Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Thursday, 24 November 2011

SEBENARNYA,...AKU CINTA DIA -12

oleh : Azieana


BAB 12
REEN menikmati minum petang bersama orangtua Eisya pada petang minggu. Mulanya dia menolak untuk berkunjung ke banglo itu. Takut terserempak dengan Amier selepas kejadian minggu lepas. Di pejabat pun sedaya upaya dia berusaha agar tidak bertembung dengan Amier. Malu dan segannya masih tebal bila mengingatkan sikap gelojohnya hari tu.
“ Apa khabar ibu Reen kat kampung?...dah lama auntie tak dengar berita” soal Datin Halijah selepas meneguk jus epal.
“ Ibu kat kampung sihat. Baru semalam Reen bercakap dengan ibu”
“ Masih jual nasi lemak lagi?”
Datin Halijah memang tahu punca pendapatan ibu Reen selain dari duit pencen arwah ayahnya sebagai kerani.
“ Ya, auntie. Sekarang ni bila Reen dah kerja ringanlah sikit beban ibu...boleh juga Reen bantu. Kalau tak susah juga nak harapkan duit pencen arwah ayah yang tak seberapa tu...” Datin Halijah mengangguk.
Datuk Tg. Mahmod tidak masuk campur dalam perbualan itu. Dia begitu khusyuk membaca majalah. Eisya menongkat dagu. Sebenarnya dia perihatin dengan nasib yang dilalui oleh teman rapatnya. Oleh itu, dia gembira bila dapat membantu Reen mendapatkan kerja di syarikat orangtuanya. Dia hanya tunjuk jalan. Jawatan yang dipegang oleh Reen sekarang diperolehi hasil dari keupayaan dan kemampuannya. Bukan sekadar mengisi tempat kosong.
“ Mama...along tak balik ke?” Eisya tiba-tiba teringatkan Amier. Sudah dua tiga hari dia tidak bertemu muka dengan abangnya yang satu itu.
“ Entah....tak ada dia bagi tahu pulak” sahut Datin Halijah.
“ Tadi papa ada jumpa dia....minta dia balik rumah. Tapi tak tahulah nak balik ke tak...asyik melencong je kerjanya” Datuk Tg. Mahmod menutup majalah. Sebiji karipap di capai dan di sumbat ke dalam mulut.
“ Bercakap pasal En. Amier....dah lama Reen nak tanya....betulke En. Amier tu anak sulung uncle dan auntie sebab wajah dia tak seiras langsung dengan Eisya. Kalau cakap pasal perangai...jauh sekali” akhirnya Reen memberanikan diri bertanya asal usul siapa sebenarnya Tengku Amier Asyraf. Eisya tersenyum sambil melirik ke arah mama dan papanya.
“ Hai Reen....kenapa tiba-tiba beria kau nak tahu pasal along aku ni? Kau dah jatuh hati kat dia ya!” Eisya mula tersenyum nakal.
“ Eisya...kau ni... salahke sekadar nak tahu, lagi pun dia tu kan bos aku!.”
Reen terpaksa menahan malu. Merah padam mukanya berhadapan dengan orangtua Eisya. Rasa nak sorok aje muka bila orangtua Eisya turut tersenyum memandangnya.
“ Amier tu sebenarnya anak uncle dengan isteri pertama tapi beliau dah meninggal. Isteri pertama uncle dulu perempuan mat salleh. Wajah Amier tu banyak mewarisi ibunya, itu sebabnya ramai yang keliru bila tahu dia tu anak uncle” beritahu Datuk Tg. Mahmod tentang kisahnya dan juga Amier.
“ Kami berkahwin semasa sama-sama belajar kat sana. Kami berkawan kerana pada awalnya Aishah berminat dengan Islam dan uncle hanya membantu, tak sangka pulak kami boleh jatuh cinta. Uncle dan arwah Aishah dulu kawin tanpa restu orangtua uncle. Mereka sebenarnya dah ada pilihan untuk uncle. Masa Amier berumur 3 tahun, Aishah meninggal dunia selepas koma selama sebulan akibat kemalangan. Ketika itu uncle dah habis belajar buat Master....cuma nak tunggu Aishah tamat belajar untuk dibawa pulang ke sini tapi tak sempat.” Datuk Tg. Mahmod menyambung cerita. Wajahnya sedikit muram, mungkin sedih mengenangkan kematian isteri pertamanya. Datin Halijah mencapai tangan suaminya, digenggam erat seolah-olah memberi semangat.
