Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Tuesday, 1 September 2015

Yang terindah dari dia! 3



SELEPAS habis jualan mereka, Halimah yang ditemani oleh Aira dan Balqis pulang ke rumah. Biasanya selepas pulang dari menjual di warung, Halimah di bantu oleh Aira menyiapkan tempahan baju dari orang kampung. Dapatlah mereka menampung kehidupan harian dan juga membuat modal untuk berniaga.
Halimah terus mencapai jug berisi teh yang di buat oleh Aira tadi. Terus di tuang ke dalam tiga biji cawan. Mereka terus menikmati minuman itu dengan tenang. Tenang bila memikirkan bahawa mereka memang tidak akan menatap wajah Lajis ketika ini. Memang itulah rutin harian mereka. Lajis pastinya sudah keluar melepak kat mana-mana. Tak padan dengan usia, masih tak puas menghabiskan masa dengan berbual kosong tanpa memikirkan hal keluarga. Motor Honda buruk itulah yang menjadi kenderaan untuk Lajis ke sana ke mari. Bila nak isi minyak, terus minta dengan Halimah. Nasib baiklah duit untuk bayar road tax dan insuran tidak di minta sebab memang dia tak pernah bayar pun. Kira pakai naik aje  selagi motor tu boleh bergerak, ia akan menjadi kenderaan tunggangan Lajis.
“Aira…” panggil Halimah bila Aira mencapai kain pasang untuk untuk di jahit.
“Ada apa ibu?” tanya Aira sambil mendekati Halimah yang sedang duduk bertimpuh di ruang tamu ketika itu. Kain yang baru nak di pegang tadi di letakkan semula di atas tikar.
Ketika ini hanya tinggal mereka berdua sahaja di ruang tamu kerana Balqis sudah pun masuk ke biliknya. Katanya nak siapkan kerja rumah. Maklumlah, tak lama lagi Balqis akan menghadapi peperiksaan SPM.
“Aira, ada perkara yang ibu nak cakapkan dengan Aira. Sebenarnya dah lama ibu fikirkan hal ni, tapi asyik tertangguh aje sebab ibu tak nak kehilangan Aira. Aira pun tahukan yang ibu sayangkan Aira. Sayaanng sangat-sangat. Macam ibu sayangkan Balqis.” kata Halimah sambil merenung sayu wajah Aira yang mula resah. Macam ada sesuatu yang tak enak akan berlaku.
“Aira pun sayangkan ibu. Sayang sangat-sangat. Walaupun ibu  bukan ibu kandung Aira, tapi Aira tetap sayangkan ibu.” balas Aira sambil menggenggam tangan Halimah.
Halimah mengukir senyum. Wajah Aira itu di sentuh lembut. Air matanya mula bergenang.
“Ibu, kenapa ni?” soal Aira mula rasa tak selesa.
“Aira,  sebenarnya ibu takut ibu tak mampu nak mempertahankan maruah Aira. Aira seorang gadis dan anak yang baik. Bukan saja cantik, tapi juga bijak. Ibu tahu Aira teringin sangat nak sambung pelajaran hingga ke university dan punya pekerjaan dan kehidupan yang terjamin untuk masa depan. Tapi….kalau Aira terus tinggal bersama ibu, cita-cita dan hasrat Aira akan terpendam. Ibu yakin…suami ibu tak akan benarkan Aira teruskan hasrat dan cita-cita Aira selagi Aira tinggal di sini. Kalau tak, dah lama dia bagi Aira peluang untuk sambung belajar. Dia akan berusaha untuk bagi peluang kepada Aira tapi….apa yang dia lakukan untuk Aira. Tak adakan!...malah, sudah banyak kali dia cuba buat benda tak senonoh kat Aira. Ibu malu dengan Aira kerana punya suami yang tak bertanggungjawab. Sepatutnya dia akan pertahankan maruah Aira, bukan nak menghancurkannya!” kata Halimah.
