Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Wednesday, 3 July 2013

Diakah Mr. Perfect Aku?12




S
YAFIK membantu Shah menolak kerusi roda masuk ke dalam vila itu. Mereka baru saja pulang
dari menjalani fisioterapi. Belum sempat Shah melepas penat dan keletihan, Hanim tiba-tiba muncul di ruangan itu sambil mengukir senyum. Syafik segera meminta diri. Rasanya tak betah untuk dia terus berada di situ. Nanti di katakan mengganggu. Dia menuju ke ruangan dapur dan terus membuka peti sejuk. Di keluarkan jug yang berisi jus oren. Dia mencapai mug. Dituang air ke dalam mug dan di teguknya perlahan.
“ Fik, baru balik ya!” tegur mak Timah yang baru masuk ke ruangan dapur itu. Dia baru sahaja selesai menjemur pakaian di luar rumah.
“ Aha…” jawab Syafik yang melabuh punggung di kerusi.  Matanya ralit memandang ke arah mak Timah yang sedang mengeluarkan bahan basah untuk masakan tengahari nanti.
“ Shah mana?” tanya mak Timah.
“ Kat ruang rehat, cik Hani ada datang tadi…dia orang tengah berborak. Tak kanlah Fik nak kacau mereka.” Kata Syafik sambil mencapai sebiji epal yang ada di atas meja.
“ Agak lama juga cik Hani tak datang sini. Shah tu sebenarnya tak punya ramai kawan rapat. Carl tu satu-satunya kawan rapat dia. Cik Hani tu dah lama suka dekat Shah, dari masa remaja lagi tapi Fik tahulah macam mana dengan perangai Shah. Dia tu tak suka sangat rapat dengan perempuan sebab tu sampai sekarang tak pernah ada teman wanita. Datin Inas pula, sejak dari dulu lagi asyik mendesak Shah untuk terima cik Hani. Biasalah, perangai orang kaya. Suka sangat nak keneng-kenengkan anak demi menjaga kepentingan diri. Yang dah kaya dan berharta, makin berhasrat nak tambah kaya. Manusia ni, tak puas dengan apa yang ada…lebih bersikap tamak. Tak ramai yang tahu bersyukur.” Kata mak Timah.
Syafik hanya tersenyum.
“ Dah memang itu lumrah kehidupan. Kalau semua orang bersyukur dengan apa yang ada, tak adalah berlakunya huru- hara, penipuan, pembunuhan, pergolakan dalam hidup….sebab sikap tamaklah benda tu berlaku.” Sambung Syafik membuatkan mak Timah tersenyum. Mengakui kata-kata itu. Sejak Syafik bekerja di situ, mak Timah ada teman berbual, bukannya selama ini dia tak ada kawan untuk berbual. Sebelum kedatangan dan kehadiran Syafik, sudah ada Yanti dan Borhan sebagai kawan berbual ketika sunyi tapi kalau dengan Syafik, dia boleh berbual secara terbuka. Walaupun Syafik masih lagi muda, tapi pemikirannya matang. Itu yang membuatkan mak Timah senang berbual dengan Syafik. Syafik juga menghormatinya sebagai seorang ibu. Kata Syafik, sikapnya yang penyayang dan peramah itu mengingatkan dia pada arwah emaknya yang telah lama tiada. Maklumlah, Syafik ni seorang anak yatim piatu. Orangtuanya dah lama meninggal dunia  akibat kemalangan jalan raya semasa dia kecil dan dia di besarkan oleh arwah datuk dan neneknya sehingga dewasa. Merekalah yang menjaganya dan membantu dia untuk meneruskan pelajaran sehingga memperolehi ijazah dalam bidang kejuruteraan. Dan kini, datuk dan neneknya pula meninggal dunia. Kesian pula dengan anak muda ini.
