Followers

Bicara

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih saya ucapkan buat pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini. Blog ini di wujudkan sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda. Saya hanyalah insan biasa yang punya banyak kelemahan dan masih perlu tunjuk ajar.
Di harapkan apa yang di paparkan di sini menarik minat anda untuk mengunjungi lagi dan memberi sokongan untuk saya terus berkarya.

Wednesday, 23 November 2011

Badak Jongang & Sotong Panggang



oleh: Azieana

HISYAM termenung di tingkap pejabatnya, sesekali dia mengeluh panjang.  Jam di tangan sudah menunjukkan 4.30 petang tapi cuaca di luar nampak redup. Agaknya kejap lagi hujan akan turun.  Dua tiga hari ini selalu aje hujan waktu petang. Hmm....elok juga, tak adalah rasa panas semacam. Sejak kebelakangan ini fikirannya sarat dengan pelbagai masalah, bukannya hanya masalah pejabat sahaja. Yang paling ketara adalah masalah yang seringkali ditimbulkan oleh emaknya sejak dari dulu  lagi.  Hisyam tahu Hjh Faridah tak akan serik mendesaknya selagi dia tak akur dengan permintaan wanita itu. Tidak terfikirkah orangtua itu, bukannya dia tak mahu memenuhi hasrat tapi hatinya masih belum terbuka untuk menerima sebarang cadangan emaknya. Tambahan pula dia sendiri masih belum mempunyai calon walaupun ramai yang cuba nak mengofferkan diri.
            Lagu Higher nyanyian Taio Cruz mula berkumandang di telefon bimbitnya yang diletak di atas meja segera mematikan lamunan Hisyam.  Dia sengaja membiarkan lagu itu berkumandang seketika, sengaja nak dengar lagu yang rancak itu berkumandang. Dan dalam masa yang sama dia tetap bermuhasabah, punyalah jauh dia mengelamun.  Kalau big bos tahu dia asyik mengelamun, pasti dia kena mambu. he...he...he...
            Hisyam mendapatkan telefon bimbitnya dan memerhati seketika nombor yang tertera di telefon blackberrynya. Sekali lagi dia mengeluh panjang sebelum melabuhkan punggung di kerusi yang baru di dudukinya sejak 3 bulan lalu setelah dinaikkan pangkat sebagai pengurus kanan syarikat, hasil dari penat lelahnya bekerja memberi idea dan bertungkus lumus menyiapkan sebarang kerja yang diamanahkan. Emak selalu pesan....
            “ Kerja tu dengan ikhlas, jangan tahu nak curi tulang aje....mak nak semua anak mak mendapatkan duit dengan cara yang halal.  Baru hidup menjadi berkat ”  Pn. Hjh Faridah sentiasa menasihat anak-anaknya. Itu sebabnya semua anak-anak Hjh Faridah dan arwah Hj Ab. Kadir berjaya.
            “ Assalamualaikum....” Syam segera memberi salam sebaik saja dia menekapkan telefon di telinga.
            “ Waalaikumussalam.....apasal lambat jawab panggilan mak?....Syam sibuk ya!” timbul pula rasa bersalah di hati Hisyam kerana membiarkan emaknya menunggu. Hjh Faridah  memang garang dan tegas orangnya, tapi garang dan tegas yang bertempat , memang sesuai dengan  jawatannya sebagai seorang guru besar di sekolah rendah. Tapi kalau kena dengan pujuknya, hati mak tetap akan cair.  Berlainan pula dengan arwah ayah yang meninggal sejak 5 tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.  Ayah juga seorang guru di salah sebuah sekolah menengah di Tanjong Malim. Ayah sentiasa bersikap tenang dalam apa jua urusan. Jarang nak melenting. Bak kata orang sekarang...sentiasa cool. Bukan sejuk macam ais. Tapi ...kalau sesekali ayah  naik angin, kalah puting  beliung yang melanda Amerika, mak yang tegas pun boleh diam tak berkutik. Suasana akan jadi sepi. Ayam pun takut nak berkokok, kambing pun takut nak mengembek....silap-silap binatang tu boleh kena sembelih. Ha...ha....ha...
            “ Maaf mak....Syam ada hal tadi....mak sihat?” Syam segera membuat alasan. Pen yang berada di atas meja di capai dan dipusing beberapa kali.
            “ Mak sihat....mak telefon ni sebab ada hajat sikit.  Mak nak bincangkan pasal masa depan Syam!” Hisyam mula menelan liur walaupun telinganya mendengar setiap tutur kata emaknya.
            ` Bala dah datang balik!` Hisyam menarik nafas, kemudian menghembus balik.  Tangan kirinya segera memicit  dahi. Terasa pening tiba-tiba.
            Dia sedar, sudah banyak kali perkara itu dibincangkan terutama apabila dia balik bercuti di kampung. Emaknya tak pernah serik untuk cuba memadankan dia dengan beberapa orang anak gadis. Semuanya ditolak dengan alasan dia belum bersedia untuk memikul tanggungjawab walaupun sebenarnya dia lebih dari berkemampuan dari segi kewangan.
            “ Syam....hujung minggu ni Syam balik ya....mak nak kenalkan Syam dengan anak Pn. Maria yang baru balik dari luar negera.  Sekarang ni dah pun kerja kat Kuala Lumpur” Hjh Faridah cuba memujuk anak bujangnya.
   Dia benar-benar berharap agar cadangannya ini diterima oleh anaknya. Jenuh dia cuba memujuk anak lelakinya itu menerima mana-mana gadis yang dikenalkan. Tapi tak satu pun yang berkenan.  Entah gadis yang macam mana ditunggunya. Pening kepala Hjh Faridah mengenangkan anak lelaki yang sorang ni.  Nak kata ada teman wanita, tak ada diceritakan pulak.  Suruh di cari, sampai sekarang tak pernah nampak batang hidungnya. Yang dia cari, satu pun tak ada yang berkenan.  Pening...pening.... Hjh Faridah menggaru kepala yang tidak gatal. Lama juga dia menanti kata-kata dari Hisyam.
            “ Macam nilah mak....Syam akan cuba balik hujung minggu ni kalau tak sibuk. Buat masa sekarang Syam tak boleh beri kata putus lagi!” Syam cuba berkompromi,  bimbang emaknya akan berkecil hati.
            “ Kamu ni Syam....ada-ada aje alasannya....mak ni dah lama kempunan nak terima menantu perempuan....kalau mak ada anak lelaki yang lain, tak ada la mak kalut macam ni....kamu ni Syam, perangai cerewet mengalahkan orang perempuan”  Hjh Faridah mengeluh kecewa.
            “ Mak....soal nikah kawin ni, melibatkan soal masa depan Syam...Syam tak nak terburu-buru buat keputusan, Syam tak nak menyesal di kemudian hari...lagi pun kalau boleh Syam hanya nak kawin sekali seumur hidup dan kekal hingga ke akhir hayat” tukas Hisyam. Memang tidak pernah terniat pun untuk kawin lebih dari satu macam yang di buat oleh En. Shaari, pengurus perancang di tempat kerjanya. Perangai dia tak ubah macam watak P. Ramlee dalam Madu 3.
            “ Itu ajelah alasan kamu....muak mak mendengarnya” cemuh Hjh Faridah.
            “ Mak juga yang bangkitkan soal ni....tak usahlah mak risau....tiba masanya, jodoh tu akan datang sendiri” Hisyam cuba memujuk emaknya.
            “ Jodoh tak kan datang kalau tak dicari....kamu sedar tak yang kamu seorang lelaki....kena mencari....kalau tak cari, mana nak jumpa....” bebel Hjh Faridah. Geram betul dengan sikap anak bujangnya. Suka sangat menjawab cakapnya.
Hisyam terpaksa menadah telinga. 
            ` Emak ni suka sangat membebel, tak penatke?....pot pet pot pet....macam keretapi panjangnya` Hisyam tersenyum sendiri selepas mematikan talian.
            “ Mak...mak....risau sangat aku tak kawin. Aku ni bukannya tua sangat pun, baru  masuk 30 tahun. Enjoy pun tak puas lagi” Hisyam mengeleng kepala mengingatkan kerisauan emaknya yang tak sabar nak melihat dia naik pelamin. 
            Timbul juga rasa kesian dengan emaknya yang terlalu menginginkan kehadiran menantu perempuan lantaran dalam adik beradiknya yang seramai 5 orang, hanya dia yang lelaki dan juga anak sulung. Dua adiknya, Syafika yang bekerja sebagai akauntan di Seremban sudah pun berkahwin 3 tahun lalu sebaik saja tamat pengajiannya, sementara Sarina baru berkawin pada tahun lepas. Sekarang ni bekerja di Penang.  Adik perempuannya yang ke 4 masih lagi menuntut di UK dalam bidang kejuruteraan.  Entah macam mana mak boleh terpujuk hati membenarkan Zulaikha belajar di sana sedangkan anak yang lain semuanya menyambung pelajaran di dalam negara. Emak yang tak benarkan kerana belajar di dalam atau di luar negara sama aje, yang penting ilmu yang dipelajari digunakan dengan sebaik mungkin.  Sekarang hanya tinggal Amiza yang masih menuntut di tingkatan 5. Amiza juga yang menjadi peneman emak di rumah.
            Saat Hisyam mengelamun mengingatkan keluarganya, telefon yang masih lagi dalam genggamannya berbunyi lagi.
            “ Hello....Syam, kau ada date tak petang ni?” suara Azlan kedengaran ceria dihujung talian.
            “ Tak ada, kenapa?”
            “  Temankan aku main futsal malam ni....urat-urat kat badan aku dah lama kejang....nak suruh bini aku massage, dia tak larat....asyik muntah-muntah aje sejak dia pragnant
            Hisyam tersenyum. Dia tumpang gembira bila Azlan memberitahu dia bakal menjadi seorang ayah tak lama lagi selepas mendirikan rumahtangga tahun lepas dengan gadis pilihannya.
            “ Kau tak kesahke tinggalkan wife kau sorang-sorang kat rumah!” dah tahu isteri tak larat, kenapa masih sanggup nak di tinggalkan keseorangan. Kalau apa-apa jadi, kan menyesal.
            “ Mertua aku ada datang....itu sebabnya aku tak risau,... kalau tak....tak kan aku sanggup nak tinggalkan bini kesayangan aku tu.  Bini aku jadi macam tu sebab aku jugak....takkanlah aku nak biarkan dia tanggung sorang-sorang pulak....” di akhirnya Azlan ketawa.
 Hisyam turut ketawa.
            “ Tak sangka...hebat juga kau ni ye...tak sampai setahun kau dah berjaya nak jadi seorang ayah. ....aku rasa jealous pulak!” kata Hisyam sambil tergelak kecil.
            “ Itulah kau....sayang sangat dengan tittle bachelor kau tu....takkan kau nak tunggu bidadari turun dari langit kot!”
            “ Gadis yang ditakdirkan untuk aku tu belum jumpa lagi....bila  aku dah jumpa dia, instinct aku akan akui yang dia adalah jodoh aku” Hisyam berseloroh.
            “ Piiirah dengan kau punya instinct  konon....”
 Azlan ketawa. Hisyam turut ketawa.
            “Ok la bro....kita jumpa kat biasa malam ni”
            Hisyam tersenyum mengingatkan pebualannya sebentar tadi dengan Azlan. Akan wujudkah bidadari yang ditakdirkan untuknya?  Atau terpaksa dia menyerahkan soal jodoh kepada emak. Tapi sekali fikir, bukannya dia tak ada kenalan perempuan yang rapat tapi dia risau mereka tak diterima oleh emaknya. Taste Hjh Faridah tinggi mengalahkan Gunung Everest... dia nakkan menantu yang cantik, bersopan-santun, bertudung dan mempunyai kerjaya yang baik. Kalau yang cantik dan berkerjaya boleh di cari tapi kalau yang sopan-santun dan bertudung susah sikit sebab mana-mana perempuan yang dikenalinya hanya bersikap hipokrit.  Hanya tahu menggesel, merengek-rengek dan meliuk- lintuk, naik seram bulu romanya. Manja tak bertempat.

