Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Thursday, 8 December 2011

MENGGAPAI RINDU 19

oleh: Azieana

Bab: 19







Bab 19
SEBELUM masuk ke biliknya, Intan menjenguk seketika wajah Aiman. Memang menjadi kebiasaannya dia akan mengusap lembut kepala Aiman yang sedang lena. Wajah Aiman itu direnungnya dengan penuh rasa kasih sayang. Wajah Aiman yang semakin persis wajah Faris itu membuatkan  dia sukar melupakan lelaki itu. Betullah kata Datin Saidah, setiap kali dia menatap wajah Aiman, pasti wajah Faris terbayang dimatanya. Mungkin sebab itu juga dia sukar menerima kehadiran lelaki lain
Selepas membetulkan selimut Aiman, Intan menutup semula suis lampu bilik itu. Sebelum masuk ke biliknya, dia terlebih dahulu meninjau keadaan rumah. Memastikan semua tingkap berkunci dan keadaan rumah selamat.  Intan mencapai telefon bimbitnya dan melabuhkan punggung di tepi katil.
“ Assalamualaikum!” kedengaran suara di hujung talian memberi salam.
“ Waalaikumussalam....ayah sihat?” Intan bertanya.
“ Alhamdulillah, sihat...along, kenapa lama tak balik? Ayah dah lama rindukan cucu ayah tu!” suara tenang Hj Ahmad itu membuatkan Intan  sayu tiba-tiba.
“ InsyaAllah...along akan balik pertengahan bulan ni... mak tengah buat apa?”
“ Mak along dah tidur...dia kurang sihat sikit. Dah dua tiga hari asyik batuk dan selesema!”
“ Betulke?...teruk ke selesama dan batuk mak....ayah dah bawa mak pergi klinikke?” risau Intan mendengar perkhabaran itu.
“ Selesema biasa aje....katanya masih larat lagi nak pergi mengajar di sekolah!”
Intan diam. Hatinya sedikit lega.
“ Along...”
Suara Hj Ahmad kedengaran selepas beberapa detik mereka mendiamkan diri.
“ Along dah buat keputusanke? Dah dekat 3 minggu ayah minta tangguh....risau pulak ayah kerana dibiarkan bergantung tanpa berjawab. Lagi pun serba salah pula ayah nak menolak bila mereka beria-ria. Ayah bukan nak memaksa along...lagi cepat along buat keputusan, lagi  cepat benda ini akan selesai!”
“ Ayah...”
Hanya itu yang mampu disuarakan. Dia tahu lambat laun hal ini pasti akan diselesaikan. Kerana usul dari ayahnya itulah, dia menerima lamaran Izzat tempohari.
“ Along, along berhak buat apa jua keputusan. Ayah dan mak akan akur. Kami tak mahu bebankan fikiran along...kebahagiaan along adalah kebahagiaan kami. Kalau along dah buat keputusan untuk menerima pilihan along tu, kami tetap terima. Semuanya terpulang pada along!”
Intan nekad untuk buat keputusan ini. Apa jua yang berlaku di kemudian hari, dia akan berserah hanya pada takdir. Dia akan menghadapinya dengan tabah.
*************


 “ FARIS, ada perkara penting yang mama nak cakapkan dengan Faris!” Datin Saidah bersuara  sebaik sahaja wajah Faris muncul di ruang rehat. Tanpa sepatah kata Faris melabuhkan punggung di sofa yang berhadapan dengan mamanya. Faris turut memandang sekilas wajah papanya yang duduk di sebelah mamanya, begitu asyik menatap akhbar. Ketika dia melangkah ke ruang itu, dia baru sahaja selesai mandi selepas pulang berjumpa dengan temannya petang itu. Supiah muncul dengan menghidang minuman petang dan juga bubur jagung.
“ Bang…!” Datin Saidah menoleh ke arah suaminya disebelah sambil menepuk perlahan peha Datuk Amran, mengharapkan agar suaminya akan turut serta dalam perbincangan itu nanti. Datuk Amran memandang sekilas wajah isterinya dan melipat akhbar yang di baca sebelum meletakkannya di atas meja kecil di sebelah kanannya.
“ Perkara apa yang mama dan papa nak cakapkan dengan Faris?....macam penting je!”   Hairan Faris melihat wajah orangtuanya. Mereka di lihatnya sedang berpandangan antara satu sama lain. Sesuatu yang sukar untuk diucapkan yang pastinya melibatkan dirinya.
“ Mama dan papa cuma nak tahu tentang hubungan Faris dengan Intan!”  pernyataan yang ingin diketahui oleh orangtuanya membuatkan Faris benar-benar tersentak. Dia mula menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rambutnya yang basah terikat kemas tadi mula sedikit kusut.
