Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Thursday, 22 March 2012

Antara Aku & Dia 9



S
EBULAN sudah berlalu, namun selalu saja Luqman dan rakan-rakannya mengusik Sarah dengan pelbagai cara membuatkan Sarah tak kuasa nak melayan kerenah mereka. Dia hanya buat pekak badak dan berpura-pura tidak menghiraukan mereka sedangkan di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu betapa sakitnya hati dan betapa malunya dia bila usikan Luqman dan rakan-rakan mendapat perhatian pelajar lain. Mereka turut sama gelak bersama Luqman.
“ Sarah, awak tak nak bagi lemak awak tu sikit dekat si Adi ni,….kesian dia sampai kurus kering sebab awak dah sedut habis lemak kat badan dia!” usik Luqman selepas menghampiri meja yang di huni oleh Sarah dan Aini. Ketika itu mereka berdua sedang menikmati mee goreng di kantin semasa waktu rehat.
“ Awak ni Luqman, rupa ada…tapi otak tak ada. Kalau mak dan ayah awak tahu beginilah sikap anak mereka tentu mereka kecewa kerana melahirkan awak ke dunia ini….atau mak dan ayah awak tak pernah ajar awak bagaimana nak menghormati orang lain?”
Sarah bangun dan bersuara. Berapi mukanya menahan marah sambil berdiri menghadap wajah Luqman yang ternyata amat terkejut mendengar kata-kata Sarah itu. Wajah Luqman benar-benar berubah. Ternyata kata-kata Sarah memberi tamparan hebat buatnya. Apalagi mereka berdua mula mendapat perhatian pelajar –pelajar lain yang turut berada di situ ketika itu. Masing –masing memandang antara satu sama lain. Ada juga yang tersenyum simpul melihat situasi itu. Bagi mereka perdebatan antara Sarah dan Luqman sudah menjadi satu kebiasaan. Ada juga yang bertaruh mengatakan mereka berdua itu akan jatuh cinta. Maklumlah ada teori yang mengatakan dari pergaduhan dan benci-membenci itu akan menerbitkan perasaan sayang. Ada juga yang tidak senang kerana merasakan Sarah itu sengaja cuba mencuri perhatian Luqman.  Semetelah mereka tahu bahawa Luqman itu pelajar pujaan gadis-gadis di sekolah itu.
“ Tolong jangan libatkan orang tua saya dalam hal ini. Mereka tak ada kena-mengena!” sangkal Luqman sambil mendekatkan mukanya di muka Sarah membuatkan Sarah terpaksa berundur. Takkanlah dia nak membiarkan muka mereka begitu dekat, hanya jarak 2 inci sahaja. Silap haribulan lain pulak jadinya.
“ Dan tolong jangan ganggu saya lagi….apa hutang saya pada awak ha….?” Jerkah Sarah dengan muka merah. Dia sudah tak peduli dengan pandangan orang. Janji masalah antara dia dan Luqman akan selesai dan mengharapkan agar selepas ini tiada lagi gangguan dan usikan dari Luqman untuknya. Dia malu.
Sarah benar-benar ingin tahu apa masalah Luqman dengannya sehingga dia sering menjadi bahan usikan Luqman. Apa lagi ke mana sahaja dia pergi, pasti akan bertemu dengan lelaki itu. Dia rimas. Seakan dunianya terlalu sempit untuk dia bergerak dan sukar untuk dia bernafas dengan selesa.
“ Awak tak ada hutang dengan saya tapi awak dah curi sesuatu yang berharga dari saya dan saya nak awak pulangkan balik!” kata Luqman dan terus berlalu bersama-sama rakan-rakannya membuatkan Sarah terduduk lesu.
Sebaik sahaja Luqman beredar, mereka yang lain mula membuat hal sendiri. Sarah tertunduk kesal. Sedih hatinya kerana di tuduh sebagai pencuri. Seumur hidupnya dia tak pernah mencuri, niat juga jauh sekali. Sampai hati Luqman menuduhnya begitu, apa lagi di hadapan pelajar-pelajar lain. Apa kata mereka tentang dirinya.
“ Sudahlah Sarah…usah pedulikan si Luqman tu…dia sengaja nak usik kau. Aku tahu kau bukan seperti yang dituduhnya. Aku kenal kau dan aku tahu kau tak akan buat macam tu” pujuk Aini sambil mengusap bahu Sarah.
“Aku sedih sangat dia tuduh aku mencuri barang berharga miliknya…aku tak ada niat pun nak mencuri sesuatu yang bukan hak aku…niat untuk mencuri pun tak pernah terlintas di fikiran aku….” Sarah sebak. Hampir menitis air matanya tapi cepat-cepat di seka dengan tangan. Malu kalau ada yang melihat dan membuat spekulasi yang lain pulak. Biasalah manusia, benda seperti ini cepat sangat tersebar. Mulutkan tak ada zip, bila-bila sahaja boleh  terbuka.