“ Reen minta maaf ya kalau pertanyaan Reen tadi membuat uncle sedih” pujuk Reen. Rasa serba salah pula dia melihat situasi itu.
“ Tak apa....elok juga uncle cerita. Selama ini uncle tak pernah pun bercerita pasal ni pada anak-anak uncle dan mereka pun tak pernah tanya. Jadi ….dah terlanjur Reen bertanya, papa harap Eisya juga dapat tahu tentang kisah hidup papa” Datuk Tg. Mahmod memandang wajah Eisya. Dia mengukir senyum.
“ Er....macam mana papa boleh kawin dengan mama?” Eisya menyoal. Teringin juga dia ingin mengetahui kisah percintaan orangtuanya. Datin Halijah dan suami saling berpandangan. Senyuman terukir di bibir mereka.
“ Sebenarnya mama Eisya ni dulu jiran papa. Selepas pulang dari UK, papa tinggal bersama arwah nenek dan datuk Eisya. Beria-ria mereka merancang untuk menjodohkan papa dengan sepupu papa iaitu Tg. Suraya tapi papa tak berkenan. Sejak dari dulu lagi papa memang tak berkenan dengan perangai Tg. Suraya. Selalu juga dia datang rumah nenek untuk mengambil hati tapi sedikit pun dia tak pernah peduli kehadiran Amier, satu-satunya jantung hati papa. Walaupun arwah datuk dan nenek dulu tidak suka papa berkahwin dengan Aishah tapi bila melihat wajah comel Amier....mereka jatuh sayang, malah Amier menjadi cucu yang yang paling disayangi mereka. Ada suatu hari tu papa mengadakan majlis di rumah dan menjemput kawan-kawan, saudara mara, termasuklah jiran terdekat sempena pembukaan syarikat papa iaitu Dynamic Holdings. Dari situlah papa mengenali mama Eisya” Datin Halijah tersenyum malu bila mengingatkan pertemuan pertamanya dengan Tg Mahmod.
“ Wow!....tak sangka ya....dah jadi macam kisah Jiranku Kekasihku pulak....” Eisya menyampuk, seronok pulak mendengar kisah orangtuanya buat pertama kali. Tidak pernah terfikir pulak dia untuk mengorek rahsia pertemuan antara orangtuanya kalau bukan kerana Reen yang mula membicarakannya.
“ Er....mama dan papa jatuh cinta pandang pertama ke?”
Seronok pulak Esya cuba mengorek rahsia orangtuanya. Reen yang mendengar soalan Eisya tersenyum. Orangtua Eisya pula saling menjeling, senyuman manis terukir di bibir masing-masing.
“ Boleh dikatakan macam tu....masa mama datang majlis tu....mama tengok ada seorang budak lelaki, comel. Terus mama tertarik. Lama juga mama melayan dia.....hm.....tak sangka pulak layanan dan perhatian mama pada anak kecil itu menarik perhatian papa” Datin Halijah memandang suaminya.
“ Macamana papa tak tersentuh melihat pertama kali Amier begitu mesra dengan orang luar walaupun pertama kali bertemu. Lepas tu....Amier selalu tanya papa tentang perempuan yang dia jumpa malam tu sedangkan papa tak pernah kenal siapa dia hinggalah satu hari papa terserempak dengan dia masa papa balik kerja dan dia pun sama ….rupa-rupanya kami berjiran. Dari situlah kami berkenalan dan selalu juga mama Eisya ni datang rumah untuk menemani Amier kalau dia tak kerja. Kebaikan dan perhatian dia pada Amier yang membuatkan papa jatuh hati. Hasrat itu papa suarakan pada nenek dan datuk. Pada awalnya mereka tak setuju, maklumlah mereka mahukan menantu yang sama darjat tapi papa berjaya yakinkan mereka bahawa darjat dan keturunan bukan faktor utama sesebuah kebahagiaan dan akhirnya mereka akur dan merestui hubungan kami sehinggalah kami berkahwin.
