapkan mata bila dapat tahu abang Hafiz kemalangan. Tuty ingat kemalangan tu dah menyebabkan abang Hafiz kudung kakike atau pun cacat kat mana-mana…ini, setakat  tangan  berbalut je, sehari dua baiklah tu…” Tuty tersengih.
Hafiz mengetap bibir. Kurang asam punya perempuan. Dengus Hafiz, nasib baik tak berasap lubang hidungnya. Kalau tak, terpaksalah panggil bomba.
“ Apa?...Tuty ingat abang Hafiz akan menyerah kalah kalau kaki dah kudung?”
 Tuty menelan liur. Memang sedikit pun dia tak menjangka yang Hafiz akan membalas kata-katanya dengan suara yang keras, boleh menggelegak taik telinganya. Ingatkan saja-saja nak gertak dan usik, konon-kononnya dia ambil peduli. Nampaknya lelaki ini dah naik angin satu badan. Kena bagi dia minum eno ni. Kasi sejuk sikit badan dia. Memang kesian si Sarah bersuamikan lelaki seperti Hafiz.
“ Maaflah kalau kata-kata Tuty tadi menyakitkan hati abang Hafiz, Tuty gurau aje…jangan ambik hati ye…please…!” Tuty memohon maaf sambil merapatkan kedua belah tangannya.
Hafiz hanya menjeling sambil mendengus kasar.
“ Kalau ya pun …takkanlah Tuty nak doakan macam tu….kesian kat Sarah…tak pasal-pasal dapat title janda berhias pulak!” kata Tuty lagi dengan buat muka kesian tapi dalam masa yang sama sempat mengenakan Hafiz.
Sarah kemudiannya muncul besama dua gelas minuman dan juga satu mangkuk berisi bubur kacang.
“ Silalah…” pelawa Sarah selepas menghidang.
“ Terima kasih…langkah kanan aku hari ni…kau buat ya…!” Tuty terasa menikmatinya.
“ Ya…”
“ Sedap…sejak dari semalam lagi aku mengidam nak makan bubur….”
“ Makan ajelah…banyak pula songehnya!” Hafiz menyampuk sambil buat muka tak berperasaan.
`Patutnya doctor tu jahitkan aje mulutnya, kasi diam… menyibuk aje!` rungut Tuty sambil menarik muka masam membuatkan Sarah tersenyum.
Tuty berhenti menyuap bubur ke dalam mulutnya bila telefon yang berada di dalam beg tangannya berbunyi. Bukan main lebar lagi senyumannya sebaik saja melihat nama yang tertera di skrin telefonnya. Dia segera meminta diri untuk beredar.
“ Siapa call?” tanya Sarah bila melihat senyuman Tuty yang muncul semula di hadapannya.
“ Siapa lagi kalau bukan  Zakri…!” beritahu Tuty
“ Zakri?...Zakri mana pula ni!...boyfriend baru kau ya!”
“ Bertuahlah kalau dia tu boyfriend aku tapi yang jadi masalahnya dia tak minat kat aku tapi minat dengan kau…!”
“ Minat dengan aku! Kenapa?...aku tak kenal pun dia!” berkerut dahi Sarah cuba mengingatkan mana-mana lelaki yang bernama Zakri. Dalam pada itu dia sempat melirik ke arah Hafiz, wajah lelaki itu nampak tegang.
Dan bagi Hafiz, nama itu mengingatkan dia pada seseorang yang dikenalinya. Kalaulah lelaki itu adalah seperti lelaki yang dikenalinya…dia tak akan membiarkan lelaki itu mendekati Sarah. Tak akan. Dalam diam Hafiz mengempal penumbuk.
“ Alah…takkanlah kau dah lupa…mamat handsome yang kita jumpa masa makan malam tu…dia asyik tanya pasal kau aje selepas kita jumpa dengan dia hari tu. Aku memang dah tahu yang dia memang syok kat kau tapi kau aje yang buat tak layan…kesian dia!” Tuty cuba menjelaskan siapakah lelaki yang bernama Zakri itu.
Oh! Baru Sarah ingat. Betul juga kata Tuty. Zakri kacak orangnya, penampilannya pun bergaya. Perwatakannya juga menarik. Menurut kata lelaki itu, dia adalah seorang jurutera di sebuah syarikat di  Kuala Lumpur, berusia 31 tahun. Datang ke Pulau Tioman kerana mahu menghabiskan hari cutinya. Awal-awal lagi Tuty sudah angau sebaik saja lelaki itu beredar selepas mendekati mereka.
“ Kau dengar tak ni?...dia minta aku aturkan satu pertemuan dengan kau….bila-bila masa saja kau free!” Tuty benar-benar teruja. Tanpa sedar apa yang dikatakan itu membuatkan punggung Hafiz  mula panas.
“ Bagilah aku masa… aku tak nak terburu-buru buat keputusan…lagi pun kita bukannya kenal dengan lelaki tu…” timbul juga rasa bimbang  di hati Sarah.
“ Nak fikir apa lagi!...bukan senang tau nak dapat peluang ni…kalau dah jumpa, barulah boleh kenal…kalau tak jumpa, sampai bila-bila pun kau tak akan kenal dengan dia ” gesa Tuty. Macam pakar nasihat tak bergaji pula si Tuty ni!
“ Tuty, Sarah tu dah bergelar isteri…apa jua yang dia lakukan mesti mendapat keizinan dari suami…!”
Tuty menutup mulut. Memang dia terlupa hakikat itu. Nasib baik Hafiz mencelah.
“ Ops!  sorry…excited sangat…!” Tuty menayang sengih.
“ Jangan mudah terpedaya dengan lelaki kacak… fikir dulu semasak-masaknya… nanti menyesal tak sudah!” nasihat Hafiz membuatkan Sarah dan Tuty berpandangan.
“ Hmm…betul tu… memang tepat, lelaki kacak ni memang tak boleh di percayai… nasib baik abang Hafiz ni bukan tergolong dalam kategori lelaki kacak…!” balas Tuty.
“ Tuty….” jerit Hafiz.
Tuty tergelak. Memang pun wajah Hafiz kurang sikit handsome bila mukanya dah tercalar begitu. Agaknya ada kesan parut tak lepas ni?
“ Aku balik dulu, nanti kita jumpa ya!”  Tuty segera beredar. Bukan main seronok lagi kerana dapat mengenakan Hafiz hari ini.
Sarah memandang wajah Hafiz, cuba menyembunyikan senyum bila wajah Hafiz sudah menjadi kelat-kelat masam.

*************