Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Thursday, 24 November 2011

SEBENARNYA,...AKU CINTA DIA -28

oleh: Azieana

BAB 28
SELESAI menikmati makan tengah hari, masing-masing mengikuti aktiviti tersendiri. Datin Halijah begitu asyik berborak dengan kenalannya yang sudah lama tidak ketemu. Reen dan Eisya hanya sekadar menjadi pemerhati Izwan dan Amier yang menaiki jet ski. Kedua-dua lelaki itu ada mempelawa mereka mengikutinya tapi Reen terlebih dahulu menolak kerana dia tidak biasa menaiki kenderaan itu. Eisya ingin turut serta tapi kesian pulak di biarkan Reen keseorangan. Lisa pula, sebaik saja selesai makan terus meminta diri untuk beredar, katanya ingin berjumpa kawan. Hanya tinggal Datuk Tg. Mahmod dan Pak Samat yang sedang leka bermain chess.
“ Pak Samat, saya dah tak larat nak main....saya nak pergi ambil angin” kata Datuk Tg. Mahmod pada Pak Samat. Pemandunya sekadar mengangguk.
Dari jauh Datuk Tg. Mahmod mengamati susuk tubuh yang sedang duduk di atas pasir. Dia terus mengatur langkah menghampiri tubuh itu.
“ Lisa!” Lisa mendongak. Bibirnya mengorak senyuman menyambut kehadiran lelaki yang berusia lewat 50an itu. Masih segak dan bergaya walau pun sudah berusia.
“ Uncle” Lisa membetulkan kedudukannya supaya nampak lebih sopan pada pandangan Datuk Tg. Mahmod.
“ Mana auntie?” soal Lisa sebaik saja Datuk Tg. Mahmod melabuhkan punggung di sebelahnya. Mata Datuk Tg. Mahmod terus memandang pantai yang terbentang di depan.
“ Sedang berborak dengan kawan lama...uncle tak nak ganggu perbualan mereka. hm....uncle ni mengganggu Lisa ke?” risau juga kehadirannya tidak disenangi oleh Lisa. Selama Lisa berkunjung ke rumahnya, jarang sekali dia bersembang dengan gadis itu.
“ Tak adalah...sekurang-kurangnya Lisa ada teman” Lisa sekadar berbasi.
Sebenarnya dia kecewa dengan sikap Amier. Lelaki itu kini sudah tak sudi berjumpa dan bersembang dengannya lagi. Dia sendiri tak tahu di mana silapnya. Pada pertemuan pertama , kedua dan ketiga , Amier melayannya dengan baik tapi sekarang lelaki itu sering menghindarinya.
“ Seronok ya sesekali berehat seperti ni....rasa tenang je!” ujar Lisa sambil menarik nafas panjang. Dia mengukir senyum. Kalau boleh saat ini dia mahu melupakan semua masalah yang membelenggu hidupnya terutama soal hubungan dia dengan Borhan.
“ Lisa, boleh uncle tanya sesuatu?” bicara Datuk Tg. Mahmod. Wajahnya bertukar serius bila memandang wajah Lisa kini.
“ Tanya pasal apa tu, uncle?” Lisa mula rasa tak selesa.
Datuk Tg. Mahmod kembali memandang ke depan. Lisa yang sedang menanti pertanyaan unclenya makin gelisah. Tertanya-tanya, apakah yang menjadi isu penting di sini?
“ Uncle nak tahu pasal hubungan antara Amier dan Lisa. Apa perasaan Lisa sebenarnya terhadap Amier... hubungan sebagai saudara, kawan atau.....ya...” ayat yang baru keluar dari mulut Datuk Tg. Mahmod terus tergantung, sengaja di biarkan. Dia tahu Lisa pasti faham akan maksud hubungan yang seterusnya.
“ Hubungan?...hubungan biasa aje. Kenapa uncle tanya?” berkerut dahi Lisa memandang uncle di sebelahnya.
Datuk Tg. Mahmod terus diam seolah-olah cuba memikirkan apa yang akan dinyatakan selepas ini.
“ Kalau boleh uncle tak nak Lisa mendekati Amier lagi. Dia dah ada kehidupannya sendiri dan uncle tak nak kehadiran Lisa merosakkan apa yang Amier miliki sekarang” begitu tulus kedengaran permintaan itu. Permintaan seorang papa untuk anaknya. Lisa terdiam.
“ Lisa....kenapa selama ini Lisa bohongi kami sekeluarga?” rasa nak meletup dada Lisa mendengar pertanyaan itu. Pertanyaan yang membuat dia semakin takut dan gelisah. Terasa peluh mula menitik di dahinya walaupun angin bertiup.