**********

BINTANG-BINTANG berkelipan indah, disusuli dengan suara cengkerik mengisi suasana sepi waktu malam. Hisyam masih belum dapat melelapkan mata walaupun jam sudah berdetik dua kali menandakan sekarang sudah pukul 2 pagi.
            Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata emaknya tadi selepas makan malam.
            “ Syam, macam mana dengan saranan mak tempohari?  Mak nak tahu keputusannya, kalau Syam bersetuju....mak akan segera pinangkan anak Pn. Maria tu!” Hjh Faridah bersuara tenang tapi riak wajahnya menjelaskan yang beliau sudah tidak sabar untuk menerima menantu.  Hisyam berpura-pura tidak mengendahkan kata-kata emaknya. Sengaja matanya ditumpukan pada skrin tv yang menyiarkan Buletin Utama, siaran tv3.
            “ Syam, mak tak mahu memaksa kalau Syan tak suka pada pilihan mak ni...mak akan terima siapa saja pilihan Syam asalkan gadis yang Syam suka tu baik, beragama dan pandai hormatkan orang tua. Bukannya gadis yang entah apa-apa. Harapkan muka aje lawa tapi perangai....kalau boleh mak tak mahu cucu-cucu mak nanti mempunyai perangai tak elok” Hisyam tetap mendiamkan diri.
            “ Mak tahu, sejak ayah Syam tiada....Syam lah tempat mak dan adik-adik bergantung.  Sekarang...mereka semua dah besar, Syafikah dan Sarina dah tak perlu mak risaukan. Zulaikha pun tak lama lagi akan tamat pelajarannya....cuma tinggal aje Amiza. Dia tu tak banyak kerenah” terang Hjh Faridah.
            Walaupun hati Hisyam resah mendengar kata-kata emakanya, namun terpaksa ditabahkan hati.  Sengaja buat acuh tak acuh dengan kata-kata itu. Tak sanggup nak mengadap wajah emaknya, takut hati jadi cair. Hjh Faridah yang duduk selang dua kerusi sesekali mengeluh perlahan melihat sikap lewa anak lelakinya.
            “ Mak rasa....dah tiba masanya Syam fikirkan tentang masa depan Syam!”
Hisyam berpaling, mengadap  wajah emaknya yang sedang melipat kain.  Amiza kemudian muncul dengan membawa dulang minuman panas dan  sepiring buah epal yang telah di potong. Dulang itu di letak di hadapan Hjh Faridah. Ringan tangan Amiza menolong emaknya melipat kain. Memang Hisyam akui, adik bongsunya ini rajin orangnya berbanding adik-adik perempuannya yang lain. Membantu emak tanpa di suruh. Tak macam Zulaikha, bila di suruh buat sesuatu, ada aje alasannya.   Sebab itu dia dapat memujuk emak sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara
            “ Bang Syam, jemput minum”  pelawa Amiza.
            Hisyam menghampiri emaknya dan Amiza yang sedang duduk di atas karpet warna merah. Segera cawan teh di capai dan diteguk perlahan dan sepotong epal di masukkan ke dalam mulut.
            “ Miza rasa abang Syam ni memang dah ada makwe, sebab tu susah sangat nak terima cadangan mak....betul tak?” Amiza menaikkan kening sambil memandang wajah abangnya yang masih lagi mengunyak epal.
            “ Kalau ada kenapa?” soal Hisyam.
            “ Kalau ada, kenalkan pada mak....jangan main cakap je....mak ni sebenarnya bukan memilih sangat, asalkan dia baik dan tahu hormatkan orangtua, bukan hanya baik pada budi pekerti tapi juga pada agama.....”  Hjh Faridah terus memberi komen.  Entah apa lagi yang di bicarakan,, Hisyam sudah tak ambil peduli. Dia memang dah lali, bak kata orang masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
            “ Bila Syam nak bawa dia jumpa mak?” terpingga-pingga Hisyam dengan sergahan emaknya. Hampir tersembur air yang diminumnya.  Terdengar suara Amiza tergelak kecil.
            Hisyam terbatuk-batuk. Terasa tekaknya perit tiba-tiba.
            “ Alah...mak ni, cakap aje tak memilih siapa aje....tapi syarat panjang berjela....mana Syam nak cari perempuan yang mak inginkan tu....ingat senangke?”
 Hisyam tersengih. Terbeliak mata Hjh Faridah dengan gelagat anak bujangnya.  Seolah-olah mempersendakan hasratnya.
            “ Sebab tu kamu kena terima aje siapa pilihan mak....”
            Hisyam mendengus. Maknya masih tetap tak mahu mengalah.
            Hisyam bangun selepas meminta diri untuk beredar. Dia mahu merehatkan minda.
            “ Nak ke mana tu?” tegur Hjh Faridah bila Hisyam melangkah ke luar rumah.
            “ Jumpa Shahrul kejap....bukannya selalu balik kampung dan jumpa kawan-kawan lama...” balas Hisyam  membuatkan emaknya mengeluh panjang. 
            “ Itu aje  alasan abang kamu kalau mak cakap pasal kawin....apasal dia tu fobia sangat bila sebut pasal kawin....tak kan dia tak ada perasaan dengan perempuan...” Hjh Faridah bersuara perlahan membuatkan Amiza tersenyum. Amiza sendiri akui, kalau dia berada di tempat abangnya, pasti juga dia mengelak kalau diri belum bersedia.

*****************

SYAM mengeluh panjang sambil pandangannya dihala ke tingkap, memerhati beberapa orang pelajar sedang menunggang basikal untuk ke sekolah.  Tiba-tiba dia teringatkan peristiwa semasa belajar di sekolah menengah 13 tahun lalu.  Ketika itu dia berada di tingkatan 5 dan akan menghadapi peperiksaan SPM. Pertengahan tahun, masuk 2 orang pelajar baru, kedua-duanya perempuan. Mereka adik-beradik. Kakak di tingkatan 5 dan yang adik di tingkatan 3. boleh dikatakan semua pelajar di sekolahnya mengenali siapa Hisyam,  bukan kerana kepandaian dan kekacakannya, tetapi kerana sikap nakalnya. Tidak sah kalau sehari dia tak mengusik dan menyakat pelajar-pelajar sekolah terutama pelajar-pelajar perempuan. Tak kira yang cantik, mahu pun yang hodoh, semuanya akan menjadi mangsa Mohd Hisyam bin Abdul Kadir menyebabkan kedua orangtuanya terpaksa menebalkan muka datang ke sekolah untuk mengadap guru disiplin. Pelajar perempuan yang paling top dalam pemerhatian Hisyam dan kawan-kawannya adalah pelajar baru di tingkatan 3 itu. Mereka menggelarkannya Badak Jongang kerana tubuhnya yang agak gempal dan giginya yang sedikit jongang.
            “ Hei, Badak Jongang datang!” kata Kamal sebaik saja nampak pelajar itu sedang menghala ke arah mereka untuk ke kantin bersama dua orang kawannya. Ketika itu Hisyam dan kawan-kawan sedang menikmati makanan di bawah pokok ketapang.  Selalu juga mereka berkumpul di bawah pokok itu.
            “ Hoi, Cik Badak Jongang....awak tak payahlah makan. Badan dahlah gemuk, nanti gigi pun bertambah jongang” usik Hisyam sambil ketawa, diikuti oleh beberapa orang kawannya.
            “ Awak panggil saya Badak Jongang?...ingat saya ni bukan orang ke?....sesedap rasanya main letak-letak nama...mak bapa saya bagi nama punya elok, awak panggil Badak Jongang!” Pelajar perempuan itu mengadap wajah Hisyam dan kawan-kawan sambil mencekak pinggang. Dua kawannya hanya menjadi pemerhati. Tak berani nak masuk campur , takut terkena tempias.
            “ Alah...nama Badak Jongang tu lebih sepadan dengan awak.....nama Fatin tu tak sesuailah untuk orang yang badan macam awak.  Lainlah kalau kakak awak yang cun melecun tu....selera juga saya nak pandang!” Hisyam masih seronok membalas kata-kata pelajar itu.  Kawan-kawan Hisyam hanya tersengih-sengih macam kerang busuk. Benci Fatin melihatnya, bukan hanya benci tapi dah tambah menyampah.
            “ Kalau saya ni Badak Jongang....awak tu Sotong Panggang, kawan awak yang tu Kuda Belang, yang tersengih macam kerang busuk tu Ayam Belanda....ha, yang terhangguk-hangguk tu Burung Belatuk....puas hati?” ternganga mulut Hisyam dan kawan-kawan mendengar kelancangan Fatin memberi nama baru untuk mereka. Kawan-kawan Fatin dah tersipu-sipu cuba menyembunyikan senyuman, namun akhirnya pecah terburai. Merah padam muka Hisyam dan kawan-kawan menahan rasa malu, tambahan pula keriuhan mereka menyebabkan mereka menjadi perhatian pelajar-pelajar lain.
            “ Apa tengok-tengok? Nak kena belasah?” sergah Fatin kasar bila Hisyam terusan memandang wajahnya tanpa berkelip. Sebenarnya bukan apa,....baru dia sedar betapa cantiknya mata Fatin, beberapa kali dia menelan liur.
            Akhirnya Fatin berlalu dengan perasaan lega, seperti terlepas dari bebanan.
            “ Wow! Dahsyat....lomah semangat den” kata Shahrul yang mendapat gelaran Ayam Belanda. Satu gelaran yang tak pernah diimpikannya selama ini. Dia mengurut dada.          
            Sejak dari hari itu, mereka lebih dikenali dengan gelaran masing-masing berbanding dengan nama asal. Apa boleh buat....sendiri cari pasal, jadi sendiri yang tanggung. Hubungan Hisyam dan Fatin tak pernah baik, ada aje alasan Hisyam untuk mengenakan Fatin. Ada ketikanya perbuatan dan kata-kata Hisyam di balas balik oleh Fatin. Mereka berdua dah jadi macam anjing dan kucing. Pantang berjumpa, pasti perang mulut tercetus.
            “ Eh, Rul...petang ni kau nak datang tak training bola sepak? Aku dengar hari ni pun ada latihan bola jaring, bolehlah aku cuba tackle kakak Si Badak Jongang tu!” Hisyam bersuara. Sebenarnya, dia memang berminat dengan Farhana Athirah. Siapa yang terpikat oi.... kulitnya putih bersih, wajahnya ayu menawan, bersikap lemah lembut, bertubuh langsing, kacukan melayu dan mat saleh lagi. Sesekali Hisyam menggaru kepala yang tidak gatal.
            ` Apasal fizikal Fatin jauh bezanya dengan Farhana?` soalan yang tidak mampu dijawab olehnya sendiri.
            “ Jadi, kau ni memang ada hati dengan Farhana ye!” Shahrul memandang wajah Hisyam yang sedang tersenyum.
            ` Amboi, amboi..tinggi betul selera kau ya Syam....kau ingat kau tu hebat sangatke? Badan dahlah sekeping macam papan, ada hati nak tackle gadis cantik....piiirah! Kau ingat kau sorang ke yang ada hati....aku pun dah lama minat kat si Farhana tu!` detik Shahrul sambil mengetap bibir.
            “ She`s beautiful and perfect. Semua ciri-ciri yang aku idamkan ada pada dia....kau jangan nak pandai-pandai potong line aku....kalau tak, siap kau aku kerjakan nanti” Shahrul mencebik bibir. Sedikit pun tak hairan dengan ugutan Hisyam.  Kalau nak tayang body, dia lagi hebat berbanding dengan Hisyam. Getus Shahrul.
            “ Sedarlah diri kau tu  sikit bro....badan dah kurus sekeping....macam apa ya....ooo...sebijik macam Sotong  kena Panggang”  Shahrul ketawa mengingatkan gelaran temannya. Terbayang di ruang matanya gambaran Hisyam yang sedang menjemur di ampaian di tepi pantai.
            Hisyam yang tak dapat menahan yang amat dengan usikan temannya segera mengangkat penumbuk, nasib baik  Safuan cepat-cepat menahan.  Shahrul yang berjaya mengelak dari terkena penumbuk  Hisyam makin galak ketawa.
            Tiba-tiba tumpuan mereka serentak ke arah Fatin dan Farhana yang berjalan bersama untuk pulang ke rumah.
            “ Syam, kau boleh bayang tak kalau satu hari nanti kau bertemu jodoh dengan Badak Jongang kesayangan kau tu” andaian yang baru keluar dari mulut Safuan membuatkan Hisyam terdiam. Terasa seram juga Safuan melihat wajah Hisyam. Dia sendiri tak dapat pastikan apa yang sedang difikirkan oleh Hisyam ketika itu.
            Masa terus berlalu. Selepas keputusan PMR diumumkan, Fatin mendapat tawaran belajar di MRSM Trengganu dan beliau merupakan pelajar terbaik di sekolah. Sementara dia dapat tawaran matrik di Pahang sebelum menyambung pelajaran di UM. Kekadang Hisyam merindui suasana itu. Tapi, sejak emaknya membangkitkan soal jodoh dengan anak Pn. Maria mengingatkan dia pada Farhana. ....pastinya tambah anggun dan menawan. Bagaimana pula dengan bentuk fizikal Fatin sekarang?