“ Er….hubungan Faris dengan Intan cuma biasa je…  kami memang dah tak ada apa-apa hubungan  lagi. Dia hanya ibu untuk anak Faris, Aiman. Mama dan papa pun tahukan  dia dah ada pilihan sendiri, malah Faris dengar sendiri yang dia dah terima lamaran dari Izzat!” terdiam orangtuanya mendengar kata-kata Faris. Wajah mereka nampak begitu sugul.  Datin Saidah kemudian memandang wajah suaminya. Datuk Amran hanya mengeluh perlahan. Lama dia merenung wajah Faris yang mula resah bila orangtuanya berterusan memandangnya.
“ Faris masih mengharapkan Intan?...maksud papa….perasaan Faris terhadap Intan” Datuk Amran bersuara membuatkan Faris termenung. Dia sengaja menyoal Faris begitu sedangkan dia tahu apa perasaan Faris terhadap bekas isterinya itu. Dia juga tahu bahawa Faris nampak aje di luar tenang tapi hatinya merintih sayu kerana perasaan cintanya terhadap Intan tidak kesampaian sejak bertahun lamanya dia menunggu.
“ Entahlah….susah Faris nak terangkan. Mama dan papa sedia maklum perasaan Faris pada Intan selama ini….mungkin bukan jodoh kami!” kata Faris perlahan sambil menundukkan wajah. Cuba menyembunyikan resah dan sebak di dada. Namun, terdetik juga rasa hairan, kerana orangtuanya tiba-tiba membangkitkan isu ini.
“ Faris. Kami, kalau boleh tak nak selamanya melihat Faris hidup macam ni! Faris masih lagi muda….banyak peluang lagi untuk hidup bahagia.  Mama dan papa ingin sekali melihat Faris berkeluarga, ada isteri, ada anak-anak yang akan menyeri hidup macam orang lain….jangan kerana 2 kali kegagalan hidup berumahtangga membuatkan Faris serik…mungkin kebahagiaan yang sebenar untuk Faris belum wujud, kebahagiaan Faris adalah kebahagiaan kami….semuanya itu kerja Allah!” lirih suara mamanya membuatkan Faris tertunduk. Terharu dengan harapan dan impian orangtuanya. Bukan dia tak mahu tapi dia tak berupaya memenuhi harat mereka itu.
“ Faris,…sebenarnya, mama dan papa dah carikan jodoh untuk Faris, kami harap pilihan kami ini akan sesuai untuk Faris. Pihak perempuan pun tak ada bantahan…jadi kami dah buat keputusan minggu depan Faris akan segera bertunang.  Mama bukan nak memaksa tapi mama hanya mahu yang terbaik untuk Faris kerana mama dan papa sangat sayangkan Faris. Hanya Faris satu-satunya anak kami!” !” mendengar kata-kata itu membuatkan Faris menelan liur. Memang dia terkejut mendengarnya tapi tak sampai hati pula nak menolak. Takut mengecewakan orangtuanya. Tapi bagaimana dengan hatinya!
“ Baiklah, kalau itu yang mama dan papa rasa yang terbaik untuk Faris….mama dan papa teruskan. Segala keputusan dan persiapan Faris serahkan pada mama dan papa!” akhirnya Faris membuka mulut. Kata-kata yang keluar dari mulut Faris itu membuatkan orangtuanya kelu. Ternyata mereka tak sangka begitu cepat Faris membuat keputusan.
“ Faris nak keluar jumpa kawan” kata Faris sambil mengangkat punggung membuatkan orangtuanya hanya diam membisu. Tidak menegah, tidak juga menghalang walaupun mereka sedar yang Faris baru saja pulang bertemu kawan dan kali ini keluar lagi.
“ Biarlah dia keluar, abang tahu dia hanya ingin menenangkan fikiran!” kata Datuk Amran sebaik saja wajah Faris hilang dari pandangan mereka.
“ Abang, Idah macam tak percaya dia akan buat keputusan secepat itu…malah menyerahkan semuanya pada kita!” hampir menitis air mata Datin Saidah kerana terlalu gembira dengan keputusan Faris.
“ Syukurlah…abang pun tak sangka dia tak membantah, malah tak bertanya siapakah gadis itu….kalau sebelum ini ada-ada aje alasannya. Apa agaknya yang membuatkan dia terus terima cadangan Idah  tu ya?....” berkerut dahi Datuk Amran yang kehairanan dengan sikap Faris.
“ Mungkin dia rasa dia tak akan berpeluang memiliki Intan lagi…perangainya pun Idah tengok semacam aje….murung dan asyik termenung je….kesian Idah tengok dia bang!” Datin Saidah mengeluh perlahan.
“ Abang harap jodoh dia kali ini akan terus kekal berpanjangan” kata Datuk Amran penuh harapan membuatkan tangan Datin Saidah mengenggam kemas tangan suaminya. Dibibirnya terukir senyuman manis tanda kelegaan.
***************

I akan bertunang hujung minggu ni!”