Selepas berkahwin kami berpindah.....kesibukan kerja papa membuatkan papa banyak mengabaikan perhatian pada Amier, nasib baik adanya mama. Itu sebabnya selepas kelahiran Eisya papa tak nak mama kerja. Kesudian mama berhenti kerja semata-mata ingin memenuhi kehendak papa demi menjaga anak-anak membuatkan papa benar-benar menyayangi mama walau pun ketika itu mama seorang engineer disebuah syarikat besar” cerita Datuk Tg Mahmod lagi. Sememangnya dia benar-benar bersyukur dipertemukan isteri sebaik Halijah.
“ Mama...antara Eisya, along dan Zafuan....siapa yang paling mama sayang?” suara Eisya sambil melentokkan kepalanya di bahu Datin Halijah.
“ Eisya, along dan Zafuan adalah anak mama....semuanya mama sayang, tak ada bezanya. Korang bertigalah buah hati mama dan papa.....harta yang paling bernilai buat kami” jawapan Datin Halijah membuatkan Eisya terus memeluk erat tubuh mamanya, pipi mamanya dikucup penuh sayang. Terharu Reen melihat gelagat itu.
“ Hm.....sejak tadi asyik berborak pasal Amier, dia belum sampai lagi?....katanya nak balik rumah tadi.....” Datuk Tg. Mahmod bersuara.
“ Ha.....itu pun dia, panjang umurnya”
Tersenyum Datin Halijah apabila melihat sebuah kereta BMW X6 memasuki perkarangan banglo mewah itu. Dari jauh mereka dapat melihat wajah Amier yang baru keluar dari keretanya. Cukup simple dengan mengenakan t'shirt biru dan seluar jeans. Dia melangkah ke arah gazebo sambil melemparkan senyuman. Dia tahu ketika ini mereka yang sedang bersantai di situ merenungnya.
“ Ma....pa …..”
Amier menyalami tangan orangtuanya sebelum mengambil tempat duduk di sebelah papanya yang mengadap wajah Reen. Sempat dia menghadiahkan senyuman untuk Reen yang sengaja melarikan pandangan.
“ Mier dari mana ni?” tegur Datuk Tg. Mahmod.
“ Jumpa kawan.....hm....apa yang sedang diborakkan masa Mier tak ada?....er.....ada apa-apa yang Mier ketinggalan ke?” Amier memandang wajah Datin Halijah.
“ Tadi mama dan papa ceritakan kisah zaman mereka dulu....rugi tau along lambat sampai....ceritanya baru aje habis” Eisya bersuara. Berkerut dahi Amier memandang kedua orangtuanya.
“ Ya....ruginya, selama ni mama dan papa tak pernah pun nak cerita” kata Amier kehairanan.
“ Tadi Reen yang tanya...dia nak tahu kisah along, siapa along sebenarnya!”
Becok mulut Eisya bersuara . Mencerlung wajah Reen memandang wajah Eisya yang tersengih. Apa lagi pandangan Amier terus kepadanya yang membuatkan dia tertunduk.
O....really?”
“ Maaflah along, cerita tadi tak ada siaran ulangan” tambah Eisya lagi membuatkan orangtua mereka tergelak. Amier mengeluh, nampak kecewa.
“ Tak apa....nanti along tanyakan pada Reen....awak bolehkan cerita balik apa yang mama dan papa saya ceritakan tadi?.....tak boleh nak harap langsung kat adik sendiri ” Amier seakan merayu membuatkan Reen jadi gelisah. Tersenyum Amier melihat wajah Reen, comel.
“ Wow....bubur jagung, bestnya.....my favourite!
Tanpa menghiraukan mereka yang berada di hadapan, dia terus mencedok bubur kegemarannya.
“ Emm....yummie, sedapnya!” Amier berlagak seperti gaya Maria Tunku Sabri dalam rancangan Jalan-Jalan Cari Makan.
“ Bubur tu Reen yang masak!” beritahu Datin Halijah.
“ Ya?...patutlah sedap semacam aje....macam tahu-tahu pulak awak yang saya ni suka bubur jagung”
Merah muka Reen mendengar kata-kata Amier. Tak tahu pulak mana nak sorok mukanya bila orangtua Amier asyik memandangnya sambil tersenyum lebar.
