Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Saturday, 19 January 2013

Jauh di sudut hati 2





Bab 2

J
ULIANA masih lagi termenung di atas katil. Wajahnya jelas kelihatan muram dan resah. Sudah semalaman dia menangis dan berendam air mata. Dia benar-benar tidak menyangka bahawa hasratnya yang menggunung tinggi itu musnah gara-gara kejadian yang berlaku malam tadi. Apa yang akan di fikirkan oleh mak nanti kalau apa yang berlaku padanya diketahui oleh mak. Pasti hati tuanya benar-benar kecewa dan malu. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu hati emaknya terluka. Selama ini, mak dah banyak berkorban untuknya dan adik-adik. Sejak 10 tahun yang lalu, mak telah bekerja keras untuk menyara dia, Azri dan Wajdi selepas kematian ayah kerana penyakit kencing manis.
“ Liana, boleh aku masuk?”
Tersembul wajah Ida Maria di muka pintu. Tanpa menunggu jawapan, dia terus menapak dan menghampiri Liana yang masih berteleku di atas katil bujangnya. Segaris senyuman dihadiahkan buat Juliana.
“ Liana, kau masih fikirkan tentang kejadian malam tadi?” soal Ida sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas katil.
“ Ida, aku …aku tak tahu apa yang patut aku fikirkan sekarang. Seumur hidup aku, aku tak pernah menginginkan kejadian ini berlaku dalam hidup aku…malah minta dijauhkan tapi….” Juliana bersuara sambil cuba menahan sebak di dada.
“ Begitu juga dengan abang aku. Dia benar-benar kesal dengan apa yang telah berlaku. Dan dia rasa benar-benar bersalah kerana melibatkan kau. Tapi percayalah…pasti ada hikmah disebalik semua ini. Tak ada orang yang minta kejadian ini berlaku dalam hidupnya dan kejadian ini bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Jadi, aku faham perasaan kau!” pujuk Ida sambil mengusap lembut bahu Liana dengan harapan temannya itu dapat bertenang.
“ Tapi Ida, aku bengang sangat sekarang. Kau pun tahukan yang aku datang sini sebab aku nak hadir temuduga…aku dah boleh bayangkan perasaan mak aku kalau dia tahu perkara ni. Aku tak mahu dia rasa kesal, sedih dan malu dengan apa yang berlaku. Aku benar-benar harap aku akan berjaya  mendapat pekerjaan, seterusnya membantu mak aku….dah lama kami hidup dengan serba kekurangan!” Liana menyapu air mata yang makin laju mengalir keluar.
“ InsyaAllah…kau pasti akan dapat pekerjaan tu dan  kau mesti yakin. Buat sementara waktu ni, kau cuba lupakan dulu kejadian malam tadi…tumpukan perhatian kau pada interview yang akan kau hadiri nanti. Kalau kau dah siap, aku tolong hantarkan kau!” Ida turut simpati dengan apa yang telah berlaku.
“ Tak menyusahkan kau ke?” Juliana memandang wajah temannya. Serba-salah pula kerana turut melibatkan teman baiknya itu.
“ Ya. Kau ni memang menyusahkan aku sejak dari dulu lagi….” jawapan yang diberikan oleh Ida membuatkan Juliana benar-benar tersentak. Serta-merta wajahnya tertunduk. Seboleh-bolehnya dia cuba menahan sebak di dada. Sayunya hati hanya Allah yang tahu.
“…Liana sayang…aku cuma gurau ajelah….takkanlah pasal tu pun aku nak berkira dengan kau…kau pun fikir aku macam tu ke selama kau kenal aku!”
Ida segera memeluk bahu Liana sambil tergelak kecil kerana merasakan Juliana ambil peduli usikannya tadi. Simpatinya begitu tinggi terhadap Juliana bila mengenangkan apa yang telah berlaku.
“ Tapi betullah kata kau tu…sejak kita kawan, aku banyak menyusahkan kau. Malah kini…aku turut melibatkan abang kau!”
 Liana menyapu air mata yang mula bergenang di kelopak matanya dengan tangan.
“ Liana…listen…kejadian malam tadi bukan kehendak kau atau pun abang aku…apa yang berlaku malam tadi adalah takdir!”
