Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Friday, 19 April 2013

Diakah Mr. Perfect Aku? 7




Bab 7


D
IYA berdiri di hadapan pintu bilik itu. Serba salah di buatnya. Dia menarik nafas seketika dan menghembus perlahan. Perlukah dia mengetuk atau datang saja lain kali kerana sekarang ni pun dah agak lewat. Hampir nak masuk waktu maghrib. Kalau tak kerana dia di paksa kerja lebih masa oleh cik Zanita, tak adalah dia berada di sini waktu ini. Dan kerana pesanan yang di terimanya di kaunter sebentar tadi juga menyebabkan dia berdiri di muka pintu bilik ini. Kan lebih baik kalau dia ajak Jemy bersama tadi, tapi Jemy terpaksa balik kerana dia kurang sihat. Pagi ini, Jemy asyik bersin saja. Badannya pun agak panas. Mungkin esok Jemy akan cuti.
Kalau tidak mengenangkan lelaki ini akan balik awal pagi esok, dia boleh menangguhkan aje untuk mengambil rantai leher yang tercicir hari itu. Atau biarkan aje rantai itu, tapi tak boleh sebab rantai itu adalah pemberian dari ibu sempena hari lahirnya 3 tahun lepas dan dia benar-benar menyukai rantai leher itu.
Diya mengetuk pintu bilik beberapa kali kerana tiada sambutan. Sekali lagi dia mengetuk pintu. Ketika dia berura-ura untuk pergi dari situ, pintu bilik di buka. Diya kaku di situ dengan mata yang bulat memandang fenomena di hadapan. Lelaki itu  muncul dengan hanya mengenakan tuala. Diya merenung seketika muka lelaki itu. Rambutnya yang masih basah dah belum bersikat itu nampak begitu menarik. Ditambah pula dengan dada bidangnya yang terdedah benar-benar membuat degupan di dada Diya begitu hebat.
“ Ops….” Diya menutup mulutnya yang ternganga.
“ Diya…awak buat apa kat sini?” tanya Shahrul memandang wajah Diya dengan rasa hairan.
“ Er…bukankah En. Shah nak jumpa saya untuk pulangkan rantai leher yang tercicir semalam?” Diya membuka mulut.
Shahrul  menggaru kepala seketika.
“ Oh, sorry…saya hampir terlupa. Saya tengah mandi tadi, itu  yang terlambat datang buka pintu. Masuklah.” Pelawa Shahrul.
“ Erm….saya rasa elok saya tunggu kat sini aje,” balas Diya.
“ Masuk ajelah…saya ni lelaki yang baik. Awak jangan bimbang.” Kata Shahrul.
“ Tapi….” Diya tetap rasa serba salah.
“ Ini hotel, bukannya kampung….saya pakai baju sebentar.” Shahrul masuk ke dalam bilik dan membiarkan pintu bilik terbuka. Dia mencapai sehelai baju dari beg dan terus menyarung ke tubuh sasanya. Kemudian dia mempelawa Diya masuk. Nak tak nak terpaksalah Diya menjejak masuk kerana kata Shahrul, dia terlupa di mana dia meletakkan rantai milik Diya itu.
“ Maaf, saya betul-betul terlupa di mana saya letak rantai awak tu.” Shahrul menggaru-garu kepala sambil tangannya lincah menyelongkar almari dan begnya tapi tetap tak berjumpa.
“ Macam ni ajelah…bila En. Shah dah jumpa rantai saya tu…tinggalkan aje kat kaunter depan, saya akan datang ambil.” kata Diya. Dia resah memikirkan situasi sekarang. Sejak dari tadi perasaannya tak enak.
“ Maaf ya…saya dah susahkan awak.” Shahrul rasa bersalah.
“ Tak apalah…kalau macam tu saya pergi dulu.” Kata Diya dan mengatur langkah ke muka pintu. Namun, sebaik saja pintu di kuak, matanya terbuka luas dan dia benar-benar rasa nak pengsan.
Diya berkalih, memandang wajah Shahrul dengan mata yang sudah berkaca dan Shahrul pula di lihat sudah berpeluh walaupun dia baru saja selesai mandi. Apa sebenarnya yang berlaku ni, kenapa dia yang jadi mangsa?