Aira diam. Wajahnya menunduk.
Betul kata ibu. Sebagai insan biasa, dia juga mempunyai cita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sebaik sahaja keputusan SPMnya di umumkan dulu. Bila dia cuba menyatakan hasratnya, terus impiannya dan cita-citanya di bangkang oleh Lajis.
“Perempuan, belajar tinggi mana pun…..kat ceruk dapur juga tempatnya. Tak payahlah kau nak belajar tinggi-tinggi Aira….tengok ibu kau ni, tak belajar tinggi pun, hidup juga dia. Selama ini kau dan Balqis tak pernah kebulur. Kalau kau pergi belajar, siapa yang nak tolong ibu kau ni….aku? jangan haraplah….” kata Lajis membuatkan Aira mengeluh dalam diam. Sungguh dia kecewa dengan sikap Lajis.
Halimah yang mendengar kata-kata suaminya ketika itu hanya diam. Dia tahu kenapa Lajis tak benarkan Aira belajar. Dia tahu apa yang ada dalam fikiran suaminya. Lajis `mahukan` Aira.
Halimah merenung wajah sendu Aira.
`Kesian Aira. Apalah nasib gadis ini. Alangkah baiknya kalau dia mampu mengubah nasib Aira.`
“Aira…” panggil Halimah lembut membuatkan mata Aira terus tertumpu pada wajah Halimah.
“Aira, ibu rasa sampai masanya Aira cari orangtua kandung Aira. Aira tentu nak tahu dan jumpa dengan merekakan!” kata Halimah sambil merenung wajah Aira yang tiba-tiba tersentak. Benar-benar terkejut dengan saranan Halimah itu.
“Ibu….apa maksud ibu?” soal Aira dengan dahi yang berkerut.
Halimah mengukir senyum.
Aira mula menelan liur. Tiba-tiba hatinya jadi gusar.
“Aira, ibu nak Aira keluar dari rumah ni. Kalau boleh secepat yang mungkin. Kalau Aira nak, hari ni pun Aira boleh keluar dari rumah ni.” kata Halimah dengan wajah tenang.
Aira terngadah
“Ibu!!!”
Balqis tiba-tiba menjerit lantang serentak dengan langkahnya menghala ke  arah mereka berdua. Terus dia duduk di hadapan mereka dengan muka tegang.
Halimah dan Aira saling berpandangan sebelum mata mereka sama-sama menghala ke arah wajah Balqis.
“Ibu, apa yang ibu cakap ni?....ibu nak halau kak Aira ke?” marah Balqis dengan wajah merah. Bukan main terkejut lagi dia sebaik sahaja mendengar kata-kata ibunya tadi.
Halimah hanya tayang senyum. Tangan Balqis di capai dan digenggam erat.
“Qis, Qis dah salah faham. Ibu bukan nak halau kak Aira. Qis pun tahukan yang ibu sayangkan kak Aira seperti mana ibu sayangkan Qis.” kata Halimah dengan suara lembut.
“Habis tu, kalau ibu sayangkan kak Aira….kenapa ibu suruh kak Aira keluar dari rumah ni? Qis tak nak kak Aira keluar dari rumah ni….Qis sayangkan kak Aira. Kalau kak Aira tak ada, Qis tak ada kawan lagi kat rumah ni!” suara Balqis mula sebak.
“Sayang, meh sini!” ajak Halimah.
Balqis mengesot dan mendekati Halimah. Segera tubuh Balqis di peluk Halimah. Begitu erat sekali sambil di perhatikan oleh Aira dengan rasa sebak.
“Qis, ibu hanya nak selamatkan maruah kak Aira. Ibu tak nak kak Aira jadi mangsa suami ibu. Qis pun tahukan macam mana sikap ayah Qis tu.” kata Halimah sambil mengusap lembut bahu Balqis yang sudah mengangguk perlahan.