*************
SYAM memasukkan beberapa helai baju  ke dalam beg pakaiannya.  Semalaman dia tak dapat lelapkan mata memikirkan saranan dan cadangan emaknya yang terlalu tinggi.      
            “ Syam, macamana dengan saranan mak tempohari? Syam dah buat keputusan?” Hjh Faridah bertanya. Tak sabar rasanya nak menanti keputusan. Walaupun dia yang beria-ria, tapi keputusan tetap di tangan Hisyam. Cuma dia mengharapkan keputusan yang dibuat oleh Hisyam tidak akan mengecewakannya.
            “ Syam serahkan pada mak untuk buat keputusan!”
            Hisyam memberi kata putus. Malas nak menyerabutkan kepala otak lagi. Lagi lama dia tak buat keputusan, lagi lama dia diasak oleh emaknya.
            “ Alhamdulillah....minggu depan mak akan cuba pergi merisik, kalau tak ada halangan....mak akan terus hantar rombongan meminang” tersenyum lebar Hjh Faridah di atas persetujuan Hisyam. Ligat fikirannya membuat rancangan.
“ Abang, abang betul-betul serahkan segala keputusan pada mak? Abang tak menyesal?” Amiza tiba-tiba bersuara.
“ Miza, abang tak nak fikirkan hal tu lagi....abang harap pilihan mak kali ini adalah pilihan yang terbaik” Hisyam menutup beg pakaiannya. Amiza hanya mendiamkan diri. Tak berani memberi sebarang komen.
Hisyam menuju ke tingkap, jauh dia mengelamun mengingatkan keputusan yang telah dibuat sebentar tadi. Keputusan yang menentukan masa depannya.
“ Assalamualaikum...” suara salam yang di beri membuatkan mata Hisyam terarah pada wajah wanita yang hampir sebaya dengan emaknya.
“ Syam......bila balik?” tegur wanita itu sebaik saja salamnya di jawab oleh Hisyam. Tersenyum lebar wanita itu sebaik berhadapan dengan wajah Hisyam.
“ Dah 2 hari mak su, ini pun dah bersiap nak balik KL” jawab Hisyam sambil menyalami tangan emak saudaranya, Hjh Mariam atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Su yang tinggal selang dua kampung dari rumahnya.  Sudah agak lama dia tak bersua dengan emak saudaranya ini, bukan dia sengaja. Tapi disebabkan kesibukan kerjanya yang membataskan dia berjumpa dengan sanak saudara di kampung.
“ Kenapa tak ajak Faisal naik sekali?” tegur Hisyam bila melihat anak Hjh Mariam menghantarnya dengan motor tadi. Tanpa sempat dia bertegur sapa, terus sepupunya itu beredar.
“ Alah...kamu tau ajelah perangai si Faisal tu....ada aje kerjanya.....entah betul entah tidak....kamu ni Syam, kenapa cepat sangat nak balik!” Mak Su mengibas-ngibas tudung yang di pakainya. Panas barangkali sambil melabuhkan punggung di kerusi, diikuti oleh Syam.
“ Kerja dengan swasta ni lain...tak macam Azam, yang kerja jadi guru. Ini pun kira bagus dapat balik kampung sekali-sekala.....itu pun mak yang paksa!” kata Hisyam.
“ Tak kanlah tak ada masa rehat langsung....atau saja kamu tak nak balik!” kata Mak Su membuatkan Hisyam tersenyum. Memang pun.
“ Yam.....kamu dah sampai” tegur Hjh Faridah sebaik saja muncul. Tersenyum lebar dia menyambut kedatangan adiknya.
“  Mak kamu ni Syam...beria-ria suruh Mak Su ni datang sebab nak bincang pasal merisik cucu Hjh Zainab untuk kamu. Mak kamu ni dah tak sabar nak terima menantu perempuan..... katanya  Syam dah serahkan pada mak kamu untuk buat keputusan” kata Hjh Mariam.
“ Hmmm.... mak tu , selagi tak bagi keputusan.....selagi itu dia mendesak” Hisyam memandang wajah emaknya.
“ Untuk kebaikan dan masa depan Syam jugak!” balas Hjh Faridah.
Amiza keluar dengan membawa dulang berisi teh ais dan sepinggan kueh untuk mereka bertiga. Dia turut melabuhkan punggung di sisi abangnya, berminat juga untuk mengetahui tajuk perbincangan mereka itu.
“ Keluarga Pn. Maria tu baik.  Dulu keluarganya duduk berjiran dengan rumah mak Su  sebelum berpindah ke Terengganu sebab Sufian kena berpindah ke sana. Rumah mereka sekarang ni di duduki oleh Hj. Rahman dan Hjh Zainab....Hmm...mak Su dapat tahu Syam pun kenal dengan anak perempuan mereka”
“ Itu dulu mak Su....masa sekolah. Sekarang ni....entah kenal entah tidak mereka kalau berjumpa” balas Syam jujur. Masih terbayang-bayang wajah montel Fatin dan wajah ayu Farhana.
“ Mak Su dah tengok anak perempuan Sufian tu 2 tahun lepas masa dia datang jumpa datuk dan neneknya. Masa tu dia balik bercuti dari luar negara tempat dia belajar....bukan main cantik lagi budak tu....macam pelakon filem orang putih” Hjh Mariam bercerita penuh semangat.
Amiza dan Hisyam saling berbalas pandang. Amiza sempat menaikkan keningnya sambil tersenyum. Sementara Hjh Faridah juga sedang mengukir senyum.
“ Bertuah abang Syam nanti ya....dapat isteri yang cantik macam pelakon filem orang putih” Amiza mengajuk percakapan mak Sunya.
“ Yam, kamu dah tanya betul-betul ke dengan Hjh Zainab pasal cucu dia....akak tak nak kita dapat malu nanti...yalah, takut kita merisik orang yang dah berpunya!" kata Hjh Faridah.
“ Yam dah tanya Hjh Zainab kelmarin....dia cakap cucunya belum ada yang punya.....itu sebabnya Yam cadangkan kita percepatkan. Yalah.....benda yang baik, tak elok dilengah-lengahkan!” kata Hjh Mariam setelah menyedari gelodak kerisauan di hati kakaknya.
Mendengar kata-kata itu, Hisyam hanya mampu menelan liur dengan perasaan berdebar. Pelbagai andaian mula wujud di fikirannya, tapi dia tak sanggup nak luahkan. Apa kata emaknya nanti. Tambahan pula melihat keterujaan emaknya untuk mendapatkan menantu sulung akan tercapai tak  lama lagi.
****************

DUA minggu telah  berlalu sejak kepulangannya dari kampung, namun perkara yang menjadi tajuk perbincangan Hjh Faridah tidak pernah diceritakan pada teman serumahnya. Dia bimbang sekali, kalau dihebohkan perkara itu, tut...tut...tak jadi, siapa yang malu?....tentulah dirinya.
Hari ini Hisyam mengenakan kemeja putih dan bertali leher warna maron, seluar hitam. Langkahnya terus menghala ke keretanya sambil membawa briefcase selepas siap  memakai stoking dan kasut. Briefcase segera diletak dibahagian penumpang kereta Honda Civic warna hitam hasil usaha gigihnya selama ini.
Amier, sahabatnya kelihatan tergopoh-gopoh menuju ke arah motosikal berkuasa tingginya. Motosikal itu adakah hadiah dari orangtuanya yang berada di Johor. Jarang sekali pemuda itu  menggunakan proton Wira miliknya untuk ke tempat kerja dengan alasan untuk menjimatkan masa. Halim, seorang lagi temannya, awal-awal lagi sudah ke tempat kerja dengan proton persona yang baru dibelinya hampir 2 bulan yang lepas. Pemuda itu diakui sebagai seorang lelaki yang baik, sentiasa patuh pada agama dan bededikasi dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang pegawai tadbir di sebuah kementerian kerajaan.
Di antara mereka bertiga, Amier dikategorikan sebagai keluarga yang agak berada dan berharta, walaupun begitu dia tidak pernah bermegah atau bersikap ego di atas harta kekayaan keluarga. Dia lebih suka berdikari; sikapnya itu amat disenangi oleh Hisyam dan Halim.
Sampai di pejabat, Hisyam memulakan tugasnya seperti biasa. Kadang-kadang dia terpaksa mengunjungi beberapa syarikat untuk berurusan dengan mereka bagi mendapatkan beberapa kontrak dan usahasama.
“ En. Syam.....bos nak jumpa sekarang  juga di biliknya” terdengar suara Sofia di corong telefon sebaik saja ganggang telefon di angkat.
Hisyam segera bangun dari kerusinya. Dia melangkah ke arah cermin, meneliti penampilan dirinya buat seketika. Mana tahu ada yang tak kena di mana-mana dengan penampilannya ketika itu. Kalau dah kena tegur, kan dia juga rasa malunya nanti. Langkahnya segera di atur ke arah bilik tuan punya syarikat itu. Dalam otaknya pelbagai andaian muncul. Entah apa yang tak kenanya sampaikan dia terpaksa mengadap wajah bos pagi-pagi. Belum sentuh apa-apa kerja, sudah di suruh mengadap muka bos. Bala apa agaknya ya!
Come in” kedengaran suara memberi kebenaran untuk dia masuk. Itu pun setelah dia mengadap muka Sofia yang merupakan setiausaha kepada pemilik syarikat itu. Terlebih dahulu dia bertanya kepada Sofia, untuk apa dia di minta berjumpa pemilik itu. Sofia sekadar mengangkat bahu.
Pintu di buka perlahan. Langkahnya segera di atur masuk ke bilik itu dengan penuh gaya. Cuba melindungi getaran di dada.
“ Assalamualaikum Datuk....”
“ Waalaikumussalam....”
“ Datuk nak jumpa saya?” Hisyam bersuara sambil memandang wajah Datuk Kamarul yang sedang memandangnya. Ada senyuman terukir di wajahnya ketika itu membuatkan Hisyam mengeluh lega. Petanda baik.
“ Ya, jemput duduk” pelawa Datuk Kamarul.
“ Terima kasih, Datuk” mata Hisyam sedang menatap wajah lelaki yang sedang duduk berhadapan dengannya. Badannya sedikit gempal, berusia dalam linkungan 50-an. Pertama kali dia menjejak kaki ke bilik itu, dia sama sekali tidak menduga bahawa lelaki yang berada di hadapannya kini ada di hadapannya kini adalah seorang majikan yang cukup baik disebalik misai yang lebat, dengan wajah yang cukup serius dan nampak garang. Dia seorang bos dan juga seorang majikan yang cukup perihatin sehinggakan semua pekerja menyenangi dan menghormatinya.
Baru sesaat dia mula menyedari bahawa ada seseorang di sebelahnya, bagaimana dia boleh tak perasan tadi. Sekilas dia melirik pandang pada seorang gadis yang sedang duduk disebelahnya. Gadis itu sempat mengukir senyum bila mereka saling berpandangan. Terpegun seketika Hisyam melihat wajah dan penampilan gadis itu. Begitu anggun dan menarik dengan mengenakan skirt pendek berwarna coklat, blazer warna krim amat sesuai dengan kulitnya yang cerah, ditambah pula dengan solekan yang agak istimewa dari jenama yang mahal.
“ Syam, kenalkan.....”
“I`m Jasmine” belum pun sempat Datuk Kamarul menghabiskan ayat, gadis itu terlebih dahulu memperkenalkan dirinya sambil menghulur tangan. Sungguh kurang sopan. Detik Hisyam dalam diam. Datuk Kamarul mengangkat keningnya semasa Hisyam memandang ke arahnya.
“ Hisyam...” Hisyam memperkenalkan diri dan segera meleraikan tangan. Gelabah juga perasaan lelakinya sewaktu kali pertama diperkenalkan dengan gadis itu. Nampak begitu berani.
Well....Jasmine ni adalah staff baru syarikat ni, jadi....saya harap Syam dapat memberi tunjuk ajar padanya. Dia ni tak ada sebarang pengalaman, maklum saja dia baru habis belajar” jelas Datuk Kamarul memandang mereka berdua silih berganti.
“ InsyaAllah Datuk....saya sedia memberi tunjuk ajar sekadar yang saya mampu....er, Cik Jasmine ni dulu belajar dalam bidang apa ya!” Hisyam memandang wajah Jasmine.
“ Pengurusan Perniagaan....sebenarnya bidang tu bukan minat I....tapi dah terpaksa...” Jasmine bersuara selamba sambil melirik manja ke arah Hisyam. Hisyam berpura-pura senyum.
“ Datuk...kalau tak ada apa-apa...saya minta diri dulu!” Hisya, bangun.
“ Hmm,...oh ya! Jangan lupa hantarkan pada saya kertas kerja berkaitan dengan contract kita dengan Mr. Choo ....kemudian jangan lupa bagi tahu saya tindakan susulan...” Hisyam sekadar mengangguk dengan arahan itu.
“ Semuanya saya dah bereskan Datuk, nanti saya serahkan pada Sofia sekejap lagi” Datuk Kamarul mengangguk. Lega. Dalam diam dia memang menganggumi hasil kerja pemuda itu, tak pernah mengecewakan. Pernah juga dia mendengar desas desus yang mengatakan ada sebuah syarikat yang berminat untuk mengambil Hisyam bekerja setelah mendapat tahu dia seorang pekerja yang cukup berkalibar dan berpotensi. Menggelabah juga Datuk Kamarul mendengarnya. Oleh itu dia berusaha untuk terus mengekalkan Hisyam di syarikatnya dengan menawarkan kenaikan pangkat  sebagai Pengurus Kanan setelah 5 tahun bekerja di syarikatnya.
“ Jasmine....you may go....”
 Jasmine turut mengikut jejak langkah Hisyam. Tersenyum Datuk Kamarul melihat Jasmine begitu anggun mengatur langkah bergandingan bersama Hisyam.
Sebaik saja keluar dari bilik Datuk Kamarul, Hisyam segera memperkenalkan Jasmine pada semua staff. Senyuman sentiasa menghiasi bibir merah gadis itu setiap kali diperkenalkan dengan staff Golden Holdings Sdn. Bhd.
“ Cik Jasmine....” Sofia muncul di hadapan Jasmine yang ketika itu baru saja melangkah masuk ke bilik Hisyam.  Beria-ria Jasmine mahu melihat suasana bilik lelaki itu.
“ Ya, Sofia...” berkerut dahi Jasmine memandang wajah Sofia.
“ Bilik untuk cik Jasmine dah disediakan...” beritahu Sofia sambil tersenyum.
“ Oh ya!....thanks...sekejap lagi I tengok” balas Jasmine dengan wajah teruja. Sofia terus berlalu selepas memberi senyuman untuk Hisyam. Ada maksud di sebalik senyuman ibu beranak satu itu. Faham sangat Hisyam dengan makna senyuman itu.
Nice....menarik susun aturnya” puji Jasmine dengan wajah bersinar.
“ Hanya ini sekadar yang termampu...maklum saja, idea seorang lelaki yang tak ada bidang pengkhususan” Hisyam bersuara.
Actually....I lebih berminat dalam bidang deco....tapi papa yang paksa I pilih bidang business sebab  I anak sulung dan 2 orang adik I pun tak minat dalam bidang ni...jadi, nak tak nak I terpaksa ikut....” Jasmine melepaskan keluhan. Wajahnya yang agak ceria bertukar sedikit murung.
“ Setiap orang ada kelebihan dan kelemahan masing-masing.  Kita patut bersyukur dengan apa yang kita miliki sekarang... macam you, habis aje belajar...terus dapat kerja.  Cuba you fikir...berapa orang lepasan graduan yang menganggur sekarang yang sentiasa mencari peluang kerja untuk menyara hidup sendiri dan juga keluarga?”
“ Ya...you`re right....”
“ I  rasa you patut tengok bilik you sekarang....mungkin you nak buat sebarang perubahan!” kata Hisyam. Rasanya kerja dia tak akan selesai kalau hanya asyik melayan gadis itu.
“ You usir I ke?” kata Jasmine.
No....bukan tu maksud I ....” timbul rasa bersalah kerana menyatakan demikian tadi.
Sorry....just joking....I tahu, you sibuk....selamat bekerja....dan kalau you tak keberatan, boleh kita keluar lunch bersama?....dalam office ni...I hanya mengenali you...” kata Jasmine merenung wajah Hisyam.
Sure...no problem....” Jasmine tersenyum. Begitu juga dengan Hisyam.