“ Memang tak patut Luqman buat kau macam ni…bukan sekali dua dia cuba malukan kau dengan pelajar lain, selalu sangat. Apa masalah dia dengan kau sebenarnya sampaikan dia sakit hati sangat dengan kau…tak tahulah aku!” kata Aini. Dia pun turut hairan dengan sikap Luqman terhadap Sarah. Orang lain tak adalah pulak dia nak menyakat teruk-teruk macam yang di buatnya kat Sarah.
Dalam diam Sarah bertekad untuk bersemuka dengan Luqman. Dia ingin tahu kenapa dia boleh di tuduh mencuri sesuatu yang berharga milik lelaki itu.
“ Tunggulah…!” nekad Sarah dalam diam sambil mengempal penumbuk.     Kalau Luqman berada di hadapannya saat ini, pasti lelaki itu menerima habuan darinya. Entah-entah lebam dua biji matanya aku kerjakan. Baru puas hati. Sarah tersenyum sendiri.
************

LUQMAN, boleh kita cakap sekejap?” Sarah bersuara apabila dia menghampiri Luqman yang ketika itu sedang melepak bersama kawan-kawan rapatnya.
Luqman agak tergamam menerima kunjungan Sarah itu. Buat seketika dia mengalih pandang ke arah kawan-kawannya. Adi sudah mengukir senyum, semacam aje senyumannya.
“ Kalau boleh bukan di hadapan kawan-kawan awak!” sambung Sarah lagi. Tak selesa kalau perbualan mereka nanti di dengar oleh kawan-kawan Luqman. Malah mungkin dia akan diejeknya. Sarah tak sanggup menerima rasa malu lagi.
Akhirnya Luqman bangun dan berjalan agak jauh dari kawan-kawannya diikuti oleh Sarah di belakang.
So, awak nak cakap pasal apa?” tanya Luqman, tak sabar rasanya nak mendengar apa yang bakal di utarakan oleh Sarah.
Sarah menarik nafas seketika, cuba mengumpul kekuatan untuk berhadapan dengan Luqman. Dia  tahu serba sedikit sikap Luqman. Lelaki itu jarang mengaku kalah terutama sekali apabila di ajak berdebat. Itu sebabnya Luqman sentiasa menang setiap kali masuk pertandingan pidato peringkat sekolah mahu pun peringkat negeri. Tahun lepas dia mendapat tempat pertama mewakili daerah masuk pertandingan pidato peringkat negeri.
“ Tolong berterus-terang dengan saya…barang berharga yang mana satu saya dah curi dari awak?...barang kemas? Atau duit yang awak maksudkan?” tegas Sarah sambil merenung wajah Luqman yang selamba itu. Sakit hati Sarah memandang wajah itu. Takkanlah Luqman pakai barang kemas, dia bukannya perempuan. Duit?...diakan anak orang kaya, kalau setakat RM 100, apalah sangat. Tapi kenapa dia yang jadi mangsa… sadisnya!
“ Betul awak nak tahu?....awak tak menyesal kalau saya bagi tahu awak?” kata Luqman bermain teka-teki. Sengaja menanti reaksi Sarah. Seronok pulak melihat wajah Sarah yang mula bengang itu. Comel saja pada pandangannya.
“ Ya…bagi tahu sekarang dan saya tak akan menyesal. Kalau boleh hal ini di selesaikan sekarang juga supaya awak tak akan menuduh saya lagi….awak ingat saya ni tak ada maruahke?....sesuka hati aje menuduh orang tanpa periksa!” getus Sarah.
Luqman ketawa.
“ Apa?...lucuke?...saya nak ingatkan awak…perkara ni bukan lawak….tak perlulah awak nak ketawa macam hantu raya…buruk sangat rupanya!” tempelak Sarah.
Serta merta ketawa Luqman terhenti. Dia merenung tajam wajah Sarah macam nak telan aje rupannya. Menakutkan. Sarah memejam mata beberapa saat sebelum kembali menatap wajah Luqman.
“ Baiklah…saya nak awak berterus-terang sekarang, kenapa awak tuduh saya mencuri sesuatu yang berharga milik awak!” kata Sarah. Sedaya upaya dia cuba bertenang. Kawan-kawan Luqman dilihatnya begitu memberi tumpuan pada mereka berdua. Mungkin tertanya-tanya apakah topic yang sedang mereka bincangkan.
“ Baiklah. Saya nak awak pulangkan hati saya yang dah awak curi!” Luqman bersuara tegas sambil merenung tepat ke wajah Sarah. Serta merta Sarah menelan liur dengan mata terbeliak. Biar betul. Bila masa pulak aku curi hati dia?...ingat aku kempunan sangatke nak ambil hati orang. Ingat senangke nak jaga hati orang, hati sendiri pun belum tentu terjaga, ada hati nak curi hati orang.
“ Gila. Awak memang gila, Luqman!” meletus perkataan keramat itu dari mulut Sarah. Dia dah tak peduli.