Intan terbatuk-batuk kecil mendengar berita yang baru disampaikan oleh Faris. Lelaki itu nampak begitu tenang ketika menuturkannya tanpa sedikit pun memikirkan perasaan Intan yang dilanda gundah tiba-tiba. Cepat-cepat Intan mencapai tisu, dilap mulutnya perlahan. Wajah lelaki yang sedang duduk dihadapannya di tenung seketika. Entah kenapa hatinya cukup sayu dan tersentuh mendengarnya.
“ Kenapa?... you macam tak percaya aje yang I akan bertunang!” Faris bersuara sambil menyandarkan tubuhnya di kerusi. Matanya tidak lekang dari merenung wajah Intan yang mula sugul. Dia begitu merindui wajah itu. Bertahun sudah wajah itu sentiasa terbayang di ruang matanya, wajah dan tubuh yang hanya mampu dimiliki buat seketika dan kini bila mereka bertemu semula,  dia tetap tak mampu memlikinya.dan yang pasti memang sudah jelas yang  mereka tidak akan dapat bersama lagi.
“ Kenapa pulak I tak percaya cakap you…dulu pun selepas sebulan kita bercerai, you terus berkahwin sedangkan I masih lagi sendiri. Nampaknya you dah mengalah atau you dah bertemu dengan jodoh yang lebih baik....hm.....apa-apa pun I ucapkan tahniah, moga you bahagia!”  kata Intan sambil mengukir senyum. Sebenarnya saat ini dia hanya menahan sebak. Entah kenapa berita yang baru disampaikan oleh Faris mengenai pertunangan lelaki itu benar-benar membuatkan Intan rasa terpukul.
“ I masih lagi seperti dulu. Masih mengharapkan sesuatu yang tak pasti dan tak mungkin I miliki. Well.....sekarang ni you pun dah memilih Izzat, jadi...  nak tak nak  I terpaksa akur dan mengaku kalah.... I  doakan agar you bahagia dengan pilihan you!”
Buat seketika masing-masing  membisu. Seolah-olah tiada perkara yang ingin dibicarakan. Benar, suasana terasa sepi walaupun ketika ini mereka berada di sebuah restoran  yang mana  kebanyakan meja sudah dipenuhi pelanggan tapi suasana tetap terasa sepi dan bisu.
“ Siapa gadis tu? Macam mana you kenal dengan dia?” tiba-tiba Intan bertanya membuatkan Faris tersentak. Sangkanya isu itu hanya dibiarkan berlalu. Rupa-rupanya Intan ingin memanjangkannya. Bagi Intan, bagaikan membuak rasa ingin tahu, siapakah gadis yang akan menjadi suri hidup lelaki itu. Cantikkah dia? Istimewakah gadis yang akan bergandingan dengan lelaki itu?  Ah....pasti gadis itu cantik dan menawan, kalau tidak Faris tak akan menerimanya. Tak sangka dalam diam hati Faris sudah di miliki. Intan merintih lagi.
“  Siapa pun gadis itu...tidak penting buat you. Gadis itu bukan pilihan I dan I tak pernah kenal dia...mama dan papa yang tentukan semua tu. I harap jodoh I kali ini akan kekal kerana I tak sanggup nak menghadap  muka tok kadi lagi....ini kali ke 3 tau I kawin....” Faris sempat mengukir senyum. Begitu juga Intan.
“ Hm...you asyik tanya pasal I aje...you pulak?...macam mana persiapan kawin you dengan Izzat....bila nak dilangsungkan majlis pertunangan dan majlis kawin....janganlah buat serentak....kesian kat Aiman, tak tahu nak raikan majlis perkahwinan mama atau papanya!” sekali lagi Faris tersenyum sambil membayangkan wajah Aiman. Secara tak langsung dia juga ingin mengetahui sejauh mana persiapan yang dibuat oleh Intan dan Izzat.
“ Sebenarnya....kami masih lagi dalam perbincangan. Izzat tak ada di KL sekarang....susah kami nak jumpa!” beritahu Intan.
“ Izzat di mana sekarang?”
“ Dia ada kat Jepun sekarang!” beritahu Intan.
“ O....patutlah wajah you tak ceria aje I tengok...buah hati tak ada kat sini!”  Faris tersenyum.  Intan menundukkan wajahnya. Mungkin tak sanggup nak berhadapan dengan Faris ketika itu.
“ Nanti jangan lupa jemput I masa majlis kawin you nanti....  walaupun kita  dah berpisah, kita masih boleh jadi kawankan!” kata Faris.
“ Ya...  you pun jangan lupa jemput I nanti!” balas Intan menghadiahkan senyuman.
***************

FARIS jadi bingung ketika kereta yang di pandu oleh  pemandu Datuk Amran berhenti di sebuah rumah. Dia yakin bahawa rumah ini pernah  dikunjunginya sebelum ini. kenapa orangtuanya membawa dia ke sini? Pelbagai andaian yang tidak enak mula muncul dalam fikirannya dan secara tak langsung peluh sudah membasahi wajahnya walaupun berada di dalam kereta ber aircond.
