Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Friday, 28 December 2012

Bisikan Hati 2





Bab 2
T
G. SALLEH  melangkah ke ruang rehat sebaik sahaja masuk ke dalam banglo mewah itu. Seharian di pejabat membuatkan dia benar-benar kepenatan. Segera tubuh yang kepenatan itu di rebahkan  ke sofa. Matanya dipejam seketika, cuba menenangkan fikiran sambil menarik nafas perlahan. Kini, dia benar-benar rasa bersyukur kerana Farah sudi tinggal bersamanya walaupun pada awalnya anak gadis itu rasa berat untuk melepaskan Hjh Zabedah dan Hj Yusuf pulang ke Johor Bharu petang semalam.
“ Papa!”
Tg. Salleh segera membuka mata bila mendengar suara Farah yang begitu hampir. Dia segera mengukir senyum sambil membetulkan kedudukan agar lebih selesa. Farah yang turut  berlabuh di sisinya di pandang dengan penuh rasa sayang. Lama wajah anaknya itu di tatap. Dan ketika itu juga ingatannya kembali kepada arwah Nur Ain.
“ Ada apa sayang?” soal Tg. Salleh.
“ Farah nak balik rumah mak dan ayah esok!” kata-kata Farah benar-benar membuatkan Tg. Salleh terkejut. Dia kaku. Wajah Farah mula di pandang sayu. Tak sangka anaknya sanggup meninggalkan dia sedangkan mereka baru saja bertemu dan Hjh Zabedah serta Hj Yusuf baru aje pulang semalam, takkanlah Farah mahu segera menyusul mereka.
“ Kenapa?...kenapa Farah nak tinggalkan papa keseorang di sini?...Farah dah tak sayangkan papa lagike?” sayu Tg. Salleh menatap wajah anaknya. Sebak mula merajai hatinya. Hampir saja matanya berkaca.
“ Papa tak akan keseorangan di sini. Abang Syam dan kak Ria kan ada untuk temani papa. Selama ini, papa tak pernah pedulikan Farah. Papa lebih sayangkan mereka sehinggakan Farah rasa Farah tak berhak tinggal di rumah ini lagi. Kenapa baru sekarang, papa mahu Farah tinggal di sini?” Farah bersuara.
“ Tapi…Farahkan anak papa, anak kandung papa. Satu-satunya anak yang papa miliki!” Tg. Salleh cuba membuat Farah faham akan statusnya.
Farah mendengus. Pandangannya di hala ke hadapan. Siapa yang tak sakit hati kalau dirinya di buang oleh papa kandungnya sendiri. Selama ini, papa lebih membela anak tiri dari anak kandung sendiri. Kenapa baru sekarang papa mula mengambil hak itu sebagai seorang papa. Kenapa tidak dari dulu? Di saat dia perlukan kasih sayang dan perhatian!
“ Memang Farah ni anak kandung papa, darah daging papa tapi selama ini papa tak pernah membesarkan Farah, apa lagi mencurahkan kasih sayang sebagai seorang ayah. Orang yang selama ini menjaga Farah dan memberi kasih sayang untuk Farah adalah mak dan ayah, bukan papa!” tegas Farah.
“ Betul. Bukan papa yang menjaga Farah tapi apa yang mak dan ayah Farah lakukan itu kerana arahan dari papa. Mereka lakukan semua tu kerana wang. Wang Farah!... Papa serahkan wang buat mereka kerana menjaga dan mendidik Farah selama ini. Apa pun yang berlaku…Farah tetap anak papa!” Tg. Salleh cuba membetulkan tanggapan Farah yang menganggap dia tak pernah menyayangi anaknya itu.
“ Papa, wang dan kasih sayang jauh bezanya. Papa kena sedar bahawa kasih sayang tak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit, ia lahir dari hati yang suci…hati yang ikhlas. Tapi papa tak pernah miliki perasaan itu.  Farah akui, memang papa seorang yang berharta dan berpangkat tapi papa tetap miskin pada pandangan Farah. Papa memang miskin kasih sayang!” Farah merenung tajam wajah papanya dengan mata yang membulat.
