Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Wednesday, 15 May 2013

Diakah Mr. Perfect Aku?9



Bab 9

S
HAHRUL cuba membuka mata. Walaupun terasa berat, namun di gagahi jua. Terasa sakit seluruh anggota badannya, tekaknya juga terasa perit. Dia cuba menggerakkan tubuhnya untuk mengambil gelas yang berisi air. Dan pergerakannya terhenti bila pintu di kuak. Matanya terus memandang ke arah pintu. Mulut terkunci saat matanya terus terpaku merenung seorang gadis yang melangkah masuk. Wajahnya nampak terkejut.
“ Sayang, you dah sedar!” gadis itu membuka mulut. Dia terus mendapatkan Shah, alat bantuan segera di tekan.
“ Syukurlah…” ucapnya dengan mata berkaca. Wajah Shahrul di usapnya perlahan walaupun dia tahu lelaki itu tidak selesa dengan tindakannya itu. Dan tangan kiri Shahrul di capai dan digenggam erat.
“ Hani!” Shahrul bersuara menyebabkan mata Hanim terus memandang wajah Shahrul.
“ Ya, sayang…you bertenang ya, kejap lagi doktor datang. Mama dan papa you pun akan sampai kejap lagi,” kata Hanim.
Shah diam. Sebenarnya dia masih lagi bingung. Dia memandang sekitar bilik itu dan menyedari yang dia sekarang berada di hospital. Apa yang berlaku pada dirinya? Melihat keadaan tangan kanan dan kaki kirinya yang berbalut, dia pasti yang dia terlibat dalam kemalangan.
Pintu di kuak. Masuk seorang doktor bersama seorang jururawat. Bergegas mereka mendapatkan Shahrul dan terus memeriksa keadaannya.
“ Doktor, apa yang dah berlaku pada saya?” tanya Shah memandang wajah Dr. Kamal yang baru sahaja selesai memeriksa keadaannya dan membuat catatan. Jururawat manis di sisinya hanya diam tapi senyuman terukir di bibirnya. Hanim yang melihat senyuman jururawat itu segera memegang tangan Shah. Dia mahu jururawat manis itu tahu bahawa Shah adalah miliknya.
“ En. Shah terlibat dalam kemalangan. 2 minggu En. Shah dalam keadaan koma selepas di operate. Syukurlah, En. Shah dah sedar sekarang. Sepatunya En. Shah bersyukur pada mama En. Shah dan bakal tunang En. Shah sebab dia sentiasa menemani En. Shah di sini.” Beritahu Dr. Kamal.
Shah memandang wajah Hanim yang sudah merah.
`Bakal tunang?`
“ Terima kasih, doktor.” Ujar Shah lemah. Selama dia mengenali Hanim, tak pernah dia memberi sebarang harapan untuk gadis itu. Bila masanya dia berjanji untuk mengambil gadis ini sebagai isterinya?
“ Buat sementara, En. Shah kena berehat. Apa saja yang En. Shah mahu, beritahu kami. Dan pihak kami akan sentiasa memantau keadaan En. Shah,” kata Dr. Kamal.
“ Bagaimana keadaan saya?...tangan dan kaki saya…”  Shah memandang tangan dan kakinya yang berbalut. Dia terasa hiba melihat keadaannya sendiri. Kenapa semua ini perlu berlaku? Apa sebenarnya yang berlaku yang menyebabkan dia kecelakaan begini?
Tiba-tiba Shah mengadu sakit kepala. Sungguh dia terasa sakit yang amat, mungkin hentakan yang berlaku ketika kemalangan itu. Dia meraung-rang kesakitan. Hanim mula kalut.
“ Cik Hanim keluar dulu, saya nak periksa keadaan En. Shah!” kata Dr. Kamal melihat keadaan Shah. Hanim segera keluar.
Datuk Syed Mustaffa dan Datin Safinas bergegas mendapatkan Dr. Kamal yang baru saja keluar dari membuat pemantauan pada Shah. Datuk Syed Mustaffa menjalankan tugasnya macam biasa setelah di tahan di ward selama 3 hari dan berehat di rumah selama seminggu.
“ Bagaimana dengan anak saya?” tanya Datuk Syed Mustaffa.
“ Kami terpaksa membuat rawatan susulan yang lebih lanjut dan menurut catatan pihak hospital, En. Shah pernah terlibat dalam kemalangan 6 bulan lepas yang mengakibatkan dia hilang ingatan. Jadi pihak kami akan buat scan untuk melihat kecederaan pada kepalanya secepat mungkin. ” kata Dr. Kamal.
