Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Friday, 3 May 2013

Diakah Mr. Perfect Aku? 8



Bab 8

DATIN Safinas bergegas mendapatkan doktor yang baru sahaja keluar dari bilik pembedahan.  Hanim dan Carl turut mengikuti langkah Datin Safinas. Mereka berdua juga tidak sabar untuk mengetahui perkembangan tentang apa yang berlaku pada Shahrul selepas berlakunya pembedahan itu. Datin Safinas amat berterima kasih pada Hanim dan Carl  yang telah menemaninya bersama. Sudah hampir 3 jam mereka menunggu dengan resah. Kalau tidak, tak tahulah apa yang harus di buatnya. Tadi pun dia jatuh pengsan selepas mendapat berita tentang kemalangan yang menimpa Shahrul sebelum dia menghubungi Hanim dan Carl, nasib baik sempat di sambut oleh jururawat yang ada di situ.
“ Doktor, macam mana dengan keadaan anak saya?” Datin Safinas terus bertanya. Matanya bengkak akibat menangis sejak dari tadi. Dahlah suaminya terlantar di hospital akibat serangan jantung, kini anak sulungnya pula terlantar di hospital akibat terlibat dalam kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawanya.
“ Kami dah lakukan yang terbaik. Sama-samalah kita berdoa agar anak Puan selamat. Sekarang dia dah pun melepasi tahap kritikal tapi masih lagi dalam keadaan koma. Minta bersabar ya, Puan.” Beritahu doktor yang baru sahaja keluar dari bilik pembedahan itu.
 Datin Safinas memejam mata seketika. Buat masa sekarang dia tak tahu apa yang perlu di lakukan. Hanya berserah pada Allah agar anaknya selamat. Hanim yang ada di sisinya mengusap perlahan bahu Datin Safinas memberi semangat agar terus tabah menghadapi dugaan.
“ Sabar ya, auntie. InsyaAllah, Shah akan selamat.” Pujuk Carl.
“ Auntie, itu doctor yang merawat uncle.” Hanim memandang wajah doktor yang baru keluar dari bilik ICU.
“ Doktor, macam mana keadaan suami saya?” Datin Safinas segera mendapatkan doktor itu. Ayat yang sama di utarakan  tapi pada doktor yang berlainan.
“ Alhamdulillah. Datuk dah sedar tapi badannya masih lagi lemah.” Beritahu Doktor Amran yang merawat Datuk Syed Mustaffa.
“ Syukurlah. Boleh saya jumpa dengan suami saya?” tanya Datin Safinas tak sabar. Bibirnya mengorak senyum. Benar-benar bersyukur kerana suaminya telah sedar.
“ Boleh, tapi jangan bagi Datuk banyak bercakap.” Dr. Amran memberi kebenaran.
“ Terima kasih doktor,” ucap Datin Safinas.
“ Hani, Carl…auntie jumpa uncle ya.” Kata Datin Safinas.
“ Ya, kami akan menunggu di sini,” balas Carl.
“ Auntie benar-benar terhutang pada kamu berdua kerana menemani auntie di sini. Kalau tak ada kamu berdua, tak tahulah apa akan jadi pada auntie, nak harapkan Hazrul…dia tak ada kat sini.” Dia terkenangkan anak lelaki  bongsunya yang berada di Jepun kerana urusan kerja. Mereka berdualah permata hatinya, hasil perkongsian antara dia dan Syed Mustaffa sejak 30 tahun yang lalu.
“ Auntie jangan bimbang, Hani sayangkan auntie macam mama Hani sendiri,” balas Hanim sambil menggenggam erat tangan wanita itu.
“ Kalaulah Shah dapat menerima Hani selama ini, dah lama Hani ni jadi menantu auntie.” Kata Datin Safinas menahan rasa hati.