DIYA tunduk memandang lantai. Sudah jerih air matanya keluar menafikan tuduhan yang di terima. Dia dan Shahrul di tangkap basah. Suatu situasi yang tak pernah di bayangkan walau sedikit pun. Walaupun hati kecilnya mengakui bahawa dia menyukai Shahrul, tapi bukan dengan cara begini mereka akan di satukan. Amat memalukan. Apa pandangan orang lain kalau mereka tahu hal ini, di mana dia nak sorokkan mukanya. Bagaimana perasaan ibu dan ayah? Ibu…ayah…sungguh, bukan ini yang Diya inginkan. Diya terus mengesat air matanya yang tetap laju mengalir.
Shahrul pula tak banyak cakap, dia hanya menyerahkan semua keputusan pada ayah dan pegawai pencegah maksiat itu.
“ Pak cik minta maaf kalau anak pakcik dah malukan En. Shahrul…pak cik memang tak jangka ini yang terpaksa kami hadapi. Diya anak pak cik, satu-satu anak perempuan yang pak cik ada dan selama ini kami dah berikan didikan yang sempurna,” kata En. Jamaluddin dengan wajah tenang. Bagi En. Jamaluddin, tak ada gunanya kalau dia nak mengamuk, benda dah jadi. Apa lagi yang harus dia nyatakan selain dari menganggap itu adalah sebagai takdir dan juga musibah.
Pn. Hasmah sedang mengusap tubuh Diya perlahan sedari tadi, matanya turut bengkak kerana dia juga turut menangis mengenangkan apa yang telah berlaku. Sementara Amin hanya diam, wajahnya jelas nampak kecewa dan hampa.
“ Pakcik, mak cik….saya rasa semua ini adalah salah faham, Kami berdua tak salah dan saya berani bersumpah bahawa kami tak buat perkara yang mencurigakan tu. Diya datang ke bilik saya sebab dia nak ambil rantai lehernya yang  tercicir di depan bilik saya. Itu aje…saya pun memang dah berhajat nak balik KL pagi esok sebab urusan saya di sini sudah selesai.” Kata Shahrul cuba memberi penjelasan yang sebenar.
“ Tapi…apa yang berlaku tadi tak dapat di undur semula. Pakcik pun tak mengharapkan benda ini berlaku…terlalu aib dan memalukan keluarga kita,” En. Jamaluddin bersuara sambil mengeluh panjang. Cukup kesal dengan apa yang berlaku.
Tiba-tiba telefon Shahrul berbunyi. Dia segera menyeluk poket seluarnya.
“ Mama call,” beritahu Shah pada Diya dan Pn. Hasmah yang sedang memandangnya.
“ Assalamualaikum, ma….Shah masih kat Kota Bharu, esok Shah bertolak balik KL. …kenapa?....apa?....baiklah…sekarang juga Shah balik!” Shah segera mematikan talian. Wajahnya cemas.
“ Kenapa?” tanya Pn. Hasmah risau melihat wajah Shah yang cemas sebaik sahaja menjawab panggilan itu.
“ Papa, masuk ward kerana serangan jantung. Sekarang ni dalam ICU.” Beritahu Shah kalut.
En. Jamaluddin memandang ahli keluarganya.
“ Macam nilah pakcik, ….izinkan saya memperisterikan Diya kalau inilah satu-satunya cara untuk membersihkan nama kita semua. Saya tahu, pakcik sekeluarga tidak mengenali saya, begitu juga dengan saya. Saya kenal Diya pun baru semalam. Apa yang berlaku pada kami bukanlah atas kehendak kami, mungkin ini adalah jodoh kami walaupun dengan cara begini…saya janji, saya akan cuba bahagiakan Diya.” Kata-kata Shahrul itu membuatkan orang tua Diya, Amin dan Diya sendiri tercengang. Shahrul sendiri pun buntu memikirkan hal ini, apa lagi selepas mendapat panggilan telefon dari mamanya yang mengatakan papanya di tahan di ward. Dan dia juga tak menjangka yang dia akan mengeluarkan kata-kata itu dalam keadaan kelam-kabut begini.
“ Tapi…” En. Jamaluddin cuba menegah. Takkanlah begitu cepat lelaki ini membuat keputusan sedangkan apa yang di cadangkan itu memberi impak yang besar buat mereka sekeluarga. Sepatutnya perkara ini di bawa berbincang antara kedua belah keluarga. Lainlah kalau Shah tu sebatang kara.
“ Apa kata pakcik kawinkan aje kami malam ni agar perkara ni dapat diselesaikan dengan segera sebelum perkara di diketahui umum.….saya akan cuba jelaskan hal ini pada orangtua saya dan saya harap mereka dapat terima.” Kata Shahrul dengan setenang yang mungkin. Apa yang di katakan tadi tak mungkin di tarik balik semula. Untuk tidak memanjangkan cerita, hal ini perlu diselesaikan dengan seberapa segera yang boleh. Malam ini pun tak apa. Janji dapat di selesaikan.
En. Jamaluddin memandang wajah Diya, cuba meminta pendapat. Diya hanya diam, dia buntu untuk membuat keputusan. Terasa apa yang berlaku adalah terlalu mendadak dan keputusan Shahrul yang mahu mereka berdua di nikahkan segera malam ini juga membuatkan dia rasa tak cukup nafas untuk bernyawa.
“ Diya, apa pendapat Diya. Diya sanggup terima Shahrul sebagai suami Diya?” tanya En. Jamaluddin. Dia tak mahu membuat keputusan sendiri kerana ini melibatkan soal masa depan anaknya. Memang dia rasa ini adalah keputusan yang terbaik bagi menutup aib keluarga tapi semua ini boleh dirundingkan lagi kalau Diya menolak. Dia mahukan yang terbaik untuk anak gadisnya itu.
“ En. Shah…En. Shah yakinke yang perkahwinan ini membuatkan kita bahagia?...macam mana dengan keluarga En. Shah?...mungkin En. Shah dah punya anak atau pun isteri!” kata Diya serba salah untuk menerima cadangan itu. Baginya, banyak impian yang belum terlaksana. Bagi Diya, dia masih lagi muda untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Lagi pun, dia baru tamat pengajian, baru mencecah usia 24 tahun.
“ Diya jangan bimbang….saya belum berkahwin.” Shahrul mengukir senyum.
  Diya!” Amin menghampiri Diya.
“ Along, maafkan Diya kalau Diya dah kecewakan along.” Mohon Diya sambil memegang tangan abangnya.
“ Diya jangan risau, along akan sentiasa menyokong Diya kerana Diya adalah satu-satunya adik yang along sayang,” ucap Amin membuatkan hati Diya bertambah sebak. Kalau tidak mengenangkan saat ini mereka berada di hadapan orang luar, pasti tubuh abangnya itu di peluk erat.
“ Macam nilah…sekarang kita semua ke rumah pakcik, di sana nanti kita dapat berbincang dengan baik dan pakcik harap masalah ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.” Kata En. Jamaluddin dan dipersetujui oleh yang lain.