“ Ma, betulke kita nak datang sini?” Faris bertanya. Dia yang berada di tempat duduk hadapan menoleh ke belakang memandang wajah orangtuanya.
“ Kenapa?....tak percaya?...apa tunggu lagi! Tak nak keluarke?.....takkan nak berkurung kat dalam kereta ni!” Datin Saidah bersuara sambil ketawa kecil. Lucu pulak bila mengenangkan gelagat Faris yang keresahan itu. Datuk Amran hanya tersenyum sambil mengeleng kepala. Sengaja mendiamkan diri. Dia sebenarnya rasa seronok kerana berjaya membuat Faris tertanya-tanya tapi jauh di sudut hati dia berharap apa yang dilakukan olehnya bersama isteri  akan membahagiakan anak mereka.
Kunjungan keluarga Datuk Amran ke rumah itu dengan 2 buah kereta.  Majlis pertunangan akan di buat secara ringkas sahaja dan segala urusan perkahwinan akan dibincangkan kemudian.  Setiap langkah yang di atur penuh debaran. Faris dapat merasakan betapa sejuk tangannya saat ini.  Sewaktu  kakinya melangkah ke dalam rumah itu, terasa semua orang sedang memandangnya dengan pelbagai andaian. Faris mengukir senyum bila bersalaman dengan beberapa orang yang berada di ruang tamu itu, mungkin saudara terdekat tuan rumah agaknya. Barang-barang hantaran untuk majlis pertunangan di letakkan di satu sudut. Seakan nak keluar jantung Faris saat tangannya bersalaman dengan tuan rumah yang nampak begitu segak dengan memakai kemeja dan seluar hitam, begitu juga dengan pasangannya, sopan berbaju kurung dan bertudung.
“ Ma, betulke  kita datang rumah ni?” Faris sempat berbisik di telinga Datin Saidah.
“ Faris jangan nak buat perangai...malukan mama dan papa. Kan Faris dah serahkan semuanya pada mama dan papa!” balas Datin Saidah cuba mengawal suara dan pandangannya agar perbualan mereka tidak menjadi perhatian orang lain.
“ Tapi ma.....” Faris tetap rasa serba –salah.
“ Sudah. Duduk diam-diam....mama tak nak dengar apa-apa bantahan dari Faris lagi, faham!” tegas Datin Saidah sambil mengukir senyum pada tuan rumah yang sedang memandang ke arah mereka berdua yang sejak dari tadi asyik berbisik-bisik.
Faris menarik nafas. Dia sempat menjeling ke arah papanya yang nampak begitu rancak berbual dengan  saudara tuan rumah. Faris hanya menjadi pemerhati tapi otaknya tetap ligat memikirkan apa sebenarnya yang sedang berlaku.
Majlis perbincangan berjalan dengan lancar. Tempoh pertunangan dan majlis perkahwinan juga turut dibincangkan. Faris tetap membatu.  Hati yang resah bertambah resah. Ada sesuatu yang masih terbuku tidak berjaya diluahkan.
Lelaki selaku tuan rumah segera memberi isyarat pada isterinya supaya membawa anak mereka keluar kerana sekejap lagi upacara menyarung cincin akan dilangsungkan.  Faris menanti dan terus menanti sambil menundukkan wajah. Rasanya tak sanggup nak bertembung muka. Dia tak sanggup menerima keberangkalian.
“ Faris....” Datin Saidah berbisik perlahan di telinga Faris membuatkan Faris mendongak. Di saat matanya bertemu dengan mata  gadis itu, berlaku sesuatu yang tidak dijangka bila gadis itu tiba-tiba pengsan di hadapan tetamu. Suasana menjadi riuh dan kecoh. Faris hanya mampu menelan liur.
*************


FARIS memberhentikan kereta di hadapan rumah tunangnya. Baru semalam mereka di tunangkan dan hari ini dia sudah muncul semula di halaman rumah itu. Orangtuanya dan saudara mara yang lain masih berada di homestay di Wakaf Che Yeh. Malam tadi mereka  membeli di Pasar Borong Wakaf Che Yeh.  Memang dah lama mama bercadang nak berkunjung ke Kota Bharu tapi selalu saja ada hal. Kali ini nampaknya mama memang bershopping sakan. Banyak betul barang yang di belinya, katanya sebagai buah tangan untuk kawan-kawan.  Sekejap lagi mereka merancang untuk singgah di beberapa tempat untuk membeli belah seperti di Pengkalan Kubur, Rantau Panjang dan juga membeli belah di Pasar Siti Khadijah atau pun di Bazar Tok Guru di Kota Bharu. Esok mereka akan bertolak pulang ke Kuala Lumpur.
“  Faris, jemput masuk!” seorang lelaki dalam usia awal 50-an muncul dan bersalaman dengan Faris, terus Faris di pelawa masuk ke dalam rumahnya.
“ Apa khabar, pakcik?” Faris sekadar bersapa.
“ Baik. Alhamdulillah.... macam mana dengan orangtua Faris, apa rancangan mereka hari ini?”  tegur lelaki itu sebaik sahaja mereka berlabuh di sofa.
