Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Saturday, 6 April 2013

Diakah Mr. Perfect Aku 5




Bab 5

D
IYA mengatur langkah laju ke arah kaunter, setiap langkahnya penuh dengan debaran dan hatinya rancak bertanya, siapakah gerangan yang mahu bertemu dengannya? Amboi, suspen betullah! Langkahnya terhenti betul-betul di hadapan kaunter. Dari jauh tadi, Salmi dilihatnya tersenyum meleret sebaik sahaja melihat kelibat Diya. Sempat pula keningnya di naikkan ala-ala Ziana Zain.
“ Sal, mana tetamu yang nak jumpa aku tadi?” segera Diya bertanya, benar-benar tak sabar.
“ Hish….gelojohnya kau, tak sempat nak bagi salamke?” sindir Salmi membuatkan Diya termalu sendiri. Betul, nampak sangat yang dia gelojoh.
“ Assalamualaikum, …Maaf, boleh saya bertanya…siapakah gerangannya yang mahu bertemu dengan saya di sini, wahai cik Salmi,” ujar Diya dengan  muka selamba. Salmi yang mendengar tak mampu menahan tawa, terus melepaskan suaranya.
“ Kau ni….buat lawak betul,” kata Salmi sambil menekan perutnya.
“ Padanlah dengan muka kau!” tempelak Diya sambil menarik muka.
“ Yalah….tu ha, duduk kat sofa sana tu. Dari tadi asyik mengadap ipad dia.” Ujar Salmi sambil  memuncungkan mulutnya ke ruangan menunggu yang menempatkan satu set sofa.
Pandangan Diya segera terarah ke situ. Tak berkelip matanya memandang lelaki yang di katakan mahu bertemu dengannya. Bukan main khusyuk lagi mengadap ipadnya, macam tak hiraukan orang lain. Di sofa itu juga turut di duduki oleh 2 orang pengunjung asing, saling berbual.
“ Diya, kau kenalke lelaki tu?” tiba-tiba Salmi menyoal dan sekali gus mengejutkan Diya.
Diya terus mengatur langkah ke arah lelaki itu tanpa menjawab soalan Salmi.
“ Ehem…” Diya cuba menarik perhatian lelaki yang begitu asyik menyentuh ipadnya. Ternyata deheman Diya turut menarik perhatian pelancong itu. Diya sempat menghadiahkan senyuman buat pelancong itu.
“ Diya…” lelaki yang khusyuk dengan ipadnya tadi mendongak dan sekali gus mempamerkan senyuman. Dan dengan serentak itu juga, dia bangkit dari sofa.
“ Maaf, sebab buat abang menunggu.” Ujar Diya dengan rasa bersalah.
“ Tak mengapa…abang yang salah sebab tak hubungi Diya terlebih dulu. Ingatkan nak surprise untuk Diya. Diya sihat?”
“ Alhamdulillah, sihat.” Balas Diya.
Lelaki itu menyimpan ipadnya dalam  beg sandang yang ada di sisinya.
“ Bila sampai sini?” tanya Diya sambil meneliti penampilan lelaki itu. T`shirt putih bersama jaket kulit hitam dan seluar jeans, nampak begitu bergaya. Memang kena dengan orangnya.
“ Baru aje…abang dari airport, terus ke sini. Rindu nak jumpa Diya.” Ujar lelaki itu membuatkan Diya menunduk wajah. Malu. Kakinya menguis-nguis di atas lantai marmar.
“ Jom, kita ke café…temankan abang makan, laparlah!” lelaki itu mengusap-ngusap perutnya sambil buat muka comel. Memang comel pun.
“ Yalah…jom!” mereka segera berjalan beriringan untuk ke café. Salmi sudah pun mempamerkan senyuman semasa Diya dan lelaki itu melintasi kaunter.
“Abang dah bagi tahu alongke?” tanya Diya sambil melirik seketika ke wajah Aniq.
“ Dah, nanti dia datang kejap lagi kat café. Dia dah pelawa abang tidur kat rumah Diya,” beritahu Aniq dan terus berjalan beriringan dengan Diya.
“ Berapa hari kat sini?” soal Diya.
“ Esok baliklah….sebenarnya, abang ada kerja kat sini. Jadi…macam satu peluanglah untuk abang jumpa Diya!” Aniq mengukir senyum. Gembira dapat menatap wajah Diya.
