Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Thursday, 24 November 2011

NOVEL : DI PENGHUJUNG RINDU 6

oleh: Azieana


Bab 6
H
ARI ini Sarah mengenakan blause labuh yang dipadankan dengan seluar hitam. Dia meneliti penampilannya di hadapan cermin. Lama dia merenung wajahnya di situ sambil melepaskan keluhan perlahan . Kata-kata Tuty semalam masih terngiang-ngiang ditelinganya. Perlukah dia mengubah penampilannya? Perlahan-lahan dia mengusap  kedua pipinya sebelum tangannya beralih membelai rambut yang panjang hampir mencecah pinggang. Dia tersenyum sambil cuba menggayakan rambutnya sebelum mengenakan sedikit make up. Tak perlulah over sangat, bukannya nak pergi party atau menghadiri apa-apa  majlis.
Sarah menuruni tangga menuju ke ruang rehat di halaman rumah. Datuk Syafiq Rahman begitu khusyuk membaca akhbar harian sementara Datin Ruzaini begitu tekun mengubah bunga segar yang baru di bawa pulang dari Cameron Highlands semalam. Mama dan papa ada mempelawanya tapi dia menolak dengan alasan tidak mahu mengganggu percutian pasangan suami isteri itu.
“ Ma…abang Hafiz mana?...masa sarapan pagi tadi pun tak nampak muka dia….tapi kereta dia ada kat depan tu”
“ Dia keluar dengan kawannya tadi….kata nak pergi jogging” jawab mamanya, namun tangannya masih menyusun bunga segar di dalam pasu.
“ Lain benar mama nampak Sarah hari ini!” Datin Ruzaini memandang wajah Sarah. Hairan sekali dengan penampilan Sarah hari ini. Sudah tidak bersanggul. Hari ini rambut panjangnya diikat satu, dah jadi macam ekor kuda.
“ Ya ke? Sarah rasa biasa je!” Datin Ruzaini tersenyum.
“ Hari ni anak mama cantik sekali, sebelum ni asyik bersanggul kepala aje…sesekali diikat macam ni…nampak lain” kata Datin Ruzaini.
“ Selama ini Sarah selalu dengar ramai yang kutuk penampilan Sarah…dikatanya Sarah ni bersanggul macam nenek kebayan” tergelak mama dan papanya mendengar kata-kata Sarah itu.
“ Maaf, papa tak terniat pun nak tergelak tadi…bagi papa, Sarah tetap sentiasa cantik” Datuk Syafiq Rahman bersuara memujuk. Dia tahu tak sepatutnya dia tergelak tadi. Tengok, Sarah dah tarik muncung panjang. Merajuk. Kata-katanya tadi turut dipersetujui oleh Datin Ruzaini.
“ Memang betul pun apa dia orang cakap!” Sarah menoleh sebaik saja mendengar suara yang menegur kata-katanya.
`Huh! Makhluk ni lagi….tak ada muka lain ke aku dapat mengadap tengok pagi-pagi ni selain dari muka dia!` Sarah mengutuk dalam diam.
“ Fiz…tak baik cakap macam tu pada Sarah. Dengar ya sayang, selamanya anak mama tetap cantik di mata mama…tak kira apa jua penampilan Sarah” Datin Ruzaini mengusap lembut kepala Sarah. Sempat Sarah mengerling ke arah Hafiz, apa lagi lelaki itu sedang mencebiknya. Biarlah…aku tak rugi apa-apa pun!
“ Ma…Sarah pergi dulu ya!” Sarah mencium pipi mamanya.
“ Yalah….sampaikan salam mama ya buat Pn. Hasnah”
“ InsyaAllah, ma. Tapi hari ni Sarah balik lambat sikit sebab Tuty ajak temankannya pergi ke PD. Pa…Sarah pergi ya!”
Datuk Syafiq Rahman mengangguk sambil tersenyum.  Sarah terus bangun dan bersedia untuk beredar. Sedikit pun tidak memandang wajah Hafiz yang asyik memandangnya dengan hairan. Bukan saja hairan ingin tahu ke mana Sarah mahu keluar tetapi agak hairan dengan penampilan Sarah hari ini.
