Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Friday, 24 January 2014

Di Penghujung Rindu 24





K
EDATANGAN Sarah bersama Tuty dan orangtuanya dengan menaiki Nissan Murano itu di sambut mesra oleh Pn. Kamariah dan En. Hassan atau lebih dikenali dengan  panggilan Mak Uda dan Pak Uda. Riuh  suara Mak Uda  menyuruh mereka masuk ke dalam rumahnya sebaik sahaja mereka sampai di halaman rumah  batu bercampur kayu. Mak Tuty iaitu Hjh Aminah mendahului  Sarah dan Tuty masuk ke dalam rumah. Tak sabar rasanya nak berjumpa dengan sanak saudara di kampung. Sarah juga tak sabar untuk bersama mereka meraikan majlis perkahwinan sepupu Tuty yang akan berlangsung esok.
Pada awalnya Sarah menolak pelawaan Tuty untuk pulang ke kampung keluarga Tuty di Pahang kerana dia baru saja balik dari Singapura. Tapi setelah didesak oleh Tuty dan bila mengenangkan persahabatan mereka, dia akur untuk menyertai majlis perkahwinan Mazni. Sepupu Tuty iaitu anak sulung Mak Uda dan pak Uda. Menurut Tuty dia akan rasa kebosanan sepanjang perjalanan nanti kerana dia dan orangtuanya  sahaja yang pulang ke Jerantut. Kakak sulungnya yang bekerja di Sarawak tak dapat menyertainya kerana suaminya bertugas sebagai tentera di sana tidak dapat cuti. Dua orang adik lelakinya belajar di luar negara dan yang bongsu masih menuntut di MRSM.
Sarah dan Tuty melangkah kaki ke ruang dapur. Bukan main riuh lagi suara sanak saudara yang datang membantu. Sarah tersenyum melihat gelagat mereka. Satu fenomena yang tak pernah dilihatnya. Lagi pun kat kampung sekarang ni semuanya lebih berminat untuk mengupah catering, dah jadi macam golongan di bandar kerana mereka menganggap cara itu  lebih senang dan tidak memenatkan. Hanya sediakan kewangan yang secukupnya berdasarkan kemampuan masing-masing. Sarah turut membantu mereka dengan mengupas bawang dan memotong daging. Satu pengalaman yang menyeronokkan. Berbual sambil bergelak ketawa bersama saudara mara Tuty. Tidak lupa juga riuh dengan suara tangisan kanak-kanak. Bagi kaum lelaki pula, kerja mereka adalah memasang khemah dan menyediakan kelengkapan yang sepatutnya. Menurut Mak Uda, untuk kenduri esok dia dan suaminya menumbangkan seekor lembu dan beberapa puluh ekor ayam. Jelas terpancar kegembiraan pada wajah Mak Uda  selaku tuan rumah.
Sarah mengikut ke mana sahaja Tuty berada, baru sebentar tadi dia diperkenalkan dengan beberapa orang saudara Tuty dan juga teman-temannya yang rata-ratanya hampir sebaya dengan mereka. Mereka menyambut baik kedatangan Sarah membuatkan Sarah tak kekok bila bersama mereka.
“ Tie, ajaklah kawan tu masuk bilik. Jumpa dengan Mazni dan sepupu Tie yang lain kat dalam tu…dia orang tu sedang menyediakan cenderahati untuk tetamu besok,” kata Mak Uda .
Mazni benar-benar terkejut menerima kunjungan Tuty, mereka berpelukan. Tuty juga turut bersalaman dan berpelukan dengan sepupunya yang lain. Sarah hanya tersenyum sebelum dirinya diperkenalkan oleh Tuty.
“ Sejak bila kak Tie kawan dengan anak mat saleh ni…lawa betul kawan kak Tie!”  kata Mazni selepas dia diperkenalkan dengan Sarah. Mazni juga terkejut bila mendapati Sarah begitu fasih berbahasa melayu.
“ Kak Sarah dilahirkan dan dibesarkan di sini…..tahniah ya, moga Mazni bahagia dan kekal berpanjangan.” Sarah bersuara.
“ Terima kasih, kak Sarah!” balas Mazni sambil tersenyum.
“ Maz, Maz kena minta dengan Fazli tu cincin sebentuk sebab Maz dah langkah bendul. Maz dah kawin dulu dari kak Tie,” kata Tuty sambil membelek cenderahati yang disediakan.