Ida memujuk agar Liana tidak terus menyalahkan dirinya dengan apa yang telah berlaku.
“ Dahlah..tak payah nangis lagi…nanti mata kau tu bengkak….susah pula kau nak jawab dengan penemuduga tu nanti!... kau bersiap ya, nanti terlewat. Aku tunggu kau kat bawah. Jangan lupa bawa semua benda –benda yang penting untuk interview nanti ya!”
Ida meninggalkan Liana yang masih termanggu di katil.  Gusar betul hatinya memikirkan peluang untuk mendapatkan pekerjaan. Masuk hari ini dah kira 6 kali dia dipanggil untuk ditemuduga tapi setakat ini tak satu pun yang melekat. Setahun sudah berlalu sejak dia berjaya menggulung ijazah dalam bidang perakauan.
Juliana mengeluh seketika sebelum kembali mengingatkan ada tugas yang perlu dilaksanakan selepas ini. Dia segera turun dari katil. Dia perlu menyiapkan apa yang patut.
Setelah memastkan semua benda yang patut di bawa telah sedia, dia mengunci pintu rumah. Ketika itu Ida  sudah pun berada di dalam kereta menunggu enjin kereta perodua myvinya panas sebelum memulakan perjalanan.
“ Dah ready?” soal Ida sebaik saja Liana masuk ke dalam kereta.
Liana sekadar mengangguk perlahan dan menghadiahkan senyuman sedangkan hatinya sudah berdebar. Macamlah tak pernah menghadiri temuduga sebelum ini.
“ Aku yakin kau akan dapat peluang tu…banyakkan berdoa ya!” kata Ida sebelum menukar gear.
“ Terima kasih…harap-harap masinlah mulut kau hari ini!” Liana tergelak kecil, sengaja mahu menutup debaran.
Ida nampak begitu tenang memandu kereta kesayangannya. Sesekali Liana menoleh ke arah temannya itu. Hatinya ingin bertanya tentang lelaki yang dikenali dengan nama Zulkifli yang merangkap abang kandung kepada Ida Maria. Tapi mulutnya berat untuk bertanya.
“ Liana, tadi abang aku call….” Ida berhenti bersuara seketika bila melihat Liana tersentak, terkejut. Entah apalah yang di fikirkan oleh Liana saat ini.
“ A…abang kau call…ke…kenapa?” tergagap-gagap Liana bertanya membuatkan Ida tergelak seketika.
“ Apasal kau tergagap tiba-tiba ni?....”
“ A…aku…er….kau rasa abang kau tu marahkan aku ke pasal kes malam tadi?” Liana merenung wajah Ida yang kembali memberi tumpuan ke hadapan.
“ Tak…dia tak marahkan kau… sebaliknya dia kesal sebab membabitkan kau… dia rasa bersalah sangat sebab datang ke rumah kita malam tadi….dia pun tak tahu perkara tu boleh berlaku!” kata Ida perlahan.
Liana terdiam.
“ Entahlah…sukar nak percaya apa yang berlaku malam tadi…aku bingung bila memikirkannya. Masa tu aku baru aje keluar bilik nak mandi dan ternampak seorang lelaki kat ruang tamu…punyalah terkejut aku. Tapi aku sempat juga bertanya siapa dia…belum pun sempat dia menjawab,….tiba-tiba pintu rumah di ketuk…Macam mana pihak jabatan agama boleh datang buat rondaan kat kawasan  rumah kita masa tu sedangkan selama ini tak ada kejadian yang tidak diingini berlaku.  Lagi pun kawasan rumah kita tu kebanyakannya rumah yang berkeluarga, hanya beberapa rumah aje yang penyewanya masih bujang tapi tak ada dengar pulak mereka buat perangai tak senonoh!” sesungguhnya Liana pening memikirkan apa yang terjadi padanya.
Ida mendengus perlahan. Wajahnya turut muram. Tangan kirinya menyentuh seketika tangan Liana, cuba memberi semangat dan sokongan.
“ Mungkin ada hikmahnya di sebalik apa yang berlaku. Agaknya jodoh kau tu memang telah ditetapkan dengan abang aku kot!” Ida tergelak seketika membuatkan Liana menarik muka masam. Kurang senang mendengar gurauan temannya.
“ Ah! mengarutlah…lagi pun antara aku dan abang kau tu jauh bezanya….macam langit dan bumi!” Liana bersuara.