SELESAI solat Isyak berjamaah, maka dengan rasminya Diya menjadi isteri Shahrul dengan hanya sekali lafaz. Shahrul juga menyediakan wang RM 10 ribu sebagai mas kawin. Jemy turut hadir sama dalam majlis itu dan ternyata Jemy benar-benar terkejut menerima berita itu. Bukan main bulat lagi mulutnya ternganga, nasib baik tak pengsan. Dahlah badannya kurang sihat, dapat pula berita yang tidak di jangka. Berita hot dan tergempar! Kalau masuk majalah atau akhbar…mesti tersenarai dalam berita sensasi ni. Tapi….dia orang berdua ni bukannya artis, sensasi ke? Jemy mengetuk kepalanya perlahan. Apasallah aku ni melalut jauh sangat ni.
“ Saya minta maaf sebab tak dapat menyediakan wang hantaran untuk pakcik sekeluarga kerana ini berlaku secara mendadak. Hanya wang sebanyak itu saja yang mampu saya sediakan buat masa sekarang.” Kata Shahrul sebaik sahaja semua tetamu yang di jemput sudah pulang. Hanya beberapa orang sahaja yang di jemput, sekadar untuk memenuhi syarat.
“ Tak mengapa. Yang penting, perkara yang wajib telah kita laksanakan. Lepas ni baru kita fikirkan pasal majlis dan kenduri. Ayah bukannya nak jual anak tapi apa yang penting adalah kebahagiaan anak ayah. Ayah harap Shah dapat menjaga Diya dengan baik kerana lepas ni semua tanggungjawab akan terletak di bahu Shah. Bukan bermakna ayah telah melepaskan 100% tanggungjawab pada Shah, tapi sebagai seorang suami, Shah patut jalankan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin. Kalau ada sebarang masalah, jangan segan bertanya dan berbincang…ayah akan sentiasa ada untuk membantu.” En. Jamaluddin menepuk perlahan bahu Shahrul yang masih lengkap berbaju melayu warna biru muda milik Amin. Nasib baik muat. Sebaik sahaja Shahrul sah menjadi suami Diya, En. Jamaluddin terus menganggap lelaki ini sebagai menantunya dan terus membahasakan dirinya sebagai ayah dengan harapan Shahrul akan selesa.
“ Terima kasih ayah kerana menerima Shah. Shah janji Shah akan jaga Diya dengan sebaik mungkin. Shah pun mempunyai banyak kelemahan tapi Shah akan cuba menjadi yang terbaik agar Shah tidak mengecewakan ayah sekeluarga, lebih-lebih  lagi buat Diya,” janji Shahrul.
“ Shah, tolong jaga Diya…jangan sakiti hati dia kerana aku tak sanggup lihat dia menangis dan kecewa.” Pesan Amin.
Shahrul mengangguk perlahan. Hati kecilnya benar-benar berharap apa yang berlaku ini dapat diterima dengan baik oleh orangtuanya sebagaimana orangtua Diya menerimanya. Selama ini mama mengharapkan agar dia menerima Hanim Suraya sebagai isteri tapi dia tetap menolak kerana merasakan perempuan itu tidak sesuai dengannya. Baginya Hani suka mendesak dan mengongkong hidupnya. Dia jadi begitu kerana mendapat sokongan dari mama. Apa agaknya penerimaan mama kalau dia tahu hal ini? Dengan papa dia boleh bertolak ansur tapi mama, susah sikit. Bagaimana caranya dia nak memujuk supaya mama dapat menerima Diya sebagai menantu. Kalau nak di kira taraf kewangan, keluarga Diya juga orang yang berharta dan agak terkenal di bandar ini walaupun mereka tidak menyatakannya tapi semua itu cukup jelas pada penglihatannya walaupun untuk pertama kali bersua. Lihat saja rumah dan perhiasan dalamannya, cukup mewah. Sama seperti yang di milik oleh keluarganya.