Mata Balqis beralih ke arah Aira. Wajah Aira di tenung seketika. Tangan Aira di gapainya dan di genggam erat.
“Qis sayangkan kak Aira. Kak Aira dan ibu adalah orang yang paling Qis sayang di dunia ni….” kata Balqis.
“Kak Aira pun sayangkan Qis. Kak Aira juga tak sanggup nak tinggalkan ibu dan Qis. Qis dan ibu adalah kekuatan kak Aira. Tanpa ibu dan Qis, kak Aira pun tak tahu apa yang akan jadi pada kak Aira.” kata Aira cuba ukir senyum. Menyembunyikan rasa sebak di dada.
“Jadi, kak Aira mesti terus tinggal bersama ibu dan Qis di sini.” kata Balqis.
Aira dan Halimah saling berpandangan.
“Qis, ibu rasa sampai masanya kak Aira kena tentukan hidupnya sendiri. Sampai bila kita nak biarkan kak Aira hidup dalam teka -teki. Kak Aira perlu tahu siapa dirinya yang sebenar.” kata Halimah.
“Kalau ibu dan ayah kak Aira sayangkan kak Aira, kenapa mereka tak pernah cari kak Aira selama ini?” Balqis meluahkan rasa.
Halimah mengeluh perlahan.
“Qis, kita tak boleh buat tuduhan kalau kita tak perkara. Mana tahu mereka sebenarnya pernah cari kak Aira. Orangtua mana yang tak sayangkan anaknya. Mungkin mereka juga menderita kehilangan anak mereka.” pujuk Halimah.
Balqis terdiam. Mungkin sedang menghadam kata-kata Halimah.
“Betul kak Aira nak cari orangtua kak Aira?....kak Aira rindukan mereka?” soal Balqis sambil merenung wajah Aira.
Aira  hanya tayang senyum. Wajah Balqis mula muram.
“Qis, ibu yakin dan percaya….ibu dan Qis masih ada tempat di hati Aira walaupun setelah Aira dah jumpa orangtuanya. Betulkan Aira!” Halimah mengukir senyum.
“InsyaAllah, Aira tak akan pernah lupakan kebaikan ibu dan Qis sepanjang hidup Aira.  Terima kasih, ibu. Terima kasih Qis atas semua kebaikan dan kasih sayang ibu dan Qis pada Aira selama ini. 15 tahun Aira tinggal bersama, pasti banyak kenangan  istimewa yang tersimpan…” kata Aira.
“Jadi, kak Aira betul-betul nak terima saranan ibu?” tanya Balqis sambil merenung wajah Aira. Wajahnya tetap muram.
Sekali lagi Aira tayang senyum sebelum mengangguk perlahan.
“Bila di fikirkan balik, betul juga cakap ibu. Sudah sampai masanya kak Aira cari dan kenal siapa diri kak Aira yang sebenarnya. Lagi pun, kak Aira juga perlu mempertahankan kehormatan Aira. Memang tak nafikan, kak Aira tetap menghormati ayah sebagai lelaki dan juga suami ibu tapi….kak Aira tak sanggup melihat ibu terus menjadi mangsa kerakusan dan penindasan ayah selagi dia tak dapat meragut kehormatan kak Aira. Manusia ni Qis, bila hati dan fikirannya di kuasai syaitan dan hawa nafsu, dosa dan pahala sudah tidak di pandang lagi.” kata Aira.
Kata-kata Aira itu membuatkan Halimah dan Balqis terdiam.
“Ibu, Aira ingat….esok sajalah Aira keluar dari rumah.  Bagilah peluang untuk Aira melepaskan rindu Aira pada ibu dan Qis dulu. Aira tak tahu, sebaik sahaja kaki Aira melangkah dari rumah ini…bila pula Aira dapat jumpa dan peluk ibu dan Qis lagi.” kata Aira sambil mengetap bibir membuatkan Halimah mengangguk  kepala perlahan. Tangan Aira terus di gapai, di genggam erat sebelum mencium tangan Aira. Menitis air mata Aira melihat tindakan Halimah. Tanpa berlengah, tubuh Halimah itu di peluk Aira dengan erat.