Sebaik sahaja masuk ke café, mereka segera mendapatkan tempat. Sengaja Aniq memilih tempat yang agak terlindung dari pandangan pengunjung yang lain. Ada sedikit privasi.
“ Abang harap, abang tak ganggu kerja Diya,” Aniq rasa bersalah kerana merasakan kedatangannya tidak kena dengan masa. Pasti menganggu masa kerja Diya. Tapi perasaan rindunya pada gadis itu membuatkan dia tak dapat menahan diri.
“ Kejap lagi waktu kerja Diya akan habis, dan Diya terus balik rumah.” Beritahu Diya.
Aniq segera memesan makanan. Dia memilih nasi goreng USA sebagai mengalas perut yang sedari tadi asyik berkeroncong. Diya hanya memesan minuman, jus oren menjadi pilihannya.
“ Kenapa tak nak makan?...tak sudi makan dengan abang ya!” Aniq memandang wajah Diya.
“ Tak adalah. Diya masih lagi kenyang. Kalau makan sekarang, malam nanti tak lalu nak makan,” balas Diya.
“ Diya tak rindu abangke?” tiba-tiba Aniq bertanya, serta merta wajah Diya terasa panas.
“ Erm…” serba salah pula nak menjawab. Rindu?...adalah sikit-sikit. Tapi, takkanlah nak berterus-terang. Malu.
“ Ha…muka Diya dah merah. Betullah tu…” usik Aniq.
“ Betullah tu apa?” tanya Diya berpura-pura.
“ Betullah yang Diya pun rindukan abang,” balas Aniq sambil memandang wajah Diya. Terpaksalah Diya menundukkan wajah menyembunyikan perasaan. Aniq tergelak kecil. Dan kebetulan pula, satu bunyi yang baru muncul mengganggu perbualan mereka.
“ Kejap ya!” Diya mengambil telefonnya dari dalam poket bila ada bunyi mesej.
Diya tersenyum membaca mesej itu, segera mesej itu di balasnya.
“ Siapa yang mesej?...bukan main lebar lagi senyuman. Abang jelouse ni tau!” Aniq bersuara. Sungguh, hatinya tiba-tiba jadi tak keruan bila melihat senyuman Diya sebaik saja membaca mesej itu.
“ Kawan…” beritahu Diya sambil menyimpan semula telefonnya.
“ Kawan?....boyfriend ya!” wajah Aniq mula berubah. Dah tak ceria seperti tadi.
“ Tak adalah….kawan perempuan, bestfriend Diya. Kejap lagi dia datang sini.” Suara Diya.
Aniq diam. Sedikit senyuman terukir di bibirnya. Mungkin rasa lega. Dan kebetulan nasi goreng yang di pesan sampai bersama minuman.
“ Nak rasa, nampak sedap ni,” pelawa Aniq.
“ Tak naklah…Diya temankan aje sambil minum.” Aniq mencapai sudu dan garfu. Nasi goreng itu di sua ke arah Diya.
“ Tak naklah…abang makanlah.” Diya menolak. Takkanlah dia nak menerima. Malu kalau orang pandang dia makan bersuap. Dahlah sekarang ni dia pakai pakaian kerja hotel. Apa  agaknya akan jadi kalau ada yang melihat dia bersama Aniq ketika ini. Pasti kecoh. Mintak-mintaklah tak ada orang yang kenal dengannya, kecualilah Jemy yang akan datang kejap lagi.
“ Hmm…sedap. Rugi Diya tak nak makan!” Aniq nampak begitu selera menikmati nasi goreng itu.
Tidak lama kemudian, muncul Jemy. Dari jauh lagi sudah ada senyuman di bibirnya.
“ Hai, Diya…” kata Jemy.
“ Duduklah.” Pelawa Diya.
Jemy segera memandang lelaki yang ada bersama Diya. Dahinya berkerut.
“ Eh, bila masa muka along kau bertukar rupa ni?” Jemy merenung wajah Aniq. Diya yang melihatnya hampir tergelak. Si Jemy ni dah boleh lulus skrin test nak masuk rancangan lawak. Sementara Aniq pula nampak blur tapi laju aje dia mengunyah nasi goreng.
“ Kenapa?...nampak lainke?” soal Diya menahan gelak. Masih terngiang kata-kata Jemy seketika tadi. Apa agaknya reaksi abang Aminnya kalau dia dengar kata-kata Jemy tadi ya. Gembira atau marah ya!