JEMY memegang erat tangan Diya, sedaya upaya dia mahu menyokong Diya agar temannya dapat bertenang. Dia tahu apa yang sedang dirasai oleh Diya sekarang walaupun bukan dia yang berada di tempat itu. Ketika ini hanya mereka berdua berada di bilik itu. Diya masih lagi mengesat hidungnya yang berair dengan tisu akibat menangis.
“ Sabar ya, Diya. Mungkin semua ini dugaan untuk kau supaya kau tabah. Kau patut rasa gembira dan bersyukur kerana jodoh kau dengan lelaki yang buat hati kau berdebar pada pertemuan pertama seperti yang kau impikan.” Pujuk Jemy.
“ Aku tahu tapi apa yang berlaku sekarang buat aku resah. Memang En. Shah tu lelaki pertama yang buat hati aku berdebar tapi cara kami di jodohkan buatkan aku rasa sedih.  Aku juga dah buat keluarga aku, terutama ibu dan ayah aku malu, dan aku tak mengharapkan dengan cara ini aku dinikahkan. Aku takut aku tak dapat nak hadapi perkahwinan aku ini dengan tabah sebab aku tak kenal siapa suami aku. Aku kenal dia pun baru semalam, tiba-tiba kena kawin…aku rasa aku tak bersedia nak hadapi semua ini.”  Diya mengesat air mata yang menitis keluar.
  Kau tak rasake apa yang berlaku pada kau dan En. Shah tu perbuatan khianat seseorang yang cemburukan kau!” kata Jemy dengan rasa sangsi. Hati kecilnya berat mengatakan semua ini adalah rancangan seseorang yang mahu mengenakan Diya.
“ Maksud kau…semua ini di rancang?” bulat mata Diya memandang tepat ke wajah Jemy.
“ Aku rasalah…tapi aku tak berani nak tuduh sesiapa. Tapi aku percaya, lambat laun semuanya akan terbongkar!” kata Jemy mula yakin dengan apa yang difikirkan.
“ Aku pun rasa macam tu, kalau betullah ada orang yang sengaja nak mengenakan aku…aku harap dia akan terima balasannya kerana Allah itu Maha Adil.” Sambung Diya sambil mengeringkan air matanya.
“ Sekarang ni, apa rancangan kau…nak teruskan kerja di hotel tu sampai hujung minggu ni ke atau kau nak ikut suami kau tu balik KL?...kalau kau ikut dia, aku dah tak ada kawan nanti,” Jemy mula muram.
“ Aku akan berhenti terus dari kerja kat hotel tu, lagi pun aku dah bagitahu kat Pn. Khadijah yang aku memang nak berhenti hujung minggu ni. Jemy, aku dah cukup malu dengan apa yang berlaku, takkanlah aku nak buat benda yang berlaku tadi tu hanya mimpi. Pasal nak ikut En. Shah balik KL tu…aku belum bincangkan lagi. Aku rasa aku tak ikut kot dalam masa terdekat ni, biarlah dia selesaikan perkara ni dengan keluarga dia dulu.” Itulah yang di fikirkan oleh Diya sejak tadi. Dia takut nak membayangkan apa yang bakal berlaku sekiranya dia terus mengikut Shahrul balik ke Kuala Lumpur esok pagi.
“ Dah lewat ni, aku rasa baik aku balik dulu…apa –apa hal kau contact aku ya! Malam ni kau kena hati-hati…mana tahu suami kau terus ngap kau, jadi kenalah bersedia ya!” sebelum pergi, sempat lagi Jemy mengusik Diya.
“ Kau ni…” segan pula Diya mendengar usikan Jemy. Mereka berjalan beriringan keluar dari bilik Diya untuk ke ruang tamu.
“ Selamat malam. Aku balik dulu ya!” Jemy mendapatkan orangtuanya yang sedang menunggu di ruang tamu. Diya menghantar temannya itu sampai ke muka pintu.
“ Diya!” Shahrul tiba-tiba memanggil Diya selepas kepulangan Jemy dan orangtuanya.
“ Ya,” Diya segera menghampiri Shahrul yang berada di ruang rehat. Ketika ini dia keseorangan di sofa. Mungkin orangtua Diya sengaja memberi peluang untuk mereka berdua.
“ Ada apa-apa yang awak nak cakapkan?” tanya Diya sebaik saja melabuhkan punggung di sebelah Shah.
“ Pertama sekali saya nak minta maaf sebab perkahwinan kita ni bukan seperti yang Diya harapkan. Dan apa yang berlaku pada kita hari adalah sesuatu yang di luar jangkaan tapi percayalah, saya akan cuba yang terbaik agar apa yang berlaku pada kita membuatkan kita lebih tabah menghadapi cabaran yang mendatang.
 Saya rasa ada seseorang yang tidak senang melihat orang lain bahagia tapi saya tak dapat nak pastikan siapakah orang itu. Saya percaya suatu hari nanti semua ini akan terbongkar!” Diya terdiam mendengar kata-kata Shah. Apa yang diungkapkan oleh Shah mengingatkan Diya pada kata-kata Jemy. Mereka di khianati. Tapi siapa?
“ Diya, sebentar lagi saya akan bertolak balik KL, jadi saya nak tanya….Diya nak ikut saya?” soal Shah. Dia mahu berbincang dengan Diya terlebih dahulu sebelum menyuarakannya pada orangtua Diya nanti.