“ Dulu, lepas tamat belajar di universiti …Fik ada terfikir nak cari kerja tapi kesian pula atuk  tinggal keseorangan. Jadi, buat sementara…Fik temankannya. Selama ini, atuk dan nenek yang banyak mendidik dan menjaga Fik. Lepas atuk meninggal, nenek pula menyusul. Sebelum datang cari kerja kat sini, Fik ada usahakan projek ikan air tawar. Arwah atuk yang bagi modal. Kini, Fik serahkan pada kawan untuk di usahakan. Arwah atuk dulu, bukanlah kaya sangat, tapi adalah sedikit harta untuk anak cucu. Sekarang ni, tapak rumah tu atuk dah bagi kat Fik.” Kata Syafik bila mak Timah bertanya tentang hidupnya sebelum ini.
“ Habis tu, saudara mara yang lain, tak marahke?” tanya mak Timah. Biasalah manusia ni, suka berbalah dan berhasad dengki kalau melibatkan soal harta.
“ Tak adalah sebab arwah atuk dulu dah pesan awal-awal yang tapak rumah tu akan di berikan pada Fik. Lagi pun, mak saudara  Fik tu hanya ada dua orang anak aje, mereka pun ada harta sendiri. Alhamdulillah, tak timbul masalah dalam pembahagian harta.” Beritahu Syafik.
“ Amboi, jauhnya mak Timah menung. Ingatkan buah hatike?” usik Syafik membuatkan lamunan mak Timah terus bertaburan. Terpingga-pingga dia memandang wajah Syafik yang sudah menayang sengih.
“ Buah hati apake bendanya….mak Timah ni kan dah tua, janda lagi. Siapa yang nak?” kata mak Timah sambil mengukir senyum.
“ Habis tu, pak Borhan tu bukanke boyfriend mak Timah!” usik Syafik sambil menyebut nama Pak Borhan yang menjadi pemandu Datuk Syed Mustaffa.
“ Si Borhan tu tak padanlah dengan mak Timah. Dia tu muda lagi, lainlah kalau dia tu sukakan si Yanti!” sangkal mak Timah sambil tergelak kecil. Dia sikit pun tak pernah terfikir untuk mencari pengganti arwah suaminya yang telah lama meninggal. Dan tambah memilukan hatinya bila dia tak punya zuriat sepanjang perkahwinannya dengan arwah suaminya.
“ Nak ke Yanti tu dekat pak Borhan?” kata Syafik perlahan, bimbang kalau pembantu rumah muda warga Indonesia itu berkecil hati kalau mendengar kata-katanya itu.
“ Entahlah. Mak Timah tak nak ambil tahu. Yang Fik ni, asyik tanyakan mak Timah aje…yang Fik tu, dah ada girlfriend ke belum?” mak Timah memandang wajah Syafik yang sudah terbatuk-batuk akibat tersedak. Agaknya terkejut dengan pertanyaannya.
“ Fik ni siapalah yang nak, rupa tak ada…harta pun tak banyak,” balas Syafik dengan buat muka kasihan membuatkan mak Timah tergelak kecil.
“ Ya ke?...muka punyalah kacak, tak ada yang nakke?....kalau macam tu, apa kata mak Timah tolong carikan? Sayangnya mak Timah ni tak ada anak perempuan. Kalau tak, dapatlah mak Timah jadikan Fik ni menantu mak Timah.” sengaja mak Timah mengusik anak muda itu.
“ Fik tak nak fikirlah soal tu lagi….Fik ni belum cukup umur lagi, tunggulah Fik aqil baligh dulu,” sahut Syafik dengan muka selamba membuatkan mak Timah pula tersedak.
Syafik ketawa kecil. Seronok dapat mengenakan mak Timah balik.
“ Kamu ni Fik, ada-ada ajelah…dah lah tu, mak Timah nak bawa air ni ke depan.” Mak Timah terus berlalu pergi meninggalkan Syafik yang sudah menongkat dagu.