AIRA membawa keluar sebiji beg pakaian dan beg sandangnya ke ruang tamu. Pagi tadi, dia telah memeluk Balqis sebelum Balqis ke sekolah. Lajis juga telah keluar dari rumah dengan motosikalnya sejak setengah jam yang lalu untuk melepak di kedai kopi. Sebelum keluar sempat juga dia bertanyakan Halimah.
“Limah, kau tak berniaga ke hari ni?” soal Lajis hairan melihat Halimah tidak membungkus nasi lemak seperti biasa.
“Limah rasa tak sihat hari ni, ingat nak berehat saja kat rumah. Tengahari sikit, Limah nak menjahit tempahan baju.” Halimah memberi alasan.
“Hmm…aku nak keluar ni, malam karang baru aku balik.” kata Lajis sambil mencapai kunci motor yang di sangkut di dinding. Aira yang baru saja muncul di ruang tamu itu di kerling oleh Lajis dengan ekor mata. Hatinya makin tak keruan setiap kali memandang dan menatap wajah anak angkatnya. Gadis itu semakin hari semakin cantik dan menarik di pandangannya. Sayang sekali kalau ada orang lain yang dapat menikmati tubuh itu. Kerana keinginannya yang belum tercapai itulah, dia sanggup menolak pinangan Hadi, anak ketua kampung yang sememangnya sudah lama jatuh hati dengan Aira.
Aira buat-buat tak nampak dengan renungan Lajis walaupun hatinya sudah berdebar-debar. Dia amat takut dengan renungan mata itu. Tubuh Lajis masih lagi tegap dan bertenaga. Jadi, agak mustahil untuk dia selamat sekiranya Lajis benar-benar bernekad mahukan dirinya.
“Ibu.” Aira bersuara sebaik sahaja melihat wajah Halimah yang muncul di ruang tamu dari bilik tidurnya.
“Aira dah siap ya!” Halimah bersuara dengan tenang. Sebenarnya, dia hanya berpura-pura bersikap tenang walaupun pada hakikatnya hati dia sudah menangis tersedu-sedu. Dia perlu kuatkan hati agar Aira pergi dengan tenang dan tanpa rasa bersalah.
“Ya, ibu. Tak ada banyak barang pun yang Aira nak bawa. Hanya beberapa helai pakaian dan juga sijil-sijil persekolahan Aira. Mana tahu, ada peluang pekerjaan di bandar Kuala Lumpur tu.” kata Aira.
Halimah mendekati Aira. Wajah Aira di pandang penuh kasih.
“Ibu, ibu yakinke yang keluarga Aira ada di Kuala Lumpur?” soal Aira sambil membalas renungan Halimah.
“Kemungkinan besar orangtua Aira ada di sana sebab masa ibu tanya suami ibu dulu dia ada bagi tahu yang orangtua Aira berada di sana. Ibu pun tak tahu sangat perkara sebenar. Sebab tu ibu nak Aira cari tahu apa yang sebenarnya berlaku pada Aira dulu. Lagi pun, kalau di takdirkan Aira nak kawin, Aira perlukan wali.” kata Halimah.
“Macam mana kalau ternyata yang Aira sebenarnya dah tak ada orangtua. Aira ni anak yatim piatu?” kata Aira mula memikirkan kemungkinan yang lain.
“Banyak-banyakkan berdoa. InsyaAllah, Allah akan sentiasa ada untuk membantu. Ingat, kat sana nanti….jangan tinggal solat, jangan buat benda yang tak elok.” pesan Halimah sambil mngusap lembut bahu Aira.
“Ibu jangan bimbang. InsyaAllah Aira akan sentiasa ingat pesan ibu dan Aira juga nak ibu tahu yang Aira akan sentiasa ingatkan ibu dan Qis. Kalau ada masa, Aira akan balik jumpa ibu.” kata Aira.