“ Awak tak kesah benarkan saya tinggal di sini buat seketika. Atau setidak-tidaknya selepas majlis kawin kita, lagi pun soal perkahwinan kita ini belum di maklumkan pada orangtua awak. Saya takut mereka terkejut dan yang lebih teruk, mereka tak dapat terima saya!” memang itu yang dikhuatirkan oleh Diya. Bukan senang untuk Diya masuk dalam keluarga baru, apa lagi nak menyesuaikan diri. Kalau dapat mertua yang okay, tak apa…tapi kalau dapat yang bermasalah, alamat makan hatilah dia nanti. Apa lagi dengan cara mereka di satukan. Kawin kerana kena tangkap basah. Bolehkah keluarga Shah menerima dia seperti mana orangtuanya menerima Shah.
“ Saya faham.” Kata Shah yang telah beberapa kali cuba menghubungi mamanya untuk mengetahui tentang perkembangan papanya.
“ Erm…awak tak nak berehat sekejap ke sebelum bertolak balik?...” tanya Diya bila melihat mata Shah yang hampir layu. Penat barangkali menguruskan kerjanya. Apa lagi bila memikirkan kejadian yang berlaku hari ini.
“ Hm….” Jawab Shah ringkas.
“ Diya, kenapa tak masuk bilik lagi? biarlah Shah ni berehat.” tiba-tiba Pn. Hasmah muncul mengejutkan Diya dan Shah.
“ Awak masuklah berehat kat bilik saya, saya tidur kat bilik tamu.” Kata Diya.
“ Kenapa macam tu pulak, kamu berduakan dah jadi suami isteri!” Pn. Hasmah memandang hairan wajah pengantin baru itu.
“ Diya belum bersedia lagi ibu.” Balas Diya membuatkan Pn. Hasmah mengeluh perlahan.
“ Tak apalah ibu, biar Shah aje berehat sekejap di bilik tamu. Lagi pun kejap lagi Shah nak bertolak balik KL. Rasa tak sedap hati pulak selagi tak tengok keadaan papa,” Diya mengeluh lega mendengar kata-kata Shah. Dalam diam dia mengucapkan terima kasih.
“ Tak apalah kalau korang berdua pun belum bersedia, tapi jangan pulak  lepas ni Shah berjalan masuk bilik Diya, pura-pura mengingau!” Pn. Hasmah ketawa kecil. Sengaja nak menyakat Shah. Shah ketawa kecil. Kalau dia dan Diya dah lama kenal, tak mustahil malam ni dia merayap masuk ke bilik Diya tapi mereka baru aje kenal dan dia sendiri pun belum bersedia.
`Bateri nak habis pulak!` Shah memandang telefonnya.
“ Ibu, Shah rasa baik Shah bertolak sekarang aje, Shah rasa tak sedap hati.” Shah mengubah cadangan. Tadinya dia mahu berehat seketika sebelum bertolak tapi entah kenapa hatinya tiba-tiba resah dan tak sedap hati.
 “ Abang…” laung Pn. Hasmah memanggil suaminya.
“ Ada apa ni?” En. Jamaluddin yang masih mamai muncul di ruang tamu.
“ Shah ni dah nak balik KL sekarang,” beritahu Pn. Hasmah.
“ Tak boleh tunggu esok ke….ayah risau Shah balik malam-malam ni, Diya ikut sekali ke?” En. Jamaluddin mula risau.
“ Tak…Shah takut mama pula yang terkejut kalau dia lihat Shah tiba-tiba balik bawa perempuan di saat papa terlantar di hospital. Shah rasa elok Shah slow talk dengan mereka dulu. Lepas tu baru Shah bawa mereka jumpa ayah dan ibu untuk bincangkan hal kami,” kata Shah.
En. Jamaluddin dan Pn. Hasmah mengangguk perlahan. Mereka turut bersetuju dengan cadangan itu. Shah masuk ke bilik tamu seketika dan keluar semula dengan membawa begnya.
“ Diya, saya pergi dulu. Esok atau lusa saya akan balik semula ke sini,” kata Shah sambil melangkah ke muka pintu diikuti oleh Diya dan  orangtuanya.
“ Nanti sampaikan salam kami pada orangtua Shah ya, hati-hati memandu.” Pesan En. Jamaluddin.
“ Ops, saya hampir terlupa…nombor telefon awak untuk saya hubungi nanti!” kata Shah sambil mengeluarkan telefonnya untuk mencatat nombor telefon Diya.
“ Alamak…bateri dah habis, nanti saya change dalam kereta. Awak tulis aje atas kertas,  esok saya akan hubungi awak!” kata Shah membuat janji.
“ Kejap”
Diya muncul semula dengan membawa kertas kecil berlipat mengandungi nombor telefonnya. Betul juga kata Shah, takkanlah dia yang nak hubungi lelaki itu, timbul rasa malu dan segan. Sepatutnya lelaki yang mulakan, bukannya perempuan. Melainkan dia jadi perempuan yang tak malu.
“ Saya pergi dulu, Assalamualaikum!” kata Shah sebelum bertolak balik ke KL. Dia hanya diam memerhati kereta BMW itu berlalu pergi.
Diya masuk semula ke dalam biliknya. Punggungnya di labuh di katil sambil mengeluh perlahan. Diya mencapai tuala mandi. Badannya terasa melekit dan baju kurung yang melekat di tubuhnya juga sudah basah akibat berpeluh. Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam, dia perlu membasahkan tubuh agar dapat tidur dengan selesa.
Sebaik saja pintu bilik airnya di kuak, telefonnya mula berbunyi. Cepat-cepat Diya mendapatkan telefonnya. Mungkin Shah yang menghubunginya tapi ternyata sangkaannya meleset. Nama Aniq yang tertera di skrin. Sedaya mungkin dia cuba mententeramkan diri. Buat masa sekarang biarlah soal pernikahannya menjadi rahsia untuk Aniq. Pada abangnya juga dia berpesan. Sampai masanya dia akan berterus-terang dengan lelaki itu.