“ Orang tua Faris bercadang nak pergi ke Rantau Panjang sebentar lagi...mama yang sibuk nak bershopping” kata Faris.
“ Hm....bershopping sakan mereka tu nanti ya....” lelaki itu tergelak. Faris sekadar mengukir senyum.
“ Papa....” suara kanak-kanak yang baru muncul di ruang tamu itu membuatkan Faris tersenyum.  Dia mendapatkan Faris dan segera mencium kedua-dua pipi Faris sambil di perhatikan oleh Hj. Ahmad.
“ Faris, dah lama sampai?” Hjh.Khadijah yang baru muncul dari ruang dapur segera bersuara.
“ Baru aje makcik, mama dan papa kirim salam pada pak cik dan makcik” ujar Faris. Pasangan suami isteri segera menjawab salam itu. Faris tidak lupa menyerahkan plastic yang di bawanya sebagai buah tangan untuk berkunjung ke rumah itu. Kekok pula dia nak membahasakan wanita itu mak walaupun dia pernah menjadi menantu mereka.
“ Apa ni?...buat susah-susah aje Faris ni...” Hjh. Khadijah bersuara sambil menyambut huluran tangan Faris yang mengandungi buah-buahan.
“ Aiman, pergi panggil mama!” Aiman mengangguk perlahan mendengar arahan neneknya. Sememangnya kunjungan Faris ke rumah itu sudah di maklumkan oleh Faris terlebih awal.
“ Makcik tahu, banyak perkara yang Faris dan Intan nak bincangkan. Kali ini makcik dan pakcik harap jodoh korang berdua akan berpanjangan....kesian Aiman. Pasal kejadian semalam....makcik tak tanya lagi pada Intan. Dia asyik diam aje. Dulu dia ada cakap yang dia ada kawan dengan seorang lelaki, namanya Izzat...tapi bila kami bagi tahu pasal rombongan peminangan ini dia hanya diam.  Tiba-tiba dia telefon kami dan menyerahkan pada kami untuk buat keputusan tentang peminangan ini tanpa bertanya rombongan peminangan ini dari siapa. Kami rasa dia benar-benar terkejut bila menyedari rombongan peminangan yang kami terima datangnya dari keluarga Faris...sebab tulah dia jatuh pengsan agaknya!” Hjh. Khadijah memandang wajah suaminya yang mengangguk perlahan. Mungkin mengiyakan kata-katanya.
“ Pakcik cuma harap perkara yang sama tak akan berulang lagi.  Kami tak nak kehilangan Intan untuk sekali lagi!” celah Hj. Ahmad sambil merenung wajah Faris.
“ InsyaAllah...itu sebabnya Faris datang ni nak berbincang dengan Intan sebelum membuat apa-apa berlaku di kemudian hari!” kata Faris dengan tenang. Terpancar rasa kelegaan pada wajah pasangan suami isteri di hadapannya. Ketika itu Aiman muncul bersama Intan. Mereka berpegangan tangan.
“ Mama, mama pakai cantik-cantik ni mama nak pergi mana?” Aiman mendongak, merenung wajah Intan yang ketika itu mengenakan sepasang baju kurung warna pink muda dan bertudung. Nampak manis dan bersopan. Aiman sempat juga merenung wajah Faris. Seketika sebelum kembali beralih menatap wajah Intan yang memimpin tangannya berlabuh di sofa.
“ Mama dan papa nak keluar, sayang!” kata Intan mengucup perlahan dahi Aiman. Aiman terdiam membuatkan Intan dan Faris saling berpandangan. Orangtua Intan kehairanan memandang wajah Aiman yang tiba-tiba mendiamkan diri.
“ Kenapa sayang?” tanya Intan dengan dahi berkerut.
“ Mama dan papa nak keluar ya....boleh Aiman ikut!” Aiman bersuara.
Intan tersenyum. Barulah dia faham kenapa Aiman mendiamkan diri. Mungkin dia terasa bila tidak diajak bersama. Biasanya awal-awal lagi Intan akan bertanya padanya setiap kali Intan nak keluar. Kali ini dia tidak ditanya atau diajak bersama.
“ Lain kali ya, sayang...kali ini hanya mama dan papa aje yang keluar, Aiman duk kat rumah ya...temankan atuk dan nenek...” pujuk Intan membuatkan mulut Aiman terus memuncung, dia berpeluk tubuh sambil bersandar di kerusi.
“ Aiman..mai sini, dekat papa...” Faris bersuara. Aiman menghampiri Faris dengan wajah masam.
“ Nanti papa belikan hadiah yang istimewa untuk Aiman....Aiman nak hadiah apa?” pujuk Faris sambil membelai rambut Aiman.
“ Betul?...papa nak belikan hadiah yang istimewa untuk Aiman?”  wajah Aiman berseri-seri. Senyuman mula menghiasi wajahnya. Faris mengangguk perlahan.