“ Memang, saya gilakan awak….saya jadi gila setelah awak curi hati saya!” kata Luqman membuatkan Sarah memegang kepala dengan kedua tangannya. Silap hari bulan, bukan Luqman yang gila, tapi dia.
“ Tolonglah….saya merayu pada awak…jangan malukan saya, boleh tak?” kata Sarah cuba bertenang.
“ Ok, dengan satu syarat!”  Luqman bersuara. Sarah mula tak sedap hati. Bukan boleh percaya, biasanya syarat itu mesti berat sebelah. Apa lagi syarat yang di buat oleh Luqman.
“ Kalau awak tak nak pulangkan hati saya yang dah awak curi…awak boleh bagi hati awak kat saya, adilkan!” Luqman sudah menayang senyum.
Sarah mengetap bibir menahan geram mendengar syarat yang dikenakan oleh Luqman itu. Rasa nak cekik-cekak aje batang tengkuknya biar terkulai layu. Biar hilang nyawa. Dan biar hilang di matanya. Tak adalah dia sakit hati macam ni.
“ Amacam, setuju?” kata Luqman.
“ Dengar sini ya….saya nak ingatkan awak buat terakhir kalinya. Saya tak pernah curi hati awak dan saya tak akan serahkan hati saya pada awak.  Keputusannya adalah  muktamat, tak ada lagi sebarang budi bicara. Mulai hari ini, anggap aje saya tak pernah kenal awak dan awak juga tak pernah kenal saya…selamat tinggal!” kata Sarah dengan penuh tekad dan terus berlalu tanpa menghiraukan panggilan Luqman.
Sarah melangkah dengan hati yang sebak. Apa yang diucapkan oleh Luqman itu adalah seperti satu permainan. Mungkin juga Luqman membuat pertaruhan dengan kawan-kawannya untuk mendapatkannya. Biasalah lelaki terutama sekali melibatkan pelajar popular seperti Luqman. Tak mungkin lelaki seperti Luqman akan tertarik pada dirinya yang tembam begini. Kalau pun dia menerima Luqman, pasti akan banyak halangannya.  Yang dia cukup yakin, dirinya akan di cemuh sebagai manusia yang tak sedarkan diri. Dia tak sanggup di hina lagi. Dia sedar siapa dirinya. Tak pernah sedikit pun di hatinya menyimpan perasaan untuk lelaki itu. Matlamatnya hanya satu. Ingin berjaya sebagai murid yang cemerlang. Sebab itu dia belajar bersungguh-sungguh agar keluarganya berbangga membesarkannya selama ini.
Seminggu kemudian hampir gempar satu kelas apabila mendapat tahu Sarah mahu bertukar sekolah. Bukan hanya bertukar sekolah tapi juga bertukar negeri.
“ Sarah, kenapa tiba-tiba nak tukar sekolah?” Adam mendapatkan Sarah setelah mendapat tahu berita tentang Sarah yang akan bertukar sekolah. Sedih  betul bila dapat tahu hal itu. Merekakan selalu berbincang bersama dan ketiadaan Sarah nanti dapat dirasainya. Ketika itu Sarah di kelilingi oleh Aini, Rosman dan Yusrina. Merekalah teman rapat Sarah. Selalu buat study group.
“ Aku nak beralih angin…hati aku tak tenang sejak kebelakangan ini” jawab Sarah cuba berselindung membuatkan Adam dan teman-teman yang lain tertunduk. Tergambar rasa kecewa di wajah masing-masing mendengar jawapan Sarah itu.
“ Sarah, kau ada masalahke? Cuba cerita dengan kita orang…mana tahu kita orang boleh bantu kau!” Aini tiba-tiba bersuara sambil memegang tangan kanan Sarah. Kawan-kawan yang lain merenung wajah Sarah. Dalam hati tertanya-tanya kenapa Sarah bertukar sekolah secara mendadak begitu.
“ Maafkan aku sebab tak dapat bagi tahu kat korang….tapi percayalah, aku bertukar sekolah bukan kerana kerana aku tak sukakan korang….bagi aku, korang semua adalah sahabat terbaik aku dan aku memang sayangkan korang!” sebak dada Sarah ketika menjawab kata-kata Aini. Biarlah tujuan itu hanya dia sahaja yang tahu. Mungkin satu hari nanti mereka juga akan tahu tapi ketika itu pastinya dia sudah jauh dari mereka semua.
“ Alah…tak best la bila kau tak ada Sarah! Lagi pun tinggal beberapa bulan aje kita nak exam…” kata Yusrina dengan muka sedih. Begitu juga dengan yang lain. Dah dekat 3 tahun mereka bersama, pastinya banyak kenangan yang tersimpan dan rasa sedih kerana terpaksa berpisah.
“ Jangan risaulah…aku tahu korang semua ni bijak dan pastinya korang akan dapat keputusan yang terbaik dan aku juga nak korang semua doakan untuk aku juga!”