“ Hm....kalau begini punya sedap masak bubur, dah sampai masa pun untuk kawin. Tak macam 'orang tu'....masak apa pun tak tahu!” Dalam memuji masakan Reen, masih sempat mengutuk adiknya.
“ Amboi!...Amboi!....sedapnya mulut mengata kita” bidas Eisya geram. Tangannya sempat mencubit bahu abangnya. Amier hanya ketawa. Rasa gembira dapat mengenakan adiknya. Reen sekadar memerhati, rasa seronok melihat gelagat mereka. Dia mula teringatkan adik bongsunya Nasuha. Adiknya itu suka juga mengusiknya.
“ Oh ya! Cakap pasal kawin....mama ada jumpa dengan Datin Hasbi semalam. Dia bagi tahu anaknya akan balik hujung bulan ni....dia ada tanyakan pasal Amier. Hmm....apa kata nanti mama kenalkan anak dia dengan Mier”
“ Tak mahulah” selamba aje Amier menolak cadangan mamanya.
“ Mama ni....tak payahlah mama penat-penat nak kenen-kenenkan along tu dengan anak-anak kawan mama....bukan dia peduli pun....nanti buat malu mama aje!” sampuk Eisya, bukan dia tak tahu perangai abangnya. Paling tak suka di paksa terutama melibatkan masa depannya.
“ Habis.....sampai bila mama nak bercucu!” Datin Halijah mengeluh kecewa.
“ Daripada mama pilih anak-anak kawan mama yang entah apa- apa tu, lebih baik Mier pilih Reen ni jadi isteri”
Kata-kata Amier yang selamba membuatkan Reen terbatuk-batuk. Merah hidungnya. Nasib baik Eisya cepat-cepat menghulurkan air.
' Apa punya oranglah....aku tak bersalah tapi kenapa aku pulak yang dikaitkan dengan cerita ni? '. Reen mengurut-ngurut dada, lega kerana batuknya sudah berhenti. Reen mengetap bibir. Sabar! Sabar!
“ Apa ni En. Amier?....apasal saya pulak yang dikaitkan?” marah Reen. Selebihnya dia malu bila perbualan soal jodoh Amier turut melibatkan dirinya sedangkan dia tak mahu ada kaitan pun dengan lelaki itu walaupun hati perempuannya turut terpikat dengan personaliti lelaki itu. Hanya setakat itu saja, tak lebih dan tak kurang. Dia tak pernah menyimpan impian untuk hidup bersama lelaki itu kerana dia sedar siapa dirinya. Lagi pun perangai lelaki itu sedikit pun dia tak berkenan. Kerana memiliki wajah kacak, dia sanggup mempermainkan hati perempuan.
“ Yalah, along ni! Kesian Reen....kan dah terbatuk-batuk tadi” bela Eisya.
Amier sekadar tersengih. Tak peduli wajah Reen yang sudah merah.
“ Kalau dah suka....apa salahnya! Papa tak kesah siapa pun pilihan Amier. Janji dia tu seorang perempuan yang baik, dapat bentuk jiwa anak papa menjadi seorang lelaki yang beriman. Papa tak nak Amier terus hanyut dengan hal-hal duniawi semata-mata” Datuk Tg. Mahmod tiba-tiba bersuara.
Reen sudah mati kutu. Sangkanya isu itu sudah habis. Dia sudah jadi penasaran.
“ Ha'ah....mama pun suka kalau Reen ni jadi menantu mama. Senang-senang mama pinangkan aje Reen ni untuk Mier....setuju?” sokong Datin Halijah membuatkan perasaan Reen makin haru.
 Senyuman Amier makin lebar tetapi perasaan Reen pula makin resah.
' Eisya, tolong aku!' Reen menjerit dalam diam. Matanya memandang ke arah Eisya. Eisya hanya diam. Sudah tak mahu masuk campur walau pun dia tahu Reen memerlukan sokongannya.
“ Er....auntie....uncle....Reen rasa elok Reen balik dulu....dah lama Reen kat sini” Reen bangun. Dia sudah tak betah untuk terus berada di situ lebih lama. Nanti tak pasal-pasal dia menangis tak berlagu. Banjir pulak perkarangan banglo mewah milik Datuk Tg. Mahmod. Sah-sah terpaksa mereka berpindah. Kan naya!