“ Ya...Aiman cakap aje Aiman nak apa....nanti papa belikan” kata Faris sambil tersenyum. Atuk dan nenek Aiman turut tersenyum.
“ Aiman nak mainan...apa-apa aje mainan asalkan yang besar ni!” Aiman mendepakan kedua-dua tangannya membuatkan Faris dan yang lainnya tergelak kecil.
“ Horey...horey...Aiman dapat mainan baru!” Aiman bersorak riang.
“ Aiman...Aiman....tak habis-habis dengan mainannya....sampaikan penuh mainannya satu bilik” Intan mengeleng kepala.
“ Jangan diikutkan sangat kehendak Aiman tu...nanti dia besar kepala...” kata Intan.
“ Bukannya selalu....lagi pun mainan yang dia ada...bukannya I yang belikan...” Intan diam. Dia faham maksud kata-kata Faris. Memang mainan yang dimiliki oleh Aiman kebanyakannya adalah hadiah daripada Izzat, sejak kebelakangan ini aje orangtua Faris ada belikan untuk Aiman.
“ Papa...malam ni papa tidur dengan Aiman ya....” Aiman bersuara tiba-tiba membuatkan Faris terdiam. Kemudian dia berdehem beberapa kali. Intan yang mendengar turut terkedu mendengar kata-kata Aiman yang memang tidak dijangkakan itu. Selama ini tidak pula Aiman mempelawa Izzat tidur di rumah sewaktu lelaki itu berkunjung.
“ Er...tak boleh sayang...papa ada hal....lain kali ya!” Faris bersuara membuatkan Aiman mengeluh kecewa.
“ Dah...jangan buat muka macam tu...nanti papa tak belikan mainan” pujuk Faris cuba menceriakan wajah Aiman.
“ Faris, jemput minum...dah sejuk pun air tu....” pelawa Hjh. Khadijah bila menyedari air yang dihidang oleh pembantu rumah masih belum terusik.
Faris mencapai cawan yang berisi teh dan diteguk perlahan. Selepas beberapa ketika dia meminta diri untuk beredar.
“ Intan pergi dulu” Intan mengikut langkah Faris keluar dari rumah. Orangtua Intan dan juga Aiman hanya memandang mereka masuk ke dalam kereta dan terus berlalu pergi.
**************

INTAN duduk di kerusi sambil memandang ke arah laut. Sudah agak lama dia tidak berkunjung ke PCB. Ya...dulu tempat itu sering dikunjunginya sebelum dia melanjutkan pelajaran ke luar negara. Berkunjung ke pantai itu bersama teman-teman untuk merehatkan fikiran.
“ Intan...” suara Faris memanggil namanya membuatkan pandangan mata Intan terus terpaku ke wajah Faris. Ternyata lelaki itu nampak resah. Intan mendengus perlahan sambil menundukkan wajahnya. Sebenarnya dia rasa segan untuk terusan membalas pandang.
We need to talk...pasal I, pasal you dan pasal Izzat. I nak you tahu bukan I yang merancang semua ini....I tak tahu apa-apa pun pasal pertunangan kita ini dan I tak berniat langsung hendak merampas you dari Izzat setelah I tahu  you telah memilih dia!” jelas Faris.
Intan merenung sekilas wajah Faris sebelum matanya terus menghala ke hadapan. Dia faham apa yang sedang dialami oleh Faris saat ini dan dia sedikit pun tidak menyalahkan lelaki itu dalam hal ini.
“ I tahu bukan you yang merancang pertunangan kita dan I tahu you pun tak tahu menahu dalam hal ini.   You pun satu...apasal tak selidik dulu siapakah perempuan yang bakal ditunangkan dengan you...ini, terima aje saranan orangtua you!” Faris tersengih mendengar rungutan Intan. Betul juga kata Intan. Dia hanya menerima aje saranan orantuanya tanpa bertanya siapakan yang bakal di jodohkan dengannya. Tapi apa nak buat, kecewa punya pasal...terima ajelah.
“ Kita juga mungkin tak akan bertunang kalau I tak beri persetujuan pada orangtua I!” kata Intan perlahan.
“  Alah you pun sama...kata dulang paku serpih....you sendiri pun tak tahu siapa yang bakal dijodohkan dengan you kan?...kalau tak....you tak akan pengsan dalam majlis semalam sebaik saja you tengok muka I...” tempelak Faris  membuatkan Intan tertunduk. Malu. Memang dia akui kata-kata itu. Dia memberi kata putus untuk menerima rombongan peminangan tanpa bertanya siapa yang datang merisik.
Faris tersenyum. Sesekali dia melirik ke arah Intan yang sesekali tersenyum. Mungkin mengingatkan kembali apa yang telah berlaku.
“ Intan...”
Faris bersuara selepas beberapa minit sama-sama mendiamkan diri. Intan berpaling  memandang wajah Faris lagi. Kali ini Faris sudah pun berdiri dan berjalan beberapa langkah ke hadapan sambil memasukkan ke dua-dua tangannya ke dalam poket seluar. Kemudian dia berpaling mengadap wajah Intan.
