Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Saturday, 19 May 2012

Di Penghujung Rindu 11



 S
ARAH melangkah masuk ke dalam banglo mewah itu sebaik saja pulang dari bercuti ke Pulau Tioman. Gundah gulana hatinya sebaik saja mendapat panggilan dari mamanya yang Hafiz telah terlibat dalam kemalangan jalan raya semalam. Nasib baik hari ini dia sudah sampai  rumah.
“ Mama, macam mana keadaan abang Hafiz?” Sarah terus mendapatkan Datin Ruzaini yang menyambut kepulangannya.
“ Tak adalah teruk sangat, cuma ada bengkak, terseliuh sikit dan calar-calar aje. Sarah pun bukannya tak tahu perangai dia kalau bawa kereta, mengalahkan orang nak masuk formula 1…” beritahu Datin Ruzaini bila melihat Sarah begitu cemas mendengar berita tentang kemalangan Hafiz.
“ Er…Sarah masuk bilik dulu, nak mandi, solat dan tukar pakaian…lepas tu Sarah nak terus pergi hospital!”
 Sarah terus berlalu meninggalkan mamanya. Mengeleng kepala Datin Ruzaini melihat Sarah yang agak kelam-kabut tu sambil menjinjing beg yang sederhana besar. Nampak sangat yang dia mengambil perhatian terhadap Hafiz. Tapi sayang, Hafiz tidak pernah sekali pun menghargai setiap apa yang dilakukan oleh Sarah kepadanya.
“ Sarah…Sarah…” akhirnya senyuman terukir di bibir Datin Ruzaini.
Sebaik saja melangkah masuk ke bilik, Sarah meletakkan begnya di atas katil dan segera mencapai tuala. Dia perlu membersihkan diri dan bersiap untuk ke hospital. Walaupun hubungan antara dia dan Hafiz tak pernah rapat, namun dia tetap mengambil berat terhadap lelaki itu. Kini lelaki itu sudah pun bergelar suami untuknya. Dan seharusnya dia berada di sisi suaminya.
Selesai solat Asar, Sarah terus bergegas turun  ke bawah. Dia perlukan lebih banyak maklumat mengenai Hafiz, di mana suaminya di tempatkan, di tingkat berapa…takkanlah dia main redah aje.
“ Hmm…hati-hati bawa kereta…jangan asyik berfikir pasal orang lain hinggakan diri sendiri yang terabai. Mama tak nak Sarah pula yang terpaksa di tahan di ward….” kata Datin Ruzaini.
“  Sarah tahu…mama jangan bimbang…er, kalau mama nak ikut sekali boleh jugak!”
“ Mama dah janji dengan papa tadi …jadi mama kenalah tunggu papa…nanti mama dan papa menyusul ke sana….”
“ Yalah…Sarah pergi dulu, ma…” Sarah bersalaman sebelum keluar.
Langkahnya segera di atur ke arah Toyota Vios hitam kesayangannya. Belum pun sempat dia keluar dari pintu pagar rumah, telefon bimbitnya berdering. Nama Tuty tertera pada skrin telefonnya.
“ Hello….”
“ Sarah…kau kat mana sekarang?” soal Tuty di hujung talian.
“ Aku masih kat rumah…lebih spesifik…aku dalam kereta…on the way nak pergi hospital…kenapa?”
“ Aku cuma nak tanya khabar pasal suami kesayangan kau tu…” usik Tuty sambil tergelak.
“ Banyaklah kau punya suami kesayangan….tak ada maknanya…” Sarah mencebik.
“ Kau jangan….memanglah sekarang ni tak ada makna….entah-entah esok lusa…dialah manusia yang paling bermakna dalam hidup kau…!” Tuty tetap mengusik sambil tergelak.