“ Farah! Papa tak sangka yang anak papa boleh bersikap kurang ajar begini. Inikah ajaran yang di ajar oleh orang yang punya kasih sayang yang melimpah tu?”  tegur Tg. Salleh dengan rasa sebak. Sampai hati Farah menganggapnya begitu.
“ Papa…jangan tuduh mak dan ayah Farah. Mereka tak bersalah!” Farah bersuara. Sakit juga hatinya mendengar tuduhan papanya itu.  Kalau pun dia sudah bersikap kurang ajar, semua ini berlaku kerana kesilapan dia dan juga kesilapan papanya. Tak ada kaitan langsung dengan mak dan ayahnya.
“ Memang papa tak pernah berikan kasih sayang yang sepatutnya pada Farah selama ini. Bukan papa sengaja tapi…papa tak berdaya. Papa tak cukup kuat untuk hadapi dugaan yang terpaksa papa tanggung selama ini!” begitu lirih perasaan yang terpaksa di hadapi oleh Tg. Salleh. Selama ini Farah tak pernah tahu beban yang terpaksa di tanggungnya. Farah hanya lihat pada luaran sahaja. Itu sebabnya Farah tega menuduhnya begitu, kalaulah Farah tahu…kenapa dia lakukan semua ini, pasti Farah tak akan menyalahkannya.
“ Dugaan? Dugaan macam mana?...dugaan kerana hidup bersama dengan aunty, Tg. Nur Asyikin, abang Syamsul dan kak Mariana?...begitu maksud papa?” Farah mula meninggi suara. Selama ini dia tak berkesempatan menyuarakan rasa hati. Kini, dia rasa inilah masa yang sesuai. Dia bukan lagi budak kecil, dia sudah dewasa.
Tg. Salleh hanya diam menunduk. Wajahnya muram. Kata-kata Farah membuatkan hatinya sebak. Tapi dia tak boleh menyalahkan Farah. Farah tak tahu dan sebab itulah dia menuduh begitu.
“ Farah, berilah ruang untuk papa menghuni di hati Farah. Papa janji, papa akan cuba menjadi seorang ayah yang baik buat Farah, seperti yang Farah inginkan!” Tg. Salleh merenung wajah Farah. Sayu pandangan matanya menyambung renungan Farah yang nampak tegang.
Farah terdiam. Sebenarnya, bukan niat di hati mahu mengecilkan hati papa. Dia juga perasaan, dia tahu papa terasa dengan kata-kata itu. Tapi apa boleh buat, terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata…hanya maaf yang mampu di pinta.
“ Kenapa kata-kata seperti ini tidak pernah papa ucapkan dulu. Kenapa baru sekarang? Papakan cukup hidup bersama keluarga papa. Papa dah tak perlukan Farah lagi. Aunty Shikin akan sentiasa temani papa, begitu juga dengan abang Syam dan kak Ria!” Farah melepas keluhan.
Tg. Salleh menelan liur sebelum mengukir senyum menatap wajah Farah. Kemudian dia menarik nafas perlahan.
“ Oh ya! Terlupa pula Farah nak tanya…selama 2 hari Farah di sini, tak pernah pun Farah nampak muka aunty Shikin, anak-anaknya pun tak ada datang. Ke mana dia orang pergi…makan anginke?” takkanlah banglo semewah ini, hanya mereka berdua yang menghuninya. Pelik pula rasa. Terasa betul-betul sunyi dan sepi.
Tg. Salleh memandang sekali lagi wajah Farah. Kali ini wajahnya nampak tenang.
“ Aunty Shikin dah meninggal dunia 2 tahun yang lepas dalam satu kemalangan semasa dia balik dari bercuti!” penjelasan dari Tg. Salleh membuat mulut Farah terus ternganga. Benar-benar terkejut dan tak menyangka yang dia akan mendengar berita itu. Dia diam tak terkata. Patutlah papa minta dia tinggal bersama.
“ Kematiannya seolah-olah meringankan beban yang terpaksa papa tanggung selama ini. Walaupun kematiannya bukan atas kehendak papa, tapi papa menganggap ini semua adalah takdir dari Allah dan sememangnya papa redha. Papa tak bagi tahu Farah tentang hal ini kerana bagi papa, ia tidak mendatangkan apa-apa kesulitan buat Farahkan!”