HANIM memandang wajah Shah yang asyik membelek majalah Anjung Seri keluaran terbaru. Majalah itu menjadi langganan mamanya sebagai sumber inspirasi untuk menghias. Hanim mengetap bibir, sedari tadi hanya dia yang banyak bersuara. Bertanya itu dan ini. Shah pula, hanya menjawab sekadar. Bengang dia di buatnya. Apakah cara yang harus dia lakukan untuk menarik perhatian lelaki ini, bukan hanya untuk saat ini tapi untuk selama-lamanya.
“ Shah, apa yang menarik sangat kat dalam majalah Anjung Seri tu sampai you abaikan I, you ingat I tak terasake dengan sikap selamba you tu!” rungut Hanim menahan rasa bengkak di hati.  Kalau tidak mengenangkan keadaan lelaki itu begitu, rasanya ingin di tumbuk saja muka kacak yang bersikap dingin tu. Sakitnya hati!
“ Hani, I tak pernah anggap you ni tetamu di rumah ni….buatlah macam rumah sendiri. Tak perlulah I nak layan you macam puteri.” Dengan muka selamba Shah bersuara. Matanya tetap ralit memandang gambar-gambar di majalah itu, bukannya menarik minat dia pun, sengaja ingin mengelek dari terus berhadapan dengan Hanim.
`Hish, mana pulak si Syafik ni!` dengus Shah dalam diam.
“ Maaflah, terlambat hidangkan air,” mak Timah muncul dan terus meletakkan dulang berisi jus oren.
“ Tak mengapalah mak Timah, tak payah susah-susah nak hidangkan air….Hani ni dah nak balik pun.” Kata Shah sambil menutup majalah yang di pegangnya. Sempat dia melirik ke arah Hanim yang sudah pun mencuka.
`Menghalau aku la tu…tak guna punya jantan,` rungut Hanim sambil mengetap bibir.
“ Betul kata Shah tu, mak Timah. Hani dah nak balik ni!” kata Hanim sambil mengangkat punggungnya.
“ Eh, tak minum dulu airnya?” tegur mak Timah sedikit kalut melihat Hanim bergegas melangkah pergi.
“ Lain kali aje, kat rumah pun boleh minum air tu….Hani balik dulu!” kata Hanim sambil melangkah pergi.
Mak Timah mengeleng kepala melihat gelagat mereka berdua. Dari dulu lagi Shah tak pernah melayan gadis itu dengan baik. Hanya sekadar aje sehinggakan dia sering mendengar teguran dari Datin Safinas untuk anak bujangnya itu.
“ Kenapa Shah tak layan Hani? Dia kan datang nak jumpa Shah…ni buat endah tak endah aje!” rungut Datin Safinas.
“ Ah, biarkanlah. Bukannya dia tak tahu yang Shah tak sukakan dia, mama jangan nak terpedaya dengan sikap dia tu!” kata Shah dengan muka selamba. Sedikit pun tak ambil peduli dengan muka mamanya yang sudah merah. Apa lagi, marahkan dia la tu!
“ Tapi, mama tetap mahukan dia menjadi menantu mama.” Kata Datin Safinas.
“ Kalau macam tu, suruhlah Arul kawin dengan si Hani tu,” selamba Shah membalas kata-kata mamanya.
“ Si Arul tu kan dah ada teman wanita…lagi pun, Hani tu sukakan Shah, bukannya Arul. Kenapa Shah ni susah sangat nak faham!” Datin Safinas menahan sabar dengan kerenah Shah. Ada-ada sahaja jawapannya untuk menyangkal hasratnya yang mahu menjodohkan Shah dengan Hanim.
“ Bukan Shah yang tak faham, tapi mama….mama tak pernah faham kehendak Shah. Berapa kali Shah nak jelaskan yang Hani tu bukan pilihan Shah!” tegas Shah keras.
“ Mak Timah, Syafik mana?” teguran Shah membuat mak Timah terngadah. Terpisat-pisat dia memandang wajah Shah yang pelik melihat dia. Hilang terus lamunannya sebentar tadi.
“ Apa dia?” tanya mak Timah.
“ Fik mana?” ulang Shah sekali lagi.