“ Lisa tak faham maksud uncle, apa yang dah Lisa bohongi pada keluarga uncle?” walaupun hakikatnya dia memahami maksud kata-kata Datuk Tg. Mahmod tapi dia sengaja berpura-pura. Ingin diketahui sejauh mana mereka mengenali dirinya yang sebenar.
“ Sebenarnya dah lama Lisa balik ke Malaysia kan? Kenapa baru sekarang Lisa muncul dalam kehidupan kami. Apa yang Lisa mahukan sebenarnya?” agak tegas kedengaran suara itu. Lisa menelan liur.
“ Er...” Lisa seperti ketiadaan idea untuk menjawab. Dia benar-benar resah.
“ Beritahu uncle...apa motif Lisa yang sebenarnya? Mahu bolot harta uncle dengan cara mendekati Amier?” sekali lagi Lisa terkedu dengan tuduhan lelaki itu.
“ Uncle... Lisa tak ada niat pun nak rampas kekayaan uncle sekeluarga, Lisa hanya ingin menumpang kasih keluarga uncle...maafkan Lisa kalau kehadiran Lisa menimbulkan masalah pada uncle dan keluarga” sebak dada Lisa membalas kata-kata Datuk Tg. Mahmod. Bagi Lisa, tidak terdetik sedikit pun niatnya mendekati Amier semata-mata untuk mendapatkan harta kekayaan milik Datuk Tg. Mahmod. Dia cuba mendekati Amier kerana dia menyukai lelaki itu, bukan kerana ingin memiliki hartanya sebagaimana yang dituduh oleh Datuk Tg. Mahmod tadi.
Jawapan Lisa hanya di balas dengan anggukan oleh Datuk Tg. Mahmod. Dia sedikit lega mendengarnya, sekurang-kurangnya dia tak perlu risau lagi memikirkan soal hubungan antara Amier dan Lisa sebagaimana pada awalnya.
“ Ada satu hal lagi yang uncle nak tanya?”
Lisa merasa pelik. Kenapa Datuk Tg. Mahmod begitu beria-ria ingin mengetahui tentang kisah hidupnya. Apa sebenarnya yang lelaki itu tahu tentang dia! Tentang kehidupan dia!
“ Apa lagi uncle?”
Kali ini Datuk Tg. Mahmod menghembuskan helaan panjang. Kemudian dia mengaleh pandang ke wajah Lisa. Buat seketika wajah Lisa di renung. Ada sedikit kesayuan dapat dilihat melalui renungannya, seperti berat untuk menyatakan apa yang terbuku di hati.
“ Sebenarnya uncle tak suka apa yang sedang Lisa lakukan, kalau boleh uncle nak Lisa tinggalkan kehidupan Lisa sekarang. Cuba mulakan hidup baru, kehidupan yang lebih baik dan terjamin....bukan kehidupan yang penuh dengan dosa. Tentunya Lisa faham apa yang uncle maksudkan!” Lisa terkedu. Wajahnya pucat tiba-tiba.
“ Uncle...” hanya itu yang mampu di suarakan. Saat ini hatinya benar-benar sebak, sarat dengan rasa bersalah.
“ Belum terlewat untuk Lisa lari dari semua tu. Borhan bukan seorang lelaki yang baik. Dia lelaki yang sangat berbahaya dan orang-orangnya sentiasa ada disetiap penjuru. Lisa tak pernah terfikirke apa perasaan orangtua Lisa kalau dia tahu anaknya seorang mistress...memang Borhan boleh bagi Lisa kemewahan hidup tapi kita sebagai orang Islam mesti patuh dan berpegang pada hukum yang telah ditetapkan olehNYA. Hukum Allah lebih agung dari sebarang hukum dan undang-undang yang terdapat di dunia. Walaupun hukumannya kita tak terima di dunia tapi kita kena ingat, hukuman di akhirat tetap ada dan kita memang tak boleh lari!”
Kata-kata yang keluar dari mulut Datuk Tg. Mahmod membuatkan Lisa tertunduk. Sebenarnya dia malu. Malu kerana kehidupan peribadinya sudah di ketahui oleh insan yang sangat di hormati sejak dari kecil. Dia mengenali lelaki itu sebagai seorang yang sangat baik walaupun terdiri daripada golongan bangsawan yang terhormat.
“ Uncle!” beberapa titis air mata mula mengalir dari kelopak matanya.
