H
|
ANNAH
nampak begitu khusyuk melihat drama kantonis yang ditayangkan di tv semasa Syah
dan Risya masuk ke dalam rumah. Syah terus menarik tangan Risya agar
mengikutnya berlabuh di sofa.
“Hai sayang, seronok
belajar kat tadika hari ini?” tegur Hannah sambil mencium mesra pipi Risya.
“Seronok cik Anna…Risya
ada ramai kawan…” kata Risya sambil tersenyum.
“Habis tu…Risya nak
kawan tak dengan cik Anna?..kalau tak nak kawan, cik Anna tak nak bagi coklat…”
kata Hannah sambil menayangkan coklat bar.
“Nak…Risya nak kawan dengan
cik Anna sebab cik Anna selalu bagi Risya hadiah…” Risya memegang tangan
Hannah.
“Hmm…bagus. Jom, kita
makan coklat sama-sama ya…” ajak Hannah sambil membuka pembalut coklat.
“Risya duduk dengan cik Anna ya, mama
nak mandi kejap…nanti kita makan ya…” kata Syah sambil bangun.
“Syah, aku dah beli lauk…nanti kejap
lagi aku masak nasi,” kata Hannah.
“Thanks…”
ucap Syah sambil mengukir senyum.
Syah berdiri seketika di muka pintu.
bibirnya masih mengukir senyum, Seronok dan senang melihat layanan mesra Hannah
pada Risya sejak dari dulu. Kata Hannah, dia tak nak di panggilkan makcik atau
aunty…nampak macam dah tua. Sebab tu dia menyarankan dirinya di panggil dengan
panggilan cik Anna. Jadi semua anak saudaranya memanggil dengan nama itu,
termasuklah Risya.
Selesai solat maghrib,
Hannah dan Syah menikmati makan malam.
“Hmm…sedap juga lauk
kau beli….” puji Syah.
“Member ofis yang cadangkan aku beli lauk kat kedai makan tu…”
Hannah terus mencedok nasi. Memang betul, lauk yang di belinya memang sedap.
“Sayang nak nasi lagi?”
tanya Syah bila melihatnya Rsiya hanya diam.
Risya mengeleng kepala.
“Sayang mengantuk ya?”
tanya Syah sambil mengusap kepala Risya.
Risya mengangguk
perlahan.
“Risya nak susu…” kata
Risya.
“Kejap ya, mama nak
habiskan nasi ni dulu. Kemudian, mama buatkan Risya susu…kalau Risya tak nak
makan, Risya pergi tengok tv dulu ya…” kata Syah.
“Tak nak…” Risya
mengeleng kepala.
“Tak nak tak apa…” kata
Syah dan cepat-cepat menghabiskan nasi yang tinggal sedikit.
Pinggan yang kosong di
bawa ke sink dan segera di basuh. Kemudian dia mencapai botol susu dan terus
membacuh susu untuk Risya.
“Jom, kata nak susu
tadikan....” Syah menarik tangan Risya menuju ke ruang tamu.
“Sorry ya, aku tak sempat nak bersihkan…” Syah melahirkan rasa
bersalah kerana membiarkan Hannah membersihkan lebihan makanan dan juga
membersihkan bekas lauk.
“Small matter la…kau ada anak kecil, jadi aku faham…” balas Hannah.
Risya meletakkan
kepalanya di peha Syah dan dia terus menghisap susu botol. Syah pula terus
memakukan tumpuan pada siaran berita utama sambil tangannya mengusap perlahan
kepala Risya.
Bunyi deringan telefon
di bilik membuatkan tumpuan Syah terganggu.
“Kejap ya sayang, mama
nak ambil telefon kat bilik…” Syah segera bangun membuatkan Risya menangis.
Tergopoh-gapah Syah mendapatkan telefon dan kembali mendapatkan Risya.
“Assalamualaikum, umi…”
“Waalaikumussalam….Sufi
sihat?”
“Sihat, umi. Alhamdulillah…”
“Kenapa?..umi dengar
suara Risya menangis, kenapa?” suara Hjh Hashimah kedengaran bimbang.
Syah memandang Risya
yang masih lagi menangis sebelum memujuknya agar diam dan berhenti menangis.
“Sufi dan Hannah baru
selesai makan malam….Sufi berehat kat ruang tamu ni sambil tunggu Risya hisap
susu botol. Bila dengar bunyi telefon…Sufi bergegas ke bilik….jadi, menangislah
dia sebab tinggalkan dia seorang kat ruang tamu ni….” cerita Syah.