“ Kat dapur, nanti mak Timah panggilkan,” tergopoh-gopoh mak Timah beredar dari ruang rehat itu menuju ke dapur. Shah mengeluh perlahan. Sebenarnya dia lega setelah Hani beredar pergi. Tak perlu lagi otaknya berfikir bagaimana harus dia menangani kerenah gadis itu selagi dia masih ada di hadapannya.


SELEPAS memakir kereta di halaman banglo mewah milik Tan Sri Zainal Abidin, Hanim terus masuk ke dalam banglo itu dengan wajah masam mencuka. Sebaik sahaja kakinya melangkah masuk, dia di sambut oleh Puan Sri Mastura dengan senyuman, namun senyuman mummynya tidak berbalas. Dia terus mengatur langkah ke  tangga dan terus memanjat tangga itu sambil menghentak kaki. Puan Sri Mastura hanya mampu mengeleng kepala. Tahu sangat dengan sikap anak perempuannya yang selalu kepala angin. Kali ini apalah sebabnya. Dia sendiri tak tahu bagaimana cara mahu menangani perangai anak keduanya itu. Buat sesuatu mengikut kehendaknya, pendapat orang lain tak mahu terima. Ikut perangai siapalah agaknya. Pening dia di buatnya.
Hanim menghempaskan tubuhnya di atas katil empuk sambil mendengus kasar. Sikap lewa dan endah tak endah Shahrul benar-benar membuat hatinya panas. Selama ini, dia sentiasa berlembut bila berhadapan dengan lelaki itu. Namun, ada kalanya dia tak dapat mengawal diri walaupun sedaya upaya dia cuba bersikap tenang. Disemburnya lelaki itu dengan kata-kata tapi yang membuatkan hatinya tambah panas bila lelaki itu buat dengar tak dengar aje atau lebih sadis bila lelaki itu berlalu pergi dengan muka selamba. Dan ada ketikanya lebih parah lagi bila dia pula yang kena marah.
“ Tak guna punya jantan. Aku dah cukup baik, dia buat tak tahu aje…ingat aku ni tak ada perasaanke?” rungut Hanim sambil melemparkan bantal kecil ke muka pintu. Tak dapat lepas geram pada orang, dia melepaskan marah pada bantal. Bantal peluk pula di capai, di renyuk dan di kepal-kepal bantal panjang itu seolah-olah itulah tubuh Shahrul, lelaki pujaannya.
Deringan telefon membuatkan Hanim hampir melatah. Orang tengah geram, ada aje yang mengganggu, rungutnya sambil mencapai telefon dari beg tangannya.
“ Hello,” dengan kasar Hanim menjawab panggilan itu sebaik sahaja melihat nama yang tertera di skrin telefonnya.
“ Hai, sayang. Kenapa ni?...marah-marah. Nanti muka yang lawa tu berkedut seribu.” Suara di hujung talian terdengar di telinga Hanim, ada dengar gelak kecil di hujungnya.
Hanim mendengus perlahan.
“ Apa hal you call I?” soal Hanim kasar.
“ Amboi, garangnya…dah makan ke belum?” tanya suara di hujung talian lagi.
“ Dah.” Jawab Hanim ringkas. Dia mengatur langkah ke balkoni biliknya sambil menguak rambutnya.
“ Kita jumpa malam ni, I miss you!” suara lelaki di hujung talian itu membuatkan Hanim terdiam. Memikirkan ajakan itu.
“ Hmm…I miss you too.”
Dia turut akui yang dia juga rindukan lelaki itu. Rindukan belaiannya, kalau Shah melayannya dengan baik, tak adalah dia mencari lain. Pasti dia hanya akan setia pada Shah, tapi sayangnya lelaki itu tetap dengan hati keringnya. Dia hanyalah manusia biasa, yang rindukan belaian dan sentuhan lelaki tapi Shah tak pernah pedulikan semua itu. Jangan salahkan dia kalau dia mendapatkan perhatian itu dari lelaki lain. Tapi….cintanya hanya untuk Shahrul. Lelaki lain hanya untuk memberikan dia belaian dan kepuasan.