“ Hani percaya,  abang Shah pasti akan dapat terima Hani suatu hari nanti.” Hanim masih lagi memegang erat tangan Datin Safinas. Carl yang berada di sisinya hanya mendiamkan diri. Walaupun Hanim adalah adiknya, tapi dalam soal perasaan cinta, dia tak mahu masuk campur. Dia hanya mahu menjaga hubungan persahabatannya dengan Shah tanpa melibatkan soal cinta antara Shah dan Hanim. Soal cinta, itu adalah hak  mereka berdua.
Datin Safinas membuka pintu dan melangkah masuk ke bilik yang menempatkan suaminya yang terlantar akibat serangan jantung. Dari jauh hatinya merintih pilu melihat keadaan suaminya. Datuk Syed Mustaffa melemparkan senyuman nipis buat isterinya. Datin Safinas segera merapati suaminya. Tangan suaminya di capai dan di kucupnya lama. Beberapa titis air mata jatuh mengena tangan suaminya. Datin Safinas mendongak bila merasakan tangan suaminya menyentuh kepalanya.
“ Inas…” panggil Datuk Syed Mustaffa perlahan.
“ Abang…syukurlah, abang dah sedar. Inas risau sangat melihat abang terlantar di sini. Inas tak tahu apa yang patut Inas buat…” ucap Datin Safinas menahan sebak.
“ Mana Shah…abang nak jumpa dia!” suara Datuk Syed Mustaffa tersekat-sekat.
“ Er…Shah masih di Kota Bharu, Inas dah bagi tahu pasal abang…abang jangan risau ya!” Datin Safinas menjawab. Dia terpaksa membohongi suaminya tentang kemalangan yang menimpa Shahrul. Bimbang suaminya tak dapat menerima perkhabaran dalam keadaan begini. Datin Safinas mengusap lembut wajah suaminya sambil mengukir senyum. Otaknya juga ligat mengenangkan apa yang sedang berlaku pada Shahrul. Sampai bila anaknya akan terus koma. Kejadian 6 bulan yang lalu membuatkan hatinya benar-benar resah. Adakah dia perlu berhadapan dengan situasi itu sekali lagi?


DIYA termenung di jendela biliknya. Fikirannya tetap resah selepas kepulangan Shahrul. Sudah 2 hari suaminya pulang ke Kuala Lumpur, tapi sampai sekarang tiada sebarang berita yang di terima sedangkan sebelum suaminya pulang, dia sudah berjanji untuk menghubungi Diya dan juga datang berjumpa semula di sini. Tapi sampai saat ini, semua ucapan dan janji lelaki itu hanyalah omongan kosong. Tiada tanda dan tiada bayang lelaki itu singgah di ruang matanya. Adakah suaminya sudah melupakannya dan menganggap apa yang berlaku pada mereka 2 hari lepas hanyalah mimpi sahaja. Setitis air mata jatuh dari kelopak mata Diya.
“ Diya,”
Diya cepat- cepat mengesat air matanya yang masih bergenang di kelopak mata. Dia tidak mahu keluarganya melihat kesedihan yang sedang ditanggungnya. Apa yang menimpanya 3 hari lepas memberi kesan pada keluarganya, jadi dia tidak mahu membebankan mereka lagi memikirkan apa yang sedang berlaku padanya. Diya menoleh ke belakang sambil mempamerkan senyuman. Wajah Amin muncul di muka pintu. Lelaki itu terus melangkah masuk ke biliknya.
“ Diya, ibu cakap Diya belum lagi sarapan. Jomlah…kita sarapan sama!” ajak Amin mendekati adiknya.
“ Along makanlah dulu, Diya belum lapar.” Balas Diya perlahan. Sengaja di larikan matanya agar tidak terkesan pada alongnya.
“ Diya, dah 2 hari Diya tak makan. Nanti Diya jatuh sakit…Diya nak ibu dan ayah risaukan Diyake?” Amin cuba memujuk. Bahu Diya di sentuh perlahan.
“ Diya tak berselera nak makan. Hati Diya rasa tak tenteram dan tak sedap hati sejak abang Shahrul pergi malam tu….dan sampai sekarang sebarang berita pun Diya tak terima,” kata Diya dengan suara yang sedikit serak.
