Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Thursday, 15 December 2011

MENGGAPAI RINDU 22 ( akhir)

oleh : Azieana


Bab 22 ( akhir )



INTAN termenung sendirian. Dia sengaja ponteng kuliah kerana dirasakan fikirannya tidak stabil saat ini. lagi pun apa yang berlaku padanya itu membuatkan dia tak ada mood dan hilang semangat untuk ke kuliah. Pelbagai andaian dan kemungkinan berlegar di kepalanya dan lelaki yang dikenali dengan nama Faris itu terus menghilang begitu saja selepas apa yang berlaku minggu lepas antara mereka.
“ Intan!”
Satu suara memanggil namanya mengejutkan lamunan Intan. Kemunculan Alan benar-benar diharapkan oleh Intan ketika ini kerana beliau telah berjanji untuk menolongnya.
“ Awak ok ke?...Sherry cakap awak tak masuk kuliah!” Alan bersuara selepas mengambil tempat duduk di hadapan Intan. Dia memandang wajah Intan dengan penuh perihatin membuatkan Intan rasa terharu dengan sikap lelaki itu. Dia tahu Alan seorang lelaki yang baik sepanjang tempoh dia mengenalinya.
“ Saya tak ada mood sekarang....saya takut dan bingung bila memikirkan kejadian yang berlaku minggu lepas” luah Intan sambil merenung jauh ke hadapan. Segan pula nak membalas pandangan Alan ketika ini.
“ Awak jangan bimbang. Kan saya dah janji akan bantu awak...jadi, awak boleh harapkan saya. Kalau Faris tak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada awak tempohari....saya sanggup terima awak, Intan. Saya ikhlas!”
 Intan benar-benar terkedu. Buat beberapa saat pandangannya kaku merenung wajah Alan. Nampak kesungguhan dan keihlasan pada wajah lelaki itu. Namun sikap dan kebaikan Alan benar-benar membuatkan Intan rasa serba-salah.
“ Alan, awak ada jumpa dengan Faris?” soal Intan tiba-tiba mengingatkan wajah Faris.
“ Faris?...ada. Kenapa?” berkerut dahi Alan mendengar pertanyaan Intan itu.
“ Betulke Faris tu kawan awak?” tanya Intan.  Dalam diam dia ingin tahu siapa sebenarnya Faris, lelaki yang telah  dilibatkan dengannya.
“ Ya. Kami dah lama kenal dan berkawan. Sekarang ni kami sama-sama buat M.A, cuba bidang yang berlainan. Dia tu ramai peminat....gadis mana yang tak terpikat dengan dia, anak orang kaya berpangkat Datuk, handsome, bergaya, bijak...hm...awak pun tentunya sukakan dia walaupun pertama kali jumpa dia hari tukan!”
Intan diam. Kemudian barulah dia mengeluh perlahan sebelum kembali menatap wajah Alan. Setahunya Alan juga terdiri dari keluarga yang agak  berada tapi  setakat yang dia kenal Alan, lelaki itu tak pernah mengkhianati mana-mana gadis. Malah Alan sentiasa menjaga kebajikan dirinya dan kawan-kawan yang lain. Maklum saja mereka berjauhan dari keluarga.
“ Ada tak dia cakap apa-apa pada awak pasal apa yang berlaku hari tu?” tanya Intan.
“ Ada. Alah...perkara tu dah biasa bagi dia, saya pun tak tahulah awak mangsanya yang ke berapa dan setahu saya, dia memang tak pernah nak bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Saya yakin, apa yang berlaku pada awak tempohari tak menjadi kudis pada dia....sia-sia aje kalau awak nak bersemuka dengan dia, pasti dia dah lupakan awak, Intan!” kata-kata Alan membuatkan Intan menelan liur. Terasa perit di tekak seperti peritnya menerima kenyataan bahawa lelaki yang bernama Faris telah merosakkan hidupnya.