“ Maafkan Lisa, uncle. Lisa tahu Lisa banyak buat dosa, Lisa telah mengecewakan perasaan mak dan ayah” Lisa mengesat air matanya dengan tangan.
“ Dari mana uncle tahu semua ni?” Lisa bertanya dengan suara yang sedikit serak.
“ Uncle upah penyiasat.... bukan niat uncle mahu menceroboh kehidupan peribadi Lisa, tapi uncle hanya mahu menjaga kebajikan Amier. Uncle tahu, sebelum ni Amier banyak menghabiskan kehidupannya di luar dengan berfoya-foya....ramai perempuan telah di dampinginya. Mana-mana perempuan yang mendampingi Amier akan uncle siasat dan selama ini Amier tak pernah tahu....cuma sejak kebelakangan ini, dia dah banyak berubah dan uncle benar-benar bersyukur” sebagai seorang ayah, Datuk Tg. Mahmod hanya mahu yang terbaik buat anak-anaknya. Kerana itu dia benar-benar bersyukur kerana akhirnya Nur Nisreen menjadi pilihan Amier dan dia percaya Amier banyak berubah kerana Nisreen.
“ Jadi, keluarga uncle sudah tahu siapa Lisa yang sebenarnya?”
“ Tak....hanya uncle seorang yang tahu. Sebab itu uncle mahu Lisa keluar dari kehidupan yang boleh menghancurkan masa depan Lisa !”
“ Tak boleh uncle, Lisa dah terikat dengan Borhan. Buruk akibatnya kalau Lisa melarikan diri darinya”
Datuk Tg. Mahmod mengeluh perlahan. Kalau boleh dia mahu menolong gadis itu tapi dia sendiri tak pasti bagaimana caranya. Penyiasatnya pernah memberitahu, buruk akibatnya kalau seseorang masuk campur atau mengganggu urusan Borhan. Datuk Tg. Mahmod tak mahu kehidupan keluarganya terancam.
“ Lisa boleh ke luar negara atau kembali ke UK dan menetap di sana. Mak Lisa kan masih ada di sana!” usul Datuk Tg. Mahmod.
“ Lisa tak nak susahkan mak” Lisa melepaskan keluhan.
Kalau boleh Lisa tak mahu membebankan Pn. Sabrina dengan masalahnya. Maknya dah cukup terbeban dengan masalahnya sendiri sejak berkahwin lain. Perkahwinan itu juga yang membuatkan dia pulang ke Malaysia sejak 3 tahun yang lalu.
“ Uncle jangan bimbang....mulai hari ini, Lisa janji Lisa tak akan muncul dalam kehidupan uncle sekeluarga terutama sekali Amier....Amier berhak mendapat gadis yang baik kerana dia mempunyai seorang ayah yang baik dan bertanggungjawab seperti uncle. Alangkah baiknya kalau orangtua Lisa seperti uncle dan auntie!”
“ Uncle tak nafikan semua orang hanya inginkan yang terbaik untuk dirinya. Apalagi bila melibatkan asal usul diri kita tapi kita tak berhak untuk memilih siapa orang tua kita.... kita juga tak boleh menyesal dengan apa yang kita perolehi kerana semua itu datangnya dari Allah. Pasti ada hikmah di sebaliknya” pujuk Datuk Tg. Mahmod. Dia bersimpati dengan apa yang berlaku pada Lisa.
“ Terima kasih uncle....terima kasih kerana tidak membocorkan hal ini kepada sesiapa”
Lisa mengukir senyum dan benar-benar berterima kasih pada lelaki yang sedang duduk disisinya sekarang.
“ Sabar ya...uncle doakan Lisa akan berjaya keluar dari kemelut itu dan akan sentiasa bahagia....uncle pergi dulu!” Lisa mengangguk.
Lisa memandang Datuk Tg. Mahmod berlalu dengan mata berkaca. Dia nekad akan pergi dari kehidupan keluarga Datuk Tg. Mahmod.
Lisa memejam mata mengingatkan  Amier,  pertama kali dia bertemu lelaki itu, hatinya sudah terpaut dan jatuh cinta walaupun ketika itu dia masih lagi bersama Joey. Sejak berpisah dengan Joey dia menaruh harapan yang tinggi agar dapat memikat hati Amier tapi lelaki itu sentiasa mengelak sehinggalah dia bertemu dengan Borhan. Dia sayangkan keluarga itu dan dia tak mahu Borhan tahu kaitannya dengan keluarga itu. Dan dia mengharapkan agar suatu hari nanti hidupnya akan lebih bermakna.
************






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...