*******************

“ Dah berapa tahun you kerja dengan Golden Holdings?” soal Jasmine sebelum menyuapkan nasi ke dalam mulut. Untuk kali pertamanya mereka keluar makan bersama. Hisyam sebenarnya rasa tak selesa keluar berdua bersama gadis itu, tambahan pula bila melihat beberapa pandangan dari staff dan pegawai lain yang melihat kemesraan mereka berdua  sejak mereka keluar dari pejabat tadi.
“ Dah lebih 5 tahun, kenapa cik Jasmine tanya?” berkerut dahi Hisyam memandang wajah Jasmine.
“ Hmm...hebat juga you ni ya....dalam tempoh hanya 5 tahun you dah berjaya memegang jawatan sebagai orang penting dalam syarikat...”
“ Cik Jasmine....ini adalah rezeki dari Allah....” Hisyam merendah diri.
“ Syam....I rasa tak selesa bila you bercakap terlalu formal dengan I....just call me, Mine aje!” Jasmine tergelak kecil bila mengingatkan lelaki itu selalu memanggilnya dengan panggilan cik.
“ Ok...er, sebenarnya I rasa ragu-ragu tentang diri you...maksud I ....hubungan antara you dan Datuk Kamarul....maaf, kalau you rasa mulut I lancang bertanya...” kata Hisyam.
Jasmine terus mengunyah nasi yang berada di hadapan dengan penuh selera.
“ I tak sangka makanan kat sini sedap....nampaknya I boleh selalu makan kat sini....selain dari sedap, banyak pilihan....patutlah pelanggan ramai....” kata Jasmine. Tidak sedikit pun menyentuh soalan yang ditanya oleh Hisyam tadi.  Hisyam juga diam. Mungkin soalan itu terlalu peribadi untuk dijawab. Kalau orang tidak mahu menjawab, jangan dipaksa.
“ Hei...Syam....lama tak nampak kau....” tiba-tiba Hisyam ditegur oleh seorang lelaki. Bersinar matanya memandang gadis yang sedang makan dengan berselera di hadapan Hisyam.
“ Malik...aku kena outstation  kat Melaka minggu lepas...eh! join la sekali!” pelawa Hisyam pada Malik dan teman wanitanya yang hanya tersenyum.
“ Terima kasih aje....aku tak nak ganggu dating korang berdua!” Malik tergelak kecil.
“ Apa pulak dating.....ni officemate aku yang baru....” Hisyam memperkenalkan gadis yang makan bersamanya.
“ Hai....I`m Malik....ini Hartini...” Malik mempernalkan dirinya dan gadis yang bersamanya.
“ Jasmine” beritahu Jasmine ringkas.
So....enjoy your meal....” ujar Malik sebelum meminta diri untuk beredar.
Sorry...” tiba-tiba Hisyam  bersuara membuatkan Jasmine merenung tajam ke arahnya.
“ Untuk apa?” tanya Jasmine.
“I harap you tak salah faham dengan kata-kata Malik tadi” kata Hisyam dengan perasaan serba-salah.
“ Kata-kata yang mana satu?” tanya Jasmine berpura-pura tak faham, sedangkan dia dapat mengangak apa yang dimaksudkan oleh lelaki itu.
“ Pasal dating tadi....I tak nak ada yang salah faham nanti” kata Hisyam penuh hati-hati.
“ Siapa yang akan salah faham?....you takut girlfriend you yang salah faham nanti?”Jasmine merenung wajah Hisyam sambil tersenyum.
“ I....I....tak ada masalah....cuma I takut you yang ada masalah....yalah kan orang cantik macam you ni pastinya punyai teman lelaki yang ramaikan...” kata Hisyam.
Jasmine mengesat mulutnya dengan tisu, dia meneguk perlahan jus tembikai yang hanya tinggal separuh.
“ Tak semestinya perempuan yang cantik tu punya teman lelaki yang ramai....you rasa I ni boleh dikategorikan sebagai cantikke?” Jasmine merenung wajah Hisyam mencari reaksi.
“ Ya...bagi I you gadis yang cantik, seksi dan menarik....pasti bertuah lelaki yang dapat bersama dengan youkan!” akui Hisyam.
Jasmine tersenyum.
“ Bagi I ...cantik, seksi adalah sesuatu yang subjektif....I tak pernah menganggap diri I tergolong dalam kategori tu.....bagi I....I hanya gadis biasa dan pilihan hati I juga  lelaki yang biasa....asalkan dia ikhlas cintakan I .... itu sudah cukup” kata Jasmine.
Kata-kata Jasmine membuatkan Hisyam termenung seketika. Tak kan semudah itu! Boleh percayake?
“ Syam....you dah ada girlfriend?” Hisyam menelan liur. Tak sangka begitu direct gadis itu bertanya. Tanpa berlapik. Dalam hati dia tergelak.
“ Tak ada...kenapa?” Hisyam menjawab.
“  I pun belum ada boyfriend. So...apa kata you jadi boyfriend I!” ternganga mulut Hisyam mendengar kata-kata Jasmine. Betul atau tak betul ni? perlahan-lahan dia mencubit lengannya....ah! dia tak bermimpi.  Jasmine betul-betul ada di hadapannya. Tak mungkin....baru beberapa minit dia mengenali gadis itu, takkan sudah menawarkan diri untuk menjadi teman wanitanya.
Sorry....I`m joking....” Jasmine tiba-tiba ketawa, menampakan barisan gigi yang tersusun cantik dan kemas. Memang Hisyam tak nafikan, senyuman gadis itu benar-benar menarik. Tapi untuk terus dia menerima pelawaan gadis itu secara mendadak....itu sesuatu yang tidak logic di akal yang waras.
“ I belum terdesak lagi untuk mencari suami....lagi pun I baru 23 tahun....banyak benda yang I perlu fikirkan dan banyak perkara yang I belum capai.” Hisyam menarik nafas lega.
“ Tapi....I tak akan menolak sekiranya ditakdirkan suatu hari nanti hati I akan tertawan dengan you...sanggup you terima I?” sekali lagi mulut Hisyam ternganga.
Jasmine ketawa lagi.
“ You nampak cute bila terkejut begitu!” Hisyam cepat-cepat menutup mulutnya. Dia melepas keluhan panjang. Baru sehari dia mengenali gadis itu, sudah membuatkan hidupnya tak tentu arah. Bagaimana agaknya kalau berhari-hari dia bersama gadis itu. Agaknya umur pun boleh jadi pendek!
“ Syam...tak perlu ambil serius dengan apa yang I cakapkan tadi....it just for fun....I cuma nak hiburkan hati you dan nak buat you seronok bila bersama I...that all!” akhirnya Jasmine bersikap serius.
Hisyam mengeluh lega. Selepas makan tengahari, kelibat Jasmine tidak kelihatan lagi di pejabat.  Entah ke mana gadis itu menghilang. Pelik!
************
HISYAM dan Jasmine sering keluar bersama selepas pertemuan pertama hari itu. Tambahan pula mereka bekerja di bahagian yang sama. Di rumah sewanya, Hisyam sering menjadi usikan kawan serumahnya selepas Halim terserempak ketika dia dan Jasmine keluar bersama pada hari minggu.
“ Syam, aku tengok...bukan main ngam lagi kau dengan awek hari tu. Siapa awek tu?...boleh tahan cunnya!” Halim bersuara semasa mereka menikmati makan malam di rumah sewa hujung minggu lepas.
“ Kawan biasa je....dia tu staff baru, anak bos!” beritahu Hisyam.
Sebenarnya dia baru saja tahu yang Jasmine tu anak sulung Datuk Kamarul pun secara tak sengaja. Semasa mereka keluar lunch bersama, Datuk Kamarul datang bertegur.
“ Mine....petang nanti jumpa  dengan papa sebelum balik ya....ada perkara yang papa nak bincangkan” kata Datuk Kamarul.
“ Baik pa...” jawan Jasmine acuh tak acuh.
Enjoy your lunch...” ucap Datuk Kamarul sebelum beredar.
“ Datuk Kamarul is your dad?” soal Hisyam terkejut. Jasmine mengangguk perlahan.
I`m sorry sebab selama ini I sembunyikan hubungan I dengan dia....I tak nak kerja I dibayangi oleh papa I....I nak berjaya dengan usaha I sendiri....selama ini semua kehendak papa I ...I dah turuti....I dah penat jadi boneka” akui Jasmine dengan wajah muram.
“ Mine....setiap ibu bapa hanya inginkan yang terbaik untuk anak mereka....you patutnya bersyukur dilahirkan sebagai anak Datuk Kamarul....apa jua kehendak you, pasti mereka akan turuti” pujuk Hisyam.
“ Itu hanya pandangan orang luar, Syam....memang I akui bertuah dilahirkan sebagai anak Datuk Kamarul tapi...I juga punya impian dan cita-cita.....I ingin bebas seperti anak yang lain” kata Jasmine lagi.
“ Mine,...percayalah....pasti ada hikmat disebaliknya. Kalau you bukan anak Datuk Kamarul....pasti kita tak jumpakan!” pujukan Hisyam membuatkan Jasmine tersenyum. Memang betul, kerana dia anak Datuk Kamarullah..dia dapat mengenali lelaki itu. Dia akui, makin lama dia mengenali Hisyam, hatinya makin tertawan.
“ Bertuahnya badan....tak lama lagi dapatlah kau jadi menantu Datuk ya!” usik Amir yang turut bersama menikmati makan malam di rumah ketika itu.
“ Kalau ada rezeki apa salahnya. Siapa yang tak nak jadi menantu orang kayakan!” saja Hisyam menokok tambah. Biar temannya cemburu sikit. Walaupun begitu, angan-angan dan hasrat emaknya sentiasa dijadikan benteng.
Sedang enak mereka berborak, telefon Hisyam yang di letak atas kabenet berbunyi.
“ Mak aku call...” Hisyam bersuara dan segera beredar masuk ke biliknya. Tahu sangat topic yang akan dibincangkan. Kalau boleh dia tak mahu topic itu dihebohkan pada rakan-rakan. Takut dijadikan bahan usikan nanti.
“ Apa yang kau borakkan tadi dengan mak kau....bukan main lama lagi!” Halim bersuara sebaik saja wajah Hisyam muncul di hadapan mereka dengan wajah blur.
“ Mesti mak kau dah carikan jodoh untuk kau kat kampung kan....biasalah orang tua....kalau boleh nak dapatkan menantu yang dekat aje, jimat serba serbi” kata Halim lagi.
Hisyam hanya diam. Dia melabuhkan punggung di kerusi sambil matanya menatap skrin tv. Mug yang masih bersisa tadi di capai dan diteguk perlahan. Amier dan Halim turut sama berlabuh di sofa.
“ Aku rasa dah sampai masanya kau fikirkan soal rumahtangga....kau dah ada segalanya, kereta, gaji besar dan wajah kau yang tampan ni mampu memikat siapa saja” Amir bersuara sambil meneliti wajah Hisyam yang hanya mendiamkan diri. Namun kata-kata Amir itu di  balas dengan senyuman selamba. Biarlah apa kata mereka, dia akan buat tak tahu aje.
Bila mengingatkan zaman persekolahan, dia akan terkenangkan badannya yang  sekeping, namun tetap mempunyai ramai peminat disebabkan wajahnya yang boleh dikategorikan sebagai menarik. Kini setelah bertahun berlalu, dia boleh berbangga dengan dirinya kerana kini dia mempunyai tubuh yang sasa, berkulit cerah yang diwarisi dari arwah ayahnya, wajahnya bertambah kacak apabila berisi. Dia tak nafikan yang saat ini juga dia mempunyai ramai peminat yang tersembunyi yang terdiri daripada staff office dan kawan-kawan lama, jarang ada yang berani menonjolkan diri. Hanya beberapa minggu ini, dia mula didekati oleh Jasmine.
***********