“ Bukan hanya Tuty aje…kak Ida pun nak satu…” sampuk Narida, sepupu Mazni dan Tuty yang tua setahun dari Tuty. Mazni sudah tersenyum malu.
“ Dah jodoh Maz, nak buat macam mana. Lebih baik kawin sekarang sementara ada orang yang nak kat kita. Nanti tak pasal-pasal abang Fazli di kebas orang,” balas Mazni yang akan tamat pengajiannya tahun depan. Menurut Mazni, bakal suaminya sanggup menanggung perbelanjaan pengajiannya di samping  adanya pinjaman PTPTN kerana Fazli sudah pun bekerja.
“ Kau Tuty… lepas ni terus minta si Jeff tu masuk meminang, nanti melepas. Meloponglah kau nanti. Jeff tu dahlah handsome, ramai peminat tau!” usik Sarah membuatkan Tuty memuncung mulut. Dia juga tahu yang Jeffri tu ramai peminat yang terdiri dari jururawat dan pesakit. Tapi Tuty pasti yang kekasihnya itu hanya mencintainya seorang.



MALAM itu Sarah dan Tuty membantu Mazni menyediakan apa yang patut. Sarah cukup gembira kerana berpeluang menyertainya. Majlis perkahwinannya dengan Hafiz sebelum ini hanya di buat secara ringkas. Semua persediaan dan kelengkapan diserahkan kepada perunding majlis. Jadi, dia tidak berpeluang merasai suasana seperti ini. Sarah juga hanya sekadar mengukir senyum bila sesekali dia diusik oleh saudara Tuty yang mahu menjadikan dia sebagai menantu sekiranya dia masih belum berpunya.
“ Maaflah, mak Tun…kawan Tuty, Sarah ni dah berpunya.” balas Tuty.
“ O….sayangnya….melepaslah mak Tun nak dapat menantu orang putih.” Mak Tun pula menjawab menyebabkan mereka yang lain ketawa.
Sarah juga sedar ada beberapa orang saudara lelaki Tuty asyik tersenyum memandangnya. Sarah hanya membalas dengan senyuman juga. Tak mengapa, senyum itu kan satu sedekah. Antara saudara lelaki Tuty yang ada di situ, paling ketara sekali adalah abang Kamal. Selalu saja mencuri pandang ke arah Sarah tapi tak pernah datang ke arah Sarah. Hanya sekadar memandang dari jauh, mungkin segan untuk mendekati Sarah.  Dia yang bekerja sebagai juruterbang TUDM itu nampak agak pendiam berbanding saudara mara Tuty yang lain. Tapi ada kalanya dia nampak peramah ketika melayan ayah Tuty berbual.
“ Sarah, abang Hafiz tahu tak kau datang sini?” tanya Tuty ketika mereka berdua berada di atas kerusi di anjung rumah.
“ Aku dah beritahu mama yang aku ikut kau datang sini … masa tu abang Hafiz ada sama. Aku rasa dia dengar. Kau pun sedia maklumkan yang aku dan dia tak pernah berkomunikasi dengan baik sejak dari dulu….kekadang aku tak faham dengan sikap dia. Prejudis sangat dengan aku…!”
Sarah mengeluh panjang. Sungguh, ada masanya dia terasa hati dengan sikap Hafiz yang menganggap dia mahu merampas hak milik lelaki itu sedangkan dia sedikit pun tidak terniat sebegitu. Sejak kebelakangan ini sikap Hafiz mula berubah sedikit iaitu lebih bersikap mesra, tapi Sarah tak tahu sikapnya itu akan bertahan berapa lama. Mungkin dia akan kembali kepada perangai asal. Suka marah dan menengkingnya.
Tuty melirik ke arah Sarah. Timbul rasa simpatinya pada Sarah. Selama dia kenal Sarah, tak ada perkara yang tidak disenanginya. Sarah lebih bersikap terbuka dan selalu merendah diri. Tak pernah sekali pun dia membangga diri lantaran mempunyai rupa paras yang menawan. Kalau  ada mana-mana lelaki yang ingin mendekatinya, dia terlebih dahulu menyatakan mereka hanya akan kekal sebagai kawan kerana dia takut untuk terus menjalinkan hubungan yang serius.
  Bila mereka tahu siapa diri aku….mereka pasti akan ketawa dan mengejek aku…kalau mereka ikhlas nak kawan dengan aku….aku akan terima tapi setakat itu saja,” itulah kata-kata yang sering meniti di bibir Sarah sejak mereka saling kenal antara satu sama lain. Sarah dan Tuty mula kenal dan rapat semasa mereka sama-sama belajar di MRSM dulu.