“Ya ke?...kalau macam
tu…bagi umi cakap dengan Risya…”
“Sayang, nenek nak cakap dengan sayang…” Syah
menghulurkan telefon kepada Risya.
“Sayang cakap dengan nenek kejap…mama
nak pergi buat air kat dapur…jangan bagi nenek letak telefon sebab mama masih
nak cakap dengan nenek,” kata Syah sebelum berlalu ke dapur. Kali ini, Risya
tak menangis di tinggalkan di ruanh tamu kerana umi sedang melayannya berbual
di talian.
“RISYA
dah tidur ya,” Hannah muncul di ruang tamu selepas membersihkan ruang dapur.
Memang Hannah seorang yang sukakan kepada kebersihan. Itu sebabnya rumah sewa
mereka terjaga dan nampak kemas. Sejak awal dia menyewa di situ, dia hanya
memilih seorang saja rakan serumah kerana dia tak sukakan suasana yang sesak. Dia
sanggup bayar rumah sewa dengan harga yang mahal asalkan hati tak berserabut
dengan pelbagai kerenah. Nasib baik Syah dapat menyewa di sini kerana teman
serumah Hannah sebelum ini keluar sebab berkahwin.
Syah mencapai snek yang
ada di atas meja. Di buka plastic itu dan terus menyeluk tangannya. Dia terus
mengunyah tanpa mempedulikan Hannah yang sedang memandangnya. Pura-pura tak
sedar sebenarnya. Sengaja nak mengenakan kawannya itu.
“Hmmm…seronok mengunyah
nampak sampai lupa nak pelawa aku sekali.” Hannah bersuara. Tapi lebih kepada
sindiran sebenarnya.
“Er…kau nakke?..apasal
tak cakap.” kata Syah sambil menayang sengih.
“Kau memang…kedekut nak
beli…bila dah makan…lupa apa yang sedang kau makan itu bukan kau yang beli…”
perli Hannah. Siap bagi jelingan tahap maut.
“Ya ke?...sorry la….bukan selalu pun aku balun
makanan yang kau punya…sebenarnya, aku bukan tak nak beli makanan ringan ni
semua…cuma aku tak nak Risya tu membesar dengan makan benda-benda yang tak
berkhasiat macam ni…” Syah meletakkan plastik snek di atas meja. Tanpa tunggu
sesaat, plastik snek itu di sambar Hannah.
“Bukan tak boleh makan
snek ni…tapi jangan diamalkan selalu…” balas Hannah, di balas anggukan oleh
Syah.
“Kau apa cerita,
seronok kerja kat tempat baru?” tanya Hannah. Sebenarnya dia memang dah lama
nak tanya, tapi tak berkesempatan.
“Bolehlah…tempat kerja
sekarang ni…syarikat besar. Seronok kerja sebab dia orang pun layan aku dengan
baik…cuma adalah seorang dua tu…nampak kerek sikit.” kata Syah. Terbayang wajah
Marina dan Saleha. Dua orang perempuan memang terang-terangan nampak tak suka
dengan kehadiran Syah di situ. Apa ke masalahnya dengan dia orang tu. Suka
sangat tarik muka masam bila mereka berselisih. Ingat lawa sangat tarik muka
macam tu. Tak lawa langsung. Menyampah lagi adalah aku tengok.
“Hmm…biasalah…kat
tempat mana-mana pun macam tu. Bukan semua orang boleh terima kita dengan
seadanya…tapi kita kena redha ajelah. Jangan di layan sangat. Bukan mereka yang
bayar gaji kita kan…mereka pun sama-sama di bayar gaji. Janji kita buat kerja kita
dengan ikhlas…rezeki pun berkat,” balas Hannah.
“Kenapa?” sergah Hannah
hairan bila Syah terus-terusan memandangnya.
“Kenapa ya selama ini
aku tak perasan yang kau sebenarnya perempuan baik….malah ada bakat jadi pakar
motivasi, nanti bolehlah kau ambil alih tempat pakar motivasi yang ada sekarang
ni bila mereka dah tak laku atau pun pencen. Kau tahu…lumayan juga jadi pakar
motivasi ni…air liur dia orang boleh buat duit….” kata Syah menahan senyum.
Hannah membeliak mata.
Tak sangka yang Syah boleh mengenakannya.
“Senyumlah kau…aku tak
heran pun sebab apa yang aku cakap tu memang benar,” balas Hannah.
“Bila masa aku kata kau
cakap bohong atau cakap benda yang salah…” Syah tiba-tiba gelak. Seronok pula
melihat wajah cemberut Hannah.