 Betul. Kematian aunty Shikin tidak mendatangkan sebarang kesan padanya. Lagi pun selama  aunty Shikin berkahwin dengan papa, hubungan mereka tak pernah baik. Walaupun begitu, dia turut berduka cita atas kehilangan wanita itu.
“ Er…macam mana dengan abang Syam dan kak Ria? Di mana mereka sekarang?” terasa juga ingin tahu apa yang telah berlaku pada abang dan kakak tirinya itu. Masihkah mereka tinggal bersama papa seperti sebelum ini atau pun telah berpindah!
“ Papa dah tunaikan tanggungjawab papa pada mereka, sekarang…terpulanglah pada mereka untuk meneruskan hidup masing-masing!” jawab Tg. Salleh.
“ Maksud papa?”
  Papa dah berikan habuan untuk mereka. Cukup untuk mereka sara diri. Itu pun kalau mereka pandai menguruskannya.!” Jelas Tg. Salleh.
Farah mengangguk perlahan. Bagus juga tindakan papa itu. Harapnya selepas ini mereka berdua tidak akan mengganggu papa lagi.
“ Farah, dah 2 tahun papa tinggal keseorang di banglo ini. Itu sebabnya papa perlukan Farah. Papa mahu sentiasa berada di sisi Farah selagi hayat papa masih ada. Papa akan cuba berikan kasih sayang papa pada Farah seperti yang Farah inginkan selama ini. Dan papa mahu berkongsi segala milik papa dengan Farah!” Tg. Salleh menggenggam erat tangan Farah.
“ Tapi…” Farah mula rasa serba salah.
“ Papa faham dan papa bukan nak memaksa Farah untuk terus terima papa. Papa tahu tentu semua ini sukar untuk Farah terima dalam sehari dua ini.  Tapi papa harap sangat Farah akan bantu papa menguruskan syarikat papa. Papa tak nak syarikat tu jatuh ke tangan orang lain kerana syarikat itu adalah hasil usaha papa dan tanda cinta papa pada arwah Nur Ain!” hati Farah mula tersentuh mendengar kata-kata papanya. Apa lagi bila papa menyatakan bahawa syarikat itu adalah tanda cintanya pada arwah mama.
“ Bagilah Farah masa untuk fikirkan hal ini. Farah janji Farah akan cuba bantu papa menjaga  tanda cinta papa pada arwah mama. Farah tahu dan Farah sedar, walau apa pun yang berlaku…Farah tetap anak papa!” ucap Farah.
“ Terima kasih, sayang. Papa cukup senang mendengar. Papa percaya, Farah akan membantu papa di syarikat!” Tg. Salleh mengeluh lega. Gembira mendengar kata-kata Farah.
“ Ya, tapi dengan syarat!”
“ Syarat?”
“ Papa izinkan Farah tinggal bersama mak dan ayah buat seketika sehingga Farah bersedia untuk bekerja di syarikat papa nanti!” Farah meletakkan syarat.
“ Ok, whatever you say….asalkan  Farah sudi bekerja di syarikat papa dan juga tinggal bersama papa!” kata Tg. Salleh.
“ Terima kasih, papa!” ucap Farah. Dia memegang erat tangan papanya dan mencium perlahan tangan tua itu. Tg. Salleh tersenyum bahagia.


PN. Mariam begitu sibuk menyiapkan membersihkan pinggang mangkuk yang kotor di dapur Baru sebentar tadi, anak bongsunya Sarina keluar ke tempat kerjanya.  Setelah memastikan semuanya dalam keadaan tersusun, dia melirik jam dinding di ruang dapur itu. Sudah pukul 9 pagi. Langkahnya panjang menghayun melewati ruang tamu sebelum berhenti di hadapan muka pintu bilik anaknya lelakinya.
“ Zareen…Zareen…” panggilnya nyaring.
Sepi.