Sarah menongkat dagu sambil mendongak ke langit. Dia tersenyum melihat bintang –bintang yang bersinar indah di dada langit. Tuty juga mendongak sama.
“ Sarah, aku rasa abang Kamal tu sukakan kau…apa pendapat kau tentang dia!” Tuty bersuara. Dia merenung wajah Sarah, menunggu reaksi dan jawapan dari Sarah. Bukan dia sengaja nak merosakkan hubungan Sarah dan Hafiz, itu hanyalah sekadar kata-kata  untuk berbual kosong sahaja. Pasti abang Kamal kecewa kalau dapat tahu yang Sarah sudah pun berkahwin.
“ Apalah kau ni, Tie….asyik nak kenengkan aku dengan saudara mara kau aje. Aku ni kan dah kawin, dah jadi isteri orang. Takkanlah aku nak bersikap curang pulak pada abang Hafiz walaupun dia tak kesah pun tapi aku tetap hormatkan ikatan perkahwinan kami selagi ikatan itu tidak diputuskan….”
“ Hmm…tapi secara ikhlasnya…aku pun suka tengok muka dia….nampak matang dan  macho!” sambung Sarah sambil tersenyum.
“ Jadi….kau juga tak nafikan yang kau pun sukakan dia?” usik Tuty.
“ Kalau suka  pun…tak boleh nak buat apa….lelaki tak boleh bermadu!” tergelak sakan Tuty mendengar kata-kata Sarah.
“ Kau nak tahu satu rahsia?” berkerut dahi Sarah mendengar suara Tuty itu. Nampak serius aje suaranya.
“ Rahsia? rahsia apa?” tanya Sarah.
“ Sejak aku remaja lagi….aku memang admirer kat abang Kamal tu. Aku suka tengok wajah dan perwatakan dia….dulu dia kacak….tapi sekarang ni sejak dia jadi juruterbang, dah tambah-tambah kacak!” beritahu Tuty tentang rahsia yang disimpannya sejak dulu. Sarah menekup mulut yang sudah ternganga.
Memang Sarah akui kenyataan itu. Abang Kamal seorang lelaki yang kacak dan berkarisma. Paling dia suka tentang lelaki itu bila melihat senyumannya yang nampak malu-malu itu. Menarik.
“ Jaga lah kau…balik KL nanti aku bagi tahu kat Jeff yang kau ada hati kat sepupu kau,” kata Sarah sengaja mahu mengusik Tuty. Akibatnya dia mengaduh kesakitan bila lengannya di cubit oleh Tuty.
Buat seketika mereka masing-masing diam. Mungkin sedang melayan perasaan. Di dalam rumah masih lagi kedengaran riuh saudara mara yang asyik berbual.
“ Sarah, boleh aku tanya kau satu perkara?”
Sarah merenung wajah Tuty sambil mengangkat kening. Tuty menayang sengih. Adalah tu soalan yang akan menguji mindanya. Bukannya dia tak tahu perangai Tuty.
“ Apa sebenarnya perasaan kau pada abang Hafiz? maksud aku….selama korang kawin….ada tak rasa sayang atau cinta kau pada dia?”
Sarah mendengus perlahan mendengar soalan Tuty itu. Tuty  menunggu jawapan dari Sarah dengan sabar. Sudah lama dia ingin bertanya hal ini. Sudah hampir 5 bulan mereka berkahwin, tak kanlah tak ada apa-apa perasaan antara mereka berdua. Apakah kesudahannya ikatan perkahwinan mereka yang berlangsung tanpa rasa cinta? Dan yang  lebih tragis lagi bila dia turut terlibat sama dengan menjadi saksi perjanjian antara mereka.
“ Kau benar-benar nak tahu perasaan aku sebenarnya terhadap abang Hafiz?” Sarah bertanya dan cepat-cepat Tuty mengangguk kepala.
Sarah bangun dan berjalan ke arah anak tangga. Matanya memandang beberapa orang lelaki yang sedang sibuk menyusun kerusi meja untuk majlis esok. Dia berpaling dan menyandar tubuhnya di pagar  simen rumah itu.
“ Untuk pengetahuan kau….aku terpaksa fikir dulu beberapa hari sebelum memberi jawapannya pada kau!” kata Sarah sambil mengukir senyum membuatkan Tuty segera mencebik. Geram kerana dipermainkan oleh Sarah. Walaupun hubungan mereka rapat, tapi ada beberapa perkara yang berkaitan dengan Sarah tidak dia ketahui, gadis itu perahsia juga orangnya. Selagi dia boleh simpan, dia akan terus menyimpannya sendiri.