“ Intan, ada surat untuk you” Joanna, teman rapatnya tiba-tiba muncul dengan menghulurkan satu sampul surat yang berukuran sederhana.
“ Siapa yang bagi?” soal Intan sambil meneliti sampul surat berwarna putih yang berpelekat itu. Joanna turut berlabuh di sisi Intan. Dia juga ingin tahu apakah isi kandungan surat yang hanya mencatatkan nama Intan sahaja.
“ I tak tahu. Ada orang yang minta I sampaikan pada you, katanya penting!”
Mata Joanna terus terpaku pada surat yang berada di tangan Intan. Nampaknya Intan teragak-agak untuk membukanya.
“ Intan....bukalah...I pun nak tahu apa isinya” kata Joanna yang sudah nampak teruja untuk melihat isi surat yang dikatakan penting itu.
Perlahan-lahan dan penuh hati-hati Intan membuka sampul surat itu. Dia menjenguk seketika isi surat itu dan dia terus terdiam. Wajahnya pucat tiba-tiba dan dia kaku di situ.  Joanna dan Alan saling berpandangan dan wajah mereka menggambarkan pertanyaan.
“ Intan...what`s wrong?” soal Joanna sambil mengoncang perlahan tubuh Intan  yang agak kaku itu. Kalut dia memikirkan keberangkalian isi kandungan surat itu. Alan juga nampaknya tak sabar untuk mengetahui isi surat itu dan kenapa wajah Intan tiba-tiba berubah sebaik saja menjenguk isi kandungan sampul surat itu.
“ Er....” serba salah Intan ingin memberitahu isi kandungan itu, namun sebaliknya Joanna terlebih dahulu mencapai sampul surat. Dia mengeluarkan isi kandungannya sampul surat itu. Mata Joanna terbuka luas dengan mulut ternganga sebaik saja melihat beberapa keping gambar Intan dan Faris ditangannya sebelum di rampas oleh Alan.
“ Joanna, I bersumpah...I tak buat semua tu....I di aniaya” Intan mula menangis teresak-esak. Joanna yang turut merasa penderitaan Intan segera menenangkannya. Dia percaya Intan memang di aniaya. Dia kenal Intan agak lama dan dia yakin Intan tak akan melakukan semua itu.
“ Intan...saya tahu awak seorang gadis yang baik dan saya percaya awak memang di aniaya! Saya nasihatkan awak bakar aje gambar ni sebelum perkara ini terdedah! Saya tak nak awak dapat malu kalau perkara ini disebarkan ” Alan bersuara dan cepat-cepat memasukkan gambar itu kembali ke dalam sampul surat sebelum di lihat oleh orang lain.
“ Sabar ya...I percaya, hal ini akan diselesaikan secepat mungkin dan semua ini hanya salah faham sahaja!” pujuk Joanna sambil menepuk bahu Intan beberapa kali agar Intan dapat bertenang. Alan turut mengangguk kepala, setuju dengan kata-kata Joanna.
“ Intan...can we talk for a while!
Intan mendongak, benar-benar terkejut dengan kemunculan Faris yang tiba-tiba ketika itu. Serta- serta dia menyapu air matanya. Tak mahu di lihat oleh Faris.
“ Awak sengaja nak malukan sayakan....awak jangan ingat saya seperti gadis-gadis yang pernah awak tiduri sebelum ini. Saya masih ada maruah diri dan saya tak akan mengalah pada awak. Saya akan cuba pertahankan hak saya. Awak jangan ingat awak boleh lepas tangan begitu saja. Awak ingat saya tak ada mak bapak ke? Atau awak ingat saya hanya anak kucing yang boleh di buat sesuka hati?” bentak Intan sebaik saja bertembung dengan wajah Faris. Biar lelaki itu tahu, dia bukannya gadis yang lemah.