“ Doktor, lakukan apa sahaja asalkan anak kami selamat dan sembuh,” kata Datuk Syed Mustaffa.
“ Jangan bimbang Datuk, semestinya itu adalah tugas kami…memastikan semua orang yang di rawat di sini selamat…saya pergi dulu. Kami perlu buat persediaan segera untuk memastikan En. Shah tidak mengalami kecederaan yang serius di kepalanya.” Kata Dr. Kamal.
“ Terima kasih, doktor.” Ucap Datuk Syed Mustaffa.
Datin Safinas yang ada di sisi memegang erat tangan suaminya, sementara Hanim hanya kaku di situ. Dia turut risau mengenangkan apa yang bakal berlaku pada Shahrul. Dia juga bimbang andainya perasaan yang di semai bertahun-tahun terus berkubur.



DATIN Safinas mengesat air matanya dengan tisu. Sejak dari tadi tak henti-henti air matanya mengalir. Hazrul yang sedang melawat abangnya baru saja keluar dari bilik rawatan. Dia duduk di sebelah mamanya.
“ Mama, sabar ya….InsyaAllah, abang Shah akan sembuh kerana di sini dia dapat rawatan dari doktor yang terbaik.” Pujuk Hazrul cuba mententeramkan mamanya.
“ Mama tahu, tapi dah sebulan dia terlantar di hospital.” Kata Datin Safinas.
“ Sekurang-kurangnya ingatan abang Shah dah pulih walaupun tidak sepenuhnya.” Kata Hazrul lagi. Kini, mereka sekeluarga hanya perlu risaukan keadaan fizikal Shah. Kemalangan yang berlaku sebulan yang lalu telah mengembalikan semula ingatan Shah.  Mereka benar-benar bersyukur kerana Shah masih selamat walaupun tangan kanannya cedera dan kaki kirinya pula patah. Kata doktor, untuk sementara Shah masih  perlu di rawat di hospital dan selepas ini dia perlu menjalani rawatan susulan setiap masa. InsyaAllah,  keadaannya akan kembali pulih seperti biasa walaupun memakan masa.
“ Mama nak jumpa Shah sekejap…nanti Arul temankan mama balik ya!” kata Datin Safinas bangun dari kerusi, diikuti oleh Hazrul.
“ Hmm…Arul tunggu kat sini,” kata Hazrul.
Datin Safinas mengukir senyum, matanya menjamah wajah Hazrul yang pucat dan nampak letih, mungkin kepenatan kerana menguruskan kerja yang banyak terbengkalai akibat Shah terlantar di sini sejak sebulan yang lepas. Dahlah kerjanya banyak, di tambah lagi terpaksa menanggung kerja orang lain.
Selepas itu, Datin Safinas mengatur langkah  ke bilik rawatan Shah. Tangan kiri Shah di capai dan di genggam erat. Shah yang baru saja hendak melelap mata kembali membuka matanya.
“ Mama,” ujar Shah menghadiahkan senyuman.
“ Ya, sayang. Mama ada kat sini…” tangan Shah di kucup perlahan dan dia kembali menggosok-gosok  tangan Shah sambil diperhati oleh Shah.
“ Shah minta maaf sebab menyusahkan mama.” Kata Shah sebak.
“ Tak adalah… mama gembira kerana ingatan Shah dah kembali akibat kemalangan bulan lepas. Mama rasa mama dah dapat balik anak mama yang hilang 7 bulan yang lalu. Nasib baik kawan Shah yang bertugas di hospital Bentong tu hubungi mama dan mama terus minta dia uruskan untuk bawa Shah ke sini. Mama risau sangat kalau mama akan kehilangan Shah. Dah lah masa tu papa pun tak sedarkan diri dan terpaksa di rawat di sini. Hazrul pula berada di Jepun. Nasib baik ada Carl dan Hani temani mama.”  Datin Safinas bersuara.
“ Papa mana?” tanya Shah. Baru  2 kali dia bersemuka dengan papa iaitu selepas dia sedar dari koma dan sebelum papa bertolak ke Singapura.
  Papa ada kat office, petang nanti dia datang jumpa Shah.” Kata Datin Safinas.
“ Mama dah carikan orang untuk jaga Shah. Mama tak nak Shah susahkan diri…selagi Shah tak sembuh sepenuhnya, Shah perlukan pertolongan.” Datin Safinas memandang wajah Shah yang agak tergamam mendengar kata-kata mamanya itu.