“ Zareen…Zareen….” Panggilnya lagi. Dia mengeleng kepala bila panggilannya tidak bersahut. Itulah kerja anak bujangnya selama dua tiga hari ini. Asyik membuta saja. Tangannya memulas tombol pintu. Dia mengeluh perlahan melihat anak lelakinya masih lena berselimut.
“ Zareen, bangunlah nak oi…matahari dah tinggi kat luar tu…kamu masih membuta berselimut lagi!” Pn. Mariam mengejutkan anak bujangnya.
Dia mendengus perlahan bila kata-kata tidak di endahkan oleh anaknya itu. Malah dia makin menarik selimut hingga menutup wajahnya.
“ Zareen….Zareen…bangunlah!” Pn. Mariam bersuara lagi. Kali ini agak keras. Geram mengenangkan sikap anaknya itu.
“ Mmmm….apa hal?” tanya Zareen yang masih berada dalam selimut.
“ Bangunlah….dah nak tengahari ni. Dah lama mak sediakan sarapan kat dapur tu…dah nak sejuk pun!” rungut Pn. Mariam lagi.
“ Kejap lagilah Zareen bangun…” kata Zareen. Sedap pula berselimut.
“ Agaknya beginilah ya…perangai kamu kat luar negara tu…asyik tidur aje….sampai lupa nak solat agaknya!” rungut Pn. Mariam.
“ Alah mak ni…Zareen bukannya tidur mati pun…Zareen dah solat la, lepas tu tidur balik, tak tahu nak buat apa!” balas Zareen, matanya masih lagi terpejam.
“ Ha…kalau tak tahu nak buat apa…elok sangatla tolong mak kat dapur. Ada juga faedahnya!” bidas Pn. Mariam.
“ Zareen ni kan lelaki…buat kerja kat dapur tu kan kerja orang perempuan, kan Rina dah ada untuk tolong mak kat dapur!” Zareen tak mahu kalah.
“ Jangan nak berdalih banyak….bangun sekarang. Kalau ak nak bangun jugak…mak simbah kamu dengan air nanti!” ugut Pn. Mariam.
Zareen menggeliat, dia membuka mata dan kemudian duduk bersila di atas katil sambil menatap wajah garang emaknya.
“ Alah mak ni…”  Zareen menggaru-garu kepala. Tak senang bila tidurnya sering di ganggu oleh maknya.
“ Kamu tahu tak…lelaki dan perempuan sekarang tak ada bezanya,  sekarang ni pun dah ramai lelaki yang jadi chef berbanding dengan perempuan!” kata Pn. Mariam lagi.
“ Mak ni…Zareen ke luar negara belajar bab kejuruteraan, bukannya belajar bab masak memasak…mana sama!” Zareen membela diri.
“ Ikut kamulah …malas mak nak layan !” Pn. Mariam mula merajuk. Memang kalau bercakap dengan Zareen, tak pernah nak mengaku kalah. Ada aje alasannya nak menang membuatkan Pn. Mariam kadang-kadang pening kepala. Tapi walaupun begitu, Zareen seorang anak yang baik. Selalu menjaga kebajikannya, malah selama ini dia banyak membantunya menguruskan adik-adik sehingga kedua-dua adiknya berjaya. Kalau bukan kerana Zareen, dia tak mampu menguruskan hidup anak-anaknya yang lain.


ZAREEN mendapatkan maknya di ruang dapur selepas siap mandi dan berpakaian. Tubuh tua emaknya di peluk dari belakang. Hampir melatak Pn. Mariam dek terkejut.
“ Kamu ni Zareen…buat terperanjat mak aje!” Pn. Mariam menampar perlahan bahu  Zareen.
Zareen hanya tergelak kecil. Seronok dapat mengenakan emaknya.
“ Mak ni, peluk sikit pun tak boleh…!” kata Zareen sambil tergelak.
“ Ya lah tu…!” Pn. Mariam mencebik.
“ Betullah…kalau Zareen tak peluk mak, Zareen nak peluk siapa lagi?” tanya Zareen sambil berjalan ke meja makan.