Sorryla Tie, aku tak nak bermimpi di siang hari….selama aku kenal dia, sedikit pun rasa sayangnya untuk aku tak pernah wujud. Kadang-kadang aku terfikir…berbaloikah usaha mama dan papa untuk merapatkan hubungan kami sedangkan selama ini sudah terang lagi bersuluh…”
“ Semua tu adalah ketentuan Allah…sejauh mana kita menidakkannya….kalau Allah menghendakinya…pasti akan terjadi. Aku sentiasa mendoakan kebahagiaan untuk kau, Sarah!” ujar Tuty.
Thanks, Tie…aku menghargainya walaupun aku tak mengharapkannya….oklah…apa-apa hal aku call kau balik…!”
Bye….Assalamualaikum!”
************

SARAH membuka perlahan pintu bilik yang menempatkan Hafiz. Dia tergamam sebaik saja kakinya melangkah masuk bila mendapati seorang gadis berada di sisi Hafiz. Nampak sangat hubungan mereka begitu mesra bila gadis itu begitu manja sekali melayan Hafiz sambil meletakkan punggungnya di atas katil.
“ Maaf kalau kedatangan Sarah ni mengganggu abang Hafiz!” serba salah pula Sarah nak melangkah masuk bila melihat keadaan mereka berdua.
Hafiz hanya berwajah selamba dan saling berbalas pandang dengan gadis itu.
“ I rasa elok you balik sekarang…I tak nak timbul masalah nanti…” Hafiz bersuara sambil memandang tepat ke wajah gadis itu. Sementara Sarah yang masih berada di muka pintu hanya diam memandang. Biarlah, itu adalah urusan Hafiz. Dia tak ada hak untuk masuk campur kerana mereka sememangnya sudah bersetuju akan hal itu.
“ Tapi….”
Nampaknya gadis itu masih belum mahu beredar. Bukan apa, tiba-tiba dia dihimpit rasa cemburu sebaik saja memandang wajah Sarah. Walaupun Satah memakai cermin mata, tapi kecantikannya masih terserlah. Dia perempuan, dan dia mengakui akan hakikat itu. Takkanlah Hafiz tak ada apa-apa perasaan terhadap gadis berkaca mata itu.
“ I said….go…”
Tiba-tiba Hafiz bertegas mengusir gadis itu membuatkan gadis berseluar ketat dan berbaju sendat itu menunduk wajah akibat tersentak.
“ Ok…I balik sekarang…I`ll call you…!” kata gadis itu sambil mencapai beg tangannya dan terus berlalu pergi dengan tergesa-gesa membuatkan bahunya bergeseran dengan Sarah. Sarah yakin, gadis itu sengaja menunjukkan rasa protes dengan kemunculannya.
Sarah  mengatur langkah perlahan menghampiri katil Hafiz.
“ Abang Hafiz sihat?” Sarah bertanya, memulakan intronya.
Hafiz menjawab dengan dengusan.
“ Ingatkan nak terus menetap di situ….maklumlah orang pergi berseronok…mana nak ingat rumahtangga lagi…betul tak!” kata Hafiz, sengaja mahu menyakitkan hati Sarah. Namun dalam diam , dia terharu kerana Sarah sudi datang menemuinya.
Sarah hanya mengukir senyum. Tak ada gunanya dia menjawab, takut lain pula jadinya. Sarah memerhati keadaan Hafiz, kepalanya berbalut dan wajahnya sedikit bengkak dan calar-calar. Tangan kanannya berbalut akibat patah atau terkehel seperti yang diberitahu mama tadi. Yang lain nampak okay aje. Menurut mama, mungkin sehari dua lagi Hafiz dibenarkan  keluar hospital.
“ Aku masih hidup lagi…jangan kau berfikir nak cari pengganti aku pulak!” tempelak Hafiz bila Sarah mengeluh lega bila melihat keadaan dirinya yang hanya sedikit cedera.