“Syah, kalau aku tanya
satu soalan boleh tak?” Hannah membuka mulut sambil memandang wajah Syah tapi
Syah tahu, mesti soalan tu tak relevan, tengok lubang hidung si Hannah masa tu
pun dia dah tahu.
“Kalau aku tak nak
jawab soalan kau tu….boleh tak?” Syah sengaja nak menyakat Hannah.
Hannah mula tarik muka
masam. Malah dia sudah berpaling wajahnya. Dah tak tengok muka cun Syah lagi.
Hmm…merajuklah konon!
“Alah cayang….bucuk-bucuk….kau
nak tanya apa sebenarnya ni….” Syah mula memberi tumpuan. Wajah Hannah yang
mencuka itu di pandangnya sambil mengukir senyum. Saja, nak ambil hati. Bagi
tayang senyum lebih sikit.
“Erm…kat pejabat kau
tu….tak adake lelaki yang handsome?…kalau ada, kenalkanlah dengan aku.”
kata-kata Hannah itu mengundang gelak Syah. Bagaikan terguling-guling Syah di
buatnya.
Muka Hannah yang manis
seketika tadi sudah kembali cemberut. Muncungnya dah makin panjang. Aik,
merajuk lagi!
“Sorry….aku `tergelak` pula tadi….bukan apa, kelakar punya soalan.”
Syah bersuara bersama tawa yang masih bersisa.
“Aik, tanya soalan
macam tu…kelakarke?” marah Hannah. Mukanya masih lagi masam.
“Kelakarlah jugak.
Apasal kau berminat nak tahu pasal
lelaki handsome kat tempat kerja aku…kat tempat kerja kau tu…dah tak ada lelaki
yang handsomeke? dulukan kau pernah tanya soalan ni…tapi kau cakap, jodoh kau
belum sampai. Apasal tetiba tanya balik?”
tanya Syah sambil tersenyum-senyum.
“Kat tempat kerja aku
tu nak kata tak ada yang handsome, memang ada, tapi semuanya dah ada pemilik.
Kalau ada yang berkenan dengan aku pun….aku pula yang tak berkenan dengan dia.
Bukan kata nak memilih sangat, tapi tak kena dengan jiwa aku…. Aku ni dah lama
kepingin nak merasa alam bercinta macam kau, macam kawan-kawan kita yang lain.
Yang berkenan dengan aku, selalu aku tak berkenan dengan dia orang….” kata
Hannah membuatkan senyuman terukir di bibir Syah.
“Syah, ada tak?” rengek
Hannah macam kanak-kanak nak minta coklat.
Syah mengangguk perlahan.
Dia memandang seketika wajah Hannah sebelum berkalih ke skrin tv. Nak kata
Hannah tak cantik, tipulah sebab Hannah tergolong dalam perempuan yang cantik
juga, kerja pun elok dan terjamin. Tapi dia tak boleh nak komen lebih-lebih
sebab hati orang ni, mana boleh nak kontrol pakai remote. Boleh kawal ikut
sesuka hati. Kalau hati dah tak berkenan, nak buat macam mana. Macam dia dengan
Encik Zahim, lelaki itu menawarkan dirinya untuk berkawan, tapi dia awal-awal
dah tolak sebab dia tak rasa yang dia nak berkawan dengan lelaki itu. Bukan
kata Encik Zahim tu tak kacak, kacak sangat tapi buat apa dia punya ramai kawan
lelaki, dia cukup bimbang Jazlan akan cemburu.
“Betulke?....” soal Hannah dengan mata
membulat. Duduknya sudah menegak.
“Betullah, aku tak tipu…berdosa
tau…” balas Syah sambil mengukir senyum.
“Habis tu, kau tak
berkenan ke dengan dia….” Hannah mula nampak makin teruja. Muka tu dah nampak
bersinar-sinar macam dikelilingi bintang waktu malam.
“Amboi, kau ni….tak
boleh dengar ada lelaki kacak sikit, mulalah lupa daratan.” Syah mengerling
tajam ke arah Hannah. Hannah mula tayang sengih.
“Tak ada maknanya aku
nak menduakan abang Lan aku tu…dia satu-satunya lelaki yang aku cinta…” itu
yang dirasai oleh Syah. Dan Jazlan juga pernah berpesan supaya dia hanya
cintakan lelaki itu sahaja. Jangan ada niat nak menduakannya. Nak tergelak pula
Syah mendengar pesanan Jazlan. Dan kerana ingatan dan pesanan itulah, dia tak
pernah layan mana-mana lelaki lain biarlah sekacak dan setampan mana pun
mereka. Syah cukup kenal dengan perangai Jazlan. Cemburu tahap petala tujuh.