“ Ok, kita jumpa tempat biasa. Malam ni I akan berikan layanan yang special untuk you,” kata lelaki itu lagi.
Bibir Hanim mula mengorak senyum. Ya, dia akui bersama lelaki yang bernama Hilal, dia rasa dirinya di hargai. Layanan lelaki itu membuatkan dia lupakan segalanya, lupakan dosa dan pahala. Yang penting, lelaki itu berikan dia keseronokkan dan kepuasan. Setakat ini, Hilal adalah satu-satunya lelaki yang bisa memberikan dia seribu kepuasan berbanding dengan lelaki lain yang pernah didampinginya.
“ Ok, nanti kita jumpa. Bye!”
Hanim terus mematikan talian.
“ Hani, boleh mummy masuk?” suara Puan Sri Mastura membuatkan Hanim mengatur langkah ke arah pintu. Pintu biliknya di buka. Puan Sri Mastura sedang berdiri di hadapannya.
“ Masuklah, mummy.” Hanim memberi ruang untuk mummynya bertandang masuk ke dalam biliknya.
Puan Sri Mastura mencapai bantal kecil yang dilemparkan Hanim tadi, di bawa bantal itu dan di letak semula di atas katil dan dia sendiri melabuhkan punggungnya di atas katil yang di hampar dengan cadar berwarna biru itu.
“ Sayang, duduk sini.” Ajak Puan Sri Mastura sambil menepuk-nepuk katil, memberi ruang untuk Hanim duduk di sebelahnya. Hanim akur. Tanpa banyak bicara, dia duduk di sisi mummynya.
“ Ada apa, mummy?”tanya Hanim hairan. Mummynya jarang bertandang ke biliknya. Lainlah kalau ada benda yang penting.
“ Hani tahukan yang mummy sayangkan Hani!” rambut Hanim di usap lembut. Hanim tunduk. Entah kenapa, hatinya jadi sebak tiba-tiba. Mummy jarang bersikap mesra dengannya. Seingatnya, sejak dari dulu lagi mummy lebih memberi perhatian pada abangnya, Carl dan adik bongsunya, Nisa. Dia? Kekadang dia rasa mummy tak sayangkannya. Dan kerana itu juga dia memberontak. Apa yang di fikirkan, itulah yang di buatnya tanpa mempedulikan orang lain sama ada ianya betul atau pun salah.
“ Kalau mummy sayangkan Hani, mummy tak akan abaikan Hani.” Kata Hanim perlahan.
Puan Sri Mastura terdiam. Dia terkejut sebenarnya mendengar ungkapan itu.
“ Kenapa Hani cakap macam tu?...mummy tak pernah abaikan Hani, mummy sayangkan anak-anak mummy. Kasih sayang mummy  hanya untuk anak-anak mummy, Carl, Hani dan Nisa. Mummy tak abaikan Hani, kenapa Hani rasa begitu?” Puan Sri Mastura  menarik tubuh Hanim rapat padanya. Bahu Hanim di usap lembut. Sedih juga hatinya bila di tuduh begini. Selama ini dia memberikan perhatian yang sama rata tapi mungkin juga sikap Hanim yang suka memberontak membuatkan dia rasa begitu.
“ Ya, selama ini mummy tak sayangkan Hani!” bentak Hani sedikit kasar membuatkan Puan Sri Mastura tersentak, pelukan eratnya semakin longgar.
“ Sayang, mummy tak pernah pinggir Hani. Mummy sayangkan Hani.” Sangkal Puan Sri Mastura dan memang itulah hakikatnya. Tapi kenapa anaknya menganggap yang dia tak sayangkannya.
“ Selama ini mummy tak pernah nak pedulikan Hani, tak pernah nak ambil tahu kehendak Hani. Nak peluk begini pun jarang sekali. Tapi dengan abang Carl dan Nisa…” Hanim tidak meneruskan kata. Perlahan-lahan air matanya yang mula mengalir di sapu dengan tangan.