“ Apa yang abang Hafiz  cakap  ni?…Sarah tak fikir macam tu pun!” sangkal Sarah. Geram. Hafiz selalu buruk sangka dan fikir yang bukan-bukan. Tapi elok juga kalau dia mati terus atau pun koma, bila sedar nanti terus hilang ingatan dan berubah menjadi orang lain. Taklah dia pening kepala nak meneruskan hidup di samping lelaki itu. Akal jahatnya sempat berfikir. Namun, cepat-cepat dia menyangkal andaian itu. Tak baik menghendaki perkara yang tak elok. Sarah segera  beristighfar.
“ Sarah belikan buah tangan dari Pulau Tioman untuk abang Hafiz, …Sarah harap abang Hafiz sudi terima!” Sarah meletakkan paper bag yang dibawanya di atas meja kecil di sebelah katil Hafiz.
Hafiz memandang sekilas dan tangan kirinya terus menghayun beg kertas itu menyebabkan pisau yang digunakan untuk mengupas buah terkena pada tangan kanan Sarah mengakibatkan darah pekat mula mengalir keluar. Sarah terus memandang wajah Hafiz dengan mata berkaca dan ternyata Hafiz benar-benar tergamam dengan tindakannya. Tidak terniat sedikit pun di hatinya untuk mencederakan Sarah. Sebaliknya itu adalah tindakan refleksi.
Sarah terus berlalu tanpa sempat Hafiz membuka mulut. Dengan sedikit kepayahan akibat tangannya yang berbalut, Hafiz terus menuju ke pintu yang sememangnya telah terbuka. Dan langkahnya terus mati di muka pintu bila melihat Sarah sedang bercakap dengan seorang doctor dan mereka berdua terus berlalu pergi. Hafiz hanya memandang dengan wajah kesal. Dan yang paling di kesalkan, Sarah terus pulang tanpa menemuinya sedangkan dia berharap dapat berjumpa dengan Sarah untuk memohon maaf.

***********

SEBAIK saja keluar dari hospital, Datin Ruzaini bertegas mahu Hafiz tinggal di rumah orangtuanya dengan alasan  memudahkannya untuk melihat keadaan Hafiz. Nasib baik orangtua Hafiz tidak banyak bertanya bila Sarah menolak untuk menjemput Hafiz di hospital dengan alasan dia terpaksa berjumpa dengan client penting.  Sedangkan Datin Ruzaini dapat menjangka itu cuma alasan Sarah. Dia bukan buta bila melihat tangan Sarah yang berbalut sebaik saja pulang dari hospital. Bila di tanya, Sarah memberi alasan tangannya terkena pisau ketika  menolong Hafiz mengupas buah.
Hafiz berehat seketika di sofa sebaik saja sampai di rumah, malas nak masuk ke dalam bilik.  Panjang lehernya cuba mencari kelibat seseorang.
“ Mana dia ni?” Hafiz bercakap sendirian.
Nak bertanya pada mama, dia segan. Pasti dia kena perli.
Salmah muncul dengan membawa dulang berisi jus oren dan sepotong pudding caramel.
“ Jemput minum, En. Hafiz! atau En. Hafiz nak kak Sal siapkan makan?” pelawa Salmah, pembantu rumah.
“ Tak payah…saya tak ada selera nak makan!” balas Hafiz.
Salmah hanya diam. Melihat Hafiz juga diam dia terus mengatur langkah untuk pergi dari situ.
“ Kak Sal…”
 Langkah Salmah terhenti bila Hafiz memanggilnya.
“ Ya, En. Hafiz…”
 Salmah merenung wajah Hafiz yang keresahan.
“ Er,…mana semua orang?...senyap je?”
`Semua orang?...dia ingat banglo ni ramai penghunike….takkan En Hafiz hilang ingatan!` detik Salmah sambil menggaru kepala.
“ Datuk dan Datin ada kat atas, mereka sedang bersiap untuk keluar…” beritahu Salmah.
“ Hmm….” Hafiz bersuara lemah.
“ O…maksud En. Hafiz…Sarah ya?” Salmah mula menguntum senyum. Dia mula mengerti maksud pertanyaan Hafiz tadi.
Hafiz segera berdeham dan berpura-pura membetulkan kedudukannya agar rasa lebih selesa.