“ Aha…kau ni biar betul. Dalam mesej kau cakap….kau bersama abang kau, berapa orang abang kau sebenarnya ni?”  Jemy nampak bingung.
“ Abang, kenalkan….inilah bestfriend Diya, Jemy. Tapi nama sebenar kalau nak ikut KPT adalah Jamilah binti Jali. Mak dan bapak dia panggil dia ni…Milah je,” kata Diya memperkenalkan kawannya pada Aniq.
So, saya kena panggil apa ni? Jemy, Jamilah or Milah?” tanya Aniq dengan lurus bendul. Tapi sebenarnya, sengaja nak menyekat kawan Diya ni. Muka Jemy dah bertukar merah. Pantas jelingan maut di hadiahkan buat Diya. Diya apa lagi, terus tayang sengih.
“ Panggil dia ni Jemy….kalau panggil Milah, tak menyahut pulak nanti!” Diya jadi tukang cakap. Aniq mengangguk perlahan, mulut yang berminyak itu di lap. Dan tangannya pantas mencapai minuman jus tembikai.
“ Ini…siapa ni?...abang kau atau….” Jemy melirik ke arah Aniq yang nampak santai menikmati minumannya. Sambil itu sempat dia bermain mata dengan Diya.
“ Abang akulah….kau ingat…along aje ke abang aku?” Diya sengaja nak bermain tarik tali.
“ Betulke ni….atau….abang `wanna be`!” usik Jemy sambil mengukir senyum, penuh makna.
Diya mula menelan liur. Segera matanya bulat memandang wajah Jemy yang sudah tersenyum.
“ Hm…abang suka dengan ungkapan tu…abang `wanna be`,” Aniq turut berkenan dengan usikan Jemy itu. Kalau betullah jadi, alangkah bahagianya.
“ Kenalkan…Inilah abang Aniq, kawan along aku dari KL. Kan kau juga yang nak kenal…itu sebabnya aku minta kau datang sini!” kata Diya.
“ O…kira jadilah ni,” kata Jemy sambil memandang wajah Diya dan Aniq silih berganti.
“ Kira jadi apa ni?” tanya Diya terpingga-pingga.
“ Aik, takkanlah buat-buat lupa pulak….lamaran abang Aniq kau nilah….tak lama lagi dapatlah aku makan nasi minyak!” Jemy menaikkan keningnya beberapa kali.
“ Jemy!...mulut kau tu kan…”  Diya  terpekik. Terkejut mendengar kata-kata Jemy. Sedikit pun dia tak menyangka yang temannya ini boleh keluar ayat begitu. Malunya!
“ Alah….terima ajelah lamaran abang Aniq ni….kalau aku, tak payah nak fikir panjang lagi. Dah ada depan mata, cukup package….handsome, ada kerjaya, kaya, caring and loving….dan beriman kot.” Promote Jemy.
 “ Abang Aniq ni dah khatam Quran ke belum?...” Jemy mula buat sesi temuduga.
“ Khatam Quran tau….bukannya khatan….yang dot…dot…tu ya…”  Jemy menyembunyikan senyum nakalnya.
Bulat mata Diya mendengar ayat Jemy yang lepas laku. Tak segan silu bertanya, malah muka dia selamba badak je sewaktu bertanya pada Aniq yang hampir-hampir tersedak. Terkejut dan mungkin tak menyangka di soal begitu oleh Jemy.
Aniq tergelak kecil mendengar kata-kata Jemy. Timbul juga rasa malunya dengan kata-kata itu….ada ke dia boleh cakap pasal berkhatan `angry bird` tu…hish….memang tak senonoh betul teman Diya ni! Boleh pula dia tanya soalan sensasi begitu. Kalau orang lain dengar, buat malu aje.
“ Abang Aniq dah lama khatam Quran. Sejak sekolah rendah lagi.  Banyak kali dah khatam. …abang ni nak kata alim sangat tu tak adalah…tapi solat tak tinggal tau!” kata Aniq.
Amboi, empunya diri turut promote. Jadi, Diya nak kata apa lagi! Betullah kot, nampak muka macam baik dan beriman aje, mungkin dia boleh jadi seorang pembimbing dan pelindung yang baik untuk seorang isteri. InsyaAllah!