“ Cik Intan, saya datang sini jumpa awak sebab saya nak berbincang dengan  awak...saya datang secara baik.  Boleh tak awak bertenang....jangan hanya tahu menuduh saya secara melulu dan membabi buta aje!” kata Faris cuba mengawal suaranya agak percakapan mereka tidak menarik perhatian orang ramai.
“ Bertenang?....amboi, senangnya awak cakap!” Intan bersuara sinis. Faris mendengus perlahan. Wajahnya nampak tegang.
Alan tiba-tiba bangun dan menghampiri Faris. Tangannya diletakkan di atas bahu Faris. Mereka saling berpandangan buat seketika. Risau juga Intan melihatnya. Takut berlaku sesuatu yang tidak diingin antara mereka berdua nanti.
Bro, apa rancangan kau yang sebenarnya?....cuba beritahu aku!” Alan masuk campur dalam perbualan Intan dan Faris itu.
“ Intan....untuk menyelesaikan masalah ini, saya akan kahwini awak. Hanya ini satu-satunya jalan supaya masalah ini tak akan berlanjutan dan yang paling penting adalah untuk menjaga maruah awak dan keluarga awak....begitu juga dengan saya dan keluarga saya. Tapi...kalau awak tak sudi....terpulang!” Faris bersuara tanpa mengendahkan pertanyaan Alan tadi. Dia mengalih pandangannya pada Intan membuatkan Intan terdiam. Memang dia belum bersedia untuk menerima cadangan Faris itu. Terasa begitu mendadak. Lain pula yang didengarnya dari mulut Alan tadi. Pandangannya di hala ke arah Joanna agar temannya itu membantu, namun Joanna juga sepertinya, agak terkejut dengan cadangan Faris itu.
“ Faris!” hanya itu yang keluar dari mulut Alan. Dia juga tidak berkecuali, terkejut.
“ Er...bagilah saya masa!” hanya itu yang mampu disuarakan oleh Intan.
“ Baiklah. Saya bagi tempoh untuk awak selama 2 hari. Fikirlah sebaik-baiknya cadangan saya itu. Saya tak mahu mendesak awak untuk terima cadangan saya. Saya tahu ada orang yang sengaja nak permainkan saya dan mengugut akan memberitahu orangtua saya tentang perkara ini.  Kalau saya dapat tahu angkara siapa...tahulah saya nak mengajarnya!” kata Faris sambil mengetap bibir. Kecut perut Intan melihat wajah Faris yang berubah tegang tiba-tiba.  Nampaknya dia benar-benar tak puas hati dengan apa yang telah berlaku tempohari.
“ Nanti kita akan jumpa lagi. Alan, kau nak balik dengan aku ke?” Faris memandang wajah Alan yang nampak agak terpingga-pingga bila namanya di sebut.
“ Er...kau balikla dulu. Aku ada hal nak di cakapkan dengan Intan” balas Alan.
Tanpa banyak bicara, Faris terus berlalu pergi.
“ Intan, kalau awak tak yakin untuk terima cadangan Faris tadi,....baik awak menolak. Masih ramai lagi lelaki yang baik dan ikhlas untuk menerima awak!” kata Alan merenung wajah muram Intan.
“ Salah seorangnya adalah you, kan?” Joanna mencelah membuatkan Alan tersengih sambil melurutkan rambutnya yang agak panjang melepasi bahu.
Terkulat-kulat Intan merenung wajah Alan  yang mula bertukar warna merah. Giliran Joanna pula yang tersenyum.