Pn. Mariam mengeleng kepala sambil tersenyum. Dalam tiga orang anaknya, dia paling rapat dengan Zareen. Dia turut menuju ke meja makan, di situ dia sudah menghidang sarapan. Sengaja dia tidak makan awal semata-mata mahu bersarapan bersama anaknya.
“ Maafkan Zareen ya!” pohon Zareen tiba-tiba.
“ Kenapa ni?” tanya Pn Mariam hairan bila Zaren memohon maaf.
“ Mak belum makan lagikan…Zareen tahu mak tunggu Zareen untuk sarapan sama, betul tak?” Zareen memandang wajah emaknya.
“ Ya, dah lama mak tak makan dengan anak lelaki mak ni!” akui Pn. Mariam sambil mengukir senyum. Tangannya pula lincah mencedok nasi goreng ke dalam pinggan dan meletakkannya di hadapan Zareen.
“ Mulai esok…Zareen janji akan bangun awal dan tolong mak kat dapur…hari ni tak boleh sebab Zareen uzur!” kata Zareen sambil menayang sengih.
“ Banyaklah kamu punya uzur…dahlah, jom makan. Dah sejuk pun nasi goreng ni!” Pn. Mariam terus melabuhkan punggung di kerusi.
Semasa bersarapan, banyak juga topic yang mereka bicarakan. Maklumlah sudah lama Zareen tidak berada di kampung kerana belajar di luar negara. Tak pernah pun dia balik sepanjang tempoh itu kerana dia tahu, dia perlu bijak berbelanja. Kalau bukan kerana ihsan dari seseorang, mana mungkin dia mampu menjejak kaki ke luar negara. Dalam negara pun belum pasti lagi dia dapat sambung belajar.
“ Semalam Zareen terserempak dengan Hani kat pekan tapi tak sempat nak tegur. Apa hal dia sekarang?” Zareen mula terbayang wajah Hanisah, teman rapatnya semasa mereka sama-sama belajar di sekolah menengah dulu. Selepas dapat result SPM, Hani berjaya melanjutkan pelajaran ke UM, sementara dia terpaksa menangguhkan pembelanjaran demi membantu keluarga.
“ Dia sekarang mengajar kat sekolah di pekan. Hari tu mak ada dengar yang dia dah bertunang tapi tak sampai dua bulan…putus. Mak tak tahu sebabnya, lagi pun malas nak bertanya. Itukan hal peribadi dia orang. Kamu ni, Zareen…kenapa tiba-tiba cakap pasal dia pulak. Ada hati dengan si Hani tu ke?” Pn Mariam memandang wajah anaknya.
“ Hish mak ni…ke situ pulak. Zareen cuma bertanya khabar tentang kawan lama, salahke?” Zareen berdalih. Bimbang emaknya salah sangka.
“ Boleh, tapi dalam ramai-ramai kawan lama…kenapa si Hani tu yang kamu tanya?” Pn Mariam menaikkan keningnya.
“ Entahlah….mungkin sebab Zareen ternampak dia kot. Lagi pun Zareen tengok, dia tu makin cantik!” selamba Zareen menjawab membuatkan emaknya menjeling lama ke arahnya.
Zareen yang menyedari jelingan emaknya segera memasukkan nasi goreng yang masih berbaki ke dalam mulut. Cepat-cepat di kunyah sebelum membawa pinggan kosong itu ke singki.


FARAH mengenakan t`shirt dan seluar jeans yang menjadi pakaian hariannya.  Rambut yang melepasi bahu  dibiarkan lepas terurai. Sedikit bedah dan gincu dikenakan ke wajahnya. Sejak dari dulu dia tak suka sangat bermake up lebih. Cukuplah sekadar untuk menghilangkan pucat di wajah. Dia berlari menuruni tangga dan terus ke ruang dapur. Hjh Zabedah sedang menyediakan hidangan untuk makan tengahari.
“ Mak, maaf ya sebab Farah tak tolong mak masak hari ini ya!” ujar Farah memohon maaf bila melihat betapa lincahnya Hjh Zabedah menyediakan juadah.
“ Tak adalah…Farahkan baru sampai, rehatlah dulu sehari dua. Mak dah biasa buat kerja-kerja macam ni. Lagi pun, Farahkan tetamu mak!” kata Hjh Zabedah sambil meletakkan lauk yang telah siap di atas meja.