“ Agaknya dia sibuk, kan dia bagi tahu papanya masuk hospital.” Kata Amin cuba menenangkan perasaan resah Diya.
“ Diya tahu…tapi sekurang-kurangnya hubungilah Diya, kan Diya dah bagi nombor phone Diya untuk dia hubungi, takkanlah dia tak ada sikit pun masa untuk hubungi Diya memberitahu yang dia selamat sampai atau khabarkan tentang keadaan papanya …menyesal pula tak ambil nombor dia hari tu!” rungut Diya sebak.
Amin mengeluh perlahan. Mungkin ada betulnya kata-kata Diya. Tapi apa yang berlaku tak mungkin dapat di ulang semula. Segala maklumat tentang diri Shahrul pula tak banyak yang dia dan keluarga tahu.  Kalau tidak kerana ayahnya kenal rapat dengan kadi, pasti akan timbul masalah untuk menguruskan perkahwinan Diya dan Shahrul. Borang perkahwinan pun tak lengkap di isi. Ingatkan lepas ni bolehlah di uruskan, tapi sayang sampai sekarang lelaki yang merangkap adik iparnya itu  tidak muncul tiba.
“ Along rasa dia ikhlaske nak kawin dengan Diya? Atau dia kawin dengan Diya kerana terpaksa?” kata Diya memandang wajah abangnya.
“ Entahlah….” Amin tak tahu jawapan apa yang perlu di berikan. Tengok pada gaya Shahrul bercakap hari tu, macam ikhlas saja. Tapi apa yang berlaku sekarang membuatkan dia musykil. Kesian pula melihat keadaan adiknya yang muram sejak pemergian lelaki itu.
“ Diya sayangkan Shahrul?” tiba-tiba Amin bertanya. Kalau tak sayang, tak adalah adiknya muram dan resah begitu. Walaupun mereka baru saja kenal, tapi dia yakin bahawa adiknya menyukai lelaki itu. Cara Diya memandang Shahrul hari tu tidak sama dengan cara dia memandang Aniq. Dia nampak aura cinta di mata Diya buat Shahrul. Tapi lelaki itu, dia tidak pasti apa perasaannya pada Diya kerana mereka hanya berjumpa beberapa jam saja. Belum dapat membuat sebarang rumusan.
Diya memandang wajah alongnya. Bagaimana harus dia terangkan perasaannya sekarang.
“ Diya, Diya yakinke yang Shahrul tu jodoh yang Diya tunggu selama ini. Maksud along…your Mr. Perfect?...along boleh nampak cara Diya pandang dia hari tu!” Amin memandang wajah Diya. Dia mahu mencari kebenaran. Kalau inilah yang dirasakan oleh Diya, dia akur bahawa Aniq bukanlah jodoh Diya.
“ Ya, hati kecil Diya mengatakan yang dia adalah Mr. Perfect yang Diya tunggu selama ini. Kali pertama Diya jumpa dia 3 hari lepas, perasaan Diya cukup berdebar-debar. Perasaan seperti itu tak pernah Diya rasa setiap kali Diya jumpa dengan lelaki lain. Diya minta maaf kalau Diya dah kecewakan kawan along.” Diya meluahkan apa yang di rasa.
Amin mengangguk perlahan. Firasatnya benar. Diya memang jatuh cinta dengan Shahrul sebelum mereka di takdir kawin dalam keadaan tergesa-gesa kerana kes di tangkap khalwat itu.
“ Diya, Diya nak along berterus-terang dengan Aniq pasal hal ni?...along tak nak dia terus mengharapkan Diya sedangkan Diya dah terima Shahrul,” kata Amin yang merasa simpati pada Aniq. Bagi Amin, Aniq seorang lelaki yang baik. Sayang sekali kerana dia bukan pilihan hati Diya.
“ Jangan!!” pantas Diya menegah membuatkan Amin terkesima. Bulat matanya merenung wajah Diya yang mula kaget.