“ Liana, tadi abang Zul call aku…dia nak jumpa kau. Dia akan datang jemput  kau petang nanti. Kau pun tahukan yang aku memang dah lama nak kenalkan kau dengan abang aku tu tapi kau yang asyik menolak…alih-alih hujan tak, ribut pun tak…korang berdua kena tangkap basah!” Ida merenung wajah Liana yang mula dilanda resah.
“ Er…abang kau nak jumpa aku?...petang ni?...nak buat apa?” Liana makin kelam kabut. Sememangnya dia belum bersedia untuk bersemuka dengan abang Ida.
“ Mungkin dia nak bincang pasal apa yang telah terjadi malam tadi…abang Zul aku tu baik orangnya…kau jangan risau. Hmm…apa pendapat kau sebenarnya pada abang aku?...kau rasa dia tu handsome tak?” Ida tersengih menayang giginya.
No komen!”
Liana mengangkat bahu. Dia tidak bersedia untuk memberi sebarang komen, apa lagi untuk bersemuka.
“ Kalau kau nak tahu, dah hampir 7 tahun abang Zul tu menduda selepas kematian kakak ipar aku!”
Terlopong mulut Liana mendengarnya. Betulkah? Perlahan-lahan dia menelan liur.
“ 7 tahun abang kau menduda?...takkanlah dia tak pernah cari pengganti…tak sangka ada juga yang sanggup menunggu sampai begitu lama!” timbul perasaan kagum di hati Liana mendengarnya. Tak sangka begitu setia abang Ida terhadap arwah isterinya.
“ Kekadang aku pun tak faham perangai abang Zul…dia tu agak pendiam sikit terutama dengan orang yang dia tak kenal tapi  hubungan aku dan dia memang rapat! Walaupun dia tu jenis yang agak pendiam tapi dia seorang yang romantic. Aku yakin kau akan bahagia hidup di samping dia…percayalah cakap aku!”
“ Kau ni kan…bercakap tu…macam confident sangat. Sebenarnya,…aku tak nak fikirkan pasal kawin lagi, buat masa sekarang aku hanya mahu dapatkan pekerjaan untuk membantu keluarga aku… aku harap abang kau dapat selesai masalah semalam dengan secepat mungkin…aku yakin, dia juga tak bersedia untuk mengubah statusnya dalam masa yang terdekat ini kan!”
Liana benar-benar berharap abang Ida Maria akan membuat keputusan yang bijak untuk menyelesaikan masalah mereka. Buat masa sekarang dia mahu menumpukan perhatian untuk membantu keluarganya sebelum memikirkan soal dirinya.
“ Tapi  Liana, kalau Tuhan dah tetapkan jodoh kau dengan abang Zul…kau tak akan dapat menolaknya. Aku gembira kalau kau bertemu jodoh dengan abang Zul dan menjadi kakak ipar aku!” kata Ida.
“ Aku belum bersedia dan buat masa sekarang aku tak nak fikirkan pasal tu!” Liana cuba menyangkal.
“ Apa-apa pun aku mendoakan yang terbaik untuk kau…” kata Ida dan sekali gus memberhentikan keretanya.
Thanks…doakan semoga aku berjaya ya!” ucap Liana.
“ Ya….good luck!” ucap Ida sebelum berlalu.

************

LIANA hanya diam membisu sejak dari tadi. Lelaki yang berada di hadapannya begitu tenang meneliti setiap menu yang tertera pada buku yang dipegangnya tanpa menghiraukan debaran yang sedang melanda hati Juliana saat ini. Sesekali sempat juga Liana membelek wajah lelaki di hadapannya. Segak dan kemas orangnya. Wajahnya yang ditumbuhi jambang dan misai itu di jaga dengan rapi membuatkan penampilannya nampak begitu bergaya.
Well….apakah nama yang patut saya panggilkan untuk saudari?” tanya lelaki itu setelah selesai membaca menu yang tertera di hadapannya.
“ Er….panggil aje Liana!” tergagap-gagap Liana bersuara. Mungkin disebabkan dia terkejut di sergah tiba-tiba. Sangkanya lelaki di hadapannya masih tidak mempedulikan dia yang sedari tadi hanya sebagai patung cendana.