“ Ha…apa lagi, terima ajelah. Lagi pun betul kata kau…abang Aniq ni lebih kacak dari si Leman aku tu. Untung ya, jadi anak kacukan ni…” Kata Jemy. Serta merta wajah Leman terbayang di matanya. Walaupun Leman tak adalah kacak mana kalau nak dibandingkan dengan Aniq ni, memang betullah kata Diya… macam langit dan bumi. Tapi Leman punya keistimewaannya yang tersendiri. Leman baik dan seorang yang perihatin.
“ Tak adalah…semua manusia sama saja. Kita patut bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah pada kita. Kalau kita tak bersyukur, itu maknanya kita melawan kehendak Allah. Kalau kita bangga diri dengan apa yang diberikan oleh Allah, itu namanya riak. Riakkan sifat syaitan.” Ujar Aniq.
Diya dan Jemy saling berpandangan. Sebenarnya terkedu mendengar kata-kata Aniq. Tak sangka, Aniq seorang yang baik dan tahu menghargainya. Bertuahlah pada sesiapa yang akan hidup di samping lelaki ini. Mereka terus berborak mengenai kerja Diya dan Jemy. Aniq seorang pendengar yang baik dan tahu menghargai hak orang lain.
Mereka bertiga keluar dari café itu dan menuju ke lobi. Baru sebentar tadi Amin menghubungi Aniq yang dia akan sampai sebentar lagi.
“ Diya!”
Diya menoleh bila namanya di panggil.
“ En. Safwan,” Diya memandang wajah Jemy yang turut terkejut. Tak sangka yang mereka akan bertemu dengan lelaki itu di sini. Agaknya lelaki itu sedang mengekori Diya.
“ Ada apa En. Safwan?” tanya Diya sebaik sahaja lelaki itu berada di hadapannya.
Safwan tidak segera menjawab, sebaliknya mata lelaki itu lebih tertumpu pada wajah Aniq.
`Siapa lelaki ini agaknya, bukan main mesra lagi aku tengok dari tadi!` bisik Safwan.
“ Siapa ni?” tanya Safwan.
“ Er…” Diya serba salah untuk menjawab.
“ Ini bakal tunang Diya, En. Safwan. Tak lama lagi mereka akan bertunang. Kenapa En. Safwan?” Jemy mencelah.  Harapnya lepas ni dia tak akan mengganggu Diya lagi. Biarlah dia tahu bahawa pilihan Diya lebih baik dan lebih hebat darinya.
Safwan terkesima. Matanya terpaku menatap wajah Diya. Cuba mencari kebenaran di balik kata-kata yang baru diutarakan oleh Jemy sebentar tadi. Kalau boleh, dia mahu mendengar suara Diya menafikannya. Tapi nampaknya hampa. Diya hanya diam. Jadi, betullah bahawa selama ini Diya sudah ada pilihan. Itu sebabnya dia di tolak.
Safwan memandang Aniq dari atas ke bawah. Lelaki ini nampak sepadan dengan Diya. Dia akui bahawa lelaki ini kacak dan nampak hebat. Dia cukup yakin yang dia pasti kalah dalam merebut hati Diya.
`Ah, aku tak akan biarkan mereka bersama. Diya akan jadi milik aku dan akan terus jadi milik aku  buat selamanya!` entah syaitan mana yang tiba-tiba merasuk fikiran Safwan.  Aniq yang berada di sisi Diya itu di pandang seakan musuh.
“ Diya, siapa ni?” tanya Aniq. Dia rasa tak selesa melihat renungan lelaki itu pada dia dan juga pada Diya.  Semacam ada dendam dan rasa tak puas hati. Dia mula rasa tak selesa dengan situasi sekarang ini.
“ En. Safwan ni supervisor kat hotel ni!” beritahu Diya. Aniq mengangguk perlahan dan menghadiahkan senyuman tapi sayang, senyumannya tidak berbalas. Tangan yang di hulurkan juga tidak bersambut. Safwan terus berlalu pergi dengan hati yang panas.
“ Lain macam aje supervisor korang tu,” kata Aniq sambil matanya terus memandang langkah Safwan yang makin jauh.
“ Dia tu dah lama admirer dekat Diya ni…tapi Diya yang tak layan. Itu yang `hangit` semacam aje, tambahan pula bila dia tengok abang Aniq bersama Diya. Makin anginlah dia!” kata Jemy membuka lebaran. Diya menelan liur.