*************

KENAPA dengan Alan? Apa yang dah berlaku pada dia?” soal Intan bila melihat suaminya hanya diam membisu. Sudah lama dia tidak mendengar khabar berita tentang lelaki itu.
Selain Joanna, Alan lah satu-satunya lelaki yang banyak memberi sokongan dan dorongan padanya sepanjang berada di perantauan. Tapi,  sejak dia mengambil keputusan untuk menerima cadangan dan lamaran dari Faris dulu, Alan semakin menjauhinya. Pasti Alan kecewa dengan keputusannya itu. Sejak dari awal perkenalan mereka, dia tahu Alan tertarik padanya tapi dia tetap menganggap lelaki itu sebagai kawan dan abang sahaja. Tak lebih dari itu. Dan dia memang pasti dengan hatinya walaupun Alan nampaknya beria-ria mahukan hubungan mereka lebih dari hubungan itu.
“ Alan dah meninggal dunia 5 tahun lalu akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya”
“ Innalillahiwainna ilaihi rajiun”
Intan segera beristighfar. Menitis air matanya mendengar berita itu. Seolah-olah masih terbayang lagi wajah Alan yang sentiasa ceria dan tersenyum setiap kali mereka berjumpa dan berbual.
“ Alan adalah seorang kawan dan sahabat yang terbaik pernah Intan jumpa. Dia banyak membantu Intan, malah dia sentiasa ada di sisi Intan sejak peristiwa dulu” Intan benar-benar terharu. Dia mendoakan agar Alan ditempatkan antara orang-orang yang baik. Amin.
Intan terkejut bila mendengar Faris tiba-tiba mendengus. Wajahnya merah. Sepertinya dia tidak kesah dan kesal kehilangan sahabat yang baik itu. Malah ekspresi wajah Faris itu cukup mengelirukan Intan. Berkerut dahi Intan merenung wajah suaminya.
“ Alan....” Faris tiba-tiba ketawa sambil menyebut nama Alan.
“ Abang macam tak kesah aje dengan kematian Alan” timbul rasa kesal dengan sikap suaminya yang sepertinya tidak mengendahkan kematian Alan. Seolah-olah kematian Alan tidak memberi sebarang makna padanya. Pelik.
“ Apa gunanya kawan kalau kawan makan kawan!” berkerut dahi Intan mendengar kata-kata Faris.
“ Apa maksud abang?”
“ Kalau Intan nak tahu....dialah dalangnya. Orang yang bertanggung jawab merancang  untuk memerangkap kita dulu!”
 Faris mendengus kasar. Tulang pipinya bergerak-gerak.
“ Apa?...tak mungkinlah!” sangkal Intan.
 Benar-benar tak percaya.
“ Tapi itulah hakikatnya yang terpaksa kita terima. Dia sendiri yang mengaku pada abang. Semasa dia terlantar di hospital, dia ada hubungi abang!”
Hampir semput nafas Faris mendengar khabar yang Alan kemalangan. Malah sudah lama hubungan mereka terputus. Sebaik sahaja dia mendapat panggilan itu, dia begegas ke Pulau Pinang untuk berjumpa dengan Alan.
“ Faris, aku nak minta maaf pada kau. Aku dah buat salah pada kau....pada Intan. Mungkin inilah balasannya pada aku kerana menganiaya korang berdua dulu!” kata Alan dengan suara yang lemah. Hiba Faris melihat keadaan Alan yang nampak begitu nazak. Malah, wayar sudah berselirat di tubuhnya. Orangtua Alan hanya mampu memandang sambil mengalir air mata.
“ Alan, apa yang kau cakapkan ni?”
“ Maafkan aku Faris kerana baru sekarang aku memberitahu kau perkara yang sebenarnya....aku malu dengan kau!”