“ Mak…Farah ni anak mak, bukannya tetamu tau…kecik hati Farah!” Farah memeluk tubuh Hjh Zabedah dari belakang.
“ Ya, Farah anak mak…Hmm…kalau Farah anak mak, Farah tolong mak hidangkan nasi kat atas meja tu!”
“ Ok…tanggung beres!...ayah balik makan tengaharike hari ni atau ada sesiapa yang nak datang!” hairan melihat maknya memasak banyak lauk. Macam meraikan tetamu datang ke rumah.
“ Mak nak raikan kepulangan Farah Abang Wan dan abang Lan sekeluarga akan sampai tak lama lagi!” beritahu Hjh Zabedah.
“ Betulke mak….jadi, hari ni kita semua akan berkumpul?” tanya Farah.
Hjh Zabedah mengangguk sambil tersenyum.
“ Ya?...bestnya…dapatlah Farah kenal anak-anak buah Farah nanti !” selama ini dia hanya mendengar cerita dan melihat gambar. Tak pernah pun berjumpa dengan anak buahnya.
Hari ini keluarga Hj Yusuf berkumpul untuk meraikan kepulangan Farah. Riuh rendah jadinya ruang tamu yang sederhana besar itu bila semua irang berkumpul di situ. Farah turut memberikan setiap orang cenderahati.
“ Farah, boleh abang Wan tanya sikit?” Ridhuan bersuara bila melihat Farah begitu asyik melayan anak bongsunya Sofina yang berusia 6 bulan itu.
“ Apa dia?” tanya Farah sambil memandang wajah Ridhuan dengan dahi yang sedikit berkerut.
“ Bila Farah nak kenalkan buah hati Farah kat kami semua, kan dulu Farah cakap nak kenalkan pada kami bila Farah balik!” kata Ridhuan.
Farah merenung wajah Ridhuan yang sudah pun tersengih-sengih. Yang lain pun sama, sudah senyum-senyum sambil memandangnya.
“ Eh! Bila masa Farah janji. Abang Wan ni…suka  serkap jarang…tak elok tau. Farah ni mana ada boyfriend, lagi pun siapalah yang nakkan anak terbuang macam Farah ni!” Farah berpura-pura sedih di saat menyebut anak terbuang. Sengaja mahu mengubah topik. Sejak dari dulu Ridhuan memang suka mengusiknya.
“ Hish…Farah ni…siapa kata Farah anak terbuang, Farahkan ada papa….ada mak, ada ayah dan ada abang….kami semua sayangkan Farah!” Hjh Zabedah terus memeluk bahu Farah.
“ Farah tahu mak dan ayah sayangkan Farah…tapi papa….papa tak pernah ambil peduli pasal Farah. Abang Wan dan abang Lan pun  sama…tak sayangkan Farah…selalu sangat menyakat Farah!” Farah pura-pura berjauh hati.
Ridhuan dan Ramlan saling berpandangan.
“ Siapa kata kami tak sayangkan Farah…kami sayangkan Farah…Farahlah satu-satunya adik perempuan kami!” Ridhuan bersuara, dia cuba membetulkan tanggapan Farah. Ramlan mengangguk, bersetuju dengan kata-kata abangnya.
Farah mencebik.
“ Kak Min, abang Wan ni selalu tak usik kak Min?” tanya Farah sambil memandang Jasmin, isteri Ridhuan yang dari tadi asyik tersenyum melihat gelagat Farah dan suaminya. Jasmine jenis yang tak banyak cakap tapi dia seorang kakak yang baik. Cuma dengan kak Atikah, Farah tak kenal sangat sebab inilah kali pertama mereka bertemu.
“ Farah, kalau abang Wan `tak usik` kak Min, mana datangnya Fahin dan Sofina ni…betul tak yang?” sampuk Ridhuan membuatkan Jasmin tersenyum malu, manakala Ramlan dan Hj Yusuf terus ketawa. Hjh Zabedah pula mengeleng kepala mendengar jawapan selamba anak lelakinya.
