Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Monday, 22 December 2014

Hanya DIA, cinta hatiku! 10




Z
AHIM meneliti penampilannya di hadapan cermin, memastikan penampilannya kemas dan menarik. Bukan dia tak sedar bahawa dia merupakan jejaka bualan hangat di Zamrud Holdings dan kawasan yang sewaktu dengannya. Apa tidaknya, CEO Zamrud Holdings ni masih bujang dan sedang mencari pasangan. Itu yang menjadikan dia terkenal dan glamour. Entah siapa yang canang berita tak benar tu. Kadang-kadang buatkan dia jadi resah. Terasa setiap langkah dan tutur katanya di perhati terutama oleh perempuan yang sememangnya berada dan berkhidmat di bangunan Zamrud Holdings  atau di mana saja dia melangkah. Dia bukannya artis yang mahukan publisiti dan perhatian dari semua perempuan. Dia rimas. Bukan hanya rimas dengan hal itu di syarikat, tapi juga di rumah.
Kalaulah mama dan papa berfikiran macam nenek, tak adanya hati dia berserabut memikirkan soal jodoh. Ini, asyik nak kenengkan dia dengan anak-anak kawan mereka yang entah apa-apa. Perangai meliuk lentok, tergedik-gedik macam jeli dan penampilan pula tak semenggah. Boleh putus nyawa di buatnya nak melayan kerenah perempuan-perempuan macam tu. Lebih senang cerita, kategori itu bukan tastenya.
Setelah berpuas hati dengan gaya dan penampilannya, Zahim mendapatkan briefcasenya dan terus keluar dari bilik. Kakinya di hayun menuruni tangga dari tingkat 3. Briefcase yang dipegang tadi di letak di atas sofa di ruang rehat.
“Ha…Im…mari sarapan, dah lama mama dan papa tunggu…” tegur Puan Sri Yasmin sebaik sahaja melihat kemunculan Zahim.
“Selamat pagi, mama…papa….maaf, Im terlambat…” Zahim menyalami tangan orangtuanya.
“Hmm…semalam balik lambat ya…” tegur Puan Sri Yasmin lagi.
“Tak adalah lambat sangat, Im balik dalam pukul 11.00 malam. Jumpa kawan-kawan lama. Lagi pun, bukan senang nak jumpa dengan dia orang…maklumlah masing-masing dah ada tanggungjawab…” balas Zahim sambil menyenduk nasi goreng dalam pinggan.
Tan Sri Mokhtar hanya diam. Nampak begitu selera menikmati nasi goreng masakan Mak Munah.
“Habis tu…Im pula bila…” kata-kata Puan Sri Yasmin itu membuatkan dahi Zahim berlapis.
“Maksud mama?” soal Zahim sambil memandang wajah mamanya yang sudah mengukir senyum.
“Tanggungjawab Im…kawin dan berkeluarga. Kalau nak di kira dengan umur  Im sekarang ni, dah patut fikirkan soal tu…” terang Puan Sri Yasmin membuatkan Zahim terdiam. Entah kenapa isu kawin yang baru dibangkitkan itu menghilangkan rasa selera makannya. Tadi, bukan main berkobar rasanya nak mengadap nasi goreng di sebabkan baunya yang sedap.
“Boleh tak kalau kita tak bincangkan pasal ni …buat masa sekarang, Im tak bersedia untuk ada komitmen dengan mana-mana perempuan…” balas Zahim.
“Habis tu…nak tunggu sampai bila?” Puan Sri Yasmin melahirkan rasa terkilan. Anaknya sudah berusia 29 tahun tapi sampai sekarang masih belum bersedia untuk berumahtangga. Itu yang membuatkan dia jadi tak senang dengan sikap anaknya. Takkanlah anaknya tak nak fikirkan soal masa depan. Sekurang-kurangnya fikirkanlah statusnya sebagai orangtua. Semua anak kawannya yang sebaya Zahim sudah berumahtangga. Nak kata Zahim galak bercinta, kekasih pun tak ada. Risau betul hati Puan Sri Yasmin bila mengenangkan  anaknya yang masih lagi solo dan belum berteman.
“Erm…” Zahim mula kekeringan idea. Takkanlah nak guna idea yang sama. Asyik tak bersedia aje. Pasti alasan itu tak akan diterima. Alasan yang sudah tidak relevan lagi buat masa sekarang.
“Betul juga kata mama tu…papa rasa elok kalau Im mula fikikan pasal masa depan Im…mama dan papa ni dah lama kepingin nak tengok Im kawin, berkeluarga dan hidup bahagia macam orang lain. Im sendiri pun, takkanlah selamanya nak hidup membujang…” sokong Tan Sri Mokhtar tiba-tiba membuatkan Zahim terngadah, tak terkata.