Alan tiba-tiba menangis. Faris mula rasa tak senang hati.
“ Sebenarnya....aku yang rancang kejadian kau dengan Intan dulu!” Alan terbatuk-batuk sambil mengesat air matanya. Fais makin bingung.
“ Aku tak faham maksud kau! Apa sebenarnya yang kau nak sampaikan ni?...apa yang dah kau rancang?” dua soalan serentak keluar dari mulut Faris. Orang tua Alan dilihat hanya mampu mengesat air mata mereka.
“ Aku tahu aku tak akan hidup lama....sebelum aku mati aku nak tebus kesalahan aku dengan memohon maaf pada kau, pada Intan. Er.....kenapa Intan tak datang bersama kau?...kan aku nak jumpa dia juga...kalau boleh aku nak berhadapan dengan dia...aku nak minta maaf dengan dia juga!”
 Mata Alan melilau seketika di sekitar bilik itu, mana tahu Intan ada. Tapi hampa. Wajah Intan tiada di situ.
“ Kami dah bercerai 4 bulan lepas dan sekarang aku dah kawin lain...pilihan orangtua” Beritahu Faris dengan nada kesal. Alan mengeluh panjang. Wajahnya tiba-tiba menjadi muram dan sayu. Beberapa titis air mata mengalir keluar dari kelopak matanya.
“ Di mana dia sekarang?...aku nak jumpa dia!” Alan cuba menggapai tangan Faris.
“ Aku tak tahu di mana dia berada sekarang!” jawab Faris dengan rasa kesal.
“Kenapa korang bercerai?...aku sangkakan korang bahagia hidup bersama”
“ Dah tak ada jodoh antara kami....aku tak boleh nak buat apa!” Faris hanya berserah.
“ Semua ini salah aku....salah aku...” kata Alan.
“ Tak ada gunanya kalau nak menyesal sekarang.....Alan, beritahu aku. Kenapa kau rancang kejadian dulu?...apa yang kau dapat dengan menganiya aku dan Intan?” Faris mula bosan dan mendesak. Kalaulah memang Alan yang betul-betul merancang kejadian dulu, dia tak akan maafkan kawannya itu.
Alan menelan liur.  Gerun pula melihat wajah Faris yang mula menyinga. Dia tahu Faris akan memarahinya. Dia masih ingat kata-kata yang pernah diucapkan oleh Faris dulu. “...kalau saya dapat tahu angkara siapa...tahulah saya nak mengajarnya!” kecut pula perutnya memikirkan kemungkinan yang bakal dihadapinya nanti.
“ Sebenarnya, aku dah lama sukakan Intan tapi dia tak pernah nak endahkan perasaan aku. Kenapa dia boleh layan dan rapat dengan lelaki lain tapi bukan dengan aku....maksud aku, kenapa dia tak boleh terima hati aku, perasaan aku dan cinta aku? Kenapa dia hanya anggap aku sekadar kawan dan abang sahaja sedangkan aku mahukan lebih dari itu!
 Pada malam tu, aku betul-betul rasa cemburu bila aku dapat lihat cara dia renung kau dari jauh. Aku tak tahu sama ada kau sedar atau tidak dengan renungan dia. Entah kenapa, aku bagaikan di rasuk untuk pekenakan kau dan dia...aku sengaja jadikan dia sasaran kerana aku tahu selama ini kau tak pernah pandang atau layan mana-mana gadis yang hendak menghampiri kau sedangkan kau sentiasa jadi buruan mereka.