Halimah mengukir senyum, kemudian mengangguk kepalanya. Halimah kemudiannya beredar masuk ke biliknya. Beberapa minit kemudian, dia muncul semula.
“Aira, ini ada sedikit duit untuk belanja Aira nanti.” Halimah mencapai  tangan Aira dan meletakkan satu sampul surat di tangan Aira.
“Ibu, tak payahlah ibu. Nanti ibu boleh guna duit ni untuk perbelanjaan ibu.” Aira cuba menolak pemberian itu.
“Duit ni memang ibu simpan untuk kegunaan Aira.  Mungkin tak banyak tapi ibu harap duit ni dapat membantu Aira sementara nanti.” kata Halimah.
“Tapi ibu…”
“Ambil. Ibu akan kecil hati kalau Aira menolak. Aira jangan bimbang, ibu masih ada simpan wang untuk kegunaan ibu dan Balqis.” kata Halimah.
“Terima kasih, ibu.” Aira terpaksa menerima wang itu dan memasukkan sampul surat itu di dalam beg sandangnya. Segan pula dia nak terima pemberian itu mengenangkan kesusahan yang di hadapi oleh Halimah walaupun hakikatnya dia sendiri tak punya duit simpanan yang banyak.
“Ibu minta maaf sebab ibu tak dapat hantar Aira hingga ke pekan sana. Petang semalam ibu ada jumpa dengan Hadi dan ibu dah ceritakan pasal Aira pada dia. Dia sanggup nak hantar Aira hingga ke pekan. Agaknya kejap lagi sampai la tu!” kata Halimah membuatkan Aira tersentak.
“Ibu minta pertolongan abang Hadi?” Aira mengetap bibir.
“Ya, ibu percayakan dia. Ibu tahu, Hadi tu dah lama sukakan Aira tapi ibu tak boleh nak buat apa bila suami ibu bertegas menolak lamaran Hadi. Ibu pun suka  kalau Hadi tu jadi menantu ibu. Dia anak yang baik. Entahlah….kalau dia adalah jodoh Aira, pasti kalian akan bersama juga akhirnya…” kata Halimah membuatkan wajah Aira merona merah.
Memang Aira tahu bahawa Hadi memang menaruh hati padanya sejak dari dulu dan dia juga tak nafikan yang hati kecilnya turut menyukai Hadi. Pemuda yang menjadi idaman gadis kampung. Hadi sekarang ni sedang menghabiskan cuti pengajiannya tahun akhir di salah sebuah university di Kuala Lumpur. Haji Salleh, orangtua Hadi yang merupakan ketua kampung turut berkenan menjodohkan Aira dengan Hadi tapi terpaksa akur bila pinangan untuk anaknya di tolak oleh Lajis tanpa alasan yang munasabah.
Pon….Pon….
Halimah menjenguk ke muka pintu.
“Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam, Hadi….jemput masuk.” pelawa Halimah pada pemuda yang baru muncul bersama kereta proton saga.
Aira mengikut langkah Halimah muncul di muka pintu.
Sempat juga Aira berbalas senyum dengan Hadi yang nampak segak mengenakan t`shirt hijau dan seluar jeans biru.
“Tak apalah, makcik. Lagi pun saya nak cepat ni. Kejap lagi ayah nak pakai kereta.” kata Hadi mengenangkan kereta milik ayahnya yang di pinjam buat sementara waktu. Takkanlah dia nak hantar Aira pakai motornya. Riuh satu kampung nanti bercerita pasal dia dan Aira.
“Oh, macam tu ya….maafkan makcik ya sebab dah susahkan Hadi. Makcik tak tahu nak harapkan siapa lagi….” kata Halimah.
Hadi mengukir senyum.