“ Auntie ingat Reen nak terus bermalam di sini!”
Datin Halijah terpingga-pingga. Terkejut bila Reen tiba-tiba meminta untuk pulang.
“ Tak pe lah auntie, lain kali aje.....er, Eisya....boleh tak kau boleh tolong hantar aku!”
Eisya sekadar mengangguk dan turut bangun. Reen sudah menyalami orangtua Eisya .
“ Reen pergi dulu ya!”
Reen mula mengatur langkahnya. Dia dan Eisya berjalan beriringan menuju ke kereta suzuki swift yang diparkir bersebelahan dengan BMW hitam milik Amier.
“ Reen....saya hantar awak!” tiba-tiba Amier bersuara. Reen terkedu. Bila dia memandang wajah Eisya, gadis itu cuma mengangkat bahu sambil mengukir senyum.
“ Er...En. Amierkan baru sampai”
I'll send you back!” tegas suara Amier kedengaran membuatkan Datin Halijah memandang suaminya.
“ Okay!” hanya itu yang mampu disuarakan oleh Reen.
Thanks, along. Reen ...I'll call you” kata Eisya sebelum beredar. Reen hanya mengangguk lemah.

*****************



SUARA DJ radio yang berceloteh tidak sedikit pun menarik perhatian Reen. Hatinya masih lagi sebal dengan sikap Amier. Dia tak selesa bersama lelaki itu. Aura lelaki itu cukup kuat, dia takut dia tak bisa menolak. Kalau boleh dia tak mahu terjebak dengan lelaki itu.
“ Kenapa diam aje?” Amier bersuara, memecah kesunyian. Reen berpaling sekilas menatap wajah Amier. Patutlah rasa sunyi. Suara DJ yang berceloteh itu sudah tiada. Reen tak sedar bila masanya Amier menutup radio.
“ Tak ada benda yang nak cakap” Reen kembali memandang keluar tingkap.
“ Oh ya! Cantik sangatke pemandangan kat luar tu sampaikan awak tak sanggup nak tengok wajah saya....wajah saya ni tak cukup kacakke untuk menarik perhatian awak?” terdengar gelakan kecil di hujung katanya. Reen makin mendengus. Makin tak selesa. Saat ini dia mengharapkan untuk terus sampai ke rumah.
Sorry!” ucap Amier tiba-tiba bersuara setelah beberapa ketika masing-masing hanya diam membisu.
“ Sorry? Untuk apa?” soal Reen kehairanan bila lelaki itu tiba-tiba memohon maaf. Berkerut dahinya memandang wajah Amier yang nampak tenang. Dia membalas renungan Reen dengan senyuman.
Sorry for that joke.....saya tahu awak tak selesa dengan topik perbualan dirumah papa dan mama saya tadi....so, let's forget!”
Reen mengangguk perlahan. Dia menjadi lega tiba-tiba. Senyuman terukir dibibirnya.
“ Hm....saya suka senyuman awak, cantik!”
“ Hah!”
Reen terpingga-pingga mendengar pujian itu. Wajahnya tiba-tiba terasa panas. Malu dan segan mula menerjah. Dia menunduk wajah.
“ Betul ….tak ada benda yang awak nak cakapkan dengan saya....”Amier bersuara lagi. Cuba mengalih perhatian gadis itu.
“ Er....macam mana dengan hidung En. Amier? Dah okay ke?”
Reen meneliti sekilas hidung lelaki . Nampak okay je. Dia memang nak bertanya tapi asyik terlupa dan tak berkesempatan.
Amier memandang sekilas wajah Reen. Hm....baru nak tanya. Dah seminggu benda tu berlaku.
“ Masih boleh digunakan lagi untuk bernyawa ....lubang hidung pun masih ada dua!”
Amier menyentuh hidung mancungnya sambil tersenyum. Teringat pula dia dengan kejadian  hari itu.
“ Ya ke?....tapi elok juga kalau disebabkan accident hari tu....lubang hidung En. Amier bertambah satu”
Reen tersenyum. Cuba membayangkan sekiranya lelaki itu mempunyai tiga lubang hidung. Lucu, pasti wajah kacaknya menjadi cacat.
“ Apa maksud awak?”
