Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Thursday, 24 November 2011

SEBENARNYA,...AKU CINTA DIA -17

oleh: Azieana

BAB 17
SAAT ini sahlah Nur Nisreen sebagai isteri Tg. Amier Asyraf. Tepat jam 3 petang . Dengan mengenakan baju kurung putih dan bertudung, Reen keluar dari pejabat agama bersama ibunya. Adik beradik Reen tidak hadir bersama kerana Nazifah sedang menghadapi peperiksaan semester dan Nasuha terpaksa menghadiri kelas tambahan di sekolah untuk mengambil SPM. Sementara Amier begitu segak berbaju melayu warna putih , bersampin dan bersongkok hitam. Turut mengiringinya ialah Datuk Tg. Mahmod, Datin Halijah dan Eisya.
“ Baguslah, semuanya berjalan dengan lancar. Sekarang kita balik ke rumah.” Datuk Tg. Mahmod menepuk bahu Amier.
“ Saloma, jomlah....akak dah minta Indah masakkan special untuk meraikan pengantin baru ni” kata-kata dari Datin Halijah membuatkan Reen tertunduk.
“ Maaflah kerana terpaksa menyusahkan Datin sekeluarga” Pn. Saloma bersuara. Segan pula dia nak berhadapan dengan keluarga besannya.
“ Tak ada susahnya....kita ni dah jadi keluarga” Datin Halijah memeluk mesra bahu Pn. Saloma.
“ Sal balik dengan kami ya....Eisya?” Datuk Tg. Mahmod menuju ke kereta Mercedes Benz warna silver. Pak Samat sudah sedia menunggu.
“ Eisya balik dengan along dan Reen” Eisya segera menghampiri Reen yang sedang berdiri di sisi kereta Amier.
Sebaik saja sampai di rumah, mereka terus berkumpul di ruang tamu. Pn. Saloma memerhati sekitar ruang tamu itu, cukup mewah. Pagi tadi dia tak sempat meninjau persekitaran banglo itu. Risau juga bila memikirkan reaksi saudara -mara mereka nanti kalau mereka melihat keadaan rumahnya. Bolehkah anaknya menyesuaikan diri dengan keluarga itu walau pun dia tahu anaknya selalu datang ke banglo ini.
“ Selepas makan nanti, Saloma berehat ya...tinggallah dua tiga hari kat sini” pelawa Datin Halijah ramah, sekurang-kurang dia mempunyai teman.
“ Maaflah Datin...saya ingat nak balik petang ni juga. Kesian pulak Nasuha kat rumah, maklumlah dia tu budak lagi dan tak pernah berenggang dengan saya” beritahu Pn. Saloma.
“ Alah Sal...tak payahlah ber Datin -Datin. Panggil aje kak Jah....nanti akak pula yang rasa segan...betul tak bang?” Datin Halijah memandang suaminya. Datuk Tg. Mahmod terus mengangguk.
Amier dan Reen yang turut berada di situ masih diam.
“ Apa hal dengan pengantin baru ni....sejak tadi diam aje!” Eisya bersuara membuatkan semua mata tertumpu ke arah Reen dan Amier.
“ Mier, papa harap Mier tak abaikan tanggungjawab Mier pada Reen selepas ni. Reen dah jadi isteri Mier. ...Walaupun kamu berdua tidak tinggal bersama selama 5 bulan ni tapi papa harap kamu faham hak masing-masing... jangan buat mama, papa dan ibu kamu malu....ingat tu!” Datuk Tg. Mahmod bersuara.
“ Mier faham....papa, mama dan ibu jangan bimbang” janji Amier.
“ Sal jangan khuatir, selama ini kakak dah anggap Reen ni macam anak akak. Kami sekeluarga memang sayangkannya” Pn. Saloma mengangguk. Hatinya sayu. Dia bersyukur kehadiran anak sulungnya diterima dengan baik. Dia hanya mampu berdoa untuk kebahagiaan anaknya.
“ Saya tahu keluarga saya banyak terhutang budi dengan keluarga kak Jah. Saya mohon maaf kerana pasal nak tebus tanah tu...keluarga kak Jah terpaksa hadapi semua ni”
“ Sepatutnya kami yang minta maaf kerana perkahwinan ni berlaku secara mendadak. Tapi kami bersyukur kerana akhirnya Amier terbuka hati untuk berkahwin dan kami cukup gembira dengan pilihannya”
Amier tersenyum mendengar kata-kata mamanya.  Eisya yang berada di sebelah Reen juga tersenyum. Sempat dia mengangkat kening memandang wajah abangnya. Cuma Reen saja yang masih mendiamkan diri.
“ Reen jangan risau...kalau ada apa-apa masalah jangan lupa bagi tahu dengan mama dan papa” Reen mengangguk, membalas pandangan ibu mertuanya.
“ Dengar tu....kalau along buli kau, bagi tahu aku ya....nanti aku report kat mama dan papa” sokong Eisya. Amier menjeling tajam. Eisya segera mempamerkan senyuman.
“ Oh ya! Ini cincin kawin Reen...mama tak sempat nak bagi tadi. Mier...tolong sarungkan” Datin Halijah mengeluarkan kotak baldu dari beg tangannya, segera di hulurkan pada Amier.
“ Mama...” Reen teragak-agak nak memanggil nama itu, selama ini dia memanggil wanita itu dengan panggilan auntie. Sebaik saja dia menjadi tunangan Amier, wanita itu terus meminta dia memanggil dengan panggilan 'mama'. Dia pulak yang rasa kekok.
“ Kenapa Reen?”
“ Reen rasa elok mama aje simpan aje cincin tu, Reen bukan tak nak terima tapi....” serba salah dia nak terima cincin itu, apa lagi memakainya kerana dia belum bersedia.
“ Reen, kalau awak tak nak pakai sekarang....saya tak kesah. Awak simpan aje....tak kan awak nak biarkan mama simpan sampai 5 bulan, nanti tak pasal-pasal beranak pula cincin tu!” Amier mencelah. Dia tahu apa yang dirasai oleh Reen saat ini dan dia tak akan memaksa Reen memakainya kalau isterinya tak mahu. Reen terdiam mendengar kata-kata suaminya.
“ Reen simpan aje cincin tu. Sampai masanya Reen pakai. Cincin tu dah jadi milik Reen....susah payah Mier ni pujuk Eisya supaya temankan dia membelinya” pujuk Datin Halijah. Reen memandang Amier yang berada di sebelahnya. Dia mengambil bekas itu dari tangan Amier dan meletakkanya di atas meja hadapannya.
“ Datin, Datuk...hidangan dah siap” Mak Indah muncul di hadapan mereka.
“ Terima kasih ….Sal, silakan” Datin Halijah bangun, diikuti yang lain.
I'm waiting
Amier sedang berdiri di hadapan Reen sambil merenung wajahnya. Terpaksa Reen bangun dan mengadap muka Amier, sangkanya Amier akan segera beredar mengikuti orangtuanya.
“ Tak payahlah pegang tangan saya, saya tahu jalan sendiri” Reen mendengus geram bila Amier selamba memengang tangannya sambil berjalan beriringan ke meja makan.
“ Amboi, romantiknya....siap berpengangan tangan!” usik Eisya yang sempat melihat aksi mereka berdua. Reen segera menghadiahkan jelingan maut untuk suaminya. Rasa malunya cukup menebal ketika ini. Amier hanya tersenyum seolah-olah tidak mempedulikan beberapa pasang mata yang memandangnya. Apa yang penting....saat ini dia benar-benar rasa bahagia.
***********************




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...