“ Ya ke?...nampaknya abang memang ada saingan!” Aniq tergelak kecil.
“ Jangan bimbanglah…abang Aniq akan menang tanpa bertanding, Jemy berani jamin…100%,” Jemy terus memberi sokongan yang tidak berbelah bagi.
“ Jemy, mulut kau tu…tak boleh diam ke?” marah Diya. Sebenarnya dia segan bila isu itu terus di bicarakan.
“ Dah betul…tak bolehlah nak nafikan, betul tak abang Aniq?” kata Jemy sambil menayang senyum pada Aniq.
Si Jemy ni memang nak kena pelangkung. Tak habis-habis lagi nak berkempen. Bukannya nak masuk pilihanraya. Aniq apa lagi, terus meleret senyumnya bila dah ada penyokong tegar yang tak bergaji ni.
 Tak lama kemudian, Amin muncul di situ.
“ Diya nak balik dengan alongke?” tanya Amin.
“ Taklah…Diya kan balik dengan motor. Kejap lagi Diya baliklah.” Kata Diya.
“ Yalah…hati-hati bawa motor tu…jangan merempit pulak,” Amin memandang Diya. Bukan dia tak tahu perangai Diya. Suka bawa motor laju, kadang-kadang dia pun naik risau bila sesekali jadi pembonceng Diya kalau kerana darurat. Rasa tebal mukanya menahan malu kerana terpaksa memeluk erat pinggang Diya bila sesekali Diya memecut laju.  Bukannya dia tak tahu yang Diya  sengaja nak mengenakannya. Yang dia pula memang tak berani dan fobia nak  bawa motor sendiri, hanya sekadar menjadi pembonceng sejak dia terlibat dalam kemalangan beberapa tahun dulu.
“ Diya tahulah…along tu penakut sangat mengalahkan perempuan.” Usik Diya membuatkan Amin mengeleng kepala.
“ Along balik dulu, kesian kat si Aniq ni…penat!” kata Amin mula mengubah tajuk. Malu kalau ada orang dengar yang dia fobia bawa motor. Muka punyalah macho, badan pula gagah perkasa tapi takut nak bawa motor. Kelakarkan….kah….kah….kah….
“ Tak adalah penat mana pun, bukannya aku drive…aku datang sini dengan flight, lebih kurang 45 minit aje pun!” kata Aniq.
“ Yalah…orang dah lepas jumpa buah hati…pasti rasa segar dan ceria, betul tak?” usik Amin.
Aniq tersenyum. Segan mendengar usikan itu, sempat pula matanya melirik ke arah Diya, mencari reaksi. Diya berpura-pura memandang ke arah lain, mungkin cuba menyembunyikan rasa hatinya. Biarlah. Tapi yang pasti, selepas ni dia akan menatap  wajah Diya lagi. Seronoknya!


SAFWAN mendengus kasar. Tubuhnya di hempas kasar ke atas kerusi rotan yang berlapik dengan kusyen yang agak lusuh. Matanya di pejam seketika sambil kakinya di lunjurkan menghala ke kaca tv yang sedia terpasang.
“ Apa kena dengan kau ni Wan?....macam orang kalah judi aje,” tegur Badrul, teman serumahnya.
“ Bukan pasal kalah judi…tapi kalah merebut hati!” balas Safwan sambil mengeluh kesal. Di matanya masih terbayang wajah Diya bersama lelaki kacak yang diperkenalkan sebagai bakal tunangnya. Betulke lelaki itu akan jadi tunang Diya?...entah-entah sengaja Jemy nak promote lelaki itu. Muka Diya pun nampak biasa saja, …tapi….mereka nampak sepadan. Safwan meraup mukanya beberapa kali.
`Ah, aku tak akan benarkan lelaki itu memiliki Diya….Diya sepatutnya jadi milik aku` sekali lagi bisikan itu bergema dalam kotak fikirannya.