“ Er,… maksud Diya…jangan bagi tahu abang Aniq hal ni buat masa sekarang, Diya segan. Biarlah Diya berterus-terang tentang apa yang berlaku sekarang bila tiba  masa yang sesuai. Kalau dia tak bangkitkan soal Diya pada along, along jangan cerita apa-apa. Tolong ya, along. Diya sayangkan abang Aniq seperti Diya sayangkan along. …” tegah Diya.
“ Kenapa?...along rasa lebih baik dia tahu sekarang dari mulut Diya atau along dari dia tahu dari mulut orang lain. Mungkin kekecewaannya akan hilang bersama masa. Along percaya, dia dapat terima semua ini dengan hati yang terbuka. Along kenal Aniq, dia tak akan bertindak melulu. Dia seorang lelaki yang cukup rasional dan bijak.” Amin tidak setuju dengan kehendak Diya yang mahu menyembunyikan hal ini dari pengetahuan Aniq.
“ Diya faham tapi buat masa sekarang biarlah dia tak tahu. Diya tak nak dia susah hati. Semalam pun Diya tak angkat dan tak balas panggilannya. Diya tak sampai hati nak hancurkan perasaan dia dengan memberitahu hal ni!” kata Diya.
“ Tapi…sampai bila?. Semua ini akan terbongkar jua. Nasib baik orang kawasan ni tak tahu apa yang berlaku,” kata Amin dengan rasa terkilan.
Dengan pengaruh En. Jamaluddin, dia meminta sesiapa yang mengetahui hal ini agar menyimpan rahsia ni dari pengetahuan umum.
“ Apa kata, kita pergi KL dan cari Shahrul di sana,” cadang Amin selepas mendiamkan diri seketika.
“ Tak perlu. Diya tak nak susahkan along atau sesiapa. Kalau abang Shahrul tu di takdirkan untuk Diya, dia akan pulang ke pangkuan Diya.” Kata Diya.
“ Diya nak mengalah begitu saja?” Amin terkesima. Baru dua hari berlalu, Diya sudah pasrah? Amin mengeleng kepala.
“ Bukan mengalah. Diya cuma nak bagi dia masa. Diya tak nak terburu-buru membuat tindakan kerana tindakan secara terburu-buru akan memberi kesan yang tidak baik,” kata Diya.
“ Habis, perkahwinan Diya dengan Shahrul….bukankah secara terburu-buru juga?” kata Amin. Diya menelan liur. Dan dia memang menyedari hakikat itu.



JEMY mematikan enjin motornya. Dia yang baru balik dari tempat kerja terus bertandang di sini. Dia risau mengenangkan nasib yang menimpa Diya. Kalaulah dia dapat bantu…tapi bagaimana caranya? Topi keledar di buka dan di sangkut pada handle motor EX5 merahnya. Dia merapikan rambutnya yang kusut akibat memakai topi keledar itu. Hampir jadi penyek rambutnya. Jemy tergelak kecil sambil membelek wajahnya pada cermin motor. Kalau pakai tudung, pasti dia tak akan hadapi masalah ni.
Jemy mengatur langkah ke satu sudut yang menjadi ruang rehat untuk keluar Diya bersantai. Dari situ dia sudah dapat melihat tubuh Diya yang asyik mengelamun seorang diri.
“ Assalamualaikum!”
Jemy memberi salam.
Diya menoleh, salam di balas sambil memandang wajah Jemy. Sedikit senyuman di hadiahkan buat Jemy yang nampak kepenatan. Tanpa di pelawa, Jemy terus duduk di hadapan Diya.
“ Kau apa khabar?” tanya Jemy.
“ Baik. Kau dari tempat kerja ya?” Diya memandang wajah Jemy.
“ Yalah…mana lagi. “ balas Jemy mengeluh perlahan.
“ Macam mana dengan kawan-kawan kita, mereka ada tanya pasal aku tak?” tanya Diya. Dia rindukan suasana di tempat kerja tu. Walaupun penat tapi ada keseronokkannya berbanding dengan apa yang di alaminya sekarang.