“ Hai…pagi-pagi dah keluar merayap”  selamba saja Hafiz bersuara dengan muka selamba.
“ Sarah!”
Sarah berhenti melangkah dan segera menoleh memandang wajah papanya sebaik sahaja namanya dipanggil.
“ Ada apa , pa?”
“ Jangan balik lewat sangat, malam ni papa ada hal yang nak dicakapkan dengan Sarah. Kamu juga Fiz!”
Sarah hanya mengangguk dan terus berlalu.
“ Papa nak cakap pasal apa?” Hafiz terus bertanya sebaik saja melabuhkan punggung di hadapan papanya. Tak sabar pula nak tahu apa yang bakal di bincangkan oleh papanya malam nanti.
“Nanti malam, Fiz akan tahu”  balas Datuk Syafiq Rahman sambil menghirup teh panas.
Hafiz melepaskan keluhan. Geram, sengaja papanya membiarkan dia penasaran. Pasti pasal kerja di office. Kalau ya…tak kanlah nak bincang kat rumah. Hmm…agaknya pasal apa ya!
“ Ma…Sarah tu keluar pergi mana? Selalu sangat dia keluar pagi minggu!” mushkil pulak dengan aktiviti Sarah setiap pagi minggu.
“  Adalah kerjanya tu…lagi pun kami tahu ke mana dia pergi” Datuk Syafiq Rahman menjawab.
“ Ya…ke mana?” teruja pula Hafiz nak tahu. Yalah, setahunya Sarah tak mempunyai ramai kawan, yang paling rapat adalah Tuty.
“ Untuk apa Fiz nak tahu…pentingke?” Datuk Syafiq Rahman mengangkat keningnya.
“ Betul kan bang…selama ni Fiz tak pernah ambil tahu pun pasal Sarah….paling-paling tidak, hanya tahu  nak kutuk atau caci Sarah aje” tempelak Datin Ruzaini.
“ Mama dan papa sama aje….sikit-sikit nak menangkan si Sarah….macamlah perempuan tu baik sangat…asal usulnya pun tak tahu…entah-entah perangai dia tu ikut perangai mak bapak dia!” cemuh Hafiz. Geram betul dengan sikap orangtuanya yang selalu membela Sarah. Sikit pun tak pernah pedulikannya. Macam mana dia tak rasa geram.
“ Hafiz, mama dan papa tak pernah mendidik  Hafiz supaya berperangai kurang ajar macam ni….itulah, berapa kali mama cakap….perangai Hafiz yang suka kutuk Sarah ni tak akan berubah….pening kepala mama dengan perangai Hafiz ni…mama pun tak tahu dari mana Hafiz dapat perangai macam ni!” Datin Ruzaini sudah naik angin. Memang dia pening bila mengingatkan sikap Hafiz yang selalu mengutuk dan memerli Sarah, sedangkan Sarah tidak pernah mengambil kesah tentang aktiviti dan sikap Hafiz selama ini padanya.
“ Hafiz ni anak kandung mama dan papa….mestilah ikut perangai mama dan papa!” Hafiz  membela diri.
“ Hafiz…jangan kurang ajar dengan mama!” Datuk Syafiq Rahman sudah meninggi suara. Dia sendiri tak sangka Hafiz boleh menuturkan kata-kata itu. Dalam hati, dia beristighfar. Kalau tidak ingat pada Allah, Hafiz pasti dapat habuan.
Hafiz terdiam. Wajahnya hanya di tunduk ke bawah. Tak berani bertentang mata dengan papanya. Datuk Syafiq Rahman, kalau dah marah boleh bergegar banglo mewah tiga tingkat  itu.
“ Hafiz masuk dalam dulu!” Hafiz segera meninggalkan pasangan suami isteri itu dengan perasaan membara. Begitu juga yang dialami oleh orangtuanya. Kesal betul mereka dengan sikap Hafiz. Berbeza sekali dengan perangai Hakim, anak sulung mereka yang sekarang ini sudah mendirikan rumahtangga dan bekerja di UK selepas tamat belajar di sana.