HISYAM merebahkan badan di katil sambil belunjur. Kedua-dua tangannya diletak di bawah kepala sambil matanya merenung dada syiling. Ada 2 ekor cicak sedang berkejaran di situ. Risau juga kalau salah seekor cicak itu jatuh atau pun membuang najis di atas badannya yang tak berbaju, hanya mengenakan kain pelikat yang berpetak kecil. Seram sejuk pula rasanya bila mengingatkan perbualan dia dengan emaknya tadi.
“ Mak dan mak Su dah jumpa dengan Pn. Maria semalam tapi mak tak sempat nak jumpa dengan anaknya sebab dia tak balik. Katanya sibuk dengan kerja. Jadi...mak dah cadangkan nak buat perjumpaan semula dua minggu lagi.....mak bagi tahu awal ni supaya Syam minta cuti. Mak harap sangat Syam dapat balik dan dapat tengok anak Pn. Maria tu....nanti bila dah tengok, Syam buatlah keputusan ya....”
Hisyam memejam mata seketika. Sekilas wajah Fatin dan Farhana datang silih berganti. Wajah yang hanya samar-samar , maklum saja sudah lama dia tidak melihat wajah mereka.  Yang pasti dia berharap jodohnya bukan ditentukan dengan  Fatin si Badak Jongang. Harap-harap biarlah Farhana yang akan dijodohkan dengannya kerana sudah lama dia menyukai gadis itu. Bukan dia tak sukakan Fatin, gadis itu pun cantik dan comel dalam kategorinya yang tersendiri terutama tang matanya, cantik menawan. Tapi yang dia tak tahan, mulutnya bolehlah tahan laser juga.
“ Yang mana pilihan aku yang sebenarnya....antara Fatin....Farhana....atau pun Jasmine.” buat masa sekarang, gadis yang paling hampir dengannya adalah Jasmine, tapi bolehkah emaknya menerima gadis itu. Jasmine seorang gadis yang cantik, peramah tapi dia terlalu sosial, ...bolehkah mak terima?
Dalam mengelamun seorang diri, akhirnya dia tertidur, dalam tidurnya dia bermimpi bersanding dengan seorang gadis cantik dan menarik tapi dia sendiri tak dapat mengenal pasti siapakah gadis itu sebenarnya. Ah! Itu semua mainan mimpi.
**************

DUA hari kemudian, Hisyam mendapat panggilan telefon dari hospital yang mengatakan bahawa Amir sekarang di tahan di wad kerana terlibat dalam kemalangan.  Nasib baik hanya cedera ringan sahaja dan terpaksa di rawat di hospital beberapa hari. Hisyam, Halim dan Ella, teman wanita Amir adalah pelawat yang setia. Sengaja Amir tidak mahu memberitahu orangtuanya kerana tidak mahu menyusahkan mereka.
“ Mir, aku tengok kau dah semakin sihat...lepas ni bila kau keluar nanti bolehlah buat doa selamat dengan kenduri kawin sekali. Kau dan Ella dah lama kenal, ibu bapa kau pun berkenan dengan awek kau ni.....bila lagi nak on!” Halim bersuara sambil menaikkan kening.  Ella yang setia di Amir hanya tersenyum malu, merah mukanya diusik oleh Halim. Sesekali dia melirik ke arah Amir yang hanya bewajah selamba.
“Hei Lim... mana Syam, sejak dari tadi lagi tak nampak batang hidung, kata nak datang melawat aku” Amir hairan, biasanya waktu begini Hisyam sudah terpacak  melawatnya di sini. Tak kanlah dah lupa member!
Tidak lama kemudian, Hisyam muncul di hadapan mereka dengan wajah pucat. Dia segera duduk di kerusi cuba menenangkan  hati yang gemuruh. Amir dan Halim saling berpandangan. Hairan. Apa yang berlaku pada kawan mereka ini...dikejar hantuke??
“ Syam, kenapa ni?....aku tengok muka kau ni pucat semacam aje. Kau tak sihat ye?” tanya Halim yang berada di sebelah Hisyam. Serentak tangannya menyentuh dahi Hisyam.  Hisyam terus diam membisu.
“ Kau kena kejar dengan orang gilake?” soal Amir hairan, tapi bibirnya tetap mengukir senyum melihat wajah pucat Hisyam.
“ Tak adalah....sebenarnya, aku terlihat accident yang dahsyat tadi....betul-betul berlaku depan mata aku. Seumur hidup aku tak pernah tengok kejadian yang begitu dahsyat” Hisyam terus menceritakan bagaimana kemalangan itu berlaku. Terlopong mulut Halim, Amir dan Ella mendengarnya. Mereka bersyukur kerana kejadian itu tidak berlaku pada Hisyam.
“ Aku sebenarnya fobia dengan darah....nafas aku jadi sesak tiba-tiba!” kata –kata Hisyam membuatkan Halim dan Amir melepas tawa.
“ Apa punya jantan kau ni....fobia dengan darah....nampak aje tubuh sasa, tapi takut darah....memalukan....ha....ha....ha....” Halim terus ketawa. Diikuti oleh Amir.  Hanya Ella yang cuba control senyum.
“ Korang berdua ni...aku bagi sebijik sorang kang....baru padan dengan muka!....kau Mir....bila nak keluar hospital?....tengok gaya kau gelak tadi, tak nampak macam rupa pesakit pun.....rupa pembawa penyakit adala!” kata Hisyam melahirkan rasa tak puas hati.
“ Mir....I balik dulu ya....nanti besok I datang lagi” Ella bersuara sebelum beredar.
Ok...bye sayang, I miss you!” ucap Amir sambil berbalas senyum. Halim dan Hisyam saling berpandangan.
“ Korang berdua tak nak balikke?  Atau....nak temankan aku tidur  kat  sini!” kata Amir.
“ Aik....kau halau kami ke?” kata Halim.
“ Dak aih....korang berdua ni duk berlama kat sini bukannya buat kenyangkan perut aku, menyemakkan mata aku je....” balas Amir sambil tersengih.
“ Amboi!...ada yang nak terus menetap kat hospital ni....!” Hisyam mula mengetap bibir menahan marah. Saja je buat gempak.
“ Atau ada sesuatu yang kau sembunyikan dari kami....entah-entah kau sekarang tengah mengayat doctor atau nurse kat sini...kau ni, bukannya boleh percaya....sebab tu kau tak nak keluar hospital”  Halim menyambung kata-kata Hisym sambil menumbuk  bahu Amir. Lelaki itu mengaduh kesakitan.
“ Apa hal tiba-tiba senyum ni....betulkan?” kata Halim lagi.
“ Kalau nak balik....balik ajelah” kata Amir berlagak.
“ Oh! Bukan main sombong kau ya.....Syam, esok tak payahlah kita datang melawat lagi....buang current je!” Halim terus menarik lengan Hisyam keluar dari bilik itu meninggalkan Amir tersenyum sendirian. Tak sedikit pun terasa dengan kata-kata kawannya itu.  Memang dia tak pernah peduli pun kata-kata Hisyam dan Halim tadi, mereka dah lama kenal dan sudah tahu budi masing-masing. Dah tentu wajah mereka berdua tetap muncul di hadapannya. Lagi pun esok dia dah dibenarkan keluar dari hospital.
Sebaik saja keluar dari bilik itu, Hisyam dan Halim berpisah mengikut destinasi masing-masing. Sebelum itu, Hisyam singgah di cafe hospital. Handphone dan cermin mata hitamnya diletakkan di atas meja sebelum beredar membeli minuman untuk menghilangkan dahaga. Sebaik saja dia sampai semula di tempatnya tadi, dia berdiri kaku di hadapan mejanya.
“ Maaf, kalau saya menganggu tempat duduk encik” ujar gadis yang sedang berada di kerusi itu. Hisyam hanya tersenyum dan duduk di hadapan gadis itu. Gadis itu agak terkejut sebaik sahaja memandang wajah Hisyam, sesaat kemudian dia melemparkan senyuman. Mulutnya terhenti dari mengunyah sandwich.
“ It`s ok....lagi pun inikan tempat awam, sesiapa saja boleh duduk” balas Hisyam dan segera meneguk minumannya. Air yang tinggal separuh di dalam gelas itu dibiarkan. Segera dia meminta diri untuk beredar.
“ Encik...encik...” Hisyam menghentikan langkah kerana menyangka panggilan itu untuknya. Dia segera berpaling ke belakang.  Gadis tadi sedang mengatur langkah ke arahnya sambil tersenyum.
“ Saudari panggil saya?” Hisyam cuba mendapat kepastian.
“ Ya...encik tertinggal telefon dan cermin mata di meja tadi” Gadis itu segera menghulurkan barang Hisyam yang ketinggalan tadi.
“ Oh! Maafkan saya kerana menyusahkan saudari....terima kasih!” ucap Hisyam sambil memasukkan telefon dan cermin mata hitamnya di dalam poket.
“ Sama-sama....lain kali hati-hati ya...jangan tinggal barang yang berharga di merata tempat...saya pergi dulu!” kata gadis itu membuatkan Hisyam tersengih. Mengakui kealpaannya.
Gadis itu terus berlalu mendahului Hisyam. Hisyam masih kaku berdiri di situ. Hanya matanya terus memandang langkah gadis itu yang semakin jauh.
“ Kenapalah aku ni bodoh sangat...tak sempat  nak tanya nama, sekurang-kurangnya dapat juga  aku berkenalan” Hisyam mengutuk diri sendiri. Dalam otaknya masih terbayang wajah gadis itu, menarik, sopan dengan mengenakan baju kurung biru berbunga pink dan bertudung pink juga. Alahai!....manisnya dia. Anak siapakah itu?
*****************