 Kau seorang lelaki yang ego, ...kau rasa megah dengan apa yang kau miliki tanpa memikirkan orang sekeliling kau....aku, kawan baik kau. Aku sentiasa di jadikan orang perantaraan gadis yang mahu mengenali kau. Oleh itu...aku berpakat dengan beberapa orang kawan. Kami masukkan ubat tidur dalam minuman kau dan Intan. Kami buat seolah-olah kau dan Intan....er..kau sendiri dapat lihat melalui gambar yang aku hantarkan pada kau. Sedangkan pada hakikatnya tak ada apa-apa pun yang berlaku pada malam tu antara kau dan Intan kerana aku turut berada di situ memerhati kau dan dia! Pagi esoknya baru aku keluar dan masuk semula seolah-olah aku tak tahu apa yang sedang berlaku pada korang berdua!”
Faris mengenggam penumbuk. Sedaya upaya menahan diri dari terus bertindak di luar kawalan. Kalau tidak di fikirkan keadaan Alan ketika itu, pasti  penumbuk singgah di muka Alan.
“ Aku mengambil peluang itu untuk mendekati Intan dengan harapan dia dapat terima aku sekiranya kau tak pedulikannya. Tapi sayang, sangkaan aku meleset...kau terima dia dan dia juga menerima kau. Aku kecewa. Benar-benar kecewa. Harapan aku untuk bersama Intan musnah. Itu sebabnya aku menghilangkan diri dengan pulang ke Malaysia sebelum pengajian aku tamat!”
Faris meraup mukanya beberapa kali. Banyak kenangan lalu terlayar dalam ingatan dan betapa kecewanya dia selepas bertekad untuk melepaskan Intan dulu.
“ Intan tak salah. Dia tak tahu apa-apa....dia gadis yang baik. Kalau aku tahu kau ceraikan dia dan keadaan aku tidak seperti ini...pasti aku cari dia. ...tapi aku tahu...semuanya sudah terlambat. Sekali lagi aku minta maaf!” ujar Alan.
Ibunya yang sentiasa di sisi sudah beberapa kali mengesat air mata. Mungkin dia menyesal dan sedih dengan apa yang telah di lakukan oleh anak kesayangannya.
“ Faris, maafkanlah anak makcik...dia khilaf. Semoga dengan kemaafan dari Faris....jiwanya akan tenang dan makcik tidak terkilan jika dia pergi dahulu dari makcik dan pakcik!” ujar Datin Supiah sebak.
“ Betul kata makcik tu. Sebenarnya ...kami tak pernah mengajar anak kami untuk menjadi manusia yang tamak dan busuk hati....tapi apa nak buat, semua ini adalah takdir Allah. Mungkin ini juga silap kami kerana kami terlalu sibuk dengan urusan luar sehingga lupa akan tanggungjawab kami pada satu-satunya anak lelaki kami!” kata Datuk Munawar.
“ Saya faham. Cuma apa yang saya kesalkan....kenapa baru sekarang dia ceritakan semua ini pada saya....Alan, aku menerima Intan dan mengambil keputusan untuk mengahwininya dulu kerana aku cintakan dia! Kalau pun bukan kerana kejadian itu...aku akan berusaha untuk mendapatkan dia demi cinta aku pada dia....hanya kau yang tak tahu betapa dalamnya perasaan cinta aku pada dia!” terlopong mulut Alan mendengar kata-kata Faris itu. Sedikit pun dia tidak menduga kata-kata itu dapat didengarnya ketika itu dan memang inilah hakikatnya.
“ Faris!”
Hanya itu sahaja yang mampu di suarakan. Apa lagi usai mengucapkan kata-kata itu Faris terus berlalu tanpa sedikit pun menoleh atau mengucapkan selamat tinggal. Apa lagi ucapan aku maafkan kesalahan kau belum pun keluar dari bibir Faris. Alan memejam matanya rapat-rapat.
“ Maafkan aku, Faris!” hati Alan terus merintih pilu, sarat dengan rasa bersalah bersama linangan air mata.
*************