************


SARAH keluar dari bilik air selepas mandi dan mengambil wudhuk. Kemudian dia mengerjakan solat maghrib. Selesai solat, dia menuju ke beranda biliknya. Dia melemparkan pandangan jauh ke arah lampu neon di tepi jalan. Dia mengeluh perlahan mengingatkan tentang perjumpaan dengan Tuty tadi selepas pulang dari Rumah Anak Yatim Seri Intan. Beria-ria Tuty mengajak dia menemankan gadis itu ke PD dengan alasan untuk release tension, sebaliknya dalam diam gadis itu membuat rancangan untuk memperkenalkan dia dengan seseorang. Fitri, itulah nama lelaki itu. Menurut Tuty, lelaki itu adalah saudara jauhnya, berusia 32 tahun. Seorang akauntan yang bekerja di salah sebuah bank di sana.
“ Apa pendapat kau tentang abang Fitri, dia baikkan!” Tuty menanyakan pendapatnya mengenai lelaki yang telah diperkenalkan padanya. Ketika itu mereka dalam perjalanan pulang. Sarah hanya diam, tetap memberi tumpuan pada pemanduannya. Dalam diam dia cuba membuat penilaian tentang lelaki yang bernama Fitri itu. Orangnya boleh dikategorikan sebagai lelaki yang handsome juga, penampilannya pun kemas, ada sedikit kumis dan beberapa urat janggut pendek. Kulitnya pun agak cerah, cuma lelaki itu agak pendiam sedikit. Agaknya dia segan atau dia memang lelaki yang tak banyak cakap walaupun kata-katanya begitu sopan pada pengiraan Sarah.
“ Kenapa diam aje?...kau tak berkenan dengan dia ya!”
 Tuty melirik wajah Sarah yang hanya diam membisu sejak tadi. Takkan dia marah kot aku perkenalkan dia dengan abang Fitri. Tuty membuat andaian bila Sarah berterusan membisu membuatkan dia dihimpit rasa bersalah.
“ Sarah!” Tuty terus memanggil nama Sarah.
Sarah memandang sekilas wajah Tuty sebelum kembali memberi tumpuan di hadapan. “ Tuty, banyak perkara  yang terpaksa aku fikirkan  sebelum menerima seorang lelaki dalam hidup aku. Memang aku tak nafikan perasaan aku seperti kau dan gadis lain  juga….ingin dirinya disayangi dan dicintai, begitu juga menyayangi dan menyintai seseorang. Tapi,…ianya tak semudah yang kau bayangkan…kau tentu faham maksud aku, Tie. Memanglah aku ni dibesarkan dalam keluarga Datuk Syafiq Rahman, tapi aku tak dapat lari dari hakikat sebenar siapa aku.…apalagi seseorang yang baru hadir dalam hidup aku…sanggup mereka dan keluarga mereka terima diri aku kalau mereka tahu siapa asal usulku….!” Sarah mengeluh panjang. Entah kenapa hatinya menjadi sebak tba-tiba.
Tuty mengetap bibir, timbul pula rasa bersalah di hatinya. Sangkanya dia dapat membuat kebaikan untuk sahabat terbaiknya tapi tak sangka tindakannya itu membuatkan Sarah murung begitu.
“ Sarah…aku minta maaf ok….aku….”
“  Aku tahu niat kau baik sebenarnya….Tie, aku yakin suatu hari nanti akan hadir seorang lelaki  yang dapat terima aku seadanya. Kalau pun dia dapat tahu siapa aku sebenarnya….dia akan tetap mempertahankan aku dan akan terus menyayangi aku kerana aku adalah Sarah, bukannya siapa-siapa…buat masa sekarang, aku masih boleh teruskan hidup aku macam biasa….cuma sekarang ni, aku hanya bimbangkan kau…!” Sarah melirik seketika ke arah Tuty sambil melemparkan senyum.
“ Kau bimbangkan aku, kenapa?” berkerut dahi Tuty memandang wajah Sarah yang sedang memandang ke hadapan. Nampak dia begitu tenang memegang streng kereta sambil bibirnya mengukir senyum.