“I nak tahu...apa sebenarnya yang telah berlaku antara you dengan Izzat?....youkan dah terima Izzat hari tu, I sendiri yang dengar you terima lamaran dari dia...macam mana kita boleh bertunang?” kata Faris bingung memikirkan situasi yang telah berlaku antara mereka kini.
“ Apa yang dengar dan lihat hari itu adalah betul. Memang I telah bersetuju menerima lamaran dari Izzat!” terlopong mulut Faris mendengarnya. Dia menelan liur dengan kesat. Apa sebenarnya yang telah berlaku?
************

IZZAT  tiba-tiba ketawa mendengar kata-kata Intan yang sudi menerima lamaran dan seterusnya bersedia untuk menjadi isterinya. Memang saat inilah yang ditunggunya sejak bertahun-tahun lamanya.
What happened to you right now?....are you kidding me?” Izzat masih lagi ketawa tanpa mempedulikan wajah Intan yang sudah pun merah. Mungkin dia rasa malu. Dan bagi Izzat kenapa kata-kata Intan itu terasa lucu pada pendengarannya sehinggakan dia boleh ketawa.
“ Izzat.....I`m serious ok! Dah banyak kali  you lamar I untuk terima you....dan bila I terima, you anggap ini adalah satu gurauan!” bentak Intan bingung. Selebihnya dia mula terasa dengan sikap Izzat itu.
“ Ok...Ok....I serius sekarang. Betulke I tak salah dengar?....you terima lamaran I setelah sekian lama I menunggu....I tidak bermimpikan?” Izzat mula bersikap serius. Dia merenung tajam wajah Intan yang sedang mengelengkan kepala. Melihat reaksi dan keseriusan wajah Intan, Izzat menyandarkan badannya di kerusi.
“ Baiklah...I percaya yang apa yang I dengar tadi bukanlah satu mimpi....tapi I nak tanya you....kenapa sekarang? ....kalau sebelum ini I pasti melompat kegembiraan tapi sekarang.....I tak tahu apa sebenarnya  perasaan I bila mendengar berita ini. I tahu ada sesuatu yang menyebabkan you tiba-tiba terima lamaran I!”
“ Izzat...kan you dulu pernah cakap yang lamaran you sentiasa terbuka...so, apa masalahnya dengan sekarang!” kata Intan.
“ Memang tak ada masalah dengan sekarang tapi I rasa masanya yang tak sesuai...you tentu nak ceritakan sesuatu pada I...apa dia?” Izzat seolah-olah mengetahui ada sesuatu yang membuatkan Intan tiba-tiba menerima lamarannya.
“ Izzat....you selalu  kata yang you cintakan I...tapi kenapa sekarang you nampak macam berat sangat nak terima I....you dah orang lain ke?” Intan menyoal.
“ Sejak pertama kali I kenal you...hinggalah sekarang, perasaan I terhadap you tak pernah berubah sehinggakan hati I tak boleh  nak terima mana-mana perempuan lain...ruang di hati I hanya tersimpan untuk you!  I sentiasa sayangkan you dan you sendiri pun tahu hal itukan...!” kata Izzat penuh perasaan membuatkan hati Intan benar-benar terharu. Tidak sedikit pun dia menyangkal kata-kata Izzat.
“ Habis tu...,kenapa you macam tak boleh nak terima aje keputusan yang I buat?” kata Intan dengan dahi berkerut. Entah di mana silapnya Izzat seakan tidak gembira bila mendapat tahu lamarannya telah diterima oleh Intan.
“ I cuma nak you jawab dengan sejujurnya....kenapa sekarang?....maksud I,  baru sekarang ini you terima lamaran I....pasti ada sesuatu yang menyebabkan you buat keputusan ini. Sebelum ini ada-ada aje alasan yang you berikan semata-mata mahu menolak....I rasa ada sesuatu yang tak beres berlaku pada you, betulkan?” Izzat merenung wajah Intan yang mula menampakkan kerisauan.
“ Baiklah.  Biar I berterus-terang....sebenarnya ayah I ada beritahu ada orang datang melamar I. I bingung...you pun tahukan yang I baru saja berbaik dengan parent I. I serba salah, takut nak kecewakan perasaan mereka bila mereka nampak beria sangat supaya I menerima lamaran itu. Tapi bagi I...I tak boleh nak terima sebarangan orang yang tak pernah I kenal...itu sebabnya I menerima lamaran you. I harap you tak salah faham!” akhirnya Intan berterus terang kenapa dia tiba-tiba menerima lamaran dari Izzat.