SELEPAS pulang dari pejabat, Hisyam berjalan seorang diri di sekitar The Mall. Cuba mencari sesuatu yang menarik kerana dia tak tahu apa yang diiginkan. Sekadar untuk mencuci mata. Tiba-tiba tumpuannya terhenti pada satu sudut. Dua orang gadis sedang membelek majalah di sebuah kedai buku. Salah seorangnya gadis yang ditemuinya di hospital hari itu. Bibirnya mula mengorak senyum. Sudah beberapa malam tidurnya tak lena kerana asyik terkenang wajah itu. Gadis itu tetap memakai baju kurung. Kali ini berwarna krim dan berbunga merah, sedondong dengan tudung yang di pakainya. Memang cantik. Warna merah itu begitu padan dengan kulitnya yang putih. Hidungnya yang mancung kecil itu benar-benar comel apalagi matanya yang sedikit kebiruan itu benar-benar menyerlah. Seakan semput nafasnya melihat senyuman gadis itu. Manis dan mempesonakan.
Hisyam mengatur langkah ke arah sebuah kedai yang menjual bunga segar yang tidak jauh dari situ. Dia segera membeli sejambak mawar merah dan meminta pekerja kedai itu menyerahkan pada gadis itu sebelum sempat dia beredar. Dari jauh dia dia dapat melihat gadis itu agak kaget menerima jambangan bunga itu. Tambahan pula beberapa orang sedang melihat gelagatnya ketika itu. Kerana di desak oleh pekerja kedai bunga dan kawannya, gadis itu terpaksa menerima dengan hati yang berat. Namun matanya tetap melilau, cuba mencari klu siapakah pemberi jambangan itu dan akhirnya dia dapat melihat wajah Hisyam yang sedang menyorot di satu sudut sedang merenungnya. Hisyam cepat-cepat beredar dari situ. Sengaja membiarkan gadis itu tertanya-tanya.
“ Siapa yang you cari?” tanya temannya.
“ Entahlah...tapi I rasa I tahu siapa yang memberinya, cuma I tak kenal lelaki tu” ujar gadis itu.
Temannya menggaru-garu kepala. Hairan. Tak kenal tapi tahu siapa pengirimnya.
Mereka  berdua singgah di KFC. Sebaik sahaja mereka masuk, mata gadis itu terus menghala ke arah Hisyam. Begitu juga dengan Hisyam. Hisyam sama sekali tidak menyangka yang mereka akan berjumpa di sini.
Exercuse me....” ujar gadis itu sebaik saja menghampiri meja Hisyam.
Yes...” sahut Hisyam berpura-pura terkejut dengan kunjungan gadis itu.
Hisyam menelan liur sebaik saja mereka berbalas pandang. Begitu tajam renungan gadis itu membuatkan Hisyam menggelabah. Sedar yang dia sudah membuat kesalahan. Mata Hisyam tertumpu pada jambangan bunga yang masih dalam genggaman gadis itu.
“ Saya tahu encik yang hadiahkan bunga ni pada saya...apa maksud encik yang sebenarnya?” sergah gadis itu agak keras.
Hisyam tetap berwajah selamba. Sempat dia mengukir senyum sambil matanya terus terpaku menatap wajah itu. Dia makin bertambah cantik dan menarik bila marah. Kata Hisyam dalam diam.
“ Saya tak kenal encik!” tegas gadis itu sambil mendengus kasar.
“ Saya juga tak kenal saudari!” balas Hisyam.
“ Habis tu...kenapa berikan saya bunga ni?....nah! ambik balik!” gadis itu terus meletakkan jambangan bunga di atas meja Hisyam. Dalam diam dia mengutuk lelaki di hadapannya. Harapkan muka aje kacak, perangai tak senonoh. Sabar aje la...
“ Saya sekadar mahu mengucapkan terima kasih dan mahu berkenalan dengan saudari...salahke?” kata Hisyam selamba. Sedikit pun tidak menghiraukan beberapa pasang mata yang turut berada di situ.
“ Sama-sama....tapi maaf, saya tak beminat nak berkenalan dengan encik!” gadis itu berlagak sombong dan terus berlalu tanpa sempat Hisyam bersuara.
“ Sombongnya....harapkan muka aje lawa...tapi berlagak...” Hisyam mengutuk perlahan.
“ Apa?....cuba ulang sekali lagi!” gadis itu sempat berpaling sebaik saja mendengar kutukan Hisyam.
“ Kesiannya....muka dah cantik...tapi sayang....pekak pulak!” Hisyam tergelak. Sengaja mengambil peluang untuk mengusik gadis itu. Sekurang-kurangnya dia dapat mengenali gadis itu secara tidak langsung.
“ Amboi....cantiknya bahasa....awak pun...harapkan muka aje handsome...tapi mulut busuk!” balas gadis itu menahan geram.
Hisyam terdiam.
“ Oi.....mulut tu tak ada insuran ya....meh! dekat sini...cuba hidu....mulut saya ni wangi ke busuk...” Hisyam tergelak kecil.
“ Eee... tak kuasa nak layan orang tak betul macam awak.....buang masa” balas gadis itu.
“ Tak kuasa nak layan ya..... saya bomohkan awak....nanti 24 jam awak kena layan saya tau....” Hisyam tak mahu kalah.
“ Sudah....sudah...la tu...jom kita balik....” kawan gadis itu segera menarik untuk  beredar. Sebelum pergi, gadis itu sempat  menghadiahkan jelingan maut untuk Hisyam. Sebagai balasannya Hisyam sempat melayangkan flying kiss untuk gadis itu. Makin mencerlung wajahnya membalas pandangan Hisyam. Hisyam ketawa.
Sebaik saja gadis itu beredar, Hisyam kembali duduk. Sempat dia menghadiahkan senyuman untuk mereka yang melihat lakonannya tadi. Dia menepuk dahi. Mengakui tindakan nakalnya mengusik gadis itu. Teringat kisah nakalnya di alam persekolahan dulu. Mengingatkan peristiwa tadi  mengenangkan dia pada gadis yang bernama Fatin si Badak Jongang....ah!...kenapa akhir-akhir ini aku sering teringatkan dia!
Lamunannya terganggu bila mendengar deringan telefon dari poket bajunya.
“ Hello...” tanpa melihat siapa pemanggilnya dia terus menjawab.
“ Syam, mak ni...kenapa lambat jawab panggilan mak?” Hjh Faridah terus menyergah.. Hisyam kaku. Sama sekali tidak menyangka panggilan itu dari maknya.
“ Maafkan Syam, mak. Sebenarnya Syam ada hal tadi...itu yang lambat sikit jawab...maafkan Syam ya!”
“ Syam....mak ada hal nak cakap ni...” kata emaknya.
“ Mak ni....mesti nak cakap pasal rombongan nak pergi merisik....hai, nampaknya tak sabar-sabar mak ni nak terima menantu ya!” kata Hisyam membuatkan emaknya ketawa di hujung talian.
Hisyam hairan. Kenapa emaknya begitu beria sangat nak bermenantukan anak Pn. Maria tu. Sebelumnya emaknya tak adalah kalut sangat kalau dia buat dek aje bila emak asyik cakap pasal nak terima menantu. Memanglah  dulu dia memang sukakan si Farhana tu....tapi sekarang, entah-entah gadis tu dah ada pilihan sendiri. Kalau Fatin....takkanlah dia nak terima gadis montel tu jadi isteri, nanti digelakkan oleh teman-teman. Buat malu je. Daripada memilih Fatin si Badak Jongang tu, ada baiknya dia memilih Jasmine....tapi bolehkah mak terima anak Datuk Kamarul tu! Memanglah si Jasmine tu cantik tapi sosial sangat.  Semput Hjh Faridah nanti.
“ Ha...tahu pun. Habis tu, kenapa tak balik?....dah banyak kali Syam janji dengan mak, tapi tak pernah Syam tunaikan.  Lain kali mak tak nak campur lagi hal Syam!” suara emak mendatar. ,merajuklah tu. Hisyam tahu emaknya kecewa dan terkilan setiap kali dia memberi alasan sibuk dengan kerja atau terpaksa pergi outstation punca dia tidak dapat balik kampung.
“ Mak, Syam bukan tak nak balik....tapi Syam banyak sangat kerja kat pejabat. Lagi pun bukan senang nak dapatkan cuti!” Hisyam memberi alasan yang sama lagi. Kedengaran emaknya mendengus perlahan.
“ Itu ajelah alasan kamu Syam...tapi kali mak tak  kira, mak nak Syam balik juga hujung minggu ni.  Semalam mak dah hubungi Pn. Maria. Dia kata anaknya akan balik hujung minggu ni.  Pn. Maria tu dah tanyakan anaknya....budak tu tak ada halangan. Cuma sekarang ni Syam aje yang sengaja buat perangai. Malu mak tau!....oh ya! Mak dah tengok gambar anak Pn. Maria tu....mak rasa dia memang sesuai dengan Syam” kata Hjh Faridah.
“ Baiklah mak, Syam janji akan balik hujung minggu ni” Hisyam membuat janji.
“ Hmm...baguslah....kalau boleh mak nak perkara ni diuruskan dengan secepatnya!”
“ Mak...siapa nama anak Pn. Maria yang mak nak jodohkan dengan Syam tu?” teringin juga dia nak tahu nama bakal suri hidupnya kalau jadilah mereka bersama nanti.
“ Kalau tak silap mak....namanya Fatin.....ha.....Fatin....Fatin Najwa” sebaik saja nama itu terdengar di telinga, seakan nafasnya terhenti tiba-tiba. Pandangannya terasa kelam tiba-tiba. Serta merta ingatanya di alam persekolahan dulu muncul di benak fikirannya. Terbayang wajah gadis yang gemuk dan gigi yang  jongang.
` Sampai hati mak nak jodohkan aku dengan dia......` dalam diam hatinya merintih pilu.
“ Syam....Syam....kenapa diam? Syam tak  apa-apa?” risau hati Hjh Faridah bila Hisyam terus diam membisu sebaik saja mendengar nama gadis itu.
“ Syam tak apa-apa” lemah suaranya membalas pertanyaan Hjh Faridah.
“ Baiklah....jangan lupa balik hujung minggu ni ya!” kata Hjh Faridah mengingatkan semula janjinya pada Hisyam.
“ InsyaAllah...Assalamualaikum..” talian telefon di putuskan.
Hisyam menyandar lesu di kerusi. Seketika matanya dipejam rapat. Seleranya  terus hilang serta merta untuk menghabiskan 2 ketul ayam yang belum terusik di dalam pinggan.  Kata-kata yang pernah diucapkan oleh Shahrul dulu mula bermain di fikirannya.
***************
HISYAM cuba bekerja seperti biasa walaupun hati nya tidak tenteram bila mengenang dirinya yang bakal di jodohkan dengan gadis yang bernama Fatin.
“ Syam...macam mana agaknya kalau di takdirkan satu hari nanti si Badak Jongang tu jodoh kau” kata Shahrul ketika mereka berbual di bawah pokok ketapang berhampiran dengan kantin.
Sorry ye....macam  la tak ada perempuan lain kat atas bumi ni sehingga kau doakan aku bertemu jodoh dengan dia....kalau dengan si Farhana tu....sekarang pun aku sanggup berjabat tangan dengan tok kadi.. ha....ha...” Hisyam membalas kata-kata Shahrul.
Hisyam melurutkan rambutnya beberapa kali. Entah kenapa tiba-tiba masin pula mulut si Shahrul tu. Apakah yang harus dia lakukan.  Terus menolak atau menyerahkan segalanya hanya pada takdir. Ah! Bingungnya.
“ Syam....”
Hisyam berpaling, menoleh ke belakang. Jasmine sedang tersenyum memandang ke arahnya. Walaupun Hisyam agak terkejut dengan kunjungan gadis itu secara tiba-tiba, namun dia tetap meraikan kehadiran gadis itu ke biliknya.
“ Ada apa Mine?” Hisyam segera bertanya.
“ I ingat you keluar jumpa client.....” kata Jasmine sambil melangkah ke arah Hisyam yang sedang merenung wajah dan penampilannya.
“ Aidil yang gantikan tempat I....wow.....you nampak lain hari ni...cantik dan manis” puji Hisyam bila sesekali melihat Jasmine berbaju kurung.
“ Hari nikan hari Jumaat...” balas Jasmine.
Hisyam mengangguk. Tiba-tiba dia teringatkan gadis tempohari. Dua kali dia bertembung dengan gadis itu, gadis itu tetap berbaju kurung. Tapi nak melihat Jasmine berbaju kurung, kena tunggu hari Jumaat. Itu pun sekali sekala aje.
“ Jauh mengelamun....apa yang you fikirkan?” hairan Jasmine melihat perangai Hisyam sejak kebelakangan ini. Banyak mengelamun.
Nothing
“ Syam....daddy I cakap you minta cuti hari Isnin, kenapa?”
“ I nak balik kampung esok...mak I tu asyik bising aje....”
“ Er....boleh I ikut?....I teringin nak berkenalan dengan keluarga you, boleh?” Hisyam menelan liur. Tak sangka yang gadis itu begitu berani menawarkan diri untuk pulang bersamanya.
“ I balik sebab ada hal penting, hal keluarga” serba salah pula mahu memberi keizinan untuk gadis itu mengikutnya pulang ke kampung. Apa kata emaknya nanti bila dia membawa pulang anak dara orang.
“ Apa salahnya kalau I ikut....I rasa pasti daddy benarkan....lagi pun daddy dah lama kenal dengan you....bolehla...” tiba-tiba Jasmine memengang tangannya.
“ Sebenarnya I serba salah nak pelawa you...takut you tak selesa....lagi pun I tak pernah ajak perempuan balik bersama” dalih Hisyam gugup.
Please Syam...benarkanlah I ikut you!” Jasmine mula merengek manja. Rimas pula Hisyam dengan kerenah manja anak bosnya itu.  Nasib baik tak ada yang nampak. Kalau tak pasti kecoh satu office.
“ I balik ni sebab I nak bertunang...mak I dah carikan jodoh untuk I” akhirnya Hisyam memberi alasan itu. Walaupun kepulangannya kali ini bukan untuk majlis pertunangan, tapi sekadar untuk merisik sahaja. Mungkin itu alasan yang terbaik supaya Jasmine dapat faham situasinya. Serta merta tangannya yang erat memeluk lengan Hisyam segera terlerai. Wajahnya yang ceria bertukar masam. Muncungnya dah panjang sedepa. Kecewa mendengar jawapan yang keluar dari mulut Hisyam itu.
“ Betul you balik ni sebab you nak bertunang atau itu alasan you yang tak benarkan I ikut you balik kampung” Jasmine merenung wajah Hisyam. Dia masih mengharapkan jawapan yang ikhlas dari lelaki itu.
“ Ok....I sebenarnya belum confirm lagi sama ada nak terima atau menolak ....cuma mak I yang beria-ria minta I tengok gadis tu.  Ikatan sebuah perkahwinan bukan hanya berlaku pada satu pihak saja...gadis itu juga berhak buat keputusan sama ada menerima I atau pun tidak” akhirnya Hisyam memberitahu perkara yang sebenar.
“ Syam...boleh I tanya satu perkara?” Jasmine merenung wajah Hisyam.
“ Apa dia?” Hisyam membalas renungan redup gadis itu.
“ Selama kita kenal....you tak ada apa-apa perasaan terhadap I?  I nak jawapan yang jujur dari you...” Jasmine bersuara sedikit gementar. Resah menanti jawapan.
“ I akui I memang sukakan you tapi....semuanya terserah pada jodoh...lagi pun dah banyak kali I mengecewakan perasaan mak I” akui Hisyam. Jelas terukir senyuman di bibir Jasmine.
“ I akan terus menanti dan I harap penantian I tak akan sia-sia....Ini kali pertama I betul-betul sukakan seseorang...” kata Jasmine walaupun dia sedar dirinya diumpamakan seperti hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Hisyam yang mendengar kata-kata itu hanya terkedu. Diam tak terkata.
****************