“ Hani, Hani silap sayang. Mummy sayangkan Hani dan mummy pedulikan Hani tapi Hani yang tak pernah bagi mummy peluang untuk dekati Hani. Hani sering buat apa yang Hani mahu tanpa pedulikan mummy. Sedikit pun Hani tak pernah bagi tahu mummy apa yang Hani mahu sedangkan selama ini mummy sentiasa bersikap terbuka dengan semua anak mummy!” kata Puan Sri Mastura. Sebetulnya dia turut terasa dengan sikap Hanim. Sikap Hanim yang kadang-kadang kasar dengannya bila berbicara membuatkan hatinya terhiris.
Hanim diam.
“ Maafkan Hani, mummy kalau selama ini Hani salah sangka.” Balas Hanim perlahan.
Puan Sri Mastura mengukir senyum. Tubuh Hanim yang ada di sisinya di peluk erat. Hanim turut membalas pelukan itu. Kini, baru dia rasa betapa hangatnya pelukan seorang ibu.
“ Hani, mummy perhatikan Hani macam ada masalah aje kebelakangan ini. Nak ceritakan pada mummy?” ujar Puan Sri Mastura selepas melepaskan pelukan. Walaupun dia sibuk dengan aktiviti dan persatuan wanita, tapi dia tetap peka dengan kegiatan dan sikap anak-anaknya. Wajah Hanim di pandang penuh sayang.
“ Tak ada apalah,” balas Hanim selamba.
“ Sayang, anggap aje mummy ni sebagai kawan. Hani bebas ceritakan apa saja dan mummy sedia mendengarnya. Hani kan tahu mummy sentiasa bersikap terbuka dengan anak-anak mummy.” Pujuk Puan Sri Mastura lagi.
Hanim terus diam. Hatinya tetap berdolak-dalik sama ada untuk memberitahu atau pun tidak. Baginya, ini masalah peribadi. Kalau di ceritakan pun pastilah pada Karina. Tapi sekarang, mummy telah membuatkan dia rasa dia begitu dekat dengan mummynya.
“ Pasal Shah ya?” ujar Puan Sri Mastura sambil menguntum senyum ke wajah Hanim membuatkan gadis yang berusia 26 tahun itu terpegun.
“ Betulkan sangkaan mummy?” soal Puan Sri Mastura sambil mengusap-ngusap rambut Hanim yang panjang melepasi bahu itu.
“ Macam mana mummy tahu?” soal Hanim sedikit kaget. Rasa malu pun ada menyelit  di hatinya saat ini.
Puan Sri Mastura ketawa kecil. Lucu melihat wajah anaknya yang kaget begitu. Selama ini dia melihat ketegasan pada wajah anak perempuan sulungnya, bukan seperti Khairun Nisa yang manja. Selalu saja mengadu padanya bila di usik oleh Carl.
“ Mummy dah lama perhatikan, cuma mummy tak pernah bicarakan pasal ini kerana bagi mummy, itu adalah hak peribadi seseorang. Kalau Hani sudi berkongsi dengan mummy, mummy sedia mendengarnya. Bukan hanya soal cinta, tapi apa saja. Kan tadi mummy mahu Hani anggap mummy ni seperti kawan yang sudi berkongsi segalanya,” kata Puan. Sri Mastura membuatkan Hanim terngadah. Benar-benar tak menyangka bahawa selama ini mummynya sentiasa memerhatikan dia. Dia pula menganggap mummy tak pernah pedulikan dia. Hanya ambil tahu pasal Nisa dan Carl sahaja. Ah! Betapa selama ini dia telah salah anggap tentang mummy.
“ Ya, mummy tentu tahukan yang selama ini cinta Hani hanya untuk abang Shah. Sejak Hani remaja lagi, abang Shahlah satu-satunya lelaki yang berjaya mencuit hati Hani. Walaupun dia bersikap beku dan dingin pada Hani dan mana-mana perempuan lain, tapi Hani tak mampu nak alihkan cinta Hani pada lelaki lain. Hani sanggup tunggu dia sehingga pintu hati dia terbuka untuk Hani…” akhirnya Hanim meluahkan rasa hati yang selama ini di pendamkan.