“ Sarah belum balik lagi, agaknya kejap lagi baliklah tu…” Salmah tersenyum lagi.
“ En. Hafiz, kenapa tak berehat aje kat dalam bilik…kan lebih selesa…” kata Salmah bila melihat Hafiz mula meletakkan kepalanya di kusyen sambil memejam mata.
“ Kak Sal, kalau tak menyibuk boleh tak?” sergah Hafiz yang kembali membuka mata. Tajam merenung wajah Salmah membuatkan pembantu rumah berusia 42 tahun itu menunduk wajah. Terasa tebal mukanya bila disergah begitu. Sedangkan dia cuma mahu bersikap perihatin terhadap anak majikannya.
“ Maaf…kak Sal ke dapur dulu…” akhirnya tergesa-gesa Salmah beredar sambil mengeleng kepala.
***********

SARAH  masuk ke dalam rumah. Penat badan hanya Allah yang tahu. Kunci kereta di letak di tempat penyangkut. Dia terus menuju ke biliknya. Sebaik saja masuk ke dalam bilik, dia terus merebahkan tubuh di atas katil.
Ah! selesanya. Sarah tersenyum.
Tiba-tiba senyuman mati bila mengingatkan sesuatu.
“ Abang Hafiz…! dah balikke dia?”
“ Ah…malaslah nak fikir, mandi lagi baik…badan pun jadi segar!” dia bangun, mencapai tuala dan bergegas ke bilik air. Jam dinding sudah menginjak ke pukul 4 petang.
Sarah mengenakan t`shirt dan skirt kembang labuh. Dia menyikat rambutnya sebelum mencapai satu majalah yang memuatkan resepi masakan, nampak menarik dan dia terus mengambil keputusan untuk  membelinya tadi. Badannya di sandar ke kepala katil sambil melunjurkan kaki. Kecur liurnya melihat gambar dan hiasan di majalah itu.
Kedengaran ketukan di pintu biliknya membuatkan tumpuan Sarah terbantut.
“ Come in…” laung Sarah. Malas nak bangun buka pintu. Pasti kak Salmah.
Pintu biliknya di kuak perlahan.
“ Abang Hafiz!” mulut Sarah ternganga sebaik saja wajah Hafiz muncul di depan pintu biliknya.
“ Boleh aku masuk?” Hafiz bersuara.
“ Ya…masuklah…” pelawa Sarah dan segera membetulkan kedudukan sebelum turun dari katil.
Hafiz melangkah masuk dan Sarah tetap berdiri kaku di tepi katilnya.
“ Maaf, kalau mengganggu!” pohon Hafiz perlahan.
“ T..tak…Maaf….Sarah tak tahu yang abang Hafiz dah balik…Sarah terus masuk bilik  tadi…”
It`s ok…er, macam mana dengan tangan kau tu?...masih sakit?” Hafiz bertanya sambil matanya memandang tangan kanan Sarah yang telah ditampal dengan handyplus.
“ Dah tak sakit…lukanya pun tak  dalam sangat…abang Hafiz dah ok ke?” tiba-tiba Sarah jadi buntu.
“ Dah ok…kalau tak ok, masih ada kat hospital lagi…” kata Hafiz sambil meraba wajahnya. Kesan bengkak sudah surut sedikit, Sarah turut memandang ke wajah lelaki itu dari tempat dia berdiri. Hanya tangannya sahaja yang masih berbalut.
Masing-masing diam, seperti sudah tiada apa yang hendak di perkatakan.
“ Aku keluar dulu…” Hafiz melangkah keluar dari bilik Sarah dan Sarah pula hanya diam memandang.