“ Kau tu jenis manusia yang mudah jatuh cinta dan mudah putus cinta. Aku takut lama-lama otak kau jadi tak betul…”
Tuty tergelak.
Sarah hanya tersenyum.
“ Kau juga tak perlu risaukan aku. Bercinta dan putus cinta adalah lumrah kehidupan…dah jadi asam garam manusia. Setakat ni, walaupun dah banyak kali aku frust dalam bercinta, tapi otak aku masih waras tau. Aku yakin, Sarah…one day, I`ll find my true love and my soul mate!” Tuty bersuara penuh semangat.
“ Ya….aku pun harap begitu juga!” Sarah mengenggam erat tangan Tuty.
Sarah tersenyum mengingatkan perbualannya dengan Tuty petang tadi.
Lamunannya terganggu bila mendengar ketukan di pintu, dia melangkah dan membuka pintu.
“ Ada apa kak Mah?” Tanya Sarah pada Salmah, pembanu rumah.
“ Kak Mah dah siap makan malam….Datuk dan Datin dah tunggu Sarah kat bawah” beritahu Salmah.
“ Er…abang Hafiz?”
“ En. Hafiz pun ada sekali” Sarah mendengus sebaik saja mendapat tahu lelaki itu ada bersama di meja makan. Sangkanya lelaki itu akan datang selepas dia makan malam.
“ Terima kasih kak Mah, kejap lagi Sarah turun”
Sarah membelek wajahnya seketika di hadapan cermin. Dia tersenyum sendirian bila mengingatkan setiap pertemuannya dengan pelanggan syarikat SR Corp. Sdn. Bhd, mereka akan terkejut mendengar percakapannya yang begitu fasih berbahasa melayu sedangkan wajahnya seperti bangsa asing.
“ Saya warganegara Malaysia. Apa yang nak diherankan…mamat bangla yang datang bekerja kat sini pun fasih berbahasa melayu, apa lagi saya yang lahir dan dibesarkan di sini” itulah jawapannya setiap kali mereka bertanya pasal dirinya.  Tapi sayang, wajah dan kedatangannya dalam keluarga Datuk Syafiq Rahman tidak disenangi oleh Hafiz. Lelaki itu sepertinya mahu dia mengusir dia terus dari keluarga Datuk Syafiq Rahman yang banyak menabur bakti padanya selama ini. Sarah memang pasrah terhadap apa yang bakal terjadi kerana dia yakin lambat laun dia terpaksa juga pergi dari hidup keluarga lelaki itu.
“ Ah! Jauhnya aku melalut…” Sarah mencapai cermin matanya yang terletak di atas meja  solek itu , kemudian dia menyanggul kemas rambutnya sebelum keluar dari biliknya untuk ke ruang meja makan.
“ Kenapa lambat, kau buat apa kat dalam bilik tu? Duk bertapa ya!” Hafiz terus menyembur Sarah sebaik saja wajah Sarah muncul di hadapan meja makan.
“ Maaf ” hanya itu yang mampu Sarah suarakan. Dia hanya menundukkan wajah. Tak mahu berbalas pandang dengan wajah Hafiz, benci.
“ Hafiz….behave yourself” tegur Datuk Syafiq Rahman tegas.
“ Duduk sayang” Datin Ruzaini pula mencelah. Tak mahu perdebatan itu terus merosakkan makan malam mereka.
“ Usah pedulikan kata-kata abang Hafiz tu…kita makan ya…hidangan  pun dah nak sejuk ni” Datin Ruzaini bersuara lagi.
Sarah terus menarik kerusi di sebelah mamanya, nasib baik tak perlu duduk berhadapan dengan Hafiz. Mereka berempat mula menikmati hidangan tanpa banyak bicara. Sarah hanya menguis-nguis nasinya, hanya sedikit saja nasi yang masuk ke dalam mulutnya. Entah kenapa selera makannya hilang.
“ Sarah, kenapa asyik kuis aje nasi tu tanpa makan?...lauk yang kak Mah masak tak sedapke?” tegur Datin Ruzaini bila  melihat Sarah itu.