“ Mama…Shah masih mampu bergerak,” kata Shah sambil menelan liur. Tekaknya terasa sedikit perit. Dia memandang wajah mamanya. Hatinya rasa sedikit terkilan mendengar saranan mamanya itu.
Datin Safinas mengeluh perlahan. Risau dengan sikap anak sulungnya ini. Sejak dari kecil dia bersikap tegas dan sukar menerima pendapat orang. Bagi Datin Safinas, anaknya ini  bersikap ego kalau nak di bandingkan dengan Hazrul yang lebih mendengar kata. Kalau bukan kerana sikap degil Shah, dah lama dia satukan Shah dengan Hanim. Tapi sampai sekarang tak ada tanda-tanda yang menunjukkan Shah menerima Hanim walaupun Shah tahu Hanim terlalu menyayanginya. Gadis itu sanggup lakukan apa sahaja asalkan dapat menarik perhatian Shah. Tapi Shah tetap dengan sikap dinginnya. Kadang-kadang dia pening mengenangkan sikap anak bujangnya ini. Kenapa dengan Carl dan lelaki lain dia boleh rapat, tapi dengan Hanim atau perempuan lain….dia sukar didekati. Normalkah dia?
“ Mama…Shah tak perlukan pembantu, kalau mama sayangkan Shah…mama akan  sentiasa ada di sisi Shah.” Kata Shah membuatkan lamunan Datin Safinas tergendala. Terpingga-pingga dia merenung wajah Shah yang resah.
“ Shah…mamakan sibuk dengan hal mama, kadang-kadang mama tak ada masa nak uruskan Shah. Itu sebabnya mama upah pembantu,” jelas Datin Safinas. Memang betul, dia sibuk menguruskan travel agency dan tak ada masa untuk menguruskan Shah. Tambahan pula melihat keadaan Shah yang sukar untuk uruskan diri sendiri. Kudrat dia pun tak kuat mana kalau nak bantu Shah. Nak harapkan Hazrul, anak keduanya juga sibuk dengan kerja. Takkanlah dia nak mengharapkan pembantu rumah menguruskan keadaan Shah nanti.
 Shah memalingkan wajahnya. Jawapan mamanya membuatkan dia terasa hati. Mama tak ada masa untuk dia. Dari dulu lagi mama memang tak ada masa untuknya. Mama terlalu sibuk menguruskan halnya sampai adakalanya dia rasa terpinggir. Sikap mamanya itulah yang membuatkan dia cekalkan hati, memilih untuk bersikap dingin dengan perempuan kerana merasakan perempuan yang berkerjaya terlalu ego dan tak punya masa untuk dia. Hanim juga seorang perempuan yang berkerjaya. Dia memiliki pusat rawatan kecantikan dan selalu melancong ke luar negara. Sikap Hanim yang gedik dan mahukan perhatian yang lebih dan terlalu suka mengongkong itu membuatkan dia rimas dan menyampah.
“ Petang nanti, pembantu Shah akan datang. Shah boleh harapkan dia dan mama yakin Shah akan selesa dengan dia. Bila Shah dah okay dan dapat lakukan aktiviti seperti biasa, dia akan berhenti.” Beritahu Datin Safinas.
“ Baiklah…” kata Shah perlahan.
Datin Safinas mengukir senyum. Gembira kerana akhirnya Shah bersetuju.
“ Mama keluar dulu, nanti malam…mama datang lagi …sayang berehat ya!” Datin Safinas mengucup lembut dahi Shah. Shah hanya diam.
Datin Safinas keluar dari bilik itu meninggalkan Shah seorang diri. Dia memandang dirinya. Tangan kanan dan kaki kirinya masih berbalut, mukanya ada sedikit luka akibat terkena serpihan cermin. Terasa cukup bosan asyik terlantar di atas katil. Pergerakannya cukup terbatas. Nak bersandar pun susah, apa lagi nak ke bilik air. Semuanya memerlukan bantuan. Otak dia mula tepu. Selama ini, dia melakukannya sendiri. Ah, berbezanya. Allah baru saja tarik sedikit nikmat. Dia dah rasa tak senang hidup. Kata doktor,  kakinya  yang patah telah di masukkan besi tapi masih boleh sembuh dengan menjalani fisio terapi dan pembedahan semula. Bagaimana agaknya kalau Allah tarik nikmat seumur hidup? Shah memejam mata mengenangkan nasib yang di hadapinya sekarang.