Tapi selama ini Syah tak kesah sebab kata orang, cemburu tu tandanya sayang.
Jadi, itu tandanya Jazlan memang sayang dan cinta mati sama dia. walaupun
begitu, sejak kebelakangan ini, sikap Jazlan mula meresahkannya. Lelaki itu
sudah jarang menghubunginya.
`Adakah hanya aku
seorang sahaja yang merindu, sedangkan orang yang dirindu…tidak merindukannya.
Wah…ini yang buat aku nak nangis ni. Tapi…buat masa sekarang, aku kena
bertenang. Anggap semua itu hanya satu cabaran. Think positive.`
“Hmm….kalau aku kata
tak ada, memang tak betullah sebab kat tempat kerja aku tu ramai jugaklah
lelaki yang kacak terutama sekali bos aku. Fuh! kalau kau tengok, meleleh air
liur kau….” kata Syah membuatkan mata Hannah terbeliak.
“Sebenarnya aku tak
boleh nak tenung lama-lama muka bos aku tu…boleh cair hati aku dibuatnya.
Nak-nak Encik Zahim tu. Handsome sangat. Tapikan…susah juga kalau punya pakwe
kacak dan handsome macam Encik Zahim tu…makan hati nanti.” kata Syah. Ketika
itu juga wajah Zahim terlayar di matanya.
“Makan hati…maksud
kau…” berkerut dahi Hannah menunggu penjelasan dari Syah.
“Apa tak makan
hatinya…kalau pergi mana-mana….mesti dia jadi perhatian perempuan. Kalau dia tu
jenis yang setia, tak apa juga….kalau jenis kategori buaya tembaga tahap petala
tujuh, menangis tak berlagu nanti….lagi pun, dia tu anak orang kaya, ikhlaske
dia nak kawan dengan kita yang biasa-biasa ni…mesti parent dia dah siap booking dengan
anak Datuk atau Tan Sri mana-mana sebagai menantu…lagi pun kau juga pernah
cakap, pipit dan enggang tak boleh terbang bersamakan!” kata Syah. Biasalah,
klise anak-anak orang kaya, berharta dan berpangkat ni. Mana nak pandang orang
yang biasa-biasa ni. Nanti tak setaraf. Jatuh martabat nanti.
“Hmm…memang betul pun…tapi
kau tak terfikirke tentang masa depan kau…kalau kawin dengan lelaki kacak ni,
mesti anak kita nanti esok-esok pun kacak macam ayahnya juga…” Hannah mula
berangan.
“Kalau dapat pasangan
yang kacak tapi iman di dada kosong…hamprak….rumahtangga tak aman dan berkat.
Lagi pun, kita hendaklah pilih pasangan yang sekufu dengan kita. Kalau boleh
carilah lelaki lelaki yang beriman dan beragama agar dia boleh jadi pembimbing
kita di masa depan…” kata Syah.
“Eleh….tapi aku tengok
si Jazlan tu…kategori alim kucing je…..pantang
juga kalau jumpa perempuan cantik, mula nak jual minyak senyonyong. Kau
percayake yang dia tu setia dengan kau? Nak-nak bila dah tinggal berjauhan…cabarannya
besar. Kalau ya pun, kau setia dengan dia…aku tak yakin yang dia pun setia
dengan kau. Hati orang ni bukan senang nak duga, bukan kategori transparent yang boleh kita nampak…ramai
yang berpura-pura baik dan alim tapi hakikatnya, hanya Allah sahaja yang tahu….”
kata Hannah pula menyebabkan Syah mula termenung. Apa tidaknya, dia termenung
sebab pendapat Hannah tu sama dengan pendapatnya. Masih setiakah Jazlan padanya
apabila mereka berjauhan begini?
“Hannah, kau tahu
tak….yang Encik Zahim tu offer diri
nak kawan dengan aku tapi aku tolak…” akhirnya Syah membuka cerita.
Bulat mata Hannah
merenung wajah Syah.
“Ya?...apasal kau
tolak. Banyak keistimewaannya tau….ruginya kau. Kalau aku, tak payah nak fikir
panjang. Dia nak jadi kawan aku pun dah syukur, lagi pun senanglah kalau nak
bodek untuk naik gaji dan naik pangkat…” Hannah melahirkan rasa terkilan.