“ Kalau macam tu…aku masuk dulu. Buat penat aje  aku tanya kalau tak dapat jawapan,” Tuty mula mengangkat punggung. Pura-pura merajuk dengan harapan Sarah akan segera memberi jawapan pada soalannya tadi.
“ Ok….tak payahlah nak buat muka monyok macam tu….aku tahu, kau hanya pura-pura merajuk aje tu!”  Sarah mengangkat kedua-dua tangannya tanda mengalah.
Tuty sudah mengukir senyum kerana taktik lamanya berjaya memujuk Sarah untuk membuka rahsia hatinya. Dia merenung wajah Sarah yang masih lagi bersandar pada pagar simen.
` Hisy…lambatnya nak tunggu jawapan, dah banyak kali aku telan air liur ni!` rungut Tuty yang tak sabar mendengar kata-kata yang akan keluar dari mulut Sarah.
“ Baiklah, aku akan bagi jawapan supaya lain kali kau tak akan bertanya lagi,”  sekali lagi Tuty mencebik.
“ Erm…setelah di hitung, di kira dengan darab, campur, tolak dan bahagi semua… aku akui yang sebelum kami dikahwinkan, aku memang sayangkan abang Hafiz seperti sayang aku pada abang Hakim, sayang sebagai saudara. Tapi bila aku kahwin dengan abang Hafiz, aku jadi keliru… tapi dah kau tanya aku kan….terpaksalah aku jawab, nanti kau kecik hati pulak kan!”
“ Sarah!....kau sengaja nak kenakan aku kan,” jerit Tuty sedikit nyaring membuatkan beberapa orang yang berada di halaman rumah memandang ke arah mereka.
Sorry!” mohon  Tuty sambil mencantumkan kedua-dua tangannya tanda memohon maaf.
“ Ok…aku serius sekarang. Aku rasa perasaan sayang dan cinta aku pada dia cuma 20% kot!” akhirnya Sarah menjawab persoalan Tuty.
What?...cuma 20% aje. Biar betul! apasal sikit sangat…” Tuty melahirkan rasa terkilan.
“ Kau dah kira betul-betul ke?...takkanlah main congak aje. Kau salah kira ni…nak pinjam kalkulator tak?” Tuty agak kelam-kabut. Sempat lagi dia buat lawak antarabangsa.
“ Tak payah guna kalkulator… kalau kira dengan benda tu pun…sama aje jawapannya,” Sarah tetap mengekalkan jawapannya.
“ Aku masih tak percaya… selama 5 bulan kau kawin dengan dia, takkanlah cuma 20% aje sayang kau pada dia, mana hilangnya 80% lagi?... kau dah bagi kat si Zack tu ke?”
“ Tak ada maknanya aku nak bagi kat lelaki berhidung belang tu!” giliran Sarah pula mencebik.
“ Katakanlah…satu hari nanti peratusan tu berubah…maksud aku… abang Hafiz tu jatuh cinta kat kau….kau akan balas cinta dia?”
Sarah mengeluh perlahan.
“ Entahlah…biarlah masa dan keadaan yang menentukan…semua itukan ketentuan dari Allah!”
“ Er….kau pernah tak rindukan dia?” soal Tuty.
“ Entah….tak pernah kot!” Sarah mengangkat bahu.
Tuty tersenyum. Boleh percayake?
“ Mungkin kau tak rasa sekarang,…may be….one day, you will find your true love, with him…aku yakin, kau akan tetap bersama abang Hafiz hingga penghujungnya dan kau pasti akan merindui dia setiap saat.” kata Tuty dengan penuh yakin.
“ Merepek aje!” Sarah tak mahu ambil kesah hal itu. Tapi pandangan Tuty tu membuatkan hatinya jadi tak tenteram. Betulkah kata-kata Tuty akan jadi kenyataan?



TUTY dan Sarah turut  berada di bilik Mazni untuk melihat mak andam menyiapkan solekan Mazni. Mazni hanya tersenyum simpul apabila asyik di usik oleh teman-temannya. Mak andam yang lebih di kenali dengan panggilan kak Iffah pula asyik merungut kerana mereka yang berada di bilik itu telah mengganggu konsentrasi kerjanya. Mulutnya sudah terkumat-kumit marahkan teman-teman Mazni. Sarah dan Tuty hanya sekadar jadi pemerhati. Malas nak campur tangan nanti tak pasal-pasal kena fire dengan kak Iffah tu.