EN. SHAH,” Shah membuka mata bila mendengar seseorang memanggil namanya. Di depannya berdiri seorang lelaki yang perkiraannya di awal 20-an. Segak penampilannya dan rupanya pun boleh tahan juga. Mata Shah terpaku memandang lelaki itu. Otaknya ligat memikirkan siapakah lelaki ini.
“ Awak ni siapa?” tanya Shah.
“ Saya Syafik, pembantu En. Shah.” Lelaki itu memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangannya.
“ Maaf, terpaksa guna tangan kiri.” Shah menyambut huluran dengan tangan kiri.
“ Tak apa, saya faham.” Kata Syafik dengan wajah tenang.
“ Oh, jadi…awak ni di upah oleh mama saya?” tanya Shah sambil memandang wajah Syafik. Ingin mengetahui sejauh mana kejujuran lelaki itu. Sanggupkah dia menjalankan tugasnya dengan baik. Satu tugas yang di kira berat dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Bukan senang nak jaga orang sakit, pasti banyak kerenahnya.
“ Ya,” jawab Syafik ringkas sambil menghulur senyuman.
Shah diam. Dalam  diam dia mengucap syukur kerana pembantu yang di upah mamanya adalah lelaki. Kalau perempuan , pasti leceh. Lagi pun dia sendiri rasa segan dan malu kalau terpaksa menayangkan tubuhnya pada perempuan yang bukan mahram. Dahlah di tugaskan untuk menguruskan aktiviti hariannya. Kalau lelaki, lain ceritanya.
“ Berapa mama saya tawarkan untuk awak sebulan?” tanya Shah bersoal jawab.
“ RM2000. Kata Datin Inas, saya ditugaskan menjadi pembantu En. Shah sehingga En. Shah sembuh,” beritahu Syafik.
“ Er…macam mana awak boleh jumpa dengan mama saya?” tanya Shah. Otaknya mula berfikir, macam mana mama boleh dapatkan pembantunya begitu cepat. Dia belum pun keluar dari hospital, tapi mama dah carikan dia pembantu.
“ Sebenarnya, saya ada datang minta kerja kat travel egency milik Datin Inas…dia tawarkan saya sebagai pembantu untuk anaknya. Bila En. Shah dah sembuh nanti, saya akan kerja di agency itu…En. Shah ada masalahke kalau saya jadi pembantu En. Shah?” Syafik memandang wajah Shah.
“ Tak. Saya cuma musykil dan hairan….macam mana orang muda macam awak sanggup terima pekerjaan ni. Kerja ni memerlukan kesabaran, saya sendiri tak yakin adakah saya bersedia untuk menerima diri saya dalam keadaan begini. Apa yang berlaku pada saya sekarang membuatkan saya rasa hidup saya tak bebas. Hanya bergantung pada bantuan orang lain, bukan ini yang saya mahukan dalam hidup.” kata Shah.
Syafik diam.
“ Saya rasa En. Shah masih lagi beruntung walaupun dalam keadaan begini. En. Shah ada wang, ada kedudukan dan ada pekerjaan yang bagus dan juga ada keluarga yang menyayangi En. Shah. Ini hanyalah sekadar dugaan sementara. Allah nak uji sejauh mana kesabaran kita menghadapi cubaan hidup. Mungkin sebelum ini kita alpa dengan nikmatnya tanpa kita sedar. Saya yakin dan percaya yang En. Shah akan sembuh seperti biasa. En. Shah mesti yakin, sabar dan cekal hati. InsyaAllah, En. Shah akan mampu!” kata-kata Syafik membuat Shah terdiam. Ternyata lelaki itu matang pemikirannya walaupun di usia agak muda.
“ Terima kasih kerana menyedarkan saya,” kata Shah perlahan.
“ Berapa umur awak sekarang?” tanya Shah sambil memandang wajah Syafik.
“ 25 tahun, kenapa?” berkerut dahi Syafik membalas pandangan Shah.
“ Tak ada apa…. Sekadar nak tahu.” Shah mengeluh perlahan dan mula mengira bahawa umur Syafik adalah sama dengan umur Hazrul.
“ Erm….awak boleh bantu sayakan!” kata Shah selepas beberapa ketika dia diam membisu. Syafik masih tetap kaku berdiri di tepi katil.
“ Ya, itukan tugas saya.” Kata Syafik.