“ Sedap…” Sarah menjawab perlahan. Hafiz di lihatnya begitu selera menikmati hidangan di hadapan, tanpa sedikit pun mempedulikan keadaan Sarah.
“ Sarah ada masalah ya?” Datin Ruzaini bertanya lagi. Perihatin betul. Hairan melihat wajah Sarah yang muram.
“ Tak adalah….sebenarnya Sarah masih lagi kenyang” balas Sarah. Dia terus bangun membawa pinggan nasi yang masih banyak bersisa ke dapur.
“ Letak aje kat situ, nanti kak Mah basuhkan” kak Salmah tiba-tiba menghampiri Sarah.
“ Terima kasih, kak Mah” Sarah memberi senyuman untuk Salmah sebelum kembali melewati meja makan. Hajat di hati mahu saja masuk ke biliknya, dapat juga dia berehat dengan tenang.
“ Sarah…lepas ni tunggu papa di ruang tamu…ada benda yang papa nak cakapkan. Kamu juga Hafiz” kata Datuk Syafiq Rahman yang baru saja selesai makan. Sarah hanya mengangguk dan terus beredar.
Datuk Syafiq Rahman menuju ke ruang tamu dengan diikuti oleh Hafiz dan Datin Ruzaini, ketika itu Sarah sudah pun berada di ruang itu sambil membelek-belek majalah. Datuk Syafiq Rahman segera mengambil tempat duduk di sofa. Hafiz turut melabuhkan punggung di sebelah papanya sementara Datin Ruzaini duduk di sebelah dengan Sarah. Buat seketika sama-sama mendiamkan diri, hanya memandang antara satu sama lain. Di hati Sarah dan Hafiz sudah tepu dengan pertanyaan. Perkara apakah yang bakal diucapkan oleh Datuk Syafiq Rahman pada mereka.
Hafiz mencapai remote tv, segera di tekan punat berwarna merah. Matanya terus terpaku pada rancangan di tv. Bukan menarik pun, cuma untuk mengelak kebosanan.
“ Hafiz…” tiba-tiba Datuk Syafiq Rahman memandang wajah Hafiz.
“ Papa cukup bangga dengan pencapaian dan hasil kerja Fiz sejak kebelakangan ini. Papa sedar, anak papa sebenarnya dah dewasa dan sudah pandai memikul tanggungjawab yang lebih besar mulai dari sekarang!” tersenyum lebar Hafiz menerima pujian dari papanya. Dalam fikirannya hanya memikirkan satu perkara, pasti papanya akan menyerahkan satu jawatan yang penting untuknya dalam SR Corp Sdn. Bhd tak lama lagi. Tak sia-sia dia berubah sikap sejak kebelakangan ini walaupun itu hanyalah untuk mengaburi pandangan papanya. Mungkin selepas ini semua urusan akan diserahkan padanya, tak perlulah dia meminta apa-apa keputusan dari Sarah lagi.
“ Dan Sarah…kami telah pun memilih calon suami yang sesuai untuk Sarah!” terdiam Sarah mendengar ayat yang baru keluar dari mulut Datuk Syafiq Rahman.benar-benar terkejut dan sangka. Perlahan-lahan air liur ditelan. Bulat matanya memandang wajah papanya yang duduk di hadapannya sambil mengukir senyum. Kemudian dia mengalih pandang wajah mama di sebelah, wanita itu juga sedang melemparkan senyum padanya.
“ Ehem…jejaka manakah agaknya yang betul-betul bertuah nak dijodohkan dengan kau , ya  Sarah!” Hafiz bersuara sambil melemparkan satu senyuman untuk Sarah. Sarah tahu, senyuman itu bukannya senyuman ikhlas. Sebaliknya senyuman itu mengandungi maksud yang tersirat iaitu sindiran. Dan yang pastinya dialah makhluk yang paling gembira sekali mendengar berita itu.
Sarah hanya tertunduk. Tiba-tiba hatinya jadi sebak. Teringat juga akan kata-katanya pada Tuty siang hari tadi. Dapatkah lelaki yang bakal dijodohkan dengannya menerima dia dengan ikhlas.