“Kau tahu kenapa dia
nak kawan dengan aku?” tanya Syah.
Hannah mengeleng
kepala.
“Sebab dialah lelaki
yang aku tolong masa dia kena belasah kat shopping
complexs hari tu…kau ingat tak…” beritahu Syah membuatkan mulut Hannah
ternganga.
“Wow... Macam berjodoh
aje kau dengan dia. Hari tu pun kau dah tolak salam perkenalan dia….sekarang
pun kau tolak….aku rasa kau tolak tuahlah merangkap tolak jodoh sekali…” kata
Hannah dengan rasa terkilan.
“Aku bukan tolak tuah
atau tolak jodoh….aku tak nak cari masalah. Hubungan aku dengan abang Lan pun
belum selesai lagi…takkanlah aku nak buat hal pulak dengan lelaki lain. Kau pun
tahukan….bila lelaki dan perempuan ni berkawan….” kata Syah melahirkan
kebimbangan. Kerana penolakannya itu, dia telah dianggap sombong oleh bosnya
itu.
“Alah…semua tu terletak
pada hati. Kalau bos kau tu ikhlas nak kawan dengan kau…apa salahnya. Kau kena
berfikiran positif. Kena pandang ke hadapan….mana tahu dia boleh jadi spare part kau nanti…” Hannah tertawa.
Dalam memberi nasihat, sempat pulak dia bagi cadangan yang tak berapa nak
bernas tu.
“Hish…Kau ni…tak sayang
mulut ya….” marah Syah. Sebenarnya, bukan marah betul-betul pun. Kadang-kadang
terfikir juga cadangan si Hannah ni boleh pakai. Untung apa!
“Kalau dah selalu
jumpa….tak mustahil lama-lama hati boleh tertawan…kalau kau tak nak kawan
dengan dia, kau bagi aje kat aku…mana tahu, dia jodoh aku. Aku ni dah lama
kepingin nak naik pelamin, tapi sampai sekarang tak kesampaian….nanti bolehlah
kau jadi pengapit aku nanti ya…” Hannah dah senyum-senyum. Mesti dah
terbayangkan yang dia duduk bersanding atas pelamin. Gedik juga si minah ni. Syah
mengeleng kepala.
“Dan sepupu bos aku pun
kategori handsome jugak…tapikan handsome lagi Encik Zahim tu… yang tak bestnya…dia tu jenis buaya sikit la…kau
nakke?...kau tak risau kalau dia ngap
kau…” saja Syah nak mengenakan Hannah.
“Kalau kategori buaya
handsome…apa salahnya…nanti aku jinakkan lah dia sebelum sempat dia ngap
aku…kau lupa, aku dulukan kerja kat zoo….fiil buaya tu aku dah kenal…..” kata
Hannah membuatkan Syah terbatuk-batuk. Hannah sudah buat muka poyo.
“Woi, sejak bila kau
kerja jadi penjinak buaya kat zoo ni….kalau
ya pun nak bangga diri tu…agak-agaklah…aku lempang kang…terteleng kau empat
puluh hari, nak?” kata Syah membuatkan Hannah tergelak-gelak.
“Ala…itu pun nak ambil
kirake…sorry la…aku main-main aje
tadi…aku sebenarnya tak naklah terburu-buru dalam mencari jodoh tapi sejak dua
menjak ni….mak aku asyik bising aje…risau sangat aku lambat jumpa
jodoh….nak-nak bila saudara mara aku datang bertandang kat rumah….dia orang
asyik sibuk cakap pasal anak cucu….mak aku pun…apa lagi…panas punggung dan
panas telingalah….itu yang tempiasnya terkena kat aku walaupun aku duduk jauh…kalau
aku call, isu kawin ni mesti tak
tinggal punya dalam agenda mak aku tu,” kata Hannah.
“Belum sampai jodoh,
nak buat macam mana…lagi pun kita tahukan…Allah dah tetapkan jodoh kita dengan
siapa…cuma, belum bersua muka lagi….tapi, kau pun kena usaha juga, jangan hanya
diamkan diri aje….sesekali kena tonjolkan diri dan bakat terpendam kau tu….”
kata Syah membuatkan kening Hannah naik.
“Amboi, baik punya
nasihat…” Hannah mengeluh perlahan sambil mengetap bibir.
Syah hanya membalas
dengan senyuman. Siap angkat –angkat kening lagi. Hannah apa lagi, cepat aje
tarik muka empat belas.
Akhirnya...lama tggu kisah syah ni...tq sbb update
ReplyDelete