“ Intan, secara jujurnya I gembira sebab you memilih I tapi I tahu you pasti tak akan bahagia.  Selama ini pun you lebih menganggap I ni sebagai kawan dari kekasih. Kalau tidak, dah lama you terima lamaran I...you boleh terima I sebelum you balik ke sini lagi. You sebenarnya masih mengharapkan kehadiran Faris kan!...you masih menanti dia....you boleh tipu I tapi you tak boleh tipu diri you sendiri! I tak nak you menyesal dengan keputusan yang you buat ni! sepatutnya you berbincang dahulu dengan Faris sebelum you buat keputusan ini” bulat mata Intan merenung wajah Izzat yang nampak begitu panjang berbicara. Naik semput nafas Intan dibuatnya mendengar kata-kata itu.
“ Hubungan kami dah lama putus, you dah salah faham” Intan cuba menjelaskan kedudukan yang sebenar mengenai hubungan dia dengan Faris.
“ Terpulang pada you tapi I rasa  sudah sampai masanya I membuat keputusan demi masa depan I sendiri tanpa meibatkan sesiapa!”
“ Apa maksud you?” Intan benar-benar tersentak.  Bulat matanya merenung wajah Izzat yang sedikit senyum. Nampak seperti dia sudah bersedia untuk menerima apa saja keputusan yang dibuatnya.
“  I dah buat keputusan untuk menerima tawaran kerja di Jepun selama 2 tahun sebagai jurutera di sana. I akan bertolak minggu depan” beritahu Izzat dengan wajah tenang, sebaliknya wajah  Intan pula yang pucat. Memang sedikit pun tidak menyangka lelaki itu akan membuat keputusan sedemikian. Mendadak begitu.
“ Izzat....” hanya itu yang mampu keluar dari mulut Intan saat ini. Benar-benar terkejut dan tak sangka menerima berita itu.
“ I sebenarnya nak beritahu you pasal hal ini tapi tak sangka pulak yang you buat keputusan untuk terima lamaran I....I minta maaf sebab mengecewakan you dengan menolak keputusan yang telah you buat.  Keputusan ini adalah untuk kebaikan dan kebahagiaan you....I terlalu sayangkan you tapi sayang, I tak mampu nak miliki hati you walaupun bertahun-tahun I menunggu... apa yang I lakukan sekarang adalah untuk kebaikan I, you dan juga Faris....” hampir menitis air mata Intan, namun dia tetap berusaha menahannya dari terus keluar.
“ Izzat....I minta maaf...I betul-betul minta maaf....” Intan sebak dan tanpa dapat di tahan air matanya laju mengalir dari kelopak mata.
“ Intan, jangan menangis kerana keputusan yang I buat...you patutnya menangis untuk hari bahagia you bersama insan yang you sayang, insan yang sememangnya you cintai sejak dari dulu lagi...I cemburu dengan Faris...kadang-kadang I terfikir, alangkah baiknya kalau I dipertemukan dengan you terlebih dahulu dari Faris....ah!....tapi itu tak mungkin terjadi...pasti ada hikmah disebaliknya!” Izzat memujuk Intan, sedangkan ketika ini dia sendiri cuba memujuk hatinya agar tidak menangis di hadapan Intan. Terasa lemah dirinya sekiranya airmatanya  mengalir di hadapan seorang perempuan walaupun perempuan itu amat dicintainya.
Intan mengesat air matanya yang terus mengalir.
“ Intan...”
Faris merenung wajah Intan sebelum menyerahkan sapu tangannya pada Intan. Lama mata Intan merenung pada sapu tangan yang dihulurkan oleh Faris itu.
“ Ambillah...kesat air mata tu.... I juga cemburu dengan Izzat sebab selama bertahun dia berada di sisi you..melihat Aiman membesar dan banyak perkara yang you berdua kongsikan bersama sedangkan I .....I hanya menambah duka di hati you!” kata Faris sebaik saja tangan Intan mencapai sapu tangan milik Faris.
Faris kembali duduk di sebelah Intan yang sudah pun bertenang.
“ You kecewa bila Izzat menolak keputusan yang you buat?” soal Faris ingin mengetahui sejauh mana dalamnya perasaan Intan terhadap Izzat.
“ Entahlah....I sendiri tak pasti apa perasaan I ketika itu.  Selepas itu orangtua I mendesak  I  untuk segera buat keputusan tentang lamaran  yang entah dari siapa. I sebenarnya rasa segan nak tanya mereka siapa yang mahu melamar I tu sebab pada awalnya I memang terus menolak tanpa usul periksa dan setelah I solat istikharah beberapa kali...I ambil keputusan untuk terima saja lamaran yang dinyatakan oleh ayah. I hanya serahkan semua itu pada takdir ..... I benar-benar terkejut bila you beritahu yang you juga nak bertunang....tapi siapa sangka....lamaran yang ayah maksudkan itu datangnya dari keluarga you. Memang betul kata you...itu sebabnya I pengsan sebaik saja terpandang wajah you...”
Faris tersenyum kerana menganggapkan semua itu sudah selesai.
“ Nampaknya....jodoh antara kita masih kuat” kata Faris tersenyum dan tanpa sedar dia sudah pun menggenggam erat tangan Intan.
************

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...