***************

PETANG itu hanya Sarah, Hafiz dan pembantu rumah saja yang ada di banglo itu. Datuk Syafiq Rahman dan Datin Ruzaini keluar setengah jam yang lalu kerana menghadiri jemputan kawannya. Hafiz melabuhkan punggung di kerusi halaman banglo mewah itu. Memang dia rasa cukup bosan kerana terpaksa memerap di rumah sedangkan dia bukan jenis lelaki yang suka melepak di rumah. Dia sukakan hiburan dan apa jua bentuk permainan terutama futsal dan bowling. Sarah muncul dihalaman banglo mewah itu dengan manatang dulang berisi bubur kacang yang menjadi makanan kesukaan Hafiz di waktu petang. Beria-ria mamanya suruh Sarah masak bubur itu sebelum keluar rumah tadi.
“ Jemput makan…” pelawa Sarah selepas meletakkan mangkuk berisi bubur di atas meja.
Hafiz hanya diam. Sarah mengangkat bahu dan bersedia untuk beredar. Tak kuasa nak duduk semeja dengan lelaki sombong tu.
“ Nak pergi mana?” tanya Hafiz sebaik saja Sarah berpaling untuk beredar.
“ Masuk dalam…Sarah tak nak ganggu abang Hafiz…”
“ Habis tu…macam mana aku nak makan?” soal Hafiz kasar membuatkan Sarah merenung wajah Hafiz. Hairan.
“ Pakai tanganlah…takkan pakai kaki kot!” jawab Sarah. Geram dengan soalan bodoh tu.
“ Tangan aku kan sakit dan berbalut…macam mana nak makan?” kata Hafiz lagi. Makin garang pada pendengaran Sarah. Sarah mendengus.
“ Tangan kiri abang Hafiz kan tak sakit, boleh aje pakai tangan tu…” Sarah cuba bersabar sambil mengerling ke arah tangan kiri Hafiz.
“ Aku tahulah!” Hafiz  menjawab.
“ Oh!” balas Sarah sambil mencebik.
“ Kau suapkan bubur ni untuk aku!” gesa Hafiz membuatkan Sarah hampir nak pitam mendengarnya.
“ Hah!” ternganga mulut Sarah di buatnya.
“ Kau pekak ke?” marah Hafiz.
“ Pakai ajelah tangan kiri tu…bukannya susah pun!” tempelak Sarah menahan rasa geram yang makin membuak. Mengada-ngada betul. Tukas Sarah.
“ Kau kan isteri aku…tugas seorang isteri adalah menjaga kebajikan suaminya!” kata Hafiz dengan wajah selamba membuatkan mata Sarah bulat memandang wajah Hafiz.
“ Kalau ya pun tak bolehke minta secara baik….kalau kita nak minta budi orang, pandai-pandailah diri tu berbahasa!” perli Sarah.
Giliran Hafiz pula merenung tajam wajah Sarah yang mencuka. Dia cuba menyembunyikan senyuman. Sengaja mahu mendera Sarah. Ingin mengetahui sejauh mana isterinya itu mampu bersabar melayan kerenahnya.
“ Ok… sayang, tolong suapkan bubur kacang ni untuk abang…abang laparla…” Hafiz merengek manja sambil mengerdipkan matanya.
“ Hish…mengada-ngada betul…boleh tak jangan bersayang-sayang dengan Sarah… seram tau tak…”  balas Sarah. Dalam masa yang sama dia turut melabuhkan punggung di sisi Hafiz sambil mencapai mangkuk berisi bubur kacang. Hafiz tetap buat muka selamba. Memang dasar tak malu,
“ Ha…apa lagi, bukaklah mulut!” sergah  Sarah menahan rasa hati.
“ Amboi! garangnya sayang abang ni….nasib baik tak gugur jantung abang!” Hafiz ketawa sambil mencuit hidung Sarah.
“ Menyampah!”
 Sarah mencemuh. Geram dengan sikap Hafiz. Tapi hairan, macam mana dia boleh bergurau begini. Selama ini tak pernah pun. Takkanlah dah tersampuk. Sarah menggaru kepala yang tidak gatal.
“ Wow…romantic betul pasangan ni ya…siap makan bersuap lagi!” satu suara menyapa menyebabkan Sarah dan Hafiz mengalih pandang.