“ Mummy faham tapi sampai bila Hani nak tunggu dia?....anak mummy ni cantik, bijak…Hani mampu memikat sesiapa saja…kenapa mesti dia? Sedangkan Hani tahu yang Shahrul tu tak punya cinta di hati.” Pujuk Puan Sri Mastura.
“ Hani akan terus cuba dan cuba sehingga dia terima Hani. Hani tak akan benarkan mana-mana perempuan miliki hati dan jasad dia. Abang Shah hanya untuk Hani seorang. Kalau Hani tak dapat dengan cara baik, Hani akan cuba cara yang sebaliknya!”  kata-kata Hanim itu membuatkan Puan Sri Mastura tersentap. Begitu teguh pendirian anaknya untuk memilik lelaki itu sedangkan dia sendiri tahu bagaimana sikap lelaki itu.
“ Sayang, mummy tak suka apa yang Hani fikirkan. Jangan nanti ianya membakar diri Hani. Mummy tak sanggup nak hadapi kehilangan Hani nanti.” Puan Sri Mastura cuba memujuk.
“ Mummy, kalau mummy tak sanggup nak hadapi kehilangan Hani….mummy cuba berunding dengan auntie Inas, minta dia pujuk dan desak abang Shah untuk terima Hani. Hani sanggup lepaskan segalanya asalkan abang Shah jadi milik Hani.” Kali ini giliran Hanim pula memujuk.
Puan Sri Mastura mengeluh perlahan. Bagaimana caranya untuk dia selesaikan masalah ini? Dia tahu bahawa Datin Safinas mahukan Hanim menjadi menantunya tapi Shahrul tak pernah menginginkannya. Takkanlah dia kena merayu! Pasti jatuh air mukanya nanti walaupun hubungan mereka agak rapat.
“ Mummy” panggilan Hanim membuatkan Puan Sri Mastura mengetap bibir.
“ Sayang, apa kata mummy temukan Hani dengan seseorang?...maksud mummy anak kawan mummy. Orangnya boleh tahan dan mummy rasa sepadan dengan Hani. Hani cuba kenal dulu sebelum buat apa-apa keputusan.”  Puan Sri Mastura  bersuara lembut dengan harapan Hanim akan  cuba memikirkan kata-katanya. Dia mengukir senyum sambil menatap wajah anak perempuannya.
Hanim bangun.
“ Mummy, mummy kan tahu yang abang Shah tu pilihan Hani….tak perlulah mummy nak putar belitkan semua. Mummy ingat Hani ni budak kecil yang boleh di gula-gulakan?” bentak Hanim tiba-tiba membuatkan mummy tersentak.
 Puan Sri Mastura menelan liur. Benar-benar terkejut di sergah begitu. Hanim memang begitu, cepat melenting bila keinginannya tidak di penuhi. Tapi hairan juga, kenapa sampai sekarang dia masih bersabar biar pun terang-terangan Shahrul menolak cintanya.
“ Mengucap sayang. Tak baik tinggikan suara.” Pujuk Puan Sri Mastura lembut. Sedaya upaya cuba bersikap setenang yang mungkin.
Hanim mendengus kasar.
“ Mummy, lebih baik mummy keluar sekarang sebelum Hani usir mummy dari bilik ni!” kata Hanim sambil tangannya menunjukkan ke arah pintu yang tertutup rapat. Permintaan kasar anaknya itu membuatkan air mata Puan Sri Mastura hampir mengalir. Hatinya kecewa mengenangkan sikap anaknya yang sentiasa di landa panas baran. Dengan langkah berat sambil menahan sebak, Puan Sri Mastura mengatur langkah keluar dari bilik itu.

2 comments:

  1. bila shah nak jumpa dng isteri dia ya best nak lagi.

    ReplyDelete
  2. thumbs up!

    Ryuk - Brunei

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...