“ ABANG,....hmm...jauhnya mengelamun” sergahan Intan membuatkan Faris tersentak. Baru dia sedar betapa jauhnya dia mengelamun.
“ Ops, kita cakap pasal apa tadi?” berkerut dahi Intan merenung wajah suaminya yang sudah pun melepmparkan senyuman.
“ Kita masih cakap Alan dan kisah kita dulu-dulu...banyak betul kenangan lama yang masih tersimpan dalam ingatan kita kan!” kata Intan sambil menyandarkan  kepalanya di bahu Faris. Dan Faris segera merangkul tubuh Intan. Ketika itu mereka sedang bersantai di balkoni. Aiman sedang di layan oleh datuk dan neneknya. Sejak Intan berkahwin semula dengan Faris dan berpindah ke banglo mewah milik Datuk Amran, Datin Saidah melayan dengan baik. Dia mula dapat menerima kehadiran  Intan dan Aiman sebagai sebahagian keluarganya.
“ Sayang, abang minta maaf kerana dulu abang pernah salah sangka pasal sayang dulu. Selepas kita berpisah, barulah abang tahu Intan sengaja buat abang marah dan mama turut  memainkan peranan  dalam hal perceraian kita. Di tambah pula dengan pengakuan Alan bahawa kita sama-sama teraniaya gara-gara Intan tak terima dia dan rasa cemburunya pada abang” Faris mengeluh perlahan.
“ Abang....Intan harap abang dah maafkan Alan atas apa yang dia lakukan pada kita dulu, kemaafan akan buat diri kita tenang dan bahagia!”
“ Ya...abang dah maafkan dia. Dan abang doakan agar rohnya akan tenang di sana!”
“ Walaupun dia pernah aniaya kita dulu...tapi Intan masih menganggap dia kawan baik Intan.  Dia banyak bantu Intan dan bagi Intan....dia adalah seorang abang yang baik! ...abang, sudah tiba masanya kita lupakan kisah yang lalu. Kita patut bina hidup baru!”
“ Betulke?...jadi, Intan dah maafkan abang dan kesalahan abang dulu?” Faris mengenggam erat tangan Intan. Bila Intan mengangguk perlahan, cepat-cepat dia mengucup tangan Intan. Hatinya benar-benar gembira dan rasa bersyukur kerana segala masalah mereka dapat diselesaikan. Terasa seperti beban yang di pikulnya selama ini sudah tiada.
Bagi Intan, dalam diam dia memang memaafkan Faris sudah lama. Apa yang berlaku dulu bukanlah kesalahan Faris. Dia tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kehadirannya dalam keluarga Faris yang tidak di terima oleh Datin Saidah lantaran dia sudah ada pilihan sendiri untuk dijodohkan dengan Faris sebaik saja Faris tamat belajar. Oleh sebab itu  ada-ada saja masalah yang membuatkan perceraian mereka dulu. Tapi kini, semuanya sudah selesai.
“ Setelah abang tahu punca perceraian kita, abang berbincang dengan  Arianna dan kami mengambil keputusan untuk berpisah secara baik. Arianna pun ketika itu lebih mementingkan kerjayanya dari rumahtangga. Selepas itu abang pernah cari Intan tapi tak berjaya. Orangtua Intan sendiri pun  tak ingin tahu pasal Intan sejak kita kahwin. Tapi sejak abang bertemu semula dengan Intan, abang yakin yang selama ini abang tak pernah lupakan Intan walaupun abang pernah mencuba!”
Intan tersenyum. Jauh di sudut hati, betapa dia rasa gembira dan bahagia bahawa dirinya tak pernah luput dalam ingatan Faris walaupun setelah bertahun-tahun mereka berpisah. Dan sememangnya dia tidak hairan kerana dia juga merasakan begitu.
“ Intan juga nak ucapkan terima kasih pada abang.  Baru Intan tahu kenapa mak dan ayah  sudi memaafkan Intan. Rupa-rupanya abang yang memujuk mereka dan menceritakan semua yang berlaku pada kita dulu. Kalau Iman tak bagi tahu, sampai sekarang Intan tak tahu apa puncanya mereka tiba-tiba nak berjumpa Intan dan seterusnya memaafkan Intan.” Pipi kiri Faris di kucup perlahan. Sebagai balasannya dahi Intan pula yang di kucup Faris. Akhirnya mereka berbalas senyum.
“ Dulukan abang pernah berjanji akan membantu Intan supaya orangtua Intan kembali menerima Intan. Dan ketika itu juga abang berterus-terang pada mereka yang abang terlalu cintakan Intan dan mahukan hubungan kita pulih kembali tapi abang tak berapa yakin sebab ketika itu wujudnya Izzat antara kita. Cuma yang abang tak sangka ialah orangtua abang tiba-tiba masuk meminang Intan tanpa beritahu abang terlebih dahulu!”
“ Memanglah selama ini hubungan Intan dan Izzat memang rapat tapi Intan tak dapat nak cintakan dia kerana....”
“ Kerana apa?”
“ Kerana....sejak pertama kali Intan melihat wajah abang...hati Intan dah terpaut. Itu sebabnya Intan terima cadangan dan lamaran abang dulu!” Intan tertunduk malu kerana telah memberitahu hakikat sebenar apa yang dipendamnya selama ini.
“ Nampaknya kita sama. Abang rasa abang terlebih dahulu cintakan Intan sebelum kita bertemu pada malam itu” balas Faris.