“ Tuty…” Sarah bersuara.
 Dia segera meletakkan mangkuk yang hanya sedikit berbaki. Segan pulak nak terus menyuapkannya di hadapan Tuty. Janganlah Hafiz buat perangai menyuruh dia menyuapkan bubur itu hingga habis.
Tuty tersenyum sebelum melabuhkan punggung di kerusi mengadap wajah Hafiz setelah di pelawa.
“ Dari mana ni?” tegur Sarah yang melihat Tuty baru saja menanggalkan kaca mata hitamnya.
“ Dari rumah. Saja…nak melawat orang sakit!” balas Tuty sambil melirik senyum ke arah Hafiz.
“ Uncle dan auntie mana?”
“ Mama dan papa keluar jumpa kawan…kau berbual ya dengan abang Hafiz, aku pergi buatkan air…” Sarah berlalu pergi.
Tuty memandang wajah Hafiz, meneliti seketika tubuh Hafiz membuatkan Hafiz rasa tak selesa.
` Apa kena dengan si Tuty ni, semacam aje pandang aku!`
“ Abang Hafiz, apa khabar?” tegur Tuty.
“ Baik!” Balas Hafiz ringkas.
“ Nampaknya keadaan abang Hafiz tak ada lah teruk sangat. Kesian Sarah sebab tak dapat lelapkan mata bila dapat tahu abang Hafiz kemalangan. Tuty ingat kemalangan tu dah menyebabkan abang Hafiz kudung kakike atau pun cacat kat mana-mana…ini, setakat  tangan  berbalut je, sehari dua baiklah tu…” Tuty tersengih.
Hafiz mengetap bibir. Kurang asam punya perempuan. Dengus Hafiz, nasib baik tak berasap lubang hidungnya. Kalau tak, terpaksalah panggil bomba.
“ Apa?...Tuty ingat abang Hafiz akan menyerah kalah kalau kaki dah kudung?”
 Tuty menelan liur. Memang sedikit pun dia tak menjangka yang Hafiz akan membalas kata-katanya dengan suara yang keras, boleh menggelegak taik telinganya. Ingatkan saja-saja nak gertak dan usik, konon-kononnya dia ambil peduli. Nampaknya lelaki ini dah naik angin satu badan. Kena bagi dia minum eno ni. Kasi sejuk sikit badan dia. Memang kesian si Sarah bersuamikan lelaki seperti Hafiz.
“ Maaflah kalau kata-kata Tuty tadi menyakitkan hati abang Hafiz, Tuty gurau aje…jangan ambik hati ye…please…!” Tuty memohon maaf sambil merapatkan kedua belah tangannya.
Hafiz hanya menjeling sambil mendengus kasar.
“ Kalau ya pun …takkanlah Tuty nak doakan macam tu….kesian kat Sarah…tak pasal-pasal dapat title janda berhias pulak!” kata Tuty lagi dengan buat muka kesian tapi dalam masa yang sama sempat mengenakan Hafiz.
Sarah kemudiannya muncul besama dua gelas minuman dan juga satu mangkuk berisi bubur kacang.
“ Silalah…” pelawa Sarah selepas menghidang.
“ Terima kasih…langkah kanan aku hari ni…kau buat ya…!” Tuty terasa menikmatinya.
“ Ya…”
“ Sedap…sejak dari semalam lagi aku mengidam nak makan bubur….”
“ Makan ajelah…banyak pula songehnya!” Hafiz menyampuk sambil buat muka tak berperasaan.
`Patutnya doctor tu jahitkan aje mulutnya, kasi diam… menyibuk aje!` rungut Tuty sambil menarik muka masam membuatkan Sarah tersenyum.
Tuty berhenti menyuap bubur ke dalam mulutnya bila telefon yang berada di dalam beg tangannya berbunyi. Bukan main lebar lagi senyumannya sebaik saja melihat nama yang tertera di skrin telefonnya. Dia segera meminta diri untuk beredar.