Zahim mula menggaru kepala yang tidak gatal. Bila papa dah mula masuk campur, dia jadi tak senang duduk. Terasa menyucuk-nyucuk pula punggung di buatnya.
“Sebenarnya Im bukan tak bersedia nak kawin tapi Im belum jumpa perempuan yang sesuai dengan jiwa Im…nanti, kalau Im dah jumpa yang sesuai dengan Im, Im akan kenalkan dengan mama dan papa…” hanya itu yang mampu Zahim berikan alasan. Harap-harap isu ini cepat di selesaikan.
“Susah-susah sangat, Im terima aje Dania tu…lagi pun, dah lama dia tunggu Im….” Puan Sri Yasmin cuba mencari reaksi Zahim.
“Mama, papa…sejak dari dulu lagi Im dah nyatakan yang Dania tu bukan citarasa Im…mama tolong bagitahu dia yang dia tak perlu tunggu Im kerana  Im tak akan memilih dia sebagai isteri biar pun mama dan papa merasakan dia adalah jodoh yang terbaik untuk Im. Jangan kerana urusan perniagaan, mama dan papa nak korbankan perasaan Im…” Zahim mula bersikap tegas. Sudah banyak kali dia menyatakan bahawa Dania bukan perempuan kesukaannya tapi kenapa orangtuanya tetap berdegil mahu dia menerima perempuan itu. Mungkin mama dan papa tak pernah kenal siapa Dania sebenarnya.
“Baiklah…kalau Im tak suka jodoh yang papa dan mama carikan…kami akur tapi, pastikan jodoh yang Im cari tu…boleh kami terima. Papa tak nak perempuan yang Im pilih tu terima Im kerana inginkan harta kita…” kata Tan Sri Mokhtar sedikit keras. Mungkin kecewa dengan penolakan Zahim.
“Papa, jangan ingat semua perempuan memilih orang kaya ni kerana harta semata-mata. Kita kena tengok dari sudut yang berbeza….harta bukan boleh di bawa mati dan harta kekayaan juga bukan kekal menjadi milik kita buat selamanya. Semua tu hanya pinjaman sementara dari Allah…” balas Zahim cuba menyedarkan pandangan orangtuanya.
“Dan Im juga kena ingat bahawa cinta sahaja bukan boleh menjadikan perut kita kenyang dan hidup kita bahagia.” Tan Sri Mokhtar bersuara membuatkan Zahim mengetap bibir.
“Dan kerana hartalah kita akan disanjung dan di hormat. Im ingat, kalau kita tak berharta, ada orang nak pandang kita?” tempelak Tan Sri Mokhtar membuatkan Zahim terdiam. Dia malas nak bertekak pagi-pagi ni. Tak ada kebaikannya.
Puan Sri Yasmin mula mendiamkan diri. Tak berani nak masuk campur bila dilihat suaminya mula ambil serius hal ini. Bimbang di marah oleh suaminya.
“Mama papa…Im pergi dulu…” tiba-tiba Zahim bangun.
“Tapikan…Im belum makan lagi…tengok, nasi goreng dalam pinggan tu belum terusik.” suara Puan Sri Yasmin yang agak terkejut bila tiba-tiba Zahim bangun.
“Tak apalah mama, Im sarapan kat luar…dah tak selera nak makan…Im pergi dulu…” Zahim segera beredar selepas bersalaman dengan kedua orangtuanya.
“Bang…kesian pula Min tengok kat Im tu…tadi beria-ria dia nak makan….tapi bila dibangkitkan soal kawin, terus hilang selera.” Puan Sri Yasmin melahirkan rasa kesal.
“Biarkanlah…dia dah besar.” Tan Sri Mokhtar bersuara. Dia kembali menyuap nasi goreng yang masih berbaki sambil diperhati oleh Puan Sri Yasmin.
“Tapi bang…” Puan Sri Yasmin nampak teragak-agak untuk bersuara.
“Kenapa ni Mas…ada apa-apa yang Mas nak bincangkan dengan abangke?” Tan Sri Mokhtar terus merenung wajah isterinya yang nampak resah.
“Betulke abang serius nak jodohkan Im dengan anak Datuk Azam tu?” soal Puan Sri Yasmin sambil memandang wajah suaminya yang nampak tenang pagi itu.
Tan Sri Mokhtar terdiam. Sementara Puan Sri Yasmin nampak sabar menanti jawapan dari suaminya. Dia cuma mengikut kata dan cadangan suaminya agar menjadikan Dania sebagai calon isteri Zahim sedangkan pada hakikatnya dia tak adalah berkenan sangat nak jadikan Dania tu sebagai menantunya.