“ Tolong bantu saya ke bilik air, saya nak buang air. Lepas ni tolong bantu saya untuk bertayammum,” kata Shah.
“ Baik, En. Shah.” Syafik tersenyum. Tak sangka majikannya ini tidak lupa menunaikan tanggungjawab pada Allah walaupun dalam keadaan begini. Mungkin, ini adalah berkat dari tunjuk ajar orangtuanya. Detik Syafik sambil membantu Shah turun dari katil dan memapahnya ke bilik air.
Dengan susah payah Shah keluar dari bilik air dan Syafik sudah menunggu di muka pintu. Syafik juga berpesan agar Shah tidak mengunci bilik air, bimbang kalau berlaku kecelakaan. Shah terus di papah hingga ke atas katil.
“ Ambilkan debu atas kabinet tu…saya nak bertayammun. Suara azan di luar tu  menandakan sudah masuk waktu isyak.” Kata Shah.
Syafik membantu Shah untuk bertayammun dan mendirikan solat isyak di atas katil dengan cara belunjur. Syafik tetap setia menunggu sehinggalah Shah selesai solat.
“ Awak pun pergilah solat. Tak baik lengah-lengahkan waktu solat kalau kita tak ada sebarang keuzuran,” kata Shah. Dari pandangan Shah, Syafik seorang pemuda yang baik tingkah laku dan tutur katanya.
“ Kalau macam tu…saya pergi solat di surau dulu. Nanti saya datang balik. Erm…malam ni saya temankan En. Shah tidur di sini ya, Datin Inas yang mahu saya tidur di sini selagi En. Shah berada di hospital.” Kata Syafik.
“ Nanti awak tak selesa,” segan pula Shah nak menyusahkan lelaki itu.
“ Tak adalah. Kan ini sebahagian dari tugas saya.” Kata Syafik.
“ Kalau macam tu…bulan depan terpaksalah saya naikkan gaji awak.” Gurau Shah sambil ketawa kecil. Syafik hanya tersenyum.
“ Saya keluar dulu. En. Shah tak kesahkan kalau saya datang lambat sikit,” kata Syafik dengan rasa sedikit segan.
Shah memandang wajah Syafik. Dah nak melencongke?...tadi aku baru aje puji dia.
“ Saya nak beli makan sebab saya belum makan malam.” Sambung Syafik bila menyedari ada perubahan pada wajah Shah.
“ Tunggu,” kata Shah.
Syafik tak jadi keluar. Matanya terus terpaku memandang wajah Shah.
“ Awak tolong ambil wallet saya dalam kabinet tu,” arah Shah.
Syafik mengikut arahan. Wallet Shah di ambil dan diserahkan pada tuannya. Shah membuka walletnya dan menyerahkan wang RM 50.
“ En. Shah nak pesan apa ni?” tanya Syafik.
“ Tak ada, ini duit untuk awak beli makan malam. Ambillah.” Hulur Shah.
“ Tak payahlah…saya dah ada duit,” Syafik menolak pemberian itu. Segan pula nak menerima pemberian itu.
“ Ambil. Untuk awak.” Pujuk Shah sedikit tegas.
Akhirnya Syafik mengambil  duit itu dan mengucapkan terima kasih sebelum keluar dari bilik itu untuk menunaikan solat isyak, juga makan malam. Shah memejam mata seketika dan kembali membuka mata apabila matanya terasa silau. Kata mama, selama 6 bulan dia hilang ingatan akibat kemalangan dulu dan kini ingatannya sudah pulih sedikit demi sedikit. Tapi kenapa dia rasa ada sesuatu yang mengganggunya beberapa malam ini. Dia sering terjaga apabila terasa matanya silau kerana cahaya lampu yang tinggi.
`Apa sebenarnya yang berlaku sebelum kemalangan itu agaknya?` Shah tiba-tiba terasa nafasnya sesak. Perlahan-lahan dia menenangkan dirinya agar melupakan seketika hal itu. Dia yakin, pasti dia akan ingat semula apa yang berlaku sebelum kemalangan itu. Doktor Kamal juga pernah berpesan agar dia tidak memaksa diri untuk mengingati semula apa yang berlaku sebelum ini.

1 comment:

  1. ermmmm..... kesiannya shah..... memori bersama diya tiada dlm ingatannya.... kesianlah diya duk menunggu shah yg tak kunjung tiba.... apakah mereka akan terus terpisah atau akan adakah pertemuan antara mereka.....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...