“Takpelah makcik. Saya tak kesah pun. Lagi pun, anggaplah ni pertolongan dari seorang kawan….betul tak, Aira?” Hadi kemudian mengalih pandang pada wajah Aira yang hanya diam memerhati perbualan Halimah dan Hadi.
“Aira pun nak minta maaf sebab terpaksa susahkan abang Hadi.” kata Aira sambil merenung wajah Hadi.
“Perkara kecil aje. Lagi pun, abang free hari ni.” kata Hadi sambil mengukir senyum.
“Aira dah bersiapkan?” Halimah mencelah.
Sebenarnya dia pun rasa serba salah nak meminta pertolongan Hadi tapi dia yakin bahawa pemuda itu boleh di percayai. Hadi seorang anak muda yang baik. Alangkah baiknya kalau Aira berjodoh dengan Hadi. Harap-harap suatu hari nanti mereka akan dapat bersama kerana dia yakin Hadi boleh memberi kebahagiaan untuk Aira. Dan dia juga tahu bahawa sayang Hadi pada Aira adalah tulus dan ikhlas sejak dari dulu.
“Aira dah siap ibu. Cuma tunggu nak bertolak aje.” balas Aira dengan rasa sayu tiba-tiba seolah-olah rumah ini akan di tinggalkan untuk selamanya.
“Pergi ambil beg. Kesian Hadi dah lama menunggu.” kata Halimah membuatkan Aira terus beredar dan muncul semula dengan dua biji beg. Satu beg pakaian dan satu lagi beg sandang.
“Ibu, Aira pergi dulu ya. Aira nak minta maaf dari ibu kalau Aira ada mengecilkan hati ibu. Aira minta dihalalkan segala apa yang Aira makan dan minum selama ini…..Aira doakan ibu sentiasa bahagia.” kata Aira sambil memeluk erat tubuh Halimah sambil di perhati oleh Hadi.
“Sudahlah….Aira tak ada salah apa-apa pun pada ibu, ibu yang sepatutnya minta maaf dengan Aira sebab ibu tak mampu nak berikan kesempurnaan dan keselesaan hidup buat Aira. Ibu harap Aira akan cepat-cepat jumpa orangtua kandung Aira. Dan ibu juga percaya, mereka juga begitu. Kalau ada kelapangan, jenguk-jenguklah ibu di sini ya!” kata Halimah sebelum mengucup dahi dan kedua pipi Aira. Air mata Halimah dan Aira sama-sama laju mengalir di pipi.
“Nanti, kirim salam dekat Qis ya. Ibu tolong cakap kat Qis yang Aira sayang sangat kat dia…” kata Aira sambil menyapu air matanya.
Halimah mengangguk perlahan.
“Simpan elok-elok alamat yang ibu berikan semalam. Ibu dah bagitahu kawan ibu yang Aira nak tumpang buat sementara di rumahnya….nanti sampaikan salam ibu pada dia ya.” pesan Halimah sambil membetulkan tudung bawal yang di pakai oleh Aira. Sudah senget akibat mereka berpelukan tadi.
“Aira pergi dulu ya ibu.” kata Aira sambil mencium tangan Halimah.
Aira segera menuruni tangga dengan menjinjing beg pakaiannya. Sebaik sahaja kakinya memijak tanah, Hadi segera mengambil begnya dan terus di masukkan ke dalam bonet kereta.
“Aira!” panggil Halimah.
“Ya ibu!” sahut Aira.
Halimah mengukir senyum seketika.
“Ibu nak tatap wajah anak ibu untuk kali yang terakhir. Mana tahu ini adalah pertemuan terakhir kita!” kata Halimah sambil memegang wajah Aira. Di renung wajah Aira dengan penuh rasa kasih dan sayang. Matanya sekali lagi berkaca. Entah kenapa begitu sukar untuk dia melepaskan Aira pergi dari hidupnya. Tapi dia terpaksa kuat. Demi masa depan Aira, dia perlu lepaskan gadis itu pergi untuk mencari tahu siapa dirinya yang sebenar.



1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...