“Min, kalau abang tak desak dan gertak dia…sampai bila-bila pun kita tak bercucu…nak harapkan Fitri…dua kali lima aje…nak-nak bila mak dan ayah tu…manjakan sangat cucu kesayangan mereka tu…” jawapan dari Tan Sri Mokhtar itu membuatkan Puan Sri Yasmin menarik nafas lega.
“Kalau ikutkan, Min bukannya berkenan sangat kat Dania tu…budak tu….sosial sangat. Min tak nak cucu kita nanti terikut-ikut perangai mak dia. Kalau boleh, Min nak anak kita memilih perempuan yang baik, beragama, bersopan santun, pandai menghormati orang tua dan berpelajaran…pasal harta benda ni semua, Min tak kesah sangat…asalkan anak menantu kita bahagia….itu dah cukup buat Min. Macam yang Im katakan tadi…harta bukan boleh di bawa mati….” kata Puan Sri Yasmin perlahan. Dan ketika itu juga dia mengharapkan komen dari suaminya.
“Hmm…” hanya itu balasan yang diterima dari suaminya membuatkan Puan Sri Yasmin mengeluh perlahan.
“Min rasa elok kita berikan kebebasan untuk anak kita memilih jodoh mereka….” kata Puan Sri Yasmin lagi.
“Ikut suka Min lah…abang dah nak pergi pejabat ni…” Tan Sri Mokhtar bangkit dari kerusi, diikuti oleh Puan Sri Yasmin.
Puan Sri Yasmin mengambil briefcase suaminya dan mengikut langkah suaminya. Pemandu Tan Sri Mokhtar yang dikenali dengan nama Luqman itu segera mendapatkan Tan Sri Mokhtar. Briefcase yang dipegang oleh Puan Sri Yasmin tadi dihulurkan pada pemandu suaminya. Kemudian pintu kereta BMW 7 siries di buka dan di letakkan briefcase kepunyaan Tan Sri Mokhtar.
“Abang pergi dulu,” kata Tan Sri Mokhtar selepas selesai mengenakan kasut.
Puan Sri Yasmin mencapai tangan suaminya dan di cium hormat dan dahinya pula mendapat kucupan lembut dari Tan Sri Mokhtar. Puan Sri Yasmin terus berdiri kaku di muka pintu sehinggalah kereta BMW milik suaminya itu berlalu pergi meninggalkan banglo mewah tiga tingkat itu.


ZAHIM terus membuka pintu bilik milik Razif selepas mengetuk beberapa kali. Razif yang baru sahaja keluar dari bilik air terus tersentak sebaik sahaja melihat wajah Zahim apalagi ketika itu dia baru sahaja selesai menzipkan seluarnya.
“Fuh, semangat….” Razif mengeluh lega.
Zahim ketawa mengenangkan situasi tadi.
“Nasib baik aku yang masuk, kalau orang lain yang masuk tadi….nak-nak…boleh terbang `angry bird` kau ya…” Zahim  makin galak ketawa.
Razif menarik muka masam. Tapi langkahnya tetap di hayun ke kerusi, diikuti oleh Zahim.
“Yalah tu…nasib baik tak jatuh saham aku…ini, main terjah aje…apa hal pepagi lagi dah masuk bilik aku….biasanya aku yang buat lawatan ke bilik kau!” Razif memandang wajah Zahim.
“Sesekali aku yang buat lawatan kat bilik kau…salahke?” tanya Zahim sambil menyandarkan badannya di kerusi sambil merenung wajah Razif.
“Hmm….lain macam aja mood kau pagi ni…apa hal?” soal Razif yang dapat melihat perubahan pada wajah kacak sepupunya itu.
“Jom, temankan aku breakfast….” ajak Zahim.
“Hmm…okey,” tanpa banyak soal, Razif segera bersetuju. Dan memang saat ini, perutnya sudah rasa lapar.
Mereka hanya sarapan di café yang berhadapan dengan Zamrud Holdings. Tanpa berlengah mereka segera memesan sarapan. Razif hanya pesan roti bakar sementara Zahim memesan nasi lemak.
“Im, cuba kau story kat aku….apa kena dengan kau pagi ni, lain macam aje aku tengok.” Razif merenung seketika wajah Zahim sebelum memasukkan roti bakar ke dalam mulut.
“Pasal parent aku la…dia orang asyik gesa aku terima si Dania gedik tu…pening aku di buatnya. Macam bermusim aje dia orang tu….kalau timbul isu  kawin, pasti nama minah gedik tu yang di sebut-sebut. Macamlah tak ada perempuan lain…” rengus Zahim selepas menelan suapan nasi lemaknya.