“ Mereka semua rindukan kau…dia orang kirim salam kat kau bila aku cakap aku nak datang jumpa kau!” beritahu Jemy. Diya mengukir senyum. Satu persatu wajah kawan-kawannya terbayang di mata. Salmi, Marini, kak Saliah, kak Mimah, Daud, Khairul, juga wajah Safwan dan Zanita.
“ Aku pun rindukan mereka, nanti kau kirimkan salam buat mereka ya!” kata Diya sambil memandang ke arah susunan pokok bunga kertas yang sedang berbunga cantik. Ada pelbagai warna.
“ En. Safwan selalu tanya pasal kau, dia terkilan sangat sebab kau berhenti kerja mendadak. Cik Zanita pun terkejut bila kau tak datang kerja keesokkannya. Entah mereka tahu atau pun tidak apa yang berlaku pada kau hari tu. Tapi setakat yang aku dengar dari perbualan kawan-kawan kita, mereka tak tahu pasal kes kau di tangkap basah tu. Aku rasa Pn. Khadijah dapat selesaikan hal tu. Mungkin dia tak nak reputasi hotel tu rosak. Aku cuba risik-risik dengan Salmi pasal En. Shah. Kata Salmi, En. Shah tu selalu datang menginap di hotel tu kalau dia datang sini. Kiranya dia kenallah dengan Pn. Khadijah.” Beritahu Jemy.
“ Aku benar-benar harap kes aku tu tidak diketahui mereka. Aku malu sangat,” Diya menahan sebak.
“ Aku faham. Aku pun fikir aku nak berhentilah kerja kat hotel tu….boringlah kau tak ada,” kata Jemy.
“ Habis, kau nak kerja apa?” tanya Diya berminat.
“ Aku dah mohon beberapa kerja kat KL, tak tahulah berjaya atau tidak…kalau ada rezeki, adalah. Aku ada juga minta tolong dengan Leman, minta dia carikan mana-mana kerja kosong, kat tempat kerja dia pun ok juga. Lagi best…. Hari-hari dapat jumpa buah hati,” Jemy tersenyum.
“ Aku rasa cadangan kau tu elok dan bagus. Aku tak nak kau mengalami nasib yang sama macam aku,” kata Diya.
“ Sabar ya, aku rasa ada hikmahnya Allah bagi kau dugaan begini. Kau akan jadi lebih tabah….tapi ingat, jangan sesekali lemah semangat. Kau mesti kuat dan terus berharap bahawa jodoh kau dengan suami kau tu kuat,” Jemy memberi semangat.
“ Terima kasih. Aku tahu keluarga aku dan juga kau adalah penyokong kuat aku, tanpa kalian semua…aku tak tahu bagaimana aku nak hadapi semua ini….beberapa hari lepas, along ada cadangkan supaya aku pergi KL, cari dia tapi aku tak yakin yang aku boleh jumpa dia. Maklumat pasal diri dia aku tak tahu, gambar dia pun aku tak ada,” Diya mengeluh kesal. Semua yang berlaku terlalu mendadak, sangkanya semua akan selesai dan menjadi mudah bila Shahrul datang semula tapi sampai sekarang dia diam membisu.
“ Diya, aku pergi tandas kejap…nak buang airlah…” Jemy berjalan laju masuk ke dalam rumah.
“ Mak cik…tumpang bilik air , boleh?” tanya Jemy sebaik saja bertemu dengan Pn. Hasmah yang baru sahaja turun dari tingkat atas. Tadi dia ada ke bilik Diya, ingat melihat keadaan Diya tapi anaknya tiada. Itu yang dia turun semula ke bawah.
“ Ya, pergilah.” Pn. Hasmah tercegang seketika. Terkejut melihat kemunculan Jemy secara tiba-tiba. Bukannya dia tak pernah menerima kunjungan Jemy tapi sudah beberapa hari anak gadis itu tidak datang ke rumahnya berjumpa Diya.
Jemy mendapatkan Pn. Hasmah yang berada di dapur bersama Tuti untuk menyediakan makan malam.