HISYAM sampai di kampungnya lewat petang. Dia terus berehat di atas pangkin depan rumah selepas bersalaman dengan emaknya. Ketika itu Hjh Faridah sedang menyapu daun kering di bawah pohon rambutan  untuk di bakar.
“ Mana Miza, sunyi aje....selalunya dia melepak kat atas tangga” Hisyam bertanya. Rasa janggal pula tidak melihat wajah adik bongsunya. Biasanya Miza yang jadi tukang sambut dia setiap kali balik kampung.
“ Dia pergi rumah kawannya....kejap lagi baliklah tu....dari tadi dia tunggu Syam balik” beritahu Hjh Faridah sambil melabuhkan punggung seketika di atas pangkin bersebelahan dengan Hisyam selepas menyalakan unggun api untuk membakar daun-daun kering. Dia mengesat peluh di dahi dengan tuala kecil, Hisyam sekadar memerhati.
“ Mak dah beritahu adik-adik Syam yang lain pasal ni?” Hisyam merenung seketika wajah emaknya.
“ Dah....mungkin besok mereka sampai....” Hisyam melepas keluhan kecil.
“ Miza nampaknya yang paling teruja bila Syam bagi tahu Syam jadi balik hari ni...maklumlah dia nak tunggu ole-ole lah tu....”
Hisyam tersenyum, memang dari kecil lagi Amiza dan dia rapat Setiap kali dia balik kampung ada saja hadiah yang dibelikan untuk adik tersayangnya itu.
“ Syam....jom naik....nanti mak buatkan air. Penat Syam memandu jauh....dah tu sorang-sorang pulak!” Hisyam sekadar mengekori langkah emaknya masuk ke dalam rumah. Dia terus melabuhkan punggung di kerusi sementara emaknya terus hilang ke dapur.
“Assalamualaikum” salam yang baru diberi di muka pintu di jawab oleh Hisyam sambil menoleh. Tahu sangat suara siapakah itu. Tersengih Amiza sebaik saja berbalas pandang dengan abangnya. Segera tangannya di hulur untuk bersalam.
“ Abang Syam....macam biasa...mana?” Amiza menadah tangan sambil tersengih di sisi abangnya.
“ Hisy...tak menyempat anak dara ni....dekat mak pun abang Syam belum bagi apa-apa lagi...mak tak bising pun...” sengaja Hisyam manhu mendera adiknya.
“ Alah....cepatlah....Miza tak sabar ni...” Amiza memengang tangan abangnya dan menggoncang perlahan. Hisyam pura-pura tak peduli menyebabkan Amiza menarik muka masam. Merajuk.
“ Miza....Miza dah besar tau....jangan buat perangai macam budak kecik....merengek-rengek....malu tau!” tegur Hjh Faridah  yang dapat mendengar suara kedua anaknya itu. Dulang yang di bawa di letak di atas meja kecil di hadapan Hisyam. Sepinggan kuih bingka ubi turut terhidang.
Hisyam bangun dari tempat duduknya dan mengambil beg pakaiannya. Dikeluarkan satu kotak dan segera diserahkan pada Amiza. Tersenyum lebar gadis itu menerima pemberian dari Hisyam. Hjh Faridah hanya mampu mengeleng kepala.
“Syam....jangan dimanjakan sangat si Miza ni...ikut aje apa kehendaknya...nanti dia naik lemak pulak. Dah dapat benda tu terus diabainya pelajaran sekolah” Hjh Faridah merungut. Tak puas hati dengan sikap Hisyam yang terlalu memanjakan Amiza.
“ Tak mengapalah mak....budak-budak sekarang ni semua ada telefon...senang nak berhubung dengan kawan-kawan...” bela Hisyam. Sempat matanya melirik Amiza yang sedang membelek telefon baru. Dah tersengih sampai ke telinga.
“ Ingat....kalau pelajaran Miza menurun selepas ni...mak akan simpan telefon tu. Kalau dah dapat telefon tu...bergayut ajelah kerjanya.... nanti siapa yang nak bayar kredit telefon tu!” Hjh Faridah tetap tak berpuas hati.
“ Alah mak ni....pandai-pandailah Miza bajet nanti...lagi pun Miza dah buat MoU dengan abang Syam pasal kredit ni” Amiza tersenyum.
“ Huh....mak tak fahamlah dengan korang berdua ni...” Hjh Faridah mendegus kasar.
“ Mak ni...dah tarik muka 14 pulak!...nanti tak berseri wajah mak masa nak pergi merisik besok....abang Syam nak tahu, semalaman mak  tak lena tidur gara-gara bimbang abang Syam tak jadi balik hari ni!” kata Amiza membuat wajah emaknya mencerlung. Amiza tetap tersenyum. Seronok pula dapat mengenakan emaknya yang memang tak sabar nak bermenantu.
“ Kamu ni Miza....”
Hjh Faridah mengeleng kepala perlahan-lahan. Memang betul kata Amiza, dia cukup bimbang kalau Hisyam buat hal lagi dengan menunda permintaannya supaya anaknya balik kampung. Tak tahu  apa lagi alasan yang akan di berikan untuk Pn. Maria. Dah 3 kali cadangannya untuk membawa Hisyam melihat anak gadis Pn. Maris tergendala. Malu dia. Nasib baiklah keluarga Pn. Maria tak cepat melatah. Namun senyuman tetap terukir di bibirnya sambil bangun dan beredar masuk ke biliknya. Hisyam memandang Amiza, bimbang sekiranya kata-kata Amiza tadi membuatkan emak mereka merajuk. Tetapi sangkaan Hisyam meleset bila emaknya keluar sambil bibirnya tersenyum lebar dan dia terus duduk di sisi Hisyam.
“ Syam, cuba tengok cincin ni...cantik tak?” Hjh Faridah menghulurkan bekas baldu berbentuk hati yang berisi sebentuk cincin.
Hisyam menghulur tangan, menyambut huluran emaknya. Seketika matanya terpaku menatap cincin yang mengandungi beberapa biji permata. Tak sempat pula dia membilangnya.
“ Cantik tak cincin tu?... Miza yang pilih bentuknya bila mak ajak teman beli cincin tu 2 minggu lepas” Amiza mencelah. Dia turut teruja kerana mengambil bahagian dalam rancangan emaknya untuk merisik anak gadis Pn. Maria untuk abangnya.
Hisyam diam tanpa bereaksi membuatkan Amiza dan emaknya saling berpandangan. Entah apa yang sedang di fikrkan oleh Hisyam ketika itu. Detik mereka bila melihat mata Hisyam terpaku kelihatan cincin yang berada di tangannya. Sedangkan ketika itu Hisyam tertanya-tanya sendiri  tanpa sedar bibirnya mengukir senyum...bagaimana agaknya si Fatin tu nak pakai cincin ni, muatkah  dengan jarinya yang gemuk itu?
“ Kenapa dengan abang Syam ni?...tersenyum seorang diri....mesti terbayangkan wajah kak Fatin ya!” usik Amiza ketawa kecil. Hjh Faridah juga turut tersenyum.
“ Miza dah tengok wajah kak Fatin tu?” tanya Hisyam sambil memandang wajah Amiza.
“ Tak....mak aje yang dah tengok gambarnya masa mak pergi ke rumah Pn. Maria hari tu dengan mak Su. Mak kata wajah kak Fatin cantik...cantik sangat, memang sesuai dengan abang Syam” kata Amiza.
“ Hmm...kalau Miza tengok nanti...mesti Miza terkejut” kata Hisyam dengan wajah serius.
“ Kenapa?” tanya Amiza hairan.
“ Dia  bukanlah gadis yang cantik, badannya gemuk, hidungnya besar dan giginya jongang. Masa sekolah dulu kami gelarkannya Fatin si Badak Jongang” kata Hisyam menjelaskan sifat fizikal Fatin di sekolah dulu membuatkan Amiza terlopong mendengarnya. Sekilas dia memandang wajah emaknya yang sedang  mengeleng kepala sambil tersenyum.
“ Kamu ni Syam....sesedap mulut aje mengutuk orang....kamu lupa yang kamu tu dulu di gelar Fatin dengan nama Sotong Panggang!” Hjh Faridah tergelak kecil membuatkan mata Amiza terbuka luas.  Serta merta Amiza melepas tawa membuatkan Hisyam mendengus kasar, malu bila gelaran masa sekolahnya dulu diceritakan pada Amiza, tambahan pula melihat begitu beria Amiza mentertawakan gelarannya itu.
************

HJH FARIDAH dan anak-anak yang lain  sudah pun berada di ruang tamu, cuma menunggu masa untuk bertolak ke rumah Pn Maria. Di ruang tamu sudah tersedia bekas yang mengandungi 3 pasang kain sutera , satu bekas untuk buah-buahan, bekas untuk sebiji kek dan satu bekas untuk cincin.
“ Syam, dah siap ke belum? “ laung Hjh Faridah bila mendapati ketika itu mereka hanya menunggu Hisyam yang masih belum keluar dari biliknya.
“ Apalah abang Syam ni.....bersiap mengalahkan orang perempuan....berbedak dan bergincu ke apa...” rungut Amiza membuatkan emaknya menjeling tajam. Amiza terus tersengih.
“ Jaga mulut tu...jangan celupar sangat.... mak tak suka” tegas Hjh Faridah.
Mak Su dan suaminya awal-awal lagi sampai di  rumah itu, merekalah yang menjadi orang tengah dalam urusan itu. Amiza yang mengenakan sepasang baju kurung berwarna biru itu mula resah menanti.  Sarina pula begitu sibuk melayan karenah anaknya yang baru saja nak belajar berjalan. Sarina dan suaminya, Asraf baru sampai pagi tadi sementara Syafika  dan suaminya, Zarul baru saja sampai sejam tadi. Adik beradik Hisyam tak sabar untuk melihat  gadis yang bakal di padankan dengan abang mereka. Tambahan pula beria-ria Hjh Faridah mahu kedua-dua anak perempuannya balik semata-mata mahu mereka menyertai rombongan itu.
Akhirnya Hisyam keluar dengan mengenakan seluar hitam dan kemeja lengan panjang berwarna krim. Rambutnya tersikat kemas. Dia kelihatan kacak sekali walaupun terserlah rasa cemas di wajahnya.
“ Wah!...handsomenya abang Syam....pasti kak Fatin terus terima ni....” usik Amiza membuatkan Hisyam tersenyum.
Mata Hisyam tiba-tiba terpaku melihat sesuatu di hadapannya.
“ Mak, kenapa mesti bawa cincin tu?....kan kita hanya nak pergi menengok aje....bukannya nak pergi melamar atau meminang!” ujar Hisyam dengan berat hati.
“ Mak dan mak Su dah berbincang dengan keluarga Pn. Maria tu...kalau kedua-duanya bersetuju, kamu berdua akan terus bertunang....nak jimat masa” beritahu Hjh Faridah sambil mengerling wajah Mak Su yang turut mengiyakan kata-kata Hjh Faridah. Hisyam mendengus perlahan. Ketiga-tiga adik perempuan hanya sekadar memerhati dan mendengar. Tak berani nak masuk campur.
“ Syam....jangan buat keputusan melulu sebelum berfikir panjang! Apa yang sedang kita semua lakukan ini adalah untuk kebaikan Syam, masa depan Syam!” Pak Su Majid cuba menenangkan Hisyam.
Hisyam tertunduk. Walaupun berat hatinya untuk menerima cadangan itu, namun dia terpaksa akur. Mereka segera bertolak ke rumah mertua Pn. Maria dengan 3 buah kereta. Perjalanannya hanya mengambil masa 20 minit sahaja. Sepanjang perjalanan itu, Hisyam hanya diam membisu menyebabkan sesekali Hjh Faridah mengerling ke arahnya. Dia tahu Hisyam tidak selesa dengan rancangannya. Sebaik saja sampai di perkarangan rumah Hj Rahman, mereka segera di sambut oleh keluarga itu dengan senyuman. Sejak dari tadi  dada Hisyam asyik berdebar, bukan dia tak pernah mengalami suasana seperti ni, dah banyak kali bila dia di paksa oleh emaknya pergi melihat beberapa oang anak gadis kenalannya. Namun, kali ini debarannya agak berlainan. Hisyam resah. Maklum saja mengenangkan siapa gadis yang bakal di temuinya itu adalah gadis yang selalu bertekak dengannya. Tiba-tiba dia pula yang muncul untuk merisik, tak ke haru!
Kedatangan mereka memang di layan dengan mesra. Hisyam yang duduk antara suami Sarina dan pak Su hanya diam, sesekali hanya dia senyum bila ada sesuatu yang lucu. Itu pun senyuman terpaksa sekadar untuk menghilangkan rasa gugup dan gemuruh di dada.
“ Yang mana satu anak kak Faridah?” tiba-tiba Pn. Maria bertanya. Maklum saja ada 3 orang pemuda di hadapannya sekarang. Ingin juga dia tahu yang mana satu lelaki yang datang melihat anaknya.
Hjh Faridah segera memperkenalkan Hisyam pada keluarga itu. Pn. Maria dan En. Safuan tersenyum sambil mengangguk-angguk perlahan. Tidak lama kemudian muncul seorang gadis membawa kueh untuk mereka. Nafas Hisyam mula turun naik, rasa nak pitam pun ada. Gadis manis berbadan gempal yang mengenakan baju kurung dan bertudung kuning lembut  itu tersenyum sebaik saja berbalas pandang dengan Hisyam sebelum mengambil tempat di sebelah Pn. Maria. Hisyam mula perasan, mata gadis itu sudah beberapa kali mencuri pandang ke arahnya. Memang betullah tubuh Fatin tetap tak berubah, tetap gempal seperti dulu. Kalau dia tahu beginilah fizikal gadis yang di pilih olehnya, awal-awal lagi dia telah membuat keputusan. Memang dari awal lagi dia tetap membayangkan itulah bentuk fizikal Fatin, tapi mak tetap tersenyum. Kata gadis itu memang sepadan dengannya.
“ Betulke...yang ini Syam?” gadis yang berbadan gempal tadi bersuara memecah kesunyian buat seketika membuatkan semua mata tertumpu padanya. Terpaksalah dia mengukir senyuman palsu.
“ Apa khabar?...lama betul kita tak jumpa ya....dulu badan awak sekeping aje, tapi sekarang...awak betul-betul kacak....” dalam mengutuk, sempat pula dia memuji. Hisyam tetap mempamerkan senyuman.
Seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan 2 tahun datang menghampiri gadis itu dan duduk di atas ribaan gadis tadi. Kanak-kanak perempuan comel yang memakai gaun warna pink itu di cium mesra di pipinya.
“ Syam ni kan sebaya dengan Hana....cuma tak sekelas ajekan!”ujar Pn. Maria.
“ Ya...ma...” akui yang dikenali dengan Hana itu.
“ Jadi....ini...ini Farhana?....kakak Fatin?” Hisyam meminta kepastian.
Hampir semput nafas Hisyam bila gadis itu mengangguk perlahan sambil tersenyum. Dalam diam Hisyam sempat beristighfar. Sukar nak percaya bahawa gadis idamannya dulu sudah begini rupa fizikalnya.
“ Terkejut ya!....Hana dah kawin, ni anak sulung Hana....sekarang ni Hana kerja kat Negeri Sembilan,  suami pun kerja kat sana tapi sekarang dia tak dapat balik kerana dia outstation kat Penang” beritahu Farhana sedikit mesra. Mereka yang ada di situ hanya sekadar mendengar dan melihat. Ada juga yang berbual sesama sendiri.
“ Itulah kak Faridah...anak Maria cuma 2 orang aje...Farhana dan Fatin....Farhana dah kawin...sekarang ni hanya tinggal Fatin aje. Sebelum ni dah ramai yang datang menengok....tapi dia asyik menolak ...risau juga saya” kata Pn. Maria.
Hisyam termenung seketika. Sekilas dia memandang wajah Farhana dan cuba membandingkan gadis itu dengan gadis yang dikenalinya dulu. Terlalu jauh bezanya. Dia tertanya-tanya sendiri, bagaimana agaknya fizikal Fatin sekarang?
“ Eh! Kenapa tengok aje makanan kat depan ni?...jemputlah makan...” pelawa Hjh Zainab, nenek Farhana.
Mereka segera menikamati hidangan nasi ayam yang terhidang di meja makan. Riuh juga suasana di ruang tamu itu dengan pelbagai cerita dan suara .
“ Eh....kita ni asyik berborak aje...lupa pulak nak hidangkan air....Fatin....Fatin....tolong bawakan air untuk tetamu kita ni, sayang!” laung Pn. Maria. Sememangnya sengaja dia membiarkan Fatin keluar agak lewat. Biar suspens gitu. Dia tahu dari air muka Hisyam, lelaki itu tak sabar untuk melihat wajah Fatin.
Tidak lama kemudian, seorang gadis keluar dengan membawa dulang berisi air. Mata Hisyam terus terpaku melihat gadis  itu tanpa berkelip.
“ Adakah aku sedang bermimpi?....tak mungkin gadis ini adalah Fatin....dia...” detik Hisyam perlahan sambil menggosok matanya beberapa kali bagi memastikan apa yang sedang dilihatnya adalah betul. Bukan mimpi di siang hari.
“ B....betulke....yang ini Fatin?....Fatin Najwa?” dalam sedar tak sedar Hisyam bersuara agak kelam kabut membuatkan semua mata tertumpu  padanya. Wajah mereka melahirkan pelbagai reaksi. Terkedu, terkejut, tersenyum, tersengih...dan macam-macam jenis ter lagi.
Hjh Faridah yang melihat lagak Hisyam hanya tersenyum penuh makna, serentak dia sempat berbalas pandang dengan Mak Su sebelum matanya memandang wajah gadis yang bernama Fatin Najwa itu.
**************