Kak Iffah kemudiannya meminta mereka yang berada di dalam bilik itu keluar. Dia tak mahu sesiapa pun mengganggu Mazni  pada saat ini. Mungkin ada beberapa petua yang ingin diberitahu oleh kak Iffah pada Mazni.
Sarah dan Tuty melabuhkan punggung di satu sudut, duduk bersimpuh bersama beberapa kenalan Tuty yang terdiri dari kawan Mazni dan saudara maranya. Bukan main rancak lagi Tuty bersembang dengan mereka, maklum saja peluang berkumpul seperti ini jarang berlaku kecuali ada majlis keraian atau pun dalam situasi kematian. Sarah hanya sekadar menjadi pendengar dan pemerhati, sesekali saja dia menyampuk itu pun kalau ada yang bertanyakannya.
“ Kak Sarah!” Asri, adik bongsu Mazni yang berusia 12 tahun tiba-tiba muncul dan menghampiri Sarah.
“ Asri, ada apa?” tanya Sarah kehairanan kerana Asri datang menghampirinya. Tuty yang berada di sebelah Sarah mula berkerut dahi.
“ Ada orang nak jumpa dengan kak Sarah kat bawah!” beritahu Asri sambil tersenyum meleret membuatkan Sarah dan Tuty saling berpandangan.
“ Ada orang nak jumpa kak Sarah?....siapa?...Asri kenalke?” tanya Sarah.
Asri hanya mengeleng kepala.
` Siapa agaknya?...hisy…buat suspen aje!`
“ Lelaki….kacak orangnya. Dia datang dengan kereta sport,” beritahu Asri sambil tersengih. Beberapa saudara Tuty yang berada di situ memandang ke arah Sarah, mereka turut mendengar apa yang dikatakan oleh Asri.
Lelaki?
Sarah segera mencapai tangan Tuty dan menariknya untuk bangun dari situ. Dia mahu Tuty menemaninya bertemu dengan lelaki yang dikatakan oleh Asri tadi. Langkahnya terus di atur ke arah pintu dengan dada yang berdegup kencang.
`Takkanlah abang Kamal yang nak jumpa dengan aku? kalau lelaki itu, pasti Asri kenal. Agaknya siapa ya!`
Langkah Sarah terus kaku sebaik sahaja kakinya memijak beranda. Dari situ dia sudah dapat melihat siapakah lelaki yang dimaksudkan oleh Asri. Ya, dia kenal lelaki itu. Cukup kenal. Tapi kenapa dia mesti muncul di sini. Sarah menoleh ke arah Tuty yang turut kaku berdiri di sebelahnya dengan mulut ternganga. Mungkin Tuty juga tak percaya yang mereka akan bersemuka dengan lelaki itu. Hmm….betul kata Asri. Lelaki itu memang kacak orangnya. Sarah tak nafikan tambahan pula melihat penampilannya. Lelaki itu nampak segak mengenakan kemeja lengan panjang berwarna biru lembut dan seluar khaki. Memang bergaya. Pasti sesiapa yang melihat akan terpikat. Lelaki itu agak rancak berbicara bersama Pak Uda di sisi keretanya. Dia yang merasakan dirinya sedang diperhatikan segera memandang ke hadapan. Saat itu juga pandangan matanya beradu dengan Sarah. Sarah terkedu dan segera menelan air liurnya perlahan apatah lagi melihat senyuman yang terukir di bibir lelaki itu.
“ Macam mana dia boleh sampai sini? kau beritahu dia ya?” bisik Sarah perlahan.
Tuty mula rasa tak selesa, dia menayangkan senyuman manis ala-ala buat iklan ubat gigi. Temannya itu segera mengaku bahawa malam tadi lelaki itu ada menghubunginya bertanyakan pasal Sarah. Adakah betul Sarah kini berada bersamanya di Pahang untuk menghadiri majlis perkahwinan. Dia turut menyatakan alamat Pak Uda bila lelaki itu bertegas untuk mengetahuinya. Tuty ada mengusulkan supaya lelaki itu bercakap dengan Sarah tapi lelaki itu cepat-cepat menolak dan dia tak mahu Sarah tahu mengenai panggilannya itu.
