Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Tuesday, 24 November 2015

Hanya dia, cinta hatiku! 14




ZAHIM terus keluar dari kereta Audi TT miliknya. Sempat matanya melihat kereta lain yang ada di garaj itu. Nampaknya BMW 7 series milik papanya belum nampak bayang. Ini bermakna yang papanya masih belum pulang. Zahim melangkah masuk ke dalam banglo mewah itu sambil menjinjing briefcasenya. Suasana sunyi di ruang rehat ketika itu membuatkan kakinya terus menghayun ke sofa. Tubuhnya segera di labuhkan ke sofa. Briefcase yang ada di tangannya di letakkan di atas sofa sebelah. Kakinya di lunjur ke hadapan. Membetulkan urat sendi yang terasa kejang dan lenguh. Tangannya pula  melonggar tali leher yang melilit tengkuknya.
“Im, dah balik ya. Maafkan Mak Leha sebab tak perasan yang Im dah balik. Mak Leha sibuk masak kat dapur untuk makan malam nanti,”
Zahim yang hampir terlelap segera membuka mata sebaik sahaja mendengar suara Mak Leha selaku pembantu rumah yang telah berkhidmat hampir 20 tahun dengan keluarga Tan Sri Mokhtar.
“Tak apa, Mak Leha.” Zahim segera membetulkan kedudukannya sambil mengukir senyum.
“Im nak Mak Leha buatkan minumanke?” soal Mak Leha sambil merenung wajah Zahim. Dia tahu anak muda itu kepenatan kerana seharian sibuk bekerja.
“Boleh juga. Hmm…mama mana?...selalunya petang-petang begini asyik sibuk manjakan anak angkatnya tu…” kata Zahim teringatkan aktiviti mamanya di taman orkid di halaman banglo mewah itu.
“Puan Sri keluar jumpa kawannya. Im rindukan mama Im ya…” kata Mak Leha sambil mengukir senyum.
“Bukan hanya rindukan mama aje, tapi Mak Leha sekali tau…..Kalau Im tak rindukan mama dan Mak Leha, Im nak rindukan siapa lagi….sehari tak pandang muka mama dan Mak Leha, rasa tak lengkap hidup Im tau!” balas Zahim sekadar mengusik pembantu rumah yang di anggap seperti ibunya sendiri. Malah kadang-kadang dia lebih selesa berbual santai dengan Mak Leha dari mamanya.
Mak Leha tergelak kecil. Terselit rasa bangga dan gembira mendengar kata-kata itu. Dia pun sudah anggap anak-anak majikannya seperti anaknya sendiri. Semetelah dia sendiri tak pernah punya zuriat. Itu sebabnya dia di ceraikan oleh suaminya dulu setelah mendirikan rumahtangga selama tiga tahun. Akibat kecewa dan takut tak mampu nak punya zuriat sendiri, dia memilih untuk terus hidup sendiri.
“Kan lebih elok kalau ada seseorang yang lebih istimewa dalam hati Im selain dari Puan Sri dan Mak Leha…” usik Mak Leha.
“Maksud Mak Leha?” sengaja Zahim pura-pura tak faham maksud kata-kata itu.
Mak Leha ketawa mendengar soalan yang di utarakan oleh Zahim. Dia tahu yang Zahim sengaja buat-buat tak faham. Setiap tindak tanduk Zahim itu sangat di fahami kerana anak muda itu telah membesar di hadapan matanya.
“Alah….kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu ya!” usik Mak Leha yang masih lagi tergelak.
 Zahim turut ketawa.
“Im belum jumpa perempuan yang sesuai untuk di jadikan isteri. Tapi…” tiba-tiba mulut Zahim mengorak senyum. Entah kenapa saat ini wajah seseorang mula terbayang di ruang matanya.
“Tapi apa?” berkerut dahi Mak Leha menanti kata-kata Zahim yang seterusnya.
“Erm…tapi, sejak kebelakangan ni…hati Im mula terpikat dekat seseorang tapi Im tak tahu macam mana nak bagitahu dia tentang perasaan Im. Gadis tu pun macam mengelak aje bila Im nak dekat.” kata Zahim dengan wajah sendu. Penolakan Syah membuatkan dia hampa. Bukan sekali dua tapi dah banyak kali.