Adam dan Rosman sekadar memerhati dan mendengar perbualan itu, walaupun mereka sedih  kerana akan  berpisah tapi takkanlah mereka berdua nak menangis, lainlah kalau Aini dan Yusrina.
*************

SEHARI sebelum Sarah berpindah dari sekolah itu,  mereka berlima ke bandar kerana meraikan perpisahan mereka. Mereka mengunjungi KFC sebagai tempat pilihan mereka.  Semalam Yusrina teringin nak makan KFC dan Sarah bermurah hati untuk belanja makan kawan-kawan terdekatnya.
“ Eh! Itukan Luqman dan geng dia.  Macam mana dia pun boleh masuk kat sini!” Rosman tiba-tiba bersuara semasa mereka sedang enak menikmati hidangan di hadapan. Mereka bertiga segera menoleh ke arah muka pintu dan kebetulan Luqman bersama 3 orang kawannya turut memandang ke arah mereka. Ada senyuman terukir di bibir Luqman. Senyuman itu membuatkan Sarah gusar. Pasti ada sesuatu yang akan di lakukan oleh lelaki itu nanti. Sarah mula tak senang duduk.
“ Kenapa? Kau nampak gelisah tiba-tiba aje….kau risaukan pasal Luqman ya!” ujar Aini yang mula menyedari perubahan pada wajah Sarah.
“ Er…” Sarah menelan liur.
“ Jangan risaulah…kami ada” pujuk Adam membuatkan Sarah mengukir senyum. Hatinya mula rasa lapang. Sarah tahu Luqman sentiasa bertindak di luar dugaan terutama dengan dirinya. Apa sangat yang lelaki itu dengki dengannya!
Sarah mengetap bibir bila Luqman tiba-tiba mengatur langkah ke arah mereka sedangkan ke tiga-tiga kawannya sudah pun berada di kaunter membuat pesanan.
“Wow…makan besar nampak, celebrate apa ni?” tanya Luqman dengan senyum bila melihat ketulan ayam di hadapan Sarah dan kawan-kawan masih banyak berbaki. Sengaja Sarah beli lebih untuk menjamu teman-teman rapatnya.
“ Sarah yang sponser…dia akan pindah sekolah minggu depan. Hari ini adalah hari terakhir dia bersama kami!” Adam bersuara mewakili teman-teman yang lain. Sarah hanya diam, sedikit pun tidak memandang wajah Luqman seperti yang dilakukan oleh teman-temannya.
“ Sarah!” tiba-tiba Luqman bersuara membuatkan Sarah terpaksa memandang wajah Luqman dalam keadaan terpaksa. Ternyata wajah Luqman agak terkejut. Lama dia merenung wajah Sarah. Entah apa yang sedang lelaki itu fikir, Sarah tak mahu ambil tahu. Asalkan lelaki itu tak buat hal di tempat awam, itu sudah melegakannya.
“ Kenapa awak nak pindah?” tanya Luqman. Dia benar-benar tak menduga bahawa Sarah akan bertukar sekolah dan hari ini merupakan hari terakhir Sarah berada di sekolah itu.
Sarah memandang tepat ke wajah Luqman dengan dahi berkerut.  Hairan sekali melihat perubahan wajah Luqman. Dia nampak gusar dan sedih, kenapa? Sepatutnya dia rasa gembira kerana Sarah akan pergi.
“ Kenapa awak nak pindah dari sekolah tu?” soal Luqman sekali lagi. Kali ini suaranya agak tegas dan wajahnya sudah bertukar merah membuatkan kawan-kawan Sarah tercengang, Sarah juga begitu.
“Sebab awak!”
Sarah menutup mulutnya dengan tangan. Dia sendiri tak menyangka akan berkata begitu. Teman-teman Sarah sudah memandangnya semacam, lebih-lebih lagi Luqman. Tak berkelip matanya merenung wajah Sarah yang dah bertukar merah.
“ Maaf…” akhirnya Sarah memohon maaf dan menunduk wajahnya. Sememangnya dia belum bersedia untuk berhadapan dengan Luqman selepas memberi jawapan sebentar tadi.
“ Sarah…” hanya itu yang keluar dari mulut Luqman. Wajahnya sudah bertukar muram. Nampaknya dia kecewa selepas mendengar jawapan Sarah itu.
“ Man!” jerit Adi memanggil nama Luqman di satu sudut.  Alaudin dan Razali sudah pun mengadap hidangan mereka.
Luqman terus beredar sebaik sahaja namanya di panggil. Dia menuju ke meja yang di huni oleh kawa-kawannya dan seketika kemudian, mereka berempat sudah terpacak di hadapan meja Sarah dan teman-teman rapatnya.
“ Sarah…betulke awak nak tukar sekolah?” Razali terus bertanya membuatkan Sarah menelan liur. Bukan hanya dia terkejut dengan soalan itu tapi kerana kunjungan mereka berempat ke meja itu sampaikan ada beberapa orang pelanggan yang turut sama makan di situ menoleh beberapa kali ke arah mereka.
