Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Thursday, 24 November 2011

SEBENARNYA,...AKU CINTA DIA -7

oleh: Azieana

BAB 7
REEN merebah badan di katil. Cuba dipejam mata tapi hatinya tetap resah. Semasa dia balik kampung hari tu, rumahnya dikunjungi oleh seorang lelaki berusia lewat 50an, berwajah tegang dan garang. Kedatangan lelaki itu disambut oleh ibunya, Pn Saloma. Wajah ibu kelihatan sedih dan muram sebaik saja muncul di muka pintu. Tetamu itu tidak dipelawa masuk. Dibiarkan saja berdiri dihalaman. Bukan kerana tidak menghormati tetamu tapi ibu tak berani nak mempelawanya masuk.
“ Saloma, dah banyak kali aku beri peringatan pada kau tapi sampai sekarang kau buat tak endah aje. Geram aku!”
Lelaki yang memakai seluar panjang hitam bersama baju kemeja lengan pendek itu merenung tajam ke arah Pn. Saloma sambil bercekak pinggang. Kalau dilihat gaya macam babak Hang Tuah ingin menyerang Hang Jebat pulak kerana telah membuat raja Melaka murka, nasib baik kat tangan dia tak bawa keris ala Taming Sari atau pun pedang, kalau tak... naya Pn. Saloma!
Pn. Saloma sekadar menelan liur, takut benar dia setiap kali berhadapan dengan lelaki itu.
“ Bang Kahar...saya...”
“ Saloma, aku dah bagi banyak masa untuk kau, dah bertahun-tahun ....tapi sampai sekarang habuk pun tak ada” suara Bang Kahar memecah kesunyian petang.
Pn. Saloma tertunduk. Reen yang berada di sebelah ibunya hanya mampu memengang erat tangan Pn. Saloma. Memberi semangat untuk ibunya. Sebenarnya dia turut merasa gerun setiap kali lelaki itu mengunjungi rumahnya untuk menuntut bayaran.
“ Bang Kahar, sebenarnya bukan saya tak nak bayar tapi saya tak cukup untuk duit....duit pencen arwah hanya cukup untuk makan dan keperluan rumah. Tapi saya janji akan bayar. Saya harap Bang Kahar faham keadaan kami” pujuk Pn. Saloma, cuba mengharap pengertian dari lelaki itu. Bang Kahar melepaskan keluhan panjang. Rasa tak puas hatinya terpancar di wajah lelaki yang berkulit hitam manis yang berusia lewat 50-an itu.
“ Bila? Bila kau nak bayar?....nak tunggu sampai kucing bertanduk? Nak tunggu aku kerepot atau aku dah tak berdaya nak menagih hutang kau di depan rumah!” gesa Bang Kahar dengan suara tegas. Ada nada mengejek dari percakapannya.
Pn. Saloma memandang Reen sambil menghela nafas. Resah hatinya memikirkan masalah itu. Reen turut merasa apa yang dirasa oleh ibunya ketika itu. Buat seketika masing-masing mendiamkan diri. Namun sesekali mata lelaki itu merenung tajam ke arah Reen dan Pn. Saloma silih berganti. Tiba-tiba senyuman muka terukir dibibirnya membuatkan Pn. Saloma di landa resah. Pasti ada sesuatu yang sedang difikirkan oleh lelaki itu. Bukan penduduk kampung tak kenal siapa Kahar sebenarnya. Lelaki itu senang nak memberi pinjaman pada sesiapa tapi terpaksa menanggung risiko sekiranya tak mampu membayar hutang tepat pada masanya. Kahar tak ubah seperti along.
“ Macam nilah....aku akan anggap kau dah bayar hutang kau kalau aku jadikan anak kau ni menantu aku. Aku akan kawinkan dia dengan Hussin!”
Terlopong mulut Pn. Saloma mendengar cadangan itu manakala Bang Kahar menghadiahkan sebuah senyuman. Terserlah giginya yang kekuningan akibat kuat merokok. Tajam matanya merenung wajah Reen yang pucat dan keresahan itu.