“Im kena tunjukkan keikhlasan Im terhadapnya….keikhlasan dalam sesuatu hubungan itu bukan terletak pada paras rupa, pada harta, pada pangkat dan darjat…tapi pada hati,” nasihat Mak Leha.
Zahim mengukir senyum. Dia turut bersetuju dengan penyataan itu.
“Bagi tahu Mak Leha, siapa gadis tu….” kata Mak Leha dengan muka serius.
“Mak Leha nak buat apa?” dahi Zahim berkerut.
Tiba-tiba Mak Leha mengukir senyum.
“Mak Leha nak bagi tahu dia dan nak pujuk dia supaya terima Im. Mak Leha kenal Im sejak Im kecil….Mak Leha juga kenal hati budi Im…rugi betul gadis tu kalau dia menolak lelaki sebaik dan setampan Im ni…kalau Mak Leha ni masih lagi muda….dah lama Mak Leha pikat Im untuk jadi pasangan hidup Mak Leha,”
Mak Leha ketawa kecil membuatkan Zahim turut ketawa.
“Nantilah….satu hari nanti, Im akan kenalkan dia dengan Mak Leha. Im harap sangat dia dapat terima Im seadanya…dan Im juga harap mama dan papa akan restui pilihan Im.” kata Zahim sambil mengeluh perlahan.
“InsyaAllah…Mak Leha selalu doakan yang terbaik untuk Im. Dah berborak kat sini…lupa pula Mak Leha nak buatkan air untuk Im…Mak Leha ke dapur dulu la ya!” kata Mak Leha mengingatkan tugasnya.
“Tak payahlah Mak Leha. Im nak naik atas dulu, nak mandi…lagi pun, Im  belum solat Asar lagi…lepas mandi dan solat, Im turun semula ya.” kata Zahim.
“Baiklah…Mak Leha ke dapur nak siapkan makan petang untuk Im…” kata Mak Leha dan terus berlalu. Zahim juga turut bangun. Briefcase di capai dan dia terus melangkah meninggalkan ruang rehat untuk ke biliknya di tingkat tiga.



ZAHIM santai di ruang rehat selesai makan malam. Televisyen yang di pasang di ruangan itu tidak berjaya menarik perhatiannya kerana mata dan mindanya di fokuskan untuk smartphone yang ada di tangannya. Bukan apa, sibuk melayan kawan-kawan ber whats app dan juga melayan facebook. Sekadar hendak tahu perkembangan kawan-kawan. Kalau nak berjumpa empat mata agak sukar kerana kawan-kawan lamanya tinggal di merata tempat, ada juga yang terima tawaran kerja di luar negara.
“Amboi, Im…khusyuk betul mama tengok Im berbalas mesej di telefon. Dengan Dania ke?” Puan Sri Yasmin tiba-tiba menegur membuatkan Zahim tersentak.
Wajah Puan Sri Yasmin yang baru muncul bersama Tan Sri Mokhtar di ruang rehat di pandang oleh Zahim.
“Mama, boleh tak kalau mama tak sebut atau babitkan nama perempuan tu dengan Im!” Zahim memandang wajah mamanya sambil menyembunyikan rasa hati. Memang dia tak senang bila dirinya dikaitkan dengan perempuan itu. Tak ada chemistry langsung. Allegik betul dia dengan nama tu.
Puan Sri Yasmin memandang wajah suaminya sebelum memandang wajah Zahim. Sedangkan pada hakikatnya dia sedang menyembunyikan senyum. Seronok sangat dapat melihat wajah resah anaknya. Bukan dia tak tahu yang Zahim memang tak sukakan Dania tapi kalau dia tak babitkan nama Dania, pasti Zahim akan terus melupakan hasrat yang sudah lama dia dan suaminya inginkan iaitu mahu melihat anaknya hidup bahagia dan berumahtangga.
“Kenapa? Bukankah Im dan Dania baru saja jumpa semalam. Mama ingatkan hubungan korang berdua dah okey,” kata Puan Sri Yasmin sambil merenung wajah Zahim.
“Im  ada perkara yang nak ditanyakan pada mama dan papa ni…”
Zahim berjeda. Tajam matanya memandang wajah kedua orangtuanya.
“Apa dia, sayang?” tanya Puan Sri Yasmin.