“ Hmm…Liana. Cantik nama tu…padan dengan orangnya!” pujian dari lelaki itu membuatkan Liana tertunduk malu.
“ Liana boleh panggil saya abang…atau pun abang Zul. Nama penuh abang…Iskandar Zulkarnain. Liana…nama penuhnya?...malam tadikan kita tak sempat nak berkenalan secara rasmi…terus kena cekup!” Zulkarnain ketawa kecil mengenangkan apa yang berlaku pada mereka malam tadi. Cukup mengaibkan.
“ Nama penuh saya…Juliana binti Mohd Shukri!” beritahu Liana.
“ Ok. Sekarang kita dah saling kenal dan tahu nama masing-masing. Jadi, Liana tak perlu segan dengan abang lagi…. Liana nak makan apa?” Zul mamandang wajah Liana yang kelihatannya masih kekok berhadapan dengannya.
Liana hanya mengeleng kepala.
“ Minum?”
“ Fresh orange!” beritahu Liana.
Zul mengeluh perlahan. Kecewa dengan penolakan Liana. Beria-ria dia meneliti setiap menu yang tertera tadi…tapi alih-alih Liana hanya memesan minuman sedangkan dia sudah kelaparan. Akhirnya dia hanya memesan minuman juga.
“ Macam mana dengan interview tadi?” tanya Zul bila melihat Liana hanya mendiamkan diri.
“ Macam biasa. Dah banyak kali dapat interview, tapi tak satu pun yang melekat…mungkin belum ada rezeki lagi!” Liana mengeluh perlahan. Kecewa dengan nasib yang sedang di hadapinya. Kerja tak dapat tapi sebaliknya musibah yang diterima.
“ Selepas tamat belajar…Liana buat apa?” tanya Zul sengaja menarik perhatian Liana untuk terus berbual dengannya.
“ Macam-macam. Kerja kat pasar raya, kerja kilang  dan juga jadi guru tuisyen. Entahlah…susah nak dapat kerja tetap sekarang walaupun dah ada degree. Apa lagi orang kampung macam Liana. Persaingan sekarang cukup sengit. Kesian mak kat kampung…dia benar-benar harap Liana dapat membantunya tapi…tambahan pula apa yang berlaku pada Liana malam tadi, pasti buat mak betul-betul kecewa!” Liana tunduk menahan sebak.
“ Itulah sebabnya abang nak jumpa dengan Liana. Abang nak bincangkan pasal kejadian yang menimpa kita malam tadi!” Zul bersuara membuatkan mata Liana terus terpaku menatap wajah lelaki itu. Dia menelan liur. Takut untuk mendengar apa yang bakal  diutarakan nanti.
“ Maksud abang?” tanya Liana dengan penuh debaran.
“ Abang mahu mengambil Liana sebagai isteri!” bulat mata Liana mendengar ungkapan yang baru keluar dari mulut Zul.
“ Apa yang abang cakap ni?” hampir terangkat punggung Liana mendengarnya. Sangkanya , lelaki itu akan menyelesaikannya dengan cara yang lain. Tak pernah terlintas di fikirannya yang lelaki itu akan mengambil keputusan begini.
“ Abang ikhlas nak kahwin dengan Liana. Abang dah bagi tahu hal ini pada orangtua abang dan mereka akan jumpa kita malam nanti!” kata Zul.
Wait a minute,…kita?...kawin?” kata-kata Zul membuat dada Liana sesak. Dia belum dapat merencanakan maksud di balik kata-kata itu. Sungguh, sukar untuk dia mempercayai dan menerimanya.
“ Ya!...itu adalah jalan yang terbaik untuk kita” Zul segera mengiyakan kata-kata itu. Liana menggaru-garu dahi yang tidak gatal. Dia mula rasa tak senang duduk. Rasa mencucuk-cucuk di punggungnya.
“ Kenapa?...Liana dah bertunang atau dah ada kekasih?” tanya Zul yang kehairanan melihat gelagat Liana yang nampaknya seperrti kucing kehilangan anak.
“ Tak. Saya tak bertunang dan tak ada kekasih…..tapi perluke kita kawin sebab kena tangkap basah?” Liana melahirkan rasa tak selesa.