“ Ini mesti pasal si Diya lagikan, kali ini pasal apa pulak?...masih menolak cinta kau!” Badrul memandang wajah Safwan. Bukan dia tak tahu yang Safwan tu minat gila kat Diya dan yang paling sadis, kenapa Safwan tak boleh terima bahawa cintanya telah di tolak mentah-mentah. Kalau dia ketawa dengan situasi yang di hadapi oleh Safwan sekarang, pasti dia  akan menerima padah. Maklumlah…bila hati dah panas, manusia akan sanggup buat apa saja. Dia  pernah nampak gadis yang bernama Diya tu beberapa kali, sekali gus merangkap cinta hati Safwan yang belum jadi. Memang cantik dan lawa orangnya, dia pun berkenan tapi setakat itu sahaja,  tak adalah sampai nak jatuh hati macam si Safwan ni.
“ Tadi aku jumpa dia dengan seorang mamat ni…kata Jemy, itu bakal tunang dia. Tapi…aku tak percayalah sebab tak ada nampak gaya yang dia orang tu couple….” Sela Safwan menyatakan apa yang di pandangnya tadi.
“ Mamat?...handsome tak mamat tu?....mana handsome dengan kau…” Badrul mula tunjuk minat.
“ Bolehlah tahan…” beritahu Safwan. Takkanlah dia nak mengaku bahawa lelaki yang bersama Diya tadi amat kacak, pasti jatuhlah saham dia sebagai lelaki rebutan di hotel.
“ Habis tu…” kata Badrul memandang wajah Safwan. Macam menarik aje cerita ini.
“ Aku bengang betullah…susah payah aku cuba usha si Diya tu dekat 3 bulan…alih-alih ada lelaki lain yang muncul. Si Diya pula, macam nak tayang lelaki tu kat aku, mana aku tak angin satu badan!” Safwan mengetap bibir. Kotak rokok milik Badrul yang berada di atas mejadi capai, di buka dan dikeluarkan sebatang rokok sebelum meletakkan semula di atas meja. Lighter yang ada di sebelah kotak rokok tadi di ambil dan dinyalakan. Beberapa saat kemudian, asap rokok mula berkepul.
“ Kau kena terima hakikat yang si Diya tu tak akan jadi milik kau….si Zanita tu, dah lama tunggu kau. Perempuan tu pun bukan main cantik dan seksi,” kata Badrul.
“ Yang jadi masalahnya, aku tak minat kat perempuan tu….kalau aku minat kat dia, dah lama aku terima dia…masalahnya dia yang tak nak faham,” Safwan mendengus.  Rokok yang ada di tangannya di  sedut lagi.
“ Wan, kau sedar tak…apa yang kau cakap tu sebenarnya terkena kat batang hidung kau sendiri. Si Diya tu memang dah terang-terangan tak sukakan kau tapi kau tetap nak miliki dia. Kau dengan si Zanita tu sama saja…jadi, aku kira kau orang berdua, memang sepadanlah untuk hidup bersama….” Badrul tergelak kecil.
Safwan menjeling tajam ke arah Badrul. Geram dengan kenyataan itu walaupun ianya benar. Rasa berat untuk terima kenyataan bahawa Diya sudah ada yang lain. Dia perlu berjuang. Selagi Diya belum sah menjadi isteri lelaki itu, dia akan tetap ada peluang. Tapi bagaimana caranya? Safwan menggaru-garu kepala.
“ Tak payah nak bebankan otak kau berfikir benda yang tak akan jadi kenyataan. Nanti tak pasal-pasal mereng pulak otak kau…silap hari bulan kau jadi warga penduduk kat Tanjung Rambutan…siapa yang nak tanggung mak ayah kat kampung kau tu nanti!...lagi pun, kau patut terima orang yang cintai kau…bukannya kau cintai dia. Aku tak nak kau menyesal,” nasihat Badrul sebelum berlalu ke bilik air. Sejak dari tadi dia menahan diri dari nak buang air. Lagi pun dia belum menunaikan solat Maghrib yang nak hampir luput tempoh masanya.
“ Aik Wan, kau tak nak solatke?....takkanlah kau uzur kot,” Badrul menghentikan langkah seketika bila melihat Safwan masih santai di ruang rehat itu.
“ Yalah….kalau ya pun, …kau masuklah dulu kata dalam bilik air tu…takkanlah kau nak mandi bersama dengan aku pulak, gelilah…” balas Safwan.
Badrul sudah tergelak sambil mengeleng kepala.` Betul jugak tu, takkanlah aku nak mandi bersama Safwan…hish…tak nak aku!` Badrul terus menghayun langkah ke bilik air selepas mencapai tuala yang tersidai di dalam biliknya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...