“ Maksud abang?”
Faris tersenyum.
“ Intan pun tahukan yang Alan tu sukakan Intan tapi Intan yang tak endahkan perasaan dia. Dulu, kami sewa satu apartmen. Jadi, abang selalu mencuri pandang wajah Intan  pada foto yang menjadi hiasan meja studynya. Abang selalu berharap dapat berjumpa dengan Intan. Alan pulak selalu ceritakan pada abang pasal Intan dan pada malam itu dia beritahu abang yang Intan akan turut serta dalam party malam tu. Jadi...abang sertai mereka semata-mata mahu menatap wajah Intan secara dekat. Tapi  tak sangka pula Alan tu mempunyai agenda yang tertentu terhadap kita. Hmm....mungkin juga kita sepatutnya berterima kasih pada arwah kerana menemukan kita dulu. Kalau bukan kerana niatnya nak menganiya kitadulu, kita tak akan kahwin walaupun abang pernah bertekad untuk mendapatkan Intan suatu hari nanti!” terpegun Intan mendengar cerita itu. Bibirnya mengukir senyum. Tak sangka sejak dari dulu dia memang tidak bertepuk sebelah tangan. Rupa-rupanya selama ini mereka mempunyai perasaan yang sama.
Di balik kebahagiaan itu terselit juga rasa terkilan. Kalaulah sejak dari dulu lagi mereka berterus-terang seperti ini, mungkin mereka tak akan menghadapi semua ini.
“ Intan sayang....!”
Intan kembali membetulkan kedudukannya. Dia merenung wajah Faris dengan rasa kasih.
“ Sekarang abang rasa lega dan  bahagia kerana apa yang terbuku di hati abang telah abang luahkan. Abang janji yang abang akan cuba sedaya-upaya untuk membahagiakan Intan. Abang tak mahu Intan terluka lagi. Kebahagiaan Intan dan Aiman adalah keutamaan abang!”
“ Dan kebahagiaan abang adalah keutamaan Intan. Terima kasih abang....terima kasih, sayang!” Intan segera memeluk tubuh Faris. Menitis air matanya kerana bahagia.
“ Sayang!”
Faris menyapu air mata di wajah Intan sambil mengukir senyum.
“ Abang ada hadiah untuk sayang sempena perkahwinan kita!” Faris bangun dan meninggalkan Intan. Dia membuka laci dan mengeluarkan satu sampul surat. Segera diserahkan pada Intan. Terbeliak mata Intan melihat kandungan isi sampul itu.
“ Tiket!”
“ Ya...tiket untuk ke Jepun. Untuk Intan, Aiman dan abang” lama Intan memandang wajah suaminya seakan tak percaya.
“ Abang nak berjumpa dengan Izzat di sana...untuk ucapkan terima kasih pada dia. Abang dah hubungi dia dan dia pun tak sabar nak jumpa kita, saja abang nak bagi surprise untuk sayang. Abang juga percaya sayang dan Aiman tentunya rindukan dia kan!”
“ Terima kasih abang. Terima kasih sekali lagi” tangan Faris di kucupnya bertalu.
“ Minggu depan kita akan ke Jepun. Nanti hujung bulan ni abang dah rancang nak ke Paris....berdua dengan sayang!”
“ Ke Paris?....berdua?....Aiman?” Intan benar-benar terkejut dengan rancangan yang di atur oleh Faris tanpa memberitahunya lebih awal.
“ Abang cuma nak habiskan saat-saat indah berdua dengan isteri abang...kita pergi honeymoon selama seminggu di sana sebelum kita honeymoon ke Switzerland pula...abang masih berhutang dengan sayang tau! Aiman tu tak perlu sayang risaukan sebab dia pun dah rapat dengan mama dan papa, jadi tak ada masalah kalau kita tinggalkan dia seminggu dua walaupun selama ini abang tahu sayang tak pernah berpisah dengan Aimankan!” Faris menarik hidung Intan  sambil mengenyit mata membuatkan wajah Intan mula merona merah.
“ Abang cuma mahu Intan tahu, abang sayang kan Intan, terlalu sayang!” lagi sekali dahi Intan dikucup Faris. Intan memejam mata menghayati kucupan itu. Rasa bahagia menyelinap segenap tubuhnya.
“ Intan juga begitu!” balas Intan sambil mengukir senyum. Senyuman yang cukup manis buat suami yang tercinta. Doanya semoga hari-hari yang seterusnya penuh bahagia dan penuh keberkatan. Amin.

***TamaT***



















5 comments:

  1. ..huhuh...best nyer...bahagia juga diaorang...good writer..thumbs up.. ^-^

    ReplyDelete
  2. heeheee ... i like happy ending mcm ni :) so actually both intan n faris ni do fall in love wit each other masa kat U .... but a bit pity wit the flow of their lov-story yg tepaksa go through so many difficulties -

    TQVM writer - will support u wit ur new novel n good luck :)

    ReplyDelete
  3. pheew ... finally .... Faris & Intan bahagia -suke sngat citer ni.. xde special entry ke writer?

    -lovely lady-

    ReplyDelete
  4. seronok..akhirnya segala kekusutan dpt dileraikan..
    Faris n Inta..kalu da jodoh tu..bermacam rintangan pun akan bersatu jua...
    best....

    ReplyDelete
  5. buat la special entry kak...(^_^)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...