“ Sarah kan pernah cakap dulu…Sarah serahkan soal menentukan siapa jodoh Sarah pada papa dan mama….jadi, papa harap Sarah dapat terima lelaki ini dengan hati yang terbuka….tapi kalau Sarah dah ada pilihan sendiri, bagi tahu papa…kita boleh bincangkan!” Datuk Syafiq Rahman bersuara lagi bila melihat Sarah hanya diam membisu.
“ Buat masa sekarang Sarah tak ada sesiapa pun. Jadi…Sarah akan terima saja pilihan mama dan papa untuk Sarah kerana Sarah yakin pilihan mama dan papa adalah pilihan yang terbaik untuk Sarah. Dengan adanya restu dari mama dan papa….insyaAllah…rumahtangga Sarah akan aman dan bahagia!” Sarah memberi keputusan. Tidak sampai hati pula menolak cadangan suami isteri itu yang bersusah payah mencarikan jodoh untuknya.
“ Baguslah, kami gembira mendengar keputusan Sarah” Datin Ruzaini terus memeluk tubuh Sarah erat. Betul-betul gembira. Bergenang air matanya menahan sebak.
“ Baiklah….oleh kerana cadangan ini tiada sebarang bantahan…jadi mama dan papa dah tetapkan untuk jodohkan Sarah dengan Hafiz sebagai suami isteri”
“ Apa?” serentak Hafiz dan Sarah bersuara sebelum keduanya saling berpandangan.
“ Papa…keputusan yang papa buat ni tak adil buat Hafiz…papa sepatutnya bincang dulu dengan Fiz sebelum buat keputusan, bukan sekadar bertanya pada Sarah!” Hafiz bangun meledakkan rasa marah, tak puas hati di atas keputusan yang di buat oleh orangtuanya. Rasanya keputusan itu terlalu berat untuk dia terima.
Sarah terdiam. Dalam hal ini, dia bersetuju dengan kata-kata Hafiz. Dia sendiri tak sangka jodohnya telah ditetapkan dengan lelaki itu. Sedikit pun tidak pernah terlintas di kotak fikirannya bahawa Hafiz adalah lelaki yang ditakdirkan akan sehidup semati dengannya.
“ Dengar dulu apa yang papa nak cakap. Papa dan mama dah lama fikirkan hal ini, bukannya kami membuat keputusan ini secara terburu-buru. Kami tahu sejak dari dulu lagi kamu berdua tidak pernah sehaluan…jadi, kami rasa inilah satu-satunya cara untuk pulihkan hubungan korang berdua!” Datuk Syafiq Rahman cuba menjelaskan pada mereka berdua.
“ Papa. Hafiz tetap bantah cadangan papa dan mama ni. Masih banyak cara yang boleh kita bincangkan, kenapa mesti dengan cara ini?....lagi pun Fiz perlu di beri hak untuk membuat pilihan siapa jodoh Fiz, apa yang kita bincangkan sekarang ini adalah soal masa depan Fiz…kita dah hidup di zaman moden, zaman orangtua yang masuk campur dalam soal jodoh anak-anak dah lama berlalu!” Hafiz cuba mempertahankan diri. Sedikit pun tidak setuju dengan cadangan itu.
“ Oh,…soal jodoh…jodoh mana yang kamu maksudkan Fiz? Kamu ingat, papa tak tahu perangai dan sikap Fiz di luar….perempuan mana yang Fiz tak kepik! Semua perempuan yang Fiz damping itu semuanya perempuan yang tak senonoh, yang hanya tahu mengikis duit lelaki… tak seorang pun yang boleh di buat isteri…apa lagi nak dijadikan ibu untuk cucu-cucu kami. Kamu dah buta ye!” sergah Datuk Syafiq Rahman.
“ Mata papa dan mama yang buta sebenarnya, perempuan yang tak tahu asal-usul keturunan ini yang mama dan papa banggakan untuk dijadikan ibu pada cucu-cucu papa dan mama!...apa yang dah dia lakukan sehingga mama dan papa sanggup menggadaikan perasaan dan maruah Hafiz!” merah mata Hafiz merenung tajam ke muka Sarah yang diam membisu. Hanya air mata sahaja yang bergenang dan gugur di kelopak matanya.