“ Hm….entahlah….tapi kebiasaannya itulah yang dilakukan oleh pasangan yang terkena bagi menyelesaikan masalah….kecualilah yang kena tangkap itu sudah punya  pasangan masing-masing. Tapi dalam kita….abang boleh bantu Liana dan keluarga Liana!” Zul bersuara.
“ Bantu saya dan keluarga…maksud abang Zul?” berkerut dahi Liana cuba memahami maksud lelaki itu.
“ Abang akan cuba bantu keluarga Liana dengan bantuan wang ringgit mungkin…abang pun bukanlah kaya sangat tapi setakat nak bantu keluarga Liana di kampung tu…abang rasa abang berkemampuan!”
“ Dengan mengikat hubungan kita dengan sebuah perkahwinan?” ujar Liana sambil merenung jauh ke mata Zul.
Zul mengeluh panjang. Buat masa sekarang, inilah satu-satunya cara untuk dia menyelesaikan masalah yang di hadapi oleh mereka. Dia tahu tentang kesudahan hidup keluarga Liana kerana Aida sudah menceritakannya. Setidak-tidaknya dia dapat membantu meringankan bebanan gadis itu.
“ Liana, Liana fikirkanlah ya….mungkin juga Allah dah tetapkan,  ini adalah jalan untuk kita mendapatkan jodoh!” kata Zul sambil menarik nafas.
Liana terdiam. Dia turut mengakui kata-kata itu. Kalau inilah ketentuan untuknya, siapalah dia untuk menidakkannya. Dan kalau lelaki di hadapannya ini adalah jodoh yang di tentukan untuknya, dia harus terima tapi mampukah dia…..!


KUNJUNGAN orangtua Zul di sambut oleh Azli. Mereka di persilakan masuk ke dalam rumah kayu bercat kuning lembut milik Pn. Zaleha. Sebelum kedatangan pasangan itu ke teratak milik Pn. Zaleha, dia terlebih dahulu di beritahu oleh Juliana. Anaknya itu sudah pun memberitahu segalanya. Mengucap panjang dia ketika mendapat berita itu. Sungguh dia tidak menyangka ini yang terpaksa di hadapi oleh anak perempuannya.
“ Kak Bedah ada datang jumpa mak mengatakan Liana ada buat perkara tak elok. Anaknya si Ani yang kerja kat Kuala Lumpur tu yang bagi tahu dia. Si Ani tu kan menyewa dekat rumah Liana” Pn. Zaleha segera menyatakan apa yang diberitahu oleh jirannya.
Liana diam seketika sebaik sahaja mendengar kata-kata maknya. Dia bertenang seketika sebelum memberitahu perkara yang sebenar. Sejak dari dulu lagi, si Ani tu memang dengkikan Liana kerana Liana lebih darinya, dari segi rupa dan juga pelajaran menyebabkan ramai pemuda terpikat padanya. Dan kini, si Ani boleh berbangga kerana penampilannya juga mampu memikat mana-mana lelaki yang memandang. Tapi Liana tak kesah, lantaklah si Ani nak buat apa, janji jangan kacau hidupnya. Dia tak hairan pun dengan gelagat si Ani yang berlagak tu, kerja setakat kerani cabut aje. Liana segera beristighfar.
“ Mak, biarlah apa orang nak kata asalkan kita tak buat benda yang Allah larang!” Liana mengeluh perlahan.
“ Tapi kes Liana kena tangkap basah tu kan betul…” tegas Pn. Zaleha.
“ Er….” Liana kehilangan kata.
“ Jadi…apa kesudahannya?” tanya Pn. Zaleha.
“ Macam ni mak,.. orangtua abang Zul tu akan datang rumah kita untuk bincangkan hal Liana dan abang Zul…Liana serahkan segala keputusan pada mak. Liana tahu mak akan buat keputusan yang terbaik untuk Liana!” kata Liana.
“Mak, ada orang datang!” suara Azli dari muka pintu membuatkan lamunan Pn. Zaleha terganggu.
Pn. Zaleha segera menyiapkan diri. Bimbang dan malu kalau tetamu yang datang itu melihat dirinya yang tidak kemas. Tergopoh-gopoh dia menuju ke ruang tamu untuk berjumpa tetamu yang datang. Dengan hanya memakai baju kurung, berkain batik dan bertudung dia menyambut tetamu yang datangnya jauh dari Johor Bharu.