“ Maafkan aku, Sarah. Aku tak sangka yang tiba-tiba dia boleh muncul di sini!” Tuty mula buat muka tak bersalah. Takut kiranya apa yang dinyatakan itu menimbulkan kemarahan Sarah. Sarah hanya mengeluh panjang. Entahlah, dia sendiri pun tak dapat nak tafsirkan perasaannya saat ini.  Rasa marah…geram…gembira…atau pun terharu.
Sarah dan Tuty masih lagi berdiri di situ. Hanya mata mereka sahaja yang memandang ke arah lelaki itu yang sedang mengatur langkah ke arah mereka sebaik sahaja dia selesai bercakap dengan Pak Uda. Pak Uda sempat menepuk-nepuk perlahan bahu lelaki itu sebelum lelaki itu mengatur langkah ke arah mereka berdua. Lelaki itu segera mengukir senyum sebaik sahaja berhadapan dengan mereka. Dan nampaknya, lelaki itu benar-benar terpegun dengan penampilan Sarah ketika itu. Cukup cantik dan ayu dengan mengenakan sepasang baju kebaya labuh berwarna pink tua, rambutnya yang panjang itu di dandan rapi. Memang cukup terserlah kejelitaannya. Bimbang juga hatinya kalau ada mana-mana lelaki yang sudah terpaut pada Sarah atau silap haribulan, Sarah dikatakan pengantin.
“ Dah lama abang Hafiz sampai?” tegur Sarah sebaik sahaja Hafiz berada di hadapannya. Sebolehnya dia cuba mengawal perasaan agar tidak nampak gemuruh.
“ Baru aje. Seronok berada kat sini?” teguran Hafiz itu tidak dijawab oleh Sarah. Dia masih kaku berdiri di situ.
“ Tentu seronokkan sampai lupa nak hubungi abang…. entah-entah dah terpikat dengan sesiapa kat sini.” sambung Hafiz lagi membuatkan Sarah mengetap bibir melihat senyuman sinis Hafiz. Niatnya untuk bersalam dengan lelaki itu terpaksa ditangguhkan. Hatinya  menjadi panas. Kata-kata itu sekadar gurauan atau pun sindiran. Sukar Sarah nak meneka apa lagi melihat lelaki itu masih lagi merenung wajahnya.
“ Abang Hafiz datang sini sebab tak percayakan Tuty atau sebab abang Hafiz nak buat spot check?” Tuty bersuara sambil melirik ke arah Sarah.
“….atau abang Hafiz datang sini sebab rindukan Sarah!” usik Tuty sambil memandang wajah Hafiz dan Sarah silih berganti. Terukir senyuman nakal di bibirnya.
“ Hmm…macam mana kalau semua tekaan Tuty tu betul?” Hafiz bersuara tapi pandangannya lebih tertumpu pada wajah Sarah. Sungguh, memang itu yang dirasanya. Entah kenapa secara tiba-tiba dia mengambil keputusan pagi tadi selepas menghubungi Tuty lewat malam semalam. Satu tindakan yang di luar jangkaannya.
Sarah mengerut dahi. Sukar nak percaya kenyataan Tuty yang kedua itu bila Hafiz turut mengakui kata-kata temannya itu…Hafiz datang ke sini kerana merinduinya?...satu kenyataan yang tidak masuk dek akal. Betulke?...tapi kalau betul….Sarah mula keliru.
“ Nampaknya kau kena congak balik peratusan kau malam tadi,” bisik Tuty perlahan di telinga Sarah dengan penuh makna.
Sarah segera menjengkilkan matanya tanda membalas bisikan Tuty, namun Tuty masih tetap mengukir senyum nakalnya. Sarah bertambah bengang bila Tuty meminta diri untuk beredar. Sengaja memberi ruang untuk Sarah dan Hafiz berbicara. Namun tindakan Tuty itu membuatkan Sarah mengeluh panjang. Sesungguhnya dia belum bersedia untuk menghadapi situasi ini, apa lagi dalam suasana dan tempat begini. Terasa janggal.
Akhirnya Hafiz menapak di atas kerusi di anjung hadapan rumah itu.
“ Duduklah…takkan nak berdiri aje…atau Sarah tak suka abang datang sini?” Hafiz bersuara. Dia sedar akan ketidak selesaan Sarah itu.
Sarah akur. Kini dia sudah pun duduk bersebelahan dengan Hafiz. Belum sempat mereka bersembang, Mak Uda sudah muncul di muka pintu.