“ Kau hebat Sarah…kau dah berjaya memperdayakan orangtua aku tapi kau jangan ingat dapat memperdayakan aku. Kau ni seorang manusia yang tak pernah rasa puas dan tak tahu rasa untung, kau manusia  yang tak tahu rasa malu yang pernah aku temui seumur hidup aku!” Hafiz terus menuduh Sarah yang sedang menangis dalam pelukan mamanya.
Pang! Satu tamparan singgah di pipi Hafiz membuatkan Hafiz terkedu. Dia meraba-raba perlahan pipinya yang terasa begitu perit. Dia tunduk. Sudah tidak berani membalas kata papanya yang sudah berang, wajahnya sudah menyinga  tahap maksima. Kecut perut juga kalau papanya dah naik angin.
“ Dengar sini! Keputusan papa adalah muktamat. Kamu berdua akan papa nikahkan 4 minggu lagi. Jadi kamu berdua ada masa sebulan untuk menguruskan persiapan kawin korang berdua. Dan mulai saat ini papa tak mahu dengar sebarang rungutan, terutama  dari kamu Hafiz, ingat…kalau Hafiz ingkar perintah papa….papa akan gugurkan hak Hafiz di syarikat dan apa saja yang pernah papa berikan pada Hafiz selama ini, akan papa tarik balik….I`m mean it!”
“ Ini tidak adil” Hafiz bersuara perlahan sambil mengetap bibir.
“ Terpulang, tapi keputusan papa tetap muktamat” tegas Datuk Syafiq Rahman.
Hafiz mendengus kasar, dia mencapai kunci kereta dan terus keluar dari rumah itu.
“ Sudahlah, jangan nangis. Mama dan papa faham perasaan Sarah. Apa yang kami lakukan ini adalah untuk kebaikan Sarah, masa depan Sarah. Mama dan papa terlalu sayangkan Sarah sehingga kami tak sanggup membiarkan Sarah berjauhan dari kami. Kami boleh carikan pemuda lain untuk Sarah, tapi dapatkah dia membahagiakan hidup Sarah nanti?...dan bagaimana penerimaan ahli keluarga pemuda itu bila mereka dapat tahu siapa Sarah. Mama dan papa tak mahu hati Sarah disakiti walaupun tindakan kami ini sedikit sebanyak mengecewakan Sarah. Mama dan papa bukan pentingkan diri sendiri kerana menetapkan jodoh Sarah dengan Hafiz….tapi kita mesti percaya, Allah   itu wujud dan kita tak tahu  apa yang berlaku di masa depan. Mungkin dengan takdir Allah, hubungan Sarah dan Hafiz akan baik dan rumahtangga korang berdua akan bahagia!” pujuk Datin Ruzaini sambil mengusap lembut kepala Sarah. Datuk Syafiq Rahman mengangguk perlahan, mengiyakan kata-kata isterinya.
“ Tapi mama…” Sarah tetap rasa tak tenang.
“ Sarah,… Hafiz tu anak kami, darah daging kami. Mama dan papa boleh pukul dan marahkannya kalau dia sakitkan hati Sarah. Sarah jangan bimbang ya….kalau dia buat perkara yang tak baik pada Sarah….Sarah bagi tahu mama dan papa ya!” Datin Ruzaini tetap memujuk sambil mengukir senyum.
“ Tidakkah mama dan papa rasa tindakan ini akan menyebabkan abang Hafiz lebih membenci Sarah” Sarah bersuara melahirkan rasa terkilan. Dia memandang wajah pasangan suami isteri itu silih berganti dengan mata yang berkaca.
“ Sebagai orang Islam, kita berpegang pada Rukun Iman, Percaya pada Allah dan percaya pada Qada` dan Qadar Allah. InsyaAllah…Allah sentiasa ada besama kita” sampuk Datuk Syafiq Rahman membuatkan Sarah terdiam, mengakui kata-kata itu.
*************





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...