“ Apa ni Bang Kahar?” sanggah Pn. Saloma terkejut mendengar usul yang tidak masuk akal. Tak sanggup dia menyerah anak kesayangannya pada seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab seperti Hussin. Anak Kahar yang terkenal dengan perangai yang tak senonoh, penagih dadah yang selalu keluar masuk penjara. Itu cuma dari segi perangai, belum masuk bab rupa. Macam rupa orang pecah rumah, takkan dia sanggup bermenantukan lelaki seperti itu. Jauh panggang dari api. Terasa berdiri bulu romanya memikirkan kemungkinan itu.
“ Aku bagi lagi pilihan....apa kata kau aje jadi bini aku yang nombor 3. Hidup kau dan anak-anak akan senang sebab aku boleh tanggung kau anak beranak!”
Tersengih-sengih Bang Kahar mengusulkan usul yang kedua. Memang sudah lama hatinya terpaut pada Saloma, sejak arwah Ahmad masih hidup. Hatinya cukup berkenan dengan wajah cantik dan bersopan santun Saloma. Tak hairanlah ketiga-tiga anaknya mewarisi kecantikan Saloma terutama anak sulungnya, Nur Nisreen. Pernah dia mewar-warkan akan memperisterikan Saloma suatu hari nanti pada orang kampung terutama bila dia berkunjung dan berbual di warung kopi Pak Sahak..
“ Macam nilah Bang Kahar, bagilah saya masa....lagi pun Bang Kahar yang pegang geran tanah tu kan. Saya tahu Bang Kahar seorang lelaki yang bertimbang rasa!”
Saloma terpaksa menyuarakan demikian semata-mata untuk memujuk diberi tempoh masa lagi. Inilah satu-satunya harta yang mereka ada, kalau tanah ini terpaksa diserahkan pada lelaki itu. Terpaksalah dia mencari penempatan yang baru. Hatinya benar-benar sebak mengenangkan nasib yang terpaksa ditempuhi. Tanah ini terpaksa digadaikan kepada Kahar oleh arwah suaminya dulu dengan tujuan untuk beniaga bersama kawan. Entah macamana kawan arwah suaminya itu menipu dan melarikan wang sehingga terpaksa mereka berhadapan dengan masalah ini.
“ Betul kata kau tu Saloma....aku ni bukannya kejam sangat, masih bertimbang rasa lebih-lebih dengan perempuan macam kau. Kalau dengan orang lain dah lama tanah ni jadi milik aku. Hm... baiklah, aku bagi tempoh 3 bulan untuk kau cuba langsaikan hutang kau.” akhirnya Bang Kahar bersuara. Pn. Saloma dan Reen menarik nafas lega, sekurang-kurang untuk tempoh itu mereka tidak akan diganggu oleh Kahar.
“ Tapi ingat Saloma, aku bagi tempoh sampai 3 bulan. Kalau dalam tempoh itu kau masih tak dapat bayar balik duit aku....tanah ni akan jadi milik aku atau anak kau ni jadi menantu aku.... atau pun kau sendiri jadi bini nombor 3 aku. Aku dah bagi kau tiga pilihan. Kau boleh pilih yang mana kau suka....aku tak kesah mana-mana pun pilihan yang kau nak buat!” Kecut perut Pn. Saloma dan Reen mendengar kata-kata yang baru saja keluar dari mulut bang Kahar. Apakah pilihan yang terbaik untuk mereka selepas ini. Sememangnya terlalu sukar untuk mereka terima.
Bunyi suara cicak di syiling mematikan lamunan Reen. Bingung dia memikirkan di mana hendak mencari duit untuk menebus tanah yang pernah digadaikan oleh arwah ayahnya dulu sebanyak RM 30 ribu dalam tempoh 3 bulan. Duit simpanannya hanya ada beberapa ribu saja hasil jimat cermatnya. Dia tahu ibunya menaruh harapan yang tinggi agar dia dapat menyelesaikan masalah itu.