“ Sarah, siapa lelaki ni?” tanya Mak Uda. Dia agak terkejut melihat lelaki yang berada bersama Sarah ketika ini. Serasanya dia tak pernah melihat lelaki ini, kalau saudara mara pastinya dia kenal kerana hubungan kekeluargaan dengan saudara mara cukup rapat. Namun hati kecilnya turut mengakui bahawa lelaki yang bersama dengan Sarah  ketika ini amat tampan orangnya, amat sesuailah dengan Sarah.
“ Er…mak Uda, kenalkan ….ini…abang Hafiz,” Sarah membuka mulut.
 “ Oh….Hafiz!” Mak Uda mengangguk perlahan tapi matanya tepat merenung wajah Hafiz. Masih mencari-cari siapa lelaki ini yang sebenarnya. Sarah mula gelisah. Perlukah dia menjelaskan siapakah sebenarnya Hafiz?
“ Sebenarnya….saya ni suami Sarah!” Hafiz bangun dan segera memperkenalkan diri.
“ Suami Sarah?...” Mak Uda memandang wajah Sarah.
“ Betul, Mak Uda….abang Hafiz ni memang suami Sarah.” akui Sarah sambil mengalih pandang ke arah Hafiz. Buat seketika mereka saling bertukar senyuman.
“ Hmm…mak Uda ingatkan Sarah ni belum kawin lagi…lagi pun Sarah ni tak cakap pun yang dia ni dah kawin….nasib baik mak Uda ni tak sempat nak kenenkan dia dengan anak saudara mak Uda, si Kamal tu!” kata mak Uda di akhiri dengan usikan membuatkan Sarah tersipu malu tanpa menyedari wajah Hafiz yang sudah bertukar warna.
“ Saya datang ni sebab nak jemput Sarah pulang, rasanya tak elok kalau dia berada lama di sini…takut menyusahkan keluarga mak Uda pula!” Hafiz bersuara membuatkan Sarah mengetap bibir sambil menghadiahkan jelingan buat lelaki itu.
“ Hisy…mana ada menyusahkan pula…sebenarnya Sarah ni banyak membantu majlis ini dan keluarga mak Uda memang mengalu-alukan kedatangan Sarah ni…ramai juga saudara mara mak Uda dah pasang niat nak jadikan Sarah ni menantu mereka!” mak Uda ketawa. Senyuman Hafiz dah jadi kelat-kelat manis.
“ Apa la mak Uda ni…” Sarah sudah malu-malu. Sebenarnya dia segan dengan kata-kata mak Uda itu walaupun dia sedar itu hanya sekadar usikan. Tapi bila melihat wajah Hafiz, dia jadi serba salah. Apa pula tanggapan Hafiz padanya.
“ Oh ya…kamu berdua ni dah makan ke belum?...kalau belum, pergilah makan…jangan biarkan perut tu kosong, nanti masuk angin!” kata Mak Uda.
“ Sarah dah makan tadi….tapi abang Hafiz belum lagi….dia baru aje sampai.” kata Sarah.
“ Pergilah makan kat sana…pak Uda pun ada kat  sana tu tengah layan tetamu….agaknya sebentar lagi sampailah rombongan pengantin lelaki!”
“ Terima kasih mak Uda…nantilah sekejap lagi saya makan,” balas Hafiz.
“ Yalah….mak Uda rasa elok kamu berdua tidur aje kat sini…bolehlah berkenalan dengan saudara mara mak Uda.” pelawa mak Uda ramah.
“ Tak mengapalah mak Uda…saya datang ni nak jemput Sarah balik, esok kan dah kerja!” balas Hafiz yang tidak mahu menyusahkan wanita itu. Kalau boleh dia mahu cepat pulang ke rumah.
“ Mak Uda rasa gembira dan seronok dapat mengenali kamu berdua, Sarah dan Hafiz memang pasangan yang sepadan.” puji mak Uda sambil tersenyum.
“ Terima kasih mak Uda, doakanlah agar kami sentiasa bahagia,” Sarah sempat merenung wajah Hafiz semasa lelaki itu bersuara. Dia juga rasa terharu mendengar kata-kata itu. Bolehkah mereka menjadi pasangan yang bahagia?
Mak Uda mengangguk perlahan sebelum meminta diri untuk beredar. Sebelum itu dia sempat berpesan supaya berjumpa dengannya sebelum Hafiz dan Sarah pulang. Sebaik sahaja mak Uda beredar, Tuty muncul dan kembali bersembang dengan Sarah sementara Hafiz menuju ke khemah untuk menikmati jamuan.