Akhirnya terdengar Ridhuan mengaduh kesakitan akibat di cubit oleh isterinya.
“ Sakitlah yang!” kata Ridhuan dengan suara manja membuatkan Jasmin menjeling tajam. Geram dengan perangai suaminya.
“ Padan muka, kan dah dapat hadiah tu!” Farah tersenyum.
Banyak betul topik perbualan  mereka sampaikan tak kering gusi. Ridhuan seorang yang kelakar, ada-ada saja cerita yang membuatkan orang yang mendengar ketawa.
“ Ayah, kalau ayah nak kedai nanti…Farah ikut ya!” kata Farah.
Hj Yusuf mengangguk.
“ Apa program Farah lepas ni? Nak terus kerja atau nak tinggal kat sini?” tanya Ramlan tentang perancangan Farah.
“ Entahlah…papa nak Farah kerja kat syarikat dan dia mahu Farah tinggal bersamanya. Tapi kalau boleh, Farah nak tenangkan fikiran seketika kat sini dulu…mungkin lepas tu baru kerja dengan papa!” kata Farah.
“ Tak ada rancangan lainke?” tanya Ramlan.
“ Maksud abang Lan?”
“ Yalah…takkanlah asyik nak berkurung dalam rumah aje….!”
“ Oh!...lusa Farah nak ke Cameroon Highlands…ada janji dengan kawan!” beritahu Farah.
“ Nak pergi dating ya!” usik Ridhuan.
“ Eh! Tak adala….saja, jalan-jalan….!” Balas Farah menafikan kata-kata Ridhuan.
“ Yalah tu….jalan-jalan. Dengan boyfriendkan!” Ridhuan tetap buat serkap jarang.
“ Kawan ajelah…pandai-pandai aje!” Farah mencebik.
“ Bila nak kenalkan dengan kami…setidak-tidak abang Wan boleh tahu keistimewaannya sehingga berjaya menawan hati hati abang Wan yang cantik manis ni…betul tak ayah!” Hj Yusuf agak terpingga-pingga bila dia kaitkan tiba-tiba.
“ Belum masanya lagi…berapa hari abang Wan dan abang Lan cuti ni?” segera Farah mengubah tajuk.
Wajah Ridhuan di renung seketika. Ridhuan adalah seorang arkitek sementara  Ramlan pula seorang jurutera. Hasil didikan yang baik, kedua-dua anak Hj Yusuf dan Hjh Zabedah telah berjaya. Kejayaan kedua abangnya turut di rasai oleh Farah kerana mereka telah membesar bersama.
“ Dua hari je…esok abang Wan kena balik. Kami ambil cuti pun sebab rindu nak jumpa dengan Farah bila mak bagi tahu yang Farah nak balik sini!” kata Ridhuan.
“ Abang Lan pun sama, kami balik sebab rindu nak jumpa dengan Farah…jumpa mak dan jumpa ayah!...lagi pun dah lama kami tak balik!” kata Ramlan pula.
“ Bedah, saya nak pergi kedai ni…awak ada nak pesan apa-apa?” Hj Yusuf bangun dan bersedia untuk ke kedainya.
“ Tak ada…kalau Bedah nak apa-apa….Bedah hubungi abang nanti. Tolong tengok-tengok si Farah ni….nanti merayap kat mana-mana…kalau hilang susah!” kata Hjh Zabedah, sengaja mengusik Farah yang berjalan di sisi suaminya.
“ Mak ni…ingat  Farah ni budak kecik ke?” Farah merajuk.
Hjh Zabedah ketawa kecil.
“ Yalah…kalau hilang jugak…mak tambat nanti  kalau jumpa semula ya!” usik Hjh Zabedah lagi.
“ Mak!” jerit Farah. Kedua abangnya sudah gelak sakan.
Farah cepat-cepat membolos masuk ke dalam kereta Wira milik Hj Yusuf. Dia tahu, selagi dia berada di situ, dia akan terus dijadikan bahan usikan mereka. Tapi itu semua membuatkan dia bahagia. Dan kerana itu juga, dia lebih senang tinggal bersama mereka dari tinggal bersama papanya di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...