“ Makcik, terima kasih ya. Maaf…menyusahkan!” kata Jemy.
“ Tak adalah….bukannya Milah tak biasa dengan rumah makcik ni…kamu tu membesar depan mata makcikkan!” Pn. Hasmah tersenyum.
Jemy tergelak kecil. Memang betul, dia dan Diya membesar bersama. Rumah ni pun dah macam rumah kedua buatnya.
“ Mak cik masak apa ni?...sedapnya bau!” Jemy menghampiri dapur. Melihat Tuti sedang mengacau gulai kambing.
“ Milah makan malam kat sini ya.” ajak Pn. Hasmah.
“ Tak apalah…Milah makan kat rumah aje.” Jemy menolak. Segan nak menerima ajakan itu.
“ Sebelum balik, jangan lupa bawa balik gulai ni kat rumah. Ayah Milah ni suka sangat makan gulai kambing.” Kata Pn. Hasmah.
  Yalah….”
“ Mana Diya?” baru Pn, Hasmah sedar yang dari tadi dia memang mencari kelibat Diya.
“ Kat luar…muram aje muka dia, kesian Milah tengok.” Kata Jemy.
“ Macam tulah perangai dia. Asyik termenung aje kerjanya sejak seminggu ni… teringatkan Shahrul barangkali.” Kata Pn. Hasmah risau.
“ En. Shah tu kan dah jadi suami Diya, mestilah Diya teringatkan dia.” Kata Jemy mencapai jus oren yang ada di atas meja selepas di pelawa oleh Pn. Hasmah.
“ Itu yang buat makcik risau….dah seminggu Shah balik KL dan sampai sekarang dia tak hubungi Diya, batang hidung pun tak nampak. Takkanlah dia terlupa.” Ujar Pn. Hasmah lagi. Dia turut membicarakan hal itu dengan suaminya tapi En. Jamaluddin hanya minta dia bersabar. Katanya, mungkin Shahrul ada hal. Pn. Hasmah buntu. Tak sanggup dia melihat keadaan Diya yang asyik termenung dan membelek telefonnya setiap masa.
“ Kita kena bagi dia sokongan. Apa kata makcik minta bantuan abang Aniq, dia kan tinggal di KL. Mana tahu dia kenal dengan En. Shah.” Cadang Jemy.
“Alongnya dah bagi  cadangan tu  tapi Diya tak nak Aniq tahu pasal hal ni… makcik pun kesian juga kat Aniq tu, selalu  dia hubungi Diya tapi Diya pula macam nak mengelak. Agaknya dia segan dengan Aniq.” Pn. Hasmah melabuhkan punggung di kerusi. Yanti menutup api dapur selepas memastikan lauk gulai kambing sudah masak dan empuk.
“ Tuti, masukkan gulai tu dalam bekas. Bagi kat Milah ni bawa balik nanti…” arah Pn. Hasmah.
“ Baik, puan” Tuti akur.
“ Milah jumpa Diya kat luar. Kejap lagi Milah kena balik, nanti bising pulak mak kat rumah.” Kata Jemy sebelum berlalu dari situ.
Dari muka pintu, Jemy sudah mengeleng kepala melihat gelagat Diya yang sedang menongkat dagu memandang ke arah deretan pokok bunga kertas yang di tanam di dalam pasu. Nak kata angau, Diya bukannya bercinta. Rindu…mungkit kut. Jemy membuat telahan sambil kakinya melangkah ke arah Diya.

4 comments:

  1. Kesian Diya... tak puas membaca. Nak tau apa kesudahan cerita adiya dan Shahrul.

    ReplyDelete
  2. Diya tak patut berahsia dgn Aniq.. bagitau je la hal sebenar dari awal. takdela Aniq letak harapan tinggi nnt

    ReplyDelete
  3. kesian dgn diya.... kesian lagi kat aniq.... patutnya diya berterus terang pada aniq agar aniq tidak menaruh perasaan lagi pada diya... dan menerima saranan alongnya agar mencari shahrul di KL....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...