FATIN masuk  ke biliknya selepas memeriksa pesakit yang berada di wad, dalam jagaannya. Dia segera melabuhkan punggung di kerusi. Memejam mata seketika. Kenangan yang berlaku di rumah atuk dan neneknya seminggu yang lepas berlegar di ingatannya membuatkan dia tersenyum. Pantas dia membuka mata perlahan dan terus menatap sebentuk cincin yang sudah pun tersarung di jari. Fatin mencapai telefon bimbitnya yang sedang berdering di atas meja. Sekali lagi bibirnya mengorak senyum melihat nama yang tertera di skrin telefonnya.
“ Hello...Assalamualaikum...” Fatin segera memberi salam.
“ Waalaikumussalam.....sibuk ke?” suara Hisyam kedengaran di hujungnya.
“ Tak adalah...baru aje nak rehat sekejap selepas check pesakit tadi....kenapa tiba-tiba call Fatin ni?”
“ Abang call sebab nak ajak Fatin keluar....kita lunch sama hari ni” ujar Hisyam mengharapkan ajakannya di terima.
Lunch?....apa kata abang datang aje kat sini...lagi pun kat sini kita jumpa kali pertama selepas 13 tahun” kata Fatin mengenangkan tempat kali pertama mereka bertemu.
“ Hmm...oklah...lunch nanti kita jumpa... abang akan call balik....ada banyak perkara yang abang nak cakapkan dengan Fatin” kata Hisyam agak teruja. Maklum saja gadis yang telah membuat tidurnya tak lena selama ini telah menjadi miliknya. Siapa yang tak rasa bahagia.
Sebagaimana yang dijanjikan mereka makan tengahari bersama di cafe hospital. Tempat kali pertama mereka bertemu.
“ Terima kasih kerana sudi makan tengahari bersama abang” kata Hisyam merenung wajah ayu bertudung di hadapannya. Fatin tersenyum manis. Lama mata Hisyam terpaku melihat mata Fatin. Patutlah dia rasa semacam aje merenung wajah Fatin di hospital hari itu. Rupa-rupanya mata gadis itu mengingatkan dia pada mata gadis  yang bernama Fatin si Badak Jongang.
“ Kenapa abang asyik pandang wajah Fatin” soal Fatin. Rasa segan dan malu menyerbu mukanya.
“ Abang tak sangka gadis yang abang jumpa di hospital hari tu dan gadis yang sempat abang begaduh dengannya kat KFC dulu tu  adalah gadis yang akan menjadi suri hidup abang. Abang pun macam tak percaya...punyalah penat mak abang mencari jodoh untuk abang....akhirnya  Fatin juga yang abang suka. Fatin si Badak Jongang” Hisyam tergelak.
“ Abang....” Fatin mengetap bibir menahan geram.
“ Hm....sorry...abang cuma gurau aje...Fatin yang dulu dan Fatin yang sekarang terlalu jauh beza. Macam langit dengan bumi. Abang tak sangka Fatin yang dulu berubah begitu cantik....sampaikan abang tak kenal....” Hisyam tersenyum.
“ Itulah lelaki....hanya mahu yang cantik aje...yang hodoh dan jelek jadi bahan usikan dan ejekan....mereka juga manusia....punya hati, punya perasaan. Itu juga yang Fatin rasa....” Fatin tiba-tiba terasa sebak. Dia tertunduk. Cuba mengawal air mata dari mengalir. Nasi yang berada di hadapan di kuis perlahan. Hisyam yang melihat pula jadi tak selesa. Tangan Fatin di capai dan digenggam erat.
“ Maafkan abang kerana pernah mencemuh dan mengejek Fatin dulu....abang mohon...lupakan aje apa yang pernah berlaku pada kita dulu....anggap aje ianya tak pernah berlaku” pujuk Hisyam.
“ Tak semudah itu untuk Fatin lupakan....bertahun-tahun Fatin menanggisi apa yang berlaku pada Fatin dulu...Fatin tahu, dulu .....Fatin buruk, Fatin tak cantik....Fatin selalu jadi bahan ejekan abang dan rakan-rakan abang....abang fikir Fatin tak terasake?”
“ Fatin....abang minta maaf...abang betul-betul minta maaf....” pujuk Hisyam, dia akui dia bersalah tapi semua itu telah berlalu. Lagi pun mereka terlalu muda, masih di alam persekolahan. Usik mengusik itu perkara biasa. Dia juga turut menjadi bahan usikan bila satu sekolah tahu dia mendapat gelaran sebagai Sotong Panggang....siapa yang beri gelaran itu?...Farah.....dia juga malu dengan gelaran itu.
 “ Er....masa kita jumpa kat sini .....Fatin tahuke yang abang ni Hisyam yang selalu bergaduh dengan Fatin dulu?” Hisyam terdiam bila Fatin mengangguk perlahan. Kemudian dia mengeluh perlahan.  Patutlah Fatin terkejut melihat wajahnya hari tu. Rupa-rupanya Fatin mengenali dirinya.
“ Abang tak banyak berubah...hanya tubuh agak berisi sikit...tak macam dulu...jadi, Fatin masih kenal abang....sengaja Fatin berpura-pura tak kenal abang” kata Fatin membuatkan Hisyam tersenyum.
“ Apa yang berlaku pada Fatin selama bertahun kita tak jumpa sampaikan abang tak sangka gadis yang abang jumpa setelah 13 tahun dan gadis yang berada di hadapan abang sekarang adalah Fatin yang abang kenal dulu....”
“ Fatin perlu motivasikan diri Fatin...banyak usaha yang Fatin lakukan di samping mendapat sokongan dari keluarga. Fatin perlu berubah untuk membuktikan bahawa Fatin juga boleh jadi cantik seperti orang lain....tak ada lelaki yang sukakan perempuan yang gemuk dan bergigi jongang macam Fatin.....abang pun....mana nak pernah pandang muka Fatin...Fatin tahu sejak pertama kali kami masuk ke sekolah tu....abang dah sukakan kak Farhana. Abang akan lakukan apa saja semata-mata mahu menarik perhatian kak Hana.....Fatin....Fatin hanya sekadar dijadikan bahan usikan....oleh itu, selepas PMR hari tu...Fatin nekad untuk berubah. Fatin mahu `orang itu` sedar kewujudan Fatin” sengaja Fatin menekankan perkataan orang itu membuatkan Hisyam terdiam. Dahinya berkerut.
“ Orang itu?....apa maksud Fatin.....Fatin dah ada orang lain ke?” Hisyam mula gusar. Saat ini tak mungkin dia akan melepaskan Fatin ke tangan orang lain di saat hatinya setengah mati cintakan gadis ini.
“ Fatin mahu berubah kerana seseorang...seseorang yang sentiasa wujud di hati Fatin sejak bertahun lalu....tapi sayang, sampai sekarang dia tak sedar yang Fatin masih menunggunya” kata Fatin perlahan. Hisyam tertunduk. Wajahnya sugul.
“ Maafkan abang....abang tak tahu ada orang lain dalam hidup Fatin.....kalau Fatin rasa pertunangan kita ini akan menghalang hubungan Fatin dengan dia....abang akan putuskan hubungan kita....abang tak nak Fatin rasa terbeban dan terseksa...” Hisyam cuba bersuara. Sedaya upaya cuba menyembunyikan keresahan hati.
“ Kalau abang putuskan pertunangan kita....ini bererti penantian dan pengorbanan Fatin selama ini adalah sia-sia...” balas Fatin sambil mengukir senyum. Lucu pula melihat wajah cemberut lelaki yang baru bergelar tunangannya itu  seminggu yang lepas.
“ Apa maksud Fatin?”  berkerut dahi Hisyam merenung wajah Fatin yang tersenyum manis. Kenapa dia tak sedar sebelum ini  bahawa Fatin sebenarnya cantik. Sesungguhnya dia adalah gadis yang istimewa. Kenapa baru kini dia sedar semua itu. Kenapa tidak dulu? Pelbagai perseolahan muncul di benak fikirannya. Kini, hati gadis itu sudah di miliki. Apa yang Fatin lakukan selama ini adalah kerana seseorang. Seseorang yang sentiasa ada di hati Fatin dari dulu hingga sekarang. Ah! Sulitnya untuk  teruskan semua ini di saat aku benar-benar menyukai gadis ini. Aku amat menyintainya sepenuh hati.
“ Abang...abang masih tak sedar!” Fatin bersuara sambil merenung wajah Hisyam yang dilanda gelisah.
“ Abang masih tak faham apa yang cuba Fatin sampaikan” kata Hisyam kebingungan.
“ Abang masih tak sedar siapa yang Fatin tunggu selama ini?....abang masih tak dapat agak kenapa Fatin mahu berubah ?...dan kenapa Fatin terima lamaran dari keluarga abang?” soal Fatin bertalu-talu.
“ Er.....”
“ Abang....abang.....nak kata bodoh....tapi belajar sampai university....benda yang begini simple pun abang tak boleh nak faham?” Fatin tergelak kecil.
“ Hisy....Fatin ni...sesedap hati aje nak mengutuk abang.....atau Fatin nak cari gaduh dengan abang ya!”
“ Fatin dah penat bergaduh dengan abang....buat malu aje....ingat apa yang kita gaduh masa kat KFC hari tu....semua orang pandang”  Hisyam tergelak kecil mengingatkan peristiwa mereka bergaduh mulut  hari itu. Ala....itu gaduh-gaduh sayang....
“ Abang masih tak faham maksud Fatin?” soal Fatin mendengus perlahan.
“ Faham....saja....buat-buat bodoh.....” Hisyam tiba-tiba tergelak membuatkan Fatin tertunduk, malu. Fatin mengacau air perlahan, tak berani nak membalas pandang  dengan Hisyam yang mula tersenyum.
“ Tak sangka...dalam asyik bertekak dan berperang mulut....timbul pula soal sayang....punyalah  bergaduh sampai satu sekolah tahu namun dalam hati tetap ada taman....ha....ha...ha....” 
Hisyam ketawa senang membuatkan Fatin mencubit lengannya. Segan pula bila soal lama diungkit kembali. Merah mukanya menahan malu membuatkan wajah Fatin bertambah manis. Siapa sangka akhirnya Fatin si Badak Jongang bertemu jodoh dengan musuh ketatnya, Hisyam si Sotong Panggang.

***** TAMAT *****








3 comments:

  1. GooD jOb WRiter.... teruskan usaha akak!

    ReplyDelete
  2. tapi kn, nmpk sngt la mamat tu pentingkan rupa je.. bila da tau fatin tu cantik baru la nak cinta bagai.. hehe.. xadil la.. huhu..
    just an opinion

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...