“ Siapa call?” tanya Sarah bila melihat senyuman Tuty yang muncul semula di hadapannya.
“ Siapa lagi kalau bukan  Zakri…!” beritahu Tuty
“ Zakri?...Zakri mana pula ni!...boyfriend baru kau ya!”
“ Bertuahlah kalau dia tu boyfriend aku tapi yang jadi masalahnya dia tak minat kat aku tapi minat dengan kau…!”
“ Minat dengan aku! Kenapa?...aku tak kenal pun dia!” berkerut dahi Sarah cuba mengingatkan mana-mana lelaki yang bernama Zakri. Dalam pada itu dia sempat melirik ke arah Hafiz, wajah lelaki itu nampak tegang.
Dan bagi Hafiz, nama itu mengingatkan dia pada seseorang yang dikenalinya. Kalaulah lelaki itu adalah seperti lelaki yang dikenalinya…dia tak akan membiarkan lelaki itu mendekati Sarah. Tak akan. Dalam diam Hafiz mengempal penumbuk.
“ Alah…takkanlah kau dah lupa…mamat handsome yang kita jumpa masa makan malam tu…dia asyik tanya pasal kau aje selepas kita jumpa dengan dia hari tu. Aku memang dah tahu yang dia memang syok kat kau tapi kau aje yang buat tak layan…kesian dia!” Tuty cuba menjelaskan siapakah lelaki yang bernama Zakri itu.
Oh! Baru Sarah ingat. Betul juga kata Tuty. Zakri kacak orangnya, penampilannya pun bergaya. Perwatakannya juga menarik. Menurut kata lelaki itu, dia adalah seorang jurutera di sebuah syarikat di  Kuala Lumpur, berusia 31 tahun. Datang ke Pulau Tioman kerana mahu menghabiskan hari cutinya. Awal-awal lagi Tuty sudah angau sebaik saja lelaki itu beredar selepas mendekati mereka.
“ Kau dengar tak ni?...dia minta aku aturkan satu pertemuan dengan kau….bila-bila masa saja kau free!” Tuty benar-benar teruja. Tanpa sedar apa yang dikatakan itu membuatkan punggung Hafiz  mula panas.
“ Bagilah aku masa… aku tak nak terburu-buru buat keputusan…lagi pun kita bukannya kenal dengan lelaki tu…” timbul juga rasa bimbang  di hati Sarah.
“ Nak fikir apa lagi!...bukan senang tau nak dapat peluang ni…kalau dah jumpa, barulah boleh kenal…kalau tak jumpa, sampai bila-bila pun kau tak akan kenal dengan dia ” gesa Tuty. Macam pakar nasihat tak bergaji pula si Tuty ni!
“ Tuty, Sarah tu dah bergelar isteri…apa jua yang dia lakukan mesti mendapat keizinan dari suami…!”
Tuty menutup mulut. Memang dia terlupa hakikat itu. Nasib baik Hafiz mencelah.
“ Ops!  sorry…excited sangat…!” Tuty menayang sengih.
“ Jangan mudah terpedaya dengan lelaki kacak… fikir dulu semasak-masaknya… nanti menyesal tak sudah!” nasihat Hafiz membuatkan Sarah dan Tuty berpandangan.
“ Hmm…betul tu… memang tepat, lelaki kacak ni memang tak boleh di percayai… nasib baik abang Hafiz ni bukan tergolong dalam kategori lelaki kacak…!” balas Tuty.
“ Tuty….” jerit Hafiz.
Tuty tergelak. Memang pun wajah Hafiz kurang sikit handsome bila mukanya dah tercalar begitu. Agaknya ada kesan parut tak lepas ni?
“ Aku balik dulu, nanti kita jumpa ya!”  Tuty segera beredar. Bukan main seronok lagi kerana dapat mengenakan Hafiz hari ini.
Sarah memandang wajah Hafiz, cuba menyembunyikan senyum bila wajah Hafiz sudah menjadi kelat-kelat masam.

*************

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...