Sarah mengangguk sambil mengukir senyum ke arah Razali yang jelas-jelasnya terkejut mendengar berita yang baru di sampaikan oleh Luqman sebentar tadi. Antara kawan-kawan yang mendampingi Luqman, Sarah lebih senang berinteraksi dengan Razali sebab lelaki itu tak pernah mengusiknya , malah melayannya dengan baik. Tanpa sedar, hati Luqman sudah terbakar, cemburukan Razali dan Sarah.  Panas hatinya dengan sikap Sarah yang boleh saja menghadiahkan senyuman untuk Razali, sedangkan untuk dirinya….hanyalah wajah masam mencuka.
“ Jom….kita ambil gambar ramai-ramai sebagai kenangan!” Luqman berubah riak sambil mengeluarkan kamera dari beg sandangnya.
“ Tak payahlah…buat membazir aje” Sarah menolak ajakan Luqman. Segan pulak dia nak bergambar dengan mereka. Selama ini kalau bertemu hanya tahu bertekak aje, tiba-tiba boleh bergambar bersama. Rasa peliklah pulak!
“ Apa pulak membazirnya…harta ni saya yang punya, ikut suka sayalah!”Luqman mencelah membuatkan Sarah segera menghadiahkan jelingan untuknya dan Luqman membalasnya dengan senyuman.
“ Ok, ready semua!” kata Luqman.
Beberapa keping gambar di ambil bersama sebagai tanda kenangan. Beria betul Luqman mengambil gambar terutama gambar Sarah dan kawan-kawannnya tanpa mereka sedar yang sebenarnya dia hanya memfokuskan wajah Sarah sahaja. Kalau mereka tahu nanti, pasti dia akan digelakkan mereka.
“ Sarah…apa kata saya ambil gambar awak seorang!” Luqman bersuara selepas penat kawan-kawannya beraksi.
“ Gambar saya?...nak buat apa?” Sarah memandang Luqman dengan dahi berkerut.
“ Nak buat kenanganlah…” jawab Luqman acuh tak acuh membuatkan teman-teman Luqman segera melepas tawa. Sarah menarik muncung panjang. Geram.
Come on lah Sarah….” Pujuk Luqman. Beria-ria dia nak mengambil gambar Sarah sebagai kenangan. Boleh percayake dia ni?...entah-entah di jajanya muka aku.
“ Tak payahlah Luqman…lagi pun saya rasa tak muat muka saya nak masuk dalam kamera awak tu…almaklumlah…..saya nikan besar macam anak gajah…” kata Sarah mengingatkan salah  satu gelaran yang pernah di berikan oleh Luqman padanya.
“ Muatlah…kalau badan awak besar macam mak gajah pun masih muat masuk dalam kamera saya…” Luqman tersengih menayangkan gigi membuatkan Sarah mengetap bibir. Kurang asam betul budak ni, aku cabai-cabaikan aje mulut longkangnya tu!
“ Luqman…” jerit Sarah geram tanpa sedar dia sudah mencuri perhatian pengunjung lain. Ada yang sudah tersenyum-senyum memandang ke arahnya membuatkan Sarah yang menyedari keterlanjurannya hanya menunduk wajah. Malunya.
“ Ok..ready…” belum pun sempat Sarah bersedia, Luqman sudah pun mengambil gambarnya. Candid camera.  Gambar Sarah sedang memuncung wajahnya. Lucu tapi cute.
“ Gambar tadi tak cantik, ambil yang lain!” kata Luqman dan meminta Sarah bersedia untuk beraksi.
“Apasal monyok aje…senyumlah sikit” usik Luqman lagi. Nak tak nak terpaksalah Sarah mempamerkan senyum. Tahu sangat perangai Luqman, selagi tak dapat apa yang dimahunya, dia akan terus berusaha.
“ Man, takkanlah kau jadi tukang ambil gambar aje…apa kata aku ambil gambar kau dengan Sarah pulak!” Adi mencelah.
“ Cantik…” Luqman sudah tersenyum lebar.
“ Tak naklah saya bergambar dengan awak!” Sarah menolak.
“ Apasal pulak?” Luqman kecewa. Terkilan atas penolakan itu.
“ Buat rosak gambar awak aje…takkanlah awak sudi nak bergambar dengan anak gajah yang montel macam saya!” sebenarnya Sarah tak rela bergambar berdua dengan musuhnya. Kawan-kawan mereka hanya dia memerhati, tak seorang pun yang berani mencelah. Siapa yang berani mencelah percakapan Luqman…. Hanya Sarah.
“ Ok…I`m ready!”  Luqman sudah berada di sebelah Sarah.
“ Sekarang bukan saya yang tak sudi bergambar dengan awak, tapi awak yang tak sudi bergambar dengan lelaki macho macam saya nikan!” Luqman sudah pun melabuhkan punggung di kerusi, hanya Sarah yang masih berdiri dengan wajah bengang.