“Betulke mama dan papa serius nak jodohkan Im dengan Dania?” tanya Zahim sambil merenung wajah orangtuanya menanti reaksi.
Puan Sri Yasmin berkalih, wajah suaminya di pandang dengan harapan suaminya akan memberi jawapan pada persoalan yang ditimbulkan oleh anak mereka. Puan Sri Yasmin hampa bila suaminya mengambil tindakan  mendiamkan diri. Nampaknya dia yang perlu bersuara.
“Kalau mama dan papa serius mahu menjodohkan Im dengan Dania, Im akan terima?”soalan di balas dengan soalan.
Zahim mendengus perlahan.
“Kalau Im menolak, …”
 Zahim cuba main tarik tali. Nak tahu juga sejauh mana penerimaan orangtuanya.
“Atas alasan apa Im cuba menolak cadangan itu?” tiba-tiba Tan Sri Mokhtar bersuara membuatkan Zahim menelan liur. Pada hakikatnya, hati Zahim di landa resah. Takut sekiranya penolakannya itu menimbulkan kemarahan orangtuanya.
“Sebab Im tak pernah sukakan Dania. Apa lagi untuk mencintainya. She`s not my taste. Im minta maaf kalau penolakan ini menimbulkan kemarahan mama dan papa. Bukan niat Im nak mengecewakan hasrat mama dan papa …tapi….”
Zahim buntu untuk memberi alasan yang sewajarnya.
“Im menolak Dania sebab Im dah ada pilihan sendiri, begitu?” tiba-tiba terpancul soalan itu dari mulut Puan Sri Yasmin membuatkan Zahim terngadah. Tak semena-mena dia menggaru kepala yang tidak gatal.
“Kalau Im dah ada pilihan sendiri, kenalkanlah dengan kami. Kami pun nak kenal gadis macam manakah yang jadi pilihan Im. Yang dapat mencuri hati anak kami…” kata Puan Sri Yasmin seakan mencabar Zahim.
Zahim mula resah. Apakah jawapan yang sepatutnya dia berikan? menolak cadangan orangtuanya bererti dia sudah ada pilihan sendiri tapi dia mana ada kekasih hati. Di mana dia cari perempuan untuk di bawa bertemu orangtuanya. Gawat….gawat.
Sekali lagi Puan Sri Yasmin dan Tan Sri Mokhtar saling berpandangan.
“Im…Im dengar tak apa yang mama cakap ni?” soal Puan Sri Yasmin sambil merenung wajah resah Zahim. Lagaknya macam kucing kehilangan anak. Puan Sri Yasmin menahan senyum. Dia bukannya tak tahu apa yang sedang berlaku pada anaknya tapi dia sengaja memprovoke anaknya.
“D…dengar. Im dengar mama.” tergagap-gapap Zahim bersuara.
“Habis tu…bila Im  nak kenalkan gadis yang berjaya mencuri hati Im tu dekat kami,” gesa Puan Sri Yasmin dengan wajah serius.
“Er…”
Zahim menggaru-garu kepalanya lagi.
“Dania bagi tahu mama yang Im nak kenalkan kekasih Im pada dia minggu depan. Betulke?” Puan Sri Yasmin terus  gasak bertanya sambil memandang wajah Zahim.
“Hah!...Dania bagi tahu mama pasal tu?” ternganga mulut Zahim sewaktu  dikhabarkan hal itu.
“Ya, katanya Im menolak cinta dia sebab Im dah ada pilihan. Dan Im dah janji nak kenalkan gadis itu dengan Nia minggu depan,” kata Puan Sri Yasmin.
“Erm…Ar…”
Sungguh, Zahim benar-benar perlukan bantuan untuk melepaskan diri dari terus di asak oleh mamanya.
“Apa kata Im bawa gadis tu datang ke rumah kita. Mama dan papa teringin juga nak kenal dan jumpa dengan gadis pilihan Im tu. Kalau dia memenuhi ciri-ciri menantu pilihan kami, kami akan terima.” kata Puan Sri Yasmin sambil mengukir senyum.
Bulat mata Zahim memandang wajah mamanya. Terasa liur di kerongkong begitu sukar untuk di telan. Memang dia menempa musibah. Apa yang patut dia lakukan. Hanya satu saja nama yang ada di fikirannya. Nama itu di harapkan dapat membantunya menyelesaikan masalah ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...