Berkerut dahi Amier memang wajah Reen yang tersenyum.
“ Untung apa....lubang hidung kat bawah untuk bernyawa dan lubang hidung kat atas tu boleh jadi tempat tadahan air hujan....entah-entah, jadi tambah kacak!” usik Reen tergelak kecil.
“ Awak ni.....sengaja nak kenakan saya ya!” tangan kiri Amier tiba-tiba mencubit pipi Reen. Reen terdiam. Terkejut dengan tindakan Amier yang di luar jangkaannya.
“ Ops!....sorry, tak sengaja....itukan tindakan refleksi... Kata-kata awak tu yang membuatkan saya geram” Amier tersengih. Tak nampak rasa bersalah. Wajahnya ceria.
Reen kembali mengalih pandangan di luar tingkap. Terasa menyesal bila memikirkan kata-katanya tadi, sengaja nak mengenakan lelaki itu tapi pipinya yang jadi mangsa. Bila mengenangkan kejadian sebentar tadi, wajahnya terasa panas.
“ Reen....saya tahu ada benda yang terbuku di hati awak. Cuba beritahu saya” Amier bersuara agak serius. Memecah kesunyian apabila suasana rasa sunyi.
“ Baiklah....saya cuma nak tahu kenapa projek kat Damai Jaya tu diserahkan pada Hairil, kan Datuk yang minta saya uruskan....takkan senang-senang En. Amier bagi kat orang lain. Macam mana saya tak marah.....dahlah tak bincang dengan saya dulu!” akhirnya terluah juga apa yang terbuku di hati sejak seminggu yang lalu.
“ Saya dah agak pasal projek tu, awak rempuh bilik saya. Nasib baik tak patah hidung mancung saya ni” Amier tergelak sambil lagi sekali menyentuh hidungnya.
“ Kenapa gelak? En. Amier ingat perkara ni lucuke?”
Reen melahirkan rasa geram. Ada ke patut dia boleh tergelak sedangkan hatiku sedang menggelegak, marah. Dia menjeling geram. Sebaliknya Amier tetap mengukir senyum. Perasaan Reen tiba-tiba berdebar. Sungguh, senyuman itu cukup mempesonakan. Dia takut hatinya akan tergoda, pantas dia memalingkan wajahnya. Mukanya sekali lagi terasa panas. Apa lagi bila mengenangkan kejadian selepas bertemu Mr. Shean Paul. Bagaimana lelaki itu begitu erat memeluk tubuhnya.
“ Maaf kalau awak rasa tindakan saya tu membuatkan awak betul-betul marah. Tapi apa yang saya lakukan itu semata-mata untuk menolong dan menyelamatkan awak!” begitu tenang suara Amier kedengaran, seolah-olah tidak ada rasa bersalah atas tindakannya itu.
“ Apa maksud En. Amier?”
“ Awak masih baru dalam bidang ini. Awak muda dan cantik. Saya cuma tak nak awak alami apa yang pernah awak lalui ketika berurusan dengan Mr. Shean Paul hari tu. Saya dah lama kenal dengan Datuk Bakri tu....selayaknya dia seperti seorang bapa, tapi miangnya mengalahkan orang muda. Dia tu seorang duda.... tapi kalau awak sanggup nak berurusan dengan dia....projek tu akan saya serahkan kembali pada awak” kata-kata Amier membuatkan Reen terdiam. Terbayang di ruang matanya sikap Mr. Shean Paul yang sengaja menggesel pehanya supaya bersentuhan dengannya. Tak mungkin dia akan berhadapan lagi dengan situasi yang sama. Entah-entah makin teruk. Seram bila memikirkan kemungkinan tersebut.
So, apa keputusan awak?”
“ Kalau En. Amier rasa itu yang terbaik untuk saya....saya ikut dan saya ucapkan terima kasih!” akhirnya Reen membuat keputusan.
“ That's good. Jawapan awak tu melegakan saya!” Reen mengukir senyum. Hatinya tertanya-tanya kenapa jawapan yang diberikannya tadi melegakan hati lelaki itu. Apa sebenarnya yang ada dalam hati dia?...timbul pulak rasa ingin tahu. Nak tanya lebih lanjut, dia malu. Akhirnya dia hanya diam.

*******************


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...