SHAHRUL memaksa dirinya agar bertenang walaupun matanya benar-benar mengantuk. Sudah beberapa kali dia hampir terbabas, nasib baik dia cepat tersedar dan terus beristighfar. Dalam masa yang sama otaknya ligat mengarang ayat yang bakal di persembahkan pada orangtuanya nanti. Bukan hanya pada orangtuanya sahaja, dia juga perlu berhadapan dengan Hanim Suraya. Dia benar-benar berharap kedua orangtuanya dan juga Hanim dapat menerima apa yang telah berlaku padanya. Dan yang penting, mereka dapat menerima Diya sebagai isterinya. Mungkin buat masa sekarang tiada rasa cinta untuk Diya tapi ada rasa indah dan bahagia bila pertama kali dia bertemu dengan gadis itu. Dia hairan, bagaimana begitu mudah dia membuat usul untuk memperisterikan Diya  petang tadi sedangkan sebelum ini dia belum bersedia memikul tanggungjawab atau pun mahu terikat dengan sebarang komitmen. Mungkin Diyakah jodoh untuknya, kalau tidak sudah lama dia menerima Hanim dalam hidupnya.
Shah menggosok-gosok matanya, Lagu yang di pasang membuatkan dia rasa tidak kesunyian. Kalau boleh dia mahu cepat sampai dan bertemu dengan orangtuanya. Shah menutup mulutnya yang tak henti-henti menguap sehinggakan menganggu tumpuan dia memandu. Kalau berhenti, pasti dia akan lambat sampai. Ah, redah aje!
Shah memandang ke hadapan. Tiba-tiba lampu kenderaan di hadapan mengganggu pandangan, terlalu silau menyebabkan tumpuannya terganggu dan tak lama kemudian bunyi satu dentuman yang cukup kuat. Shah terus memejam matanya. Apa yang berlaku sekarang sudah tiada dalam fikirannya.