Kini, di hadapannya duduk sepasang suami isteri. Pn. Zaleha kaku di situ saat matanya terpaku menatap wajah tetamu itu.
“ Kamu Leha?” Datuk Kamaruddin menyapa, benar-benar terkejut. Datin Maznah turut tercengang. Hairan melihat wajah suaminya yang nampak terkejut sebaik sahaja menatap wajah tuan rumah. Pelbagai andaian bermain dalam fikirannya. Apa sebenarnya hubungan mereka berdua, kawan atau kekasih?
“ Maz…..nilah Zaleha!” Datuk Kamarudin berpaling ke arah isterinya sambil tersenyum. Wajahnya benar-benar ceria membuatkan hati Datin Maznah di palu resah.
“ Zaleha?” bulat mata Datin Maznah merenung wajah suaminya yang mengangguk-angguk.
“ Ya, Zaleha…adik abang yang pernah menghilang dulu!” beritahu Daruk Kamaruddin.
“ Jadi….betullah ini abang Ruddin?” tanya Pn. Zaleha sambil menahan sebak.
Datuk Kamaruddin terus mengangguk. Pn. Zaleha segera mendapatkan abangnya, tangan abangnya di kucup perlahan sambil bercucuran air mata. Patutlah dia rasa sesuatu tadi sewaktu melihat wajah tetamu itu.
“ Ini isteri abang Ruddin, kak Maznah!” Pn. Zaleha turut menyalami tangan kakak iparnya. Dan mereka terus berpelukan.
“ Tak sangka…setelah sekian lama, baru abang dapat jumpa dengan kamu, Leha. Wajah kau tetap tak berubah…masih seperti dulu. Sebab tu abang dapat cam tadi!” kata Datuk Kamaruddin benar-benar gembira dengan pertemuan itu.
Pn. Zaleha tak dapat menahan sebak. Jadi, terpaksalah dia ditenangkan oleh Datin Maznah. Azli turut di perkenalkan dengan pakciknya yang selama ini tidak pernah dikenali dan jumpa. Dengan pertemuan itu juga, banyak kisah lama tersingkap kembali. Oleh kerana cinta Zaleha terhadap Haikal begitu mendalam, dia sanggup meninggalkan keluarga yang ketika itu mahu menjodohkannya dengan orang lain.
 Perkahwinan yang terbina atas dasar cinta itu hanya kekal selama setahun sahaja kerana Haikal yang disangka baik itu hanyalah berpura-pura baik sedangkan dia adalah seorang lelaki yang bersikap panas baran dan lelaki itu hanya tahu berhutang menyebabkan hidup Zaleha tak pernah aman bila ada saja orang yang datang menagih hutang. Akhirnya Haikal  meninggalkan Zaleha tanpa sebarang khabar dan kesan. Selama 2 tahun dia hidup terkapai-kapai untuk mencari penyelesaian. Hendak pulang ke pangkuan keluarga, dia tak sanggup kerana malu setelah menconteng arang ke muka orang tua. Akhirnya dia bertemu jodoh dengan Mohd Shukri, seorang duda yang berusia 42 tahun ketika itu, seorang guru sekolah rendah yang sudi mengambilnya sebagai isteri selepas ikaan perkahwinannya selesai di mahkamah. Jarak usia yang agak  jauh tidak menghalang mereka untuk membina sebuah keluarga yang bahagia hingga di kurniakan 3 orang cahayamata. Suami yang di sayangi dan di hormati telah pergi mengadap Ilahi 10 tahun lalu kerana penyakit kencing manis. Dengan harta peninggalan suaminya yang tidak seberapa itulah, Zaleha meneruskan hidup membesarkan 3 orang anaknya.
“ Kami sekeluarga memang rindukan Leha, puas kami mencari tapi tak jumpa. Mak dan ayah kita dah lama meninggal…abang harap lepas ni, Leha akan pergi melawat mereka!” kata Datuk Kamaruddin.
“ Leha banyak buat salah pada mak dan ayah. Dan Leha benar-benar kesal sebab tak sempat nak minta maaf dengan mereka. Mungkin inilah balasan untuk Leha atas apa yang pernah Leha buat dulu….Leha dah malukan mereka!” Pn. Zaleha menangis teresak-esak. Memang dia kesal atas apa yang pernah dilakukan dulu. Kerana cinta, dia hilang kewarasan dan pertimbangan hingga sanggup meninggalkan keluarga.