Razif mengangguk perlahan.
“Habis tu…kau carilah jodoh kau sendiri kalau jodoh yang parent kau cari tu, kau tak berkenan, kan senang. Tak adalah nak pening-peningkan kepala….” cadang Razif. Ambil jalan mudah.
“Hmm…kau ingat senangke?...memanglah kat KL ni ramai perempuan tapi nak cari yang lulus sirim tu…bukan senang. Ramai perempuan sekarang yang kawin sebelum nikah. Jadi, aku tak naklah dapat perempuan yang second hand untuk dijadikan isteri…” kata Zahim.
“Maksud kau?” dahi Razif mula berkerut.
“Maksud aku….perempuan yang hilang dara sebelum masanya…” Zahim seakan berbisik. Risau kalau kata-katanya didengar oleh pelanggan lain.
Razif tergelak mendengar ayat itu.
“Sebab kat KL ni sekarang banyak spesis tupai dan buaya…sebab tu banyak kelapa yang kena tebuk,” Razif berkias sambil tergelak-gelak.
Zahim mengeluh perlahan.
“Kau ada cadangan tak….macam mana aku nak mengelak dari di paksa kawin dengan perempuan gedik tu,” Zahim memandang wajah Razif, cuba mendapatkan idea dari sepupunya.
“Alah, kau upah aje mana-mana perempuan yang nampak suci …bawa dia jumpa parent kau…habis cerita…” cadang Razif dengan selambanya.
“Hish…kau ingat senangke nak cari perempuan macam tu….” Zahim mula pening.
“Alah…kau tabur duit aje, berduyun-duyun yang akan datang …tunggu pilih aje,” kata Razif memberi saranan.
“Yalah tu…kalau terkena spesis tahi ayam…takke berbau busuk nanti…” Zahim kembali resah.
“Apasal kau nak pilih tahi ayam pula, aku cakap pasal manusia…yang kau babitkan isu tahi ayam ni…apa hal?” dahi Razif mula berkerut.
“Apasal kau ni bengap sangat. Maksud aku…kalau ditakdirkan aku terpilih perempuan yang kerek dan teruk perangai, busuk macam bau tahi ayam…yang akan terus melekat kat aku macam pacat atau lintah, tak ke naya aku nanti…kalau di ugutnya aku…” cemuh Zahim melepas geram.
“Hmm…betul juga,” sokong Razif. Tak terfikir pula risiko yang akan dihadapi sekiranya idea yang dia cadangkan itu tidak berjalan dengan baik nanti.
“Alah…cool la, bro…kau buat tak kesah apa yang dia orang cakap…lama-lama diamlah dia orang. Macam aku…buat dengar tak dengar aje kalau mak ayah tanya pasal jodoh, macam tak biasa pulak!” Razif ambil jalan mudah.
“Tapi sampai bila nak buat tak tahu….” Zahim tetap rasa susah hati.
“Jangan risaulah…jodoh kau belum sampai lagi. Kalau dah sampai…automatik kau akan jatuh cinta dengan perempuan tu…takkanlah kau lupa apa yang pernah berlaku dulu…” kata Razif.
“Betul juga, thanks bro…kaulah kawan, sahabat dan sepupu aku yang paling istimewa,” ucap Zahim sambil mengukir senyum. Ada rasa lega yang mula bertandang. Baginya, Razif adalah seorang lelaki yang terbaik pernah dia kenal, lelaki yang sentiasa ada di kala dia suka dan duka.
“Im, aku nak tanya satu hal,” muka Razif nampak serius.
“Pasal apa?” soal Zahim dengan dahi berkerut.
“Pasal Syah,” beritahu Razif.
“Kenapa dengan dia?” tanya Zahim dengan rasa debar.
Razif diam seketika. Tapi matanya tetap galak cuba mencari reaksi. Hatinya meronta ingin tahu apakah status hubungan Zahim dan Syah sekarang.
“Kau betul-betul sukakan dia?” tanya Razif.
Zahim menarik nafas. Sesaat, wajah gadis comel itu terbayang di matanya.
“Kau cintakan dia?” soal Razif lagi.
Zahim tetap diam, kali ini dia mengangkat bahu tanda dia tidak punya jawapan yang pasti. Tindakan Zahim itu membuatkan Razif pula mengeluh perlahan. Akhirnya, isu itu terus sepi.

3 comments:

  1. ni novel ke..klu novel x nk bce nanti tergntung bce x best..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Imanyuni, HDCH! adalah dlm versi novel.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...