“ Jom…masuk dalam….kejap lagi pengantin lelaki sampai,” kata Tuty.
Sebelum Sarah masuk ke dalam rumah, dia sempat menoleh ke arah Hafiz. Kebetulan lelaki itu turut memandangnya. Mereka sempat berbalas senyum. Entah kenapa tiba-tiba timbul bunga-bunga bahagia dalam hati mereka.
“ Amboi!....sudah-sudah la tu….tak kan lari abang Hafiz tu….dia memang datang sini semata-mata rindukan kau….kekadang rasa cinta dan sayang tidak perlu diucapkan dengan kata-kata, seperti perasaan kau pada dia kan….!” usik Tuty yang menyedari Sarah dan Hafiz saling berbalas pandang.
“ Merepeklah kau ni!” sangkal Sarah sambil tersenyum malu.
“ Kan aku dah kata…kau kena congak balik peratusan rindu dan sayang kau pada dia!” usik Tuty menyebabkan dia menerima cubitan dari Sarah.
“ Sakitlah!”
“ Padan muka…” bisik Sarah perlahan.
Tuty menarik muka masam. Tapi dia tetap rasa gembira melihat hubungan Sarah dan Hafiz tadi. Ada sedikit perkembangan dalam hubungan mereka. Dia berharap semoga hubungan mereka akan berkekalan.
Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi kompang menandakan rombongan pengantin sudah sampai. Tuty dan Sarah sudah tak sabar melihat Mazni dan pasangannya bersanding di atas singahsana.
Kamal yang turut hadir di majlis itu sudah dapat menerima hakikat bahawa hati Sarah sudah di miliki. Nasib baik dia belum sempat meluahkan perasaan. Namun dia sempat berbalas senyum dengan Sarah yang nampak begitu bahagia di sisi Hafiz dan nampaknya Hafiz sedikit pun tidak berenggang dengan Sarah sepanjang majlis itu berlangsung.
“ Abang tak suka Sarah bermain mata dengan lelaki tu!” bisik Hafiz perlahan di telinga Sarah. Dia sedar sejak dari tadi lelaki yang memakai kemeja lengan pendek itu asyik memandang wajah Sarah.
“ Mana ada!” sangkal Sarah walau pun dia akui sedari tadi Kamal asyik memandangnya.
“ Lima minit lagi kita balik…abang rimas lah lama-lama kat sini!”
“ Jealous la tu!” Sarah mencebik.
Whatever….!” Hafiz menarik muka masam membuatkan Sarah tergelak kecil.
“ Jom….” Hafiz terus menarik tangan Sarah.
“ Nak pergi mana?”
“ Jumpa mak Uda….kita balik!”
Sarah mengeleng kepala. Huh! dah buat perangai dia balik. Hafiz….Hafiz…..Akhirnya Sarah terpaksa akur, dia berjumpa dengan mak Uda, Pak Uda, Tuty dan orangtuanya sebelum beredar dari situ. Sebaik sahaja masuk dalam kereta, Sarah tergelak kecil mengenangkan sikap Hafiz.
“ Kenapa gelak?” tanya Hafiz dengan dahi berkerut.
“ Abang Hafiz ni kan….perangai ….mengalahkan budak-budak,”
“ Abang mengaku yang abang jealous dengan lelaki tadi sebab abang tahu dia sukakan Sarah….Sarah kan isteri  abang, jangan nak mengada-ngada layan lelaki lain!” cemuh Hafiz.
“ Sarah nikan cuma isteri sementara aje….tak perlulah nak ada perasaan cemburu tu,” tempelak Sarah membuatkan Hafiz terdiam. Wajahnya masam mencuka. Dia terus menukar gear dan kereta terus meluncur laju di jalan raya. Sepanjang perjalanan, Hafiz hanya diam membisu membuatkan Sarah rasa bersalah kerana membangkitkan isu tadi.
Sorry!” Sarah memohon maaf sambil menunduk wajah.
Hafiz tetap diam.
“ Sarah minta maaf kalau kata-kata Sarah tadi membuatkan abang Hafiz tak selesa.”  Sarah memadang wajah Hafiz.
Hafiz mendengus perlahan. Sarah hilang bicara melihat kebisuan Hafiz.  Untuk apa lelaki itu berasa hati kalau awal-awal lagi mereka sudah menerima hakikat bahawa perkahwinan mereka akan ada pengakhirannya. Kalau tidak, kenapa perlu wujudnya perjanjian antara mereka?

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...