“ Sudahlah….perkara tu dah lama berlalu. Mak dan ayah pun dah lama maafkan Leha, cuma mereka tak berkesempatan untuk bertemu dengan Leha. Mereka juga pernah sarankan abang untuk mencari Leha….kita ni dua beradik aje, buruk baik pun kita tanggung bersama. Sekarang…abang benar-benar gembira kerana dapat bertemu semula dengan Leha hinggakan abang lupa tujuan abang datang ke sini!” kata Datuk Kamaruddin cuba menenangkan perasaan adiknya.
“ Ya Leha, kak Maz dan abang Ruddin ni sebenarnya datang membawa hajat yang besar. Kami percaya Leha tentunya tahu tujuan kami datang ni….” Kata-kata Datin Maznah membuatkan Pn. Zaleha memandang wajah pasangan itu. Sungguh dia hampir tak percaya tujuan asal kedatang mereka ke rumahnya adalah untuk membincangkan pasal Liana.
“ Jadi…kejadian tu….antara Liana dan anak abang?” bulat mata Pn. Zaleha merenung wajah pasangan yang berada di hadapannya. Sungguh dia tak percaya.
“ Ya, betul. Kami pun terkejut bila bagitahu yang dia dan Liana telah ditangkap basah. Zul juga yang minta abang datang ke mari untuk membincangkan soal mereka. Dia mahu kami meminang Liana untuk dijadikan isteri. Kami tahu, tentunya kejadian itu mengaibkan kita semua tapi abang bersyukur kerana dengan kejadian itu…terbuka pintu hatinya untuk berkahwin semula walaupun selama ini puas kami memujuknya. Dan kejadian itu juga menemukan abang dengan kamu, Leha!” kata Datuk Kamaruddin.
Pn. Zaleha termenung seketika. Apakah keputusan yang harus di buat.
“ Leha, kami terima saja keputusan. Zul tu sebenarnya pernah berkahwin sebelum ini tapi isterinya dah meninggal 7 tahun yang lalu. Tapi kalau Leha menolak perjodohan ini…kami faham, mungkin atas factor usia dan juga status Zul tu!” kata Datin Maznah.
“ Bukan ini maksud Leha….setiap ibu bapa hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya….pasal hal ini, Leha serahkan pada abang dan kakak…lagi pun Liana dah serahkan semua keputusan pada Leha. Kalau abang dan kakak setuju, Leha ikut aje!” Pn. Zaleha membuat keputusan. Azri yang turut mendengar hanya mendiamkan diri. Tidak berani untuk masuk campur. Kalau itu yang boleh membahagiakan kakaknya, dia akan mendoakannya.
“ Baguslah….abang nak ucapkan terima kasih kerana Leha sudi terima anak abang. Leha jangan bimbang, semua urusan untuk perkahwinan anak kita nanti, Leha serahkan pada abang….biar abang dan kak Maznah yang uruskan. Anggaplah ini sebagai tanda kesyukuran kerana kita sekeluarga dapat bertemu kembali” kata Datuk Kamaruddin.
“ Betul tu, Leha. Nanti minggu depan kami datang lagi. Kakak pun sebenarnya pernah bertemu dengan Liana beberapa kali masa kami bertemu dengan Ida di hostel. Cantik orangnya….mungkin kecantikannya di warisi dari Leha!” kata Datin Maznah membuatkan Pn. Zaleha tersipu malu, segan menerima pujian.
“ Tak adalah…Leha ni biasa aje!”
“ Abang Ruddin pun memang kacak orangnya, sebab itu akak memang jatuh hati padanya sejak kali pertama kami bertemu!” puji Datin Maznah sambil melirik manja ke arah suaminya.
“ Bagi abang, Maz bukan hanya cantik  pada luaran, tapi juga cantik dalaman. Itu yang membuatkan abang sayangkan isteri abang ni!” ucap Datuk Kamaruddin sambil menggenggam tangan isterinya sebelum mengucupnya. Tak kesah pun perbuatannya itu di tonton oleh adik dan anak saudaranya. Datin Maznah hanya tunduk dengan muka merah.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...