“ Sarah, duduk ajelah…sekejap aje tu!” akhirnya Aini memujuk. Tak kuasa dia nak terus jadi tukang pacak kat situ. Akhirnya Sarah akur. Dia duduk di sebelah Luqman selepas lelaki itu menepuk-nepuk kerusi kosong di sebelanya. Luqman sempat mengenyit pada pada Aini kerana menolongnya  memujuk Sarah untuk bergambar bersama. Aini pula dan tersenyum malu dengan tindakan Luqman itu walaupun dia tahu maksud Luqman yang sebenarnya.
“ Oi, senyumlah sikit. Ini masam mencuka aje. Korang berdua ni duduk berposing macam orang bersanding paksa aje. Tak romantic. Sarah, senyumlah sikit. Nanti gambar ni jadi masam macam muka awak!” kata Adi.
“ Adi….kalau awak nak hidup lama….jaga mulut awak ya!” ugut Sarah yang tak tahan mendengar usikan Adi. Amaran Sarah itu di balas dengan gelakan oleh Adi. Hisy....menyampahnya!
“ Dahlah tu…Adi, cepat lah sikit tangkap gambar tu…aku dah lapar ni!” Luqman mengambil jalan tengah. Dah tak larat nak bertekak bila perutnya dah mula berkeroncong. Silap hari bulan Sarah dapat dengar lagu Keroncong untuk Ana nyanyian sifu M. Nasir  pula nanti. Kan naya dia  menahan malu. Mana nak letak muka macho dan handsome ni nanti....takkan lah nak pamer kat KFC ni pulak! jatuhlah saham.
Sesi bergambar berjalan dengan lancar. Mereka kemudiannya berpisah mengikut kumpulan masing-masing.  Sewaktu Sarah bangun untuk keluar dari KFC itu, mata Luqman tak lekang dari memandang gadis itu. Entah kenapa timbul pula rasa sedih mendengar berita yang Sarah akan bertukar sekolah kerana dirinya.
**********

SARAH bersalaman dengan kawan-kawan rapatnya terutama sekali Aini. Basah melecun wajahnya kerana sejak dari tadi asyik menangis, tak sanggup nak berpisah.
“ Jangan lupa contact aku ya!” pesan Aini sebak.
“ Kau pun sama…yang lain-lain juga!” kata Sarah sambil mengesat air mata yang bergenang di kelopak mata.
“ Dahlah….jangan nangis lagi ya…” pujuk Sarah sambil tertawa kecil melihat Aini masih lagi menangis, sengaja dia berkata begitu sedangkan hakikat sebenarnya dia sedang memujuk hatinya sendiri.
“ Pakcik dan makcik aku dah sampai.   Sampaikan salam aku pada kawan-kawan kita yang lain…mana yang tak sempat aku jumpa. Yang penting sekali buat Pn. Shima, guru kelas kita!” pesan Sarah.
“ Korang semua tak payah hantar aku sampai depan sana…cukuplah sampai di sini, nanti aku tak sanggup nak tinggalkan tempat ini pulak!” Sarah tertawa kecil.
“ Kau ni…lagi bagus kalau kau tak jadi pergi!” kata Adam.
“ Terima kasih kerana korang semua sudi jadi kawan aku….” Ucap Sarah.
“ Kami pun…” balas kawan-kawan Sarah hampir serentak.
“ Selamat tinggal…semoga kita dapat jumpa lagi…” Sarah membawa begnya dan terus mengatur langkah keluar dari pagar asrama untuk ke kereta pakcik Salehudin dan makcik Juriah yang sedang menunggu di luar pagar.
“ Sarah!”
Suara laungan di belakang membuatkan Sarah berhenti melangkah. Dia cukup kenal dengan suara itu.
“ Sarah!” namanya di panggil lagi.
Akhirnya Sarah menoleh ke belakang. Seorang pelajar lelaki yang sedang berdiri kaku beberapa meter dari belakang.
“ Ada apa lagi, Luqman?...saya dah lewat ni!” kata Sarah acuh tak acuh. Dia tak ada mood untuk melayan kerenah Luqman tetapi dia tetap berdiri di situ memandang wajah Luqman. Sedikit pun tidak berganjak. Hanya memerhati langkah Luqman yang semakin hampir.
“ Saya nak bagi hadiah ni untuk awak!” Luqman menghulurkan satu kotak kecil berbalut cantik.  Terpaku seketika mata Sarah merenung hadiah berbalut itu.
“ Untuk apa?....jangan-jangan awak nak kenakan saya!” Sarah ragu-ragu untuk menerimanya. Terlintas pelbagai andaian dalam fikirannya.
“ Saya bagi hadiah ni ikhlas untuk awak….sebagai kenangan!” kata Luqman sambil menghulurkan hadiah itu.
“ Maaf, saya tak boleh terima hadiah dari awak!” Sarah menolak.