' Apakata aku buat pinjaman bank, boleh ke?' Reen mengggaru kepala yang tidak gatal.
“ Reen....Reen, kau dah tidurke?” suara Atikah dari luar biliknya membuatkan Reen bangun dari katil bujangnya.
“ Belum...ada apa Tikah?” Reen menuju ke pintu dan membuka pintu. Atikah sedang merenung hairan wajahnya.
“ Reen, jom makan. Aku dah belikan nasi ayam untuk kau kat pasar malam tadi” kata Atikah sambil berlalu ke ruang tamu. Reen mengekor di belakang. Ketika itu Jasmin dan Maryam sedang khusyuk melihat rancangan drama di tv.
“ Apasal kau asyik terperuk kat dalam bilik sejak tadi. Kau ada masalah ke Reen?” tegur Jasmin tiba-tiba. Tak sangka walaupun asyik menonton tv, mereka masih sedar kewujudannya di situ atau apa yang dilakukannya.
“ Tak adalah.....aku penat sikit hari ni. Hm...kau orang dah makan ke?” Reen bersuara. Sengaja mengelak dirinya jadi tajuk perbualan.
“ Kami tunggu kau” Atikah mencelah. Ditangannya ada dulang yang berisi air tebu.
“ Aku beli nasi ayam ni kat makcik lain, tempat yang biasa kita beli tu dah habis....tak tahu la yang ini sedap ke tak” Atikah mengeluarkan polisterin berisi nasi ayam dari plastik.
“ Tak kesahlah....Tikah, duit nasi ni aku bayar lepas ni ya!” Reen mencapai bekas polisterin di agih pada Jasmin, Maryam , Atikah dan dia sendiri.
“ Tak payah bayar, nasi ni Hafiz yang sponser....aku tukang beli je!”.
“ Hm...jimat duit makan aku malam ni. Lain kali setiap kali ada pasar malam kau mintaklah Hafiz temankan. Untung-untung selalu kami dapat makan free” Maryam mencelah sambil membuka penutup polisterin. Jasmin dan Reen sama -sama berbalas senyum.
“ Banyakla kau punya cantik, Mar . Minggu depan kau minta si Johan tu sponser pulak. Aku pun nak merasa juga makan free dari pakwe kau” kata-kata Atikah membuatkan Maryam mencebik bibir.
“ Jangan haraplah....si Johan tu kedekut punya lelaki....taik hidung masin!” balas Maryam.
“ Aik....bila masa pula kau merasa taik hidung si Johan tu....pengotor betulla kau ni, Mar” Jasmin yang tadi diam mula mencelah membuatkan teman yang lain tergelak. Maryam menarik muka masam.
“ Kurang asam jawa punya member
Maryam mencubit peha Jasmin. Terpekik temannya itu mengaduh kesakitan. Boleh tahan juga sepit ketam si Maryam ni.
“ Sudahlah Mar.....yang kau pergi cari pakwe yang jenis taik hidung masin tu siapa suruh....tak ke naya kau nanti” Atikah mencelah, sengaja nak memanjangkan cerita.
“ Yalah....lain kali rasa dulu!” Reen menambah menambah perisa membuatkan teman-teman yang lain galak ketawa. Riuh jadinya suasana ruang tamu itu.
“ Tak kesahlah....masin ke, tawar ke , manis ke....janji dia sayang dan setia kat aku. Lagi pun sepanjang aku kawan dengan dia, tak pernah dia curang atau buat tak senonoh kat aku” bela Maryam terhadap teman lelakinya yang dikenali sejak 3 tahun lalu.
“ Dah....kita tutup bab ni, kita buka mulut...makan nasi. Aku dah lapar ni” Reen bersuara . Tak sabar nak menikmati nasi yang sudah ada di depan mata. Akhirnya mereka bersama menikmati makanan tanpa banyak bicara.

**************

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...