10 comments:

  1. CIK WRITER...SACD BILA NAK DITERBITKAN????

    ReplyDelete
  2. InsyaAllah...SACD akan diterbitkan dekat hujung thn ni. akan di updatekan nanti. tq

    ReplyDelete
  3. ya ke lama juga kan tunggu.

    ReplyDelete
  4. lama nyeeee..fuhhhh..harap success..suke reen n amir..

    ReplyDelete
  5. Alamak, Shah accident la pulak. adakah nanti dia hilang ingatan? Hee..suspennya.. Btw,nak tanya cik penulis cerita ni novel panjang ke.. mini novel ke.. e-novel ke atau bakal keluar dalam versi cetak? Heehe saya suka cerita ni..

    ReplyDelete
  6. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  7. Baby mio n Sweety:
    pasal SACD tu akak pun tgh tunggu ianya di terbitkan. berdebar juga hati ni....

    !xOr@:
    utk SMPA? masih di awal bab penulisan, dlm proses menyiapkankannya.tgk pada keadaan dulu sama nak buat pendek @ pjg. akan diberitahu nanti. tq krn bertanya.

    ReplyDelete
  8. Oh,okey. Saya macam tertarik dengan DMPA ni.. rasa macam bakal jadi novel je kalau tengok pada jalan cerita. hehe. Semoga terus mendapat ilham utk berkarya. saya tunggu bab seterusnya ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. !xOr@
      trima kasih atas sokongan tu. rasa tambah semangat nak menulisnya kalau ada yg terus mberi sokongan.

      Delete
  9. Jalan cerita yang menarik. Bila nak update???

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...