“ Kenapa?...sampai hati awak menolak!” Luqman benar-benar rasa terkilan dan kecewa dengan penolakan Sarah itu.
 “ Saya tak boleh terima hadiah dari awak sebab saya tak nak ada apa-apa kaitan dengan awak. Saya tak nak hati saya sakit bila saya terpandangkan hadiah pemberian awak. Saya nak lupakan apa saja yang berkaitan dengan awak terus dari ingatan saya!” kata-kata Sarah itu membuatkan Luqman tersentak. Benar-benar terkejut dan dia memang tak menyangka begitu nekad Sarah ingin melupakan semua perkara yang berkaitan dengan dirinya.
“ Sampai hati awak nak tinggalkan saya setelah awak curi hati saya!” Luqman merenung sayu wajah Sarah. Lemah rasa anggota badannya.
Sarah tiba-tiba gelak. Rasa lucu pulak mendengar Luqman berkata begitu. Kata-kata dari lelaki yang sering menyakitinya, lelaki yang membuat dia meninggalkan tempat itu.
“ Luqman…Luqman…saat-saat terakhir saya di sini pun awak masih nak bergurau dengan saya,…hm…mungkin ini gurauan terakhir dari awak yang boleh saya dengar”  kata Sarah sambil tersenyum sinis memandang wajah sayu Luqman.
“ Sarah…”
“ Sudahlah Luqman…sebaik saja saya melangkah keluar dari pintu pagar di hadapan tu…awak akan dapati hati awak tu telah dikembalikan kepada awak dengan selamatnya…tanpa sedikit pun kecacatan mahu pun calar. Percayalah , saya tak pernah curi hati awak…malah tak terniat pun nak jadi pencuri hati awak. Saya sedar siapa diri saya dan sememangnya saya bukanlah perempuan yang di takdirkan untuk awak…” kata Sarah.
“ Tapi…saya sayangkan awak….saya ihklas sayangkan awak…” ujar Luqman.
“ Luqman…saya memang tak sesuai untuk awak…sebenarnya awak dalam keadaan keliru…” tegas Sarah dengan wajah serius dengan harapan Luqman akan faham bahawa antara mereka tak akan wujud sebarang hubungan, sekarang atau pun bila-bila.
“ Sarah…saya akan tunggu awak….saya akan terus menunggu awak sampai bila-bila…” kata Luqman dengan nekad.
“ Awak tak perlu tunggu saya dan awak tak perlu berjanji apa-apa kerana bagi saya awak tiada makna….” Kata-kata Luqman itu tidak sedikit pun memberi kesan di hati Sarah. Kalau pun benar Luqman sanggup menunggu, itu bukan urusannya lagi. Terserah pada Luqman. Lagi pun sampai bila dia akan sanggup menunggu sesuatu yang tak pasti di kemudian hari. Perjalanan masih jauh untuk mereka teruskan.
Luqman tunduk. Tangannya masih kemas memegang kotak berbalut  cantik itu.
“ Sudahlah…saya dah lewat. Pakcik saya dah lama menunggu….selamat tinggal!”
Sarah terus berlalu tanpa menoleh lagi. Dia nekad, segala yang ada kaitan dengan Luqman akan terus di lupakan sebaik saja dia melangkah keluar dari pintu pagar itu.
**********

APA kena kau ni?...asyik tenung gambar tu dari tadi tak sudah-sudah….silap-silap hari bulan berlubang gambar tu!”
 Adi melabuhkan punggungnya di katil Luqman yang sedang bersandar di kepala katil sambil membelunjurkan kaki. Sejak dua tiga hari ni, itu sajalah kerja Luqman bila berada di atas katil. Gambar yang berada di tangan Luqman di capainya tanpa sempat di larikan oleh Luqman.
“ Man, kau rindukan Sarah ya?” Adi memandang wajah muram Luqman sebelum kembali menatap gambar Sarah bersama Luqman yang di ambil ketika mereka berkunjung ke KFC tempohari. Namun kata-kata Adi  hanya di pandang sepi. Luqman tetap membisu seribu bahasa. Hanya matanya terus merenung ke hadapan, entah apa yang sedang bermain dalam fikirannya saat ini. Pastinya sedang memikirkan Sarah.
“ Aku dah lama perasan…sebenarnya kau sukakan Sarahkan!” kata Adi cuba mencuri perhatian Luqman. Dia berjaya bila mata Luqman terus terpaku menatap wajahnya. Adi hanya senyum.
“ Selama ini memang firasat aku betul…” Adi tersenyum, sekali lagi gambar yang berada di tangannya di tenung.
“ Kau nak tahu satu rahsia?... selama ini aku hanya pendamkan apa yang aku rasa…kau nak tahu apa dia?” kata Adi lagi.
Berkerut dahi Luqman merenung wajah Adi.
“ Rahsia?...maksud kau?” Luqman mula membetulkan kedudukannya. Kali ini dia duduk bersila.
“ Aku juga sukakan Sarah!” tak berkelip mata Luqman merenung wajah Adi.
“ Tapi aku tahu…kau lebih sukakan dia dan aku mengalah sebelum berjuang!” Adi tergelak. Entah kenapa dia sendiri rasa lucu. Bagaimana mereka boleh berbicara soal itu itu. Berbicara tentang seseorang yang telah pergi dari pandangan mereka.
“ Man, aku tahu selama ini kau berperang dengan perasaan sendiri. Pada zahirnya kau sering mengusik Sarah tapi jauh di sudut hati kau…kau dah lama sukakan dia. Dengan orang lain kau boleh kelentong, tapi bukan aku.  Dah lama kita kawan dan aku boleh selami perasaan kau. Cara kau pandang Sarah tak sama dengan cara kau pandang gadis  lain. Pandangan kau terhadap Sarah cukup istimewa, cuma Sarah saja yang tak tahu tentang hati kau kerana dia menganggap apa yang kau lakukan pada dia hanyalah sebagai gurauan sedangkan apa yang sebenarnya kau lakukan adalah untuk mencuri perhatian dia kan!
Sehari kau tak jumpa dia, tak dengar suara dia…kau gelisah. Aku sentiasa perhatikan kau… itu sebabnya aku tahu walaupun selama ini kau tak pernah nyatakan perasaan kau yang sebenarnya. Kalau cuti sekolah, kau selalu call aku, cerita pasal Sarah dan apa saja yang ada kaitan dengannya…!”
Akhirnya Luqman tersenyum. Dia akui kata-kata Adi itu benar. Dan dia tak sangka apa yang di pendamkan selama ini sudah lama di hidu oleh temannya itu.
“ Betul kata kau Adi….selama ini aku bersikap hipokrit dan ego. Aku tahu Sarah seorang gadis yang cukup istimewa. Dia tak pernah sembunyikan siapa dirinya, sentiasa bersikap sabar dan tenang dalam apa jua keadaan, cuma dengan aku aje dia selalu berang. Tapi sikapnya itulah yang membuatkan aku tertarik dengannya. Aku suka dia  kerana apa yang ada dalam dirinya, bentuk fizikal Sarah tak pernah menghalang aku untuk menyimpan satu perasaan terhadapnya. Tentu kau rasa pelikkan kenapa aku boleh sukakan dia berbanding dengan gadis lain!” Adi dan Luqman sama-sama tersenyum. Dalam fikiran masing-masing membayangkan keadaan Sarah.
“ Kau bukannya lelaki yang pelik kerana menyukai gadis tembam seperti Sarah tu…walaupun dia agak tembam tapi dia menarik, cute dan comel. Tapi aku pun hairan…kekadang kau ni terover sangat mengusik dia, kesian pulak aku tengok wajah dia sentiasa merah setiap kali berhadapan dengan kau!” Adi tergelak.
“ Aku cuma nak curi perhatian dia di samping melatih dirinya bersikap waja. Aku nak dia sentiasa ingatkan aku….kekadang orang yang paling kita bencilah yang sentiasa muncul dalam ingatan dan dari perasaan benci itulah timbulnya rasa sayang!” kata Luqman mengenai agendanya yang sebenar terhadap Sarah.
“ Tapi sayang, hasrat murni kau untuk menarik perhatian dia tu membuatkan dia meninggalkan kau…hm…sekarang ni meloponglah kau…harap-harap kau tak jadi gila bayang…!”
 Adi menumbuk bahu Luqman membuatkan Luqman tersengih.
“ Aku akan cari dia. aku akan tunggu dia dan aku akan pastikan dia jadi milik aku suatu hari nanti!”
Terlopong mulut Adi mendengar betapa nekadnya hasrat Luqman untuk terus mendapatkan Sarah.
“ Jangan hangat-hangat tahi ayam sudah…” usik Adi sambil tergelak.
Luqman hanya tersenyum. Satu nekad yang masih utuh tersimpan sampai ke hari ini biar pun telah 15 tahun berlalu. Mana mungkin dia dapat memberikan hatinya pada gadis lain bila hatinya sudah di curi oleh Sarah sejak dulu lagi. Tapi kenapa sejak munculnya Helyna, perasaannya mula berbelah bagi. Bagaimana agaknya kalau ditakdirkan suatu hari nanti mereka berdua akan muncul serentak.  Bagaimanakah dia nak membahagikan hatinya yang hanya satu itu. Mampukah dia?
***********

4 comments:

  1. MESTI ORG YG SAMA KAN

    ReplyDelete
  2. alaa ... Luqman ambik je helyna
    Sarah kn dh lama hilang!
    cepat writer continue lagi hehee

    -easylife

    ReplyDelete
  3. Salam kak aziena, saye selalu tunggu cerita sebenarnya saya cinta dia... Tapi akak dah x upload entry citer tu... rindu la cerite, bile akak nak upload entry tuk citer tu

    ReplyDelete
  4. Sarah nngn helyna org yg sama kke

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...